Saturday, June 12, 2010

~* Aku Terima Nikahnya : Di Mana Damai Desa *~


“Apa yang kamu menungkan?”, abang saya bertanya.

“Kosong. Sengaja Rizal kosongkan fikiran”, saya membalas lesu.

Renungan saya di anjung rumah, lepas entah ke mana.

Walaupun Bandar Ipoh, mengesot-esot mengejar pembangunan semasa, kampung halaman saya tetap berjaya mengekalkan suasana kampungnya yang asli. Tanah masih hijau. Bau rumput masih membangkitkan kesegaran jiwa saya. Tambahan pula dalam seminggu dua ini, hujan sentiasa membasahkan petang Syawwal. Bunyi hujan yang turun menyimbah atap zink rumah, dengan kokokan ayam mencari teduh, sungguh mententeramkan jiwa.

Aidilfitri ini saya puas. Isteri dan anak-anak ada di sisi. Bonda pula masih sihat rendang ayamnya masih yang pertama. Adik-beradik pulang semuanya. Ia menyembuhkan kejanggalan perasaan saya, selepas 11 tahun menempuh Aidilfitri di bumi asing. Tempoh yang cukup panjang.

Saya sepatutnya gembira, ceria kerana syarat-syarat kegembiraan itu ada. Ramadan ditempuh seadanya. Syawwal pula menjelma dalam rukun-rukun dan syarat-syarat yang sempurna.

Tetapi kenapa air muka saya masih sedih? Saya cuba untuk tersenyum tetapi cermin diri masih mempamerkan raut yang hambar.

Saya tidak berniat melukiskan wajah itu di Syawwal ini. Tetapi sudah beberapa orang ahli keluarga saya yang bertanya.

“Kenapa sedih?”, tanya isteri saya.

“Apa yang tidak kena?”, soal abang saya.

“Ada masalah?”, ipar duai saya menduga.

Entah, saya sendiri puas mencari punca. Meneliti satu persatu kotak fikiran dan perasaan. Apa lagi yang tidak kena?

Saya duduk di tangga rumah. Bermuhasabah mencari penjelasan.

Saya amati betul-betul keindahan desa, di mana cacat celanya? Jauh di hujung perhatian, saya tersentak kerana rupa-rupanya keindahan itu tiada warna. Rumput yang sama, ayam yang sama. Tetapi semuanya kelabu tidak berwarna. Desa ini indah, tetapi serinya tiada. Tawar dan hambar.

Desa tetap indah. Tetapi anak desa sudah berubah. Itulah kedukaan saya.

KES 1

Petang tadi, anak-anak saya dan sepupu-sepupunya terkejut kerana letupan mercun. Ada budak yang membaling mercun bola ke bawah rumah kami, ketika anak-anak kecil sedang nyenyak lena di petang Syawwal. Darah saya panas.

Selang beberapa minit, sebiji lagi mercun dibaling dan kali ini saya hilang sabar. Saya menerpa ke tingkap dan kelihatan tiga anak muda yang sepatutnya sudah melepasi usia aqil dan baligh. Mereka tersengih kepuasan.

“Baling sebiji lagi!”, saya mencabar mereka. Demi Allah seumur hidup saya, tidak pernah saya menengking sesiapa dari tingkap rumah. Jiran-jiran pun ada yang terkejut. Inilah kali pertama saya meninggikan suara sedemikian gaya.

Remaja bertiga itu berpaling angkuh. Mereka mengayuh basikal sambil ketawa.

“Jangan dimarah sangat budak-budak tu. Mak takut”, kata bonda.

Saya sedar apa yang bonda maksudkan. Saya hanya balik ke kampung sekali sekala. Tetapi bonda yang bakal menghadapi kesan kemarahan saya. Jika ada anak-anak remaja kampung saya yang ditegur, rumah kami akan menjadi mangsa. Mereka akan mematahkan pokok bunga, menabur rokok di bawah rumah, malah mencuri minyak tanah yang bonda simpan di gerobok usang dapur.

Emak selalu ketakutan.

KES 2

Beberapa hari yang lalu saya ke kedai membeli kamera. Semasa saya sedang mengisi borang warranty, seorang lelaki Melayu datang ke kaunter di sebelah saya bersama isteri dan anaknya.

“Saya mahu model yang itu.Coolpix L1″, katanya sambil menunjuk kepada kamera yang baru saya beli.

“Maaf encik. Model itu sudah habis. Tinggal satu sahaja”, kata jurujual berbangsa Cina itu.

“Bagi saya yang itu laaa!”, kata lelaki itu.

Saya tergamam. Biadap sungguh lelaki ini.

“Ini kamera saya. Saya sudah membelinya”, saya mengeraskan suara sambil berpaling kepadanya.

Lelaki itu diam membatu. Dia beralih ke kaunter yang lain.

Benarkah apa yang saya saksikan ini. Tidak terlintas di fikiran saya ada seorang lelaki yang sebangsa dengan saya, bangsa Muslim, bangsa Melayu, yang sebiadap itu.

KES 3

“Kamu semua ni, tak sembahyang Jumaat ke?”, bonda sudah hilang sabar.

Rumah saya terletak di sebelah masjid. Semenjak beberapa tahun ini, generasi Melayu baru semakin bertambah. Mereka datang ke masjid, mungkin kerana dihalau ibu bapa di rumah. Tetapi mereka tidak bersembahyang. Mereka duduk di tangga rumah saya, di bawah rumah dan di atas buaian. Kulit pisang, bungkusan nasi lemak, puntung rokok dan bungkusan minuman penuh bertaburan di keliling rumah.

Mereka tidak peduli langsung teguran bonda saya. Malah dibalas pula dengan jelingan tajam seperti mengugut penuh dendam.

Terbongkok-bongkoklah bonda sendirian di waktu petang, membersihkan halaman. Anak desa itu sudah hilang budi bahasa. Lumpuh agama…

Mengapa anak desa begitu?

20 TAHUN YANG LALU

Saya juga adalah sebahagian mereka. Kumpulan kami besar. Sekali turun ke padang bermain galah panjang di waktu petang, atau membakar mercun di waktu malam, memang tidak dinafikan ada di antara kami yang “˜nakal”™.

Tetapi nakal kami nakal biasa. Tidak biadap dan masih tahu batas susila. Tidak sekali-kali kami menyanggah teguran orang tua. Tetapi hari ini kenakalan itu semacam jauh berbeza. Marah orang tua dibalas ketawa. Nasihat jiran tetangga dibalas maki dan nista.

Budak-budak yang kurang ajar itu, jangan ditegur di depan ibu bapa mereka. Silap-silap, kita pula yang dihamun carut olehnya.

“Engkau jangan nak mengajar aku pula! Jaga anak kamu. Jangan sibuk menegur anak orang lain!”, antara dialog yang pernah saya dengar kebelakangan ini di kampung.

Eh, itu bukan bahasa desa. Di desa tiada anak sendiri, tiada anak orang. Orang tua bebas menegur anak-anak desa bahawa kesemua mereka dianggap seperti zuriat sendiri. Di mana hilangnya semua itu?

Desa tinggal desa. Walaupun rumput masih hijau, namun budayanya sudah kuning malah kelabu dan kelam. Apalah ertinya keindahan desa, kalau siang malam jiran tetangga mengeluh kehilangan barang. Jika dulu, paling buruk pun hanya telur ayam dan durian. Hari ini, basikal, gril rumah, besi penutup lubang tandas, motorsikal, malah rumah diceroboh terutamanya yang milik wanita tua kematian suami.

Allah, inikah damai desa yang mahu dibangga?

Saya terus mengelamun di anak tangga. Darah panas, sepanas air mata yang bergenang memikirkan bala ini.

MALAS MELAYAN TETAMU

Sedih saya di hari raya, bertambah pula apabila saya mengamati budaya melayan tetamu di kalangan generasi muda.

Sedikit sebanyak hari-hari saya di Turki masih hangat di ingatan. Di sana, melayan tetamu adalah sebesar-besar kewajipan hablun minannaas. Setiap tetamu dimuliakan, walaupun yang datang adalah insan tidak bernama.

Tetapi di Aidilfitri desa ini, mengapa ibu bapa sahaja yang menyambut mesra? Saya tidak dapat menerima ketika ada saudara mara yang berkunjung, anak-anak muda masih menatap kaca televisyen.

Tetamu itu bukan tidak diundang. Mereka bukan orang asing. Ibu saudara, bapa saudara, datuk saudara sebelah emak, adik beradik semoyang. Mereka itu darah daging belaka. Tetapi kenapa generasi muda berat mulut mahu bermesra? Lebih selesa berkurung di bilik, lebih terhormat meniarap mengadap televisyen?

Adat bersoreh sudah dilupakan. Tiada siapa lagi yang sudi mengambil tahu merakam cerita, hubungan sesama saudara mara. Mati emak, mati bapak, hilanglah selama-lamanya hubungan dan tali saudara. Tiada siapa lagi yang tahu siapa aku siapa kamu. Pernah berjumpa tetapi entah di mana.

Inilah generasi Melayu baru, di Aidilfitri 1427H.

Dan saya hilang kata-kata, tenggelam dalam keaiban melihat diri sendiri. Bahawa inilah realiti hari ini. Bangsaku sudah cemar, sudah tiada budi tiada pekerti.

Di mana lagi saya mampu mencari gembira. Wajah sedih menyelubungi Aidilfitri, bersama hujan lebat setiap petang, seperti meratapi bangsa Muslim di desa ini.

Agama diadatkan. Adat ditinggalkan. Yang tersohor hanya hedonisma dan televisyen. Bangsat sungguh agama yang diadatkan, Aidilfitri yang dipestakan.

Ampunkan hamba-Mu yang menggenggam bara Islam di akhir umur dunia ini, Ameen ya Rabb!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
7 Syawwal 1427

~* Aku Terima Nikahnya : Menguruskan Fikiran Tentang Perkahwinan *~


Saya masih ingat kepada tulisan Ustaz Maszlee Malik tentang Fenomena Cinta Anta Anti beberapa bulan yang lalu. Anggaplah artikel saya ini sebagai penyambung kepada mesej yang sama, iaitu usaha untuk mendidik adik-adik remaja memikirkan tentang perkahwinan yang seimbang di antara tuntutan yang idealistik dengan realiti. Berlandaskan agama…

Bagi mereka yang tidak segan untuk menguruskan cinta dan perkahwinan mereka mengikut kemahuan hawa nafsu dengan membelakangkan wahyu, biarlah mereka belajar tentang akibat yang bakal ditanggung.

Di dalam artikel saya sebelum ini, saya berkongsi nasihat dengan adik-adik bahawa jika mereka yang bercouple dan buat ‘ringan-ringan’ sebelum berumahtangga akan menghadapi kesannya di masa hadapan. Apatah lagi jika terjebak ke kancah zina. Selepas berumahtangga, si suami akan terfikir, “jika dengan aku dia berani berzina, apa yang boleh menghalangnya dari berzina dengan orang lain?” Kecurigaan ini menyebabkan jiwanya gelisah setiap kali meninggalkan isteri di rumah. Manakala si isteri berfikir dengan kecurigaan yang sama. Akhirnya rumahtangga itu penuh dengan syak wasangka dan pantang ada yang mencuit, pasti berbalas tuduh menuduh. Inilah yang maksudkan sebagai “dosa hari ini, menjadi kecurigaan esok dan selamanya” ketika menulis artikel “Erti Sebuah Perkahwinan“.

