Thursday, January 29, 2009

~* Lelaki Idaman Setiap Wanita *~


Lelaki idaman saya adalah…
Seorang lelaki yang beriman…
Yang hatinya disaluti rasa takqwa kepada Allah…
Yang jiwanya penuh penghayatan terhadap Islam…
Yang sentiasa haus dengan ilmu…
Yang sentiasa dahaga akan pahala…
Yang solatnya adalah maruah dirinya…
Yang tidak pernah takut untuk berkata benar…
Yang tidak pernah gentar untuk melawan nafsu…
Yang sentiasa bersama kumpulan orang-orang yang berjuang di jalan Allah…


Lelaki idaman saya adalah…
Lelaki yang menjaga tuturkatanya…
Yang tidak bermegah dengan ilmu yang dimilikinya…
Yang tidak bermegah dengan harta dunia yang dicarinya…
Yang sentiasa berbuat kebajikan kerana sifatnya yang penyayang…
Yang mempunyai ramai kawan dan tidak mempunyai musuh yang bersifat jembalang…


Lelaki idaman saya adalah…
Lelaki yang menghormati ibunya…
Yang sentiasa berbakti kepada kedua orang tua dan keluarga…
Yang akan mendidik isteri dan anak-anak mendalami Islam…
Yang mengamalkan hidup penuh kesederhanaan…
Kerana dunia baginya adalah rumah sementara menuju akhirat…


Lelaki idaman saya…
Sentiasa bersedia untuk menjadi imam…
Yang hidup dibawah naungan Al-Quran dan mencontohi sifat Rasulullah…
Yang boleh diajak berbincang dan berbicara…
Yang menjaga matanya dari berbelanja…
Yang sujud penuh kesyukuran dengan rahmat Allah keatasnya…


Lelaki idaman saya…
Tidak pernah membazirkan masa…
Matanya kepenatan kerana penat membaca…
Suaranya lesu kerana penat mengaji dan berzikir…
Tidurnya lena dengan cahaya keimanan…
Bangunnya subuh penuh kecergasan…
Kerana sehari lagi usianya bertambah penuh kematangan…


Lelaki idaman saya…
Sentiasa mengingati mati…
Yang baginya hidup di dunia adalah ladang akhirat…
Yang mana buah kehidupan itu perlu dibaja dan dijaga…
Agar berputik tunas yang bakal menjadi baka yang baik…
Meneruskan perjuangan Islam sebelum hari kemudian…


Lelaki idaman saya adalah…
Lelaki yang tidak terpesona dengan buaian dunia…
Kerana dia mengimpikan syurga…
Di situlah rumah idamannya…
Dan dia ingin membawa saya bersama…
Dialah lelaki idaman saya…


- Tips Cinta ini telah dikirimkan oleh saudari Zulira Mohmad.

Tuesday, January 27, 2009

~* Gong Xi Fa Cai dan Ilmu Astrologi *~


ILMU ASTROLOGI MENCEMARI KEMURNIAAN TAUHID


Setiap kali munculnya Tahun Baru Cina maka ramai di kalangan rakyat Malaysia yang berminat dengan ramalan yang dikeluarkan oleh pakar-pakar ramal berkaitan dengan tahun yang bakal mendatang. Lantaran itu pelbagai telahan akan dikeluarkan oleh mereka berkaitan dengan aspek ekonomi, politik, kemasyarakatan, kehidupan individu dan lain-lain lagi. Budaya ramalan sebegini sebenarnya bukanlah ekslusif milik kaum Cina sahaja malah ianya juga wujud dalam pelbagai masyarakat yang lain. Masyarakat Arab pada zaman jahiliyah juga amat terpengaruh dengan tilikan tukang ramal sebegini. Malah penduduk di negara-negara barat turut terdorong untuk mempercayai ramalan horoskop. Mereka membahagikan individu mengikut bintang-bintang melalui tarikh lahir mereka seperti Aries, Pisces, Sagitarius dan lain-lain. Menerusi bintang-bintang ini mereka meramalkan apa yang bakal berlaku kepada individu tersebut sepanjang tahun, bulan bahkan setiap hari. Ramalan-ramalan horoskop sebegini turut diberikan ruangan khusus dalam beberapa akhbar-akhbar harian di Malaysia. Ini semua membuktikan bahawa hal-hal sebegini memiliki pengaruh yang besar dalam masyarakat kita. Jika diteliti asal-usul kebanyakan ilmu-ilmu ramalan ini maka sebahagian besar darinya adalah berpandukan kepada pergerakan bintang-bintang di langit atau ilmu astrologi. Itulah sebabnya bagi masyarakat Melayu tukang ramal ini juga dikenali sebagai ahli nujum. Perkataan nujum itu berasal dari bahasa arab najm yang bermaksud bintang. Menurut Imam Ibnu Taymiyyah r.h Tanjim adalah meramal kejadian-kejadian di bumi berdasarkan petunjuk keadaan bintang.


Sekiranya kita menyemak firman-firman Allah (SWT) di dalam al-Qur’an maka kita dapati terciptanya bintang-bintang di langit dan pergerakan-pergerakannya bukan berperanan untuk menentukan kebaikan atau keburukan perjalanan hidup makhluk Allah (SWT) di atas muka bumi ini. Peranan bintang-bintang adalah sebagai perhiasan di langit, penunjuk arah perjalanan dan sebagai pelempar syaitan. Ini adalah sebagaimana yang diperjelaskan oleh Allah (SWT) melalui firman-firman-Nya:


Dan demi sesungguhnya! Kami telah menghiasi langit yang dekat (pada penglihatan penduduk bumi) dengan bintang-bintang, dan Kami jadikan bintang-bintang itu punca rejaman terhadap syaitan-syaitan; dan Kami sediakan bagi mereka azab neraka yang menjulang-julang.

[Surah al-Mulk - Ayat 5]

Dan (Dia mengadakan) tanda-tanda panduan jalan, dan dengan bintang-bintang (pada waktu malam) mereka dapat mengetahui arah yang hendak dituju.

