Wednesday, September 16, 2009

~* Selamat Hari Raya Aidil Fitri *~

Hidup Memerlukan Pengorbanan,
Pengorbanan memerlukan perjuangan,
Perjuangan memerlukan Ketabahan,
Ketabahan memerlukan Keyakinan,
Keyakinan pula menentukan kejayaan,
Kejayaan Pula menentukan Kebahagiaan


Indah kata2 hanya nukilan,
indah nye wajah pada senyuman,
indah permandangan pada lukisan,
indah nya malam pada bulan dan bintang,
indahnya hidup pada ujian dan dugaan,
indah nye hati hanya pada iman dan ketakwaan pd Ilahi...


Andai jejak membekas bara,
Jika langkah membawa lara,
Jika tingkah menoreh luka,
Andai kata merangkai dusta,
Andai suara menikam rasa…
Tiada andai dan tiada jika,
hanya ampun maaf ku dipinta di hari mulia.

~* Selamat Hari Raya Aidil Fitri *~
~* Maaf zahir dan Batin *~

Monday, September 14, 2009

~* Lailatulqadar dirahsiakan galak umat ikhlas lakukan ibadat *~

LAILATULQADAR, satu daripada malam Ramadan yang amat istimewa melebihi 1,000 bulan. Ini dijelaskan dalam firman Allah Taala surah al-Qadr ayat 1 dan 2 bermaksud:

"Sesungguhnya telah kami turunkan al-Quran pada lailatulqadar. Tahukah kamu apakah lailatulqadar itu? Lailatulqadar lebih baik daripada 1,000 bulan."


Gandaan pahala melakukan amal ibadat pada malam itu mempunyai nilaian lebih 29,500 ganda kerana difahami daripada ayat itu pahala lebih banyak dan lebih baik daripada 1,000 bulan.

Kebesaran Lailatulqadar berdasarkan dua perkara. Pertama, kerana pada malam itu diturunkan al-Quran dan kedua, turun malaikat dalam angkatan besar, gilang-gemilang untuk memberi taufik dan hidayah kepada orang berpuasa dengan ikhlas.

Disebut sebagai lailatulqadar kerana pada pada malam itu turun malaikat mengucapkan salam sejahtera kepada penduduk bumi. Ia juga dikenali sebagai Lailatulsyaraf (malam kemuliaan) dan Lailatultajalli iaitu malam Allah melimpahkan cahaya dan hidayah kepada orang berpuasa dan beribadat.

Penentuan tarikh dan malam lailatulqadar sering kali berlaku perselisihan pendapat di kalangan ulama. Pendapat yang kuat menyatakan pada malam ganjil sesudah hari ke-20 Ramadan iaitu malam 21, 23, 25, 27 dan 29. Ini sesuai dengan hadis Rasulullah daripada Ibnu Umar bermaksud:

"Sesiapa yang ingin mencari Lailatulqadar hendaklah pada malam ke-27."


Sebuah hadis Rasulullah diriwayatkan Muslim bermaksud:

"Carilah dengan segala upaya kamu malam qadar pada malam ganjil daripada 10 malam akhir Ramadan."


Jelas daripada kedua-dua hadis itu, Lailatulqadar hanya berlaku pada satu malam dan perangsang kepada umat mukmin supaya berebut mencari pahala dan ganjaran malam qadar dengan melipat gandakan ibadat pada malam akhir Ramadan al mubarak.

Persembunyian tarikh Lailatulqadar menguatkan semangat mukmin untuk terus berusaha mendapatkan ganjaran. Allah menyembunyikan urusan lain agama kerana hikmah seperti menyembunyikan saat penerimaan doa (ijabah segala doa) pada Jumaat agar kita berdoa sepanjang hari berkenaan.

~* Menggapai malam al-Qadar dengan usaha *~


APABILA datang bulan Ramadan pada setiap tahun umat Islam diperingatkan semula tentang satu malam yang begitu besar maknanya iaitu malam al-Qadar. Malam al-Qadar atau dalam bahasa arab disebut lailatul Qadar terdapat beberapa makna.