Ia bukanlah teori saya, tetapi sebahagian daripada pengalaman yang dikutip semasa mengendalikan kursus bersama Fitrah Perkasa. Pasangan yang pernah berzina sebelum bernikah, akan dihukum oleh Allah di dunia, sebelum hukuman Akhirat. Apakah ada ketenangan hidup, jika rumahtangga diselubungi prasangka? Itulah neraka dunia balasan zina, sebelum neraka Akhirat yang maha seksa lagi duka.

Namun bagi adik-adik yang mempunyai kesedaran Islam, cara mereka ‘menjaga hukum Allah’, penting untuk dipandu. Bukan apa, kadang-kadang cara merek menimbulkan kehairanan kepada saya. Syariat manakah yang mengajar Muslimat supaya menundukkan pandangan hingga terlanggar tong pemadam api yang tergantung di koridor? Islam manakah yang mengajar Muslimat kita supaya bercakap seperti ‘warden penjara’ ketika berurusan dengan Muslimin, semata-mata kerana mahu menghayati kehendak Syarak agar mereka tidak melunakkan suara yang boleh menimbulkan fitnah.

Bagi Muslimin juga, pelbagai karenah yang timbul. Kerana mahu menjaga Syariat, mereka langsung tidak berhubung semasa bertunang sehingga tidak kenal di antara satu sama lain. Maka terbatallah hikmah pertunangan yang dianjurkan oleh Islam. Kita menjadi seperti robot keras yang jika tidak A, maka B. Malah ada yang bertanya kepada saya, berapakah kadar panggilan telefon yang boleh dibuat dalam seminggu semasa bertunang? Pelbagai soalan ganjil dan matematika yang saya terima. Kepelbagaian tanda tanya inilah yang mengundang saya untuk berkongsi pengalaman agar adik-adik yang beriltizam dengan Islam ini dapat mencari contoh yang praktikal. Perkahwinan saya jauh daripada layak untuk menjadi contoh yang paling sempurna. Namun, pada satu dua benda yang baik, bolehlah diambil sebagai teladan. Mana-mana yang silap, jadikan sebagai sempadan.

Saya telah bertemu dengan banyak contoh pasangan yang sudah terlalu lama ‘mengikat’ hubungan tetapi lambat menuju perkahwinan, akhirnya kecundang di tengah jalan. Malah ramai yang berubah menjadi musuh. Hal ini, janganlah terlalu cepat dikaitkan dengan dosa, sebagai ‘hukuman dari Allah’ kerana pernah ada cela zahir atau batin antara kedua pasangan itu. Seorang lelaki dan seorang perempuan yang terlalu lama kenal tetapi tidak menyegerakan perkahwinan, akan dengan sendirinya berubah menjadi musuh akibat fitrah perhubungan itu sendiri.

Bagi pasangan yang berumahtangga, setahun dua yang pertama, biasanya indah dan ditambah lagi dengan kedatangan cahaya mata penyeri rumahtangga. Tetapi apabila masuk tahun ketiga dan keempat, hubungan suami isteri akan teruji. Mudah terjadi, suami mula mudah marah terhadap isteri. Manakala si isteri pula kerap tertekan dengan ‘warna sebenar suaminya’.Saya masih ingat kata-kata Profesor Abdullah al-Ahsan di UIA ketika mengulas tentang Romanticism, “kita selalu tidak rasional dan realistik semasa kita romantik!”. Mungkin di awal perkahwinan, romantik itu kuat mendominasi rumah tangga. Ketika itu suami fokus kepada isteri dan isteri pula fokus kepada suami. Tetapi ketika munculnya anak pertama, kedua-duanya beralih fokus kepada anak dan selepas muncul anak kedua, fokus itu perlu diubah suai lagi. Semasa itulah, rumahtangga lebih didominasi oleh tanggungjawab dan tugas. Seronok-seronok sudah berkurang sedikit. Tetapi ia adalah proses biasa.

Hubungan suami dan isteri boleh selamat dan terus memanjat usia matang pada tahun-tahun yang berikutnya. Selamat kerana proses itu berlaku di dalam perkahwinan, bukan di luar. Ini adalah kerana, perkahwinan sebenarnya menggabungjalinkan antara cinta, kasih sayang, tanggungjawab dan peranan. Ada hari air pasang, cinta memainkan peranan. Ada hari air surut, maka tanggungjawab dan kematangan pula mengambil tugas.

Akan tetapi bagi pasangan yang berkenalan semenjak di sekolah menengah, atau di matrikulasi, tetapi selepas tiga atau empat tahun, mereka masih belum berumahtangga, hubungan mereka akan melalui proses yang sama. Malangnya proses itu berlaku di luar perkahwinan. Cinta jadi derita, tiba-tiba sahaja satu perasaan yang pelik datang, dan dengan mudah, mereka akan memutuskan hubungan tersebut. Jemu, itu sahaja.

Sebab itulah, saya sering memberi dorongan kepada adik-adik bahawa, kita tidak perlu memulakan hubungan jika dalam jangka masa terdekat, tiada kemungkinan untuk perhubungan itu dinaik taraf menjadi perkahwinan. Janganlah berjinak-jinak untuk berkawan antara lelaki dan perempuan semasa di matrikulasi, jika kita sedia maklum yang ibu bapa tidak akan membenarkan perkahwinan, kecuali selepas tamat pengajian. Komitmen ‘atas angin’ yang tidak disegerakan kepada sebuah perkahwinan, sering berakhir hanya disebabkan oleh emosi yang saya terjemahkan ia sebagai JEMU.

Syukur, saya terselamat dari ujian itu. Semenjak di Tingkatan 1, kehidupan saya di sekolah menengah amat sibuk. Pelajaran, disertai dengan usrah, gerak kerja persatuan, pertandingan-pertandingan yang disertai dan pelbagai aktiviti menjadikan saya terfokus kepada memanfaatkan umur ketika itu tanpa perlu ‘cuba-cuba bercinta’. Benarlah kata pepatah Arab:
“Air yang tidak mengalir (statik), akan merosakkan air tersebut. Pemuda yang banyak masa kosong (tidak dinamik), akan dibunuh oleh masa kosong itu”

Walau bagaimana pun, pasti sudah ramai yang telah pun berada di ‘situ’. Sudah kenal. Sudah lama kenal.

Untuk mereka, janganlah pula pendapat saya ini menjadi alasan untuk cepat seseorang itu memutuskan perhubungan. Janganlah biarkan diri kita dipandu oleh keputusan-keputusan emosi semata-mata. Jika pasangan lelaki atau perempuan sudah baik agamanya, atau yang paling utama, sedia dididik dan mahu belajar, maka terimalah seadanya.

Saya cukup terkilan apabila mendengar ada dari kalangan adik-adik, khususnya Muslimah, yang terlalu mudah mengambil keputusan memutuskan hubungan semata-mata beralasan terasa ada kesilapan malah dosa yang terselit di celah-celah perkenalannya dengan seorang lelaki Muslim yang baik. Jika pernah buat silap, bawalah bertaubat dan bukannya dengan sewenang-wenang membatalkan hubungan. Ingatlah pesan Nabi SAW,

“Apabila datang melamar kepadamu seseorang yang kamu redha agamanya dan akhlaknya, maka kawinkanlah. Jika tidak kamu laksanakan, maka akan terjadi fitnah di muka bumi dan kerosakan yang luas”. (HR. Tirmidzi)

Pesan saya kepada adik-adik di kampus, dalam soal perkahwinan ini, JANGAN TERGESA-GESA, DAN JANGAN BERTANGGUH-TANGGUH.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

~* Aku Terima Nikahnya : Erti Sebuah Perkahwinan *~


Bulan ini, sudah lima tahun saya berumahtangga, bergelar suami kepada seorang isteri. Sungguh pantas masa berlalu. Sudah separuh dekad, saya dan isteri menempuh kehidupan yang penuh dengan pelbagai teladan dan sempadan.

Perkahwinan kami tidak susah. Ketika saya mengambil keputusan untuk memperisterikan beliau, saya hanya berpandukan kepada fatwa hati. Dengan sedikit maklumat tentangnya, dan gambar yang langsung tidak membolehkan saya mengecam rupanya, saya berpegang dengan pesan Nabi SAW bahawa hati itu tenteram kepada kebaikan dan gelisah terhadap kejahatan. ‘Orang tengah’ yang juga merupakan sahabat saya memahami keputusan tersebut.

Hati saya tenang

Sebelum membuat keputusan muktamad, saya ke masjid untuk solat Isyak dan Tarawih. Malam Ramadhan yang cerah, saya menadah tangan memohon daripada Allah agar memberkati pilihan saya ini.

Cuaca dingin Disember 1998 di Kota Dublin mengiringi saya pulang dari Masjid di South Circular Road. Saya merenung langit. Kerlipan bintang bukanlah suatu pemandangan biasa di Ireland. Lazimnya siang dan malam kami diselubungi awan tebal. Namun saya semacam lega. Membuat keputusan yang baik pada malam yang baik.

Hati saya terus tenang

Saya bersetuju menerima ‘lamaran orang tengah’ tersebut dan subhanallah, bakal isteri saya juga menyatakan persetujuannya menerima sebelum melihat diri saya. Persetujuan disampaikan melalui telefon kepada ‘orang tengah’ dan saya menyambutnya dengan syukur.

Mungkin terlalu sukar untuk dibayangkan bagaimanakah begitu mudah kami berdua bersetuju untuk saling menerima, sebelum berkenalan, keluar makan-makan, berbalas-balas surat, seperti yang selalu diamalkan hari ini?

Ya, bukan sahaja orang lain, malah ahli keluarga saya sendiri kehairanan.

Kali pertama saya bersua muka dengan bakal isteri saya ialah di hadapan ibu serta bapanya.

“Tarikh bertunang sudah dipersetujui, cuma ‘mak’ nak tanya sesuatu. Kamu pernahkah melihat yang empunya diri?”, bakal ibu mertua saya bertanya. Beliau sudah pun membahasakan dirinya sebagai ‘emak’.

“Belum, mak”, saya menjawab sambil tersenyum.

Saya dapat melihat wajah abang saya yang begitu terkejut. Macam mana adiknya boleh bersetuju untuk berkahwin dengan seorang yang belum pernah ditemui? Ia terlalu ganjil untuk zaman ini. Di hadapan kedua ibu bapa, kami bertemu buat pertama kali.

Rakan-rakan yang mendapat tahu tentang pertunangan saya dengan seorang ‘bakal doktor’ amat terkejut.

“Anta gilakah, Hasrizal? Kahwin dengan doktor! Anta tak takut kena tinggal?”, tanya seorang rakan saya.

“Nabi SAW lagi sibuk dari saya. Isteri baginda lebih sibuk dari seorang doktor. Tapi rumah tangga mereka adalah yang paling bahagia. Tentu ada formulanya!”, saya menjawab dengan selamba.

