Saturday, December 29, 2007

~* 15 perkara boleh undang bencana terhadap manusia *~


TIADA siapa dapat menghalang kekuasaan Allah (SWT). Banjir besar yang melanda beberapa negeri di pantai timur Semenanjung kali ini benar-benar menguji kesabaran mangsa dan agensi penyelamat yang terbabit dengan usaha membantu mangsa banjir.


Apa yang dapat disimpulkan, punca pelbagai malapetaka yang berlaku adalah disebabkan kemelut dan krisis yang sengaja dicipta manusia sendiri. Sebahagian manusia hari ini seolah-olah hilang keyakinan untuk menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah di bumi Allah (SWT).


Disebabkan kerenah dan krisis yang berlaku di kalangan manusia itu juga barangkali Allah (SWT) sengaja menimpakan bencana ke atas segelintir hamba-Nya sebagai ujian dan takdir yang tidak dapat ditolak.


Sesungguhnya hanya dengan keyakinan, iltizam, istiqamah dan keinsafan mendalam, akan membolehkan kita mencari kekuatan diri bagi mengimarahkan bumi Allah (SWT) dengan perbuatan diredai kerana kita hanya makhluk Allah (SWT) yang dipinjamkan sementara untuk menetap di alam ini.


Setiap apa juga kerakusan dan keterlanjuran berlaku, bukanlah disebabkan pihak tertentu saja. Ia mungkin disebabkan rentetan peristiwa berpanjangan akibat daripada keegoan manusia untuk menguasai bumi secara total dan sering menganggap orang lain tidak ubah seperti hamba.


Tanpa sikap toleransi dan saling faham memahami, tentu saja pelbagai kejadian negatif akan mudah meletus. Apabila tercetusnya pertelingkahan, permusuhan dan dendam, sudah pasti meletuslah perbalahan yang akhirnya hanya memusnahkan sebahagian besar makhluk di bumi.


Dapat difahami, Allah (SWT) berhak menurunkan apa juga ujian ke atas hamba-Nya yang tidak bersyukur dengan nikmat dan kurniaan-Nya bahkan melakukan perbuatan yang sentiasa mengundang kemurkaan Allah (SWT).


Ada waktunya Allah (SWT) hanya menurunkan malapetaka kecil. Ia adalah amaran Allah (SWT) supaya manusia segera menghentikan daripada berbuat sesuatu yang boleh mengundang kemarahan-Nya. Tetapi, apabila datang bala lebih besar, ia bukan lagi sebagai ingatan dan amaran, sebaliknya adalah bencana yang sengaja diturunkan Allah (SWT) untuk memberi pembalasan di atas kerakusan manusia.


Firman Allah (SWT) lagi yang bermaksud:


“Wahai kaumku, mintalah ampun daripada Tuhanmu, kemudian kembalilah mentaati-Nya supaya diturunkan hujan lebat dan menambah bagi kamu kekuatan yang sedia ada dan janganlah kamu membelakangi seruan-Ku dengan terus menerus melakukan dosa.” (Surah Hud, ayat 52)


Keengganan menunaikan tuntutan agama seperti mengeluarkan zakat juga adalah salah satu hal yang boleh mengundang kemurkaan Allah (SWT). Antaranya melalui kejadian kemarau panjang.


Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:


“Tidak menghalang sesuatu kaum itu dari mengeluarkan harta mereka melainkan mereka menghalang langit daripada menurunkan hujan. Kalaulah tidak kerana binatang yang ada di muka bumi ini, nescaya langit pasti tidak akan menurunkan hujan buat selama-lamanya.” (Hadis riwayat Muslim)


Daripada Tarmidzi, daripada Ali, bersabda Rasulullah SAW yang bermaksud:


“Apabila umatku melakukan 15 perkara berikut, maka layaklah bagi Allah (SWT) menimpakan bencana ke atas mereka iaitu:


  1. Apabila harta yang dirampas daripada peperangan diagihkan kepada orang tertentu saja.
  2. Apabila wang zakat dikeluarkan kerana menebus kesalahan.
  3. Apabila sesuatu yang diamanahkan menjadi milik sendiri.
  4. Apabila suami terlalu mentaati isteri.
  5. Apabila anak menderhaka kedua ibu bapanya.
  6. Apabila seseorang itu lebih memuliakan teman daripada ibu bapa sendiri.
  7. Apabila kedengaran lebih banyak bunyi bising.
  8. Apabila lebih ramai membicarakan hal keduniaan di dalam masjid.
  9. Apabila pemimpin sesebuah kaum itu adalah orang dihina oleh kaumnya sendiri.
  10. Apabila memuliakan orang lain kerana takutkan ancaman yang akan diambil ke atasnya.
  11. Apabila arak menjadi minuman biasa dalam majlis.
  12. Apabila ramai lelaki memakai sutera.
  13. Apabila wanita dijemput ke dalam majlis untuk menghiburkan lelaki.
  14. Apabila wanita mula bermain alat muzik.
  15. Apabila orang terkemudian menghina orang yang terdahulu.

Maka pada saat itu, tunggulah bala yang akan menimpa dalam bentuk angin (puting beliung) dan gerak gempa yang maha dahsyat atau tanaman tidak menjadi.”


- Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

~* Ibadat mesti tepati konsep pengabdian diri *~


TUJUAN dan matlamat hakiki hidup insan ialah menyembah dan mengabdikan diri kepada Allah (SWT). Sebagai hamba Allah (SWT), sepatutnya manusia tunduk dan patuh, mengikut dan menurut serta taat dan setia kepada apa yang diperintahkan Allah (SWT).


Allah (SWT) berfirman yang bermaksud:


“Dan ingatlah Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.” (Surah az-Dzaariyaat, ayat 56)


Firman Allah (SWT) lagi yang bermaksud:


“Tidak ada sesiapa pun di langit dan di bumi melainkan ia akan datang kepada (Allah (SWT)) Ar-Rahman, sebagai hamba.” (Surah Maryam, ayat 93)


Ketaatan dijelmakan melalui amalan dalam bentuk amal ibadat yang dilaksanakan setiap hari. Felo Kehormat Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (Istac), Dr Muhammad Uthman el-Muhammady berkata, ibadat adalah perkara puncak bagi Bani Adam kerana ia satu-satunya jalan menghubungkan hamba dengan ar-Rabb (Tuhan). Ia menjadi penyelamat insan dari alam dunia ke alam akhirat.


Prof T M Hasbi Ash Shiddieqy menjelaskan, ibadat dilaksanakan oleh hamba yang mukmin bergantung kepada hati yang maqashid (memakrifat sifat dan zat Allah (SWT)) dan wasa’il (mengetahui hukum-hakam Allah (SWT)) dalam melaksanakan sesuatu ibadat amalan dalam hidupnya. Dengan adanya jiwa yang maqasid dan wasa’il, seseorang itu akan dapat merasakan kebesaran Allah (SWT), takut dan harap kepada Allah (SWT).


Seluruh ibadat mestilah menepati konsep pengabdian diri kepada Allah (SWT), niat kerana Allah (SWT) serta ikhlas dalam semua perkara dan aktiviti kehidupan mestilah dalam lingkungan syariat serta bersifat ehsan dalam beramal.


Semuanya terangkum dalam solat yang merangkumi rukun perbuatan, perkataan dan hati yang kemudian disimpulkan dalam solat. Ahli sufi melihat solat yang dihadirkan dengan makrifatullah akan mencapai maqam ehsan.


Makrifat terhadap Allah (SWT) sangat penting dan menjadi asas hamba menyembah Penciptanya. Seorang hamba itu harus mengenal Tuhan sebagai ‘Wujud Hakiki’ melalui sifat dan nama-Nya (Asma ul-husna).


