Thursday, July 31, 2008

~* Tangisan Keinsafan Pembersih Dosa *~


Bangun dan sujud pada tengah malam adalah amalan Rasulullah serta para sahabat.


Saidina Abu Bakar al-Siddiq adalah seorang sahabat Rasulullah SAW yang amat penyedih. Apabila beliau membaca ayat Allah, air matanya tidak dapat dibendung. Hatinya begitu lembut, sensitif dan cepat tersentuh.


Saidina Umar pula suka mengingatkan dirinya terhadap hari perhitungan. Ketakutan sentiasa menguasai hatinya. Wajahnya diguris bekas aliran tangisan yang terus-menerus mengalir mengingat hari perjumpaan dengan Allah kelak. Ketika dalam keadaan sakit tenat yang membawa kepada kematiannya, beliau berkata, kepada anaknya Abdullah bin Umar: “Letakkan pipiku di atas tanah.” Abdullah melarang dengan lembut sambil berkata: “Wahai ayah, bukankah itu akan membuatmu semakin sakit?” Umar berkata lagi: “Aku tidak peduli, letakkan aku di atas tanah, celakalah aku jika Tuhanku tidak merahmati aku!”


Tangisan adalah ubat bagi hati yang keras. Ia mendatangkan cahaya dan membersih daripada kekotoran dosa, manakala berlebihan tertawa dan bersenda gurau membawa kepada kelalaian, mengeraskan hati dan mengeruhkan kesuciannya. Rasulullah SAW suatu ketika bertemu sahabat yang tertawa sambil bergurau. Baginda SAW bersabda maksudnya:


“Jika kamu semua mengetahui seperti apa yang aku ketahui, nescaya kamu akan banyak menangis dan sedikit tertawa."


Ada beberapa alasan mengapa orang beriman perlu menangisi dirinya, antaranya:

  • Dia tidak tahu qada dan qadar atas dirinya.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya:


"Sesungguhnya kamu dikumpulkan kejadiannya dalam perut ibu 40 hari air mani, kemudian menjadi segumpal darah selama 40 hari lagi, kemudian menjadi seketul daging selama 40 hari, kemudian diutuskan kepadanya malaikat lalu ditiupkan roh kepadanya dan dituliskan empat kalimah iaitu rezekinya, umurnya, amalnya, celakanya atau bahagianya. Maka, demi Allah yang tidak ada Tuhan selain-Nya, sesungguhnya seseorang mengerjakan amal ahli syurga sehingga tidak ada jarak antaranya dengan syurga itu melainkan sehasta, kemudian terdahulu atasnya ketentuan tulisan lalu ia pun mengerjakan amal ahli neraka maka masuklah ia ke dalamnya. Dan seseorang mengerjakan amal ahli neraka sehingga tidak ada jarak di antaranya dengan neraka kecuali sehasta. Kemudian terdahulu atasnya ketentuan tulisan lalu dia pun mengerjakan amalan ahli syurga maka masuklah dia ke dalamnya."

[Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Siapakah yang boleh menjamin nama kita termasuk dalam senarai ahli syurga? Tidakkah hal itu petanda bahawa kita tidak berkuasa menolong diri sendiri? Letakkanlah diri kita sentiasa dalam keadaan cemas, takut dan harap kepada Allah. Caranya dengan banyak menangis dan memohon pertolongan-Nya.


  • Menangislah kerana ingat terhadap malam pertama di alam kubur.

Siapakah yang menjadi teman untuk seorang pengantin yang memakai helaian kafan? Ditinggalkan sendirian menanggung nasib, meratapi kepergian orang yang menghantar ke kuburnya. Jangan pergi! Mana anakku, isteri dan saudara mara yang dulu mengasihiku? Semua hartaku, siapa yang menghabiskan segala jerih payahku selama ini? Lubang itu terlalu sempit, tempat cacing dan ulat menggigit-gigit. Malam pertama di sini sungguh berat ditanggung sendiri. Malaikat yang datang membawa urusan amat penting. Persoalan yang bukan senda gurau kekasih pada malam pengantin. Bahkan, gertakan yang mengecutkan hati dan kekerasan yang memadamkan kegembiraan.


Siapakah yang mahu menolong aku, menemani dan membela diriku? Di mana sembahyang, puasa, haji dan sedekahku? Datanglah selimuti aku daripada kepedihan seksa ini. Di mana bacaan al-Quran, zikir dan kelembutan lidah yang pernah mengeluarkan kata-kata yang baik? Datanglah semua segala kebaikanku dari atas kepala, di sebelah tangan, di kaki, di seluruh tubuh badan yang kaku dan pucat ini. Siapakah yang sanggup membela jika bukan amal salih di dunia. Mayat itu menangis di perut bumi, menyesal mengapa dulu ia tidak menangis ketika bersimpuh di atas bumi?


  • Menangis kerana ingatkan hari perhitungan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:


"Orang yang muflis di kalangan umatku ialah: Seseorang yang datang pada hari kiamat dengan pahala sembahyang, puasa dan zakat. Tetapi, dia pernah mencaci si polan, menuduh si polan, menumpah darah si polan dan memukul si polan. Maka akan diberikan kepada orang yang teraniaya itu daripada pahala kebaikan orang tadi sehingga apabila habis pahalanya, sedangkan belum semua terbayar, maka akan diambil ganti dari dosa orang itu dan dibebankan kepadanya dan dia dicampakkan ke dalam neraka kerananya."

[Riwayat Muslim dari Abu Hurairah]

Ingatlah keaiban diri yang terlalu banyak untuk dihitung, jangan sibuk menyebut aib orang lain. Semua orang di sekeliling kita tidak dapat menolong kecuali amal ibadat yang dilakukan dengan keikhlasan.


Bilakah saat dan ketika paling tepat untuk kita menangis supaya lembut hati yang keras oleh hawa nafsu yang dituruti? Pada tengah malam yang dingin, bangun dan berdiri tanpa diketahui oleh manusia yang asyik bermimpi, sujud dan doa yang panjang, bacaan al-Quran dan zikrullah juga istighfar. Amalan ini menjadi kebiasaan Rasulullah SAW dan sahabatnya serta menjadi ikutan orang salih yang mahukan ketenangan jiwa pada akhir zaman ini. Ubati kegelisahan, tekanan dan kesakitan jiwa dengan menangis, solat dan zikrullah.

Wednesday, July 30, 2008

~* Israk dan Mikraj *~


PERISTIWA ISRAK DAN MIKRAJ

Sempena bulan Rejab yang banyak keberkatannya ini, ruangan Sudut Agama menyorot peristiwa Israk dan Mikraj yang berlaku pada 27 Rejab, setahun sebelum Hijrah. Penerangan yang diberikan adalah bersifat sepintas lalu, dan dicadangkan agar anda merujuk kepada ahli agama yang benar dan bertauliah seperti ustaz atau guru yang berkenaan bagi mendapatkan fakta dan huraian selanjutnya.


Ringkasan Peristiwa Israk Dan Mikraj

Sebelum Israk dan Mikraj

Rasulullah S.A.W. mengalami pembedahan dada / perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika'il. Hati Baginda SAW. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman.ke dalam dada Rasulullah SAW. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu.


Semasa Israk ( Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa ):


Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah SAW diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:


  1. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.
  2. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu daripada Allah;
  3. Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa A.S. dilahirkan);

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S.A.W. menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya :


  • Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah SAW dibertahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.
  • Tempat yang berbau harum. Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Mayitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).
  • Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).
  • Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebeis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.
  • Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.
  • Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.
  • Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.
  • Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.
  • Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.
  • Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.
  • Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.
  • Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah SAW tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.
  • Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.


Rasulullah SAW terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.


Semasa Mikraj ( Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah )

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah SAW dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).


  1. Langit Pertama: Rasulullah SAW dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam AS. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.
  2. Langit Kedua: Nabi SAW dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi 'Isa AS dan Nabi Yahya AS.
  3. Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf AS.
  4. Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris AS.
  5. Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun AS yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.
  6. Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa AS. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.
  7. Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma'mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah SAW, Nabi Ibrahim AS bersabda, "Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha'if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH. Mengikut riwayat lain, Nabi Ibahim AS bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA LA ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAHIL- 'ALIYYIL-'AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga". Setelah melihat beberpa peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).
  8. Tangga Kelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah SAW menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah SAW dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.
  9. Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah SAW masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.
  10. Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah SWT dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:

    Allah SWT : Ya Muhammad.

    Rasulullah : Labbaika.

    Allah SWT : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.

    Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan 'Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.

    Allah SWT : Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.

Selesai munajat, Rasulullah SAW di bawa menemui Nabi Ibrahim AS kemudian Nabi Musa AS yang kemudiannya menyuruh Rasulullah SAW merayu kepada Allah SWT agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.


Selepas Mikraj

Rasulullah SAW turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah).


Wallahu'alam.


(Sumber : Kitab Jam'ul-Fawaa`id)


Kesimpulannya, Peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah dan takut kepada kekuasaan-Nya.


Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.


Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.


Mafhum Firman Allah SWT:


"Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."
[Surah Al-Israa': Ayat 1]

Sunday, July 27, 2008

~* Bersuara atau Diam *~


Diriwayatkan daripada Abu Syuraih al-Khuza'iy r.a katanya:


Nabi s.a.w bersabda: "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jiran tetangganya. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia memuliakan para tetamunya. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia bercakap hanya perkara yang baik atau diam."