Mudah sahaja jawapan saya itu. Namun saya memang sentiasa memikirkan tentangnya. Sampai begitu sekali persepsi kawan saya. Gilakah saya ini, kerana mahu memperisterikan seorang doktor?

Cabarannya memang besar

Cabaran pertama adalah soal harga diri. Melalui didikan Islam yang kami terima dalam kuliah, tamrin, usrah dan bacaan buku, perkahwinan antara seorang ustaz dengan seorang doktor tidak pernah dianggap tidak sekufu. Apa yang penting, kedua-duanya saling berpegang kepada nilai-nilai Islam. Kami menilai kehidupan dengan penilaian yang sama dan di situlah keserasian serta persamaan itu wujud.

Namun kehidupan ini tidak seideal itu. Kami perlu berhadapan dengan persepsi masyarakat. Seandainya kami mudah tergugat oleh “apa yang difikirkan oleh orang lain”, maka tentunya kami akan keletihan menangkis sinis dan sindiran yang ada. Apalah yang ada pada seorang ustaz, jika ukurannya adalah pada sebuah kebendaan? Apakah yang mampu ditawarkan oleh seorang ustaz kerana ‘ilmu agama’ tidak pernah menjanjikan kekayaan bagi pejuangnya. Kami saling menerima, atas realiti itu.

Cabaran kedua adalah soal komitmen kerja. Memang tidak dapat dinafikan bahawa kehidupan berumahtangga adalah sesuatu yang amat mencabar bagi seorang doktor. Khususnya di peringkat housemanship (juga disebut internship). Seorang suami kepada seorang doktor akan lebih banyak ditinggalkan kerana jadual oncall yang tidak berperi kemanusiaan. Bayangkan, seorang doktor yang baru memulakan kerjayanya di sebuah hospital, masuk kerja pada jam 8 pagi hari Isnin. Beliau habis bekerja pada jam 5 petang hari Selasa, malah kadang-kadang terlajak hingga ke jam 8 malam. Keesokan harinya, Rabu, beliau akan ke hospital semula pada jam 8 pagi dan tamat kerja pada jam 5 petang hari Khamis.

Rutin begitu, menyebabkan seorang kawan saya mencadangkan supaya isterinya tidak balik ke rumah. Tidurlah di hospital. Biar dia sahaja yang datang melawat isteri di hospital. Itu lebih baik dan melegakan bagi si isteri.

Sanggupkah saya untuk berhadapan dengan semua itu?

Saya bersyukur. Ketika saya membuat keputusan untuk berumah tangga dengan seorang doktor, apa yang saya fikirkan ialah peluang saya untuk berbuat kebaikan. Saya gembira membayangkan betapa saya dapat mendidik isteri dengan pengetahuan agama Islam. Saya gembira dapat memasak yang sedap-sedap untuk isteri (sudah jemu untuk menjamu kawan-kawan bujang yang tidak pernah kenyang). Saya gembira membayangkan suatu hari nanti jika ada rezeki, saya dapat mencurahkan kasih sayang kepada anak-anak. Malah paling menggembirakan, perjuangan saya di medan Amal Islami dapat dikongsi bersama seorang isteri. Ia menyempurnakan sudut kehidupan saya.

TUJUAN BERUMAHTANGGA

Tanpa saya sedar, saya mendapat kekuatan untuk menerima kehadiran seorang isteri yang bakal sibuk, maha sibuk. Kekuatan itu datang dari satu prinsip hidup saya yang penting, ‘ERTI HIDUP PADA MEMBERI’.

Ya, saya mahu berumah tangga bukan untuk menerima. Saya berumah tangga kerana mahu memberi. Memberi kasih sayang, memberi perhatian, memberi nafkah, memberi kebaikan. Semuanya itu adalah peranan saya di dalam sebuah rumah tangga. Dan seandainya saya menerima apa-apa kebaikan dari isteri, semuanya mengundang rasa syukur, walau sekecil mana sekali pun kebaikan itu.

Saya masih ingat pesanan seorang senior saya di Belfast.

“Dalam soal berumah tangga, janganlah terlalu memilih dan hanya mencari yang paling sempurna. Jika kita mahu yang paling sempurna, maka nanti apabila kita membuat keputusan untuk menerima seseorang, kita menganggapnya sebagai seorang yang sempurna. Jika rumah tangga dibina atas fikiran seperti itu, kita tidak expect sebarang kekurangan. Maka selepas berumah tangga, hanya kekurangan isteri sahajalah yang sering terlihat di mata, kerana kita menjangkakan kesempurnaan. Terimalah seseorang, seadanya. Kebaikannya disyukuri, kekurangannya diredhai”, kata Kak Naz dan Abang Rozli semasa saya menyuarakan rancangan saya untuk berumah tangga.

Nasihat itu saya pegang hingga hari ini.

DIIJABKABULKAN

Setelah dua tahun kami bertunang, saya diijabkabulkan pada 14 September 2001 oleh ayah mertua saya sendiri. Dengan hanya sekali lafaz, sahlah hubungan kami sebagai suami dan isteri, seperti yang kami doakan.

Kami tidak berpeluang untuk lama berada di Malaysia. Kepulangan ke tanah air untuk melangsungkan perkahwinan hanya ada 8 hari. 4 hari selepas kenduri, saya dan isteri meninggalkan Malaysia untuk menyambung kembara kami di bumi Ireland.

20 September 2001, saya dan isteri melambaikan salam perpisahan kepada dua keluarga yang berkumpul di KLIA buat pertama kalinya. Perjalanan kami ke Ireland, diselubungi sedikit rasa bimbang kerana kami menaiki pesawat ke New York via Shannon (Ireland), 9 hari selepas WTC runtuh. Kawalan keselamatan yang amat ketat semasa transit di Amman, Jordan sungguh merimaskan. Kami tiba di Shannon pada pagi 22 September 2001 dan syukur semuanya berjalan lancar.

Rumah pertama kami adalah sebuat bedseat kecil di Inchagill Road, Newcastle, Galway. Ketika itu saya masih menunggu proses untuk menyelesaikan tawaran kerja saya sebagai Imam di Belfast Islamic Centre, Ireland Utara.

Kehidupan berumahtangga kami pada 3 bulan pertama, sudah menampakkan cabarannya. Isteri saya amat terbeban dengan tugasnya sebagai JHO di NUIG Hospital. Namun saya bersyukur kerana mempunyai serba sedikit keupayaan untuk menguruskan rumah tangga. Sayalah yang memasak, menghantar makan kepada isteri seandainya beliau oncall dan seterusnya menguruskan hal ehwal rumah. Mind-setting berumah tangga untuk memberi, amat kuat dalam membekalkan rasa gembira di sepanjang pengalaman itu.

Dua bulan selepas berumah tangga, saya dipanggil bertugas secara rasmi di Belfast Islamic Centre. Walaupun kedua-dua bandar itu terletak di pulau yang sama, jarak yang memisahkan tidak memungkinkan kami untuk sering bertemu. Saya terpaksa meninggalkan isteri sendirian di Galway untuk memulakan tugas di Belfast, 8 jam perjalanan dengan menaiki keretapi, melalui Dublin.

TERPISAH

Kami berpisah. Ia tidak mudah. Namun kerana ‘ada’nya Allah, kami saling merestui pengorbanan ini. Seperti yang Ustaz Pahrol Mohamad Juoi tuliskan di dalam lirik nasyidnya, “Bertemu tidak jemu, berpisah tak gelisah”.

Selepas 6 bulan isteri saya berkhidmat di NUIG Hospital, beliau berpindah ke hospital lain di Letterkenny yang terletak hampir 5 jam perjalanan ke utara Galway. Kali ini isteri saya sudah tidak terlalu jauh. Letterkenny hanya 3 jam perjalanan dengan menaiki bas ke Belfast.

Tetapi, saya pula menghadapi kesulitan untuk melawatnya di Letterkenny. Saya bertugas sebagai Imam dan dalam masa yang sama menjadi Pengetua di Belfast Islamic School. Sekolah itu beroperasi paling utamanya di hujung minggu. Maka pada hari Sabtu dan Ahadlah saya menjadi paling sibuk. Oleh itu, isteri sayalah sekali lagi banyak berkorban. Setiap Jumaat selepas habis bekerja, beliau akan menaiki bas menuju ke Belfast.

Saya pula banyak menghabiskan masa di masjid dan sekolah di sepanjang Sabtu dan Ahad. Jika mendapat kelulusan Direktor Masjid, maka barulah saya berpeluang untuk menemani isteri pulang ke Letterkenny pada hari Ahad dan pulang semula ke Belfast pada pagi Isnin. Demikianlah kehidupan kami di sepanjang 6 bulan kedua perkahwinan.

Isteri saya telah mengandungkan anak pertama kami ketika bertugas di Galway lagi. Maka di sepanjang perkhidmatannya di Letterkenny, beliau menempuh kehidupan yang amat sukar dengan keadaan kami yang berjauhan. Beberapa kali isteri saya pengsan semasa bertugas, dan mujurlah Consultant beliau begitu memahami keadaan ini. Saya dihubungi dan dinasihatkan supaya memberi perangsang dan semangat kepada isteri.

Sedikit kecewa, seorang Konsultan berbangsa Irish boleh begitu profesional dalam mengendalikan pekerja bawahannya, sedangkan beberapa orang doktor Muslim lain yang bertugas bersama isteri saya menuduh isteri saya ‘gila’ kerana mengandung semasa bekerja sebagai JHO!

MENYAMBUT CAHAYA MATA PERTAMA

Syukur Alhamdulillah, rumah tangga yang dibina tambah berseri ketika menerima ketibaan cahaya mata pertama kami, pada subuh 6 Julai 2002 di Royal Maternity Hospital of Belfast. Selepas azan dilaungkan, saya namakan anak kecil yang comel ini sebagai Muhammad Saiful Islam bin Hasrizal.

Isteri saya bercuti selama hampir 6 bulan. Apabila beliau kembali bertugas sebagai SHO Haematology di NUIG Hospital di Galway, saya terpaksa meninggalkan Belfast. Tidak dapat dibayangkan kami hidup berpisah selepas mempunyai seorang anak.

Selepas mengikut isteri berpindah ke Selatan, kehidupan kami semakin bahagia. Saya berasa agak tenang kerana selama bertugas di Belfast, saya sentiasa berada di dalam keadaan tertekan. Sama ada disebabkan oleh bebanan kerja, mahu pun oleh gangguan polisi-polisi kerajaan Britain yang amat menyusahkan kehidupan saya sebagai seorang Imam.

Republic of Ireland lebih tenang. Saya bertugas secara sambilan membantu Imam Khalid di Galway, khususnya untuk mengimamkan Solat Jumaat.

Selepas 6 bulan, kami berpindah ke Tallaght di selatan Dublin dan 6 bulan kemudian kami berpindah sekali lagi ke Naas, di County Kildare.

PULANG KE MALAYSIA

Pengajian Master saya di The Open University, UK terpaksa ditinggalkan apabila isteri saya dipanggil pulang untuk berkhidmat di Malaysia. Perjalanan kami di Ireland berakhir pada 29 Julai 2004.

