Monday, November 24, 2008

~* Doa mohon dicukupkan keperluan *~


اللَّهُ لاَ إِلَهَ~َ إِلاَّ هُوَ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَهُوَ رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ

Allāhu Lā 'Ilāha 'Illā Huwa `Alayhi Tawakkaltu Wa Huwa Rabbu Al-`Arshi Al-`Ažīmi

Ertimya:


"Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepadaNya aku berserah diri, dan Dia lah yang mempunyai Arasy yang besar."



Keterangan Ayat


Menurut Ibnu Abi Hatim, perkataan Arasy dalam al-Quran merujuk kepada tempat yang tinggi dijadikan Allah. (Tafsir Ibnu Abi Hatim, tafsir ayat 129, surah al-Taubah)


Dalam hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim, Nabi SAW sering berdoa menyeru Allah yang memiliki Arasy yang hebat ketika menghadapi keadaan kritikal.


Abu Daud dan Ibnu al-Sunni meriwayatkan daripada Abu Darda’ r.a. secara mauquf bahawa Nabi SAW bersabda:


“Sesiapa yang membacakan ayat ini pada waktu pagi dan petang, sebanyak tujuh kali, maka Allah SWT akan mencukupkan semua urusan dunia dan akhiratnya.”

[Al-Durrul Manthur, tafsir ayat 129 surah al-Taubah]

Khasiat dan Kaifiat Beramal


Amalan membaca ayat ini sudah lama dipraktikkan dalam masyarakat Melayu. Mudah-mudahan kita dapat mengamalkan ayat yang pendek ini untuk mendapat keselamatan daripada Allah SWT.

~* Amalan-amalan ibadat haji *~


KEHIDUPAN berilmu merupakan tonggak kepada sistem dan asas penting yang didambakan oleh setiap peribadi muslim di zaman moden ini. Penghayatan terhadap ilmu semestinya diabadikan di dalam setiap gerak-geri dan tingkah lakunya sepanjang masa. Ia bermula dari ibadah solat, berzakat, berpuasa, sehinggalah bernikah kahwin, bermuamalat, bermasyarakat, bekerja dan sebagainya.


Antara tuntutan ilmu yang menjadi kewajipan bagi mereka yang berkenaan adalah mengetahui atur cara ibadah haji yang merupakan rukun kelima Islam.


Di sini disenaraikan turutan amalan ibadah haji yang diamalkan oleh Baginda Nabi SAW dan dibudayakan oleh generasi terkemudian, yang perlu dilakukan oleh mereka yang ingin menelusuri cara ibadah tersebut. Bermula dengan hari kelapan yang dikenali dengan hari al-Tarwiyah, kemudian hari kesembilan yang digelar hari Arafah, sehinggalah hari kesepuluh (hari Nahar), serta tiga hari al-Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah).


Menurut catatan sirah Rasulullah SAW, perjalanan Hajjatul al-Wada’ yang mengambil masa lapan hari itu bermula dari hari Sabtu 25 Zulkaedah dari miqat Zul Hulaifah di Madinah dan sampai di kota Mekah pada pagi 4 Zulhijjah tahun ke 10 Hijrah.


Setelah menunaikan tawaf di Kaabah dan ibadah saie antara bukit Safa dan Marwah tujuh kali, Baginda berterusan dalam keadaan berihram dan tidak bertahallul (bergunting) kerana ibadat haji yang dikerjakannya adalah Qiran (haji dan umrah dilakukan bersekali), lantaran membawa al-Hadyu (haiwan ternakan untuk dikorban di Makkah) dari Madinah lagi.


Walau bagaimanapun para sahabatnya yang tidak membawa al-Hadyu diarahkan supaya menjadikan ihram mereka terdahulu sebagai ibadah umrah lalu bergunting atau bercukur (bertahallul) setelah bersaie.


