Friday, February 27, 2009

~* Safar bukan bulan sial *~


MASYARAKAT Arab pada zaman jahiliyah iaitu sebelum kedatangan Islam terkenal dengan amalan yang bercanggah dengan syarak. Perjalanan kehidupan mereka dibayangi amalan syirik, tahyul dan khurafat.


Sebagai contoh, sebelum memulakan perjalanan, mereka akan melihat fenomena sesetengah binatang. Mereka melepaskan burung mahupun busur panah ke kiri atau ke kanan, dengan anggapan arah itu boleh mempengaruhi keburukan atau kebaikan. Jika gerakan itu menunjukkan alamat yang tidak baik, mereka membatalkan hasrat untuk meneruskan perjalanan dan perkara sebegini disebut sebagai 'tathayyur' atau meramalkan sesuatu kejadian yang buruk disebabkan oleh sesuatu perkara.


Islam menyelar budaya tathayyur dan menganggap ia satu perbuatan mencemar kemurniaan tauhid kerana bergantungnya hati seseorang kepada sesuatu perkara selain daripada Allah dengan meyakini perkara itu boleh membawa mudarat atau manfaat. Firman-Nya bermaksud:


"Katakanlah (wahai Muhammad): "Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal."
[Surah at-Taubah: Ayat 51]

Menyandarkan sesuatu musibah bakal menimpa kerana sesuatu perkara seperti gerakan binatang, kedudukan bintang, waktu atau masa yang tertentu dan lain-lain adalah perbuatan yang tercela.


Oleh itu, bagi sesiapa yang melakukan sesuatu keputusan berdasarkan tathayyur, dia sudah terjebak dalam lembah kesyirikan, namun yang menyedihkan setiap kali tiba bulan Safar, budaya jahiliyah yang diperangi Islam ini seakan-akan muncul semula.


Safar adalah bulan kedua dalam kalendar Hijrah dan Safar bermaksud kosong atau meninggalkan sesuatu tempat. Penamaan bulan yang kedua ini sebagai Safar kerana kebiasaan orang Arab meninggalkan rumah mereka pada bulan ini bertujuan memerangi musuh dan mereka juga gemar mengembara pada bulan ini. Kebanyakan orang Arab pada zaman jahiliyah beranggapan ada kesialan pada bulan ini. Ternyata pemikiran jahiliyah ini masih diwarisi segelintir kecil umat Islam pada zaman ini akibat lemahnya iman dan jahil terhadap ilmu tauhid. Mereka beranggapan Safar adalah bulan Allah menurunkan kemarahan dan hukuman ke atas dunia.


Oleh itu, banyak musibah dan bencana terjadi pada bulan Safar khususnya pada Rabu minggu terakhir. Sesetengah umat Islam menghindarkan diri daripada melakukan perjalanan pada bulan Safar melainkan ada keperluan mendesak. Contohnya dalam kitab al-Futuhat al-Haqqaniy, penulis kitab terbabit memilih untuk menahan diri daripada keluar berjalan pada bulan Safar dan menasihati semua pengikut tarekat itu tidak meninggalkan rumah melainkan jika benar-benar perlu.


Dalam kitab itu dikhabarkan yang Syeikh tarekat terbabit, Abdullah Faiz Daghestani berkata:


"Pada hari Rabu terakhir bulan Safar, 70,000 penderitaan (bala) akan menimpa dunia. Sesiapa yang mengekalkan adab ini yang disebut (beberapa amalan yang tertentu), dia akan dilindungi oleh Allah yang Maha Kuasa."

Bagi segelintir orang Melayu pula ada yang menghindari daripada mengadakan majlis perkahwinan pada bulan Safar kerana dipercayai jodoh pasangan pengantin itu tidak berkekalan dan kelak akan susah untuk mendapatkan zuriat. Ada juga beranggapan bayi yang lahir pada bulan Safar bernasib malang dan hendaklah dijalankan satu upacara khas untuk membuang nasib malang itu. Semua ini perkara tahyul dan khurafat yang harus dibanteras sehingga ke akar umbi.


Firman-Nya bermaksud:


"Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu."
[Surah at-Taghaabun: Ayat 11]

Lantaran itu beberapa amalan bidaah dicipta sempena bulan Safar ini untuk menghindari sebarang bentuk malapetaka, seperti mandi safar, yang dilakukan sesetengah orang Melayu satu ketika dulu.Mereka mandi beramai-ramai di tepi sungai mahupun pantai yang dianggap sebagai satu ritual untuk menolak bala pada bulan Safar serta menghapuskan dosa.