Penerangan Hadis:


Mengenal Manusia


Allah (SWT) memiliki suatu sifat dan akhlaq yang sebenarnya amat akrab dengan kehidupan manusia. Iaitu mustahil bagi Nya berbuat perkara yang sia-sia, tanpa tujuan, ataupun mengandungi kesalahan. Kalaupun ada penciptaan atau kejadian yang tampak kejam, ia hanyalah bersifat sementara.


Ertinya, jika dilihat dan diteliti, akhirnya ia akan membuktikan bahawa dibalik kejadian itu semua ternyata mengandung nilai-nilai kebenaran. Dan dalam hal ini, manusia memang harus banyak melihat sejarah hidupnya secara peribadi mahupun sejarah kemanusiaan itu sendiri, tujuan ia diciptakan, ke mana destinasinya dan sebagainya.


Akhlaq tersebut amat akrab dengan kita kerana ia tercermin kemanapun kita melihat. Pantulannya boleh dilihat kepada sesiapa yang ingin melihat. Sulit bagi kita untuk menyebutkan suatu makhluq atau kejadian alam yang diciptakan tanpa ada gunanya.


Seolah semua menyiratkan bahawa Allah (SWT) menciptakan ini untuk sebuah tujuan. Bukan sekadar permainan tanpa arah. Firman Nya:


“Dan Kami tidak menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada antara keduanya dengan mengandungi kesalahan. Yang demikian itu adalah anggapan orang-orang kafir, maka celakalah orang-orang kafir itu karena mereka akan masuk neraka.” (38: 27)


Tujuan Hidup


Kejadian seekor nyamukpun ternyata begitu penting di mata Allah (SWT), sehingga disebutkan di al-Quran. Firman Nya:


“Sesungguhnya Allah tiada segan membuat perumpamaan berupa nyamuk atau yang lebih rendah dari itu. Adapun orang-orang yang beriman, maka mereka memiliki ilmu sehingga mereka tahu bahwa itu adalah al-haq dari Rabb mereka, tetapi mereka yang kafir mengatakan:"Apakah maksud Allah menjadikan ini untuk perumpamaan?". Dengan perumpamaan itu banyak orang yang disesatkan oleh Allah, dan dengan perumpamaan itu (pula) banyak orang yang diberinya petunjuk. Dan tidak ada yang disesatkan Allah kecuali orang-orang yang fasik.” (2: 26)


Tetapi kenapa manusia sentiasa kebingungan mencari dan mengenalpasti fungsinya? Kenapa kita senantiasa tertanya-tanya tentang tujuan keberadaan kita di muka bumi ini? Kenapa diri manusia dipenuhi sikap-sikap ketidaktahuan akan fungsinya? Apakah mungkin kita hidup tanpa tujuan yang jelas, kukuh dan konkrit?


Tidak mungkin!


Allah (SWT) menjadikan seekor nyamuk pun ada manfaat dan fungsinya. Bahkan sejak lahir mereka sudah tahu apa yang harus dibuat dan apa fungsi yang harus dijalankan.


Kerana itu amat mustahil, bila susuk tubuh insan yang Allah (SWT) khabarkan diciptakan dalam 'ahsani taqwim' (pembentukan yg paling sempurna), dilahirkan hanya untuk sia-sia dan tanpa tujuan.


Apa mungkin seorang manusia lahir hanya untuk membesar dewasa, berkeluarga, dan mati?


Sesungguhnya pada manusia itulah tugas yang amat berat dipikul tambahan pula ia sebagai wakil Allah (SWT) di atas muka bumi ini, untuk mentadbir alam. Ingat, langit, bumi, gunung-ganang, bukit-bukau semuanya tidak sanggup membawa amanah Allah (SWT), kecuali manusia yang menyatakan kesanggupannya.


Justeru, manusia perlu berhati-hati dalam melaksanakan tanggungjawab ini supaya tidak tergolong di dalam manusia yang berbuat kezaliman dalam kejahilan.


Lebih baik diam dari mengomen perkara yang kita tidak tahu. Tidaklah nanti dikata orang, hanya berani dibelakang, tetapi bila diajak bermuzakarah, berdiskusi, batang hidung pun tidak kelihatan.

Saturday, July 26, 2008

Pada siapa patut letak cinta?


Assalamualaikum,


Sebelum saya membicarakan bab pada siapa patut letak cinta ini saya ingin mengambil kesempatan merakamkan rasa dukacita tentang pemahaman bab “penderitaan mengundang bahagia“.


Jatuh yang tidak ada orang simpati ialah jatuh cinta. Sebab jatuh cinta indah, tidak macam jatuh tangga atau jatuh pokok, sakit. Cinta banyak perkara cinta. Tidak ada siapa pun yang dapat larikan diri daripada mencintai dan dicintai. Kemuncak cinta, ada orang masuk syurga kerana cinta dan tidak kurang ramai orang yang akan dihumbankan ke neraka gara-gara cinta. Cinta yang begaimana boleh bawa seseorang ke syurga dan kenapa ada yang masuk neraka lantaran kerana cinta?


Cinta, rasa yang ada dalam hati yang tidak boleh disukat-sukat. Hati yang merasainya, sehingga boleh terhibur atau terseksa kerananya. Datangnya dari dua sumber yakni dari nafsu dan dari Allah.


Cinta yang diilhamkan oleh nafsu berlaku bila hati kotor, sering melakukan dosa dan tidak pula bertaubat. Sifat-sifat keji seperti sombong, ujub, riak, gila puji, hasad dengki dan lain-lain sifat jahat bersarang dalam hati tidak dikikis, maka ketika itu nafsulah yang akan jadi Tuhan dalam diri sehingga apa saja yang dilakukan mengikut arahan nafsu. Termasuk dalam meletakkan cinta, ukuran yang diberi dan sebab jatuh cinta pun ikut selera nafsu.


Lelaki akan jatuh cinta pada perempuan yang mendedahkan kecantikannya hingga tubuh badan perempuan itu sudah tidak terlindung lagi pada pandangan nafsunya. Cinta diberi ialah untuk mengisi keinginan nafsu seks lelaki kepada perempuan. Begitu juga wanita, jatuh cinta sebab lelaki kaya, handsome bergaya, ada jawatan dan lain-lain keistimewaan yang disenangi oleh nafsu. Lantas cinta diberi dengan harapan mereka dapat tumpang kemewahan dan kesenangan hidup lelaki tersebut. Jelasnya, cinta yang datang dari nafsu ditujukan untuk kesenangan nafsu semata-mata.


Bila bertaut dua cinta yang dilahirkan oleh nafsu yang punya kepentingan masing-masing maka berlangsunglah babak-babak melahirkan rasa cinta. Dari surat menyurat, telefon, ziarah, keluar makan-makan, berdua-duaan di taman bunga, dalam keadaan saling rindu merindukan.. Ketika itu tak ada lain dalam ingatan melainkan orang yang dicintai. Sehari tak jumpa atau tidak telefon rasa berpisah setahun. Sudah tidak malu pada orang sekeliling, apa lagi pada Allah yang Maha Melihat. Lagi mereka tidak ingat dan takut. Lantaran itu mereka sanggup buat apa saja untuk membuktikan kecintaan pada pasangan masing-masing.


Hatta yang perempuan sanggup serah maruah diri konon untuk buktikan cinta pada lelaki. Yang lelaki pula rela bergolok bergadai untuk memberikan kemewahan pada perempuan sebagai bukti cinta. Akhirnya bila yang perempuan telah berbadan dua, lelaki serta merta hilang cintanya. Habis manis sepah dibuang. Kalau pada lelaki pula, ada duit abang sayang, tak ada duit abang melayang. Kalau pada suami pula, isteri seorang suami disayang, bila hidup bermadu kasih pada suami hilang.


Itulah falsafah cinta nafsu yang melulu. Cintanya hanya selagi nafsu ada kepentingan. Cinta inilah yang banyak melanda orang muda yang dilambung asmara. Hingga sanggup buat apa saja, sekalipun bunuh diri, kalau kecewa dalam bercinta. Walhal sedap dan indahnya sekejap. Sakitnya lama, sakit yang paling dahsyat ialah di neraka kelak. Inilah kemuncak cinta yang paling malang dan memalukan.


Cinta nafsu kalau pun boleh bersambung sampai membina rumahtangga ia tetap akan menyeksa. Kerana suami akan cinta pada isteri selagi isteri masih muda, seksi dan manja. Yakni selagi nafsu dapat disenangkan. Bila isteri tua, kulit berkedut, tampal make-up lagi hodoh, rambut putih dan gigi pun sudah banyak gugur seperti opah, badan pun sudah kendur, maka cinta suami akan beralih pada gadis muda yang menarik. Sekaligus hilanglah cinta suami. Menderitalah isteri yang hilang perhatian suami apalagi kalau terang-terang depan mata suami kepit perempuan lain, lagilah isteri terseksa.


Begitu juga si isteri. Cintakan suami selagi suami boleh membahagiakan dan menunaikan segala keinginan nafsu. Selagi suami kasih dan sayang padanya. Andainya suami hilang kuasa, jatuh miskin, masuk penjara atau suami kahwin lagi seorang maka serta merta hilang cinta pada suami. Sebaliknya berbakul-bakul datang rasa benci pada suami yang dulu dipuja tinggi melangit. Begitu mudah cinta bertukar jadi benci. Akibatnya berlakulah pergaduhan, masam muka, kata-mengata, ungkit mengungkit, suami tidak pedulikan isteri dan isteri pun hilang hormat pada suami. Rumahtangga panas dan menunggu saat untuk ditalqinkan ke kubur perceraian. Ketika itu tak ada lagi pujuk rayu, cumbu mesra sebagaimana waktu cinta tengah membara. Maka doktor yang menulis pun dituduh merendahkan wanita, jangan marah tahu.