Lailatul Qadar menurut Ibnu Abbas, Ikrimah dan Sa’id bin Jubair membawa maksud malam keputusan; atau malam penetapan. Manakala tafsir Qurtubi dalam menjelas ayat surah al-Nasr pula menjelaskan bahawa maknanya adalah malam yang sempit.

Dinamakan demikian kerana pada malam itu bumi sesak/sempit dengan para malaikat. Dalam al-Quran disebut oleh Allah SWT bahawa malam tersebut ganjarannya seumpama seribu bulan. Lailatul qadr merupakan malam yang diberkahi. Allah Ta’ala berfirman al-Dukhan ayat 1-6 yang bermaksud

“Haa Miim. Demi Kitab (al-Quran) yang menjelaskan. Sesungguhnya Kami menurunkannya pada suatu malam yang diberkahi dan sesungguhnya Kami lah yang memberi peringatan. Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah. (Iaitu) urusan yang besar dari sisi Kami. Sesungguhnya Kami adalah yang mengutus rasul-rasul sebagai rahmat dari Rabb-mu. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”


Bagi mereka yang teguh imannya pastinya akan berasa terkejut dengan hadiah Allah SWT yang begitu besar bagi mereka yang benar-benar memperolehi malam tersebut.
Bandingan satu malam yang dinamakan sebagai malam al-qadar dengan seribu bulan sama juga seumpama 83 tahun. Kiraan secara zahir ini menunjukan betapa besar pahala yang Allah swt berikan kepada umatnya bagaimana tempoh 83 tahun tersebut seolah-olah satu umur bagi seorang manusia yang hidup dimuka bumi ini.

83 tahun adalah tempoh agak panjang sebagai manusia, namun satu malam al-qadar itu amat bermakna sekali. Namun dalam huraian hadith begitu banyak penjelasan diberikan tentang tarikh sebenar bilakah malam al-qadar tersebut.

Perdebatan yang dilakukan oleh para ulama dan muhaddithin ini mengundang kita memikirkan kenapakah tiada satu masa yang tunggal bagi kita untuk mendapat ketetapan Allah swt agar kita sedia dan mampu meraih malam al-qadar dengan mudah.

Firman Allah SWT dalam surah al-Qadar ayat 1-5 yang bermaksud

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu?


Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar.

Pengurniaan malam al-qadar oleh Allah swt dalam bulan Ramadan dengan segala perselisihan masa yang tepat bilakah ianya berlaku mengundang kita sebagai hambaNya berfikir apakah makna disebalik anugerah ini.

Sebagai pencipta alam ini pastinya Allah menghendaki kita agar sentiasa bersedia tidak kira pada awal masa, pertengahan dan akhir Ramadan agar sentiasa berusaha mencari bilakah malam al-Qadar sebenarnya. Ertinya disini Allah SWT ingin menguji dan menawarkan kita satu pertandingan dikalangan hambaNya siapakah dikalangan mereka yagn benar-benar ikhlas mencari malam al-Qadar.

Wujudnya kesedaran untuk mencari malam al-Qadar ini tidak akan terbit semata-mata untuk berada dalam suasana hening malam dan bangun untuk melihat peristiwa apa yang bakal berlaku semata-mata.

Namun disebalik usaha dan ikhtiar manusia mencari malam al-Qadar ini selain merebut pahala berganda tersebut adalah manifestasi cinta kita kepada Tuhan yang menganugerahkan nikmat dan kasih sayangnya kepada seluruh hambaNya.

Cinta kita kepada Allah yang ikhlas dan kasih sayang yang diterima tanpa berbelah bahagi daripadaNya yang mampu membangkitkan kesedaran iman dan taqwa untuk mencari malam al-Qadar tersebut kerana telah dijanjikan Allah swt bahawa pada malam tersebut diturunkan para malaikat untuk melihat dunia siapakah yang sedang melaksanakan ibadah kepada Tuhannya.

