Showing posts with label Solat. Show all posts
Showing posts with label Solat. Show all posts

Thursday, December 18, 2008

~* Pelbagai Kelebihan Mukmin Tunai Solat Tahajud *~


Tunaikan sembahyang pada malam hari dijanjikan kedudukan terpuji di akhirat.

AMALAN solat sunat yang paling utama di sisi Islam adalah solat tahajud seperti sabda Nabi SAW:


"Puasa paling utama selepas puasa Ramadan adalah puasa (sunat) pada bulan Allah, iaitu Muharam, sedangkan solat paling utama selepas solat wajib adalah solat malam (tahajud)."

[Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Sahihnya, Nombor 1163]

Namun begitu hanya segelintir umat Islam pada masa kini yang prihatin dan mengambil peduli berkaitan pelaksanaan ibadat solat tahajud ini. Majoriti umat Islam lebih memilih untuk tidur.


Tahajud terbentuk daripada kata dasar hajada bererti tidur dan tahajjada bererti berjaga. Jika seseorang berkata: Tahajjadtu bermaksud saya membuang jauh perasaan ingin tidur dari diri saya. Al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani r.h berkata:


"Imam al-Tobari menyatakan tahajjud berjaga selepas tidur terlebih dulu. Menurut Ibn Faris: Al-Mutahajjid bermaksud orang yang solat pada malam hari. Menurut al-Kurra' pula, tahajjud adalah solat malam secara khusus."

[Rujuk kitab al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani, Fathul Baari, jilid 6, ms. 203]

Oleh itu, solat tahajud adalah solat sunat yang dikerjakan pada waktu malam, iaitu selepas mengerjakan solat Isyak dan sebelum masuk waktu solat Subuh. Namun, waktu paling utama dilaksanakan solat tahajud adalah satu pertiga malam terakhir iaitu bermula jam 3 pagi hingga masuk waktu Subuh.


Dalil disyariatkan solat tahajud ini adalah sebagaimana firman Allah SWT:


"Dan bangunlah pada sebahagian dari malam serta kerjakanlah solat tahajud pada waktu itu sebagai solat tambahan bagimu semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkan kamu pada hari akhirat di tempat yang terpuji."

(Surah al-Israa': Ayat 79)

Abu Ubaidah menyatakan di dalam Kitab al-Majaz:


"Maksud firman Allah kerjakanlah solat tahajud pada waktu itu ialah berjagalah pada malam hari untuk melakukan solat."

[Rujuk kitab al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani, Fathul Baari, jilid 6, ms. 202]

Dalil solat tahajud lebih utama dilakukan satu pertiga malam terakhir berdasarkan sabda Rasulullah SAW: "Rabb kita Tabaraka wa Ta'ala turun pada setiap malam ke langit dunia ketika masih ada baki satu pertiga malam yang akhir.


Allah berfirman:


"Sesiapa yang berdoa kepada-Ku, pasti Aku akan memakbulkannya, sesiapa yang meminta kepada-Ku pasti Aku akan memberinya dan sesiapa yang memohon ampun kepada-Ku pasti Aku akan mengampuninya."

Ternyata ibadat di dalamnya ada doa, permintaan dan permohonan ampun adalah solat.


Rasulullah SAW seorang insan dijamin Allah akan masuk syurga. Baginda juga sebaik-baik manusia, malah digelar sayyid al-Mursalin, iaitu penghulu segala Rasul. Baginda insan maksum dan bebas daripada sebarang bentuk dosa.


Walaupun dengan kedudukan sedemikian, Baginda tetap bersungguh-sungguh mengerjakan solat tahajud sehingga pecah tumit kakinya. Isterinya Aisyah r.a melihat sendiri kesungguhan luar biasa Baginda ini dan beliau hairan kenapa Rasulullah masih ingin bersusah payah melakukan ibadat itu sedangkan dia seorang yang dijamin syurga.


Kisah ini disampaikan Aisyah r.a sendiri dalam sebuah hadis:


"Sesungguhnya Nabi SAW mengerjakan solat malam hingga kedua tapak kakinya merekah. Aisyah berkata kepada Baginda: Mengapa engkau melakukan hal ini wahai Rasulullah, pada hal Allah mengampuni dosamu yang lalu dan yang akan datang? Baginda bersabda: Apakah aku tidak ingin menjadi hamba yang sangat bersyukur?"

[Hadis riwayat al-Bukhari]

Justeru, selepas dibandingkan amalan Rasulullah SAW ini dengan diri kita yang sentiasa bergelumang dengan dosa, mengapa kita tidak mahu bersungguh-sungguh melaksanakan solat tahajud? Adakah kita menganggap diri kita setanding atau lebih baik daripada Rasulullah SAW?


Allah mengurniakan pelbagai keutamaan besar bagi mereka yang melaksanakan solat tahajud. Mereka mengerjakan ibadat pada malam hari akan dikurniakan kedudukan terpuji di sisi Allah di akhirat kelak yakni menjadi ahli syurga.


- Oleh Mohd Yaakub Mohd Yunus

Tuesday, October 28, 2008

~* Sembahyang tanda bersyukur *~


SEMBAHYANG lima waktu yang diwajibkan ke atas umat Nabi Muhammad SAW yang merupakan penghulu bagi segala anbia yang juga merupakan nabi dan rasul akhir zaman pada hakikatnya mempunyai nilai yang cukup tinggi kerana proses penerimaan perintah sembahyang oleh Rasulullah itu sendiri bukannya satu kerja mudah.


Berbanding dengan nabi-nabi lain yang mula melakukan sembahyang atas beberapa faktor, tetapi ibadat sembahyang yang diwajibkan ke atas umat Nabi Muhammad SAW diterima perintah oleh baginda secara terus dari Allah dengan baginda dibawa ke Sidratul Muntaha yang letaknya melepasi lapisan langit ketujuh.


Sidratul Muntaha itu sendiri adalah tempat yang tidak boleh didatangi oleh manusia lain, kecuali Nabi Muhammad, malah para malaikat juga tidak boleh ke sana.


Pemergian baginda SAW pada malam 27 Rejab tahun ke-11 kerasulan baginda (yakni dalam tahun 622 Masihi) dinamakan Israk Mikraj yang mana selain daripada menerima perintah kewajipan sembahyang, baginda juga berpeluang berjumpa dengan para nabi dan rasul, malah berkesempatan beramah mesra.


Rasulullah juga dipertontonkan dengan manusia yang menanggung seksa kerana memusuhi Allah (SWT) dan Rasul-Nya serta mereka yang menikmati nikmat kerana bertakwa kepada Allah (SWT). Pada mulanya sembahyang yang diperintahkan adalah sebanyak 50 waktu.


Macam mana pun atas cadangan dan desakan Nabi Musa a.s. yang menyebabkan Rasulullah SAW berulang alik naik turun Sidratul Muntaha, maka jumlah waktu sembahyang hanya tinggal lima waktu sehari semalam sahaja.


Nabi Musa yang merasakan jumlah sembahyang lima waktu sehari semalam itu akan malas dilakukan oleh umat Nabi Muhammad meminta baginda membuat rayuan pengurangan jumlah waktu sembahyang tetap baginda enggan kerana malu kepada Allah (SWT).


Sebenarnya sembahyang lima waktu itu adalah himpunan sembahyang-sembahyang yang telah dilakukan oleh lima orang nabi dan rasul kerana ada sebab dan peristiwanya sebagaimana berikut;


Subuh: Manusia pertama yang mengerjakan sembahyang subuh adalah Nabi Adam a.s. iaitu ketika baginda keluar dari syurga lalu diturunkan ke dunia.


Semasa dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke dunia kerana kesalahan memakan buah khuldi yang dilarang, yang pertama yang dilihat oleh bagi ialah kegelapan.


Baginda berasa sangat takut. Macam mana pun apabila fajar menjelang Subuh dunia mulai terang dan kerana bersyukur apabila dunia mula menampakkan akan terang dan tidak gelap lagi, Nabi Adam a.s. pun bersembahyang dua rakaat.


Rakaat pertama sembahyang baginda adalah sebagai tanda bersyukur kerana baginda terlepas dari kegelapan malam manakala rakaat kedua adalah bersyukur kerana siang telah menjelma.