[Surah Al-Nahl - Ayat 16]

Seorang Tabi’in yang terkemuka Imam Qatadah r.h telah berpendapat bahawa bagi sesiapa yang melihat hikmah kejadian bintang itu selain dari tiga perkara di atas termasuk untuk menetapkan atau meramalkan apa yang bakal berlaku telah menyanggahi syarak. Katanya:


Penciptaan bintang-bintang ini (oleh Allah S.W.T.) hanya untuk tiga hal; penghias langit, pelempar syaitan dan tanda bagi orang untuk mengenali arah. Maka barangsiapa menafsirkan selain dari itu, dia telah salah dan mengsia-siakan bahagiannya dan memaksakan diri dalam sesuatu yang dia tidak mengetahuinya.

[Riwayat Imam al-Bukhari secara mu’allaq di dalam Shahihnya.]

Ilmu ramalan sebegini atau dikenali sebagai astrologi mencemari kemurniaan tauhid dan boleh membawa kepada amalan syirik kerana seseorang yang mengamal atau mempercayainya telah menyandarkan sesuatu kejadian kepada sesuatu selain daripada kekuasaan Allah (SWT) dengan menyakini perkara tersebut boleh membawa mudarat atau manfaat kepada kita. Islam meletakkan kejadian sesuatu perkara itu bergantung kepada kehendak Allah (SWT) semata-mata. Firman-Nya:


Katakanlah (wahai Muhammad): "Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal".

[Surah al-Taubah - Ayat 51]

Menyandarkan sesuatu musibah itu berlaku bersangkutan dengan gerakan atau kedudukan bintang adalah perbuatan yang tercela kerana segala sesuatu itu ditetapkan oleh Allah S.W.T. tanpa ada faktor lain yang mempengaruhi keputusan-Nya. Firman Allah (SWT):


Ketahuilah, sesungguhnya nahas dan malang mereka itu hanya di tetapkan di sisi Allah, akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.

[Surah al-A’raaf - Ayat 131]

Mungkin ada yang menganggap terdapat tilikan-tilikan daripada ahli nujum ini benar-benar menjadi realiti. Pada hakikatnya dia hanya benar dalam beberapa tilikan sahaja tetapi telah salah dalam beribu-ribu tilikan yang lain. Tilikan yang benar itu pula bukan berdasarkan ilmu yang benar, cuma secara kebetulan sahaja ianya bertepatan dengan takdir yang telah ditetapkan oleh Allah(SWT). Adakalanya tilikan mereka ini juga dibantu oleh oleh jin yang membisikkan ke telinga pengikutnya dan bisiskan jin ini walaupun adakalanya benar tetapi kebanyakannya adalah dusta dan bertujuan untuk memporak-perandakan hidup manusia. Aisyah r.a pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w:


Wahai Rasulullah, sesungguhnya orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib lazimnya mengkhabarkan kami dengan sesuatu kemudian kami dapati ia adalah benar. Rasulullah menjawab: Ia adalah kalimah (perkara) benar yang diambil seorang jin lalu dibisikkan kepada telinga pengikutnya, kemudian dibuat tambahan padanya dengan seratus kedustaan.

[Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahihnya no: 2228]

Rasulullah s.a.w. sendiri telah mencela dengan keras ilmu astrologi ini dan memberi amaran bahawa ia termasuk dalam ilmu sihir yang diharamkan. Sabdanya:


Barangsiapa mempelajari sebahagian dari ilmu nujum (mengkaji bintang-bintang untuk membuat ramalan), maka dia telah mempelajari sebahagian dari sihir. Semakin bertambah (ilmu yang dia pelajari), semakin bertambah pula (dosanya).

[Hadis riwayat Imam Ahmad, Abu Dawud dan Ibnu Majah daripada Ibnu ‘Abbas r.a]

Di antara perkara yang amat dikhuatiri oleh baginda sekiranya menimpa umatnya adalah menularnya budaya mempercayai ramalan ahli nujum. Sabdanya:



Aku mengkhuatiri tiga hal pada umatku; kezaliman para Imam, percaya kepada nujum, dan dusta terhadap takdir.
[Hadis riwayat Ibnu Asakir daripada Abu Mihjan dan Imam al-Suyuthi menyatakan hadis ini hassan]

Rasulullah s.a.w. juga menyatakan bahawa bagi sesiapa yang menemui tukang ramal termasuk mereka yang menggunakan ilmu astrologi ini dan memprcayai ramalannya maka solatnya tidak diterima selama empat puluh hari. Sabdanya:


Barangsiapa mendatangi tukang ramal dan bertanyakan kepadanya tentang sesuatu lalu dia membenarkan apa yang dikatakannya, maka solatnya tidak diterima selama empat puluh hari.

[Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahihnya, no: 2230]

Menurut baginda mempercayai tukang ramal dan ahli nujum adalah salah satu dari perkara yang berbentuk kekafiran. Sabdanya:


Barangsiapa mendatangi dukun atau ‘arraaf (tukang ramal), lalu dia membenarkan apa yang dikatakannya, maka dia telah kafir terhadap apa yang diturunkan kepada Muhammad s.a.w.

[Hadis riwayat Imam Ahmad di dalam Musnadnya no: 9171]

Sewajarnya seluruh umat Islam menghindarkan diri dari bertemu tukang ramal, membaca ataupun mempercayai ramalan-ramalan menurut ilmu astrologi sebegini. Kita wajib meyakini segala ilmu tentang perkara yang ghaib seperti perkara yang bakal terjadi pada masa hadapan itu hanyalah milik Allah (SWT) dan makhluk Allah (SWT) seperti bintang tidak memilki ilmu-ilmu ghaib tersebut. Firman-Nya:


Katakanlah lagi: "Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah (SWT)!"

[Surah al-Naml (27) - Ayat 65]

Sekiranya kita meletakkan sesuatu makhluk lain seperti peredaran bintang-bintang sebagai punca terjadinya sesuatu perkara pada masa hadapan maka ia termasuk dalam kategori perbuatan syirik. Ternyata syirik merupakan satu perbuatan yang zalim dan Allah (SWT) tidak akan mengampunkan golongan yang mengsyirikan-Nya melainkan bagi mereka yang bertaubat. Firman-Nya:


Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya: " Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (SWT) (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar".