Pada hari kelapan Zulhijjah, setelah matahari terbit para jemaah akan meninggalkan Mekah dengan berpakaian ihram, dalam keadaan khusyuk dan mengharapkan keredaan Ilahi, menuju ke Mina untuk berada di sana sehinggalah menjelangnya pagi hari kesembilan.


Hari ini juga disebut sebagai hari al-Tarwiyah bersempena peristiwa mimpi Nabi Ibrahim a.s yang diuji oleh Allah dan diperintahkan-Nya supaya menyembelih anaknya Ismail a.s (maksud ayat 102 surah al-Saffat). Kemudiannya digantikan dengan sembelihan kambing kibasy, hadiah di atas kepatuhan bapa dan anak tersebut di dalam menunaikan amanah Allah.


Di Mina, para hujjaj akan menunaikan kelima-lima solat fardu di dalam waktunya, kecuali yang empat rakaat dilaksanakan dua rakaat. Amatlah digalakkan supaya mereka sentiasa memperbanyakkan ucapan talbiyah, zikir, beristighfar, membaca al-Quran, berdoa, menjauhi percakapan tidak elok dan perlakuan tidak baik dan selainnya. Sehinggalah matahari memunculkan dirinya pada pagi hari kesembilan Zulhijjah.


Walaupun hari al-Tarwiyah ini dianggap sebagai amalan sunat, ia terus dilaksanakan bagi mereka yang berkeinginan menjejaki cara nusuk (haji) Baginda Nabi SAW.


Bermula pagi hari kesembilan pula, para hujjaj akan menuju ke Padang Arafah untuk berada di sana bermula dari gelincirnya matahari (waktu tengah hari/zuhur) sehinggalah waktu terbenamnya pada malam ke-10 Zulhijjah.


Keberadaan diri di padang yang luas ini merupakan rukun terbesar bagi ibadah haji yang menjadikan tidak sahnya haji seseorang yang tidak berada di sana sepanjang waktu berkenaan sehinggalah terbitnya waktu subuh pada pagi ke-10 itu.


Perlu dimaklumi bahawa jemaah haji tidak disunatkan untuk berpuasa pada hari Arafah ini kerana Baginda sendiri tidak melakukannya bahkan beriftar (berbuka) pada hari tersebut. Amalan berpuasa padanya adalah menjadi suatu sunah yang besar bagi mereka yang tidak menunaikan haji dengan dijanjikan pengampunan dosa selama setahun.


Sebelum berwuquf di Arafah, Baginda telah menasihati para sahabatnya dengan suatu khutbah yang panjang.


Menjelaskan perhubungan sesama manusia yang wajib dikawal-selia, dijaga kehormatan diri, darah dan harta sesama insan, membela kaum wanita yang berada di bawah kepimpinan para lelaki, mengharamkan amalan riba, mewasiati supaya al-Quran diamalkan, menjaga ibadah solat, zakat, puasa, haji dan mentaati para pemimpin.


Setelah itu ditunaikan solat zuhur dan asar secara jamak qasar dengan satu azan dan dua iqamat. Di sinilah amalan-amalan mulia dan baik dituntut supaya dikerjakan seperti membaca al-Quran, memperbanyakkan doa dengan mengangkat kedua belah tangan dengan suara yang sederhana, berselawat ke atas Baginda SAW, membanyakkan rayuan dan harapan di samping mengalirkan air mata memohon keampunan dan limpah perkenan-Nya serta bertalbiyah dan berzikir.


Setelah maghrib mula melabuhkan tirainya pada malam ke-10 Zulhijjah, para jemaah akan menuju ke Muzdalifah untuk bermabit di sana sehingga ke waktu subuh.


Ditunaikan solat maghrib dan isyak secara jamak qasar setelah sampai di kawasannya. Bermabit di Muzdalifah merupakan wajib haji yang wajar untuk dilakukan oleh para hujjaj setelah bertolak dari Arafah.