Zuhur: Manusia pertama yang mengerjakan solat Zuhur ialah Nabi Ibrahim a.s. iaitu tatkala Allah (SWT) memerintahkan baginda agar menyembelih anak baginda Nabi Ismail a.s. sebagai melepas nazar baginda.


Seruan itu datang pada waktu tergelincir matahari (bertepatan dengan waktu Zohor), lalu sujudlah Nabi Ibrahim sebanyak empat rakaat.


Rakaat pertama kerana bersyukur bagi penebusan, rakaat kedua tanda bersyukur kerana dibukakan dukacitanya dan juga anaknya, rakaat ketiga: tanda bersyukur dan memohon keredaan Allah (SWT) manakala rakaat keempat tanda bersyukur kerana korbannya digantikan dengan tebusan kibas.


Asar: Manusia pertama yang mengerjakan solat Asar ialah Nabi Yunus a.s. tatkala baginda dikeluarkan oleh Allah (SWT) dari perut ikan Nun.


Ikan Nun telah memuntahkan Nabi Yunus di tepi pantai, sedang ketika itu telah masuk waktu Asar. Sebagai tanda syukur kerana dikeluarkan dari perut ikan Nun, maka Nabi Yunus a.s. bersembahyang empat rakaat kerana baginda telah diselamatkan oleh Allah (SWT) daripada 4 kegelapan iaitu:


Rakaat pertama tanda syukur dari bebas dari kelam dengan kesalahan, rakaat kedua bersyukur kerana kelam dengan air laut, rakaat ketika kerana kelam malam dan rakaat keempat kerana kelam perut ikan Nun.


Maghrib: Manusia pertama yang mengerjakan solat Maghrib ialah Nabi Isa a.s. iaitu ketika baginda dikeluarkan oleh Allah (SWT) dari kejahilan dan kebodohan kaumnya, yang di kala itu telah terbenamnya matahari.


Kerana tanda bersyukur bagi sembahyang tiga rakaat dengan rakaat tanda bersyukur kerana baginda berjaya menafikan ketuhanan selain dari Allah yang Esa, rakaat tanda bersyukur kerana berjaya menafikan tohmahan ke atas bonda baginda Siti Mariam yang telah dituduh melakukan perbuatan sumbang manakala rakaat ketiga tanda bersyukur kerana berjaya menyatakan kepada kaum baginda bahawa Tuhan itu hanya satu iaitu Allah (SWT), tiada dua atau tiganya.


Isyak: Manusia pertama yang mengerjakan solat Isyak ialah Nabi Musa a.s.. Pada ketika itu, Nabi Musa telah tersesat untuk mencari jalan kfeluar dari negeri Madyan.


Sedang dalam dadanya penuh dengan perasaan dukacita kerana sesat ekoran doa seorang alim yang diupah oleh Firaun agar mendoakan supaya Nabi Musa a.s.


Orang alim dan doanya sangat mustajab itu pada mulanya enggan akur kepada arahan Firaun dan enggan menerima upahan dalam bentuk jongkong emas kerana diketahuinya bahawa Nabi Musa a.s. adalah nabi dan rasul.


Hasil siasatan oleh pegawai-pegawai perisikan Firaun mendapati orang alim itu sangat sayangkan isteri dan dia adalah seorang suami yang sering mengalah kepada isteri.


Kelemahan itu diambil kesempatan oleh Firaun dengan memberi upah emas kepada isteri orang alim itu supaya meminta suaminya berdoa supaya Nabi Musa a.s. sesat di padang pasir negeri Madyan.


Bila diminta dan dirayu dan direngek oleh isterinya, orang alim itu tidak dapat menolak. Bagaimanapun, dia memberi syarat akan berdoa dalam kandang kuda.


Orang alim itu menyangka bila berdoa pada tempat yang kotor, doanya tidak akan mustajab. Macam mana pun doanya tetap mustajab dan Nabi Musa a.s. tersesat manakala orang alim itu mati dalam keadaan berdosa kerana mengikut kemahuan Firaun.


Bagaimana Allah (SWT) menghilangkan semua perasaan dukacitanya Nabi Musa a.s. apabila beliau akhirnya tidak lagi sesat dan ketika itu adalah waktu Isyak yang akhir. Sebagai tanda syukurnya, Nabi Musa bersembahyang empat rakaat dengan rakaat pertama tanda syukur kerana baginda akan dapat kembali ke pangkuan isteri dan kampung halaman. Rakaat kedua tanda bersyukur kerana dapat bersua kembali dan berganding bahu dengan saudara Nabi Harun a.s. bagi menyampaikan seruan Allah (SWT).


Rakaat ketiga pula kerana selamat daripada tindakan Firaun manakala rakaat keempat tanda bersyukur selamat daripada pengkhianatan anak Firaun terhadap baginda dan umat baginda yang bertakwa.


Ertinya kesemua waktu sembahyang yang diwajibkan ke atas umat Nabi Muhammad adalah merupakan amalan-amalan tanda ketakwaan terhadap Allah (SWT) oleh para nabi dan rasul dan nilainya tidak boleh disamakan dengan apa jua bentuk kebendaan.


Kalau nabi dan rasul pun bersembahyang sebagai tanda syukur dan untuk melayakkan diri masuk ke syurga, siapa kita yang bukan nabi dan rasul untuk tidak sembahyang di samping melakukan pelbagai kemungkaran dengan bila mati kita mahukan syurga!


- Oleh RAMLI ABDUL HALIM adalah murid tua (bekas pelajar) Madrasah Al-Balaghulmubin Rong Chenak, Tok Uban, Pasir Mas, Kelantan.

Saturday, May 24, 2008

~* Petua untuk khusyuk solat *~

  1. Sentiasa menghadirkan hati meyakini kebesaran dan kekuasaan Allah.
  2. Menghadirkan hati mengakui tentang kelemahan kita sebagai hamba Allah yang sentiasa memerlukan pertolongan Allah.
  3. Menghadirkan hati mengakui segala kemewahan dunia dan kesenangan adalah sementara.
  4. Tidak tergesa-gesa dalam menunaikan solat kerana tergesa-gesa boleh membawa kepada luputnya beberapa perkara penting untuk khusyuk.
  5. Hendaklah menunaikan solat pada awal waktu dan secara berjemaah.
  6. Pakaian yang digunakan dalam solat hendaklah bersih daripada najis. Begitu juga dengan sejadah. Ia hendaklah bersih dan tidak mempunyai gambar-gambar yang boleh melalaikan solat.
  7. Dalam suasana yang aman tanpa suara bising daripada kanak-kanak mahupun menerusi televisyen atau radio.
  8. Imam hendaklah seorang yang elok bacaannya kerana bacaan yang elok membantu menghadirkan hati. Imam itu pula tidak dibenci oleh ahli jemaah.
  9. Bersihkan fikiran daripada masalah hidup dan tumpukan sepenuh perhatian kepada Allah.
  10. Membuang air kecil dan air besar terlebih dahulu jika berasa perlu berbuat demikian. ini kerana orang yang solat dalam keadaan menahan buang air kecil dan buang air besar tidak akan memperoleh kekhusyukan.
  11. Tidak berada dalam keadaan lapar atau terlalu kenyang kerana orang yang lapar hanya memikirkan untuk makan. Begitu juga dengan orang yang terlalu kenyang berada dalam keadaan tidak selesa dalam setiap pergerakannya.
  12. Kesihatan tubuh badan hendaklah dijaga. Badan yang sakit sukar mendatangkan rasa khusyuk dalam solat.
  13. Hati hendaklah hadir dalam solat, bukannya melayang tak tentu arah.
  14. Memahami makna bacaan dalam solat.

Friday, November 16, 2007

~* Tahajud bina kekuatan jiwa & peribadi unggul *~

FIRMAN Allah (SWT) bermaksud:


“Wahai orang yang berselimut, bangunlah sembahyang tahajud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat). Iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit daripada separuh itu. Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya: dan bacalah al-Quran dengan ‘Tartil’ (perlahan-lahan). Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu perkataan yang berat (wahyu yang mengandungi perintah yang berat). Sesungguhnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap betul bacaannya”. (Surah Al-Muzzammil, ayat 1-6)


Umat Islam dianjur melaksanakan qiamullail (tahajud) pada bahagian akhir malam sebagai manifestasi kesyukuran kepada Allah (SWT) atas segala nikmat-Nya yang begitu banyak dikurniakan kepada kita. Sesungguhnya solat pada akhir malam akan melahirkan kekuatan jiwa, memperkukuhkan keinginan dan azam untuk patuh serta taat kepada Allah (SWT).