Itulah gara-gara cinta nafsu yang sudah menyusahkan manusia di dunia lagi.


Sebaliknya cinta yang dialirkan oleh Allah ke dalam hati, itulah cinta yang benar, suci lagi murni. Cinta yang bukan diukur ikut pandangan mata, tapi ikut pandangan Allah. Ia bersebab kerana Allah dan cinta diberi pun untuk dapat keredhaan Allah. Cinta begini tiada batasannya. Tidak pula kenal jantina dan kedudukan. Dan cinta lahir hasil dari sama-sama cinta pada Allah.


Boleh berlaku pada lelaki dengan lelaki, perempuan dengan perempuan, lelaki dengan perempuan, antara murid dengan guru, suami dengan isteri, sahabat dengan sahabat, rakyat dengan pemimpin, antara umat dengan Nabinya dan yang paling tinggi antara hamba dengan Tuhannya.


Kalau berlaku antara lelaki dengan perempuan yang tidak diikat oleh tali perkahwinan, mereka tak akan memerlukan untuk berjumpa, bercakap atau melakukan apa saja yang bertentangan dengan kemahuan Allah. Cinta mereka tidak akan dicelahi oleh nafsu berahi. Sebaliknya cinta itu ialah tautan hati yang berlaku walaupun tak pernah jumpa atau baru kenal tapi hati rasa sayang dan rindu. Hati sedih kalau orang yang dicintai ditimpa susah, senang kalau yang dicinta itu senang. Sanggup susah-susahkan dan korbankan diri untuk senangkan orang yang dicintai.


Cinta yang begini ada diceritakan dalam hadis, iaitu seorang lelaki yang bertemu dan berpisah dengan sahabatnya kerana Allah maka mereka akan mendapat perlindungan ‘arasy Allah di padang mahsyar nanti, hari di amana masing-masing orang mengharap sangat lindungan dari matahari yang sejengkal saja dari kepala.


Kalau berlaku antara suami isteri maka isteri akan letak seluruh ketaatan pada suami, berkhidmat dan melayan suami tanpa jemu-jemu. Sama ada waktu suami tunjukkan sayang atau masa suami marah-marah. Sama ada suami kaya atau miskin, atau suami kahwin lagi, cinta isteri pada suami tidak belah bagi. Salah satu contohnya penderitaan mengundang bahagia. Kerana cintanya pada suami datangnya dari Allah hasil dari ketaqwaan isteri. Datanglah ribut taufan, angin putting beliung melanda rumah tangga, isteri tetap memberikan cintanya yang utuh dan teguh.


Begitu juga suami, cinta pada isteri tidak kira isteri itu muda atau tua. Samada pada hatinya. Selagi isteri taat pada Allah, isteri tetap dikasihinya. Kalau dia ada empat isteri, tentulah isteri-isteri akan tertanya-tanya, pada isteri manakah yang suami paling cinta? Kalau cinta itu bersumber dari Allah, tentu isteri yang paling taqwalah yang paling layak dicintai oleh suami lebih dari isteri-isteri lain.


Sumber cinta yang datang dari Allah akan meletakkan Allah yang paling tinggi dan utama. Bila berlaku pertembungan antara cinta Allah dengan cinta pada makhluk maka cinta Allah dimenangkan. Misalnya seorang isteri yang cinta suaminya. Tiba-tiba suami larang isteri melakukan ketaatan pada Allah dalam hal tutup aurat, walhal tutup aurat itu Allah tuntut. Maka kecintaan pada Allah itu akan mendorongnya untuk laksanakan perintah-Nya walaupun suami tidak suka ataupun terpaksa kehilangan suami. Sanggup dilakukan sebagai pengorbanan cintanya pada Allah. Sebaliknya kalau dia turut kemahuan suami ertinya kata cinta pada Allah hanya pura-pura, cintanya bukan lagi bersumberkan Allah tapi datang dari nafsu.


Cinta yang datang dari Allah menyebabkan seseorang cukup takut untuk melanggar perintah Allah yang kecil, apalagi yang besar, lagi dia gerun. Seorang yang sudah dapat mencintai Allah, cinta yang lain-lain jadi kecil dan rendah padanya.


Sejarah menceritakan kisah cinta Zulaikha terhadap Nabi Yusuf. Sewaktu Zulaikha dibelenggu oleh cinta nafsu yang berkobar-kobar pada Nabi Yusuf, dia sanggup hendak menduakan suaminya, seorang menteri. Bila Nabi Yusuf menolak keinginannya, ditariknya baju Nabi Yusuf hingga terkoyak. Akibat dari peristiwa itu Nabi Yusuf masuk penjara. Tinggallah Zulaikha memendam rindu cintanya kepada Yusuf.


Penderitaan cinta yang ditanggung oleh Zulaikha menyebabkan dia bertukar dari seorang perempuan cantik menjadi perempuan tua yang hodoh. Matanya buta kerana banyak menangis terkenangkan Yusuf, hartanya habis dibahagi-bahagikan kerana Yusuf. Sehingga datanglah belas kasihan dari Allah terhadapnya. Lalu Allah mewahyukan agar Nabi Yusuf mengahwini Zulaikha setelah Allah kembalikan penglihatan, kemudaan dan kecantikannya seperti di zaman gadisnya.


Peliknya, bila Zulaikha mengenal Allah, datanglah cintanya pada Allah sehingga masanya dihabiskan untuk bermunajat dengan Allah dalam sembahyang dan zikir wirid sehingga terlupa dia hendak melayan kemahuan suaminya Yusuf yang berhajat kepadanya. terpaksa Nabi Yusuf menunggu Zulaikha menghabiskan sembahyangnya, hingga hampir hilang kesabaran Nabi Yusuf lantas ditariknya baju Zulaikha sehingga koyak; sebagaimana Zulaikha pernah menarik baju Nabi Yusuf seketika dulu.


Begitulah betapa cinta yang dulunya datang dari nafsu dapat dipadamkan bila dia kenal dan cinta pada Allah. Cinta Allah ialah taraf cinta yang tinggi. Kemuncak cinta ini ialah pertemuan yang indah dan penuh rindu di syurga yang dipenuhi dengan kenikmatan.


Cinta pada Allah akan lahir bagi orang sudah cukup kenal akan Allah. Kerana cinta lahir bersebab. Kalau wanita cinta pada lelaki kerana kayanya, baiknya, tampan dan sebagainya dan lelaki cinta wanita kerana cantik, baik, lemah lembut dan sebagainya maka bagi mereka yang berakal akan rasa lebih patut dicurahkan rasa cinta pada Allah kerana segala kenikmatan itu datangnya dari Allah.


Ibu bapa, suami, isteri, sahabat handai dan siapa saja yang mengasihi dan mencintai kita, hakikatnya itu semuanya datang dari Allah. Kebaikan, kemewahan dan kecintaan yang diberikan itupun atas rahmat dan kasihan belas Allah pada kita. Sehingga Allah izinkan makhluknya yang lainnya cinta pada kita. Walhal Allah boleh bila-bila masa menarik balik rasa itu dari hati orang-orang tadi kalau Allah mahu.


Allah yang menciptakan kita makhluk-Nya, kemudian diberinya kita berbagai-bagai nikmat seperti sihat, gembira, dan macam-macam lagi. Samada masa kita ingat pada-Nya ataupun masa kita lalai, tetap diberi-Nya nikmat-nikmat itu. Begitulah, kebaikan Allah pada kita terlalu banyak sebagaimana firman-Nya: yang bermaksud:


“Kalau kamu hendak menghitung nikmat-nikmat Allah, nescaya kamu tak terhitung.”


Besar sungguh jasa Allah dari menciptakan, menghidupkan dan memberi rezeki, suami, isteri, rumah dan macam-macam lagi yang dengannya kita boleh lalui kehidupan dengan aman bahagia. Alangkah biadapnya kita kalau segala pemberian Allah itu kita ambil tapi lupa untuk ucapkan terima kasih, lupa pada yang memberi. Walhal, Allah boleh saja menyusah dan menyenangkan kita dengan kehendaknya.


Oleh itu orang yang betul kenal dan beradab, dia malu pada Allah. malah kerana malunya itu dia tidak nampak yang lain lebih hebat dari Allah. Cintanya tertumpu pada Allah, dan penyerahan diri pada Allah sungguh-sungguh. Setiap saat menanggung rindu lalu masanya dihabiskan untuk berbisik-bisik dengan kekasihnya. Sehingga kerana terlalu mendalam cinta pada Tuhan ada hamba Allah yang berkata,


“Wahai Tuhan, aku mencintai Engkau bukan kerana takutkan neraka-Mu. tapi kerana Zat-Mu, ya Allah. Aku rela masuk neraka kalau itulah kemahuan-Mu.”


Itulah rintihan hati seorang wali perempuan Rabiatul Adawiyah dalam munajatnya dengan Allah. Dia menyatakan dua cinta tidak boleh duduk dalam satu hati. Bila cinta Allah sudah penuh dalam hatinya, maka tidak ada tempat lagi untuk cinta selain dari itu.


Ada orang mengatakan:


....Jika kau berikan hatimu ataupun cintamu pada manusia nescaya dia akan merobek-robekkannya. Tapi kalau hati yang pecah itu diberikan kepada Allah nescaya dicantum-cantumkan-Nya. Ertinya cinta dengan Allah pasti berbalas. Dan Allah tidak membiarkan orang yang dicintai-Nya menderita di akhirat.....


