Showing posts with label Haji dan Umrah. Show all posts
Showing posts with label Haji dan Umrah. Show all posts

Tuesday, December 2, 2008

~* Mengerjakan Ibadah Korban Menurut Sunnah Rasulullah SAW *~


Ulama ahli sunnah wal jamaah telah menetapkan satu kaedah asas dalam menentukan sama ada amal ibadah kita diterima atau ditolak oleh ALLAH. Adalah penting bagi kita untuk benar-benar memahami kaedah asas ini agar kita tidak melakukan amalan yang sia-sia kerana ia tidak diterima ALLAH.


Kaedah yang dimaksudkan oleh penulis adalah amal ibadah tersebut hendaklah dikerjakan semata-mata ikhlas kerana ALLAH dan mengikuti (ittiba’) sunnah Nabi s.a.w.


Firman ALLAH S.W.T:


"DIAlah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu, siapakah antara kamu yang lebih baik amalnya dan DIA Maha Berkuasa (membalas amal kamu) lagi Maha Pengampun (bagi orang-orang yang bertaubat)."

[Surah al-Mulk: Ayat 2]

Oleh itu, sewajarnya dalam melaksanakan ibadah korban bersempena dengan perayaan Aidiladha ini, kita berusaha sedaya upaya mencontohi sunnah-sunnah Nabi s.a.w seperti berikut:


1. Waktu perlaksanaan ibadah korban.


Menyembelih binatang korban hanya boleh dilaksanakan setelah selesai solat hari raya Aidiladha dan berlanjutan sehingga akhir hari Tasyriq, iaitu tiga hari selepas solat hari raya Aidiladha. Oleh itu, penyembelihan haiwan korban boleh dilaksanakan pada 10, 11, 12 dan 13 Dzulhijjah.


Imam Syafie r.h berkata:


"Waktu menyembelih haiwan korban adalah ketika imam telah selesai solat Aidiladha…Apabila hari-hari Mina telah berlalu (tarikh 11, 12 dan 13 Dzulhijjah), tidak boleh lagi menyembelih korban."

[Rujuk Kitab Mukhtasar Kitab al-Umm fi al-Fiqh karya Imam Syafie, edisi terjemahan bertajuk Ringkasan Kitab al-Umm, Peringkas dan peneliti Hussain Abdul Hamid Abu Nashir Nail, Pustaka Azzam, Jakarta (2004), jil. 1, m.s. 737]

Sabda Rasulullah s.a.w:


إِنَّ أَوَّلَ مَا نَبْدَأُ بِهِ فِي يَوْمِنَا هَذَا نُصَلِّي ثُمَّ نَرْجِعُ فَنَنْحَرُ فَمَنْ فَعَلَ ذَلِكَ فَقَدْ أَصَابَ سُنَّتَنَا وَمَنْ ذَبَحَ فَإِنَّمَا هُوَ لَحْمٌ قَدَّمَهُ لأَّهْلِهِ لَيْسَ مِنْ النُّسُكِ فِي شَيْء

Maksudnya:


"Sesungguhnya perkara pertama yang kita mulakan pada hari ini (Aidiladha) ialah kita solat kemudian menyembelih (bintang korban). Oleh itu, sesiapa yang melakukan sebegitu dia telah menepati sunnah kami. Sesiapa yang menyembelih sebelum solat, sesungguhnya sembelihan itu hanyalah menjadi daging untuk diberikan kepada keluarganya (sedekah) bukan termasuk binatang korban."

[Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 1961]

Sabda Rasulullah s.a.w:


مَنْ ذَبَحَ قَبْلَ الصَّلاَةِ فَلْيُعِدْ


Maksudnya:


"Sesiapa yang menyembelih sebelum dia solat (Aidiladha), dia hendaklah mengulanginya."

[Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 5561]

Sabda Rasulullah s.a.w:


كُلُّ أَيَّامِ التَّشْرِيقِ ذَبْحٌ

Maksudnya:


"Seluruh hari-hari Tasyriq merupakan waktu penyembelihan."

[Hadis riwayat Ahmad di dalam Musnad Ahmad, hadis no: 16151]

2. Haiwan korban tersebut tidak memiliki kecacatan.


Kita hendaklah pastikan bahawa haiwan yang hendak kita korbankan tersebut adalah dari jenis baka yang baik serta tidak memiliki kecacatan seperti buta, tempang, kurus, tanduk patah, telinga terkoyak, lemah dan penyakit lain.


Sabda Rasulullah s.a.w:


أَرْبَعٌ لاَ تَجُوزُ فِي الأََضَاحِيِّ فَقَالَ الْعَوْرَاءُ بَيِّنٌ عَوَرُهَا وَالْمَرِيضَةُ بَيِّنٌ مَرَضُهَا وَالْعَرْجَاءُ بَيِّنٌ ظَلْعُهَا وَالْكَسِيرُ الَّتِي لاَ تَنْقَى

Maksudnya:


"Empat jenis binatang yang tidak dibolehkan dalam ibadah korban: Buta sebelah matanya yang jelas butanya, sakit yang jelas sakitnya, tempang yang jelas bengkoknya, tidak berdaya berjalan dan yang tidak mempunyai lemak (kurus)."

[Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunan Abu Dawud, 2420]

3. Tidak menggunting rambut dan memotong kuku.


Bagi mereka yang ingin melaksanakan ibadah korban, dia tidak boleh menggunting rambut dan memotong kukunya semenjak tarikh 1 Dzulhijjah sehingga dia melaksanakan ibadah korban tersebut.


Sabda Rasulullah s.a.w:


إِذَا رَأَيْتُمْ هِلاَلَ ذِي الْحِجَّةِ وَأَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يُضَحِّيَ فَلْيُمْسِكْ عَنْ شَعْرِهِ وَأَظْفَارِهِ

Maksudnya:


"Jika telah masuk sepuluh hari pertama bulan Dzulhijjah dan salah seorang antara kamu semua ingin menyembelih korban, janganlah memotong rambut dan kukunya walau sedikit."

[Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 1977]

Larangan memotong rambut ini termasuk juga mencabut mahupun mencukur atau apa-apa cara yang boleh menghilangkan segala jenis rambut dan bulu di badan.


Menurut Imam al-Nawawi r.h:


"Yang dimaksudkan dengan larangan memotong kuku dan rambut adalah larangan menghilangkan kuku dengan memotong, mencabut atau dengan cara lain (secara sengaja). Termasuk juga larangan menghilangkan rambut baik sama ada mencukur, memendek, mencabut, membakar, menggunakan sesuatu untuk menghilangkan rambut dan apa jua cara sama ada pada bulu ketiak, misai, bulu ari-ari, rambut atu bulu-bulu lain di bahagain anggota badan yang lain."

[Rujuk Kitab Syarh Muslim karya Imam al-Nawawi, jil. 13, ms. 138-139. Diukil dari kitab Ahkaam al-‘Iedain fis Sunnah al-Muthaharah karya Syeikh ‘Ali bin Hassan al-Halabi al-Atsari, edisi terjemahan dengan tajuk Meneladani Rasulullah Dalam Berhari Raya, Pustaka Imam asy-Syafie, Jakarta (2005), ms. 98]

Bagi mereka yang sengaja mahupun tidak sengaja memotong kuku ataupun rambut sebelum melaksanakan ibadah korban, memadai dia memohon keampunan kepada ALLAH dengan bersungguh-sungguh. Dia tidak dikenakan fidyah (tebusan atau denda).


Ibn Qudamah r.h berkata:


"Jika perkara itu berlaku, dia hendaklah segera beristighfar (memohon ampun) kepada ALLAH. Menurut ijmak tidak ada fidyah sama sekali, baik dilakukan dengan sengaja atau tidak sengaja."

[Rujuk Kitab al-Mughni karya Ibn Qudamah, jil. ms. 96. Dinukil dari kitab Ahkaam al-‘Iedain fis Sunnah al-Muthaharah karya Syeikh ‘Ali bin Hassan al-Halabi al-Atsari, ms. 99]

4. Seekor unta atau lembu boleh dibahagikan kepada 7 bahagian.


Jabir r.a berkata:


نَحَرْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَامَ الْحُدَيْبِيَةِ الْبَدَنَةَ عَنْ سَبْعَةٍ وَالْبَقَرَةَ عَنْ سَبْعَةٍ

Maksudnya:


"Kami pernah menyembelih (haiwan korban) bersama Rasulullah s.a.w ketika di Hudaibiyah. Seekor unta untuk 7 orang dan menyembelih lembu untuk 7 orang bersama-bersama Rasulullah s.a.w."

[Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 1318]

5. Boleh berkorban untuk diri sendiri serta ahli keluarganya.


Seseorang dibenarkan berkorban serta berkongsi pahalanya bagi dirinya sendiri serta bagi pihak keluarganya sekalipun jumlah yang ramai dan hanya dengan seekor kambing atau sebahagian dari tujuh bahagian itu.


Atha’ bin Yassar pernah bertanya kepada Abu Ayyub al-Ansori tentang cara berkorban pada zaman Rasulullah s.a.w. Lalu Abu Ayyub menjawab:


كَانَ الرَّجُلُ يُضَحِّي بِالشَّاةِ عَنْهُ وَعَنْ أَهْلِ بَيْتِهِ فَيَأْكُلُونَ وَيُطْعِمُونَ

Maksudnya:


"Dulu seseorang berkorban seekor kambing untuk dirinya dan keluarganya lalu mereka memakannya dan membahagikannya kepada orang lain."

[Hadis riwayat al-Tirmizi di dalam Sunan al-Tirmizi, hadis no: 1425]

6. Ibadah korban dilaksanakan di musolla.


Menurut sunnah Nabi s.a.w. solat sunat Aidiladha mahupun Aidilfitri dilaksanakan di musolla. tempat terbuka (seperti padang) sehingga khatib dapat melihat semua hadirin Dalil yang menunjukkan disunnahkan untuk mengerjakan solat sunat Hari Raya di musolla adalah sebuah hadis daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a, dia berkata:


كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ وَالأَضْحَى إِلَى الْمُصَلَّى. فَأَوَّلُ شَيْءٍ يَبْدَأُ بِهِ الصَّلاَةُ.

Maksudnya:


Pada hari Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah s.a.w. keluar menuju musholla. Ketika itu yang pertama baginda lakukan adalah solat Hari Raya.

[Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, no: 956]

Sebagaimana yang telah kita maklum solat di Masjid Nabawi adalah lebih baik daripada solat 1000 kali di masjid lain selain Masjidil Haram. Namun ternyata meskipun dengan keutamaan sebesar ini Rasulullah s.a.w. tetap memerintahkan para sahabat untuk mendirikan solat Hari Raya di musolla. Ibnu Qudamah r.h di dalam al-Mughni (jilid 3, ms. 260) berkata:


“Mengerjakan solat Hari Raya di musholla adalah sunnah, kerana dahulu Nabi s.a.w. keluar ke tanah lapang dan meninggalkan masjidnya (iaitu Masjid Nabawi). Demikian pula para khulafa’ al-Rasyidin. Dan ini merupakan kesepakatan kaum muslimim. Mereka telah sepakat di setiap zaman dan tempat untuk keluar ke tanah lapang ketika solat Hari Raya.”

Oleh itu disunnahkan melaksanakan ibadah korban di tanah lapang yang digunakan untuk mengerjakan solat Aidiladha (musolla) demi memperlihatkan syiar Islam.


Menurut Ibn Umar r.a, Nabi s.a.w telah bersabda:


كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَذْبَحُ وَيَنْحَرُ بِالْمُصَلَّى

Maksudnya:


"Sudah menjadi kebiasaan baginda menyembelih dan berkorban di musolla."

[Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 5552]

7. Sunnah menyembelih sendiri haiwan korban.


Sunnah dan afdal mereka yang ingin melaksanakan ibadah korban tersebut agar menyembelih haiwan korbannya dengan tangannya sendiri.


Anas r.a berkata:


ضَحَّى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِكَبْشَيْنِ أَمْلَحَيْنِ أَقْرَنَيْنِ ذَبَحَهُمَا بِيَدِهِ

Maksudnya:


"Nabi s.a.w pernah berkorban dengan dua ekor kambing biri-biri yang bagus lagi bertanduk. Baginda menyembelih kedua-duanya dengan tangan baginda sendiri."

[Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 5565]

Namun, dibolehkan juga bagi mereka yang ingin berkorban mewakilkan penyembelihan kepada orang Islam yang lain.


8. Menyembelih haiwan korban mengikut sunnah.


Hendaklah menyembelih haiwan korban menggunakan objek yang tajam seperti pisau dan dilakukan dengan cepat agar haiwan tersebut mati dengan serta-merta. Sebelum upacara menyembelih diadakan, baringkan haiwan korban tersebut pada sebelah sisi kirinya agar mudah memegang pisau dengan tangan kanan dan memegang atau menahan lehernya dengan tangan kiri. Ketika menyembelih hendaklah membaca (بِسْمَ اللهِ وَاللهُ أَكْبَر).


Anas r.a berkata:


ضَحَّى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِكَبْشَيْنِ أَمْلَحَيْنِ أَقْرَنَيْنِ ذَبَحَهُمَا بِيَدِهِ وَسَمَّى وَكَبَّرَ وَوَضَعَ رِجْلَهُ عَلَى صِفَاحِهِمَا

Maksudnya:


"Nabi s.a.w pernah berkorban dengan dua ekor kambing biri-biri yang bagus lagi bertanduk. Baginda menyembelih kedua-duanya dengan tangan baginda sendiri dengan menyebut nama ALLAH dan bertakbir seraya meletakkan kaki baginda pada lambung keduanya."

[Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 5565]

Ketika menyembelih kita hendaklah mengerat salur udara, kerongkong dan saluran darah leher haiwan tersebut tanpa mengerat gentian saraf di dalam tulang belakang. Darah dari anggota badan haiwan korban tersebut hendaklah dialirkan keluar sepenuhnya sebelum melapahnya.


9. Daging korban tersebut boleh dimakan, disedekah dan dihadiahkan.


Sunnah bagi keluarga yang melakukan ibadah korban turut memakan sebahagian daging, menghadiahkan sebahagiannya kepada orang lain dan mensedekahkan sebahagian yang lain. Malah, mereka juga boleh menyimpan daging tersebut.


Sabda Nabi s.a.w:


فَكُلُوا وَادَّخِرُوا وَتَصَدَّقُوا

Maksudnya:


"Makan dan simpanlah serta sedekahkanlah (daging korban itu)."

[Hadis riwayat al-Muslim di dalam Sahih al-Muslim, hadis no: 1971]

10. Tidak boleh mengupah tukang sembelih dengan daging korban.


Sudah menjadi lumrah bagi masjid-masjid di Malaysia memberi tukang sembelih daging korban tersebut sebagai upah bagi kerjanya. Perbuatan ini bertentangan dengan syarak dan dilarang keras oleh Rasulullah s.a.w. Upah kepada tukang sembelih hendaklah diberikan menggunakan harta sendiri dan bukannya dari hasil daging binatang korban itu.


Ali r.a berkata:


أَمَرَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ أَقُومَ عَلَى بُدْنِهِ وَأَنْ أَتَصَدَّقَ بِلَحْمِهَا وَجُلُودِهَا وَأَجِلَّتِهَا وَأَنْ لاَ أُعْطِيَ الْجَزَّارَ مِنْهَا. قَالَ نَحْنُ نُعْطِيهِ مِنْ عِنْدِنَا

Maksudnya:


"Nabi s.a.w pernah menyuruhku menyempurnakan seekor unta milik baginda kemudian menyedekahkan daging, kulit dan pelindung yang dikenakannya serta aku juga tidak memberi apa pun kepada tukang sembelih tersebut. Dia berkata: Kami memberinya dengan harta kami sendiri.”

[Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 1317]

Demikianlah beberapa sunnah Rasulullah s.a.w ketika melaksnakan ibadah korban sempena sambutan Aidiladha. Oleh itu, kita hendaklah bersungguh-sungguh mengamalkan sunnah-sunnah tersebut.


Berbahagialah orang-orang yang diberi taufik oleh ALLAH dalam beribadah kepada-NYA dengan mengikuti sunnah Nabi-NYA dan tidak mencampur-adukkannya dengan amalan bid'ah.


- Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Monday, December 1, 2008

~* Sirah haji - hajjatul wada’ *~

Berulang-alik antara Bukit Safa dan Marwah adalah sebagai memperingati peristiwa Siti Hajar mencari bantuan makanan untuk anaknya Nabi Ismail.

Pada bulan Zulkaedah, 10H Rasulullah SAW memaklumkan kepada para sahabat tentang keazaman baginda untuk menunaikan haji. Pengumuman ini mendapat respons yang positif di mana sahabat bersegera menyiapkan bekalan perjalanan masing-masing.


Sesungguhnya, ibadah yang bakal dilaksanakan ini merupakan yang pertama dan terakhir sebelum kewafatan baginda. Justeru, Hajjatul Wada’ adalah satu-satunya contoh untuk kita mengetahui sejarah haji Rasulullah dan kaifiat mengerjakannya.


Perjalanan haji Rasulullah SAW bersama isteri-isteri dan sahabat baginda bermula pada 24 atau 25 Zulkaedah; iaitu pada enam hari terakhir bulan tersebut. Rombongan seramai kira-kira 120,000 orang ini bermalam di Zul Hulaifah sebelum berihram haji pada keesokan harinya.


Menurut pendapat yang rajih, Rasulullah berihram secara Qiran sebagaimana yang diceritakan oleh Anas ibn Malik r.a.: …selepas itu Baginda SAW pun berihram dengan haji dan umrah. (riwayat Bukhari). Kemudian, dengan laungan talbiah dan alunan zikir yang bergema penuh semangat, mereka bergerak menuju Mekah.


Setelah menempuh pelbagai situasi, pada 3 Zulhijjah rombongan tiba di Zu Tuwa; sebuah perkampungan di pinggir kota Mekah seterusnya bermalam di situ.


Setelah siang iaitu pada 4 Zulhijjah, Rasulullah mandi membersihkan diri kemudian bergerak memasuki Kota Makkah melalui Kada’ di wilayah al-Batha’. Apabila tiba di Masjidil Haram, Rasulullah SAW mengetuai umatnya menuju ke Baitullah dan berittiba’. Setelah istilam dan mengucup Hajarul Aswad, baginda SAW terus mengerjakan tawaf Qudum sebanyak tujuh pusingan, di mana Ramal dilakukan pada tiga pusingan yang pertama.


Selesai tawaf, Rasulullah menunaikan solat sunat tawaf di belakang Makam Ibrahim dan apabila selesai, baginda sekali lagi mengucup Hajarul Aswad.


Seterusnya Baginda menuju ke al-Mas’a untuk mengerjakan saie haji antara Bukit Safa dan Marwah. Setelah mengerjakan saie, Rasulullah memerintahkan para sahabat yang berihram secara Ifrad atau Qiran tetapi tidak membawa al-Hadyu (binatang sembelihan) agar menukar niat ihram mereka kepada ihram umrah dan seterusnya bercukur atau bergunting bagi menghasilkan tahallul.


Jabir r.a. berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda di Marwah: Barang siapa di antara kamu yang tiada membawa al-Hadyu, maka hendaklah ia bertahallul umrah. (riwayat Muslim)


Setelah selesai urusan yang berkenaan, Rasulullah kekal berada di Mekah sehingga 8 Zulhijjah. Sepanjang tempoh ini, baginda berterusan memberi tunjuk ajar kepada para sahabat.


Pada waktu zuhur hari Tarwiyah bersamaan Khamis, 8 Zulhijjah, iaitu ketika berada di Abtah, Rasulullah mengingatkan jemaah Tamattuk agar berihram haji. Kemudian, mereka bergerak ke Mina sambil bertalbiyah, seterusnya bermalam di situ. Semasa di Mina, mereka mengerjakan solat fardu secara qasar tanpa jamak.


Keesokan harinya (Hari Arafah/9 Zulhijjah), pada waktu dhuha, Rasulullah dan rombongan berangkat ke Arafah dan baginda berkhemah di Namirah. Apabila hampir waktu zuhur, Rasulullah menaiki untanya al-Qaswa’ menuju ke Wadi ‘Uranah untuk menyampaikan khutbah Arafah.


Selepas itu, baginda mengimami solat zuhur dan asar secara jamak taqdim dan qasar, dengan satu azan dan dua iqamat. Selesai solat, Rasulullah pergi ke kaki bukit Jabal Rahmah dan berwuquf di al-Sakhrah sehingga terbenam matahari.


Setelah terbenam matahari, Rasulullah berangkat dengan penuh ketenangan ke Muzdalifah dengan menaiki untanya. Usamah ibn Zaid r.a. meriwayatkan: Rasulullah SAW bergerak dengan perlahan. Sekiranya didapati ada kelapangan di hadapan, barulah baginda mempercepatkan pergerakan untanya. (riwayat Bukahri)


Apabila tiba di Muzdalifah, Rasulullah menunaikan solat maghrib dan isyak secara jamak ta’khir dan qasar. Sebelum mabit, baginda mengizinkan golongan tua yang uzur, wanita dan kanak-kanak agar meneruskan perjalanan ke Mina selepas tengah malam.


Apabila fajar menyingsing, Rasulullah bangun menunaikan solat subuh seterusnya berdoa sehingga hari cerah dan mengutip tujuh biji anak batu. Kemudian, dengan gema laungan talbiyah, baginda menuju ke al-Jamratul Kubra di Mina lalu melakukan lontaran seraya bertakbir pada waktu dhuha.


Selesai melontar pada hari Nahar, 10 Zulhijjah ini, baginda menyembelih al-Hadyu sebanyak 63 ekor Badanah seterusnya bercukur untuk Tahallul Awwal, dan menghadiahkan rambut-rambutnya kepada sahabat sebagai kenangan. Selesai bercukur, Rasulullah membersihkan diri dan memakai wangian kasturi lalu baginda bergerak menuju Mekah.


Apabila tiba di Masjidil Haram, Rasulullah mengerjakan tawaf Ifadhah bertujuan menghasilkan Tahallul Thani. Selesai tawaf dan solat di belakang Makam Ibrahim, baginda minum air zamzam dan berehat seketika sehingga masuk waktu zuhur. Setelah solat, Rasulullah kembali ke Mina bagi tujuan mabit pada malam hari-hari Tasyriq iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah.


Pada siang harinya pula, Rasulullah mengisi waktu-waktu Baginda dengan berkhutbah dan menyelesaikan permasalahan umatnya berkaitan ibadat haji. Apabila matahari tergelincir, Rasulullah SAW pergi melontar di Jamarat, iaitu al-Sughra, al-Wusta dan al-Kubra, serta berdoa setiap kali sempurna lontaran di dua jamrah yang pertama seperti mana yang dinyatakan oleh Ibn Umar r.a.


Jabir r.a. pula meriwayatkan: Rasulullah SAW melontar al-Jamratul Kubra pada hari Nahar ketika waktu dhuha, manakala lontaran yang seterusnya (di Jamarat pada hari-hari Tasyriq) ialah selepas matahari tergelincir. (riwayat Muslim)


Sepanjang baginda SAW berada di Mina, Rasulullah mengerjakan solat-solat fardu secara qasar sahaja.


Setelah menyempurnakan lontaran pada 13 Zulhijjah, Rasulullah menuju ke al-Muhassab dan bermalam di situ. Pada 14 Zulhijjah, baginda bangun sebelum subuh lalu menyucikan diri. Selepas itu, baginda menunggang untanya menuju ke Masjidil Haram untuk mengerjakan tawaf Wada’ ketika hari masih gelap.


Selesai tawaf, Rasulullah segera meninggalkan Mekah melalui al-Thaniyyah al-Sufla dan pulang ke Madinah. Setibanya di Kuday, Rasulullah bertemu dengan isterinya Aisyah r.a. yang baru selesai mengerjakan umrah dari Tan’im.


Rasulullah meneruskan perjalanan sehingga tiba di Zul Hulaifah lalu bermalam di situ. Keesokan paginya, baginda bergerak menuju ke Madinah melalui jalan Mu’arras. Akhirnya, dengan lafaz takbir, tahlil dan doa, Rasulullah dan rombongan baginda selamat sampai ke Kota Madinah.


Begitulah secara ringkasnya sirah haji yang mampu dipaparkan dalam ruangan ini. Semoga ia menjadi panduan buat bakal jemaah haji dan pembaca sekelian. Wallahu A’lam.