Beribadat dan bermunajat kepada Allah (SWT) pada malam hari, di kala insan lain sudah lama nyenyak dibuai mimpi indah. Ia suatu gambaran keikhlasan kepada Allah (SWT) dan seterusnya membebaskan diri dari sifat riak yang boleh membakar seluruh amalan kebajikan.


Bermunajat dengan melaksanakan tahajud pada malam hari mengecewakan syaitan yang tidak jemu menggoda dengan pelbagai bisikan dan mendodoi manusia supaya terus lena hingga ke pagi hari.


Sabda Rasulullah SAW bermaksud:


“Ketika kamu tidur, maka datanglah syaitan dengan mengikat ubun-ubunmu dengan tiga ikatan. Dan apabila ia terjaga dengan menyebut nama Allah (SWT), maka terlepaslah satu ikatan, jika ia terus berwuduk maka terlepaslah ikatan kedua, kemudian apabila diikuti dengan solat Qiamullail, maka terlepaslah ikatan yang ketiga dan pada waktu pagi berada dalam keadaan segar dan giat, jika tidak berbuat demikian, maka akan kencinglah syaitan dalam kedua-dua telinganya.” (A-Misykuh)


Rasulullah SAW sentiasa mengingatkan kita berhati-hati supaya tidak diperdayakan syaitan laknatullah, jiwa yang tergoda dengan syaitan akan timbul sifat malas untuk melaksanakan ibadat, hati menjadi keras dan liat untuk mendengar serta mendekati ilmu keagamaan.


Daripada Ibnu Mas’ud katanya,


“Sudah disebut perihal lelaki di hadapan Nabi SAW. Katanya, lelaki itu berterusan tidur hingga subuh dan tidak bangun sembahyang lalu Nabi bersabda: “Sesungguhnya lelaki itu dikencing oleh syaitan di dalam telinganya.” (Hadis riwayat Syaikhan dan an-Nasa’i)


Oleh demikian, menghidupkan malam hari dengan bertahajud dan bermunajat kepada Allah (SWT) akan mendapat kasih sayang dari Allah (SWT) dan kasih sayang Allah (SWT) itu terpancar dari-Nya melalui sikap serta tindakannya.


Segala sikap dan tindakannya sentiasa di dalam pemeliharaan Allah (SWT), yang seterusnya orang lain pula apabila melihatnya akan timbul perasan kasih dan hormat akibat pancaran kasih sayang Allah (SWT) kepadanya.


Firman Allah (SWT) bermaksud:


“Dan (dengan yang demikian) bersabarlah (wahai Muhammad) menerima hukum Tuhanmu (memberi tempat kepada mereka), kerana sesungguhnya engkau tetap terselamat dalam pemeliharaan serta pengawasan Kami. Dan bertasbihlah menemui Tuhanmu semasa engkau bangun. Dan juga hendaklah engkau bertasbih kepada-Nya pada waktu malam, dan ketika bintang-bintang tenggelam (pada waktu subuh)”. (Surah al-Thur, ayat 48-49)


Allah (SWT) menyediakan banyak pengurniaan-Nya terhadap orang yang sanggup menukar tempat tidur dan masa istirehatnya, tilam yang empuk, bangun dalam kesejukan untuk bersuci dan terus beribadah kepada Allah (SWT), dijanjikan kedudukan yang terpuji baik di dunia mahupun akhirat.


Sejarah lampau membuktikan bahawa Salahuddin Al-Ayubi seorang pemimpin tentera Islam dalam peperangan Salib hanya memilih orang yang mengerjakan qiamullail untuk bertempur di medan peperangan kerana mereka ini memiliki kekuatan jiwa dan keteguhan peribadi yang tinggi. Hasilnya, pihak Islam menang dalam peperangan itu.


Dalam satu hadis Rasulullah SAW menjelaskan bahawa barang siapa bersolat pada malam hari dengan sanggup bersengkang mata melaksanakan solat tahajud, Allah (SWT) akan memberi sembilan kurniaan kepadanya. Lima kurniaan di dunia dan empat lagi di akhirat.


Sabda Rasulullah SAW, daripada Umar bin al-Khattab yang bermaksud:


“Barang siapa yang mengerjakan solat malam, dan dia membangunkan solat, maka Allah (SWT) memuliakan dia dengan sembilan perkara: Lima perkara di dunia dan yang empat lagi di akhirat."


Oleh itu, marilah sama-sama kita menyahut tawaran Allah (SWT) untuk bangun menunaikan qiamullail iaitu ganjarannya terlalu besar nilainya, lebih besar dan bernilai dari dunia ini dan segala isinya. Janganlah sampai ayam yang tidak berakal itu lebih pintar dan lebih baik daripada kita. Seperti nasihat Luqmanul Hakim kepada anaknya, “Wahai anakku, janganlah engkau tidur di kala ayam jantan berkokok pada waktu fajar.”



INFO 9 kemuliaan solat Tahajud

  1. Dia dijaga oleh Allah (SWT) daripada beberapa bencana.
  2. Berkat ketaatannya, akan nampak pada wajahnya.
  3. Dia disukai oleh hamba Allah (SWT) yang soleh dan oleh semua manusia.
  4. Ucapannya mampu mengeluarkan kata-kata yang penuh hikmah.
  5. Diberi cepat mengerti dan mendapat ilmu pengetahuan.
  6. Dia dibangunkan dari kubur dengan wajah yang putih berseri.
  7. Diringankan hisabnya.
  8. Melalui titian siratul mustaqim bagaikan kilat yang menyambar.
  9. Diberi buku catatan amalannya melalui tangan kanannya di hari kiamat. (Raudhatul Ulama).
Oleh Masmawi Abdullah

Monday, September 24, 2007

~* Panduan Solat Aidilfitri dan Aidiladha *~

  1. Diriwayatkan dari Abu Said, ia berkata : Adalah Nabi (S.A.W.). pada hari raya Aidilfitri dan Aidiladha keluar ke mushalla ( padang untuk solat ), maka pertama yang beliau kerjakan adalah solat, kemudian setelah selesai beliau berdiri menghadap kepada manusia sedang manusia masih duduk tertib pada Saf mereka, lalu beliau memberi nasihat dan wasiat (khutbah ) apabila beliau hendak mengutus tentera atau ingin memerintahkan sesuatu yang telah beliau putuskan, beliau perintahkan setelah selesai beliau pergi. (H.R. : Al-Bukhary dan Muslim )


  2. Telah berkata Jaabir (R.A.): Saya menyaksikan solat 'ied bersama Nabi (S.A.W.). Beliau memulai solat sebelum khutbah tanpa azan dan tanpa iqamah, setelah selesai beliau berdiri bertekan atas Bilal, lalu memerintahkan manusia supaya bertaqwa kepada Allah, mendorong mereka untuk taat, menasihati manusia dan memperingatkan mereka, setelah selesai beliau turun mendatangi saf wanita dan selanjutnya beliau memperingatkan mereka. (H.R : Muslim )


  3. Diriwayatkan dari Ibnu Umar (R.A.). ia berkata : Umar mendapati pakaian tebal dari sutera yang dijual, lalu beliau mengambilnya dan membawa kepada Rasulullah (S.A.W.). lalu berkata : Ya Rasulullah belilah pakaian ini dan berhiaslah dengannya untuk hari raya dan untuk menerima utusan. Maka beliaupun menjawab : Sesungguhnya pakaian ini adalah bagian orang-orang yang tidak punya bagian di akhirat (yakni orang kafir). ( H.R Bukhary dan Muslim )


  4. Diriwayatkan dari Ummu 'Atiyah (R.A.). ia berkata : Rasulullah (S.A.W.). memerintahkan kami keluar pada Aidilfitri dan Aidiladha semua gadis-gadis, wanita-wanita yang haid, wanita-wanita yang tinggal dalam kamarnya. Adapun wanita yang sedang haid mengasingkan diri dari mushalla (tempat solat 'ied ), mereka meyaksikan kebaikan dan mendengarkan dakwah kaum muslimin (mendengarkan khutbah ). Saya berkata : Yaa Rasulullah bagaimana dengan kami yang tidak mempunyai jilbab? Beliau bersabda: Supaya saudaaranya meminjamkan kepadanya dari jilbabnya. (H.R : Jama'ah)