Jadi seorang yang bijak dan beradab akan meletakkan kecintaan yang besar pada Allah, pada Rasulullah dan barulah pada makhluk-makhluk lain di samping-Nya. Itulah perletakan cinta yang betul dan menguntungkan di dunia dan juga di akhirat. Itulah dia cinta kita pada Allah swt yang patut kita letakkan.


- Oleh Dr Ikmal Online

Friday, July 25, 2008

~* Peringati Israk & Mikraj untuk teguhkan iman *~


SEBAGAI Muslim, marilah kita menyingkap kembali perkara-perkara yang berlaku dalam kehidupan awal Baginda Rasulullah s.a.w. Kita melihat bahawa usaha baginda untuk menyebarkan panji-panji keimanan telah mendapat tentangan hebat kaum Quraisy.


Namun, Baginda masih lagi dapat meneruskan perjuangannya, dengan bantuan Allah dan dengan dorongan dan sokongan isteri tercinta, Saidatina Khadijah dan bapa saudara Baginda, Abu Talib yang telah banyak memberikan perlindungan kepada Rasulullah daripada ancaman kaum Quraisy.


Namun demikian, Allah telah menentukan pada tahun ke-11 dari kerasulan Baginda bahawa itulah tahun pemergian kedua-dua insan istimewa ini. Isteri Baginda wafat pada tahun tersebut, diikuti pemergian Abu Talib.


Rasulullah hilang sumber sokongan dan dorongan sehingga Baginda begitu sedih bahkan tahun itu disebut sebagai Aamul Huzn atau tahun sedih.


Pergerakan dakwah di Mekah semakin sukar dan Rasulullah berusaha ke Taif, namun di situ Baginda juga mendapat tentangan yang lebih hebat, di mana Rasulullah dicaci dan dihina.


Dengan dirundung kesedihan dan kehampaan, maka Allah dengan segala kebijaksanaannya mengatur langkah dan strategi untuk menghiburkan hati Nabi Muhammad dan mengukuhkan keimanan Baginda. Langkah tersebut adalah dengan penganugerahan perjalanan Israk dan Mikraj pada satu malam.


Peristiwa Israk dan Mikraj ini berlaku mengikut beberapa riwayat pada malam 27 Rejab tahun ke-11 kerasulan Baginda.


Peristiwa ini bersabit dengan firman Allah dalam Surah Al-Isra’ ayat yang pertama:


Maksudnya:


"Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui."

Dalam perjalanan yang begitu istimewa ini, terlalu banyak yang dilihat oleh Baginda Rasulullah dan begitu banyak pelajaran yang dapat kita peroleh.


Di antara pelajaran-pelajaran yang harus kita renungkan bersama adalah:


1. Manusia harus sentiasa memerhatikan hubungannya dengan Allah, dan sentiasa menilai kembali dan berusaha memperelokkan hubungan tersebut. Hubungan dengan Allah ini mestilah wujud tatkala ditimpa kesusahan dan ujian mahupun di kala mendapat kesenangan dan kemudahan.


Ini kerana hanya Allah sahajalah yang berkuasa dan mampu memberikan pertolongan, menghilangkan segala kesedihan, dukacita dan kesusahan pada diri kita.


Caranya ialah kita sentiasa beristiqamah, terus menerus melaksanakan semua perintah-Nya dan menjauhi semua larangan-Nya dan bukan menjadi orang yang taat hanya pada waktu susah dan melupakan Allah pada waktu senang.


2. Kehidupan kita yang ingin berjuang untuk kebaikan pasti akan dipenuhi dengan cabaran dan dugaan. Ia tidak akan sentiasa mudah tetapi kita akan berhadapan dengan kesusahan terlebih dahulu.


Namun, semua yang berlaku itu demi untuk mengukur dan menilai keimanan kita di dalam hati.


Adakah kita sanggup menghadapinya dengan penuh ketabahan dan kesabaran atau kita tergolong dalam golongan yang mudah berputus harapan?


Firman Allah dalam Surah al-Insyirah ayat 5 & 6, ertinya:


"Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu bahawa) sesungguhnya tiap-tiap kesukaran ada disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan): Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran ada disertai kemudahan."

Seperti yang ditunjukkan Allah kepada Nabi-Nya yang tercinta, bahawa Allah tidak akan membiarkan hamba-Nya yang ikhlas dan benar berjuang keseorangan. Ia akan dibantu Allah. Ia akan diberikan kegembiraan oleh Allah. Bahkan Allah akan mengangkat darjat dan kedudukannya.


3. Menjauhi perkara mungkar dan maksiat. Semasa peristiwa Israk dan Mikraj, baginda Rasulullah telah ditunjukkan keadaan neraka dan ahlinya.


Baginda melihat berbagai bentuk penyeksaan dahsyat yang sedang dialami oleh berbagai kaum sebagai akibat daripada segala macam bentuk kejahatan yang pernah mereka lakukan.


Misalnya Nabi diperlihatkan kepada satu kaum yang memecahkan sendiri kepala mereka dengan batu besar, setelah pecah ia kembali seperti sediakala.


Nabi juga melihat seksaan bagi pemakan riba, penzina, pengumpat, yang suka memfitnah dan lain-lain lagi.


Ini semua memberi iktibar kepada kita yang hidup di dunia ini agar tidak melakukan segala perbuatan yang mungkar dan tercela, tidak kira apa bentuknya sekalipun kerana seksaan yang disediakan Allah amatlah dahsyat.


4. Perintah solat merupakan suatu bentuk ibadah yang begitu penting di dalam kehidupan seseorang hamba Allah. Kewajipan solat begitu istimewa dibandingkan dengan kewajipan yang lain seperti puasa, zakat dan haji.


Ini kerana kewajipan solat diterima langsung oleh Nabi daripada Allah sewaktu bertemu Allah pada malam Mikraj tanpa perantaraan malaikat Jibril. Ini menunjukkan keistimewaan dan kelebihan solat berbanding ibadah-ibadah lain, dan solat juga amalan yang paling awal dihisab di akhirat kelak.


Dengan solat, kita berpeluang untuk berhubung langsung dengan Allah, sebagaimana yang dijelaskan di dalam al-Quran yang bermaksud: Sesungguhnnya Akulah Allah tidak ada Tuhan selain Ku, maka sembahlah Aku dan dirikanlah solat untuk mengingati Ku.


Oleh yang demikian, mestilah kita mendatangi ibadah ini dengan penuh perhatian dan khusyuk, bermula daripada mengambil wuduk lagi, dan bukan menunaikannya dengan sambil lewa dan hanya kerana ia wajib dilaksanakan.


5. Mengakui dan tunduk kepada kebesaran Allah sebagai pencipta agar keyakinan terhadap kekuasaan-Nya benar-benar bersemi di jiwa manusia. Ini kerana sewaktu Israk dan Mikraj, Allah memperlihatkan kepada Nabi keagungan dan berbagai keajaiban ciptaan-Nya seperti Sidratul Muntaha, syurga dan lain-lain lagi.


6. Anjuran memberi salam. Di sepanjang perjalanan Mikraj, Nabi tidak pernah lupa mengucapkan salam kepada rasul-rasul lain yang baginda temui.


Ini mengingatkan kita kepada keutamaan memberi salam dan galakan supaya selalu memberi salam kepada saudara sesama Islam untuk mengeratkan hubungan silaturahim di antara kita.


7. Mengingatkan usia dunia yang sudah tua yang mana dibayangkan melalui pertemuan Nabi dengan seorang nenek tua. Ia memberi gambaran kepada kita yang umur dunia sudah lanjut dan hampir kepada penghujungnya.


Hakikat ini memperingatkan setiap Muslim bahawa segala kemewahan dan kesenangan dunia hanyalah bersifat sementara.


Hanya ketakwaan dan amal soleh menjadi bekalan untuk ke akhirat.


8. Berwaspada dengan rayuan dan tipu daya iblis, kerana sewaktu Israk, pada awal perjalanan lagi jin Afrit telah mengejar Baginda dengan membawa obor untuk menghalang perjalanan Nabi dan berusaha memperdayakan baginda.


Peristiwa ini memperingatkan kita bahawa syaitan dan iblis tidak akan jemu-jemu untuk menyesat dan memperdayakan umat manusia dengan pelbagai cara. Peristiwa Israk dan Mikraj merupakan mukjizat teragung yang dianugerahkan khas oleh Allah kepada Rasulullah.


Justeru pelbagai pengajaran di dalamnya hendaklah direnung dan dihayati supaya ia dapat membantu memberikan nilai tambah dalam kehidupan, baik dalam usaha meningkatkan ketakwaan dan prestasi ibadah kepada Allah mahupun untuk peningkatan ilmu pengetahuan, terutama dalam menghadapi cabaran era globalisasi masa kini.


- Oleh A. MOHD. RAHIMIN SIHAT

~* Israk Mikraj menjana jiwa besar umat *~


Umat Islam ketika ini dihimpit dengan seribu satu keperitan dan kesengsaraan. Tragedi penyembelihan, pengusiran dan penyeksaan ke atas umat Islam di pelbagai rantau dunia ketika ini memang amat menyayatkan. Ditambah pula dengan pelbagai label murahan yang ditempelkan ke atas umat Islam bagaikan maruah dan hak-hak asasi umat sudah tidak berharga hingga mudah diperkosa sewenang-wenangnya.


Namun segala malapetaka yang melanda bukan sekadar untuk dirintih dan ditangisi. Lebih malang lagi sekiranya pelbagai bentuk keperitan dan kecelakaan yang menimpa menjadikan umat berjiwa kerdil, takut berdepan risiko, terbelenggu perasaan gundah-gulana dan kian mengakar rasa rendah diri.