- Oleh Putera Shith al-Madani

Monday, November 24, 2008

~* Amalan-amalan ibadat haji *~


KEHIDUPAN berilmu merupakan tonggak kepada sistem dan asas penting yang didambakan oleh setiap peribadi muslim di zaman moden ini. Penghayatan terhadap ilmu semestinya diabadikan di dalam setiap gerak-geri dan tingkah lakunya sepanjang masa. Ia bermula dari ibadah solat, berzakat, berpuasa, sehinggalah bernikah kahwin, bermuamalat, bermasyarakat, bekerja dan sebagainya.


Antara tuntutan ilmu yang menjadi kewajipan bagi mereka yang berkenaan adalah mengetahui atur cara ibadah haji yang merupakan rukun kelima Islam.


Di sini disenaraikan turutan amalan ibadah haji yang diamalkan oleh Baginda Nabi SAW dan dibudayakan oleh generasi terkemudian, yang perlu dilakukan oleh mereka yang ingin menelusuri cara ibadah tersebut. Bermula dengan hari kelapan yang dikenali dengan hari al-Tarwiyah, kemudian hari kesembilan yang digelar hari Arafah, sehinggalah hari kesepuluh (hari Nahar), serta tiga hari al-Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah).


Menurut catatan sirah Rasulullah SAW, perjalanan Hajjatul al-Wada’ yang mengambil masa lapan hari itu bermula dari hari Sabtu 25 Zulkaedah dari miqat Zul Hulaifah di Madinah dan sampai di kota Mekah pada pagi 4 Zulhijjah tahun ke 10 Hijrah.


Setelah menunaikan tawaf di Kaabah dan ibadah saie antara bukit Safa dan Marwah tujuh kali, Baginda berterusan dalam keadaan berihram dan tidak bertahallul (bergunting) kerana ibadat haji yang dikerjakannya adalah Qiran (haji dan umrah dilakukan bersekali), lantaran membawa al-Hadyu (haiwan ternakan untuk dikorban di Makkah) dari Madinah lagi.


Walau bagaimanapun para sahabatnya yang tidak membawa al-Hadyu diarahkan supaya menjadikan ihram mereka terdahulu sebagai ibadah umrah lalu bergunting atau bercukur (bertahallul) setelah bersaie.


Pada hari kelapan Zulhijjah, setelah matahari terbit para jemaah akan meninggalkan Mekah dengan berpakaian ihram, dalam keadaan khusyuk dan mengharapkan keredaan Ilahi, menuju ke Mina untuk berada di sana sehinggalah menjelangnya pagi hari kesembilan.


Hari ini juga disebut sebagai hari al-Tarwiyah bersempena peristiwa mimpi Nabi Ibrahim a.s yang diuji oleh Allah dan diperintahkan-Nya supaya menyembelih anaknya Ismail a.s (maksud ayat 102 surah al-Saffat). Kemudiannya digantikan dengan sembelihan kambing kibasy, hadiah di atas kepatuhan bapa dan anak tersebut di dalam menunaikan amanah Allah.


Di Mina, para hujjaj akan menunaikan kelima-lima solat fardu di dalam waktunya, kecuali yang empat rakaat dilaksanakan dua rakaat. Amatlah digalakkan supaya mereka sentiasa memperbanyakkan ucapan talbiyah, zikir, beristighfar, membaca al-Quran, berdoa, menjauhi percakapan tidak elok dan perlakuan tidak baik dan selainnya. Sehinggalah matahari memunculkan dirinya pada pagi hari kesembilan Zulhijjah.


Walaupun hari al-Tarwiyah ini dianggap sebagai amalan sunat, ia terus dilaksanakan bagi mereka yang berkeinginan menjejaki cara nusuk (haji) Baginda Nabi SAW.


Bermula pagi hari kesembilan pula, para hujjaj akan menuju ke Padang Arafah untuk berada di sana bermula dari gelincirnya matahari (waktu tengah hari/zuhur) sehinggalah waktu terbenamnya pada malam ke-10 Zulhijjah.


Keberadaan diri di padang yang luas ini merupakan rukun terbesar bagi ibadah haji yang menjadikan tidak sahnya haji seseorang yang tidak berada di sana sepanjang waktu berkenaan sehinggalah terbitnya waktu subuh pada pagi ke-10 itu.


Perlu dimaklumi bahawa jemaah haji tidak disunatkan untuk berpuasa pada hari Arafah ini kerana Baginda sendiri tidak melakukannya bahkan beriftar (berbuka) pada hari tersebut. Amalan berpuasa padanya adalah menjadi suatu sunah yang besar bagi mereka yang tidak menunaikan haji dengan dijanjikan pengampunan dosa selama setahun.


Sebelum berwuquf di Arafah, Baginda telah menasihati para sahabatnya dengan suatu khutbah yang panjang.


Menjelaskan perhubungan sesama manusia yang wajib dikawal-selia, dijaga kehormatan diri, darah dan harta sesama insan, membela kaum wanita yang berada di bawah kepimpinan para lelaki, mengharamkan amalan riba, mewasiati supaya al-Quran diamalkan, menjaga ibadah solat, zakat, puasa, haji dan mentaati para pemimpin.


Setelah itu ditunaikan solat zuhur dan asar secara jamak qasar dengan satu azan dan dua iqamat. Di sinilah amalan-amalan mulia dan baik dituntut supaya dikerjakan seperti membaca al-Quran, memperbanyakkan doa dengan mengangkat kedua belah tangan dengan suara yang sederhana, berselawat ke atas Baginda SAW, membanyakkan rayuan dan harapan di samping mengalirkan air mata memohon keampunan dan limpah perkenan-Nya serta bertalbiyah dan berzikir.


Setelah maghrib mula melabuhkan tirainya pada malam ke-10 Zulhijjah, para jemaah akan menuju ke Muzdalifah untuk bermabit di sana sehingga ke waktu subuh.


Ditunaikan solat maghrib dan isyak secara jamak qasar setelah sampai di kawasannya. Bermabit di Muzdalifah merupakan wajib haji yang wajar untuk dilakukan oleh para hujjaj setelah bertolak dari Arafah.


Adalah menjadi kebiasaan dan amalan mereka di sini untuk memungut beberapa biji anak-anak batu bagi lontaran Jamrah Aqabah (al-Kubra) pada keesokan harinya di Mina.


Setelah menunaikan solat subuh di Muzdalifah, para jemaah akan berdoa di al-Mash’aril Haram atau di mana-mana bumi tersebut. Memohon kebaikan dunia dan akhirat dan kemudiannya sebelum matahari memunculkan dirinya, para hujjaj akan menuju ke Mina pada pagi 10 Zulhijjah.


Pada hari ke-10 (hari Nahar / korban) akan ditunaikan lontaran tujuh biji batu kecil di Jamrah al-‘Aqabah (al-Kubra), diikuti sembelihan haiwan (korban/dam), kemudiannya bercukur atau bergunting (bagi wanita).


Perlu diketahui bahawa amalan pada hari ini seperti dinyatakan di atas adalah cara terbaik. Namun sekiranya dilakukan berlainan turutannya ia adalah dibenarkan dan sah. Dengan dilaksanakan dua dari tiga amalan haji pada hari ini (sama ada melontar dan bercukur, atau melontar dan tawaf, atau tawaf dan bercukur) sempurnalah tahallul awal (penghalalan pertama yang dibenarkan untuk berpakaian biasa kecuali ‘perkara suami-isteri’)


Selanjutnya bagi jemaah yang berkesempatan, bolehlah pulang ke Mekah untuk menunaikan ibadah tawaf ifadah (fardu kepada semua hujjaj) dan bersaie fardu (bagi haji tamattu’) atau yang belum melakukannya semasa baru masuk ke kota Makkah dahulu (bagi haji ifrad dan qiran).


Tahallul thani (penghalalan kedua) terlaksana dengan selesainya tawaf fardu yang dilakukan oleh para hujjaj.


Selesai demikian, jemaah akan bergegas ke Mina untuk bermabit (bermalam) di sana. Alangkah baiknya jika bermula dari solat zuhur 10 Zulhijjah ini, ia dapat ditunaikan di Mina. Mabit di Mina selama dua malam (bermula malam ke-11 dua 12) adalah wajib haji, manakala untuk malam ketiga (13 Zulhijjah), ia merupakan amalan sunat yang dianjurkan bagi mereka yang tidak tergesa-gesa untuk pulang ke tanah air.