[Surah Luqman - Ayat 13]

Firman-Nya lagi:


"Sesungguhnya Allah (SWT) tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutukan-Nya dengan sesuatu dan akan mengampunkan (dosa) selain kesalahan (syirik) bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Sesiapa yang mempersekutukan Allah (SWT) dengan sesuatu, sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh."

[Surah al-Nisa' - Ayat 116]

Namun begitu pengkajian pergerakan bintang-bintang, bulan dan matahari bagi menentukan arah angin, arah kiblat, arah sesuatu tempat, keadaan cuaca, kiraan hari, taburan hujan dan lain-lain yang mengikuti kaedah saintifik adalah dibenarkan. Dalam erti kata lain Islam mengiktiraf penggunaan bintang-bintang dalam bidang astronomi dan ilmu falak. Ibnu Rajab r.h menyatakan bahawa diperbolehkan dalam mempelajari ilmu peredaran bintang dan bukan ilmu pengaruh (kedudukan bintang tersebut dalam kehidupan kita) kerana hal itu merupakan suatu bentuk kebatilan dan keharaman baik sedikit mahupun banyak. Adapun ilmu peredaran bintang-bintang jika mempelajari apa yang diperlukan sebagai petunjuk jalan dan mengetahui arah kiblat maka hal tersebut diperbolehkan oleh majoriti ulamak.


- Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Friday, January 23, 2009

~* Jangan Persoalkan !!!! *~


...Kita bukan bertemu dengan orang yang salah, tetapi kita hakikatnya diberikan oleh Allah ilmu berharga yang tidak semua orang boleh merasakannya. Oleh itu, bersyukurlah dan selalu bersangka baik kepada Allah...

Cuba kita fikirkan ayat-ayat cinta ini....

Memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yang salah supaya kita dapat menjadi penilai yang baik.

Memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yang salah supaya kita sedar bahawa kita hanyalah makhluk yang sentiasa mengharapkan pertolongan ALLAH .

Memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yang salah supaya kita dapat KASIH SAYANG YANG TERBAIK, KHAS UNTUK DIRI KITA.

Memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yang salah supaya kita sedar bahawa ALLAH MAHA PEMURAH & PENYAYANG kerana mengingatkan kita bahawa dia bukanlah pilihan yang hebat untuk kita dan kehidupan kita pada masa depan.

Memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yang salah supaya kita dapat mengutip pengalaman yang tak semua orang berpeluang untuk mengalaminya.

Memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yang salah supaya kita jadi MANUSIA YANG HEBAT JIWANYA.

Memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yang salah supaya kita lebih faham bahawa CINTA YANG TERBAIK HANYA ADA BERSAMA ALLAH.

Memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yang salah supaya kita LEBIH MENGENALI KEHIDUPAN YANG TAK SELAMANYA KEKAL.

...Percayalah segala yang terjadi telah ditakdirkan sejak azali, kita dihidupkan untuk diuji kekuatan iman sebelum bertemu Ilahi...

Thursday, January 22, 2009

~* Surat Hud - Saad Al-Ghamidi *~

VERY EMOTIONAL INDEED! Every one should listen to this amazing recitation..

SubhanALLAH!!!

May ALLAH increase our IMAN!!!

Amin!!!

~* Doa Qunut by Sheikh Mishary Rashid al-Efasy *~

Dear AlL My Friends,

I appeal to all muslimins out there, there’s not a better moment than now to help our brothers & sisters in peril. Lets put our hands together and for just a few minutes, pray along with this doa.

Saturday, January 10, 2009

~* Gunakan masa terluang dengan kaedah sempurna *~


MASA adalah anugerah Allah paling bernilai dan sewajarnya dimanfaatkan secara betul dengan menepati suruhan serta kehendak agama. Malangnya, ramai antara kita khususnya golongan remaja semakin lupa dan tidak lagi menghargai masa yang dikurniakan Allah.

Islam menggalakkan umatnya menggunakan masa secara optimum dan semaksimum yang boleh dengan melakukan perkara mendatangkan faedah kepada diri sendiri, kaum kerabat, masyarakat dan negara.


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:


“Pergunakanlah lima sebelum datang lima perkara. Masa mudamu sebelum masa tuamu, masa kayamu sebelum masa miskinmu, masa lapangmu sebelum masa sempitmu dan masa hidupmu sebelum masa matimu.”

Pesanan Nabi SAW ini perlu diingati dan dihayati sepenuhnya supaya setiap mukmin sentiasa berwaspada dengan apa dilakukan serta tidak membazirkan masa dengan perbuatan sia-sia yang merugikan.


Manusia ketika muda belia akan terdorong dengan keasyikan dunia dan mudah hanyut dalam pelbagai aktiviti melalaikan. Jika sewaktu muda belia diasuh dan dibimbing dengan aktiviti bermanfaat pastinya mereka akan dapat mengharungi kehidupan masa tua dalam situasi menyenangkan.


Tetapi cuba bayangkan dengan senario semasa yang sedang melanda golongan remaja yang saban hari terjebak dengan pelbagai gejala kurang menyenangkan seperti budaya lepak, lumba haram, berpeleseran di jalanan, menggambarkan kurangnya kesedaran mengenai penggunaan masa muda.


Oleh itu, bagi mengatasinya ibu bapa khususnya perlu mendidik anak sejak kecil supaya bijak menggunakan masa dengan aktiviti bermanfaat. Begitu juga pihak sekolah serta badan bukan kerajaan, perlu menggerakkan program yang mampu menarik minat golongan muda.


Sebenarnya banyak program yang boleh mendatangkan keseronokan dan pada masa sama memberi pengetahuan kepada mereka, tidak semestinya aktiviti berbentuk hiburan saja. Justeru, sebaiknya masa muda digunakan sepenuhnya sebelum nikmat itu ditarik balik.


Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:


“Apabila sudah tiba waktu pagi, maka jangan tunggu sampai petang, apabila sudah tiba waktu petang maka jangan tunggu sampai waktu pagi. Oleh sebab itu, pergunakanlah waktu hidupmu untuk bekal kematianmu, dan pergunakanlah waktu sihatmu untuk waktu sakitmu.”