Adalah menjadi kebiasaan dan amalan mereka di sini untuk memungut beberapa biji anak-anak batu bagi lontaran Jamrah Aqabah (al-Kubra) pada keesokan harinya di Mina.


Setelah menunaikan solat subuh di Muzdalifah, para jemaah akan berdoa di al-Mash’aril Haram atau di mana-mana bumi tersebut. Memohon kebaikan dunia dan akhirat dan kemudiannya sebelum matahari memunculkan dirinya, para hujjaj akan menuju ke Mina pada pagi 10 Zulhijjah.


Pada hari ke-10 (hari Nahar / korban) akan ditunaikan lontaran tujuh biji batu kecil di Jamrah al-‘Aqabah (al-Kubra), diikuti sembelihan haiwan (korban/dam), kemudiannya bercukur atau bergunting (bagi wanita).


Perlu diketahui bahawa amalan pada hari ini seperti dinyatakan di atas adalah cara terbaik. Namun sekiranya dilakukan berlainan turutannya ia adalah dibenarkan dan sah. Dengan dilaksanakan dua dari tiga amalan haji pada hari ini (sama ada melontar dan bercukur, atau melontar dan tawaf, atau tawaf dan bercukur) sempurnalah tahallul awal (penghalalan pertama yang dibenarkan untuk berpakaian biasa kecuali ‘perkara suami-isteri’)


Selanjutnya bagi jemaah yang berkesempatan, bolehlah pulang ke Mekah untuk menunaikan ibadah tawaf ifadah (fardu kepada semua hujjaj) dan bersaie fardu (bagi haji tamattu’) atau yang belum melakukannya semasa baru masuk ke kota Makkah dahulu (bagi haji ifrad dan qiran).


Tahallul thani (penghalalan kedua) terlaksana dengan selesainya tawaf fardu yang dilakukan oleh para hujjaj.


Selesai demikian, jemaah akan bergegas ke Mina untuk bermabit (bermalam) di sana. Alangkah baiknya jika bermula dari solat zuhur 10 Zulhijjah ini, ia dapat ditunaikan di Mina. Mabit di Mina selama dua malam (bermula malam ke-11 dua 12) adalah wajib haji, manakala untuk malam ketiga (13 Zulhijjah), ia merupakan amalan sunat yang dianjurkan bagi mereka yang tidak tergesa-gesa untuk pulang ke tanah air.


Mengikut catatan sirah ibadah haji, Rasulullah SAW mengqasarkan solat yang empat rakaat tanpa jamak sepanjang berada di Mina (kesemua solat ditunaikan di dalam waktunya).


Esok harinya pada hari ke-11 Zulhijjah, para hujjaj akan melontar ketiga-tiga jamrah, yang bermula di Jamrah al-Sughra, kemudian al-Wusta dan diakhiri dengan al-Kubra. Setiap jamrah dilontari sebanyak tujuh biji batu kecil dan disunatkan berdoa setelah selesai melontar dua jamrah yang pertama tanpa jamrah ketiga.


Waktu lontaran bermula dari gelincir matahari (zuhur) pada setiap hari tersebut dan berterusan sehingga terbenamnya matahari pada hari yang sama. Walaupun demikian, bagi yang tidak sempat untuk melakukannya pada waktu pilihan tersebut, adalah diharuskan melontar sehingga ke akhir hari ke-13 Zulhijjah.


Amalan melontar sedemikian dilakukan juga pada hari ke-12 dan 13 Zulhijjah. Hari-hari ke-11, 12 dan 13 ini dinamakan hari Tasyriq bersempena sejarah para jemaah haji di zaman Rasulullah yang mengerat-gerat daging dan mengeringkannya untuk dimakan dan dihadiahkan kepada penduduk Mekah dan sesama mereka.


Membiasakan diri dengan amalan zikir, berdoa, membaca al-Quran, bertaubat kepada Allah, beristighfar dan sebagainya pada hari-hari Tasyriq merupakan amalan yang amat digalakkan dan dianjurkan kepada semua lapisan jemaah haji.