Diceritakan orang Melayu berarak menuju ke destinasi terpilih diiringi alunan muzik, nyanyian, jampi serapah dan alunan zikir tertentu. Selepas itu, mereka membaca jampi tertentu atau menulis ayat tertentu di atas kertas lalu memasukkannya ke dalam bekas berisi air dan mandi dengannya. Sebenarnya amalan mandi Safar ini diwarisi daripada budaya Hindu.


Walaupun pesta mandi Safar ini makin lupus dalam budaya Melayu, masih ada sesetengah pihak yang melakukan pembaharuan dalam upacara berkenaan. Lalu diarahnya menulis ayat tertentu pada kertas atau papan dan direndam di dalam kolah atau tangki air untuk seluruh ahli keluarga mandi.


Syeikh Muhammad Abdussalam al-Syaqiry berkata:


"Orang-orang awam biasa menulis ayat tertentu mengenai keselamatan di atas kertas, misalnya ayat: Salam sejahtera kepada Nabi Nuh dalam kalangan penduduk seluruh alam! Pada Rabu terakhir bulan Safar, mereka meletakkannya di dalam bekas (berisi air) untuk diminum airnya dan untuk mencari keberkatan kerana mereka berkeyakinan hal ini akan menghilangkan nasib buruk. Ini adalah keyakinan yang sama sekali salah dan harus ditentang."

Selain itu, ada pula mengadakan solat sunat empat rakaat pada Rabu terakhir bulan Safar, iaitu selepas terbit matahari dan sebelum masuknya waktu Zuhur. Pada setiap rakaat orang yang mengerjakannya diminta membawa surah al-Fatihah sekali, al-Kautsar 17 kali, al-Ikhlas lima kali, al-Falaq dan an-Naas sekali dengan satu tahiyat, diiringi doa khusus selepas solat. Ternyata tiada dalil sah menunjukkan solat sunat dan bacaan doa berkenaan.


Lebih-lebih lagi dalam doa itu ada lafaz tawassul yang dilarang syarak iaitu menjadikan Saidina Hassan r.a, Hussain, Ali, Fatimah dan keturunan mereka sebagai perantara dalam berdoa. Semua amalan yang dikhususkan sempena bulan Safar termasuk berkorban pada 27 Safar, memperbanyakkan sedekah bagi mengelak bencana serta membaca surah dan zikir tertentu tidak pernah diperintah Rasulullah.


Rasulullah bersabda, maksudnya:


"Sesiapa yang melakukan satu amal yang bukan dari suruhan kami (iaitu di dalam perkara berkaitan agama), tertolaklah ia. "
[Hadis riwayat Imam Muslim]

- Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus (Penulis ialah Penolong Naib Presiden di Bahagian Perbankan Perniagaan, Affin Bank Berhad)

Wednesday, February 18, 2009

~* Doa Ketika Kesempitan (Duaa When In Distress) *~

Beberapa Masalah Dari Hal Doa


1499. Dari Ibu Abbas radhiallahu 'anhuma bahwasanya Rasulullah s.a.w. itu ketika ditimpa oleh kesempitan - yakni di waktu hati kesal dan ingin marah-marah, beliau s.a.w. mengucapkan:



Dalam sebutan rumi:


"La ilaha illallahul 'azhimul halim; La ilaha Illallahu rabbul 'arsyil 'azhim; La ilaha illallahu rabbus samawati wa rabbul ardhi Wa rabbul 'arsyil karim."


Some Verdicts Pertaining to Supplication


Thursday, February 12, 2009

~* Doa & sabar perisai kemanisan hadapi kesukaran *~


Al-Quran terkandung pelbagai hikmah supaya manusia mudah terima hidayah


TAUFIK dan hidayah adalah anugerah Allah ke atas hamba-Nya. Muslim wajib meyakini pintu hidayah sentiasa terbuka di sisi Allah untuk sekalian makhluk-Nya. Hidayah Allah apabila ‘mengetuk pintu hati’ seseorang, nescaya pasti menjadi lembut dan senang menerima nasihat, teguran serta bimbingan atas dasar agama.


Kisah Saidina Umar yang terkenal dengan sifat bengis sebelum memeluk Islam, bertukar watak sebagai pembela Islam yang agung selepas mendengar bacaan ayat suci al-Quran. Itulah anugerah besar yang tidak dapat dihitung nilainya selepas mendapat hidayah daripada Allah.