Tidak lama selepas itu, rumah tangga kami diserikan pula oleh ketibaan cahaya mata kami yang kedua, puteri kami yang diberi nama Naurah Sabihah binti Hasrizal. Terasa bagai lengkap keluarga saya apabila menerima sepasang cahaya mata, seorang lelaki dan seorang perempuan. Puji buat-Mu ya Allah.

Kehidupan berumah tangga di Malaysia jauh lebih mencabar. Kami berdepan dengan kehidupan yang sibuk dan amat menekan. Kami sesekali membayangkan, kehidupan yang ‘seperti orang lain’. Habis kerja pulang ke rumah. Hujung minggu bersiar-siar di taman, membeli barang keperluan di pasar, dan melawat sanak saudara yang jauh dan dekat.

Namun, selepas bertahun kami mendirikan rumah tangga, kami tidak pernah lupa bahawa pertemuan yang menyatukan kami, adalah pada sebuah perjuangan. Sebagaimana kehidupan kami sebelum berumah tangga penuh dengan aktiviti-aktiviti Islam, membantu menyebarluaskan agama Allah, maka kehidupan seperti itu jugalah yang menghiasi perjalanan bahtera rumah tangga kami ini.

Kesibukan kami tidak pernah berkurang, malah jadual saya semakin ketat.

ERTI KEBAHAGIAAN

Beberapa hari yang lalu, saya menerima sms dari seorang pelajar yang pernah mengikuti kursus yang saya kendalikan.

Katanya, “Ustaz, apa yang saya sedar selama ini, ramai orang merasa bahagia dan gembira apabila dapat meluangkan banyak masa bersama keluarga. Namun, pada hemat saya, ustaz mempunyai masa yang amat terhad bersama keluarga. Jadi, apa erti kebahagiaan dalam hidup ustaz? Harap, soalan ini mudah untuk dijawab. Bukan soalan, tetapi minta ustaz kongsi dengan saya jika tidak keberatan.”

Saya termenung. Kebetulan semasa itu saya sedang out station di Labuan. Berikut adalah jawapan saya kepadanya,

“Kebahagian rumah tangga bukanlah pada kuantiti masa yang diluangkan bersama isteri dan anak-anak. Penentunya adalah kualiti. Berapa ramai yang meluangkan banyak masa bersama keluarga, tetapi hakikatnya mereka tidak bersama. Mereka sebumbung tetapi masing-masing mengadap TV, tidak berkomunikasi. Ustaz sentiasa cuba pastikan setiap masa yang ada untuk bersama isteri dan anak-anak, digunakan sebaik mungkin untuk benar-benar bersama. Lihatlah Ismail alayhi al-Salaam. Sering ditinggalkan bapanya. Tetapi Ismail tidak pernah memusuhi Ibrahim. Mereka bertemu kerana Allah, mereka berpisah kerana-Nya jua.”

PENGHARGAAN BUAT SEORANG ISTERI

Terima kasih kepada isteri saya kerana bersabar dengan segala ujian yang menimpa kehidupan selama ini. Terima kasih kerana bersama saya menyedari bahawa kita tidak mungkin hidup tanpa ujian kerana ujian-ujian itulah sebenarnya kehidupan kita.

Terima kasih juga kepada isteri saya kerana tidak menambat kaki ini untuk terikat di rumah. Seorang isteri yang menghalang suaminya keluar berjuang, akan sentiasa memiliki suami yang sentiasa mahu keluar. Seorang isteri yang menggalakkan suaminya keluar berjuang, akan sentiasa menerima kepulangan suami yang sentiasa berusaha untuk pulang. Perginya suami atas dorongan isteri, adalah pemergian yang dibayangi kepulangan.

Terima kasih kepada isteri yang mentaati Allah. Kerana ketaatan kita kepada Allah, kita tidak gelisah untuk berpisah. Saya sentiasa percaya bahawa isteri saya mentaati Allah dan dijaga oleh Allah sepanjang pemergian saya. Isteri saya juga percaya bahawa saya mentaati Allah dan dijaga-Nya sepanjang masa saya meninggalkan rumah.

Kepada adik-adik remaja, khususnya mereka yang di bangku menara gading, jauhilah maksiat bercouple atau apa sahaja perlakuan mungkar kerana semuanya itu saling membuktikan kepada Allah bahawa kalian berdua amat berani mendurhakai Allah. Rumah tangga dibina bukan hanya atas cinta, tetapi juga pada saling mempercayai. Jika Allah sudah diingkari, siapa lagikah yang boleh dijadikan tempat meletakkan kepercayaan? Dosa semalam akan pasti menjadi kecurigaan hari ini, esok dan selamanya…

Semoga cinta dan kasih kepada isteriku terus mekar pada sebuah rumah tangga yang dibina atas rasa kehambaan. Hamba yang sering memikirkan peranan, dan gemar memberi kebaikan. Apabila peranan saling ditunaikan, berhasillah segala hak yang ditentukan. Moga Allah terus mengurniakan kepadaku, isteri dan anak-anak, kesejahteraan dan kebahagiaan hidup, dengan siraman barakah dari Allah, Tuhan yang kerana-Nya, kami bertemu. Ameen…

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Cheras

~* Aku Terima Nikahnya : Mencari Kekasih: Tanpa Kasih Sayang Peraturan Jadi Beban*~


“Abah selalu tak ada di rumah. Kalau abah betul sayangkan kita, kenapa abah jarang ada di rumah?”, Amin mencebikkan muka kepada ibunya.

“Tapi Amin, abah tetap abah kita. Walaupun dia selalu tiada di rumah, dia menyayangi kita dari jauh. Dia tidak pernah lupakan kita. Amin tak bolehlah buat macam itu.”, Salina cuba memujuk anaknya.

Sayang dari jauh? Bagaimanakah yang dimaksudkan dengan sayang dari jauh itu? Mampukah Amin memahami maksud pujukan ibunya, bahawa ayah yang selalu tiada di depan mata itu, menyayangi keluarganya dari jauh? Amin tidak berpuas hati.

“Sudahlah tiada di rumah, lepas tu bila balik, asyik garang-garang sahaja. Ini tak boleh itu tak boleh”, Amin terus memberontak serta meluahkan isi hatinya yang terbuku selama ini. Suasana rumah yang dipenuhi dengan ‘boleh’ dan ‘tidak boleh’, cukup merimaskan.

“Rumah ini kan rumah abah. Abah berhak untuk menentukan peraturannya. Bila Abah kata yang Amin tidak boleh tengok televisyen selepas pukul 9 malam, Amin kenalah patuh. Ini rumah abah dan Amin kena ikut peraturan abah.”, Salina masih tidak berputus asa dan terus cuba memahamkan anaknya kenapa dia mesti patuh kepada ‘boleh’ dan ‘tidak boleh’ yang diputuskan oleh suaminya, seorang ahli perniagaan yang tinggal di seberang laut.

Salina tahu, suaminya perlu bertegas dan memberikan banyak peraturan untuk dipatuhi oleh Amin malah dirinya sendiri. Hanya dengan peraturan ini, rumah tangganya yang ditinggalkan di tanah air, terpelihara dan selamat.

“Ye lah, ye lah. Amin patuh, Amin taat. Nanti kalau lawan, kata anak durhaka pula!”, Amin terus masuk ke bilik dan menghempaskan pintu.

Sukar sekali untuk Amin menerima peraturan rumahnya. Walaupun dia sedar yang ayahnya meletakkan syarat-syarat dan peraturan itu untuk kebaikan dirinya, namun ia dipatuhi dengan hati yang berat. Puncanya mudah sahaja. Amin dipaksa mengikut peraturan seseorang yang mendakwa menyayanginya, tetapi dia sendiri tidak pernah ada sebarang bukti bahawa ayahnya memang menyayanginya. Tanpa kasih sayang, mematuhi peraturan dan kehendak seseorang, amatlah berat dan membebankan.

DENGAN CINTA, MANUSIA SUKA DIARAH

Berbeza pula dengan seorang lelaki yang sedang mabuk bercinta.
“Alahai bang. Saya tak sukalah abang pakai baju merah ini. Abang kan tahu yang saya tak suka warna merah macam ini?”, kata seorang perempuan kepada kekasihnya.

“Oklah sayang, abang bakar baju ini!”, jawab lelaki itu.

Ya, bukan sahaja baju itu diketepikan, malah sanggup pula sampai membakarnya. Mengapa keadaannya begitu? Mudah sahaja, kerana adanya cinta, hati sentiasa suka disuruh. Suka diperhambakan. Malah lautan api pun sanggup direnangi. Mungkin kerana itu ramai yang sanggup merenangi kemurkaan Allah berupa api neraka, kerana cinta yang buta lagi membutakan. Ya, berilah kasih dan cinta, nescaya apa sahaja kehendak dan kemahuan, akan menjadi perjuangan kekasihnya. Itulah kuasa cinta.

Hal ini tidak berlaku di dalam rumah tangga hari ini. Kita sudah terperangkap di dalam suatu kehidupan yang meragut kita daripada duduk di rumah dengan pasangan dan anak masing-masing. Kita banyak duduk di luar, kita bekerja sampai petang, kadangkala sampai malam. Cari rezeki bawa pulang, buat orang yang tersayang. Itulah kata Ramli Sarip dalam ‘Nyanyian Serambi’nya.

Akibat itu, banyak perkara yang selama ini sangat sinonim dengan ibu dan bapa, terpaksa dipindahkan kepada pihak ketiga. Selalunya, anak-anak ada masakan ibu yang menjadi favourite mereka. Tetapi anak-anak membesar dengan makanan yang dimasak oleh pembantu rumah. Hujung minggu, makan di luar pula.

Bermain-main dengan ayah di waktu petang, memimpin tangan anak-anak memanjat papan gelungsur, adalah imaginasi kita terhadap sebuah keluarga yang ‘normal’. Tetapi hari ini, tangan itu bukan lagi tangan bapa. Ia tangan pembantu rumah, cikgu TASKA, atau bagi yang sudah sedikit remaja, tangan rakan-rakan sebaya.

Imej ayah dan ibu hari ini, adalah dua manusia yang sering tiba di rumah kepenatan, mudah marah dan hanya mampu bertanya khabar dengan acuh dan tidak acuh sahaja perihal anak-anak mereka. Corak kehidupan seperti ini sudah menjadi kebiasaan. Namun kebiasaan ini sedang memberanakkan satu generasi yang songsang. Generasi itu adalah generasi yang KESUNYIAN.

GENERASI YANG KESUNYIAN

Kesunyian anak-anak yang tidak mendapat kasih sayang ibu bapa, tidak sama dengan kekecewaan anak tidak mendapat patung robot idamannya. Robot yang diidamkan itu, mudah dilupakan selepas beberapa ketika. Namun kehilangan kasih dan sayang adalah seperti dahaga yang tidak bertemu minum, lapar yang tidak bertemu makan. Fitrah mereka kosong, seperti tanah subur yang terbiar.

Tanah subur itu berpotensi untuk menumbuhkan hasil yang pelbagai. Buah-buah yang ranum, hasil tumbuhnya pokok di tanah yang subur itu, amat manis rasanya, malah memandangnya sahaja pun sudah menjadi penyejuk mata. Qurratul A’yun, kata doa kita.