Dalam konteks inilah, amat wajar sekali umat Islam menelusuri sejenak peristiwa Israk dan Mikraj yang disambut setiap tahun pada 27 Rejab. Sememangnya peristiwa yang berlaku pada tahun ke-11 kerasulan nabi itu mempunyai timbunan khazanah yang penuh dengan pengajaran bernilai untuk ditelaah oleh generasi pelanjut perjuangan Islam ketika ini.


Salah satu pengajaran besar yang boleh dirungkaikan melalui peristiwa Israk dan Mikraj ialah mengenai pembentukan generasi berjiwa besar. Umat yang berjiwa besar adalah umat yang kental daya juangnya, kaya dengan cita-cita dan tidak pernah mengaku kalah pada sebarang bentuk ujian yang melanda. Generasi yang terbina di atas keimanan dan ketakwaan tidak mudah kecewa dengan apa jua onak duri kehidupan.


Sebarang musibah dilalui dengan sabar berserta keyakinan bahawa setiap ujian adalah satu rahmat Allah untuk mengangkat martabat keinsanan umat. Keyakinan utuh ini didasarkan kepada firman Allah:


"Adakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan sahaja untuk mengatakan, "Kami telah beriman" sedang mereka belum lagi diuji. Sessungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka. Maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan yang berdusta."

[Surah Al-Angkabut: Ayat 2-3]

Begitulah juga yang dimanifestasikan melalui pengalaman Nabi s.a.w. yang dimuliakan Allah dengan peristiwa Israk iaitu perjalanan pada waktu malam ke Baitulmaqdis di palestin dan dimikrajkan atau dinaikkan ke beberapa tingkatan langit sebelum pulang ke Mekah pada malam yang sama.


Ia berlaku ketika nabi berhadapan dengan musibah dan ujian getir dalam sejarah awal kerasulan baginda iaitu kehilangan dua orang paling dicintainya, Siti Khadijah dan bapa saudaranya Abu Talib yang merupakan sumber inspirasi penting dalam perjuangan baginda menyebar Islam. Bahkan peristiwa diusir dan diseksa masyarakat Ta'if sejurus selepas itu turut menambah sengsara perjuangan Rasulullah SAW.


Walau bagaimanapun indoktrinasi tauhid berasaskan keimanan dan ketakwaan seutuhnya kepada Allah telah membina keperibadian Nabi s.a.w. sebagai manusia berjiwa besar yang tidak mudah kecewa mahupun tergugah oleh pelbagai musibah yang menimpa. Demikianlah yang diisyaratkan Allah dalam al-Quran:


"Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya di sisi Allah) kerana kamu orang yang beriman."

[Surah Ali Imran: Ayat 139]

Umat yang terbangun di atas doktrin ketakwaan, keimanan dan keilmuan yang kental seharusnya terbina jiwa besar sebagaimana yang diteladankan oleh Rasulullah SAW. Umat Islam yang telah menjalani doktrinasi tauhid seharusnya telah bebas daripada kongkongan jiwa hamba yang kerdil. Mentauhidkan Tuhan bermakna secara sedar ia telah menolak pengabdian kepada sesiapa selain Allah.


Dinamika tauhid inilah juga yang telah menghakis jiwa kerdil generasi awal Islam seperti Bilal bin Rabah, lalu tampil mendadak sebagai manusia baru berjiwa besar dan merdeka. Generasi seperti ini sanggup menghadapi keperitan cemeti seksaan dan dugaan getir kehidupan demi mempertahankan keyakinan terhadap tauhid yang telah mengangkat martabat keinsanannya.


Begitulah sikap dan peribadi manusia berjiwa besar. Ancaman, hambatan mahupun kekangan sentiasa ditempuh dengan tenang dan penuh kesabaran. Keyakinan kepada idealisme perjuangan tidak mudah tergugah malah terus subur memugar dalam jiwa.


Keimanan dan ketakwaan Allah juga menumbuhkan kepercayaan bahawa setiap kesukaran pasti di hujungnya ada kesenangan kerana Allahlah yang Maha Berkuasa ke atas sesuatu. Keyakinan ini bersandarkan janji Allah yang terungkap dalam ayat ‘seribu dinar’ yang begitu popular tergantung di dinding-dinding rumah masyarakat Melayu kini:


"Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan ke luar (kepada kesukaran yang melanda). Dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka."

[Surah At-Thalaq: Ayat 2]

Kualiti jiwa besar inilah yang harus disemangati dan dihayati dalam keriuhan sorak-sorai sambutan Israk dan Mikraj kini. Selagi umat tidak mampu meleburkan unsur-unsur jiwa kerdil yang masih tersisa, selagi itulah mereka tidak akan berupaya mencipta kecemerlangan. Selagi umat masih terbelenggu jiwa kerdil yang kian menebal, selagi itulah mereka berterusan dirundung kekecewaan tanpa pembelaan.


Sesungguhnya tanpa mempunyai jiwa besar, sesuatu bangsa tidak akan mampu mencipta kegemilangan dalam sejarahnya. Malah impian untuk menjadi negara yang terbilang dan gemilang akan selama-lamanya tinggal impian andainya tidak dimulakan dengan usaha membina kualiti generasi, termasuk kualiti jiwa besar.


- Oleh: DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI

~* Makna tersirat Israk dan Mikraj *~


PERISTIWA Israk dan Mikraj (perjalanan Rasulullah s.a.w. dari Masjidilharam menuju Masjidilaqsa, kemudian mikraj ke Sidratul Muntaha) yang diabadikan di dalam al-Quran merupakan satu proses pengukuhan dan penyucian spiritual Rasulullah pada masa lalu, sekali gus menjadi ‘peristiwa agung’ yang mengandungi makna yang besar untuk dihayati oleh umat baginda pada masa kini.


Meskipun terdapat jurang perbezaan pendapat yang agak luas mengenai sejarah peristiwa Israk dan Mikraj, terutama yang berkaitan dengan ketepatan hari dan bulan serta tahun terjadinya peristiwa agung itu, namun dunia Islam keseluruhannya memperingati tarikh 26 Rejab (malam 27 Rejab) setiap tahun sebagai tarikh penuh bermakna.


Banyaknya pendapat yang membahaskan perihal Israk dan Mikraj ini telah mencipta ruang polemik tersendiri dalam periwayatan ‘perjalanan agung’ tersebut. Di antaranya yang berkaitan dengan hakikat dan latar belakang Israk dan Mikraj, perjalanan fizikal dan roh Rasulullah dalam keadaan jaga, buraq yang dinaiki Nabi pertemuan Rasulullah dengan para nabi, misteri pintu-pintu langit, rahsia Sidratul Muntaha, perintah solat, dan hikmah-hikmah besar Israk Mikraj.


Sayyid Qutub dalam kitabnya yang terkenal, Fi Zhilal al-Quran menyatakan,


“Perjalanan dari Masjidilharam ke Masjidilaqsa adalah perjalanan yang murni pilihan daripada Zat Yang Maha Kasih dan Maha Lembut, yang menghubungkan akar kesejarahan agama-agama besar dari zaman Nabi Ibrahim dan Ismail hingga Nabi Muhammad. Demikian pula, perjalanan agung ini menghubungkan akar sejarah tempat-tempat suci bagi agama tauhid (agama-agama monoteisme) yang besar sepanjang masa. Perjalanan ini adalah untuk menberitahu seluruh manusia bahawa Muhammad adalah Nabi dan Rasul terakhir yang menjadi pewaris agama-agama tauhid terdahulu. Demikian pula dengan Israk Mikraj tersebut, menjadikan Muhammad sebagai penutup seluruh Nabi dan rasul-Nya. Israk Mikraj adalah perjalanan yang menembus dimensi ruang dan waktu, serta memiliki makna yang lebih luas dan mendalam.”

Hanya dalam satu malam, Allah SWT ‘mencipta perjalanan’ bagi Rasulullah untuk melihat sebahagian tanda-tanda kebesaran-


Nya, mulai dari proses penciptaan alam semesta hingga ditetapkan-Nya perintah menunaikan solat. Berjuta misteri dan keajaiban menyelubungi perjalanan suci yang dilakukan dengan jasad dan roh Rasulullah dalam keadaan jaga itu (bukan mimpi).


Banyak berlaku perdebatan yang terus berlanjutan, antaranya: apakah perjalanan Israk Mikraj itu dengan roh sahaja atau dengan roh dan jasad? Hampir majoriti ulama mengatakan ia terjadi dengan jasad dan roh. Pandangan yang mengatakan hanya dengan roh tidak begitu popular


Sebenarnya, peristiwa Israk dan Mikraj hanya disebut secara umum dan sekilas saja di dalam al-Quran. Rasulullah tidak banyak meninggalkan hadis yang berbicara tentang perjalanan agung itu. Bagaimanapun, kenyataan yang telah terjadi sekarang ini menunjukkan bahawa hadis yang hanya sedikit itu telah berubah menjadi banyak, bahkan melahirkan tafsir-tafsir baru.


Sejarah membuktikan banyak kitab yang membahaskan tentang perjalanan kenabian dan menunjukkan sedikitnya hadis yang membicarakan perihal Israk Mikraj.


Setelah itu lahir banyak karya atau tulisan yang membahaskan Israk dan Mikraj disertai dengan penambahan hadis-hadis yang dari segi autentiknya tidak dapat dipertanggungjawabkan. Dengan demikian, maka lahirlah pula pemikiran dan tafsiran yang menyatakan bahawa peristiwa Israk dan Mikraj itu tidak hanya berlaku sekali tetapi ia berlaku beberapa kali, sekali dengan jisim (tubuh) baginda Rasulullah selebihnya dengan roh yang suci.