Allah menurunkan al-Quran kepada Nabi SAW untuk panduan seluruh umatnya supaya mereka lembut hati tatkala membacanya, mendengar dan memahaminya. Semua itu terkandung hikmah supaya manusia mudah mendapat hidayah Allah.


Firman Allah bermaksud:


“Allah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu kitab suci al-Quran yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (mengenai benarnya dan indahnya) yang berulang (keterangannya dengan pelbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah.

“Kitab suci itu hidayah petunjuk Allah; Allah memberi hidayah petunjuk dengan al-Quran itu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya); dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan Allah (disebabkan pilihannya yang salah), maka tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya.”
(Surah az-Zumar, ayat 23)

Imam al-Mawardy dalam tafsirnya menyatakan orang mendengar bacaan al-Quran atau membacanya, tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah dalam tiga keadaan :


  • Apabila mereka membacanya atau mendengarkan bacaan ayat suci al-Quran serta memahami maksud ayat itu yang memberi gambaran janji neraka bagi mereka yang ingkar pada perintah Allah dan khabar gembira dengan janji syurga bagi mereka yang patuh pada perintah-Nya (Imam As-Suddy)
  • Terpahat dalam hati perasaan khauf (takut) dan raja’ (pengharapan) yang tinggi kepada Allah.
  • Tersemat dalam lubuk hati mereka keagungan al-Quran dan lembut hati mereka ketika membacanya.

Hari ini, umat Islam dipaparkan dengan kezaliman yang berlaku terhadap saudara mereka. Penindasan dan keganasan boleh diungkapkan dengan pepatah, ‘berat mata memandang, berat lagi bahu memikul’. Doa umat Islam di seluruh dunia dengan iringan tangisan adalah pengorbanan kecil berbanding kesusahan yang dihadapi umat Islam di Palestin. Menangis adalah cara yang boleh melembutkan jiwa dan hati.


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:


“Janganlah kamu masuk (melihat) suatu kaum yang ditimpa azab, melainkan engkau menangis (melihat keadaan mereka), apabila engkau tidak mampu menangis, maka hendaklah engkau berpura-pura menangis sebagai kebimbangan (pengajaran) di atas kamu nanti akan ditimpakan musibah (azab yang sama) yang menimpa mereka.”
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Runtunan emosi perlu diiringi doa supaya Allah sentiasa mencampakkan kemanisan iman dan kesabaran yang terus segar dan harum menghadapi bencana dicipta musuh. Nabi SAW mengajar umatnya meletakkan kesabaran menghadapi kesulitan dan kepayahan angkara musuh.


Rasulullah SAW menggalakkan umat Islam apabila mendapat bala dan seksaan daripada orang lain supaya berdoa. Sabda Baginda yang bermaksud:


“Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah Bin Mas’ud katanya, aku masih terbayang Rasulullah SAW menceritakan mengenai seorang nabi daripada nabi sebelum Rasulullah yang diseksa (dipukul) oleh kaumnya sehingga berlumuran darah. Dia mengesat darah di mukanya sambil membaca doa yang bermaksud: Ya Allah, ampunilah kaumku, kerana sesungguhnya mereka tidak mengetahui.”
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Umat Islam juga diberi peringatan oleh Rasulullah SAW bahawa setiap manusia tidak terlepas daripada malapetaka dan kesusahan dalam kehidupan seharian. Allah akan menghapuskan dosa seseorang yang menghadapi kesusahan dengan penuh kesabaran.


Sabda Nabi SAW yang bermaksud:


“Daripada Abu Said dan Abu Hurairah katanya: Tiada seorang Muslim pun yang tidak mengalami penderitaan, keseksaan, kebimbangan, dukacita, kemelaratan dan kesedihan sehingga cucukan duri yang mengenai dirinya melainkan dihapuskan oleh Allah daripada kesalahannya.”
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

~* Budaya Hari Kekasih bercanggah syariat Islam *~


Sambutan 14 Februari sebenarnya banyak berkaitan amalan ritual penganut Kristian


TIBANYA 14 Februari tidak lengkap tanpa peringatan supaya umat Islam tidak menyambut Hari Kekasih atau Valentine's Day yang sudah menjadi sebahagian budaya masyarakat khususnya generasi muda sekarang.