Tetapi jiwa anak yang bersedia untuk mengasihi ibu bapa sebagai wasilah untuk mengasihi dan mentaati Allah itu, mesti dibajak, ditabur dengan benih iman, dan dijaga dengan kecukupan segala keperluannya. Barulah hasilnya jadi seperti yang sepatutnya. Tanpa itu semua, tanah yang subur akan menumbuhkan lalang dan rumput yang penuh duri.

Jiwa generasi hari ini, adalah jiwa tanah subur yang terbiar. Akhirnya keupayaan anak-anak untuk mengasihi, berpindah kepada mencari kekasih yang bukan kekasih. Pencarian itu menemukan kasih yang membinasa berupa dadah, dan segala gejala sosial yang tiada noktahnya. Walaupun dadah, arak dan seks itu merunsingkan kita, ia bukanlah masalah sebenar. Ia adalah bahasa generasi itu yang mahu memperkatakan sesuatu. Mereka mahu memberitahu kita, bahawa mereka dilahirkan sebagai kekasih. Tetapi kekasih itu tidak dikasihi, kasihnya tidak dibalas. Kerana itu, mereka perlu mencari kekasih lain. Dan kekasih yang ditemui itu adalah kebinasaan yang tiada jalan berpatah pulang.

Ya, ibu bapa harus sedar. Mengajar ABC atau Alif Ba dan Ta, mungkin boleh di’swasta’kan kepada guru. Soal membasuh kain dan memandikan anak-anak, mungkin boleh diberikan kepada orang lain. Tetapi soal kasih dan sayang, perhatian dan belaian, dari ibu malah bapa, tiada pengganti. Tidak mungkin boleh diganti. Manusia yang paling penyayang, tidak dapat memberikan kasih seorang ibu atau bapa kepada budak yang bukan anaknya.

Dan jika kasih sayang itu tidak diberi, maka anak-anak menjadi seperti insan yang terdampar di padang pasir. Gersang, dahaga dan derita, yang fitrahnya menagih hanya satu, air!

Jika dahaga menagih air, lapar menuntut makan, maka kedahagaan anak-anak terhadap kasih dan sayang ibu bapa, hanya boleh diubat dengan kasih dan sayang ibu bapa. Itu fitrahnya, itu peraturannya. Jika dahaga diberi bantal, mengantuk dihulur makan, ia tiada makna, dan silap-silap berbalas marah. Anak mahukan kasih sayang, benak benar jika ibu dan bapa menghulurkan material lain, walau semahal mana pun ia, sebagai ganti kepada kasih sayangnya.

KASIH IBU BAPA, WASILAH MENGASIHI PENCIPTA IBU BAPA

SETERUSNYA, mampukah tanpa kasih sayang ini, anak-anak diharap dapat mematuhi peraturan? Jawablah dengan penuh yakin, bahawa TIDAK. Inilah rahsia mengapa Allah melantik ibu dan bapa sebagai guru pertama kepada setiap bayi yang lahir ke dunia. Oleh kerana ibu dan bapa adalah manusia yang paling kaya dengan cinta dan kasih kepada anak-anak mereka (rujuk artikel Cinta Tanpa Syarat), maka merekalah yang secara fitrahnya boleh menurunkan peraturan Aqidah, Syariat dan Akhlak kepada anak-anak.

Anak-anak berupaya untuk menurut peraturan rumah masing-masing, jika rumah itu kaya dengan kasih dan sayang ibu bapa. Dari situ jugalah, ibu bapa boleh mendidik anak-anak untuk menurut peraturan Allah, kerana didikan itu datang daripada dua insan yang paling menyayangi anak-anak tersebut. Dengan kasih sayang seorang ibu dan bapa, anak itu boleh diYahudikan, boleh diNasranikan, boleh diMajusikan malah boleh menjadi Mulhid. Kasih sayang ibu dan bapa boleh mengajak anak-anaknya beragama seperti mereka, dengan umpan berupa kasih dan sayang mereka kepada anak-anak. Malah bukan hanya semasa kecil. Ketika si anak beransur dewasa dan terbaring menghadapi Sakaratul Maut, ‘kasih ibu’ jualah yang menjadi umpan syaitan untuk mengajaknya mati dalam kekufuran. Naudhubillah. Itulah kuasa cinta dan kasih ibu, serta bapa.

Janganlah terkejut andai anak-anak begitu keras kepala untuk bersetuju dengan do’s and don’ts ibu bapa, jika antara mereka tiada kasih sayang. Pada anak, tidak perlu sampai didera atau diseksa. Cukup sekadar ibu dan bapa sibuk dengan diri masing-masing, ia sudah cukup untuk mereka tafsirkan sebagai BENCI.

“Ibu dan bapa yang hanya tahu membawa anak-anak mereka lahir ke dunia, adalah ibu bapa yang memBENCI kami!”

Buat tak reti adalah salah satu cara mempamerkan KEBENCIAN ibu bapa kepada anak-anak. Anak-anak ini menderita.

Inilah kumpulan remaja yang ramai saya temui di pelbagai siri kursus. Mereka adalah generasi yang hairan, ibu dan bapa mereka sibuk bekerja untuk apa. Anak-anak ini kesunyian, dan mereka hilang upaya untuk memberikan tindak balas kepada peraturan hidup, kerana mata kailnya tidak berumpan. Umpan yang dimaksudkan itu adalah perhatian serta kasih dan sayang ibu bapa. Kasih sayang ibu bapa adalah kurniaan Allah kepada sebuah keluarga untuk mereka semua mengasihi dan menyayangi Dia, Pemberi kasih dan sayang itu.

Ibu bapa sering kehairanan, mengapa anak mereka degil dan enggan patuh. Makin bertambah umur, makan berani anak-anak ini mengabaikan do’s and don’ts ibu bapa mereka.

Ibu bapa ini terlupa, bahawa KEPATUHAN adalah buah KASIH SAYANG.. Berilah cinta, berilah kasih, nescaya patuhlah mereka yang sedang menikmati cinta dan kasih itu.

KASIHI RASULULLAH, TAPAK MEMATUHI SUNNAH DAN MENJAUHI BID’AH

Malah dalam konteks yang lebih luas, masyarakat tidak mungkin boleh menerima pendekatan hukum HALAL dan HARAM, jika ia tidak berlandaskan kasih dan sayang. Sayangkah masyarakat kita kepada Allah untuk mereka peduli tentang HALAL dan HARAM? Sayangkah masyarakat kita kepada Rasulullah, untuk mereka prihatin tentang SUNNAH dan BID’AH?

Tanpa kasih dan sayang, soal Halal dan Haram serta Sunnah dan Bid’ah adalah beban yang merimaskan. Sunnatullah telah pun menetapkan kepada kita bahawa KEPATUHAN adalah buah KASIH SAYANG.

Kamu adalah sentiasa bersama dengan siapa yang kamu sayang!

Inilah yang mesti menjadi renungan para ustaz, pendakwah dan muallim yang berada di tengah-tengah masyarakat. Selama ini, persoalan tentang apa yang boleh dibuat dan apa yang tidak boleh dibuat, semakin hari semakin sukar untuk dihayati oleh masyarakat. Pernahkah kita fikirkan tentang puncanya?

Sebagaimana anak susah hendak patuh perintah ayah yang tidak kelihatan kasih dan sayangnya, maka begitu jugalah dengan masyarakat kita hari ini. Mustahil untuk mereka mampu menghayati persoalan Sunnah dan Bid’ah, Dosa dan Pahala, Halal dan Haram, jika tiada kasih dan sayang kepada Allah dan Rasul di situ. Jika ada yang patuh sekali pun, kepatuhan itu berupa paksa rela dan membarah di dalam hati.

“Ya, dah Nabi cakap macam tu, berani aku nak lawan? Ikut ajelah”, ini suara-suara hati yang sedang memaksa diri untuk mematuhi Islam, tanpa kasih dan sayang. Dalam apa jua keadaan sekali pun, manusia memang dijadikan Allah fitrahnya inside-outside. Segalanya adalah dari dalam ke luar. Maka kepatuhan seseorang kepada Syariat Allah mestilah sesuatu yang datang dari dalam ke luar.

Ia tidaklah sama sekali bermaksud, peraturan dan undang-undang itu tidak perlu. Namun, jika kita bergantung kepada penguatkuasaan semata-mata, maka lihat sahajalah kesannya. Bukan sahaja golongan dewasa, malah ramai pelajar sekolah agama yang ‘pencen awal’ daripada menjadi orang agama, sebaik sahaja meninggalkan bangku persekolahan. Isunya terlalu subjektif, tetapi tidak rugi untuk sistem Tarbiyah di sekolah-sekolah dinilai dari semasa ke semasa. Jika selama ini, kepatuhan murid hanya dicapai melalui pemaksaan tanpa ada redha serta kasih dan sayang dari dalam diri murid itu sendiri, maka sesungguhnya 5 tahun di sekolah agama, hanyalah sebuah kegagalan yang diwarisi secara berulang-ulang.

Pendakwah, ustaz dan muallim mesti mencari jalan, bagaimanakah caranya untuk mereka memindahkan kasih sayang Allah dan Rasul kepada mad’u. Apakah caranya untuk masyarakat boleh merasakan bahawa dirinya disayangi oleh Allah dan Rasul?

KASIHKAN NABI HARGA ILMU DIRAYAH HADITH NABI

Persoalan ini adalah persoalan yang besar. Janganlah sekali-kali kita disibukkan dengan proses mengenalpasti kesahihan Hadith semata-mata, tetapi tidak pernah peduli tentang cara melaksanakan isi kandungan Hadith yang telah dibuktikan sahih itu. Jangan terpedaya dengan belitan Iblis, yang menipu Ahli Hadith agar hidupnya hanya sibuk dengan status hadith, tetapi alpa terhadap isi kandungan Hadith itu sendiri. Maka persoalan ini adalah sebahagian daripada alat yang diperlukan oleh gerakan membangunkan Sunnah!

Pendakwah perlu tahu, bahawa kasih dan sayang bukan hujah dan debat. Ia bukan perkataan tetapi perbuatan. Ia bukan bahasa lisan, tetapi bahasa badan. Kasih dan sayang adalah sesuatu yang dikecapi melalui lisan hal kita kepada insan yang disayangi. Tentunya belaian tangan ibu yang mengusap rambut anaknya, lebih berharga daripada sekadar ucapan, “Ummi sayangkan Amin”, apatah lagi jika pengucapannya dibuat melalui SMS.

Kita boleh mencari pelbagai nas untuk menerangkan tentang erti kasih dan sayang. Namun ia seperti manis gula yang hanya boleh difahami kemanisan itu oleh manusia yang menjamahnya.

Tidak mungkin lagi bagi manusia hari ini, dapat mengecapi sentuhan kasih dan sayang secara fizikal oleh Nabi Muhammad SAW. Jika dulu, sahabat mendengar, melihat dan merasa kasih sayang Baginda, namun kita tiada peluang itu.