Dalam hal ini perlu ditegaskan bahawa peristiwa Israk dan Mikraj memerlukan kajian yang mendalam dan usaha yang optimum untuk meneliti hadis-hadis palsu yang dikaitkan dengan perjalanan agung Rasulullah tersebut. Ini penting untuk generasi yang akan datang agar dapat memahami nilai-nilai Islam yang benar dan fakta yang betul, bukan dongengan atau palsu semata.


Apakah sebenarnya makna-makna tersirat yang dapat dikutip dan seterusnya dihayati daripada peristiwa Israk dan Mikraj itu? Kenapa harus Israk dan Mikraj dan bukan mukjizat lain yang ditunjukkan oleh Allah kepada Rasulullah? Dan yang lebih penting ialah untuk melihat apakah kaitan peristiwa ini dengan keadaan yang menyelimuti diri Rasulullah ketika peristiwa itu


Realiti sejarah membuktikan bahawa tiada seorang pun daripada kalangan orang-orang musyrik dan kafir yang percaya akan kejadian Israk dan Mikraj ini. Para ulama merumuskan bahawa sebab dan hikmah daripada Israk dan Mikraj adalah untuk menghibur diri Rasulullah yang ketika itu dilanda kesedihan kerana kematian bapa saudara yang tersayang, Abu Talib serta isteri kesayangan baginda, Khadijah, juga di samping penentangan masyarakat Taif terhadap usaha dakwah baginda yang hampir-hampir meragut nyawa baginda.


Ini bermakna hikmah peristiwa Israk dan Mikraj itu adalah khusus bagi diri peribadi Rasulullah dan dengan perjalanan ini diharapkan dapat mengubati atau menghibur hati yang luka itu.


Sheikh Thanthawi Ahmad Umar menyatakan dalam majalah Mimbar aI-Islam,


“Ketika Rasulullah kembali dari perjalanan agung tersebut, baginda kelihatan begitu ceria, bersemangat dan bahagia. Kedukaan, kepedihan benar- benar telah lenyap dalam diri Rasulullah.”

Namun begitu, ada juga yang mengatakan peristiwa tersebut tiada kaitan dengan ‘tahun kesedihan’ Rasulullah kerana sesungguhnya peristiwa itu terjadi semata-mata atas kehendak Allah sesuai dengan kekuasaan dan kudrat-Nya. Allah memperjalankan Muhammad sesuai dengan kehendak-Nya untuk memperlihatkan sebahagian tanda-tanda kekuasaan-Nya kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki. Malah sesetengah ulama mengatakan perjalanan agung itu sama sekali tidak ada kaitan dengan hiburan dan pencarian kesenangan dan kebahagiaan luaran diri Rasulullah, tetapi terkandung di dalamnya perintah untuk menggunakan akal fikiran dan mata hati untuk mencari hikmah lebih besar yang terdapat di dalam peristiwa agung itu.


Dalam hal ini, Syeikh Muhammad al-Ghazali menulis bahawa hikmah Israk dan Mikraj ini adalah seperti yang berikut:


“Allah ‘Azza wa Jalla memberi kesempatan kepada Rasulullah untuk melihat tanda-tanda dan kejadian yang amat luar biasa, yang terjadi di atas kekuasaan Allah, agar lahir keyakinan dan penyerahan diri kepada Allah dalam kalbu, dalam menghadapi tekanan orang- orang kafir pada waktu itu.”

Al-Ghazali menjelaskan lagi bahawa kita semua telah memahami bahawa hasil daripada Israk dan Mikraj telah memperlihatkan sebahagian tanda-tanda kekuasaan Allah yang teragung, meskipun hal itu terjadi dua belas tahun setelah pengangkatan (penobatan) Muhammad bin Abdullah sebagai Nabi dan Rasulullah SAW.


Peristiwa Israk dan Mikraj merupakan suatu ‘perjalanan agung’ yang mengandungi makna tersirat yang perlu digali dan dihayati bagi menumbuhkan rasa takwa dan keimanan terhadap Allah menerusi sebahagian tanda-tanda kebesaran-Nya yang telah diperlihatkan kepada Junjungan Besar Muhammad. Oleh hal yang demikian itu, sebarang percanggahan pendapat mengenai peristiwa tersebut harus dilihat dari sudut keimanan dan ketakwaan, bukan terus-menerus memperdebatkannya dengan menggunakan logik akal semata-mata kerana ilmu manusia tidak akan dapat menyaingi ilmu Allah. Dia Maha Agung dan Maha Mengetahui akan setiap apa yang dicipta dan dikehendaki-Nya.


- Oleh MOHD SHAUKI BIN ABD MAJID ialah Pengurus Penyelidikan,Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (yadim).

Wednesday, July 23, 2008

~* Tajdid Iman: Ganjaran pahala sempurna bagi ummah rahsiakan amal ibadat *~


"MESTI IKHLAS: Apabila amal dilakukan tidak boleh disembunyikan seperti sembahyang berjemaah seseorang mestilah mengawasi gerak hatinya supaya tetap membulatkan niat hanya kerana Allah."

Umat ikhlas sentiasa memelihara kualiti amalan sama ada dilihat atau tidak


IKHLAS tidak akan berada di hati orang yang gilakan pujian. Boleh jadi jasanya dikenang manusia tetapi di sisi Allah ia tiada bernilai walau seberat debu. Allah berfirman yang bermaksud:


"Dan Kami hadapkan segala amal yang mereka kerjakan, lalu Kami jadikan amal itu umpama debu yang berterbangan, tiada bernilai." (Surah al-Furqan, ayat 23)


Sesungguhnya ikhlas adalah rahsia antara Allah dan hamba-Nya. Tidak ada seorang pun yang mengetahui rahsia itu walaupun dia adalah malaikat pencatat amalan. Pengetahuan lupus atau tidaknya amalan manusia hanya berada pada ilmu Allah.


Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:


Allah berfirman, "Aku adalah yang paling tidak memerlukan sekutu. Barang siapa yang beramal sedangkan Aku disekutukan dengan selain-Ku nescaya Aku tinggalkan dia dengan sekutunya." (Hadis riwayat Imam Muslim)


Apabila amal yang dilakukan tidak boleh disembunyikan atas sebab tertentu seperti sembahyang berjemaah, haji atau sedekah yang diisytiharkan untuk memberi teladan kepada masyarakat supaya mengikuti perbuatan baik itu, maka seseorang mestilah mengawasi gerak hatinya supaya tetap membulatkan niat hanya kerana Allah.


Tidak salah beramal di hadapan manusia kerana setiap amal mesti diberi ganjaran yang sesuai sehingga 700 kali ganda balasannya. Tetapi jika mahu mendapatkan pahala yang sempurna tanpa dikurangkan sedikit pun seseorang hendaklah merahsiakan amalnya itu daripada pandangan manusia.


"Rasulullah SAW menyatakan bahawa di akhirat nanti ada tujuh golongan manusia yang akan dinaungi rahmat Allah, dua daripadanya adalah orang yang memberi sedekah dengan tangan kanan sedangkan tangan kirinya tidak mengetahui, dan orang yang bersendirian mengingati Allah (berzikir) sehingga menitislah air matanya." (Hadis riwayat Al-Bukhari, Muslim, Al-Nasai)


Sesiapa yang mahukan pujian dari yang Maha Terpuji hendaklah dia menyediakan amal perbuatannya semata-mata kerana mahu berkhidmat kepada yang Maha Terpuji. Hartanya, jiwa raganya, hidup dan mati diserahkan seluruhnya kerana mengharap reda Ilahi.


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:


"Sesungguhnya Allah mencintai hamba yang bertakwa, yang kaya dan yang suka menyembunyikan amalnya." (Hadis riwayat Imam Muslim)


Kisah teladan sahabat Rasulullah SAW, tabiin dan salafus saleh adalah yang terbaik untuk diikuti dan diberi keutamaan bagi mereka yang mahu menyembunyikan amal soleh.


Imam Muslim melaporkan dalam Sahihnya daripada Abu Hurairah. Ketika Nabi SAW berada dalam suatu peperangan yang Allah memberikan kemenangan dan harta rampasan kepada Baginda SAW.


Pada saat itu baginda bertanya kepada sahabatnya: "Apakah kalian kehilangan seseorang? Mereka menjawab: Ya, iaitu si dia, si dia dan si dia (mereka menyebut nama yang hilang).


Baginda SAW bersabda lagi: "Apakah kalian kehilangan seseorang? Mereka menjawab: Ya, si dia, si dia dan si dia. Sekali lagi Baginda SAW bersabda: Apakah kamu kehilangan seseorang? Mereka menjawab: Tidak ada lagi, ya Rasulullah. Baginda SAW bersabda: Tetapi aku kehilangan Julaibib. Carilah dia di antara mayat yang ada."


Mereka pun mencarinya dan mendapatkannya di antara tujuh orang mayat musuh yang berhasil dibunuhnya. Rasulullah SAW mendatangi mayatnya dan bersabda: "Dia membunuh tujuh orang musuh dan mereka pun membunuhnya. Lelaki ini adalah sebahagian daripada aku dan aku sebahagian daripadanya. Lelaki ini adalah sebahagian daripada aku dan aku sebahagian daripadanya."


Abu Hurairah berkata, bahawa Nabi SAW meletakkan jasadnya di atas kedua lengan Baginda sementara lengan lelaki itu hanya tinggal satu. Lalu Baginda SAW menggali kubur, meletakkan jasadnya di dalam kubur dan tidak memandikannya.