Ada berpendapat usah dibangkitkan isu itu kerana hanya akan menjadi pencetus kepada amalan bercanggah dengan syariat Islam. Namun, ada baiknya dibincangkan perkara ini sebagai peringatan kepada mereka yang sudah memasang niat untuk meraikannya.


Malah, ia sebagai penjelasan kerana ada yang cuba menghalalkan sambutan Hari Kekasih ini supaya perancangan meraikannya tidak dipandang serong dengan pendapat, ia adalah hari untuk menterjemahkan perasaan kasih sayang bukan saja kepada kekasih, malah juga keluarga serta sahabat handai.


Hakikatnya, apa juga alasan diberikan untuk membolehkan Hari Kekasih disambut terutama oleh golongan muda Islam, Panel Kajian Aqidah (PKA) dan Panel Kajian Syariah (PKS) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memutuskan bahawa amalan menyambut Hari Valentine adalah haram dan bertentangan dengan ajaran Islam.


Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan:


"Bahawa amalan merayakan Valentine's Day tidak pernah dianjurkan Islam. Roh perayaan itu mempunyai unsur Kristian, amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam."

Buku Elak Sambut Valentine's Day terbitan Jakim membincangkan secara lanjut alasan mengapa umat Islam dinasihatkan supaya tidak meraikan hari yang mengambil sempena nama paderi besar Kristian Saint Valentine.


Berdasarkan fakta dalam buku itu, bagi merungkaikan isu kenapa umat Islam perlu elak menyambut Hari Kekasih, ialah dengan mendalami dan memahami apakah maksud Valentine itu sendiri serta asal usul ia menjadi sebuah perayaan.


Valentine dalam bahasa Inggeris atau Valentino dalam bahasa Itali adalah berasal daripada nama sebuah keluarga berbangsa Rom, iaitu Valentinus yang juga berasal daripada bahasa Latin iaitu valens yang bermaksud: kuat, aktif, sihat dan seumpamanya (laman web Behind The Name: The Etemology dand History of First Name).


Menurut sejarah pula, perkataan Valentine diambil sempena nama seorang paderi besar Kristian pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol iaitu Saint Valentine. Jasa beliau yang berjaya menumpaskan kerajaan Islam di Cordova, Sepanyol pada 14 Februari 270 masihi begitu bermakna bagi Ratu Isabella sehingga dianggap sebagai kekasih rakyatnya sendiri.


Justeru, 14 Februari disambut setiap tahun oleh rakyat Cordova bagi merayakan kemenangan itu dengan dinamakan hari Valentine.


Ada tiga pendapat mengenai asal-usul Hari Valentine. Pertama, Hari Valentine bermula ketika pemerintahan empayar Rom iaitu dengan menetapkan 14 Februari sebagai hari cuti orang Juno, ratu kepada dewa dan dewi Rom.


Hari berikutnya iaitu 15 Februari bermulanya Pesta Lupercalia iaitu perayaan tradisional masyarakat Rom iaitu mana pada malam pesta berkenaan, nama gadis Rom ditulis atas kertas dan dimasukkan ke dalam bekas. Setiap pemuda akan mencabut nama dalam bekas itu dan nama yang terpilih akan menjadi pasangannya di sepanjang pesta berlangsung.


Pendapat kedua pula menyatakan pada 14 Februari 270 masihi, St Valentine dibunuh kerana pertelingkahannya dengan Raja Romawi yang diperintah oleh Raja Claudius II (268-270 masihi). Pada waktu itu Raja Claudius membatalkan semua perkahwinan dan pertunangan kerana Rom banyak terbabit dalam peperangan.


Menyedari hakikat itu, St Valentine dan St Marius mengahwinkan orang Kristian dengan pasangan mereka secara rahsia. Akibat perbuatan itu, St Valentine ditangkap dan diheret, yang akhirnya dihukum belantan sehingga mati serta dipenggal kepalanya pada 14 Februari tahun 270 masihi.


Bagi memperingatinya sebagai simbol ketabahan, keberanian dan kepasrahan dalam menghadapi cubaan hidup, maka 14 Februari dijadikan sebagai hari memperingati kematian St Valentine sebagai upacara keagamaan.


Pendapat ketiga pula menyatakan Hari Valentine diambil daripada nama seorang paderi yang paling berpengaruh pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol iaitu St Valentine yang status kedudukannya adalah di tempat kedua tertinggi selepas Pope.