Mengikut catatan sirah ibadah haji, Rasulullah SAW mengqasarkan solat yang empat rakaat tanpa jamak sepanjang berada di Mina (kesemua solat ditunaikan di dalam waktunya).


Esok harinya pada hari ke-11 Zulhijjah, para hujjaj akan melontar ketiga-tiga jamrah, yang bermula di Jamrah al-Sughra, kemudian al-Wusta dan diakhiri dengan al-Kubra. Setiap jamrah dilontari sebanyak tujuh biji batu kecil dan disunatkan berdoa setelah selesai melontar dua jamrah yang pertama tanpa jamrah ketiga.


Waktu lontaran bermula dari gelincir matahari (zuhur) pada setiap hari tersebut dan berterusan sehingga terbenamnya matahari pada hari yang sama. Walaupun demikian, bagi yang tidak sempat untuk melakukannya pada waktu pilihan tersebut, adalah diharuskan melontar sehingga ke akhir hari ke-13 Zulhijjah.


Amalan melontar sedemikian dilakukan juga pada hari ke-12 dan 13 Zulhijjah. Hari-hari ke-11, 12 dan 13 ini dinamakan hari Tasyriq bersempena sejarah para jemaah haji di zaman Rasulullah yang mengerat-gerat daging dan mengeringkannya untuk dimakan dan dihadiahkan kepada penduduk Mekah dan sesama mereka.


Membiasakan diri dengan amalan zikir, berdoa, membaca al-Quran, bertaubat kepada Allah, beristighfar dan sebagainya pada hari-hari Tasyriq merupakan amalan yang amat digalakkan dan dianjurkan kepada semua lapisan jemaah haji.


Dengan melakukan mabit selama dua malam dan melontar pada kedua harinya, dibenarkan bagi mereka yang ingin pulang ke kampung halaman untuk meninggalkan bumi Mina sebelum waktu maghrib dan perlakuan sebegini dinamakan nafar awal (larian pertama).


Walaupun begitu adalah menjadi sunah Nabi SAW untuk meneruskan mabit di Mina pada malam ke-13 Zulhijjah dan melakukan lontaran pada siang harinya yang bermula dari gelincirnya matahari dan kemudian meninggalkan bumi Mina yang dikenali sebagai nafar thani (larian kedua).


Seperkara lagi sebagaimana yang diwarisi dari ibadah nusuk Baginda SAW, para hujjaj diwajibkan melakukan tawaf wada’ (tawaf selamat tinggal) sebelum meninggalkan bumi Mekah untuk pulang ke tanah air masing-masing.


Tawaf ini tidaklah diwajibkan kepada wanita yang berhaid, wanita yang bernifas dan orang tempatan Mekah.

Tuesday, October 28, 2008

~* Kelebihan tempat ibadat haji *~


Ibadat haji merupakan kemuncak peribadatan seorang hamba. Namun, hanya segelintir daripada jutaan umat Islam seluruh dunia yang berkesempatan untuk hadir ke Tanah Suci sebagai tetamu Allah bagi melaksanakan ibadat haji yang merupakan pelengkap rukun Islam. Di samping itu, jemaah haji juga dapat menyaksikan pelbagai keagungan dan kelebihan ciptaan Allah khususnya tempat-tempat yang berkaitan dengan ibadat haji itu sendiri.


Maka tidak hairanlah, apabila saban tahun Tanah Suci Mekah dan Madinah dibanjiri oleh jutaan umat Islam yang datang dari pelbagai pelosok bumi semata-mata ikhlas melaksanakan tuntutan syariat ini dan menziarahi makam Rasulullah SAW.


Sesungguhnya, kehadiran mereka sebagai tetamu Allah merupakan satu simbolik atas kebenaran firman-Nya: Dan serulah manusia (wahai Ibrahim a.s.) untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepadamu (yakni Baitullah).
[Surah al-Hajj: Ayat 27]


Sebagai tempat yang diberkati, Tanah Suci Mekah, al-Masya’ir iaitu Arafah, Muzdalifah dan Mina, Miqat serta Tanah Suci Madinah memiliki fadilat tersendiri yang tidak terdapat di tempat lain. Justeru, ruangan pada kali ini bakal memaparkan kemuliaan dan kelebihannya buat renungan bersama.


Kelebihan Mekah al-Mukarramah:


Mekah adalah paksi bumi dan merupakan penempatan tertua di mana tinggalnya bapa dan ibu sekelian manusia iaitu Nabi Adam a.s. dan isterinya Hawa apabila kedua-duanya dipertemukan semula oleh Allah selepas diturunkan ke bumi dari syurga. Mekah adalah Tanah Haram sebagaimana sabda Rasulullah SAW pada hari Fath Mekah: Sesungguhnya negeri ini telah dijadikan oleh Allah sebagai Tanah Haram pada hari Dia menciptakan langit dan Bumi. Mekah adalah Tanah Haram dengan pengharaman daripada Allah sehingga ke hari kiamat.
[Riwayat Muslim]


Antara kemuliaan dan kelebihan Mekah adalah:


  • Tempat yang paling disayangi Allah.

Ia bertepatan dengan sabda baginda Rasulullah SAW:


“Demi Allah! Sesungguhnya engkau (yakni Mekah) adalah sebaik-baik bumi Allah, dan bumi yang paling disayangi-Nya.”
[Riwayat al-Tirmizi]


Betapa beruntungnya jemaah haji kerana dapat menjejakkan kaki di bumi yang penuh berkat ini sebagai tetamu al-Rahman. Sesuai dengan status yang mulia ini, setiap jemaah hendaklah memastikan hati dan diri sentiasa suci agar tidak terjerumus ke dalam kemungkaran dan kezaliman. Renungilah firman Allah: Dan barang siapa yang berniat melakukan di Mekah kejahatan dengan cara yang zalim, nescaya kami akan merasakannya dengan azab yang tidak terperi sakitnya.
[Surah al-Hajj: Ayat 25]

Rasulullah SAW pula bersabda yang mafhumnya:


"Antara golongan yang amat dibenci oleh Allah ialah orang yang melakukan kejahatan di Mekah."
[Riwayat al-Bukhari]

  • Gandaan pahala mengerjakan amal soleh.

Beribadat di Mekah menjanjikan pahala dan ganjaran yang berlipat ganda. Jemaah haji sewajarnya mengambil peluang keemasan ini dengan menumpukan sepenuh perhatian dan usaha mereka ke arah melakukan amalan solat fardu dan sunat khususnya ketika beribadat di Masjidil Haram, begitu juga amal soleh yang lain seperti bersedekah. Ibadat tersebut akan digandakan pahalanya sebanyak 100,000 kali.


Sabda Rasulullah SAW:


“Solat di al-Masjidil Haram lebih afdal daripada 100 kali solat di masjidku ini (iaitu 100,000 kali di masjid lain)”.
[Riwayat Imam Ahmad]

Al-Hasan al-Basri meriwayatkan:


“Sedekah 1 dirham (di Mekah) lebih baik dari 100,000 dirham, dan setiap kebajikan digandakan sebanyak 100,000 kali”.

  • Kaabah & Masjidil Haram.

Kelebihan Mekah begitu sinonim dengan kewujudan Kaabah sebagai rumah ibadat pertama dan kiblat umat Islam. Ia dibina daripada bongkah batu Gunung Lubnan, Tur Zaita, Tur Sina, Judi dan Hira’.


Firman Allah:


"Sesungguhnya rumah ibadat pertama yang didirikan untuk golongan manusia adalah yang terdapat di Mekah yang penuh keberkatan, sebagai petunjuk kepada sekelian alam. "
[Surah ali-‘Imran: Ayat 96]

Agar tidak dipersiakan kesempatan ini, jemaah haji wajarlah bersegera ke Masjidil Haram agar dapat mengerjakan tawaf Tahiyatul Bait dan tawaf sunat. Tunaikan solat dan duduk di barisan hadapan agar mereka sentiasa dapat melihat Kaabah.