Dengan melakukan mabit selama dua malam dan melontar pada kedua harinya, dibenarkan bagi mereka yang ingin pulang ke kampung halaman untuk meninggalkan bumi Mina sebelum waktu maghrib dan perlakuan sebegini dinamakan nafar awal (larian pertama).


Walaupun begitu adalah menjadi sunah Nabi SAW untuk meneruskan mabit di Mina pada malam ke-13 Zulhijjah dan melakukan lontaran pada siang harinya yang bermula dari gelincirnya matahari dan kemudian meninggalkan bumi Mina yang dikenali sebagai nafar thani (larian kedua).


Seperkara lagi sebagaimana yang diwarisi dari ibadah nusuk Baginda SAW, para hujjaj diwajibkan melakukan tawaf wada’ (tawaf selamat tinggal) sebelum meninggalkan bumi Mekah untuk pulang ke tanah air masing-masing.


Tawaf ini tidaklah diwajibkan kepada wanita yang berhaid, wanita yang bernifas dan orang tempatan Mekah.

Monday, November 17, 2008

~* Amalan yang membawa kepada kejayaan *~


KITAB al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya daripada Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang yang (hendak) bertakwa.

[Surah al-Baqarah: Ayat 2]

Huraian


Kitab al-Quran tidak perlu diragukan kebenarannya. Datangnya (wahyu) daripada Allah (SWT), dibawa oleh Jibril, bukannya karangan daripada Rasul. Al-Quran menjadi petunjuk untuk orang yang ingin bertakwa.


Takwa bermaksud memelihara iaitu memelihara hubungan yang baik dengan Tuhan, tidak melakukan perkara yang tidak diredai oleh Allah (SWT) juga memelihara diri daripada terjerumus ke dalam lumpur atau duri.


Seorang sahabat Rasulullah SAW (Abu Hurairah) pernah ditanya tentang takwa. Beliau berkata : “Pernahkah engkau bertemu jalan yang banyak duri dan bagaimana tindakanmu waktu itu?" Orang itu menjawab: “Apabila aku melihat duri, aku mengelak ke tempat yang tidak ada durinya atau aku langkahi atau aku undur.” Abu Hurairah menjawab: “Itulah dia takwa!" (Riwayat Ibnu Abi Dunya)


Takwa mendorong ke arah kejayaan. Kejayaan tidak mungkin dapat dicapai tanpa usaha yang bersungguh-sungguh. Sesiapa yang menghayati dan mengamalkan ajaran yang terkandung dalam al-Quran nescaya mendorong ke arah takwa.


Kesimpulan


Al-Quran tidak perlu diragui lagi kebenarannya. Petunjuk bagi umat manusia dan mukjizat teragung yang dikurniakan kepada Rasulullah SAW. Sesiapa yang beriman dengan al-Quran nescaya keimanannya akan mendorong dirinya ke arah takwa dan membawa kejayaan di dunia dan di akhirat.

Friday, November 14, 2008

~* Wirid & zikir penenang jiwa paling mujarab *~

ZIKIR amalan mudah tetapi memberi kesan amat mendalam dalam kehidupan setiap Mukmin. Meditasi kosongkan minda menyalahi ajaran Islam yang mengingati Allah (SWT) pada setiap perbuatan


PADA era serba cergas ini, kehidupan di bandar megapolitan khasnya yang segalanya mesti dilakukan dengan pantas dan tepat sehingga jiwa, hati serta badan manusia memerlukan sesuatu yang sesuai untuk menyeimbangkannya. Oleh itu, orang bandar terpaksa mencari jalan penyelesaian dengan pelbagai cara untuk mendapatkan keseimbangan diri termasuk beriadah secara fizikal atau spiritual atau kedua-duanya.