  5. Diriwayatkan dari Anas bin Malik (R.A.). ia berkata : Adalah Nabi (S.A.W.). Tidak berangkat menuju mushalla kecuali beliau memakan beberapa biji kurma, dan beliau memakannya dalam jumlah bilangan ganjil. (H.R. : Al-Bukhary dan Muslim )


  6. Diriwayatkan dari Burayaidah (R.A.). ia berkata : Adalah Nabi (S.A.W.) keluar untuk solat Aidilfitri sehingga makan terlebih dahulu dan tidak makan pada solat Aidiladha sehingga beliau kembali dari solat 'ied. ( H.R : Ibnu Majah, At-Tirmidzi dan Ahmad)


  7. Diriwayatkan dari Ibnu Abbas (R.A.). ia berkata : Bahwasanya Nabi (S.A.W.). keluar untuk solat Aidilfitri dua raka'at, tidak solat sunah sebelumnya dan tidak pula sesudahnya. (H.R : Bukhary dan Muslim )


  8. Diriwayatkan dari Jaabir (R.A.). ia berkata : Adalah Nabi (S.A.W.) apabila keluar untuk solat 'ied ke mushalla, beliau menyelisihkan jalan (yakni waktu berangkat melalui satu jalan dan waktu kembali melalui jalan yang lain ). (H.R : Bukhary )


  9. Diriwayatkan dari Yazid bin Khumair Arrahbiyyi (R.A.). ia berkata : Sesungguhnya Abdullah bin Busri seorang sahabat nabi (S.A.W.). keluar bersama manusia untuk solat Aidilfitri atau Aidiladha, maka beliau mengingkari keterlambatan imam, lalu berkata : Sesungguhnya kami dahulu (pada zaman Nabi S.A.W.) pada jam-jam seperti ini sudah selesai mengerjakan solat 'ied. Pada waktu ia berkata demikian adalah pada solat Dhuha. (H.R. : Abu Daud dan Ibnu Majah)


  10. Diriwayatkan dari Abi Umair bin Anas, diriwayatkan dari seora)ng pamannya dari golongan Anshar, ia berkata: Mereka berkata: Karena tertutup awan maka tidak terlihat oleh kami hilal Syawal, maka pada pagi harinya kami masih tetap puasa, kemudian datanglah satu kafilah berkendaraan di akhir siang, mereka bersaksi di hadapan asulullah (S.A.W.).bahawa mereka kelmarin melihat hilal. Maka Rasulullah (S.A.W.). memerintahkan semua manusia ( ummat Islam ) agar berbuka pada hari itu dan keluar menunaikan solat 'ied pada hari esoknya. (H.R. : Lima kecuali At-Tirmidzi)


  11. Diriwayatkan dari Azzuhri, ia berkata : Adalah manusia (para) sahabat) bertakbir pada hari raya ketika mereka keluar dari rumah-rumah mereka menuju tempat solat 'ied sampai mereka tiba di mushalla ( tempat solat 'ied ) dan terus bertakbir sampai imam datang, apabila imam telah datang, mereka diam dan apabila imam bertakbir maka merekapun ikut bertakbir. (H.R.: Ibnu Abi Syaibah)


  12. Diriwayatkan bahawa Ibnu Mas'ud (R.A.): Bertakbir pada hari-hari tasyriq dengan lafadz sbb: (artinya): Allah maha besar, Allah maha besar, tidak ada Illah melainkan Allah dan Allah maha besar, Allah maha besar dan bagiNya segala puji. (H.R. Ibnu Abi Syaibah dengan sanad shahih )


  13. Diriwayatkan dari Amru bin Syu'aib, dari ayahnya, dari neneknya, ia berkata : Sesungguhnya Nabi (S.A.W.). bertakbir pada solat 'ied dua belas kali takbir. dalam raka'at pertama tujuh kali takbir dan pada raka'at yang kedua lima kali takbir dan tidak solat sunnah sebelumnya dan juga sesudahnya. (H.R. : Amad dan Ibnu Majah )


  14. Diriwayatkan dari Samuroh, ia berkata: Adalah Nabi (S.A.W.). dalam solat kedua hari raya beliau membaca: Sabihisma rabbikal A'la dan hal ataka haditsul ghosiah. (H.R. : Ahmad )


  15. Diriwayatkan dari Abu Waqid Allaitsi, ia berkata : Umar bin Khaththab telah menanyakan kepadaku tentang apa yang dibaca oleh Nabi (S.A.W.). Waktu solat 'ied . Aku menjawab : beliau membaca surah (qtarabatissa'ah ) dan ( Qaaf walqur'anul majid). (H.R. : Muslim )


  16. Diriwayatkan dari Zaid bin Arqom (R.A.). ia berkata : Nabi (S.A.W.). Mendirikan solat 'ied, kemudian beliau memberikan ruhkshah / kemudahan dalam menunaikan solat Jumaat, kemudian beliau bersabda : Barang siapa yang mahu solat Jumaat, maka kerjakanlah. (H.R. : Imam yang lima kecuali At-Tirmidzi)


  17. Diriwayatkan dari Abu Hurairah (R.A.). bahwasanya Nabi (S.A.W.). bersabda: Pada hari kamu ini, telah berkumpul dua hari raya (hari Jumaat dan hari raya), maka barang siapa yang suka solat Jum'at, maka solatnya diberi pahala sedang kami akan melaksanakan solat Jum'at. (H.R: Abu Daud )

KESIMPULAN

Hadits-hadits tersebut memberi pelajaran kepada kita tentang adab-adab solat hari raya sbb : Pakaian pada saat mendirikan solat kedua hari raya disunnahkan memakai pakaian yang paling bagus. (Dalil: 3 )


  • Makan

  • a. Sebelum berangkat solat Aidilfitri disunnahkan makan terlebih dahulu, jika terdapat beberapa butir kurma, jika tidak ada maka makanan apa saja.


    b. Sebaliknya pada Aidiladha, disunahkan tidak makan terlebih dahulu sampai selesai solat Aidiladha. (Dalil: 5 dan 6 )


  • Mendengungkan takbir

  • a. Pada hari raya Aidilfitri, takbir didengungkan sejak keluar dari rumah menuju ke tempat solat dan sesampainya di tempat solat terus dilanjutkan takbir didengungkan sampai solat dimulai. (Dalil : 11 )


    b. Pada hari raya Aidiladha, takbir boleh didengungkan sejak Shubuh hari Arafah (9 Dzul Hijjah ) hingga akhir hari tasyriq ( 13 Dzulhijjah ). (Dalil: 12)


    Jalan yang dilalui Disunnahkan membedakan jalan yang dilalui waktu berangkat solat hari raya dengan jalan yang dilalui di waktu pulang dari solat 'ied ( yakni waktu berangkat melalui satu jalan, sedang waktu pulang melalui jalan yang lain ). (Dalil: 8 )


    Bila terlambat mengetahui tibanya hari raya Apabila datangnya berita tibanya hari raya sudah tengah hari atau petang hari, maka hari itu diwajibkan berbuka sedang pelaksanaan solat hari raya dilakukan pada hari esoknya. (Dalil : 10 )


  • Yang menghadiri solat 'ied

  • Solat 'ied disunnahkan untuk dihadiri oleh orang dewasa, baik lelaki maupun wanita, baik wanita yang suci dari haid maupun wanita yang sedang haid dan juga kanak-kanak baik laki-laki maupun wanita. Wanita yang sedang haid tidak ikut solat, tetapi hadir untuk mendengarkan khutbah 'ied. (Dalil: 4 )


  • Tempat solat 'ied

  • Solat 'ied lebih afdhal (utama) diadakan di mushalla iaitu suatu padang yang di sediakan untuk solat 'ied, kecuali ada uzur hujan maka solat diadakan di masjid. Mengadakan solat 'ied di masjid pada hal tidak ada hujan sementara lapangan (padang ) tersedia, maka ini kurang afdhal karena menyelisihi amalan Rasulullah (S.A.W.). yang selalu mengadakan solat 'ied di mushalla (padang tempat solat ), kecuali sekali dua kali beliau mengadakan di masjid karena hujan. (Dalil: 1 dan 8 )


