
Malam seperti ini, apakah perasaan sebenar di dalam diri saya?
Gembira dengan ulangtahun kelahiran yang ke-32? Apa yang ada pada sebuah kelahiran untuk dikenang? Setiap kali menjelangnya tarikh seperti hari ini, ia hanya memberitahu saya bahawa setahun lagi telah bertambah janji untuk saya menghampiri kematian. Lupakan kegembiraan, kerana kelahiran hanya bermakna pada kejayaan memandu kehidupan.
Apakah tarikh ini juga tarikh saya bersedih? Saya ada sebab yang besar untuk bersedih, kerana pada tarikh yang sama ini jua, abah telah pergi meninggalkan saya buat selama-lamanya, ketika saya mencecah usia 17 tahun, 15 tahun yang lalu.
Perlukah saya untuk terus menangisi pemergian abah? Patahnya rukun hidup saya, hilangnya teman yang mendewasakan saya, tiada lagi sentuhan kasih abah pada hari-hari yang menyusul tiba?
Setiap kali melihat pusara abah, air mata sukar ditahan. Jauh di perut bumi, saya benamkan rindu seorang anak yang masih tersentak dengan pemergian abah yang tidak diduga.
Namun kesedihan itu tidak memberi sebarang erti dan makna, kerana bukan itu yang abah perlukan. Abah perlukan cahaya di kuburnya. Cahaya itu tidak datang dari kegembiraan saya, atau kesedihan. Namun ia terbit dari kepatuhan dan istimaqah saya, terhadap setiap butir nasihat dan ilmu yang abah sempat kongsi bersama saya.
Setiap kedewasaan yang saya ungkapkan dalam kehidupan, abah mendapat habuan dan bahagiannya.
Bersama isteri, dan anak-anak, kami melangkah bersama bonda ke pusara abah di pagi raya. Hajat hati, mahu berdoa dan mengambil teladan dari abah, insan yang dikenang oleh kami sekeluarga, serta kebanyakan penduduk kampung yang mengenalinya. Abah dikenang sebagai seorang yang tegas dan teguh terhadap prinsip hidupnya. Ramai warga emas di kampung saya, ada pengalaman peribadi bersama abah.
Pagi ini, saya berkongsi kenangan bersama abah, untuk teladan isteri dan anak-anak. Inilah sebahagian yang masih kekal dalam memori saya, selepas 14 tahun abah pergi, meninggalkan kami yang kehilangan ayah, sahabat, guru dan pendidik terhadap nilai sebuah kehidupan.
1984Saya di darjah 3.
Abah menghulurkan sebuah buku, 13 Mei Sa-Belom, Sa-Lepas tulisan mantan PM, Tunku Abdul Rahman. Kata abah,
“Rizal, satu hari ni bila kamu dah faham, bacalah buku ini dan ambil teladan darinya. Tapi ingat, hari ini abah beritahu kamu, Mahathir adalah seorang yang merbahaya!”
Saya kebingungan. Baru Darjah 3…
1987 Saya di darjah 6.
Saya memegang jawatan sebagai Ketua Murid. Suatu petang, saya balik ke rumah dengan tangisan.
Abah bertanya, “kenapa menangis?”
Saya menjawab, “Aaron Wong kutuk orang musabaqah. Dia kata orang Islam baca Quran macam orang sakit gigi!”
Abah bertanya lagi, “habis?”
Saya menjawab lagi, “Rizal tumbuk dia sampai pecah mulut. Mana boleh Ketua Murid tumbuk orang”
Abah mengerut dahi.
“Dengar sini, kamu jangan bergaduh dengan orang bodoh. Nanti kamu yang bodoh. Orang bodoh itu dinding batu. Kamu baling dengan bola ping pong, dia berpatah balik kena dahi kamu. Lawan orang bodoh, bodoh! Lawan orang gila, gila!”, abah menepuk bahu saya.
1989Saya di tingkatan 2.
Abah memberi nasihat tentang kerjaya.
“Abah dulu bodoh matematik. Setiap kali cikgu check buku matematik nama Abdul Jamil, dia akan campak buku abah ke tingkap. Tapi sekarang abah jaga akaun Pejabat Ugama”, abah bercerita.
“Jadi?”, saya menyoal.
“Belajar semua subjek betul-betul, dan cari minat kamu. Tuhan tak cipta kita untuk buat semua benda”, kata abah.
Saya mengerut dahi.
1990 Saya di tingkatan 3.
“Abah, Rizal dapat result teruk untuk SRP”, saya cuba ‘menipu’ untuk mengusik abah.
“Itu bukan muka orang gagal. Abah tahu kamu dapat 8A1. Dari Mekah lagi abah dah rasa”, kata abah.
Saya terdiam. Wajah anak dibasahi dengan air muka yang terlalu mudah untuk seorang bapa membacanya. Tidak mungkin anak boleh membohongi bapa, walaupun sekadar gurauan.
Jan 1991Saya di tingkatan 4.
“Hah, dah masuk sekolah baru ni, ubahlah sikit”, abah berpesan sebelum meninggalkan saya di sekolah baru, SMAP Labu N9.