Apabila St Valentine menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan pasangannya dari pengamal Protestan sewaktu kerajaan Sepanyol berjaya menumpaskan kerajaan Islam, timbul kegemparan rakyat Cordova kerana St Valentine adalah paderi Katolik yang tidak boleh berkahwin dengan pengamal Protestan, lebih-lebih lagi paderi sememangnya tidak boleh berkahwin.


Tindakan St Valentine yang mengambil keputusan berkahwin dengan pasangannya itu menimbulkan rasa murka Ratu Isabella, lalu memenjarakannya buat sementara waktu. Ratu menetapkan 14 Februari sebagai Hari Kekasih untuk St Valentine sendiri.


Sejarah di atas jelas menunjukkan bahawa Hari Valentine adalah perayaan keagamaan yang disambut orang Kristian. Malah jika merujuk kepada kenyataan pihak Kristian hari ini, mereka masih menganggap Hari Valentine sebagai satu ritual dalam agama Kristian.


Laman web Spiritrestoration,org : The Premier, Ecumenical Christian Website. A Resource For Mature Christians and Scholars di bawah tajuk Pengertian Hari-Hari Suci Keagamaan – indeks Saint Valentine's Day menyebut: Perayaan Kristian terhadap kecintaan kepada Tuhan, dipersembahkan buat Jesus dan di kalangan penganut Kristian. St Valentine adalah syahid abad ketiga. Hari ini dilihat begitu meluas sekali dirayakan di Amerika Syarikat sebagai perayaan cinta di zaman sekular.


Termaktub dalam laman web Catholic Encyclopedia pengiktirafan bahawa walau dalam apa juga versi berkenaan dengan St Valentine, kesemua mereka dianggap sebagai syahid. Petikan menyebut: 'sekurang-kurangnya ada tiga orang St Valentine yang berbeza, semua mereka adalah syahid, ia disebut sebagai golongan syahid yang terawal pada tarikh 14 Februari.'


Berdasarkan fakta itu, jelas sekali Hari Valentine adalah perayaan yang menjadi amalan ritual agama Kristian. Ini sekali gus bercanggah dengan prinsip Islam yang tidak membenarkan umatnya meniru identiti atau cara hidup agama lain lebih-lebih lagi dalam soal membabitkan akidah Islam.


Islam sangat prihatin serta menginginkan supaya umatnya mempunyai identiti tersendiri dan berbeza dengan umat lain. Kerana itu penghayatan akidah Islam, pelaksanaan ibadah, muamalah dan akhlak serta tradisi yang ada pada umat Islam tidak boleh sama dengan umat lain.


Dalam erti kata lain, umat Islam tidak boleh mencampur adukkan akidah dan amalan ibadat agamanya dengan akidah dan ibadat agama lain.


Firman Allah yang bermaksud:


"Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat dan kamu pula tidak mahu beribadat dan secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagi aku agamaku."
[Surah al-Kafirun, Ayat 1-6]

Demikian juga penampilan peribadi umat Islam tidak boleh sama dengan umat lain dalam hal bersifat individu seperti dalam hal berpakaian, minuman, hiasan rumah, gaya hidup, penampilan yang dikhuatiri bercanggah dengan identiti dan syariat Islam.


Hukum Islam jelas dalam hal melarang umatnya meniru atau menyerupai budaya dan cara hidup orang bukan Islam berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:


"Sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan daripada amalan kami maka ia akan ditolak."
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

~* Henti sambut Hari Valentine *~


Tarikh 14 Februari merupakan hari yang dianggap keramat oleh pasangan-pasangan yang sedang berkasih. Hari yang dikenali sebagai Valentine’s Day atau Hari Memperingati Kekasih dianggap sebagai satu masa untuk mengisytiharkan ketulusan cinta kepada pasangan masing-masing.


Maka pada 14 Februari, pasangan-pasangan kekasih ini akan memakai pakaian yang terbaik dan sebaiknya hendaklah ia berwarna merah, bertukar-tukar hadiah dan seeloknya adalah bunga ros berwarna merah.


Pasangan-pasangan ini juga akan bercanda di merata-rata tempat sehingga terjadilah adegan-adegan maksiat yang bertentangan dengan syarak demi untuk membuktikan kasih dan sayang mereka yang tidak ternilai harganya.