Namun, bagi Muslim semua amalan harian, mingguan, bulanan, tahunan atau seumur hidup sama ada wajib, sunat, haram, makruh, mahupun harus yang ditetapkan Allah (SWT) SWT untuk dilaksanakan mempunyai tujuan duniawi dan ukhrawi termasuk untuk menenangkan jiwa, menyejukkan hati dan menyihatkan badan.


Apabila Islam datang bersama Rasulullah SAW dengan visi dan misi ke-rahmatan lil ‘alamin-nya, semua amalan masyarakat Arab ketika itu diganti dengan amalan yang sesuai dengan kehendak Allah (SWT) SWT. Sebagai contoh, amalan menyembah tuhan selain Allah (SWT) yakni patung berhala secara tabik hormat, rukuk dan sujud diganti dengan amalan solat yang disertai takbir, rukuk, iktidal, sujud, duduk tasyahhud dan taslim. Begitu juga dengan amalan lain termasuk hari keraian Nairuz dan Mahrajan di Madinah diganti dengan Aidilfitri dan Aidiladha. Semuanya sesuai dengan hukum syarak yang dibawa Baginda SAW atas perintah Allah (SWT) SWT.


Seorang Muslim mempunyai amalan tersendiri daripada yang wajib hingga harus. Amalan ini berasal daripada ajaran al-Quran dan sunnah. Ada juga amalan yang disebut zikir dan tafakur. Ramai terkeliru menyamakan tafakur dengan meditasi padahal kedua-duanya mempunyai perbezaan ketara. Ketika bertafakur mesti ada dalam minda kita mengenai kekuasaan Allah (SWT), sedangkan dalam meditasi minda mesti dikosongkan.


Mengosongkan minda bererti satu kerugian menimpa diri kerana kita mensia-siakan masa yang perlu diguna sebaik-baiknya.


Zikir sudah sering disentuh dalam ruangan ini, tetapi wirid baru kali ini dijelaskan. Wirid dan zikir mempunyai persamaan dan perbezaan. Persamaannya, kedua-dua amalan ini mengingati Allah (SWT) dan perbezaannya adalah wirid lebih khusus daripada zikir kerana zikir boleh dibuat bila-bila masa dan dalam keadaan apa pun jua. Wirid mempunyai tatacaranya tersendiri seperti yang akan kita lihat dalam penjelasan berikut.


Dalam Kamus Dewan wirid mempunyai takrifan sebagai


“1. petikan daripada al-Quran yang ditentukan untuk dibaca (dipelajari dan lain-lain); 2. zikir yang dibaca selepas sembahyang,”

manakala Kamus Kontekstual Lengkap al-Khalil menterjemahkan wirid dengan erti


“sedikit air, nasib, sebahagian Quran dan sebagainya, sekumpulan burung, tentera, mengambil air, mendekati air.”

Dalam A Dictionary of Modern Written Arabic ia diterjemahkan sebagai


specified time of day or night devoted to private worship (in addition to the five prescribed prayers); a section of the Koran recited on this occasion.

Menurut istilah ahli tasawuf dan pengertian secara umum dalam disiplin ilmu Islam, wirid bermakna seperti ditulis Syeikh Muhammad al-Madini dalam artikelnya bertajuk al-Wird, “azkar makhsusah min al-quran wa sunnah Rasulillah wa min athar al-’ulama al-’amilin” atau zikir khusus daripada al-Quran, sunnah Rasulullah SAW dan amalan ulama muktabar. Zikir dibaca pada masa tertentu siang atau malam sehingga seolah-olah si pembaca wirid mengambil air apabila dia berasa haus.