Intisari dan inti pati ibadat pula adalah ikhlas. Ia menjadi nilai dan ukuran di sisi Allah (SWT) pada setiap bentuk pengabdian dan ibadat. Sementara tawakal pula membawa pengertian menyerah sepenuhnya kepada Allah (SWT) Yang Maha Agung.


Hanya dengan cara pengabdian yang tepat inilah, maka jiwa manusia akan kembali damai, tenang dan tenteram.


- Oleh Mohd Ayop Abd Razid

~* Gugur iman jika sengaja tinggalkan solat *~


NABI Muhammad SAW pernah ditanya apakah Islam, lantas Baginda menjawab:


“Islam itu dibangunkan atas lima perkara, syahadah bahawa tiada Tuhan kecuali Allah dan bahawa Muhammad adalah Rasulullah, mendirikan solat, menunaikan zakat, puasa pada bulan Ramadan dan haji ke rumah Allah (Baitullah).” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)


Tidak seperti ibadat lain, kewajipan solat diwahyukan terus kepada Nabi Muhammad SAW pada malam berlakunya peristiwa Israk Mikraj tanpa melalui perantaraan malaikat Jibril sebagaimana dijelaskan oleh Malik bin Anas:


Pada malam Israk difardukan kepada Nabi SAW solat sebanyak 50 kali, kemudian dikurangkan hingga lima kali (sehari) kemudian diseru (oleh Allah ), “Wahai Muhammad! Sesungguhnya ketetapan-Ku tidak akan diubah. Dan bagimu dengan solat lima kali (sehari) akan mendapatkan pahala sebanyak solat lima puluh kali.” (Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi)


Ini menunjukkan keagungan dan keistimewaan ibadat solat melebihi ibadat lain. Solat juga adalah tiang asas bagi agama Islam dan jika tiang itu runtuh maka runtuhlah segala-galanya berkaitan agama.


Begitulah tingginya martabat ibadat solat di sisi Islam. Tidak menghairankan jika perkara yang mula dihisab pada hari akhirat nanti adalah solat. Jika seseorang itu tidak bersolat, maka sia-sialah segala amal ibadatnya yang lain.


Sabda Nabi SAW yang bermaksud:


“Sesungguhnya yang pertama kali dihisab bagi seseorang hamba di hari kiamat daripada amalnya ialah solatnya, jika solatnya itu adalah baik maka dia termasuk dalam orang yang bahagia lagi beruntung dan jika amal solatnya rosak maka dia termasuk orang yang rugi dan tidak beruntung.” (Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi)


Oleh itu, umat Islam perlu memberi perhatian tinggi terhadap kesempurnaan ibadat solat kerana implikasinya terhadap diri kita begitu besar. Namun, sayang seribu kali sayang, masih ramai kalangan umat Islam melalaikan solat.


Ulama berbeza pendapat mengenai hukum mereka yang meninggalkan solat secara sengaja. Golongan pertama berpendapat meninggalkan solat secara sengaja kerana malas atau lalai tanpa mengingkari akan kewajipannya, maka mereka tergolong dalam golongan yang fasik (melakukan dosa besar) tetapi tidak kafir.


Bagi mereka yang meninggalkan solat secara sengaja dan menolak akan kewajipannya, maka mereka adalah kafir. Golongan ini berpendapat semua bentuk kesalahan di atas muka bumi ini masih boleh diampunkan oleh Allah (SWT) kecuali dosa syirik.


Ini seperti firman-Nya yang bermaksud:


“Sesungguhnya Allah (SWT) tidak akan mengampunkan dosa orang yang menyekutukan-Nya dengan sesuatu, dan akan mengampunkan yang lain daripada kesalahan (syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut peraturan hukum-Nya); dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (SWT) dengan sesuatu (apa juga), maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.” (Surah al-Nisaa’, ayat 116)


Golongan kedua berpendapat mereka yang meninggalkan solat secara sengaja kerana malas atau lalai, baik dia mengakui kewajipan solat atau tidak, semua mereka ini termasuk dalam golongan kafir dan terkeluar daripada Islam. Mereka ini hendaklah bertaubat serta mengucapkan dua kalimah syahadah semula.