Senyuman Nabi SAW yang indah itu, kita hanya membacanya di dalam teks al-Sunnah. Bersahajanya Baginda SAW bergurau dengan isteri dan rakan, dewasa dan kanak-kanak, hanya dapat kita temui pada lembaran-lembaran buku yang kaku. Pastinya kemahuan untuk dikasihi oleh Rasulullah SAW itu terlalu sukar untuk dibayangkan atau difahami oleh masyarakat hari ini. Maka, bagaimanakah mereka boleh mengasihi Rasulullah, sebagai kunci kepada kemahuan untuk mentaati ajarannya?

Ulama’ Itu Adalah Pewaris Para Nabi

Ya, itulah jawapannya. Para Ulama’ adalah pewaris Nabi. Merekalah yang menyambung perjuangan dan risalah para Nabi. Oleh itu, warisilah ajaran para Nabi itu dengan sebaiknya. Janganlah yang diwarisi itu hanya riwayat-riwayat yang dihafal pada lidah dan bibir.

Bagaimana dengan keindahan budi dan akhlak Nabi SAW? Bagaimana dengan kesegaran senyuman Baginda SAW? Bagaimana dengan sikap sabar dan toleransi Baginda SAW terhadap kawan dan lawan? Bagaimana dengan watak Nabi SAW yang begitu cool membiarkan cucunya memanjat tubuh tatkala Baginda SAW sujud? Tidakkah semua keindahan itu adalah sebahagian daripada apa yang diwariskan oleh Baginda SAW kepada kita?

Maka, sebelum bercakap tentang PERATURAN HALAL dan HARAM, SUNNAH dan BID’AH, pamerkanlah terlebih dahulu rasa prihatin, upaya memahami sebelum difahami, serta kasih dan sayangmu kepada manusia. Jika mahu menyampaikan mesej kasih sayang Nabi SAW, just be the message!

Ketika lisanmu tekun menyebut tentang ketinggian Sunnah, biarlah pada masa yang sama tubuh badan serta wajahmu menjadi cermin akhlak dan kasih sayang pemilik Sunnah. Jadikan dirimu sebagai jendela, untuk masyarakat menjenguk kepala mencari kasih dan sayang Nabi SAW.

Senyumlah sedikit wahai pendakwah, maniskan wajah dan elokkan budi pekerti. Janganlah asyik diselubungi marah kerana ia cermin BENCI penghalang HIDAYAH.

People don’t care how much you know until they know how much you care. Do you care?

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Cheras

~* Aku Terima Nikahnya : Dosa Kita Mengatasi Kesalahan Anak-anak *~


“Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan ahli keluargamu daripada api neraka, yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu berhala. Di atasnya ada malaikat yang amat kasar lagi keras perlakuannya. Mereka tidak mengengkari Allah apabila disuruh dan mereka tentu melaksanakan apa yang diperintahkan” [Surah al-Tahrim 66 : 6]


Saya masih ingat, semasa saya di Ireland, usaha saya mendidik dan membesarkan Saiful Islam, ternyata amat mudah. Malah saya setiap hari memanjatkan syukur kepada Allah kerana Saiful Islam amat mudah untuk diurus. Dengan tugas saya sebagai Imam, saya tidak keberatan untuk membawa anak sulung saya ke masjid, saya baringkan di kepala sejadah dan matanya berkelip-kelip melihat saya menyampaikan khutbah Jumaat.

Semasa itu, untuk saya menegurnya ketika dia melakukan kesalahan, caranya amat mudah. Saya tunding jari, tanpa perlu membuka bicara, Saiful Islam sudah menghamburkan air mata takutkan ‘kemarahan’ saya. Tidak dinafikan, ketika itu mungkin usia anak saya baru setahun dua. Memang tidak susah menjaganya. Tetapi apabila saya fikirkan, hari ini saya tetap saya yang sama. Anak bertambah, usia mereka juga bertambah, tetapi mereka tetap berayahkan ayah yang sama. Tetapi kenapa hari ini, fikiran saya selalu kusut memikirkan mereka?

Ya, suasana di Ireland amat saya rindui. Saya duduk di negara Kuffar, tetapi usaha mendidik anak memang mudah dan menggembirakan. Saya tidak menyesal menjadi ‘suri rumah’ selama beberapa tahun. Saya bertugas secara sambilan di beberapa masjid, menyambung pengajian Master secara distance learning dengan The Open University, UK, dan sambil itu saya menjaga soal makan minum, hal ehwal rumah tangga, dan Saiful Islam membesar di depan mata.

Itu lebih baik, daripada saya bekerja sebagai kasyer di pasar raya, kemudian semua gaji dibayar kepada nursery yang mencecah harga ratusan Euro sebulan. Masakan tidak, semua nanny memegang Ijazah Early Childhood Learning malah mahir pula dengan rawatan kecemasan Paedriatrik dan first aid.

Namun saya gembira membesarkan anak dengan tangan saya sendiri. Isteri saya sibuk bekerja di wad kecemasan hospital, shifnya tidak tentu siang malam. Maka saya mengambil alih tugas di rumah. Setiap pagi saya mandikan anak, menyalin bajunya, menggoreng kentang atau pasta kosong untuk sarapan. Saya bermain bersamanya seketika, kemudian ke dapur memasak untuk makan tengah hari. Saiful Islam tidur semula sekitar jam 11 dan saya naik ke bilik ulangkaji untuk membuat assignment. Zohor kekadang di masjid, jika cuaca baik. Tengah hari saya qailulah seketika, solat Asar dan kemudian membawa Saiful Islam ke hospital untuk mengambil isteri saya dari tempat kerjanya, pulang bersama sambil menghirup udara petang yang segar. Ketika di Naas, kadang-kadang kami melencong ke belakang hospital bersama roti keras yang saya bawa dari rumah, untuk memberi burung undan di tasik, makan petang bersama kami. Saya mencampak roti ke tasik, Saiful Islam dan Umminya turut sama.

Jika isteri saya oncall, saya akan ke hospital menghantar nasi dan lauk, khususnya semasa isteri saya mengandung anak kedua kami, Naurah Sabihah. Suasana ketika itu memang nyaman, fikiran saya tenang dan prolifik, kegiatan kemasyarakatan banyak dan saya sanggup mengayuh mountain bike selama 2 jam untuk memberi kuliah Tafsir Surah Yasin kepada adik-adik yang tinggal di South Circular Road, Dublin.

Itulah suasana saya membesarkan anak ketika di Ireland. Memang hati kami sunyi tidak mendengar laungan azan dari menara masjid bertahun lamanya. Namun derita melihat laungan azan tidak diendahkan di Malaysia, lebih menghiris rasa.

Hari ini saya sudah pulang ke Malaysia. Cabaran membesarkan anak-anak semakin meruncing.

Semasa di Ireland, saya pernah berbual dengan isteri sambil merenung daun-daun perang gugur di petang musim luruh.

“Abang rasa, kita hanya boleh tinggal di Ireland sampai usia anak kita mencecah umur tadika. Apabila dia perlu bersekolah, kita harus pulang ke Malaysia”, saya meluahkan pandangan tentang perancangan masa depan kami.

Isteri saya mengangguk tanda setuju.

Saya berfikiran begitu kerana saya khuatir dengan Aqidah anak saya. Tentu sahaja saya patut risau. Semasa bertugas sebagai Pengetua dan guru di Belfast Islamic School, saya ada banyak pengalaman yang menakutkan. Selain kisah di Belfast Zoo dan cerita evaluation test anak-anak murid kami, saya juga tidak lupa kepada suatu insiden di sebuah pasar raya di Lisburn Road, Belfast. Seorang anak muda bekerja sebagai kasyer di situ dan tag namanya tertulis “OMER”. Wajahnya ada iras Irish dan ada sedikit iras Asia. Apabila ditanya sama ada beliau Muslim atau tidak, beliau termenung seketika dan berkata, “my father is a Moslem!”

Aduh, adakah krisis identiti itu yang mahu saya risikokan kepada anak-anak dengan menyekolahkan mereka di Ireland? Tentu sekali tidak.

Tetapi selepas pulang ke Malaysia, pandangan saya berubah sama sekali. Kadang-kadang saya menangis sambil merenung jauh dari tingkap rumah kami, “apakah selamat anakku membesar di Malaysia?”

Ya, semasa di Ireland, saya kira amat mudah untuk saya gariskan batas-batas Iman dan Kufur kepada anak-anak.

“Jangan ikut perangai Spencer itu, dia bukan orang Islam!”, saya boleh menyebut begitu kepada Saiful Islam dan Naurah.

Apabila anak-anak pulang ke rumah, saya boleh berbicara dengan mudah bahawa yang jahat itu bukan Islam, bagi mereka agama mereka, dan bagi kita Islam yang satu. Garis hitam putih amat jelas.

Tetapi bagaimana di Malaysia? Spencer, Ah Meng, Ravin, Shahril, semuanya lebih kurang sama. Perangai dan akhlak tidak banyak berbeza. Grey area melebar luas. Nak dikatakan tidak Islam, dia Islam. Tetapi kelakuannya tidak mencerminkan agama di kad pengenalannya. Habis, mudahkah saya menerangkan semua ini kepada anak-anak? Saya tabik kepada rakan yang sanggup menyekolahkan anak-anak di SRJK(C), walau pun terpaksa berulang ke sekolah menghantar bekal makanan sendiri. Semuanya kerana mereka mahu anak-anak membesar di dalam suatu suasana yang garis hitam dan putihnya jelas. Mampukah saya begitu? Entahlah…

Lebih menyedihkan, sabar saya tidak seperti sabar saya semasa di Ireland. Hari ini apabila anak-anak buat semak, ada kalanya macam mudah benar untuk darah saya tersirap. Terutamanya apabila saya pulang ke rumah selepas dua jam meredah lautan kereta. Syukurlah saya banyak berusaha membaca dan belajar tentang topik-topik yang membina sikap pro aktif. Saya cuba menapis setiap insiden, agar saya memberikan respond yang tepat dan bukannya marah berbalas marah, geram berbalas geram, degil berbalas cubit dan sebagainya.

Saya sentiasa berasa malu apabila membaca kisah keluarga Stephen Covey. Profesyennya sama seperti saya. Kami selalu out station untuk memberikan training. Jadual kami ketat. Tetapi Stephen Covey, mempunyai 9 anak dan dia tidak pernah terlepas daripada menghadiri majlis dan peristiwa yang penting berkaitan dengan anak-anaknya. Bukan suatu yang mudah untuk seorang American membesarkan 9 anak. Saya yang dua ini pun sudah pening kepala.

Sebab itu jugalah saya tidak suka memarahi anak-anak dengan tengking dan leteran. Lagi banyak kita menengking, lagi cepatlah bisanya hilang. Saya tidak percaya kepada pendekatan marah sebagai teknik default menegur kesalahan anak. Berapa ramai yang menjadi baik hasil siri marah di sepanjang usia membesarnya? Apa yang pasti, anak yang selalu dimarahi akan menjadi pemarah dan kemudiannya bakal memarahi anak-anaknya pula suatu hari nanti. Ingat, anak kita mungkin gagal mengikut kata-kata kita, tetapi mereka tidak akan gagal meniru perangai dan tingkah laku kita sebagai ibu dan bapa. Jika anak kita buruk kelakuan, jangan cari sebab yang jauh. Anak-anak adalah cermin wajah ibu dan bapa mereka.