  • Cara solat 'ied

  • a. solat 'ied dua rakaat, tanpa azan dan iqamah dan tanpa solat sunnah sebelumnya dan sesudahnya. (Dalil: 1,2 dan 7 )


    b. Pada rakaat pertama setelah takbiratul ihraam sebelum membaca Al-Fatihah, ditambah 7 kali takbir. Sedang pada raka'at yang kedua sebelum membaca Al-Fatihah dengan takbir lima kali. (Dalil: 13 )


    c. Setelah membaca Fatihah pada rakaat pertama di sunnahkan membaca surah (sabihisma rabbikal a'la/surat ke 87 ) atau surat iqtarabatissa'ah / surat ke 54 ). Dan setelah membaca Al-Fatihah pada raka'at yang kedua disunnahkan membaca surat (Hal Ataka Haditsul Ghaasyiyah/surat ke 88 ) atau membaca surat (Qaaf walqur'anul majid/surat ke 50 ).(Dalil : 15)


    d. Setelah selesai solat, imam berdiri menghadap makmum dan berkhutbah memberi nasihat-nasihat dan wasiat-wasiat, atau perintah-perintah penting.


    e. Khutbah hari raya ini boleh diadakan khusus untuk laki-laki kemudian khusus untuk wanita.


    f. Khutbah hari raya ini tidak diselingi duduk. (Dalil: 1 dan 2 )


  • Waktu solat

  • Solat 'ied diadakan setelah matahari naik, tetapi sebelum masuk waktu solat Dhuha. (Dalil: 9 )


    Hari raya jatuh pada hari Jum'at. Bila hari raya jatuh pada hari Jum'at, maka solat Jum'at menjadi sunnah, boleh diadakan dan boleh tidak, tetapi untuk pemuka umat atau imam masjid jami' sebaiknya tetap mengadakan solat Jum'at. (dalil: 16 dan 17 )

    ~* Solat Tarawih boleh ditunai selagi belum masuk Subuh *~


    RITUAL bermaksud tata cara dalam upacara keagamaan, adat dan sebagainya. Amalan ritual lahir daripada kebiasaan yang diterima dan dilakukan dalam masyarakat. Ia walaupun berkaitan dengan ibadat, sedangkan niat sebenarnya dilakukan kerana satu kebiasaan. Maka, ibadat itu tidak diterima Allah sebagai satu ibadat.

    Termasuk dalam yang banyak dianggap ritual masyarakat kita ialah ibadat puasa. Dalam masyarakat mengamalkan konsep ritual, sesiapa tidak ikut serta program diadakan sepanjang Ramadan dipandang serong.


    Maka atas semangat ritual, ramailah yang memenuhi masjid dan surau menunaikan solat Tarawih. Disebabkan solah Tarawih diterima sebagai ritual, ada orang bersembahyang Tarawih, tetapi tidak menunaikan solat fardu. Mereka hanya menunaikan solat fardu Isyak yang dilakukan sebelum solat Tarawih.


    Masjid dan surau biasanya penuh hanya pada awal Ramadan. Sebaliknya semakin berkurangan apabila penghujung Ramadan yang ketika itu, masing-masing sibuk pula kepada sambutan Aidilfitri, yang lebih jelas ritualnya.


    Masih ramai tidak faham mengenai Tarawih. Buktinya, ada yang mengatakan Tarawih itu mesti dilakukan di masjid secara jemaah. Sebabnya, sejak dari kecil sehinggalah dewasa, kita hanya melihat orang bertarawih di masjid. Maka, jika ada orang bertarawih di rumah bersama ahli keluarga, dituduh pula melanggar kebiasaan.


    Sebenarnya solat Tarawih boleh dilakukan berseorangan dan berjemaah di mana-mana saja. Masa Tarawih bukan juga mesti ditunaikan sebaik selesai solat Isyak. Masa untuk solat boleh dilakukan sehingga sebelum masuk waktu Subuh.


    Masyarakat masih tidak dapat membezakan di antara hukum dan kebiasaan. Mana yang wajib dan mana yang sunat. Justeru, amat penting guru agama dan imam memberi penjelasan mengenai perkara ini. Kaedah hanya menyuruh dan tidak mendidik adalah di antara punca berlaku amalan ribual dalam ibadat.


    Sebenarnya konsep puasa ritual ini disebabkan kejahilan ilmu agama dan tahap keimanan. Ramai beranggapan memadai jika berpuasa sekadar menahan diri daripada melakukan perbuatan membatalkan puasa.


    Orang jahil melakukan puasa sekadar mengikut apa yang orang kebanyakan lakukan. Orang lain berpuasa, dia juga berpuasa. Memang tidak sukar melakukan puasa sebab ia telah dilakukan sejak ketika sekolah rendah lagi. Apabila telah dewasa, ibadat puasa menjadi kebiasaan. Hal yang sama diturunkan kepada anak dan begitulah dari satu generasi ke satu generasi.


    Kesempurnaan melakukan sesuatu ibadat tidak hanya apabila cukup syarat sah dan batal. Sebaliknya, nilai ibadat bergantung kepada kefahaman, keimanan dan ketakwaan orang yang melakukannya.


    Orang berpuasa bukan diasaskan keikhlasan dan ketakwaan tidak merasai nikmat sebenar puasa. Ketika orang beriman merasai kemanisan berpuasa, orang yang tidak ikhlas melakukannya dalam keadaan menderita menahan lapar dan dahaga.

    Friday, September 14, 2007

    ~* Ketenangan tingkat khusyuk solat Tarawih *~


    SOLAT Tarawih bererti solat yang merehatkan. Bersesuaian dengan namanya, umat Islam tidak seharusnya mengerjakannya dalam keadaan kelam-kabut atau tergopoh-gapah semata-mata ingin cepat selesai.


    Umat Islam seharusnya mengerjakan solat itu seperti yang dilakukan Rasulullah dan sahabat iaitu dalam keadaan tenang, tenteram dan tidak tergopoh-gapah untuk menyelesaikannya.


    Mengerjakan solat sunat Tarawih bukan sesuatu yang mesti dikerjakan dalam waktu singkat. Ia seperti juga solat lain yang harus dihayati dan dikerjakan dalam keadaan khusyuk dan tenang.


    Allah berfirman bermaksud:


    Sudah berjaya orang beriman. Mereka yang khusyuk dalam solat (sama ada solat sunat atau wajib).” (Surah Mukminun, ayat 1-2).


    Sebaliknya, orang yang menunaikan solat sunat Tarawih dalam keadaan kelam-kabut akan hilang penghayatan dan khusyuk. Mereka ini disifatkan oleh Rasulullah sebagai pencuri.


    Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Seburuk-buruk pencuri ialah mereka yang mencuri daripada solat.” Maka sahabat pun bertanya: “Wahai Rasulullah! Bagaimana mereka mencuri daripada solat mereka?”


    Rasulullah menjawab: “Mereka yang tidak sempurna rukuk dan sujud (iaitu mengerjakan solat dengan tergopoh-gapah).” (Hadis riwayat Ahmad, al-Tabrani dan Ibn Khuzaimah).


    Dalam satu hadis lain, Rasulullah melarang umatnya mengerjakan solat seperti burung yang mematuk makanan iaitu pantas berdiri dan sujud dalam waktu yang singkat. (Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud dan al-Nasa’i).


    Rasulullah juga bersabda bermaksud:


    Allah tidak melihat solat seseorang yang dikerjakan tanpa sempat meluruskan tulang belakangnya antara rukuk dan sujud.” (Hadis riwayat al-Tabrani).


    Oleh itu, marilah sama-sama kita mengerjakan solat sunat Tarawih dalam keadaan penuh khusyuk, tenang dan tidak kelam-kabut seperti yang dilakukan Rasulullah supaya solat kita tidak menjadi sia-sia.


    Cara solat Rasulullah seperti diriwayatkan daripada al-Bara’ bin Azib katanya:


    Aku mengamati solatku bersama Nabi Muhammad. Maka, aku dapati Baginda berdiri, rukuk, bangkit selepas rukuk, sujud, duduk di antara dua sujud, sujud lagi serta Baginda duduk antara salam dan selesai sembahyang, semuanya hampir sama.””(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)


    Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah bersabda bermaksud:


    Apabila kamu ingin mengerjakan solat, mulakanlah dengan bertakbir kemudian bacalah ayat atau surah yang paling senang bagi kamu. Seterusnya rukuk hingga kamu benar-benar berada dalam keadaan itu dan bangkit berdiri. Selepas itu sujud hingga kamu betul-betul berada dalam keadaan itu dan bangkit untuk berada dalam keadaan duduk di antara dua sujud. Itulah cara yang perlu kamu lakukan hingga selesai solat.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).