Sabda Rasulullah SAW mafhumnya:


“Allah menghapuskan kesalahan orang yang sedang tawaf serta menulis baginya kebajikan”.
[Riwayat al-Tirmizi]

Sabda Baginda lagi:


“Sesungguhnya Allah menurunkan 120 rahmat pada setiap hari; diturunkan kepada Kaabah 60 rahmat bagi orang yang mengerjakan tawaf, 40 rahmat bagi orang yang solat dan 20 rahmat bagi orang yang melihatnya. "
[Riwayat al-Tabrani]

  • Mustajab Doa

Antara tempat yang mustajab doa ialah di Multazam dan di bawah Mizab. Sambil merapatkan pipi, dada dan dua t apak tangan ke dinding Kaabah, berdoalah dengan penuh keikhlasan dan pengharapan agar segala permintaan diperkenankan Allah SWT.


Tunaikan solat di Hijr Ismail kerana ia juga adalah sebahagian daripada Kaabah. Sekiranya tidak mengganggu jemaah yang sedang tawaf, tunaikan solat dan berdoa di belakang Makam Ibrahim kerana ia juga tempat mustajab doa.


Firman Allah:


"Dan jadikanlah sebahagian dari Makam Ibrahim sebagai tempat solat."
[Surah al-Baqarah: Ayat 125]

  • Hajarul Aswad

Ia adalah kepingan batu yang berasal dari syurga. Jemaah lelaki disunatkan mengucup dan mengusapnya, manakala bagi wanita hukumnya hanyalah harus.


Sabda Rasulullah SAW:


“Demi Allah! Dia akan membangkitkan Hajarul Aswad pada hari kiamat, baginya sepasang mata untuk melihat dan lidah untuk berkata-kata; menjadi saksi kepada yang telah mengusapnya dengan kebenaran”.
[Riwayat al-Tirmizi]

  • Telaga Zam Zam

Menurut riwayat, telaga Zam Zam terhasil dari terjahan kaki Nabi Ismail a.s. atau dari kuisan sayap malaikat Jibrail a.s. Ia merupakan sebaik-baik mata air dan penawar yang terdapat di muka bumi. Minumlah secara beradab dan dengan sepuas-puasnya.


Rasulullah SAW bersabda:


“Air Zam Zam itu (fadilatnya) mengikut tujuan apa ia diminum”.
[Riwayat Ahmad]


"dan Sesungguhnya Air Zamzam merupakan makanan yang berzat dan penawar bagi penyakit."
[Riwayat Muslim]

  • Bukit Safa & Marwah

Di sini berlakunya perjalanan Hajar mencari manusia untuk membantunya mendapatkan sumber bekalan dan tempat berlindung. Tempat saie ini merupakan syiar Islam sebagaimana firman Allah:


"Sesungguhnya Safa dan Marwah itu ialah sebahagian daripada syiar agama Allah."
[Surah al-Baqarah: Ayat 158]


Justeru, ketika berada di kaki bukit ini, berdoalah dengan menghadap ke arah Kaabah seraya mengangkat kedua belah tangan, kemudiannya bertakbir dan bertahmid kerana ia juga merupakan tempat mustajab doa.


- Oleh Putera Shith al-Madani

Friday, October 24, 2008

~* Menilai diri sebelum berangkat ke Tanah Suci *~

Ibadah haji beri kesan positif terhadap sikap, tindakan dan tingkah laku individu


UMAT Islam dari seluruh dunia tidak lama lagi akan menunaikan ibadah haji di tanah suci Makkah dan Madinah sebagai menyempurnakan rukun Islam kelima.


Firma Allah (SWT) yang bermaksud :


“Allah (SWT) mewajibkan atas manusia untuk mengerjakan ibadah haji bagi yang mampu mengadakan perjalanan ke sana.”
[Surah al-Imran, Ayat 97]

Takrif haji secara bahasa bererti menuju atau menziarahi suatu tempat. Menurut istilah fikah ialah ziarah ke Baitullah di Makkah untuk melaksanakan ibadah dengan cara tertentu, dalam waktu dan tempat-tempat tertentu. Ibadah haji diwajibkan pada tahun kesembilan selepas Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah.


Ibadah itu sudah dikenal sejak dari zaman Nabi Ibrahim AS bersama anaknya Ismail yang diperintahkan Allah (SWT) mengajak dan menyeru manusia menziarahi rumah Allah (SWT) (Baitullah al-Haram). Waktu itu bangsa Arab di sekitarnya setiap tahun berduyun-duyun menuju Kaabah untuk melakukan ibadah haji dengan cara syariat Nabi Ibrahim. Pelaksanaan ibadah haji berjalan terus sampai zaman Nabi Muhammad SAW hinggalah hari ini.


Menunaikan haji hukumnya wajib bagi yang mampu dari segi mental, fizikal, harta dan keimanan mengenai cara melaksanakan ibadah berkenaan.


Setiap umat Islam mengharapkan dirinya untuk menunaikan ibadah haji. Apa lagi pahala ganjaran yang dijanjikan sangat besar bagi haji mabrur iaitu balasan syurga.


“Tidak ada balasan bagi haji mabrur, melainkan syurga.”
[Hadis riwayat Muttafaqa ‘Alaih]

Begitu besarnya kerinduan akan kebesaran dari keagungan Allah (SWT) di Baitullah. Bagi mereka yang sudah menunaikan haji, ingin semula mengerjakan ibadah itu berulang-ulang kali.


Walaupun Rasulullah SAW menegaskan bahawa ibadah haji itu cukup sekali (wajib), sedangkan yang kedua dan seterusnya adalah sunnah. (Hadis riwayat Imam Ahmad).


Hal itu tidak tidak menghalangi niat kaum Muslimin untuk terus menunaikan ibadah haji ke tanah suci. Semulia ibadah haji adalah mereka yang dapat mencapai dan meraih darjat haji mabrur. Hanya haji mabrur diterima Allah (SWT), iaitu ibadah haji yang dilaksanakan tanpa melakukan perbuatan kesalahan seperti diterangkan dalam al-Quran bermaksud:


“Barang siapa yang berniat melakukan ibadah haji, maka tidak boleh mencampuri isteri, tidak boleh berbuat fasik, dan tidak boleh bertengkar dalam masa mengerjakan haji.”
[Surah al-Baqarah, Ayat 197]

Upaya untuk mendapatkan haji mabrur dilalui berbagai cara. Di antaranya, sebelum berangkat haji seseorang mesti melakukan hal yang boleh membantu hajinya. Iaitu:


  • Bekalannya yang digunakan adalah halal (harta).
  • Berniat ikhlas kerana Allah (SWT) semata-mata.
  • Ketakwaan.
  • Mengerti mengenai ilmu mengerjakan haji dengan mengikuti kursus haji, mengetahui rukun haji, wajib haji dan larangan haji.
  • Mengerti mengenai ilmu ibadah selama dalam perjalanan seperti solat musafir, solat jamak dan solat qasar dan seterusnya.

Sepanjang masa di Tanah Suci, hendaklah memperbanyakkan zikir, talbiah dan menggunakan waktu sebaik-baiknya, beribadah dengan tenang, jangan mengganggu orang lain. Jika ada kesempatan hendaklah menyembelih korban.


Memang balasan syurga adanya di akhirat. Namun sesungguhnya balasan di dunia pun tetap ada iaitu dalam perilaku dan tindakan yang berubah kepada lebih baik. Seseorang yang ibadah hajinya meraih darjat haji mabrur, akan terlihat sekembalinya ke tanah air, sikapnya, tindakannya, akhlaknya dan ibadahnya.


Seseorang jemaah haji yang ternyata tidak ada perubahan sama sekali setelah dan sebelum berangkat ke Tanah Suci, boleh dikatakan ibadah hajinya adalah mardud (haji ditolak).


Darjat haji mabrur hanya boleh diraih dengan niat dan hati ikhlas semata-mata untuk beribadah kepada Allah (SWT) di Tanah Suci. Hati mesti ikhlas dan lurus, tidak ada sedikitpun untuk kepentingan lainnya dalam melaksanakan ibadah haji itu.


Kerana itu, semua kepentingan duniawi mesti diketepikan dan ditinggalkan di tanah air, seperti pangkat, kedudukan, jabatan, dan harta, tidak perlu bermegah-megah di tanah suci, semuanya sama di hadapan Allah (SWT).