Tanpa rasa cinta dah kasih kepada Tuhan mana mungkin kita bersedia untuk bangun malam, membuka segala kelemahan kepada Nya, memohon keampunan dan mendoakan kesejahteraan hidup didunia & akhirat. Hanya mereka yang teguh iman, tegap taqwanya bersedia menghadapi ujian bangun malam dengan gigih.

Inilah hakikat pencarian malam al-Qadar yagn harus dipelajari. Pencarian ini juga jangan dilihat sebagai satu usaha yang kosong dan dijadikan pesta untuk meraih malam yang penuh barakah ini.

Mulakan diri dengan kesedaran dan tingkatkan rasa iman yang benar–benar semata-mata untuk mencari keredhaan Allah semata-mata. Mari kita sama-sama renung firman Allah dalam surah Saba’ ayat 46 yang bemaksud:

Katakanlah (Wahai Muhammad):

“Aku hanyalah mengajar dan menasihati kamu dengan satu perkara sahaja, iaitu: hendaklah kamu bersungguh-sungguh berusaha mencari kebenaran kerana Allah semata-mata, sama ada dengan cara berdua (dengan orang lain), atau seorang diri; kemudian hendaklah kamu berfikir sematang-matangnya (untuk mengetahui salah benarnya ajaranKu.”


Sesungguhnya sebagai Khaliq dan pencipta alam ini, sudah tentulah Allah SWT ingin melihat melalui kekuasaan siapa dikalangan mereka hambaNya yang benar-benar berusaha dalam mencari peluang dan ruang pada malam al-Qadar tersebut.

Malam yang penuh dengan barakah ini dijanjikan Allah dengan pahala yang cukup besar melalui solat-solat sunat, tilawah al-quran dan muhasabah diri agar kita kembali merapatkan jurang yang sudah jauh dengan Allah swt.

Sebagai hambaNya yang beriman sikap mencari keredaan Allah mesti dicipta dalam diri. Marilah kita bina kekuatan mencari malam al-Qadar dengan cinta dan kasih pada Nya.

- Penulis adalah Presiden Kumpulan Pengajian Islam, (MISG) ABIM UK-Eire

Sunday, September 13, 2009

~* Teladani 10 akhir Ramadan Nabi *~


Kita disuruh melipat gandakan ibadat pada 10 hari terakhir Ramadan.

RAMADAN menjanjikan ganjaran yang cukup istimewa bagi seorang Muslim ke arah mengecapi kecemerlangan hidupnya. Hal ini akan terlaksana dan tercapai dengan jayanya.

Pertama: jika setiap hamba benar-benar seorang Muslim yang mengerjakan ibadah puasa berteraskan keimanan dan muhasabah serta mengikuti sunnah Rasulullah SAW.

Kedua: yakin dengan ganjaran yang telah dijanjikan Allah SWT terhadap segala amalannya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

Sesiapa yang menghidupkan Ramadan dengan penuh keimanan dan penuh kesedaran (mengharap ganjaran Allah) nescaya akan diampuni baginya dosa-dosa yang lalu. (riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Memasuki detik 10 terakhir Ramadan pesona peribadi dan perilaku Rasulullah SAW terlakar dalam hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a yang bermaksud:
Adalah Rasulullah SAW apabila telah masuk 10 akhir daripada Ramadan, Baginda akan menghidupkan malam-malamnya, membangunkan ahli keluarganya dan mengikat pinggangnya. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kupasan ringkas hadis

Para ulama berbeza pendapat dalam memberi pentafsiran mereka terhadap hadis di atas. Namun demikian mereka sepakat bahawa Rasulullah SAW melipat-gandakan ibadatnya pada 10 malam yang terakhir Ramadan.

Hadis di atas menunjukkan betapa Rasulullah SAW amat memberi tumpuan serius pada detik malam 10 terakhir Ramadan terutama dalam perihal beribadah. Dalam sebuah hadis lain yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a yang bermaksud:

Rasulullah SAW bersungguh-sungguh dalam 10 hari terakhir bulan Ramadan, suatu perkara yang tidak Rasulullah SAW lakukan pada bulan-bulan selainnya. (Riwayat Muslim)


Mengikat kainnya

Ibn Hajar al-Asqalani menyatakan bahawa para ulama mempunyai beberapa pendapat terhadap istilah ‘mengikat kainnya’.