Ayat al-Quran dan hadis Nabi SAW yang sahih secara jelas menunjukkan ibadat solat adalah penentu keimanan seseorang. Meninggalkan solat dengan sengaja boleh menyebabkan pelaku gugur keimanannya.


Firman Allah (SWT) yang bermaksud:


“Patutkah Kami (berlaku tidak adil, dengan) menjadikan orang Islam (yang taat), sama seperti orang yang berdosa (yang kufur ingkar)? Apa sudah jadi kepada akal kamu? Bagaimana kamu menetapkan hukum (yang terang salahnya itu)? Adakah kamu mempunyai sesebuah Kitab (dari Allah (SWT)) yang kamu baca dan pelajari? Bahawa di dalam Kitab itu membolehkan kamu mendapat apa saja yang kamu pilih? Atau adakah kamu mendapat akuan yang ditegaskan dengan sumpah daripada Kami, yang tetap hingga hari kiamat, menentukan bahawa kamu dapat mencapai apa yang kamu putuskan? Bertanyalah kepada mereka: Siapakah orangnya di antara mereka yang menjamin benarnya hukum: bahawa mereka akan mendapat di akhirat apa yang didapati oleh orang Islam? Atau adakah mereka mempunyai sekutu-sekutu (yang sefaham dengan mereka? (Jika ada) maka hendaklah mereka membawanya, jika betul mereka orang yang benar. (Ingatkan orang yang tidak beriman) akan masa didedahkan kedahsyatan huru-hara (hari kiamat), dan mereka diseru supaya sujud maka mereka tidak dapat melakukannya, Sambil pandangan mereka tunduk malu, serta mereka diliputi kehinaan; dan sesungguhnya mereka (di dunia) dulu telahpun diseru supaya sujud (tetapi mereka enggan) sedang mereka dalam keadaan sihat.” (Surah al-Qalam, ayat 35-43)


Allah (SWT) memulakan ayat itu dengan menyanggah mereka yang menyamakan taraf hamba-Nya yang taat kepada perintah-Nya dengan mereka yang ingkar atau kafir. Kemudian Allah (SWT) menggambarkan keadaan huru-hara di alam akhirat dan Allah (SWT) memerintahkan hamba-Nya sujud menyembah-Nya.


Namun, bagi mereka yang dulunya di dunia tidak bersujud (bersolat) kepada Allah (SWT) secara sengaja tanpa uzur, mereka tidak mampu untuk bersujud kepada-Nya berserta orang Islam lain. Ini menunjukkan mereka itu termasuk golongan orang kafir dan munafik yang mana ketika semua umat Islam bersujud kepada Allah (SWT), mereka enggan kerana tidak mampu.


Andai kata mereka termasuk di kalangan orang Islam, tentu mereka mampu bersujud kepada-Nya di alam akhirat kelak. Beginilah hinanya mereka yang tidak mengerjakan solat ketika kehidupan di dunia ini.


Ancaman mengenai kafirnya mereka yang meninggalkan solat secara sengaja pernah disuarakan Nabi SAW seperti sabdanya yang bermaksud:


“Perjanjian di antara kita (orang Islam) dan mereka (orang kafir) ialah solat, dan barang siapa meninggalkan solat sesungguhnya dia telah menjadi seorang kafir.” (Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi)


Sabda Baginda SAW lagi:


“Sesungguhnya yang memisahkan antara seseorang dengan kesyirikan dan kekufuran dengan meninggalkan solat.” (Hadis riwayat Imam Muslim)


Jelas kedua hadis itu menunjukkan bahawa mereka yang meninggalkan solat kafir atau gugur keimanannya. Pada akhirat kelak mereka akan diletakkan bersama Qarun, Haman, Fir’aun dan Ubai bin Khalf .