Di samping itu, jemaah haji mesti benar-benar ikhlas melakukan taubat seperti yang dilakukan Nabi Adam AS, selepas melakukan kezaliman kerana termakan buah terlarang iaitu khuldi.


Taubat yang semata-mata untuk meraih ampunan dari Yang Maha Kuasa, dilakukan Nabi Adam selama 40 tahun di Padang Arafah. Bayangkan untuk satu kesalahan dan kezaliman, Nabi Adam melakukan taubat di Arafah selama 40 tahun dengan sedikitpun tidak berani mengangkat kepalanya di hadapan Allah (SWT).


Dengan penuh rasa malu dan tidak berhenti-henti Nabi Adam memohon kepada Allah (SWT) untuk diampuni atas kezaliman yang dilakukannya.


Selain itu, untuk meraih haji mabrur yang ditentukan oleh peribadi jemaah, peranan dan wibawa pembimbing jemaah haji (swasta) termasuk pihak bertanggungjawab (Tabung Haji) juga sangat penting. Justeru, pembimbing tidak hanya mengajarkan mengenai tatacara mengerjakan ibadah haji, tetapi juga didasarkan pada bagaimana meningkatkan kefahaman jemaah mengenai melaksanakan ibadat haji dengan baik dan betul. Sesuai dengan tuntutan Rasulullah SAW.


Mengenai jemaah haji yang berkali-kali mengerjakan ibadah haji ke tanah suci, Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali dalam kitabnya ‘Ihya Ulumuddin‘ memberikan tegurannya, seharusnya mereka yang pergi haji untuk kedua kali dan selebihnya itu hendaklah memperhatikan tetangganya dan saudara Muslim lainnya yang memerlukan pertolongan. Mereka yang berhaji dengan hal seperti itu sama dengan orang yang tertipu (ghurur).


Terhadap mereka yang berangkat mengerjakan ibadah haji kali pertama, al-Ghazali melontarkan tegurannya, di antara mereka banyak yang tidak membersihkan jiwa dan hatinya. Mereka banyak yang mengabaikan aspek ibadah haji berkaitan dengan fizikal dan mental, sehingga apabila sampai di Tanah Suci tidak mampu mengawal kesucian diri seperti berbantah, bertengkar, berkata keji serta berbuat fasik dan maksiat.


Tanda mendapat haji mabrur menurut ulama:


  1. Ternampak perubahan pada sikap, wajah, akhlak dan cara hidup.
  2. Amal ibadah bertambah baik dan tidak cuai melakukannya berbanding sebelumnya.
  3. Sifat jahat dan keji seperti tamak, hasad, dengki, riak, takbur, bakhil, angkuh, membazir, boros dan sebagainya terus ditinggalkan.
  4. Menjadi seorang yang berakhlak baik seperti bertawaduk, merendah diri, tolong menolong, dermawan, bercakap benar, amanah, jujur, bersedekah dan akhlak terpuji.
  5. Ibadah haji memberi kesan positif terhadap sikap dan tingkah laku dari segi perjuangan, kegigihan, keadilan dan sebagainya.
  6. Selalu mengerjakan ibadah puasa dan puasa sunnah dan ibadah lain.
  7. Seseorang pernah berzina, minum arak dan sebagainya terus meninggalkannya sama ada dosa kecil dan dosa besar.
  8. Kalau dulu dia sering mendedahkan aurat tetapi kini dia terus menutup auratnya sebagaimana dituntut oleh ajaran agama.
  9. Seseorang yang baik akan bertambah baik lagi dalam urusan hidup seharian.

- Oleh Ibrahim Abdullah

Monday, November 19, 2007

Ibadah Haji & Umrah : Haji & Cara-cara Mengerjakannya


Haji


Ia adalah rukun kelima dari rukun-rukun asas Islam dan ia mempunyai keistimewaan dengan menghimpunkan kesemua rukun-rukun yang lain.


Pengertiannya dari sudut bahasa:


Menuju kepada Allah Yang Maha Agung.


Pengertiannya dari sudut istilah syarak:


Menziarahi tempat-tempat tertentu pada masa-masa tertentu dengan melakukan pekerjaan-pekerjaan tertentu.


Kelebihan Haji:


Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:


"Sesiapa yang mengerjakan Haji dan dia tidak mencampuri isterinya serta tidak melakukan maksiat, dia akan kembali sebagaimana hari dia dilahirkan oleh ibunya."


Syarat-syarat Wajib Mengerjakan Haji:


  • Islam
  • Berakal
  • Berkemampuan
  • Merdeka
  • Baligh

Bentuk-bentuk Berkemampuan:


  • Selamat tubuh badan
  • Aman perjalanan
  • Tidak ditahan
  • Terdapat mahram atau suami bagi perempuan
  • Tidak berada dalam idah bagi perempuan

Syarat-syarat Sah Mengerjakan Haji:


  • Islam
  • Berihram
  • Masa (Miqat ihram menepati masa)
  • Tempat (Miqat ihram mengikut tempat)
  • Mumayyiz
  • Berakal
  • Boleh melakukan pekerjaan dengan sendirinya melainkan ketika keuzuran
  • Tidak bersetubuh

Cara-cara Mengerjakan Ibadat Haji


Ia terdiri dari tiga cara iaitu:


  1. Ifrad: Iaitu berniat Haji sahaja.
  2. Tamattu': Iaitu berniat Umrah terlebih dahulu (iaitu dia berihram Umrah dari miqat yang ditetapkan untuk negerinya kemudian dia bertahallul dari ihram tersebut seterusnya berihram untuk Haji dari Mekah).
    • Dinamakan sebagai Tamattu' kerana dia memilih cara yang membolehkannya untuk melakukan perkara-perkara yang dilarang semasa ihram di antara Umrah dan Haji.
  3. Qiran: Iaitu berniat Haji dan Umrah bersama-sama (iaitu berihram Haji dan Umrah bersama-sama secara serentak).

Firman Allah Taala:


(فَمَنْ تَمَتَّعَ بِالْعُمْرَةِ إِلَى الْحَجِّ فَمَا اسْتَيْسَرَ مِنَ الْهَدْي فَمَنْ لَمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلاثَةِ أَيَّامٍ فِي الْحَجِّ وَسَبْعَةٍ إِذَا رَجَعْتُمْ تِلْكَ عَشَرَةٌ كَامِلَة ٌذَلِكَ لِمَنْ لَمْ يَكُنْ أَهْلُهُ حَاضِرِي الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ)


Yang bermaksud:


"Maka sesiapa yang mahu menikmati kemudahan dengan mengerjakan Umrah, (dan terus menikmati kemudahan itu) hingga masa (mengerjakan) ibadat Haji, (bolehlah dia melakukannya kemudian wajiblah dia) menyembelih Dam yang mudah didapati. Kalau dia tidak dapat (mengadakan Dam), maka hendaklah dia berpuasa tiga hari dalam masa mengerjakan Haji dan tujuh hari lagi apabila kamu kembali (ke tempat masing-masing); semuanya itu sepuluh (hari) cukup sempurna. Hukum ini ialah bagi orang yang tidak tinggal menetap (di sekitar) Masjidilharam (Mekah)." (Surah Al-Baqarah, Ayat: 196).


Jemaah Haji yang mengerjakan Haji Qiran dan Tamattu' diwajibkan menyembelih kambing biri-biri (dam) sebagai tanda syukur kepada Allah Taala kerana dia berjaya mengerjakan Umrah dan Haji pada bulan-bulan Haji dengan baik serta di dalam satu perjalanan musafir, sekiranya dia tidak mampu menyembelih dam, dia hendaklah berpuasa selama tiga hari pada musim Haji dan tujuh hari selepas dia pulang ke tanah airnya.

Ibadah Haji & Umrah : Nama dan Nombor Pintu-Pintu Masjid Nabawi

Ibadah Haji & Umrah : Jenis-Jenis Haji


Haji Ifrad

Mengerjakan haji dahulu dalam bulan-bulan haji kemudian mengerjakan umrah.


Haji Tamattu'

Mengerjakan umrah dahulu dalam bulan-bulan haji kemudian mengerjakan haji di tahun yang sama.


Haji Qiran

Cara 1: Berniat mengerjakan haji dan umrah serentak dalam bulan-bulan haji dengan mengerjakan amalan-amalan haji sahaja.