Ya memang marah itu perlu, tetapi ia bukan pendekatan harian saya. Saya lebih suka bercakap dengan anak-anak dan cuba memahamkan mereka kenapa satu-satu perbuatan itu betul atau salah. Jika Saiful Islam naik angin, saya akan tangkap dia dan mandikan agar ‘sejuk’, kemudian saya ke bawanya ke bilik dan kami berdialog.
Biar pun soalan anak-anak bertali arus dan kekadang berpusing ke belakang, saya sentiasa setia melayan. Rasa marah atau letih, rasa mengantuk atau sengal badan, semuanya diketepikan dan saya mesti mendengar isi bualan yang ingin dikongsi oleh Saiful Islam dan kini Naurah juga. Biar pun isunya hanya soal kad Grandsazer dan Kamen Rider. Itulah wasilah saya mendengar dan menunjukkan kasih kepada anak-anak.

Namun punca sebenar yang menjadikan saya tidak tergamak untuk memarahi anak saya, ialah kerana saya rasa berdosa kepada Allah terhadap mereka. Malah kesalahan anak-anak saya yang belum mumayyiz dan tidak aqil baligh ini kepada saya dan ibu mereka, tidak terbanding dengan dosa saya dan isteri terhadap mereka.

Masakan tidak. Saya telah memilih isteri yang solehah dan sebahagian cita-cita saya, agar akhlak mahmudah isteri akan tumpah kepada anak-anak suatu hari ini. Saya percaya, ramai dari kalangan kita yang melakukan perkara yang sama. Pendidikan anak-anak bermula dengan memilih ibu yang baik untuk mereka.

Tetapi tumpahkah solehah isteri kepada anak-anak? Turunkah baik saya kepada anak-anak? Sukar untuk menjawab soalan ini kerana orang sebenar yang membesarkan anak-anak hari ini, adalah guru di tadika atau pembantu rumah Indonesia. Alhamdulillah jika yang Indonesia itu orangnya baik, bersolat dan menjaga batas-batas agama. Bagaimana dengan yang berpembantu rumah seorang penyembah berhala dari Myanmar, Thailand atau Filipina.

Kita berjumpa dengan anak-anak ketika kita sudah letih. Kita sudah hilang seri di wajah dan jiwa malah bahasa. Anak-anak juga sudah mengantuk ketika saya sampai di pintu menanggalkan kasut. Bilakah masanya kita menumpahkan akhlak mahmudah kita kepada anak-anak?

Isteri solehah, tapi yang membesarkan anak-anak adalah pembantu rumah, guru nursery, dan entah siapa lagi. Ibu dan ayah di mana? Jawapannya mudah sahaja, SIBUK BEKERJA.

Janganlah disangka kita sudah menjadi ibu dan bapa yang baik hanya kerana makan pakai anak-anak sudah cukup. Itu hanya taraf lembu membesarkan anak-anaknya. Ibu bapa manusia ada tanggungjawab yang lebih besar dari itu. Soal makan, minum, pakaian, perlindungan, pendidikan, makanan emosi dan spiritual, semuanya mesti diharmonikan bersama bekalan yang tidak putus-putus. Apa yang paling utama adalah soal jumlah masa yang kita luangkan bersama mereka. Sudah cukupkah untuk meyakinkan mereka, bahawa kita benar-benar kasihkan mereka?

Tetapi zaman ini, zaman membesarkan anak-anak diswastakan kepada pihak lain. Kita sibuk bekerja dan kerja tidak pernah habis. Anak buat perangai mungkin semata-mata atas dorongannya untuk mencuri perhatian kita.

Ingatlah, dalam suasana kita hari ini, dosa ibu dan bapa terhadap anak-anak, lebih besar berbanding kesalahan mereka kepada kita. Insaflah wahai ibu dan bapa, jangan mudah melenting, sebelum cukup kasih diberi.

Seandainya saya memohon kotak kosong itu kekal dikosongkan, janganlah heret saya ke suasana yang menjadikan saya tersepit. Saya ada tanggungjawab kepada anak-anak, anda juga sama. Anak-anak dan isteri saya, adalah mad’u pertama saya.

Jika kita dalam perjalanan pulang dari KL ke Ipoh, kita singgah di Tapah untuk Solat dan makan. Kemudian kita meneruskan perjalanan ke Ipoh. Tetapi selepas 15 minit memandu, baru kita tersedar yang salah seorang anak kita tiada. Ketika itu kita kelam kabut mencari U-Turn dan mulut tidak henti-henti berdoa agar anak yang tertinggal di belakang, selamat dan tiada mudarat.

Ya, jika kita tercicir anak di perjalanan dunia, kita ada jalan untuk berpatah balik menyelamatkan keadaan. Tetapi berapa ramai ustaz, doktor, polis, jurutera, pegawai bank dan kita-kita semua yang ketika dalam perjalanan memanjat tangga kenaikan pangkat, kita tertinggal isteri dan anak-anak di belakang. Jika lebuh raya kita boleh berpatah balik. Tetapi jika mereka ditinggalkan dari Tarbiah dan didikan Islam, ketika kita tersedar yang mereka yang sudah jauh ketinggalan di belakang, apakah ada jalan pulang? Apakah ada satu lagi peluang? Jawapannya TIADA.

Jika ada lelaki atau wanita yang berjaya di dalam kerjaya, jangan lupa kepada pengorbanan anak-anak selama ini. Jangan lupa dosa kita terhadap mereka.

Saya hairan semasa membaca sabda Nabi SAW betapa tanda Kiamat itu adalah pada ibu yang melahirkan tuannya. Anak durhaka jadi kebiasaan. Mengapa suasana begitu boleh terjadi?

Akhirnya saya membuat kesimpulan, anak durhaka di akhir zaman, bermula dengan dosa ibu dan bapa yang sibuk bekerja. What you give, you get back!

ABUSAIF @ www.saifulislam.com
56000 Cheras

Wednesday, May 5, 2010

~* Mendekati Untuk Mencintai *~


Wahai hamba Allah, apabila engkau meminta kepada Allah ketika hampir dengan-Nya, mintalah agar Dia memperbaiki semua yang ada pada dirimu. Berdoalah:

“Ya Allah, perbaikilah segala keadaanku.”


Mintalah kepada Allah agar Dia memperbaiki keadaanmu disertai perasaan reda terhadap semua ketetapan-Nya. Iaitu pasrah dan reda terhadap semua qada’ dan qadar-Nya.

Engkau adalah seorang hamba yang keliru jika ketika diminta kembali kepada-Nya dengan melakukan ketaatan, engkau terus lari dari-Nya dengan melakukan maksiat. Lari dari Allah ditanda dengan perbuatan-perbuatan jahat, melanggar perintah-Nya, keinginan yang menyimpang dan dengan niat yang salah.

Bila engkau lalai dalam solat, mensia-siakan puasa, mengeluh akan kurniaan Allah dan mencintai dunia beerti engkau telah lari dari Allah. Kerana hawa nafsu telah membuat engkau berani pada-Nya. Engkau telah berpaling dari Allah dikala engkau terdorong pada indahnya dunia, terbuai dengannya, sibuk memikirkannya serta lupa pada hebatnya hari akhirat.

Allah berfirman:

“Janganlah kamu membeliakkan kedua matamu (terlalu kagum) dengan apa yang Kami berikan pada mereka sebagai perhiasan kehidupan dunia. Hal itu untuk menguji mereka. Sedangkan rezeki Tuhanmu jauh lebih baik dan lebih kekal. "
[Surah Taha : Ayat 131]


Allah telah mentakdirkan sihat dan sakit, kaya dan miskin serta bahagia dan sedih kepadamu. Maksudnya adalah agar engkau kembali pada-Nya dan mengetahui semua sifat-Nya sehingga ketika engkau senang, engkau boleh bersyukur dan ketika susah engkau mampu pasrah dan bersabar.

Wahai manusia, berapa kali engkau hinakan dirimu dengan berdiri di hadapan makhluk, meminta bantuan dan pertolongan mereka?
Berapa kali mereka begitu berat mendengar permintaanmu, bermasam muka serta menghinamu?

Sementara engkau tidak pernah sekalipun kembali pada Penciptamu, tidak pernah meminta keperluanmu kepada-Nya serta tidak pernah menghadap-Nya secara khusyuk, berdoa secara jujur dan memohon secara tulus.

Wahai hamba Allah, jika engkau inginkan kemuliaan, janganlah berharap pada makhluk tetapi tambatkan rasa dan harapan pada Allah serta perlihatkan keperluan-keperluanmu yang terdesak kepada-Nya.

Kerana Allah mengabulkan doa orang yang sedang terdesak. Hanya Dia Yang Maha Berkuasa boleh melenyapkan bahaya dan merasa senang jika diminta oleh hamba-Nya. Sesiapa yang meminta kepada makhluk tidak kepada Tuhan dan Tuannya, ia akan menjadi teramat hina.

Dirimu begitu setia dan terbuai dengan makhluk, sedangkan kepada Allah, engkau acuh tidak acuh dan menjauhi-Nya. Engkau tergolong dalam golongan orang yang bodoh kalau terus-menerus menemui makhluk kerana ingin mendapatkan hartanya sementara engkau tinggalkan pintu Zat Pemberi Rezeki, Yang Maha Berkuasa dan Maha Kukuh.

Bolehkan engkau meminta pada makhluk yang fakir lalu meninggalkan Allah Yang Maha Kaya? Jika ingin mendapat pelbagai kurnia, tunjukkan kesusahan dan keperluanmu pada-Nya serta jangan sekali-kali menyandarkan kekuatan sesiapapun yang berada di sekitarmu.

Apabila engkau ingin mendapat bahagian seperti yang Allah berikan pada para wali-Nya dan apabila engkau ingin hidup mulia, mintalah keperluanmu pada Allah, arahkan keinginanmu pada-Nya serta sibuklah dengan-Nya.

Allah berfirman:

“Siapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah mencukupinya.”
[Surah At-Talaq : Ayat 3]


Ibn ‘Abbas berkata :

Pada suatu hari, ketika saya berada di belakang Nabi SAW, baginda bersabda : “Wahai anak muda, jagalah (hak-hak) Allah, pasti Allah menjagamu. Jagalah Allah, pasti Allah memerhatikanmu. Jika engkau hendak meminta, mintalah pada Allah. Jika engkau hendak memohon pertolongan, mohonlah pada Allah. Ketahuilah bahawa seandainya umat ini berkumpul untuk memberi manfaat kepadamu, hal itu tidak akan terwujud kecuali dengan takdir-Nya. Sebaliknya jika mereka berkumpul untuk mencelakakanmu, hal itu takkan berhasil kecuali dengan takdir-Nya. Pena sudah kering dan lembaran juga sudah dilipat.” (H.R. Tirmidzi dan menurutnya sanad hadis ini sahih)

Saya mendengar Abu al-’Abbas al-Mursi berkata:

“Demi Allah, aku tidak melihat kemuliaan kecuali saat manusia tidak memerlukan makhluk dan saat ia boleh menjaga diri dari harta mereka.”