Rasulullah SAW juga mengingatkan umatnya supaya menghargai masa kesenangan dikurniakan Allah daripada rezeki diberi untuk dikongsi dengan mereka yang kurang bernasib baik. Masa kaya jangan pula menjadikan kita kedekut kerana apabila tiba masa miskin nanti, sudah terlambat untuk menyesali sifat bakhil dulu.


Masa sihat juga sering menjadikan manusia lalai melakukan perkara penting bagi memastikan kesihatan itu sentiasa terpelihara. Hanya apabila didatangkan sakit barulah timbul keinsafan alangkah enaknya waktu sihat dulu.


Tokoh Barat, Brown pernah menyatakan bahawa perbezaan antara orang yang berjaya dan orang gagal terletak pada penggunaan waktunya yang terluang. Demikian kepentingan menggunakan masa yang terluang dengan kaedah yang sempurna.


Malah tokoh falsafah Yunani dulu pernah berkata: “Kita tidak saja perlu bekerja dengan baik, tetapi juga perlu menggunakan waktu lapang dengan baik.”


Sering diingatkan, manfaatkan masa hidup kerana kita tidak tahu bila ajal akan menjemput. Oleh itu jangan melengah-lengahkan hal ibadat serta kerja kebajikan kerana pesan Nabi Muhammad SAW, orang paling bijak ialah yang banyak mengingati mati dan banyak melakukan persediaan menghadapinya.


Begitulah kepentingan menjaga masa yang ditekankan dan diingatkan supaya umat Islam bijak menguruskan masa diberikan Allah kepada mereka. Kata pepatah masa itu emas atau masa itu wang adalah bukti jelas menunjukkan nilai sebenar masa.


Jika pesanan menjaga serta menghargai masa itu dapat dihayati dan dijadikan pedoman dalam melalui kehidupan dunia ini, sudah tentulah kita menjadi seorang yang beroleh kejayaan dan keberkatan dunia akhirat.

~* Amalan berkesan suburkan hidayah dalam jiwa *~


PENTING untuk memastikan hidayah tetap terpelihara dalam jiwa kita. Berikut adalah langkah perlu diambil supaya hidayah dalam hati tetap utuh terpelihara.

Doa adalah langkah pertama yang perlu diambil apabila kita inginkan hidayah dalam hati tetap terjaga. Perbanyakkan berdoa dan bermunajat kepada-Nya supaya diteguhkan hidayah dan memohon tidak disentap daripada hati.

Dalam al-Quran, ada serangkap doa berkaitan keperluan kita ini. Firman Allah bermaksud:


“Wahai Tuhan kami, janganlah engkau condongkan hati kami sesudah engkau berikan petunjuk. Dan kurniakanlah kepada kami dari sisi-Mu kerahmatan, sesungguhnya Engkau adalah sebaik-baik pemberi kurniaan.”
[Surah ali-Imran, Ayat 8]

Ini adalah doa yang diajar secara langsung oleh Allah. Adakah doa yang lebih baik daripada ini? Maka kita patut menghafal dan mengungkapnya saban waktu. Terpelihara ataupun tercabutnya hidayah terletak pada kehendak dan kekuasaan Allah. Apabila Allah meneguhkan hidayah, tidak ada yang dapat memesongkannya. Sudahkah kita lupa kisah hati Bilal seteguh batu yang menghenyak dadanya?


Sahabat agung ini diseksa kerana enggan kembali menyembah berhala. Beliau disalai di tengah padang pasir dan ditindih dengan batu. Betapa keras batu yang menindih tubuhnya, teguh lagi hatinya beriman kepada Allah dan rasul-Nya. Betapa membahangnya panas matahari yang memanggang tubuhnya, lagi membara kecintaannya kepada Allah dan rasul-Nya. Lidahnya tidak henti menutur, “Ahad, Ahad, Ahad” yang membawa maksud, “Yang Maha Esa, Yang Maha Esa, Yang Maha Esa.”


Begitulah hakikatnya hidayah, segala-galanya terletak pada Allah dan kita, tekun berdoa kepada Allah supaya hidayah-Nya terus subur bertapak pada hati.


Ingat mati. Sentiasa mengingati mati memantapkan hati supaya hidayah terpelihara. Maut bertandang tanpa bila-bila masa di mana saja. Bayangkanlah, maut menjengah ketika kita bergelumang dengan maksiat serta iman menjadi reput dengan dosa dan derhaka. Mengingati mati bukan menambahkan kerunsingan jiwa, sebaliknya ibadah menjadi lebih berkualiti dan pergaulan dengan orang lain lebih bermakna serta terpelihara. Apabila ingat mati, kita tawar hati melakukan maksiat, dosa dan berlaku zalim. Kita bimbang maut menjemput sebelum sempat bertaubat.


Berhenti melakukan maksiat penuh keazaman dan keteguhan hati. Sikap ini perlu digenggam demi menghindarkan diri daripada lemas dalam perbuatan dosa. Ingatlah, sekali dihanyutkan arus dosa, kita sukar menyelamatkan diri daripadanya seperti penagih dadah. Mereka mengaku menyesal terjebak dengan dadah, bahkan menangis berharap dapat berhenti mengambil dadah.


Selepas beberapa lama, mereka tidak tahan menahan seksa ketagihan, sekali lagi mengulanginya dan menyesal. Penyesalan saja tidak cukup bagi membebaskan diri daripada melakukan maksiat dan dosa. Tidak ada cara lain, kita perlu berkeras hati untuk berhenti melakukan perbuatan buruk. Jangan menoleh masa lampau yang menuju jurang binasa. Tabahkan hati terus melangkah menuju reda Allah.

Friday, January 2, 2009

~* Muharam: Elakkan Kepercayaan Karut *~


Bulan Muharram adalah salah satu daripada bulan agung di dalam kalendar Islam. Beberapa peristiwa penting berlaku di dalam bulan ini. Allah swt juga mengurniakan kelebihan yang banyak bagi sesiapa yang meningkatkan amal di bulan yang mulia ini. Antara yang sering diamalkan oleh umat Islam di dalam bulan ini ialah berpuasa sunat. Namun, persoalannya adakah amalan berpuasa sunat yang dilakukan ini bertepatan dengan sunnah Rasulullah saw atau pun sebaliknya? Justeru, bagi menjawab persoalan ini, kita tiada pilihan lain lagi yang lebih baik kecuali menjadikan al-Quran dan al-Sunnah sebagai sumber rujukan dan hakim bagi segala penentuan.