Saban tahun juga para ulama mengingatkan kepada umat Islam agar menghindari menyambut Hari Valentine ini namun ia seperti menuang air ke daun keladi. Hari Valentine tidak ada kena-mengena dengan umat Islam malah hukum menyambutnya adalah haram. Ia adalah sambutan yang berkaitan dengan agama Rom kuno dan juga Kristian.


Sejarah Sambutan Hari Valentine


Bila kita membicarakan tentang sejarah sambutan hari Valentine, maka kita akan dapati bahawa terdapat empat pendapat berkaitan dengannya.


- Pendapat pertama mengaitkannya dengan pesta sambutan kaum Rom kuno sebelum kedatangan agama Kristian yang dinamakan Lupercalia. Lupercalia merupakan upacara penyucian diri yang berlangsung dari 13 hingga 18 Februari. Dua hari pertama mereka menyembah dewi cinta bagi kaum Rom kuno yang bernama Juno Februata.


Pada hari ini para pemuda Rom memilih nama-nama gadis-gadis yang menjadi pilihan mereka lalu dimasukkan ke dalam sebuah kotak. Setiap pemuda tersebut kemudiannya akan mencabut nama tersebut dari dalam kotak itu secara rawak. Nama gadis yang tertera di dalam kertas tersebut akan menjadi pasangan yang akan menjadi objek hiburan seksnya selama setahun.


Pada 15 Februari, mereka meminta perlindungan dewa Lupercalia dari gangguan serigala. Pada hari ini mereka akan menyembelih seekor anjing dan kambing. Kemudian mereka akan memilih dua pemuda Rom yang dianggap paling gagah untuk menyapukan darah binatang tersebut ke badan mereka lalu mencucinya pula dengan susu.


Setelah itu akan di adakan perarakan besar-besaran yang diketuai dua pemuda tersebut dan mereka berdua akan memukul orang ramai yang berada di laluan mereka dengan kulit binatang dan para wanita akan berebut-rebut untuk menerima pukulan tersebut kerana mereka beranggapan ia akan menambahkan kesuburan mereka.


- Pendapat kedua mengaitkannya dengan kematian paderi St. Valentine ketika pemerintahan Raja Rom yang bernama Claudius II. Terdapat dua versi cerita berkaitan dengan St. Valentine ini.


Versi pertama. Pada masa pemerintahan Claudius II, kerajaan Rom yang menyembah dewa-dewi amat memusuhi penganut agama Kristian dan para mubaligh Kristian telah dipenjara serta disiksa. St. Valentine sebagai seorang yang tegar menganut agama Kristian dan aktif menyebarkan ajaran tersebut turut dipenjarakan oleh Cladius II.


Dikhabarkan St. Valentine walaupun dipenjarakan, beliau tetap mengajar dan menyebarkan agama tersebut di kalangan banduan-banduan penjara di samping membantu tawanan-tawanan penjara meloloskan diri dari penjara. Kegiatan ini telah diketahui oleh Cladius II dan beliau memerintahkan St. Valentine diseksa dan akhirnya dihukum bunuh pada 14 Februari.


Pengorbanan yang dilakukan oleh St Valentine ini dianggap oleh penganut Kristian sebagai satu pengorbanan yang besar demi kecintaan beliau terhadap agamanya. Malah St. Valentine disamakan dengan Jesus yang dianggap oleh penganut Kristian mati kerana menebus dosa yang dilakukan oleh kaumnya.


Dikatakan juga bahawa ketika di dalam penjara, beliau telah jatuh cinta dengan anak salah seorang pegawai penjara dan di akhir hayatnya sebelum dibunuh, beliau sempat menulis sepucuk surat cinta kepada gadis tersebut yang bertandatangan From your Valentine (Daripada Valentinemu).


Maka orang-orang Kristian mengambil sempena 14 Februari itu untuk meraikan hari kasih sayang demi memperingati hari kematian paderi mereka St. Valentine.


Versi kedua. Claudius II beranggapan bahawa anggota tentera yang muda dan masih bujang adalah lebih tabah dan kuat ketika berada di medan peperangan berbanding dengan mereka yang telah berkahwin. Justeru itu Cladius II menghalang para pemuda dari berkahwin.


Namun demikian St.Valentine menentangnya dengan keras dan beliau telah melakukan upacara pernikahan terhadap para pemuda-pemuda Rom secara sulit. Aktiviti St. Valentine ini akhirnya dapat diketahui oleh Cladius II lalu beliau mengarahkan St. Valentine ditangkap dan dihukum gantung pada 14 Februari 269 M.