    Justeru, rebutlah peluang untuk mengerjakan ibadah khusus pada Ramadan ini dengan hati ikhlas, tenang dan sempurna. Dengan itu, semoga kita dapat meraih segala fadilat dan anugerah yang Allah janjikan.


    Thursday, July 26, 2007

    Sambungan : ~* Solat Taubat *~


    Pengenalan


    Sembahyang Taubat ialah sejenis sembahyang sunat bertujuan memohon ampun daripada Allah serta bertaubat atas dosa-dosa yang telah dilakukan. Hukum Dan Dalil Melakukan Sembahyang Taubat adalah sunat.


    Antara dalilnya yang jelas ialah riwayat Ali bin Abu Talib r.a. berkata, Abu Bakar r.a. mendengar Rasulullah s.a.w.bersabda:


    ما من عبد يذنب ذنبا فيتوضأ فيحسن الوضؤ و يصلي رآعتين و يستغفر الله إلا غفر الله له
    ثم تلا..أية:135 سورة آل عمران.

    Maksudnya: "Tiada seorang hamba yang berdosa dengan suatu dosa, kemudian ia berwuduk dengan sebaik-baik wuduk. Lalu ia sembahyang sunat dua rakaat dan setelah itu ia beristighfar memohon keampunan Allah, melainkan diampunkan Allah baginya".


    Kemudian Rasulullah s.a.w. membaca ayat: 135 Surah Aal-Imran bermaksud:


    "Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiayai diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah - dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang telah mereka lakukan itu, sedangkan mereka mengetahui ( akan salahnya dan akibatnya )".(Riwayat empat Ahli Hadis dan Ibnu Hibban, serta dishahihkan oleh Albany dalam Shahih Al-Jamik)


    Cara Sembahyang


    • Takbiratul-ihram berserta niat sembahyang sunat taubat dua rakaat. Lafaz niatnya:
    أصلي سنة التوبة رآعتين لله تعالى

    Ertinya: "Aku sembahyang sunat taubat dua raka'at kerana Allah Ta'ala".


    • Raka'at pertama selepas Al-Fatihah baca surah Al-Kafirun.
    • Raka'at kedua selepas Al-Fatihah baca surah Al-Ikhlas.
    • Setelah salam, perbanyakan beristighfar memohon keampunan Allah,umpamanya:
    أستغفر الله العظيم الذي لا إله إلا هو الحي القيوم و أتوب إليه

    Ertinya: "Aku memohon keampunan Allah Yang Maha Agung, tiada Tuhan yang sebenar melainkan Dia, Yang Sedia Ada dan kepada-Nya aku bertaubat." ( Riwayat At-Tarmizi )


    سبحان الله وبحمده، سبحان الله العظيم، أستغفر الله وأتوب إليه

    Ertinya: "Maha Suci Allah dan segala puji bagi-Nya, Maha Suci Allah Yang Maha Agung. Aku memohon keampunan Allah dan kepada-Nya aku bertaubat." ( Riwayat Al-Bazar )


    اللهم أنت ربي لا إله إلا أنت، خلقتني وأنا عبدك، وأنا على عهدك ووعدك مااستطعت، أعوذ بك م ما صنعت، أبوء لك بنعمتك علي، وأبوء لك بذنبي، فاغفر لي، فإنه لايغفر الذنوب إلا أنت

    Ertinya: "Ya Allah! Engkaulah Tuhanku, Tiada Tuhan Yang Sebenar melainkan Engkau, Engkau telah menciptakanku sedangkan aku adalah hamba-Mu. Aku dalam perjanjian-Mu dan aku tiada kekuatan pada ancaman-Mu. Aku berlindung dengan-Mu daripada keburukan yang telah aku lakukan. Aku mengakui nikmat-Mu padaku dan mengakui berdosa pada-Mu, ampunilah bagiku, sesungguhnya tiada yang mengampunkan dosa melainkan Engkau jua." ( Riwayat Bukhari )


    Syarat Sah Sembahyang


    Sama seperti syarat sah sembahyang fardhu atau sunat yang lain iaitu:


    1. Mengadap kiblat.
    2. Suci daripada hadas besar dan hadas kecil.
    3. Suci daripada najis pada badan, pakaian, dan tempat sembahyang.

    Renungan Sabda Rasulullah s.a.w:


    .« والله إني لأستغفر الله وأتوب إليه في اليوم أآثر من سبعين مرة »

    Ertinya: "Demi Allah! Sesungguhnya aku beristighfar dan bertaubat kepada Allah dalam sehari lebih daripada tujuh puluh kali" ( Riwayat Bukhari )


    - Sumber dari Bhg. Dakwah [Unit: Penyelidikan & Penerbitan Negeri Terengganu]

    ~* Solat Taubat *~


    Sumber rujukan: Solat Taubat (Panduan Penjernihan Jiwa)

    Oleh: Muhammad Isa Selamat


    ALLAH swt sentiasa memerintahkan kita supaya bertaubat, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:


    Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang sebenar.” (At-Tahrim: 8.)


    Allah telah membuka pintu harapan kepada hamba-hambaNya:


    "Katakanlah; wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Az-Zumar: 53)


    Syarat-syarat taubat :


    1. Ikhlas ingin bertaubat
    2. Tidak akan mengulangi perbuatan dosa itu lagi
    3. Menyesal atas perbuatan yang telah dilakukan
    4. Harus mempunyai tekad di dalam hati tidak akan melakukan dosa itu untuk selama-lamanya
    5. Dikerjakan sebelum ajal tiba

    Jika salah satu syarat tidak dipenuhi, maka taubat yang dilakukan itu tidaklah sah. Jika dosa berkaitan dengan manusia yang lain, maka syaratnya ditambah lagi, iaitu harus dapat membebaskan diri dari hak orang yang berkaitan. Contohnya jika hal itu berbentuk harta, harus dikembalikan. Jika berbentuk hukuman, ia harus menyerahkan diri mohon dimaafkan. Jika hal berupa cacian dan sebagainya, maka ia harus memohon keredhaannya.


    Waktu melaksanakan taubat :


    Taubat tidak boleh diundur-undur atau ditunda. Kerana jika demikian ia sangat berbahaya bagi hati manusia. Jika tidak segera menyucikan diri sedikit demi sedikit, maka pengaruh dosa itu akan bertompok-tompok, dan akhirnya akan merosakkan hati sehingga tertutup dari cahaya kebenaran.


    Di antara penyebab yang akan membangkitkan jiwa bertaubat seseorang itu adalah jiwa yang selalu mengingati hari kematian dan hidup bersendirian di dalam kubur. Kata-kata mati adalah sesuatu yang sangat menakutkan kebanyakan manusia. Mati beerti berpisah dengan segala yang disayangi atau dicintai. Hari terputusnya segala nikmat. Sedangkan berpisah sebentar sahaja dengan anak atau isteri, dapat mengalirkan air mata kesedihan, apa lagi berpisah untuk selamanya.


    Firman Allah:


    Sesungguhnya kamu akan mati dan sesungguhnya mereka akan mati pula.” (Az-Zumar: 30)


    Di samping mengingat tentang azab penderitaan yang bakal dihadapi oleh orang-orang yang berdosa mengingat kenikmatan syurga yang bakal ditempati oleh orang-orang yang soleh juga akan dapat membangkitkan keinginan jiwa untuk melakukan taubat dengan segera.


    Cara melaksanakan solat taubat:


    Cara melaksanakan solat taubat ini sama dengan solat biasa, iaitu setelah berwuduk dengan sempurna, lalu berdiri di tempat yang suci, menghadap kiblat;



  • Waktu di lakukan - bila-bila masa merasa telah berbuat dosa (kecuali waktu makruh tahrim utk melakukan solat)*. Sebaik-baiknya 2/3 malam (pukul 2 pagi ke atas), semasa Qiyamullail

  • Lafaz niat: “Sahaja aku mengerjakan solat sunat taubat dua rakaat kerana Allah Ta’ala.” (Cukup di dalam hati, ada perbahasan ulama’ tentang lafaz niat dlm ibadah - sila rujuk kpd pakar feqah)

  • Rakaat pertama membaca (disunatkan membaca doa Iftitah) kemudian surah Al-Fatihah. Selepas itu mana2 ayat atau surah dalam al-Quran.