Di antara pendapat yang paling kuat ialah ia membawa dua pengertian iaitu Rasulullah SAW tidak menggauli para isterinya iaitu melakukan hubungan suami isteri (jimak) dan ini digambarkan dengan istilah ‘mengikat kainnya’.

Maksud yang kedua ialah baginda SAW bersungguh-sungguh dalam setiap ibadah yang dilakukannya. Kedua-dua pengertian adalah tepat jika dilihat dari perbuatan Rasulullah SAW tatkala tiba malam-malam 10 akhir Ramadan. (Fath al-Bari 6:310)


Menghidupkan malam harinya

Rasulullah SAW telah memberikan pedoman terbaik kepada umatnya agar melakukan transformasi dengan mengubah malam yang biasa pada bulan-bulan selain Ramadan dengan menghidupkannya dengan melakukan ketaatan melalui gerak kerja ibadah.

Antaranya melakukan solat-solat sunat, membaca al-Quran, beriktikaf terutama di sepertiga malam sewaktu manusia terlena di malam hari. (Fath al-Bari 6:310)


Membangunkan Ahli Keluarganya

Dalam hal gerak kerja beribadah (solat), baginda SAW tidak pernah melupakan atau mengabaikan keluarganya.

Rasulullah SAW menunjukkan contoh terbaik kepada seluruh umatnya terutama ketua keluarga agar tidak mengabaikan keluarga walaupun dalam perihal melakukan ibadah-ibadah sunat.

Perilaku baginda SAW membangunkan ahli keluargannya turut diteladani Khalifah Umar al-Khattab r.a di mana al-Imam Malik dalam Al-Muwatta’ menyebutkan, bahawasanya Umar r.a melakukan solat malam seperti yang dikehendaki oleh Allah SWT, sehingga apabila tiba waktu pertengahan malam, Umar r.a membangunkan keluarganya agar melakukan solat seraya mengatakan kepada mereka: “Solat! solat!”

Perkara-perkara yang dianjurkan pada 10 malam terakhir Ramadan

Mandi antara Maghrib dan Isyak, memakai pakaian yang paling baik dan memakai haruman
Ibn Abi ‘Asim meriwayatkan dari Aisyah r.a:

“Rasulullah SAW jika berada dalam bulan Ramadan baginda seperti rutin hariannya tidur dan bangun. Tatkala memasuki 10 hari terakhir baginda mengikat kainnya dan menjauhkan diri dari bersama-sama para isterinya, serta baginda mandi antara Maghrib dan Isyak”. (Terdapat riwayat Abu Hurairah yang menyokong hadis ini)


Dalam riwayat lain daripada sahabat seperti Anas ibn Malik dan ulama pada masa tabi’en menyatakan bahawa mereka akan mandi, memakai baju yang paling baik dan memakai haruman atau wangian apabila berada pada akhir Ramadan. Apa yang dilakukan oleh Rasulullah, sahabat dan tabi’en ini adalah satu usaha menyambut dan meraikan kedatangan lailatul qadr, sambil berdoa mendapatkan keampunan dan keberkatan malam itu. Justeru pada malam-malam terakhir Ramadan di samping mencari lailatul qadr dianjurkan membersihkan diri dan memakai wangian dan haruman, sebagaimana ia turut dianjurkan ketika Aidilfitri dan Aidiladha.