“Ubah apa, abah?”, saya bertanya.
“Jangan lawan cikgu!”, kata abah sambil menutup pintu kereta.
Jun 1991Saya di tingkatan 4. Balik bercuti ke kampung semasa semester break.
“Kenapalah bengap sangat orang kampung ni”, abah mengeluh. Semenjak menjadi bendahari masjid, abah selalu stress.
“Kenapa, bah?” , saya bertanya.
“Kalau depa nak sokong UMNO sekali pun, abah tak kisah. Tapi jangan bagi hujah bodoh”, kata abah.
“Apa hujahnya?”, saya cuba mendapatkan kepastian.
“Kena sokong UMNO sebab UMNO buat jalan dan tiang lampu. Depa tak kenal Soviet”, wajah abah kemerah-merahan.
“Apa kena mengenanya dengan Soviet?”, saya tidak faham.
“Soviet tu komunis. Jalan rayanya lebih luas dari jalan raya kita. Lampu jalannya lebih terang dari lampu jalan kita. Manjoi yang ramai orang UMNO tu pun masih tak berlampu sampai sekarang. Siapa sekali pun memerintah, buat jalan dan lampu, kerja semua kerajaan”, kata abah.
“Kita orang Islam. Pertimbangannya ialah Islam”, abah berdiri merenung dari tingkap anjung rumah.
Saya hanya mengangguk.
1992Saya di tingkatan 5.
“Kita kena selalu bersoreh. Jangan sampai tak kenal saudara mara”, abah bercerita di dalam kereta Volkswagon Golf kesayangannya. Kami berdua dalam perjalanan ke kampung saudara abah di Sayong Lembah, Kuala Kangsar.
Semenjak sebulan dua ini, abah suka membawa saya berjumpa dengan saudara mara yang abah sendiri sudah lama tidak menziarahi mereka. Bersungguh benar abah memperkenalkan saya kepada ayah saudara abah, dua pupu dan kaum kerabat abah di sebelah Sayong.
Saya mengambilnya sebagai petanda abah mahu berundur diri. Dari alam yang fana ini.
13 April 1992 8 malam“Korang tak nak bagi hadiah? Tengah malam ini hari jadi ana”, saya bergurau dengan Khairil Aswan, rakan di sebelah meja saya. Tusyen malam baru bermula.
“Assalamualaikum, Hasrizal lekas ke depan pejabat Pengetua. Abang anta menunggu. Cepat!”, Marul Hairi mengetuk pintu kelas memanggil saya.
Saya berlari sepantas kilat.
“Rizal, abah tenat. Mari balik cepat”, abang menarik tangan saya.
“Ustaz, ana nak balik asrama ambil kain pelekat!”, saya memberitahu Ustaz Muhammad.
“Kain pelekat apanya? Pergi balik”, Ustaz Muhammad ‘menghalau’ saya.
Kereta Volkswagon Golf abah dipandu laju. Kami tidak bercakap. Abang hanya fokus kepada jalan. Hujan lebat menyukarkan perjalanan.
Saya bergegas memanjat tangga rumah. Abang sedang mematikan enjin kereta.
“Fasubhanalladhi biyadihi malakootu kulli syai’in wa ilayhi turja’oon“, Atuk menghabiskan bacaan Yasinnya di pintu bilik.
“Abah!”, saya memanjat katil.
“Rizal, abah dah tak ada”, emak menghempaskan wajahnya ke riba saya. Tangan abah terkulai dan masih panas.
“Abah!”, saya kaku di sisi abah.
Opah laju memetik tasbih.
“Lama benar aku sakit. Jamil juga yang pergi dulu”, opah menangis. Tasbihnya masih laju dipetik.
Malam itu dunia saya gelap. Abah pergi pada malam hari jadi saya yang ke-17. Abang yang sudah berhenti kerja semenjak abah diserang angin ahmar bulan lepas tersepuk di sisi katil. Puas abang menjaga abah, taqdir Allah tidak mengizinkan abang bertalqin di sisi abah.
“Emak, abah dah tak ada”, saya menggenggam kain emak. Hanya air mata sahaja yang mampu berbahasa…
1 Syawal 1427H14 tahun sudah berlalu.
“Saif, ini kubur atuk. Atuk dah tak ada. Abi sedih Atuk dah tak ada”, saya cuba memahamkan Saif, siapakah insan di bawah dua nesan yang redup oleh rimbunan pohon cempaka ini.
“Atuk dah mati ya? Macam opah Manjoi. Dalam tanah. Abi belum mati kan?”, Saif bertanya.
“Satu hari nanti, abi akan tidur di sini”, saya memimpin tangan Saif dan Naurah di celah nesan para insan yang telah benar-benar tahu, bahawa mati itu benar.
Salam sejahtera penghuni negeri orang-orang beriman. Sesungguhnya kami Insya Allah akan menyusul kalian.
Dan cukuplah kematian itu menjadi peringatan buat dirimu…
ABU SAIF @ www.saifulislam.com