Perhatikanlah sentiasa firman Allah:

“Kemuliaan itu hanyalah milik Allah, milik Rasul-Nya serta milik orang-orang yang beriman.”
[Surah al-Munafiqun : Ayat 8]


Di antara kemuliaan yang Allah berikan kepada kaum mukmin adalah apabila ia menambatkan keperluan dan keyakinannya pada Allah, tidak pada yang lain.

Wahai saudaraku, Allah telah memakaikan padamu pakaian iman dan menghiasimu dengan perhiasan makrifat. Oleh itu, hendaklah engkau malu kepada Allah apabila lalai dan lupa sehingga terdorong pada dunia lalu meminta kebaikan orang lain.

Alangkah buruk andai seorang mukmin meminta keperluannya pada makhluk padahal ia mengetahui keesaan Allah dan mendengar firman-Nya:

“Bukankan Allah mencukupi hamba-Nya.”
[Surah az-Zumar : Ayat 36]


Di antara janji yang engkau perlu lakukan adalah engkau tidak akan meminta keperluanmu kecuali kepada Allah serta tidak akan bertawakal kecuali kepada-Nya.

“Hanya kepada Allah hendaklah kaum mukmin bertawakal.”
[Surah Ali Imran : Ayat 160]


Sebaik-baik permintaan seorang hamba kepada Tuhannya adalah memohon agar diberi sikap istiqamah bersama-Nya.

Allah berfirman:

“Tunjukkanlah kami jalan yang lurus (istiqamah).”
[Surah al-Fatihah : Ayat 6]


Mintalah selalu petunjuk dan sikap istiqamah iaitu dengan sentiasa bersama Allah di setiap keadaan dalam naungan reda-Nya. Iaitu dalam naungan ajaran Nabi SAW seperti yang Allah firmankan:

“Terimalah semua yang diajarkan Rasul dan jauhilah semua yang dilarangnya. Bertawakallah kepada Allah. Sungguh hukuman Allah amat hebat.”
[Surah al-Hasyr : Ayat 7]


Orang yang sedang berjalan menuju kepada Allah dan mendekatkan diri dengan ibadat, ibarat orang yang sedang menggali perigi di dalam tanah sedikit demi sedikit hingga menemui mata airnya.

Setelah melakukan usaha dan perjuangan yang lama, akhirnya perigi itu memancarkan air. Adapun orang ditarik mendekati-Nya seperti orang yang menginginkan air lalu tiba-tiba awan dari langit menurunkan hujan sehingga ia mengambil air tersebut sesuai dengan keperluannya tanpa perlu bersusah payah. Ertinya, Allah telah menarik orang tersebut kepada-Nya.

Syeikh Abu al-Hassan al-Syadzili bercerita: Pada suatu hari, aku tinggal di pedalaman selama tiga hari. Ketika itu, tidak ada makanan yang boleh dimakan. Tiba-tiba beberapa orang Nasrani melalui di hadapanku. Mereka melihatku sedang tersandar.

Lalu mereka berkata: “Orang ini ulama kaum muslim”

Kemudian mereka letakkan di atas kepalaku sepotong makanan kemudian berlalu pergi.

Sungguh ajaib. Bagaimana mungkin rezekiku berperantaraan dari musuh, bukan berperantaraan dari para kekasih, kataku ketika itu.

Tiba-tiba ada suara yang menjawab: Orang yang hebat bukanlah yang diberi rezeki dari para kekasih tetapi dari musuh.

Wahai hamba Allah, seringkali engkau menunjukkan rasa cinta dan lebih tertumpu kepada makhluk. Tetapi engkau amat jarang menunjukkan rasa cinta kepada Allah SWT. Seandainya dibukakan bagi engkau pintu untuk mencintai Allah, pasti engkau akan menyaksikan pelbagai keajaiban dan mendapat reda-Nya.

Rasa cinta kepada Allah dapat dibuktikan dengan menunjukkan ketaatan kepada-Nya, melaksanakan solat dua rakaat dimalam hari, membaca al-Quran, menziarahi orang sakit, menyolatkan jenazah, bersedekah kepada fakir miskin, membantu saudara muslim yang lain, mengadakan kegiatan yang baik, meyebarkan ilmu ataupun membuang duri di jalanan.

Pedang tidak boleh dipakai untuk berperang kecuali dengan bantuan lengan yang kuat. Demikian juga dengan amal soleh. Ia memerlukan seorang mukmin yang ikhlas dalam mengerjakannya.

Ibadat yang paling ringan yang boleh engkau pakai untuk menunjukkan rasa cinta kepada Allah adalah berzikir secara tulus. Kerana zikir itu boleh dikerjakan meskipun oleh orang yang sudah tua, oleh orang sakit yang terlantar, oleh pekerja yang sibuk dengan tugasnya ataupun oleh orang yang malas yang sedang berbaring di tempat tidurnya.

Allah berfirman:

“Apabila kalian telah menunaikan solat, berzikirlah kepada Allah, dalam keadaan berdiri, duduk ataupun berbaring.”
[Surah an-Nisa’ : Ayat 103]


Ketahuilah bahawa sesiapa yang mengarahkan cintanya kepada Allah, Allah juga akan menebarkan kemurahan kepadanya. Orang-orang yang berbuat baik akan mendapat kebaikan (yang setaraf) bahkan lebih daripada itu.

Tetapi aneh apabila seseorang lebih bersahabat dan lebih mencintai hawa nafsu padahal ia merupakan suatu malapetaka yang membuatkan manusia menyimpang dari bersahabat dan mencintai Allah.

Padahal Allah merupakan sumber kebaikan. Siapa yang benar-benar ingin berjalan menuju Allah, hendalah ia mempunyai tekad yang kuat.

Bila muncul pertanyaan, bagaimana caranya bersahabat dengan Allah?

Jawapannya, bersahabat dengan sesiapapun ada kaitannya. Bersahabat dengan Allah adalah dengan mengerjakan perintah-Nya, menghindari larangan-Nya dan bertawakal kepada-Nya dalam setiap urusan. Bersahabat dengan kedua malaikat (Raqib dan Atid) adalah dengan melakukan pelbagai amal kebajikan. Bersahabat dengan al-Quran dan Sunnah adalah dengan mengamalkan isinya.

Bersahabat dengan langit adalah dengan merenungkannya serta bersahabat dengan bumi adalah dengan mengambil pelajaran dari yang ada di dalamnya. Persahabatan tidak semestinya dengan melihat dan menyaksikannya.

Makna persahabatan dengan Allah adalah bersahabat dengan semua kurniaan dan nikmat-Nya.

Bersahabat dengan nikmat-Nya adalah bersyukur.

Bersahabat dengan ujian-Nya adalah bersabar.

Bersahabat dengan perintah-Nya adalah menghormati dan menunaikannya.

Bersahabat dengan larangan-Nya adalah menjauhi.

Bersahabat dengan ketaatan adalah bersikap ikhlas dan bersahabat dengan al-Quran adalah merenungkannya.


Sekiranya seorang hamba melakukan perkara-perkara itu, beerti ia telah menjalin persahabatan dengan Allah. Bila persahabatan terwujud, kedekatan juga akan diperolehi.

Oleh itu, wahai saudaraku jangan sehingga matahari terbit lagi sementara engkau belum menyembah Allah sebagai hamba yang tulus, setia dan menyintai-Nya.

Oleh itu, bersedekahlah setiap hari walaupun dengan 1/4 dirham sehingga Allah mencatatkan engkau dalam golongan orang yang senang bersedekah.

Bacalah al-Quran setiap hari walaupun hanya satu ayat agar Allah mencatatkan engkau dalam golongan orang yang senang membaca al-Quran serta lakukanlah solat malam walaupun hanya dua rakaat agar Allah mencatat engkau dalam golongan yang senang mengisi malam (qiyamullail).

Jangan sehingga berbuat salah dengan berkata: Mana mungkin orang yang hanya mempunyai makanan cukup untuknya bersedekah? Allah berfirman:

“Hendaklah orang yang mampu, memberikan menurut kemampuannya. Adapun orang yang terbatas rezekinya, hendaklah mengeluarkan sedekah dengan apa yang Allah berikan. Allah tidak memaksa seseorang kecuali sesuai kadar kemampuannya. Kelak Allah akan memberi kemudahan menghilangkan kesulitan.”
[Surah at-Talaq : Ayat 7]


Orang miskin yang diberi sedekah tidak ubah seperti makhluk yang sedang membawa bekalanmu menuju ke akhirat.

Oleh itu, mintalah mereka untuk membawakan bebanan yang engkau kehendaki agar pada hari kiamat nanti engkau pasti mendapatkannya.

Kadangkala seseorang dikirim untuk memberi engkau pelbagai nikmat. Hanya engkau mungkin buntu, tidak sedar dan tidak bersyukur. Engkau seperti bayi dalam buaian yang setiap kali diayun ia tertidur. Kerana setiap kali ditambah rezekimu, engkau tambah berpaling.

Andaikata seorang penguasa mengirim baju untukmu, mungkin engkau hanya berterima kasih dan memujinya. Oleh itu, engkau mesti segera berpindah kepada Tuan yang telah menganugerahkan segala kenikmatan kepadamu. Tinggalkanlah mereka yang tidak sanggup memberi manfaat kepada yang lain.

- Oleh Ibnu Athaillah -

Friday, April 16, 2010

~* Jangan Meminta Pertolongan Selain Kepada Allah *~


Syaikh Ibnu ‘Athaillah mengatakan :

“Janganlah pohonkan niat dan kepentinganmu kepada selain Allah. Sedangkan Allah Dzat Yang Maha Mulia tidak dapat dicapai hanya dengan angan-angan.”



Tidak kurang daripada 17 kali sehari dan semalam kita membaca surah al-Fatihah, yang salah satu ayatnya berbunyi :

“Hanya kepada Engkau kami menyembah dan kepada Engkau kami mohon pertolongan.” (Surah al-Fatihah : 5)



Firman Allah di atas tentulah tidak ada maknanya kalau hanya sekadar dibaca dan dihafal sahaja, tetapi ia hendaklah kita amalkan dalam kehidupan kita sehari-hari. Dengan demikian amatlah tidak sesuai dengan apa yang kita ucapkan, apabila dalam menghadapi suatu keadaan dan keperluan, kita meminta pertolongan kepada selain daripada Allah Ta’ala

Allah Yang Maha Kaya dan Maha Pemurah, tidak pernah berkurangan dan tidak pula akan murka kepada hamba-Nya yang suka meminta kepada-Nya. Malahan Allah mencurahkan segala kasih dan sayang-Nya kepada hamba-hamba-Nya yang suka bermohon kepada-Nya.

Salah seorang penyair mengungkapkan sebagai berikut :

“Janganlah engkau memohonkan hajatmu kepada Bani Adam, tetapi bermohonlah kepada Allah yang pintu-Nya tidak pernah tertutup. Allah amat murka jika engkau meninggalkan permohonan kepada-Nya, sedangkan Bani Adam akan marah jika engkau sering meminta kepadanya.”

~* Why Do Muslims Fast In Ramadan? *~

What is Fasting (Sawm)? Sawm (Arabic: صوم) is an Arabic word for fasting regulated by Islamic jurisprudence. In the terminology of Islamic l...