Mencari lailatul qadr
Umat Islam dianjurkan agar mencari dan merebut lailatul qadr. Hal ini bertepatan dengan sabda baginda yang bermaksud,

Carilah malam lailatul qadr pada 10 malam terakhir. (riwayat al-Bukhari)


Dalam salah satu riwayat dikatakan bahawa Rasulullah SAW melakukan solat pada malam Ramadan dan membaca al-Quran dengan tertib. Baginda tidak akan melalui ayat rahmat kecuali berharap agar Allah memberikan rahmat itu dan tidak melalui ayat azab kecuali memohon perlindungan daripada Allah daripada azab itu. Solat berjemaah juga sangat diutamakan pada malam akhir Ramadan. Rasulullah bersabda:

“Sesiapa yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh secara berjemaah pada waktu malam, dia telah mengambil menghidupkan seluruh malam itu”. (Riwayat Abu Dawud).


Maksudnya sesiapa yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh saja dianggap telah mendapat sebahagian apa yang dimaksudkan dengan lailatul qadr. Apatah lagi jika mengisinya dengan amalan lain sepanjang malam itu.

Melewatkan sahur
Daripada Sahl ibn Sa’d berkata:

Sesungguhnya aku pernah bersahur bersama keluargaku dan aku sempat untuk sujud bersama dengan Rasulullah SAW. (riwayat al-Bukhari)


Perlakuan ini turut diceritakan oleh Zaid ibn Thabit berkata:

“Kami pernah bersahur bersama Rasulullah SAW kemudian kami bersolat dengan baginda. Lantas Anas bertanya, Berapakah jarak di antara sahur itu dengan solat? Zaid menjawab, kira-kira 50 ayat. (riwayat al-Bukhari)



Melakukan iktikaf
Iktikaf adalah sunnah yang dianjurkan oleh Baginda SAW demi memperolehi kelebihan dan ganjaran lailatul qadr (malam yang lebih baik dari 1,000 bulan). Firman Allah dalam surah al-Qadr yang bermaksud:

Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) pada malam Lailatul Qadr, dan apa jalannya Engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul Qadr itu? Malam Lailatul Qadr lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah malam (yang berkat) itu sehingga terbit fajar. (al-Qadr: 1-5)


Menjelang 10 akhir Ramadan secara rutinnya Rasulullah SAW mengisi waktu-waktunya dengan beriktikaf di masjid. Pelakuan baginda ini berdasarkan hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a Bahawa Rasulullah SAW beritikaf pada 10 akhir daripada Ramadan sehingga baginda diwafatkan oleh Allah, kemudian (diteruskan sunnah) iktikaf selepas kewafatannya oleh para isterinya. Dalam sebuah hadis lain Bahawasanya Abu Hurairah berkata:

“Rasulullah SAW selalu beriktikaf pada tiap-tiap sepuluh hari terakhir Ramadan, manakala pada tahun Baginda diwafatkan, Baginda beriktikaf selama 20 hari”. (riwayat Ahmad, Abu Dawud, al-Tirmidzi dan dinilai sahih oleh al-Tirmidzi)


Membanyakkan doa
Ulama bersepakat bahawa doa yang paling utama pada malam al-Qadar adalah doa memohon keampunan atau maghfirah daripada Allah SWT. Dalam satu hadis sahih yang diriwayatkan daripada Aisyah dan dikeluarkan oleh al-Imam al-Tirmidzi dan dinilai hasan sahih, Aisyah diajar oleh Rasulullah membaca doa pada malam al-Qadar. Doanya berbunyi:

Allahumma innaka afuwwun karimun tuhibbul afwa fa’ fu anni yang bermaksud: Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Maha Pengampun, yang suka mengampun, maka ampunilah aku. (al-Tirmidzi 5:535)

Rasulullah SAW turut berdoa yang bermaksud:

“Ya Allah, jadikan sebaik-baik umurku adalah penghujungnya. Dan jadikan sebaik-baik amalku adalah penutupnya. Dan jadikan sebaik-baik hari-hariku adalah hari di mana aku bertemu dengan-Mu Kelak”. (Musannaf Ibn Abi Syaibah 6: 65)

~* Why Do Muslims Fast In Ramadan? *~

What is Fasting (Sawm)? Sawm (Arabic: صوم) is an Arabic word for fasting regulated by Islamic jurisprudence. In the terminology of Islamic l...