Jika diteliti hadith-hadith Rasulullah saw, maka kita akan dapati banyak riwayat yang membicarakan tentang amalan puasa sunat di bulan Muharam ini serta ganjarannya. Namun, satu lagi perkara yang perlu diberi perhatian ialah memastikan riwayat-riwayat tersebut memang pasti bersumberkan daripada Rasulullah saw. Ini penting kerana setiap amalan yang ingin kita lakukan mestilah bertepatan dengan sunnah Rasulullah saw yang sahihah agar ianya diterima dan diberikan ganjaran pahala.



Di antara hadith-hadith sahih yang membicarakan tentang amalan puasa di bulan Muharram ini ialah:



Hadith-hadith tentang puasa hari A’syura:




  1. Ibn ‘Abbas meriwayatkan yang bermaksud: “Apabila Nabi saw datang ke Madinah, Baginda melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura, lalu Baginda bertanya: ((Apakah ini?)). Mereka menjawab: “Hari ini adalah hari yang baik di mana Allah telah menyelamatkan padanya Nabi Musa dan Bani Israil daripada musuh mereka, maka Musa pun berpuasa”. Lalu Baginda saw bersabda: ((Aku lebih berhak dengan Musa daripada kamu)), maka Baginda pun berpuasa dan menyuruh orang ramai supaya berpuasa“. (Riwayat al-Bukhari )

  2. ’isyah r.a berkata (maksudnya): “Rasulullah saw telah mengarahkan supaya berpuasa pada hari A’syura, dan apabila telah difardhukan puasa Ramadhan, maka sesiapa yang hendak berpuasa (hari A’syura) maka dia boleh berpuasa, dan sesiapa yang hendak berbuka maka dia boleh berbuka (tidak berpuasa)“. (Riwayat al-Bukhari & Muslim).

  3. Daripada ‘Aisyah r.a berkata yang bermaksud: “Orang-orang Quraish di zaman jahiliyah berpuasa pada hari ‘Asyura, dan Rasulullah saw juga berpuasa pada hari A’syura. Maka apabila Baginda datang ke Madinah, Baginda berpuasa pada hari itu dan menyuruh orang ramai berpuasa. Apabila difardhukan kewajipan puasa Ramadhan, ditinggalkan puasa pada hari ‘Asyura lalu Baginda bersabda: ((Sesiapa yang mahu, maka dia boleh berpuasa, dan sesiapa yang tidak mahu berpuasa, maka dia boleh tinggalkannya)). (Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Inilah beberapa contoh hadith sahih yang menyebut tentang puasa pada hari ‘Asyura. Daripada hadith-hadith ini dapat difahami bahawa puasa pada hari ‘Asyura merupakan suatu perkara yang wajib sebelum daripada difardhukan puasa Ramadhan. Apabila difardhukan puasa Ramadhan pada tahun ke-2 Hijrah, maka kewajipan ini telah gugur. Namun ianya tetap digalakkan dan merupakan salah satu daripada sunnah yang sangat dituntut. Inilah diantara kesimpulan yang disebut oleh al-Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani (w 852) dan al-Imam Muslim (w 676) ketika menghuraikan hadith-hadith tentang puasa ‘Asyura ini. (Rujuk Fath al-Bari, Kitab al-Saum, Bab Siyam Yaum ‘Asyura, 4/309, dan al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, Bab Saum Yaum ‘Asyura‘ 4/245).



Fadhilat Puasa Hari ‘Asyura



Sesungguhnya kelebihan yang dijanjikan oleh Rasulullah saw bagi sesiapa yang mengamalkan puasa sunat ini amatlah besar. Diantaranya ialah apa yang diriwayatkan oleh Qatadah (maksudnya): “Bahawasanya Rasulullah saw ditanya tentang puasa hari ‘Asyura, lalu Baginda saw menjawab: ((Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu)). (Hadis sahih riwayat Imam al-Tirmizi).



Di dalam riwayat yang lain pula disebutkan bagaimana Rasulullah saw begitu mengambil berat dan memberi keutamaan kepada amalan puasa pada hari ‘Asyura ini. Hal ini sebagaimana yang disebut oleh Ibn Abbas bahawa beliau pernah ditanya tentang puasa pada hari ‘Asyura ini, lalu beliau berkata: “Aku tidak pernah ketahui bahawa Rasulullah saw berpuasa sehari kerana mencari kelebihannya di atas hari-hari yang lain kecuali pada hari ini, dan Baginda tidak berpuasa sebulan kerana mencari kelebihan di atas bulan-bulan yang lain kecuali bulan ini, iaitu: Ramadhan”. (Riwayat Imam Muslim)



Puasa Tasu’a (hari ke-9 Muharam)



Selain daripada berpuasa pada hari ‘Asyura ini, kita juga digalakkan untuk berpuasa pada hari sebelumnya iaitu hari ke-9 Muharram. Ini berdasarkan beberapa hadis sahih, antaranya ialah:




  1. Daripada Ibn Abbas r.a berkata (maksudnya): “Ketika Rasulullah saw berpuasa pada hari ‘Asyura, Baginda turut mengarahkan orang ramai supaya turut berpuasa. Lalu mereka berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya hari ini adalah hari yang dibesarkan oleh kaum Yahudi dan Nasrani. Lalu Rasulullah saw bersabda lagi: ((Sekiranya di tahun depan, jika diizinkan Allah, kita akan berpuasa pada hari ke-9)). Ibn Abbas berkata: Tidak sempat munculnya tahun hadapan, Rasulullah saw wafat terlebih dahulu.”. (Riwayat Imam Muslim)

  2. Daripada Ibn Abbas r.a berkata, bahawa Rasulullah saw bersabda (maksudnya): ((Sekiranya aku masih hidup hingga tahun hadapan, nescaya aku pasti akan berpuasa pada hari ke-9)). (Riwayat Muslim).