Menerusi zikir secara amnya dan wirid secara khasnya membuat mukmin tenang jiwa, sejuk hati dan sihat badannya seperti ditegaskan al-Quran maksudnya:


“Ketahuilah! Dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.” (Surah al-Ra’du: 28)

Sebagai amalan khusus yang mempunyai tatacaranya sendiri, wirid mempunyai dasar hukumnya daripada al-Quran dan sunnah Nabi. Imam Tirmizi meriwayatkan bahawa seorang sahabat datang kepada Rasulullah SAW sambil mengeluh: “Wahai Rasulullah, alangkah banyaknya hukum hakam syarak yang seakan-akan membebaniku, berikanlah aku sesuatu agar aku tetap teguh melaksanakannya. Baginda menjawab: Basahilah lidahmu dengan selalu berzikir kepada Allah (SWT).”


Agar Allah (SWT) mencukupkan kita dengan apa saja yang kita inginkan mengenai perkara dunia dan akhirat, maka kita cukup dengan membaca tujuh kali pada pagi dan petang potongan ayat 129 Surah al-Taubah yang bermaksud:


“Cukuplah bagiku Allah (SWT) (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepada-Nya aku berserah diri, dan Dialah yang mempunyai ‘Arasy yang besar.” (Hadis riwayat Ibn Sunni dan Ibn ‘Asyakir secara marfu’)

Bukankah wirid ini menanamkan pada jiwa kita sifat tawakal dan berserah diri kepada Allah (SWT)?


Agar hati kita tidak mati pada siang dan malam, maka bacalah dua ayat terakhir Surah al-Isra’ setiap pagi dan petang seperti diriwayatkan dalam hadis al-Dailami. Bukankah wirid ini mengajar kita betapa penting menjaga hati agar tetap terang di bawah sinaran Allah (SWT)?


Alangkah indahnya tuntutan Rasulullah yang mengajar umatnya untuk wirid pada pagi dan petang dengan membaca asbahna (amsaina) wa asbaha (amsa) mulku lillahi walhamdulillah la syarika lah la ilaha illa huwa wa ilaihin-nusyur (Sesungguhnya kami terjaga pada pagi dengan kesedaran bahawa kerajaan ini seluruhnya milik Allah (SWT). Dan segala puji bagi Allah (SWT), tiada sekutu bagi-Nya, tiada Tuhan selain Dia dan kepada-Nya kami akan dibangkitkan. Bukankah wirid ini menanamkan pada hati kita bahawa kekuasaan mutlak di tangan Allah (SWT)?) - *Wirid ini ada di dalam koleksi “Ma’thurat”


Dalam hadis Abu Daud, al-Nasa’i, dan Ibnu Hibban diriwayatkan bahawa barang siapa membaca pada pagi dan petang maksudnya: “Ya Allah (SWT), nikmat apapun yang ku peroleh dan diperoleh seseorang di antara makhluk-Mu adalah daripada-Mu yang tidak mempunyai sekutu, maka bagi-Mu segala puji dan syukur”, maka sesungguhnya dia telah menunaikan syukur pada siang dan malam hari itu. Bukankah wirid ini mengajar kita agar tidak tamak haloba?


Untuk menjaga kesihatan kita, Rasulullah mengajar wirid untuk dibaca pada pagi dan petang tiga kali yang bunyinya Allahumma ‘afini fi badani, allahumma ‘afini fi sam’i, allahumma ‘afini fi bashari la ilaha illa anta. (Ya Allah (SWT) sihatkanlah badan, pendengaran dan penglihatanku. Tiada Tuhan selain Engkau. (Hadis riwayat Abu Daud) Bukankah dengan wirid ini kita akan sentiasa mendapat kesihatan dari Allah (SWT)?


Banyak lagi wirid yang diajarkan Rasulullah kepada sahabat jika diamalkan oleh mukmin, dia tidak lagi perlu kepada cara lain untuk menenangkan jiwa, menyejukkan hati dan menyihatkan badan kecuali cara yang sesuai dengan ajaran Nabi Junjungan umat Islam.


Wallahu a’lam

~* Why Do Muslims Fast In Ramadan? *~

What is Fasting (Sawm)? Sawm (Arabic: صوم) is an Arabic word for fasting regulated by Islamic jurisprudence. In the terminology of Islamic l...