Cara 2: Berniat mengerjakan umrah sahaja, tetapi belum tawaf ia berniat mengerjakan haji.

Ibadah Haji & Umrah : Niat Mengerjakan Umrah


Lafaz Niat:




Niat dalam hati:

Sahaja aku mengerjakan umrah dan aku berihram dengannya kerana Allah Taala.

Ibadah Haji & Umrah : Rukun dan Wajib Umrah


Rukun Umrah


  1. Niat
  2. Tawaf
  3. Sa'ie
  4. Bercukur dan bergunting
  5. Tertib

Wajib Umrah


  1. Niat Ihram di Miqat.
  2. Meninggalkan perkara-perkara larangan semasa Ihram.

Ibadah Haji & Umrah : Melontar Jamarat pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah di Mina (pada hari-hari Tasyriq)

11 Zulhijjah (Hari Tasyriq Pertama)


  • Melontar Jamratul Ula, Wusta dan Acaba

Waktu Afdal


Selepas gelincir matahari 11 Zulhijjah.


Waktu Diharuskan


Selepas Fajar* 11 Zulhijjah hingga terbenam matahari 13 Zulhijjah.


12 Zulhijjah (Hari Tasyriq Kedua)


  • Melontar Jamratul Ula, Wusta dan Acaba

Waktu Afdal


Selepas gelincir matahari 12 Zulhijjah.


Waktu Diharuskan


Selepas Fajar* 12 Zulhijjah hingga terbenam matahari 13 Zulhijjah.


13 Zulhijjah (Hari Tasyriq Ketiga)


  • Melontar Jamratul Ula, Wusta dan Acaba

Waktu Afdal


Selepas gelincir matahari 13 Zulhijjah.


Waktu Diharuskan


Selepas Fajar* 13 Zulhijjah hingga terbenam matahari 13 Zulhijjah.

Ibadah Haji & Umrah : Bermalam (Mabit) di Mina


Pengertian Mabit


Berada di bumi Mina sepanjang malam hingga pagi.


Atau


Berada di bumi Mina lebih daripada setengah malam.


Waktu Mabit


Pada malam 11, 12, 13 Zulhijjah


Pilihan Mabit


  1. Boleh bermalam 2 malam (malam 11 dan 12 Zulhijjah)
    • DI namakan NAFAR Awal
  2. Boleh bermalam 3 malam (malam 11, 12 dan 13 Zulhijjah)
    • DI namakan NAFAR Thani

Pengecualian Mabit Jika uzur


  1. Takut terancam keselamatan diri atau harta.
  2. Menjaga atau menemani orang sakit.
  3. Mencari pekerja atau keluarga yang hilang.
  4. Berpenyakit dan sukar bermalam.
  5. Terpaksa.

Friday, November 16, 2007

Ibadah Haji & Umrah : Melontar Jamratul Aqabah pada 10 Zulhijjah (Hari Nahar) di Mina


Waktu Afdal


  • Pada waktu duha 10 Zulhijjah.

Waktu Diharuskan


  • Selepas tengah malam 10 Zulhijjah hingga terbenam matahari 13 Zulhijjah.

Ibadah Haji & Umrah : Syarat-Syarat Melontar


  • Hendaklah Melontar dengan 7 biji anak batu pada tiap-tiap Jamrah.
  • Hendaklah Melontar dengan tertib dimulai dari Jamratul Ula, kemudian Jamratul Wusta dan di akhiri di Jamratul Aqabah.
  • Hendaklah Melontar tidak terpesong daripada tujuan lain.
  • Hendaklah Melontar dengan batu atau jenis-jenisnya.
  • Hendaklah batu lontaran masuk ke dalam takungan Jamarat dengan yakin.
  • Hendaklah Melontar dengan gaya melontar.
  • Hendaklah Melontar dengan tangan.
  • Tertib hari Melontar, bermakna tidak sah Melontar pada hari ke-11, melainkan setelah Melontar Jamratul Aqabah dan tidak sah Melontar hari ke-12, melainkan sudah Melontar bagi hari ke-11. Begitu juga tidak sah Melontar untuk hari ke-13 kecuali setelah Melontar untuk hari ke-12.
  • Dilarang Melontar untuk orang lain kecuali setelah Melontar ketiga-tiga Jamarat untuk dirinya sendiri.

Ibadah Haji & Umrah : Bermalam (Mabit) di Muzdalifah


Pengertian:


Berada di bumi Muzdalifah sepanjang malam hingga pagi.


atau


Berada di bumi Muzdalifah seketika selepas tengah malam.


Waktu Bermalam (Mabit)


  • Pada malam 10 Zulhijjah.

Amalan-amalan Sunat


  • Berdoa.
  • Berzikir.
  • Sembahyang Sunat.
  • Mengutip Anak-Anak Batu.

Pengecualian Bermalam jika uzur


  • Takut terancam keselamatan diri atau harta.
  • Menjaga atau menemani orang sakit.
  • Mencari pekerja atau keluarga yang hilang.
  • Berpenyakit dan sukar bermalam.
  • Terpaksa.

Ibadah Haji & Umrah : Larangan-Larangan Dalam Masa Ihram


Pengertian:


Larangan-larangan dalam masa Ihram.


Pakaian


  • Memakai pakaian bersarung atau berjahit dan bercantum. - Lelaki
  • Menutup kepala atau sebahagian daripadanya. - Lelaki
  • Menutup muka. - Wanita
  • Memakai sarung tangan. - Lelaki/Wanita

Berwangi-wangian


  • Memakai bau-bauan samada di badan, pakaian, makanan, minuman atau menghisapnya ke dalam hidung. - Lelaki/Wanita
  • Memakai minyak di kepala atau janggut dan semua bulu muka selain daripada tumbuhan di pipi dan di dahi. - Lelaki/Wanita

Kecantikan


  • Menanggalkan rambut atau bulu dari mana-mana anggota badan. - Lelaki/Wanita
  • Mengerat atau memotong kuku. - Lelaki/Wanita

Alam Sekitar


  • Memotong/menebang/mengerat/mencabut pokok-pokok di Tanah Haram. - Lelaki/Wanita
  • Memburu binatang buruan yang halal dimakan atau membinasakannya di Tanah Haram atau di Tanah Halal. - Lelaki/Wanita

Hubungan Jantina


  • Melakukan pendahuluan persetubuhan. - Lelaki/Wanita
  • Bersetubuh/berjimak. - Lelaki/Wanita
  • Berkahwin/mengahwinkan/menerima wakil kahwin. - Lelaki/Wanita

Ibadah Haji & Umrah : Kedudukan Safa & Marwah

Ibadah Haji & Umrah : Sa'ie dan Pengertian


Pengertian:


Berjalan ulang alik di antara Bukit Safa dan Marwah.


Sunat-sunat dalam mengerjakan Sa'ie


  • Keluar ke tempat Sa'ie melalui Babussafa.
  • Menaiki Bukit Safa/Marwah hingga sampai batu-batu bukit.
  • Mengadap Qiblat dan mengangkat kedua tangan serta bertakbir di Safa dan Marwah.
  • Berlari-lari anak bagi lelaki apabila sampai di tempat bertanda lampu hijau atau tiang hijau.
  • Muwalat. (berturut-turut).
  • Suci dari hadath kecil dan besar.
  • Berjalan kaki.
  • Berdoa.

Syarat-syarat Sa'ie


  • Dilakukan selepas Tawaf Rukun/Tawaf Qudum.
  • Bermula di Bukit Safa, Berakhir di Bukit Marwah.
  • Cukup 7 kali dengan yakin dikira sekali daripada Safa ke Marwah dan Sekali daripada Marwah ke Safa.
  • Hendaklah sampai ke penghujung tempat Sa'ie di Safa dan di Marwah.
  • Hendaklah Sa'ie di Batnulwadi (tempat yang termaklum).
  • Tidak berniat lain yang memesongkan tujuan Sa'ie.

Ibadah Haji & Umrah : Kedudukan Ka'bah

Ibadah Haji & Umrah : Panduan Permulaan dan Penghabisan Tawaf

~* Why Do Muslims Fast In Ramadan? *~

What is Fasting (Sawm)? Sawm (Arabic: صوم) is an Arabic word for fasting regulated by Islamic jurisprudence. In the terminology of Islamic l...