Imam al-Nawawi (w 676) dalam menghuraikan hadis-hadis ini telah menukilkan pendapat Imam al-Syafie dan ulamak di dalam mazhabnya, Imam Ahmad, Ishak dan yang lain-lain bahawa mereka semua ini berpendapat bahawa disunatkan berpuasa pada hari ke-9 dan hari ke-10, kerana Nabi saw berpuasa pada hari ke-10 (‘Asyura) dan berniat untuk berpuasa pada hari ke-9 (tahun berikutnya). Imam al-Nawawi menyambung lagi: “Sebahagian ulamak berpendapat bahawa kemungkinan sebab digalakkan berpuasa pada hari ke-9 dengan hari ke-10 ialah supaya tidak menyamai dengan amalan kaum Yahudi yang hanya berpuasa pada hari ke-10“. (Rujuk: al-Minhaj syarh Sahih Muslim, Bab al-Siyam, (Beirut: Dar al-Ma’rifah , cet.7, 2000), jil 4, hal. 254) .



Justeru, marilah kita merebut peluang di kesempatan bulan yang mulia ini untuk menambahkan amalan kita dengan berpuasa sunat. Renungilah saranan yang diberikan oleh Rasulullah saw seperti mana yang diriwayatkan oleh Jundub bin Sufian bahawa Rasulullah saw bersabda (maksudnya): (Sesungguhnya solat yang paling utama selepas solat fardhu ialah solat diwaktu tengah malam dan puasa yang paling utama selepas puasa Ramadhan ialah puasa di bulan Allah yang kamu panggilnya Muharram). (Hadis riwayat Imam al-Nasa’ie dengan sanad yang sahih).



Kepercayaan dan Amalan Yang Bukan Dari Ajaran Sunnah



Kesedaran umat Islam dalam mengisi kedatangan bulan Muharam yang mulia ini dengan pelbagai amalan merupakan satu tabiat yang baik. Kita yakin bahawa semua amalan yang dilakukan ini tidak lain dan tidak bukan kecuali di atas satu niat iaitu semoga ianya akan dimasukkan dalam senarai amalan soleh yang akan diberikan ganjaran pahala di akhirat kelak. Namun, peringatan Nabi saw di dalam urusan ibadah ini tidak boleh diabaikan begitu sahaja. Daripada A’isyah r.a berkata, bahawa Rasulullah saw bersabda yang maksudnya: (Sesiapa yang melakukan sesuatu amalan yang bukan daripada urusan kami (urusan agama) maka ianya akan tertolak). (Riwayat Muslim).



Sebab itulah para ulamak, diantaranya ialah al-Fudhail bin ‘Iyadh telah meletakkan bahawa syarat utama menjadikan sesuatu amalan itu diterima ialah ikhlas kerana Allah swt dan bertepatan dengan sunnah Rasulullah saw. Al-Fudhail dalam menafsirkan firman Allah di dalam surah Hud, ayat ke-8 dan surah al-Mulk ayat ke-2 iaitu (Maksudnya: (Allah menjadikan semua itu) untuk menguji kamu siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya)), beliau berkata: “iaitu yang lebih ikhlas dan lebih tepat. Sesungguhnya sesuatu amalan yang dilakukan dengan ikhlas tetapi tidak tepat, maka ianya tidak akan diterima, dan jika dilakukan dengan tepat tetapi tidak ikhlas, maka ianya juga tidak akan diterima, sehinggalah ianya dilakukan dengan ikhlas dan tepat“. Beliau berkata lagi: “Dan ikhlas itu ialah apabila dilakukan hanya kerana Allah ‘Azza wa Jalla semata-mata, dan yang dikatakan tepat itu ialah ianya bertepatan dengan sunnah“. (Ibn Rejab, Jami’ al-Ulum wa al-HIkam, Tahqiq:Dr. Yusof al-Baqa’I (Bierut: al-Maktabah al-‘Asriah, cet. ke-3, 2000), hal.15)



Justeru, dalam keghairahan kita menambahkan amal ibadah di dalam bulan Muharam yang mulia ini, marilah kita mengambil sedikit masa untuk mengkaji dan menyemak semula adakah amalan-amalan yang kita lakukan itu menepati syarat-syarat yang telah digariskan ini.



Di antara amalan-amalan di bulan Muharam ini yang tidak bersumberkan sunnah Rasulullah saw yang sahihah ialah:




  1. Memakai celak pada hari ‘Asyura dengan kepercayaan ia tidak akan ditimpa sakit mata buat selama-lamanya. Amalan ini diambil daripada hadis maudhu’ yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas, bahawa Rasulullah saw bersabda: ((Sesiapa yang memakai celak mata daripada arang pencelak mata pada hari ‘Asyura’, maka ia tidak akan ditimpa sakit mata buat selama-lamanya)). (Rujuk: al-Albani, Silsilah Ahadith al-Dhaifah, 624). Ibn al-Jauzi, al-Maudhu ‘at, 2/116). Hadis ini hukumnya maudhu’ (palsu). Imam Ahmad berkata: “Tidak ada riwayat (yang sahih) daripada Rasulullah saw tentang amalan memakai celak pada hari ‘Asyura, dan ianya adalah bid’ah“.

  2. Solat sunat yang khusus pada hari ‘Asyura. Amalan ini juga bersumberkan hadis maudhu’: (Sesiapa yang sembahyang padanya (hari ‘Asyura) empat rakaat, ia membaca pada setiap rakaat sekali surah al-Fatihah, dan lima puluh kali Qullhuwallhu ahad, maka Allah akan mengampunkan dosanya lima puluh tahun).

  3. Mandi yang khusus pada hari ‘Asyura’ dengan tanggapan dapat menghindarkan diri daripada sebarang sakit pada sepanjang tahun. Amalan ini juga bersandarkan kepada sebuah hadis maudhu’: (Barang siapa yang mandi dan bersuci pada hari ‘Asyura’, ia tidak akan ditimpa sebarang sakit pada sepanjang tahun, kecuali mati).