  • Rakaat kedua membaca surah Al-Fatihah. Selepas itu mana2 ayat atau surah dalam al-Quran.

  • Semasa sujud akhir rakaat kedua, ucapkanlah Doa Nabi Yunus sebanyak 40 kali (bersungguh-sungguh di dalam hati memohon keampunan dari Allah Ta’ala),

    027alquran3.gif

  • Ertinya: “Tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau Ya Allah, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim.”


  • Selepas salam, perbanyakkan istighfar seperti,

    munajat1.jpg

  • Ertinya: Ampunilah hamba Ya Allah. Tuhan yang Maha Agung. Tiada Tuhan yang lain melainkan hanya Engkau. Dialah Tuhan yang Maha Hidup lagi Maha Perkasa dan hamba bertaubat kepada Engkau ya Allah.



  • dan berdoa dengan Penghulu Istighfar,



  • Ertinya: “Ya, Allah Engkaulah Tuhanku, Tidak ada Tuhan selain Engkau, Engkaulah yang menjadikan aku. Sedang aku adalah hamba-Mu dan aku di dalam genggaman-Mu dan di dalam perjanjian setia ( beriman dan taat ) kepada-Mu sekuat mampuku. Aku berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang telah ku lakukan. Aku mengakui atas segala nikmat yang telah Engkau berikan kepada ku dan aku mengaku segala dosaku. Maka ampunilah aku. Sesungguhnya tidak ada yang dapat mengampuni segala dosa kecuali Engkau.”

  • Kemudian boleh juga berdoa mengikut luahan hati dan munajat masing-masing ke hadhrat Allah.
  • Wednesday, July 25, 2007

    ~* Solat sunat Rawatib *~


    Solat Sunat Rawatib ialah solat sunat yang mengiringi solat-solat fardu lima waktu. Solat ini amat digalakkan oleh Islam dan selalu diamalkan dan dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.


    Solat Sunat Rawatib berfungsi sebagai pelengkap ataupun tambahan untuk menampung supaya apa-apa kekurangan ataupun cela yang berlaku semasa mengerjakan solat-solat fardu.


    Hukum Solat Sunat Rawatib ini adalah satu sunat muakkad, iaitu yang amat dituntut dan digalakkan. Solat Sunat Rawatib adalah sebagai sunat tambahan yang bertujuan menyempurnakan apa-apa kecelaan ataupun kekurangan yang terdapat dalam solat fardu pengamal.


    Solat sunat Rawatib ini dituntut ke atas orang Islam yang mukallaf dan dilakukan secara rela hati serta kemahuan sendiri dan apabila dilakukan dijanjikan pahala dan ganjaran oleh Allah S.W.T. dan jika ditinggalkan pula tidak membawa kepada apa-apa dosa.


    Solat sunat Rawatib ini boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja, termasuk golongan musafir yang mendirikan solat fardu secara qasar. Solat sunat Rawatib tidak didahului dengan azan ataupun iqamah. Solat sunat Rawatib ini juga didirikan secara bersendirian (munfarid),dan tidak didirikan secara berjemaah.


    Dalil


    Dalil menunaikan solat sunat Rawatib adalah hadis berikut :


    Sabda Rasulullah s.a.w,


    عن عبد الله بن عمر قال حفظت عن رسول الله صلى الله عليه وسلم ركعتين قبل الظهر وركعتين بعد المغرب وركعتين بعد العشاء وركعتين قبل الغداة

    (متفق عليه)

    Dari Ibnu Umar ra berkata,


    "Aku menjaga 10 rakaat dari nabi SAW: 2 rakaat sebelum salat Zhuhur,2 rakaat sesudahnya,2 rakaat sesudah solat Maghrib, 2 rakaat sesudah solat Isyak dan 2 rakaat sebelum solat Subuh." (HR Muttafaqun 'alaihi) Sayyidah 'Aisyah dalam hadis muttafaq 'alaih menyatakan: "Tidak ada nafilah, solat sunnah, yang sangat dijaga pelaksanaannya oleh Nabi Saw. melebihi dua rakaat fajar." (HR. Bukhari dan Muslim)


    Solat sunat Rawatib ini terbahagi kepada dua bahagian :


    1. Sunat Rawatib yang “Muakkad”
    2. Sunat Rawatib yang “Ghaira Muakkad”

    Rawatib Qabliyyah dan Rawatib Ba’diyyah


    Disamping itu Sunat Rawatib juga terbahagi kepada 2 kategori :


    1. Qabliyyah (sebelum Solat Fardhu)
    2. Ba’diyyah (selepas Solat Fardhu)

    Solat Sunat Rawatib Qabliyyah adalah solat sunat yang didirikan sebelum kita mendirikan solat fardu. Solat Sunat Rawatib Ba’diyyah pula didirikan selepas kita menunaikan solat fardu.


    Sunnah Muakkad dan Sunnah Ghairu Muakkad


    Sembahyang sunat Rawatib ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu, Sunat Muakkad dan Sunat Ghairu Muakkad. Solat sunat Rawatib Muakkad amat besar fadilatnya dan dijanjikan ganjaran yang besar apabila menunaikannya. Solat sunat Rawatib Ghairu Muakkad kurang sedikit fadilatnya berbanding dengan solat sunat muakkad.


    Sunnah Muakkad dan Sunnah Ghairu Muakkad


    Solat sunat Rawatib Muakkad amat dituntut oleh Islam dan diriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. sentiasa menjaga 10 rakaat Solat Sunat Rawatib Muakkad ini terdiri dari :


    • 2 Rakaat Rawatib Muakkad Qabliyyah sebelum Solat Subuh.
    • 2 Rakaat Rawatib Muakkad Qabliyyah sebelum Solat Zohor.
    • 2 Rakaat Rawatib Muakkad Qabliyyah selepas Solat Zohor.
    • 2 Rakaat Rawatib Muakkad Qabliyyah selepas Solat Maghrib.
    • 2 Rakaat Rawatib Muakkad Qabliyyahselepas Isyak.

    Solat sunat Rawatib Ghairu Muakkad kurang sedikit fadilatnya dibandingkan dengan solat sunat muakkad tetapi pengamal tetap dijanjikan ganjaran apabila melakukan solat ini. Solat sunat Rawatib Ghairu Muakkad adalah solat sunat yang ada dikerjakan oleh Rasulullah S.A.W. pada waktu-waktu tertentu, tetapi di waktu yang lain baginda meninggalkannya. Solat sunat Rawatib Ghairu Muakkad terdiri daripada:


    • 2 Rakaat Rawatib Ghairu Muakkad Qabliyyah sebelum Solat Zohor.
    • 2 Rakaat Rawatib Ghairu Muakkad Ba’diyyah selepas Solat Zohor.
    • 2 Rakaat Rawatib Ghairu Muakkad Qabliyyah sebelum Solat Asar.
    • 2 Rakaat Rawatib Ghairu Muakkad Qabliyyah sebelum Solat Maghrib.
    • 2 Rakaat Rawatib Ghairu Muakkad Qabliyyah sebelum Isyak.

    Rawatib Muakkad Qabliyyah Subuh


    Bagi sembahyang sunat Rawatib Muakkad Qabliyyah Subuh (sembahyang sunat dua rakaat sebelum menunaikan sembahyang fardu Subuh), adalah sunat untuk berbaring selepas mengerjakannya, dan juga adalah awla (lebih utama) untukberbaring secara mengiring di bahu kanan, dengan menghadapkan muka dan bahagian depan badan ke arah kiblat seperti mana keadaannya di dalam kubur, kerana ini akan lebih mengingatkan seseorang itu kepada kematian, lalu dia akan berusaha melakukan amalan-amalan soleh dan bersiap-sedia untuk menghadapi kematian. Hadis Rasulullah S.A.W. yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a. :


    "Bahawasanya Nabi S.A.W. apabila selesai mengerjakan sembahyang sunat dua rakaat Fajar (Subuh), Baginda berbaring (mengiring) di atas bahu kanan Baginda.”