Daripada Nabi SAW bahawa pada suatu hari Baginda memperingatkan mengenai solat maka Baginda bersabda yang bermaksud:


“Barang siapa yang memeliharanya (yakni solat), maka dia akan memperoleh cahaya, bukti keterangan dan kebebasan di hari kiamat. Dan bagi mereka yang tidak mengendahkannya (yakni solat), maka dia tidak akan memperoleh cahaya, bukti keterangan dan kebebasan, sedang di hari kiamat dia akan bersama Qarun, Fir’aun, Haman dan Ubai bin Khalf.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)


Apa kaitannya Qarun, Haman, Fir’aun dan Ubai bin Khalf dengan mereka yang meninggalkan solat? Kebiasaannya mereka yang meninggalkan solat terdiri daripada mereka yang terlalu sibuk menguruskan harta, kerajaan, kekuasaan dan perniagaannya.


Menurut Syaikh Sayyid Sabiq:


“Maka orang yang bimbang dengan harta, dia akan senasib dengan Qarun, dan yang sibuk menguruskan kerajaan, dia akan bersama Haman dan sesiapa yang terpedaya oleh kebesaran dan urusan pemerintahan dia akan ditemankan oleh Fir’aun, sedangkan orang yang bimbang menguruskan perniagaan maka dia akan berada bersama Ubai bin Khalf.” (Syaikh Sayyid Sabiq Fikih Sunnah)


Menurut Imam al-Syafie,


“Barang siapa yang meninggalkan solat wajib sementara dia Muslim, maka dia harus ditanya: Mengapa kamu tidak bersolat? Jika dia menjawab: Saya terlupa. Maka katakanlah: Solatlah engkau ketika sudah ingat. Jika dia menjawab: Kerana saya sakit. Maka katakanlah kepadanya: Solatlah semampumu; berdiri, duduk atau berbaring atau dengan isyarat. Apabila dia menjawab: Saya mampu untuk bersolat, tetapi saya tidak solat dan saya akui solat itu wajib hukumnya. Maka katakanlah kepadanya: Solat itu adalah amal yang tidak boleh diwakilkan kepada yang lain. Ia wajib dikerjakan oleh kamu oleh itu bertaubatlah. Jika tidak kami akan membunuhmu.” (Manhaj Aqidah Imam Asy-Syafi’i karya Dr Muhammad A W al-Aqil)


Namun begitu, hukuman bunuh hanya boleh dilaksanakan oleh penguasa Muslim yang sah di sesebuah negara melalui proses kehakiman. Beginilah seriusnya hukum terhadap mereka yang meninggalkan solat secara sengaja.


Ketahuilah bahawa solat itu wajib ‘ain dan tiada yang terkecuali darinya walaupun sebesar mana kedudukannya di dunia ini dan pada mata masyarakat.


- Oleh Mohd Yaakub Mohd Yunus

Wednesday, December 26, 2007

~* 5 Panduan Kebahagiaan Dunia Akhirat *~


  • Selalu mengucapkan kalimah tayyibah iaitu “La ilaha illallah muhammadar rasulullah”.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bemaksud:


“Banyakkanlah berzikir kepada Allah pada setiap perkara kerana tidak ada amal yang paling dicintai oleh Allah dan tidak ada yang menyelamatkan seorang hamba daripada keburukan di dunia dan akhirat melainkan berzikir kepada Allah.”


  • Apabila ditimpa sesuatu musibah, ucapkanlah “Innalillahi wa-inna-ilaihi-rojiun”.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:


“Janganlah memperbanyakkan perkataan melainkan zikir kepada Allah. Sesungguhnya banyak ucapan yang bukan zikir kepada Allah menjadikan hati kesat. Orang yang paling jauh daripada Allah ialah orang yang mempunyai hati yang kesat.” Hadis riwayat at-Tarmizi.


Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:


“Apakah tiada aku tunjukkan kepadamu kunci untuk membuka pintu daripada pintu-pintu syurga?” Kata sahabat, “Apakah kunci untuk pintu syurga itu?” Jawab Rasulullah s.a.w. “Dengan sentiasa menyebut “Lahaula-wala quwwata-illa billahil ‘aliyi-azim.” Zikir ini bermaksud, “Tiada daya, tiada kekuatan melainkan dengan izin Allah.” Apabila zikir ini selalu disebut-sebut, insya-Allah seseorang itu akan diberi ketenangan dalam menerima ujian dan keredaan daripada Allah.


  • Apabila dikurniakan nikmat, maka ucapkanlah “Alhamdulillah" sebagai tanda bersyukur atas nikmat yang diberi oleh Allah.

Rasulullah s.a.w. bersabda, bermaksud:


“Ucapan yang paling disukai oleh Allah ada empat iaitu Subhanallah, Alhamdulillah, Wa la ilahaillallah, Allahu akbar.”


Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud:


“Sekiranya dunia dan seluruh harta kekayaan yang berada di atasnya diserahkan ke tangan seorang daripada umatku, kemudian orang itu berkata Alhamdulillah, maka ucapan Alhamdulillah itu lebih berharga daripada seluruh harta itu. Ini kerana harta dunia akan habis, tetapi ucapan Alhamdulillah itu akan berkekalan selama-lamanya hingga akhirat.”


  • Ucapkanlah Bismillahir-rohmanir-rahim ketika hendak memulai sesuatu pekerjaan.

Rasulullah s.a.w. bersabda bahawa setiap pekerjaan baik yang tidak dimulai dengan menyebut nama Allah, maka pekerjaan itu tidak mendapat keberkatan daripada Allah.


  • Ucaplah “Astaghfirullahal-a zim wa atubu ilaih” apabila terbuat dosa.

Rasulullah s.a.w. bersabda,


“Perlukah aku beritahu kepadamu tentang suatu penyakit dan ubatnya kepada kamu? Sesungguhnya penyakit manusia itu adalah dosa, dan ubatnya adalah istighfar.” Sebagai manusia kita tidak sunyi daripada melakukan salah dan dosa, maka cepat-cepatlah beristighfar dan bertaubat kepada Allah. Dalam hadis lain Rasulullah bersabda, yang bermaksud, “Barang siapa yang membiasakan dirinya membaca istighfar, Allah akan melepaskannya daripada segala macam kesempitan dan terlepas daripada setiap kesusahan dan Allah memberi rezeki kepadanya dengan tidak disangka-sangka.” Hadis riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Majah.


Mudah-mudahan panduan ini dapat diamalkan untuk mendapatkan kehidupan yang diredai oleh Allah dan mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat.

~* Peluang huni syurga besar, tetapi tak direbut *~


DARIPADA Abdullah, katanya Rasulullah SAW bersabda kepada kami:


“Tidakkah kamu gembira bahawa satu perempat daripada penghuni syurga itu daripada kamu?” Kata Abdullah, kami pun segera mohon ditambah. Kemudian berkata pula Baginda: “Tidakkah kamu gembira bahawa sepertiga penghuni syurga itu daripada kamu?” Kata Abdullah, kami pun mohon diperbanyakkan lagi. Akhirnya Rasulullah SAW berkata: “Sesungguhnya saya mengharap bahawa satu perdua daripada penghuni syurga itu daripada kamu. Ketahuilah! Bahawa bandingan jumlah kaum Muslimin dengan kaum kafir itu, laksana sehelai bulu putih ditubuh sapi hitam atau sehelai bulu hitam di tubuh sapi putih.” (Hadis riwayat Muslim)


Umat Islam seharusnya bersyukur kerana dikurniakan hidayah yang benar dan diredai Allah (SWT). Namun, fenomena hari ini memperlihatkan kepada kita tidak semua yang menganut Islam itu benar-benar menghayati ajaran agamanya bahkan ada juga yang memilih agama lain.


Betapa mudahnya iman mereka goyah kerana godaan dan hasutan duniawi. Oleh itu, benarlah seperti sabda Rasulullah SAW bahawa umat Islam itu ramai, namun nilaian mereka hanyalah seperti buih di lautan yang tidak mendatangkan apa-apa kesan.