  4. Melebihkan pemberian seperti makanan, minuman, pakaian kepada ahli keluarga pada hari ‘Asyura’ dengan harapan semoga akan dimurahkan rezeki sepanjang tahun. Ini berdasarkan kepada sebuah hadis daripada ‘Alqamah bin Abdullah bahawa Rasulullah saw bersabda yang maksudnya: ((Sesiapa yang melapangkan pemberian (makanan, minuman, pakaian) kepada ahli keluarganya, pada hari ‘Asyura’, nescaya Allah akan melapangkan ke atasnya rezeki di sepanjang tahunnya)). Hadis ini hukumnya maudhu’, disebut oleh Ibn al-Jauzi di dalam kitabnya al-Maudhu’at,2/115).

  5. Menyediakan makanan yang khas seperti bubur (bubur ‘Asyura) yang dikaitkan dengan sunnah Rasulullah saw atau disandarkan kepada peristiwa nabi Nuh a.s yang menyuruh para pengikutnya memasak daripada sisa-sisa makanan dan biji-bijian setelah mendarat dan selamat daripada taufan besar. Ini juga adalah tanggapan yang tidak benar dan ianya bersumberkan daripada cerita-cerita dongeng Israiliyat. Inilah yang disebut oleh al-Imam Ibn Kathir di dalam kitab “Qashas al-Anbiya’.

  6. Membaca doa akhir tahun dan awal tahun. Tidak terdapat sebarang hadis sahih yang menyebut tentang amalan membaca doa akhir tahun dan doa awal tahun dengan jaminan penghapusan dosa setahun yang lepas. sepertimana yang diamalkan oleh sesetengah daripada umat Islam. Demikian juga tidak ada hadis-hadis sahih yang menyebut doa tersebut secara khusus.

Al-Syeikh Ali Mahfuz di dalam kitabnya al-Ibda’ fi Madhar al-Ibtida’ menyebut bahawa kebanyakan hadis-hadis maudhu’ ini yang berkaitan dengan amalan di bulan Muharam khasnya pada hari ‘Asyura telah dicipta oleh golongan pembunuh al-Husaian. Beliau juga memetik kata-kata al-Allamah Ibn al-‘Izz al-Hanafi: “Sesungguhnya tidak sahih daripada Nabi saw sebarang amalan pun pada hari ‘Asyura selain daripada puasa Baginda. Ada pun golongan Rafidhah melakukan bid’ah dengan mengadakan upacara berkabung demi melahirkan kesedihan di atas pembunuhan al-Husain pada hari ini. Dan golongan yang jahil daripada Ahli Sunnah menzahirkan kegembiraan mereka dengan membuat makanan dari biji-bijian (bubur) dan memakai celak dan mereka meriwayatkan hadith-hadith maudhu’tentang bercelak mata dan melapangkan pemberian makanan dan pakaian kepada ahli keluarga“. (Syiekh ‘Ali Mahfuz, al-Ibda’ fi Madhar al-Ibtida’ (Beirut: Dar Kutub al-Ilmiah, Cet. 1, 2001), hal. 271)



Demikianlah beberapa contoh daripada amalan-amalan umat Islam di dalam bulan Muharam ini yang tidak bersumberkan daripada sunnah Rasulullah saw yang sahih, mahu pun para sahabat dan para Imam kaum muslimin. Justeru, jalan yang terbaik ialah dengan mengikuti sunnah Baginda saw, dan seburuk-buruk perkara pula ialah mencipta sesuatu yang baru di dalam urusan agama. Semoga kita semua diberikan petunjuk oleh Allah swt untuk mengikuti sunnah Rasulullah saw.

~* Hiasi Muharam dengan amal soleh *~

ALLAH SWT dengan sifat-Nya Maha Pemurah (ar-Rahmah) lagi Maha Penyayang (ar-Rahman) sudah menetapkan sesetengah bulan itu memiliki keutamaan yang lebih berbanding bulan lain agar Dia dapat memberi ganjaran lebih kepada hamba-Nya pada kadar masa tertentu itu.


Antara bulan dianggap istimewa itu ialah Muharam - bulan pertama dalam kalendar Hijrah dan ia juga satu daripada empat bulan haram yang penuh berkat.


"Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang sudah ditetapkan) di dalam Kitab Allah ketika Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati.
"Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu pada bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang bertakwa."
[Surah At-Taubah: Ayat 36]

Menerusi firman-Nya yang bermaksud: "Maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya)" menunjukkan pada bulan haram iaitu Muharram satu daripadanya kita dilarang daripada melakukan perbuatan terlarang kerana dosa melakukan kemungkaran pada bulan ini adalah lebih buruk balasannya daripada Allah, berbanding bulan lain.


Tetapi bagi mereka yang melakukan amal soleh ganjaran pahalanya adalah lebih tinggi berbanding bulan yang lain.


Jika firman-Nya di atas hanya menunjukkan terdapat empat bulan yang dihormati dalam setahun, sabda Nabi s.a.w ini memperincikan lagi mengenai nama bulan berkenaan.


"Sesungguhnya zaman itu akan terus berlalu sebagaimana saat Allah menciptakan langit dan bumi. Setahun itu ada dua belas bulan. Empat di antaranya ialah bulan-bulan yang haram, tiga di antaranya ialah berturut-turut, iaitu bulan Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram. Bulan Rejab adalah bulan Mudhar (nama satu kabilah) yang terletak di antara Jamadilakhir dan Syaaban."
(Riwayat Imam al-Bukhari)

Oleh itu hendaklah pada bulan Muharam yang mulia ini kita hindarkan diri daripada melakukan amalan yang dilarang dan mempertingkatkan amal ibadat yang boleh mendekatkan diri kita kepada Allah terutama puasa.


Ini kerana Rasulullah s.a.w bersabda:


"Sebaik-baik puasa selepas Ramadan adalah bulan Allah al-Muharam dan sebaik-baik solat selepas solat fardu adalah solat malam."
(Riwayat Imam Muslim)

Sabda baginda "bulan Allah al-Muharam" menegaskan lagi betapa mulianya bulan Muharam ini. Oleh itu hendaklah kita bersungguh-sungguh untuk berpuasa sebanyak mungkin pada bulan Muharam.


Begitupun, ini tidak bermakna kita disyariatkan untuk berpuasa sepanjang bulan terbabit kerana Rasulullah s.a.w hanya berpuasa sebulan penuh pada Ramadan.