    Rawatib Ghairu Muakkad Qabliyyah Sebelum Asar


    Solat sunat Ghairu Muakkad Qabliyyah boleh ditunaikan sama ada 2 rakaat dengan satu salam ataupun sebanyak 4 rakaat dengan 2 salam.


    Perbahasan Rawatib Ghairu Muakkad Qabliyyah Sebelum Maghrib


    Ulama berselisih pendapat mengenai solat 2 rakaat sebelum Maghrib. Ada ulama yang mengatakan bahawa tiada ada solat sunat sebelum solat fardu Maghrib. Ini diasaskan kepada larangan bahawa tidak ada pendirian solat selepas menunaikan fardu Asar sehingga masuk waktu Maghrib. Ada ulama membolehkan solat Ghairu Muakkad Qabliyyah Sebelum Maghrib ini, berasaskan dalil berikut : Dari Abdullah bin Mughaffal Ra. ia berkata: Nabi SAW bersabda,


    “Di antara azan dan iqamah ada solat, di antara azan dan iqamah ada solat (kemudian di kali ketiga beliau berkata:) bagi siapa yang mau.” Beliau takut hal tersebut dijadikan oleh orang-orang sebagai keharusan. (Bukhari dan Muslim)


    Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan satu hadis daripada Abdullah bin Mughaffal r.a. bahawa dia berkata, Nabi s.a.w bersabda;


    "Di antara azan dan iqamah itu ada sembahyang bagi sesiapa yang hendak melakukannya. Baginda s.a.w mengulanginya tiga kali."


    Dan dalam riwayat Abu Daud, “Solatlah kalian sebelum Maghrib dua rakaat.” Kemudian beliau bersabda, “Solatlah kalian sebelum Maghrib dua rakaat bagi yang mahu.” Beliau takut orang-orang akan menjadikannya solat sunnah. (Abu Daud)


    Ada juga ulama yang berpendapat bahawa solat Qabliyyah Maghrib itu hukumnya tidak sunat. Di antara ulama yang berpendapat demikian adalah Imam Malik (pengasas mazhab Maliki). Bahkan ulama seperti Imam An-Nukha'i berpendapat bahawa solat Qabliyyah Maghrib itu bid'ah (baca kitab Syarah Sahih Muslim, Juz VI, halaman 123; dan kitab Nailul Authar, Juz I, halaman 407) Mereka berpendapat demikian, berdalil kepada sebuah hadis riwayat Ibnu Umar di bawah ini : berkata, "Ibnu Umar pernah ditanya tentang solat dua rakaat sebelum Maghrib. Beliau menjawab, "Saya tidak melihat seorangpun pada masa Rasulullah Saw. yang melakukannya. (Riwayat Abu Dawud; Kitab Sunan Abu Dawud, Juz II, halaman 26)


    Cara Mengerjakan Solat Sunat Rawatib


    Kebiasaannya, jemaah yang akan berubah tempat untuk menunaikan solat sunat Rawatib, walaupun jarak satu tapak dari tempat asal. Solat sunat Rawatib ini didirikan dalam dua rakaat dengan satu salam. Sekiranya jemaah mengerjakan solat sunat Rawatib 4 rakaat, maka solat itu didirikan dengan 2 kali salam.


    Niat Solat sunat Rawatib


    • Sekiranya sebelum solat Fardhu di sebut :
    قَبْلِيَّةً

    • Sekiranya selepas solat Fardhu di sebut :
    بَعْدِيَّةً

    • Oleh yang demikian niatnya adalah seperti berikut :
    أُصَلِّي سُنَّةَ ( الظُّهْرِ / العَصْرِ / المَغْرِبِ / العِشَاءِ / الصبح ) رَكْعَتَيْنِ (قَبْلِيَّةً / بَعْدِيَّةً ) لِلَّهِ تَعَالَى

    Maksudnya : "Sahaja aku menunaikan solat sunat (Zohor / Asar / Isyak / Subuh) dua rakaat (Sebelum / Selepas) kerana Allah Taala."

    ~* Solat Sunat Tasbih *~


    Jikalau dilakukan waktu siang satu salam saja dan jika dilakukan waktu malam dua salam. Bilangan solat tasbih adalah 4 rakaat. Diperintahkan bagi kita untuk mengerjakannya setiap hari sekali, kalau tidak sanggup, satu kali dalam satu jumaat, atau satu kali dalam sebulan, ataupun satu kali dalam setahun, jika tidak sanggup juga, satu kali dalam seumur hidup!

    Bacaan tasbih itu ialah :


    Lafaz Niat Solat Sunat Tasbih

    Maksudnya:
    "Sahaja aku sembahyang sunat tasbih empat rakaat kerana Allah Ta'ala"


    Caranya ialah :
    1. Setelah membaca doa iftitah dibaca tasbih 15 kali.
    2. Setelah membaca fatihah dan surah 10 kali.
    3. Ketika rukuk dan setelah membaca tasbih rukuk, dibaca 10 kali.
    4. Semasa I'tidal dan setelah bacaan I'tidal 10 kali.
    5. Sujud pertama dan setelah membaca tasbih sujud, dibaca 10 kali.
    6. Semasa duduk di antara dua sujud setelah membaca doa yang biasa di dalamnya, dibaca 10 kali.
    7. Sujud kedua dan setelah membaca tasbih sujud, 10 kali.

    Doa Sunat Sembahyang Tasbih

    Maksudnya:
    "Ya Allah, Ya Tuhanku, aku bermohon taufiq daripada Mu seperti mana orang-orang yang telah Engkau beri petunjuk, dan jadikanlah amalan ini sepertimana amalan ahli yakin, dan jadikan aku dari golongan yang menerima nasihat, orang-orang yang bertaubat, dan keazaman ku seperti mana orang-orang yang takut. Dan aku bermohon seperti mana pemohon orang yang suka kepada kebaikan dan beribadah seperti ibadat orang-orang yang warak. Dan jadikan pengetahuanku ini sebagai ahli-ahli yang berilmu sehingga aku termasuk ke dalam golongan orang yang takut kepada Engkau.

    Ya Allah, aku memohon kepadaMu, jadikan dalam diriku ini perasaan takut yang dapat menghalang aku daripada melakukan maksiat sehinggalah aku beramal dengan penuh ketaatan kepadaMu sebagaimana amalan yang aku merasa perlu mendapatkan keredhaanMu dan juga sehingga aku betul-betul ikhlas dan bertawakal kepadMu dalam setiap perkara, dan aku memohon supaya menjadi orang yang baik sangka terhadap Engkau Maha Suci Engkau Pencipta Cahaya kebenaran.
    Ya Tuhan kami, sempurnakanlah kepada kami cahaya kebenaran, dan ampunilah kami. Sesungguhnya di atas sesuatu itu Engkau Maha Berkuasa."

    ~* Solat Dhuha *~


    Waktu mengerjakan solat Dhuha adalah satu jam setelah matahari terbit. Diriwayatkan dari Abu Zar, bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda:
    "Dua rakaat solat dhuha mencukupi sedekah untuk seluruh badan manusia"


    Niat Solat Dhuha

    Maksudnya:
    "Sahaja aku mengerjakan sembahyang sunat dhuha dua rakaat kerana Allah Ta'ala"


    Di antara doa yang baik dibaca selepas solat Dhuha ialah :

    Maksudnya:
    "Ya Allah ! bahawasanya waktu Dhuha itu adalah waktu Dhuha-Mu, keindahan itu adalah keindahan-Mu, kecantikan itu adalah kecantikan-Mu, kekuatan itu adalah kekuatan-Mu, kekuasaan itu adalah kekuasaan-Mu, dan perlindungan itu adalah perlindungan-Mu.
    Ya Allah ! Ya Tuhanku, jika rezekiku berada di atas langit, maka turunkanlah, dan jika berada di dalam perut bumi maka keluarkanlah, dan jika sukar maka mudahkanlah, jika haram maka sucikanlah, jika masih jauh maka dekatkanlah. Berkat waktu Dhuha-Mu, Keagungan-Mu, Keindahan-Mu, Kekuatan dan kekuasaan-Mu, limpahkanlah kepada kami segala yang telah Engkau limpahkan kepada hamba-hamba-Mu yang soleh."

    ~* Why Do Muslims Fast In Ramadan? *~

    What is Fasting (Sawm)? Sawm (Arabic: صوم) is an Arabic word for fasting regulated by Islamic jurisprudence. In the terminology of Islamic l...