- Pendapat ketiga. Ia dirayakan sempena kejatuhan kerajaan Islam Andalusia di Sepanyol. St. Valentine merupakan individu yang memainkan peranan penting dalam usaha menjatuhkan kerajaan Islam pada masa itu. Disebabkan sumbangan beliau itu, St. Valentine dianggap sebagai kekasih rakyat. Tanggal 14 Februari 1492 merupakan tarikh kejatuhan Islam di Sepanyol dan dianggap pada hari itu hari kasih sayang kerana mereka menganggap Islam adalah agama yang zalim.


- Pendapat keempat. Sambutan hari Valentine ini bersempena dengan sifat burung yang musim mengawan burung yang jatuh pada 14hb Februari. Ini merupakan pendapat tradisi orang Inggeris.


Di sini kita dapat melihat dengan jelas bahawa asal-usul sambutan Hari Valentine ini tidak ada hubung-kaitnya dengan budaya serta agama bagi umat Islam.


Hukum sambut Valentine


Sebagaimana yang termaktub di dalam al-Quran dan al-Sunnah serta disepakati oleh generasi awal umat Islam hari kebesaran bagi umat Islam yang mana disyariatkan bagi kita menyambutnya hanyalah Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.


Ini sebagaimana yang firman Allah SWT:


"Bagi tiap-tiap umat, Kami adakan satu syariat yang tertentu untuk mereka ikuti dan jalankan, maka janganlah ahli-ahli syariat yang lain membantahmu dalam urusan syariatmu; dan serulah (wahai Muhammad) umat manusia kepada agama Tuhanmu, kerana sesungguhnya engkau adalah berada di atas jalan yang lurus."
[Surah Al-Hajj: Ayat 67]

Anas bin Malik r.a berkata: Nabi SAW pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya. Pada kedua-duanya mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah. Lalu baginda bersabda:


“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-duanya bagi kamu semua dengan dua hari yang lebih baik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri”.
[Riwayat al-Nasaai, no: 959]

Oleh itu hendaklah umat Islam membataskan diri dengan menyambut hari-hari perayaan yang diiktiraf oleh Allah dan Rasul-Nya khusus untuk umat Islam. Setelah berakhir zaman salafussoleh iaitu tiga kurun terbaik bagi umat Islam, pelbagai hari perayaan telah ditambah ke dalam kalendar umat Islam seperti Maulid al-Rasul, Israk Mikraj, Maal Hijrah, Nuzul al-Quran dan lain-lain.


Namun demikian apa yang mendukacitakan adalah umat Islam pada zaman kini telah mula merayakan hari-hari perayaan yang langsung tidak berkaitan dengan umat Islam. Malah ia berasal dari budaya serta agama golongan yang ingkar kepada perintah Allah S.W.T. seperti sambutan Tahun Baru Masihi, Hari Halloween dan juga Hari Valentine yang sedang kita perbincangkan ini. Terdapat larangan daripada baginda s.a.w. untuk meniru budaya orang bukan Islam dan bagi mereka yang meniru budaya seperti ini ditakuti mereka akan tergolong bersama dalam golongan tersebut. Sabda baginda:


”Barang siapa menyerupai satu kaum, maka dia termasuk golongan mereka”.
[Riwayat Imam Abu Dawud, hadis no: 3512]

Tentang hukum menyambut Hari Valentine, Sheikh al-‘Utsaimin berkata:


“Maka bila dalam merayakan Hari Valentine tersebut bermaksud untuk mengenangkan kembali St. Valentine, maka tidak diragukan bahawa orang itu telah kafir. Dan jika tidak bermaksud begitu namun sekadar ikut-ikutan kepada orang lain, maka orang itu telah melaksanakan dosa besar”.

Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan: “Bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam”.


Harus kita ingat bahawa golongan yang memusuhi Islam, akan sentiasa berusaha menanamkan benih-benih kesesatan dalam jiwa umat Islam supaya mereka jauh dari jalan yang lurus lagi diredai Allah SWT. Firman-Nya:


Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar).
[Surah Al-Baqarah: Ayat 120]

- Oleh Mohd. Yaakub Mohd. Yunus

~* Why Do Muslims Fast In Ramadan? *~

What is Fasting (Sawm)? Sawm (Arabic: صوم) is an Arabic word for fasting regulated by Islamic jurisprudence. In the terminology of Islamic l...