Aisyah r.a berkata: "Aku sama sekali tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w menyempurnakan puasa sebulan melainkan di bulan Ramadan dan aku tidak pernah melihatnya lebih banyak berpuasa melainkan pada bulan Syaaban."
(Riwayat Imam al-Bukhari)

Pada Muharam ini juga ada hari yang digelar sebagai Asyura iaitu hari di mana Nabi Musa a.s. dan pengikutnya diselamatkan oleh Allah daripada tentera Firaun.


"Nabi s.a.w datang ke Madinah dan dilihatnya orang-orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Menurut mereka; ini hari baik di saat mana Allah membebaskan Nabi Musa dari Firaun. Maka sabda Nabi s.a.w; kamu lebih berhak terhadap Musa daripada mereka maka berpuasalah."
(Riwayat Imam al-Bukhari)

Melalui hadis di atas ini juga dapat kita fahami amal ibadat khusus sempena hari Asyura yang diiktiraf oleh Rasulullah s.a.w adalah ibadat puasa.


Disunatkan juga untuk menambahkan puasa pada hari Asyura dengan berpuasa sehari sebelum atau sehari sesudahnya.


Rasulullah s.a.w memerintahkan hal ini bertujuan untuk menyelisihi amalan orang Yahudi. Sabda baginda, maksudnya:


"Berpuasalah kalian pada hari Asyura dan berselisihlah dengan orang Yahudi di dalamnya dan berpuasalah sehari sebelumnya atau sehari sesudahnya."
(Riwayat Imam Ahmad)

Kemunculan Muharram sebagai bulan pertama bagi kalendar umat Islam sentiasa dihiasi dengan beberapa amal ibadat tertentu. Upacara terbabit bermula pada hari terakhir Zulhijjah iaitu di ambang menjelangnya 1 Muharam.


Umat Islam digalakkan untuk berpuasa pada hari terakhir bulan Zulhijjah dan membaca doa akhir tahun selepas solat Asar. Seterusnya selepas menjelangnya 1 Muharam iaitu selepas solat Maghrib dibaca pula doa awal tahun, bacaan surah Yasin, zikir tertentu malah ada juga yang mengerjakan solat sunat sempena 1 Muharam dan berpuasa pada siang harinya.


Sebenarnya semua amalan terbabit atau apa juga amalan sempena tibanya tahun baru Hijrah tidak memiliki dalil sahih daripada Rasulullah s.a.w. bahkan imam mazhab seperti Abu Hanifah, Malik, Syafie dan Ahmad r.h juga tidak pernah mengamalkannya.


Sesungguhnya Rasulullah s.a.w tidak pernah menyambut kehadiran bulan Muharam atau kedatangan tahun baru dengan upacara tertentu.


Kalendar Hijrah juga tidak wujud pada zaman Rasulullah kerana ia hanya diperkenalkan pada zaman pemerintahan Umar al-Khattab iaitu tujuh tahun selepas baginda wafat.


Umar yang memperkenalkan kalendar ini juga tidak pernah melakukan atau menganjurkan upacara tertentu sempena kedatangan tahun baru dan begitu juga kalangan sahabat serta generasi soleh yang lain.


Adapun hadis dijadikan hujah oleh golongan yang melakukan amalan tertentu sempena kedatangan tahun baru adalah hadis lemah dan palsu, antaranya hadis daripada Ibn Abbas, yang berkata:


"Rasulullah s.a.w bersabda, sesiapa berpuasa pada hari akhir bulan Zulhijjah dan hari pertama di bulan Muharam, maka sesungguhnya dia sudah menghabiskan tahun yang lalu dan memulakan tahun baru dengan puasa yang Allah jadikannya sebagai penghapus dosanya 50 tahun."

Menurut Ibnu al-Jauzi di dalam al-Mawdhu'at, hadis berkenaan adalah palsu. Begitu juga dengan satu lagi hadis yang turut dinisbahkan palsu oleh Imam as-Suyuthi di dalam La'aali al-Mashnu'ah, iaitu hadis bermaksud:


Rasulullah s.a.w bersabda;


"Sesiapa berpuasa sembilan hari dari awal Muharam maka Allah membina untuknya sebuah kubah di udara yang luasnya satu batu persegi dan mempunyai empat buah pintu."

Setiap kali di ambang tahun baru Hijrah, media, jabatan atau pihak pentadbiran agama di Malaysia menganjurkan majlis bacaan doa akhir tahun dan doa awal tahun. Masjid di seluruh tanah air juga mengadakan upacara khas untuk membaca doa awal dan akhir tahun itu.


Ada sesetengah pihak berpandukan lafaz tertentu bersama kelebihan tersendiri yang dinyatakan dalam buku tertentu. Tetapi pada hakikatnya ada lafaz doa terbabit dan fadilat yang dinyatakan itu tidak pernah tercatit dalam mana-mana kitab hadis.


Menurut Syeikh Jamaluddin al-Qasimi r.h, doa terbabit ialah doa yang direka dan tidak berasal daripada Nabi s.a.w, tidak juga berasal daripada kalangan sahabat, tabiin dan tidak diriwayatkan dalam musnad sehinggakan ia tidak wujud dalam kitab maudhu'at (iaitu kitab yang memuatkan hadis palsu).


Doa terbabit hanya dicipta oleh syeikh jadi-jadian. Ayat seperti "berkatalah syaitan kesusahanlah bagiku dan sia-sialah pekerjaanku pada setahun ini dibinasakan dengan satu saat jua dengan sebab membaca doa-doa ini" (yang dinyatakan pada sesetengah buku doa awal dan akhir tahun) adalah suatu pembohongan yang sangat besar ke atas Allah dan Rasul-Nya.


Tetapi sekiranya sesiapa yang hendak membacanya tanpa beritikad seperti yang ada di dalam fadilat yang direka itu, silakan kerana ia termasuk di dalam keumuman doa dan perlu diingat tidak ada upacara khas atau dibaca beramai-ramai (untuk membaca doa terbabit).


* Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

~* Why Do Muslims Fast In Ramadan? *~

What is Fasting (Sawm)? Sawm (Arabic: صوم) is an Arabic word for fasting regulated by Islamic jurisprudence. In the terminology of Islamic l...