Mereka mudah dipermainkan pihak musuh, bahkan mereka sendiri bertelagah di antara satu sama lain. Justeru, peluang untuk kita menghuni syurga Allah (SWT) amat besar namun peluang itu tidak direbut oleh semua orang.


Ramai berebut mengejar nikmat dunia yang sedikit ini berbanding dengan nikmat akhirat yang jauh lebih besar. Kesesatan manusia hari ini tidak mustahil membuatkan iman mereka semakin kurang yang akhirnya cara hidup mereka seolah-olah tiada bezanya lagi dengan orang kafir.


- Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Tuesday, December 18, 2007

~* Sabar hadapi ujian bukti insan beriman *~


MENGUNGKAP perkataan sabar, tenang, jangan marah, jangan ikut hati, jangan gopoh dan reda kepada orang lain memang mudah. Itulah kata-kata azimat sebagai tanda simpati dan nasihat kepada individu berdepan musibah atau keadaan memerlukan kesabaran untuk menghadapinya.


Namun, ternyata amat payah untuk diri sendiri mengamalkan sikap sabar. Ketika menghadapi musibah atau keadaan yang mengatasi daya ketahanan fizikal dan mental, memang amat sukar untuk bersabar. Sebab itu, individu dalam keadaan sedemikian memerlukan sokongan emosi daripada orang lain.


Sabar bererti menahan diri ketika mengalami penderitaan, musibah, keadaan tidak diingini dan kegagalan. Sifat sabar juga diperlukan agar tidak mengikut kehendak hati atau perasaan mendorong melakukan perbuatan mendatangkan keburukan.


Tanda sabar juga ialah apabila sanggup melakukan perkara sukar demi untuk mendapat kebaikan. Istiqamah dan kesungguhan yang tinggi, serta sanggup menghadapi tempoh panjang dalam melakukan sesuatu tugas juga termasuk dalam erti sabar.


Dari sudut agama, sabar dikategorikan kepada tiga perkara. Pertama, menahan diri daripada perkara disukai, tetapi dilarang oleh agama. Kedua, menahan diri daripada keadaan tidak disukai atau kesusahan yang dihadapi. Manakala ketiga, melakukan perintah Allah (SWT).


Sifat sabar amat dituntut dalam Islam. Banyak kebaikan diperoleh oleh mereka yang bersabar. Sesungguhnya Allah (SWT) tidak mensia-siakan amalan hamba-Nya yang bersabar dengan diganjar kebaikan di dunia dan akhirat.


Banyak perbuatan disukai manusia tetapi ditegah oleh agama. Perbuatan itu tentunya mendatangkan keburukan jika dilakukan. Islam menetapkan peraturan hidup agar menjauhkan perbuatan mendatangkan keburukan.


Nafsu manusia mudah tertarik kepada perbuatan mendatangkan kepuasan sementara. Bisikan syaitan menyebabkan nafsu cenderung melakukan perbuatan yang ditegah. Individu yang tidak melakukan perbuatan itu akan terasa rugi, sedangkan orang lain menikmatinya dengan rasa puas.


Justeru, sifat sabar penting untuk menghalang diri turut terbabit perbuatan mendatangkan keburukan itu. Kesabaran dalam kategori ini ada manifestasi kepada tanda bertakwa, yakini takut melakukan perbuatan yang ditegah.


Bersabar dalam kategori kuat menghadapi musibah banyak situasinya. Perkara yang menyusahkan keadaan fizikal dan rohani kerap dihadapi silih berganti. Kematian, penyakit berbahaya, kerugian harta benda dan kejadian tidak menyenangkan mesti dihadapi dengan sabar.


Kesabaran menghadapi ujian dapat memberi ketenangan menerima ujian daripada Allah (SWT). Banyak kebaikan terselindung di sebalik sesuatu kejadian. Terimalah itu sebagai qada dan qadar ditentukan oleh Allah (SWT).