Julaibib adalah seorang insan yang tidak dikenali antara sahabat Rasulullah SAW. Selepas mendapat syahid, namanya begitu harum hingga menjadi sebutan yang indah di mata sejarah, melalui lisan Nabi SAW beliau dikenang walaupun manusia tidak pernah mengenalinya sebelum itu.


Kisah kedua pula menceritakan mengenai Umar bin al-Khattab yang mencari Uwais bin 'Amir al-Qarny. Apabila bertemu Uwais, Umar berkata,


"Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Akan datang kepada kalian seorang yang bernama Uwais bin 'Amir bersama rombongan dari Yaman, Murad dan Qiran. Dia terkena penyakit kulit dan sembuh kecuali tinggal di satu tempat sebesar sekeping dirham. Dia mempunyai seorang ibu dan sangat berbakti kepada ibunya. Jika dia bersumpah atas nama Allah, tentu Allah akan mengabulkan untuknya. Jika kamu mampu supaya dia meminta ampunan untuk kamu maka lakukanlah." (Hadis riwayat Imam Muslim)


Lalu Umar meminta Uwais berdoa memohon keampunan Allah untuknya dan Uwais melakukan permintaan Umar. Apabila Umar ingin memberi wang belanja dan sehelai kain, Uwais berkata:


"Sesungguhnya aku sudah mendapatkan empat dirham dari pekerjaanku mengembala unta ini. Apakah kamu melihat aku meminta tambahan? Wahai Amirul Mukminin, sesungguhnya di hadapanku dan di hadapanmu ada beban yang berat, yang tidak dapat dipikul kecuali oleh orang yang menganggapnya ringan, kerana itu buatlah ia ringan, semoga Allah merahmatimu."


Penampilan luaran kadang-kadang boleh menipu, oleh itu Allah hanya melihat yang berada di dalam hati dan diamal dengan nyata. Tanda ikhlas itu jika dilihat orang atau tidak, dia tetap melakukan amal dengan berkualiti kerana Allah.


- Oleh Dr Juanda Jaya (Penulis ialah pendakwah dari Sarawak dan boleh dihubungi melalui juanda72@hotmail.com)

~* Keajaiban Israk Mikraj perlu dirungkai *~


KINI, kita berada di penghujung bulan Rejab. Setiap kali kita dikunjungi bulan Rejab, kita pasti merasakan kelainan dan keistimewaan. Keistimewaan bulan ini kerana berlakunya satu peristiwa yang begitu besar dan agung dalam sejarah Islam.


Peristiwa yang dialami oleh Rasulullah SAW menunjukkan kekayaan dan kekuasaan Allah. Itulah peristiwa Al-Israk dan Al-Mikraj.


Secara ringkasnya, Israk dan Mikraj merupakan satu perjalanan kilat Rasulullah SAW pada sebahagian malam atas kekuasaan dan kehendak Allah dari Masjidilharam ke Masjidil Aqsa, kemudian naik ke langit sampai ke Sidratulmuntaha, bahkan ke Mustawa dan sampai di bawah Arasy Allah dengan menembusi tujuh lapisan langit, lalu kembali semula ke Mekah pada malam yang sama.


Peristiwa Israk dan Mikraj berlaku mengikut beberapa riwayat pada malam 27 Rejab tahun kesebelas kerasulan Baginda dan berlaku setahun sebelum hijrahnya Rasulullah SAW ke kota Madinah.


Peristiwa ini bersabit dengan firman Allah di dalam surah Al-Isra’ ayat yang pertama maksudnya:


"Maha suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjidil Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui."

Pada paginya, Rasulullah SAW termenung, memikirkan bagaimanakah baginda dapat memberitahu umat manusia tentang peristiwa tersebut, kerana ia adalah sesuatu yang di luar kemampuan manusia. Sedangkan perjalanan ke Baitulmaqdis sahaja mengambil masa hampir sebulan, inikan pula dalam satu malam.


Begitu pun Rasulullah SAW menyahut cabaran Abu Jalal agar dikumpulkan manusia untuk memberitahu mereka tentang peristiwa perjalanan Rasulullah SAW ke Masjidil Aqsa. Apabila manusia telah berkumpul, dan Rasulullah SAW menceritakan mereka tentang perjalanan baginda ke Masjidil Aqsa dalam satu malam, ramai daripada mereka yang tidak percaya.


Malah, mereka yang lemah imannya juga mendustakan Rasulullah SAW. Namun, dalam masa yang sama, mereka yang sudah kuat imannya, bertambah kukuh lagi keimanan, seperti Sayidina Abu Bakar As-Siddiq r.a.


Keberanian Rasulullah SAW memaklumkan kepada umat manusia tentang perjalanan Baginda tersebut, memberikan iktibar kepada umat Islam masa kini supaya perlu bersabar dan terus menunjukkan akhlak yang baik, walaupun ditentang oleh mereka yang tidak beriman dan tidak memahami Islam.


Sudah menjadi lumrah, mereka yang tidak memahami Islam akan mempunyai pandangan serong dan silap faham terhadap Islam. Tetapi, contohi Rasulullah SAW. Walaupun baginda diperli, dikeji dan didustai kerana menyampaikan berita Israk, Rasulullah SAW tetap bersabar dan menunjukkan akhlak yang baik.


Maka, sebagai orang Islam yang tinggal di negara majmuk seperti Malaysia ini, ada kalanya kita menghadapi silap faham daripada mereka yang bukan Islam. Kita perlu tunjukkan akhlak yang baik serta bersabar dan terangkan kepada mereka tentang ajaran Islam yang sebenar, yang menggalakkan keharmonian dan juga kemakmuran.


Kesejahteraan


Kita juga perlu tunjukkan bahawa kewujudan kita di negara ini, di tempat kerja, di sekolah dan di rumah, membawa kesejahteraan bagi orang di sekeliling kita. Sesungguhnya, orang Islam yang baik adalah juga rakyat, pekerja, majikan, pelajar dan ahli keluarga yang baik.


Di dalam perjalanan yang begitu istimewa ini, terlalu banyak yang dilihat oleh Baginda Rasulullah SAW dan begitu banyak pelajaran yang dapat kita peroleh.


Antara pelajaran yang harus kita renungkan bersama adalah manusia harus sentiasa memerhatikan hubungannya dengan Allah dan sentiasa menilai kembali dan berusaha memperelokkan hubungan tersebut.


Hubungan dengan Allah ini mestilah wujud tatkala ditimpa kesusahan dan ujian mahupun di kala mendapat kesenangan dan kemudahan. Ini kerana hanya Allah sahajalah yang berkuasa dan mampu memberikan pertolongan, menghilangkan segala kesedihan, dukacita dan kesusahan kepada diri kita.


Menyingkap kembali peristiwa Israk dan Mikraj ini, Nabi telah ditimpa beberapa kesulitan sebelum terjadi Israk dan Mikraj. Dalam keadaan demikian, datang perintah untuk Israk dan Mikraj, iaitu untuk berhadapan dengan Allah.


Ini memberi pengajaran kepada kita agar mendekatkan diri kepada Allah sewaktu didatangi musibah dan pelbagai permasalahan dalam kehidupan.


Caranya ialah kita sentiasa beristiqamah, terus-menerus melaksanakan semua perintah-Nya dan menjauhi semua larangan-Nya dan bukan menjadi orang taat hanya pada waktu susah dan melupakan Allah pada waktu senang.


Kehidupan kita yang ingin berjuang untuk kebaikan pasti akan dipenuhi dengan cabaran dan dugaan. Ia tidak akan sentiasa mudah tetapi kita akan berhadapan dengan kesusahan terlebih dahulu.


Namun, semua yang berlaku itu demi untuk mengukur dan menilai keimanan kita di dalam hati. Adakah kita sanggup menghadapinya dengan penuh ketabahan dan kesabaran atau kita tergolong dalam golongan yang mudah berputus harapan? Firman Allah di dalam surah Al-Insyirah ayat 5 dan 6.


"Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu bahawa) Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran ada disertai kemudahan, (sekali lagi ditegaskan), sesungguhnya tiap-tiap kesukaran ada disertai kemudahan."

Seperti yang ditunjukkan Allah kepada Nabi-Nya yang tercinta, bahawa Allah tidak akan membiarkan hamba-Nya yang ikhlas dan benar berjuang keseorangan. Ia akan dibantu Allah. Ia akan diberikan kegembiraan oleh Allah. Bahkan Allah akan mengangkat darjat dan kedudukannya.


Menjauhi perkara mungkar dan maksiat. Semasa peristiwa Israk dan Mikraj, Baginda Rasulullah SAW telah ditunjukkan keadaan neraka dan ahlinya.


Baginda melihat pelbagai bentuk penyeksaan dahsyat yang sedang dialami oleh berbagai kaum akibat daripada segala macam bentuk kejahatan yang pernah mereka lakukan.


Misalnya Nabi SAW diperlihatkan kepada satu kaum yang memecahkan sendiri kepala mereka dengan batu besar, setelah pecah ia kembali seperti sedia kala.


Nabi, juga melihat seksaan bagi pemakan riba, penzina, pengumpat, yang suka memfitnah dan lain-lain lagi. Ini semua memberi iktibar kepada kita yang hidup di dunia ini, agar tidak melakukan segala perbuatan yang mungkar dan tercela, tidak kira apa bentuknya sekalipun kerana seksaan yang disediakan Allah amatlah dahsyat.