Namun, kita wajib berusaha mengelak daripada ditimpa perkara buruk. Melakukan tindakan pencegahan adalah sebahagian daripada usaha yang mendapat balasan kebaikan. Kita tidak boleh berserah kepada takdir semata-mata. Dikatakan takdir hanya selepas usaha dilakukan.


Musibah antara cara Allah (SWT) menguji kesabaran hamba-Nya. Firman Allah (SWT) bermaksud:


“Dan sesungguhnya akan Kami berikan ujian kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan hrata, jiwa dan buah-buahan. Dan berikan berita gembira kepada orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah, ayat 155)


Individu memiliki iman yang teguh, nescaya tidak rasa keluh kesah menerima ujian Allah (SWT). Mereka tenang dan bersabar atas apa yang menimpa. Pada masa yang sama usaha untuk mendapat kebaikan diteruskan tanpa jemu.


Dari situ, Allah (SWT) memberi balasan yang lebih baik. Bahkan, banyak individu yang bersyukur menyatakan kebaikan diperoleh hasil usaha selepas pernah menerima musibah sebelumnya.


Firman Allah (SWT) bermaksud:


“Dan sesungguhnya Kami akan membalas orang yang sabar dengan memberikan pahala lebih baik daripada apa dikerjakan oleh mereka.” (Surah an-Nahl, ayat 96).


Orang sabar sentiasa mendekatkan dirinya di sisi Allah. Iman dan takwanya semakin teguh. Hatinya tabah berserah kepada Allah (SWT). Dalam hatinya tetap beriktikad dan yakin bahawa apapun yang dialaminya tidak sekali-kali menyebabkan dia menyekutukan Allah (SWT).


Individu bersabar tetap memohon pertolongan dan doa kepada Allah (SWT), tanpa sedikit berpaling mencari pertolongan kepada lain. Hal demikian tidak sia-sia kerana sesungguhnya Allah (SWT) akan sentiasa bersama-sama dengan orang sabar.


Segala apa terjadi ketentuan daripada Allah (SWT). Hamba bertakwa sentiasa melakukan perkara disuruh dan menjauhkan apa dilarang.


Sesungguhnya Allah menggantikan sabar dan takwa dengan pertolongan tidak disangka-sangka. Sesuatu keburukan mungkin berlaku akan digantikan oleh Allah (SWT) dengan kebaikan atas sifat rahmat-Nya.


Kategori sabar dan tekun melakukan sesuatu tugas juga penting dijadikan amalan. Kebanyakan usaha memerlukan masa yang lama, baru mencapai apa diingini. Kesabaran amat perlu ketika berdepan dengan kegagalan. Ia dapat mengelak diri daripada berputus asa dan tidak mahu meneruskan perjuangan.


Individu yang bersabar menerima setiap kegagalan sebagai satu cabaran untuk berusaha lebih gigih. Sikap itu membuka peluang untuk berjaya dengan lebih cemerlang. Usaha untuk berjaya dilakukan dengan fikiran lapang dan lebih berhemah.


Mengapa mesti marah dengan kegagalan? Sepatutnya kegagalan dijadikan perangsang untuk berusaha lebih gigih secara konsisten. Kejayaan hasil usaha lama dan menghadapi kesukaran lebih bermakna dan dihargai.


Kejayaan tokoh ternama dalam bidang masing-masing dicapai hasil daripada sikap sabar dan tekun dalam usaha yang dilakukan. Mereka terpaksa menghabiskan masa dan tenaga untuk mencapai apa dihajati.


Individu yang tidak bersabar sesungguhnya menjadi rakan syaitan yang sering mencetuskan kerosakan dengan api kemarahan. Syaitan menggalakkan sikap tidak sabar untuk merosakkan kehidupan manusia.


- Oleh Lokman Ismail

~* Why Do Muslims Fast In Ramadan? *~

What is Fasting (Sawm)? Sawm (Arabic: صوم) is an Arabic word for fasting regulated by Islamic jurisprudence. In the terminology of Islamic l...