Perintah solat merupakan suatu bentuk ibadah yang begitu penting di dalam kehidupan seseorang hamba Allah. Kewajipan solat begitu istimewa dibandingkan dengan kewajipan yang lain seperti puasa, zakat dan haji. Ini kerana kewajipan solat diterima langsung oleh Nabi SAW daripada Allah sewaktu bertemu Allah pada malam Mikraj tanpa perantaraan malaikat Jibrail.


Ini menunjukkan keistimewaan dan kelebihan solat berbanding ibadah-ibadah lain, dan solat juga amalan yang paling awal dihisab di akhirat kelak.


Keagungan


Mengakui dan tunduk kepada kebesaran Allah sebagai pencipta agar keyakinan terhadap kekuasaan-Nya benar-benar bersemi di jiwa manusia. Ini kerana sewaktu Israk Mikraj, Allah memperlihatkan kepada Nabi keagungan dan berbagai keajaiban ciptaan-Nya seperti Sidratulmuntaha, syurga dan lain-lain lagi.


Anjuran memberi salam. Di sepanjang perjalanan Mikraj, Nabi SAW tidak pernah lupa mengucapkan salam kepada rasul-rasul lain yang Baginda temui. Ini mengingatkan kita kepada keutamaan memberi salam dan galakan supaya selalu memberi salam kepada saudara sesama Islam untuk mengeratkan hubungan silaturahim di antara kita.


Mengingatkan usia dunia yang sudah tua yang mana dibayangkan melalui pertemuan Nabi dengan seorang nenek tua. Ia memberi gambaran kepada kita yang umur dunia sudah lanjut dan hampir kepada penghujungnya.


Hakikat ini memperingatkan setiap orang Islam bahawa segala kemewahan dan kesenangan dunia hanyalah bersifat sementara. Hanya ketakwaan dan amal soleh menjadi bekalan untuk ke akhirat.


Berwaspada dengan rayuan dan tipu daya iblis, di mana sewaktu Israk, pada awal perjalanan lagi jin afrit telah mengejar Baginda dengan membawa obor untuk menghalang perjalanan Nabi dan berusaha memperdayakan Baginda. Peristiwa ini memperingatkan kita bahawa syaitan dan iblis tidak akan jemu-jemu untuk menyesat dan memperdayakan umat manusia dengan pelbagai cara.


Peristiwa Al-Israk dan Al-Mikraj merupakan mukjizat teragung yang dianugerahkan khas oleh Allah kepada Baginda Rasulullah SAW.


Justeru, pelbagai pengajaran di dalamnya hendaklah direnung dan dihayati supaya ia dapat membantu memberikan nilai tambah dalam kehidupan, baik dalam usaha meningkatkan ketakwaan dan prestasi ibadah kepada Allah mahupun untuk peningkatan ilmu pengetahuan, terutama dalam menghadapi cabaran era globalisasi masa kini.


Peristiwa agung itu juga sebenarnya menunjukkan potensi dan kemampuan sebenar umat Baginda Rasulullah SAW. Ia merupakan petanda bahawa kita seharusnya berusaha sedaya upaya untuk mencapai yang terbaik dalam apa sahaja perkara yang kita usahakan.


Kita disuruh meneroka dan mencari ruang-ruang baru dan cara yang inovatif serta kreatif untuk menangani sesuatu cabaran.


Sebagai seorang pendidik dan guru, apakah cara baru di dalam menanam nilai-nilai murni serta membangunkan kemampuan pelajar? Sebagai seorang usahawan, apakah ruang penerokaan dan perniagaan baru serta cara kreatif menghasilkan produk atau khidmat yang berkualiti tinggi? Sebagai seorang pelajar, bagaimana dapat kita meningkatkan prestasi dan apakah jenis pengajian baru yang boleh diambil? Sebagai jemaah masjid, bagaimanakah dapat kita menjadikan masjid kita ini tempat yang lebih menarik bagi semua golongan?


Penerokaan angkasa dan langit yang telah dilalui Baginda Rasulullah SAW di malam Al-Israk dan Al-Mikraj itu mendekatkan Baginda SAW kepada Allah serta menunjukkan kedudukan dan martabat tinggi Baginda sendiri di sisi Allah. Rasulullah SAW mendapat kemuliaan tersebut dengan kesabaran, keimanan dan keyakinan Baginda.


Maka sebagai umat Baginda SAW jika berazam untuk mempertingkatkan diri dan mencari ruang-ruang penerokaan yang baru, tentu sekali kita laksanakan dengan penuh iltizam bagi menunjukkan roh Islam yang sebenar.


Usaha ini akan mendekatkan diri kita kepada Allah sekali gus menunjukkan prestasi dan potensi sebenar umat Nabi SAW.


* Oleh A. MOHD. RAHIMIN SIHAT ialah Penolong Pengurus Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

Siapakah gerangannya?


Siapakah orang yang sibuk?
Orang yang sibuk adalah orang yang tidak mengambil berat akan waktu solatnya seolah-olah ia mempunyai kerajaan seperti kerajaan Nabi Sulaiman a.s

Siapakah orang yang manis senyumanya?
Orang yang mempunyai senyuman yang manis adalah orang yang ditimpa musibah lalu dia kata "Inna lillahi wainna illaihi rajiuun." Lalu sambil berkata, "Ya Rabbi Aku redha dengan ketentuanMu ini", sambil mengukir senyuman.

Siapakah orang yang kaya?
Orang yang kaya adalah orang yang bersyukur dengan apa yang ada dan tidak lupa akan kenikmatan dunia yang sementara ini.

Siapakah orang yang miskin?
Orang yang miskin adalah orang tidak puas dengan nikmat yang ada sentiasa menumpuk-numpukkan harta.

Siapakah orang yang rugi?
Orang yang rugi adalah orang yang sudah sampai usia pertengahan namun masih berat untuk melakukan ibadat dan amal-amal kebaikan.

Siapakah orang yang paling cantik?
Orang yang paling cantik adalah orang yang mempunyai akhlak yang baik.

Siapakah orang yang mempunyai rumah yang paling luas?
Orang yang mempunyai rumah yang paling luas adalah orang yang mati membawa amal-amal kebaikan di mana kuburnya akan diperluaskan saujana mata memandang.

Sunday, July 13, 2008

~* Marwan Khoury ft. Carole Samaha - Ya Rab *~

My favorite song since last year...I have listened to this song maybe more than 100 times but I still love it...Beautiful song with beautiful message & meaning...

Wednesday, July 9, 2008

~* Amalan bulan Rejab - Antara yang palsu dengan tulen *~


BULAN Rejab di antara bulan-bulan yang suci. Dinamakan Rejab bersempena dengan penghormatan terhadapnya pada zaman jahiliah, iaitu tidak melakukan sebarang peperangan di dalam bulan ini.


Telah menjadi amalan kebanyakan umat Islam untuk menghidupkan bulan ini dengan pelbagai amalan. Persoalannya, adakah amalan-amalan tersebut dilakukan dengan ikhlas dan menepati sunah Rasulullah SAW untuk melayakkan amalan tersebut diterima? Menyentuh persoalan ikhlas, kemungkinan semua orang memilikinya, tetapi adakah amalan tersebut bertepatan dengan syariat dan sunah Rasulullah SAW? Justeru, menjadi kewajipan umat Islam untuk menyemak dan memastikan segala amalan yang dilakukannya itu bertepatan dengan syariat dan sama dengan cara yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.


Di antara amalan-amalan yang dilakukan oleh umat Islam dalam bulan Rejab, yang tidak menepati sunah Rasulullah SAW ialah:


1) Menghidupkan malam ke-27 dan dinamakan dengan malam Israk dan Mikraj.


Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa peristiwa Israk dan Mikraj merupakan salah satu peristiwa besar dan penting di dalam sejarah Islam. Ia bukti kebesaran Allah dan kebenaran Nabi Muhamad SAW serta risalah yang dibawa Baginda.


Tersebar luas di kalangan umat Islam bahawa peristiwa agung ini berlaku pada malam 27 Rejab. Maka sebahagian besar umat Islam menyambut dan menghidupkan malam ini dengan amalan-amalan khusus dan mengharapkan fadilat-fadilat tertentu.


Tetapi pendapat ini tidak tepat sebagaimana disebut oleh Syeikh Abdullah bin Abd al-Aziz bin Baz:


" Dan malam ini yang dikatakan berlaku padanya peristiwa Israk Mikraj, tiada satu hadis sahih pun yang menyebut tentang tarikh peristiwa ini secara khusus, dan semua pendapat yang menyebut tentang tarikh berlakunya peristiwa ini secara khusus adalah tidak thabit daripada Rasulullah SAW di sisi ulama hadis, dan kepada Allah jualah diserahkan segala hikmah di sebalik rahsia ini kepada manusia, dan walau sekiranya terdapat hadis sahih yang menjelaskan tentang perkara ini, tetap juga tidak dibenarkan umat Islam menghidupkan malam ini dengan amalan-amalan yang khusus, serta tidak harus untuk menghidupkannya dengan sebarang perayaan kerana Rasulullah SAW dan para sahabat r.a. tidak pernah merayakannya dan tidak melakukan sebarang amalan khusus.

Sekiranya menghidupkan atau merayakan malam ke-27 ini amalan yang disyariatkan, semestinya Nabi SAW akan menunjukkan panduannya sama ada dengan kata-kata atau perbuatannya, dan sekiranya amalan ini pernah dilakukan oleh Baginda SAW, semestinya akan diketahui dan masyhur serta akan disampaikan oleh para sahabat kepada kita. ''


2) Solat Raghaib


Solat ini dilakukan berdasarkan kepada satu hadis maudhuk yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:


" Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku, dan Ramadan bulan umatku, dan tidak ada seorang pun yang berpuasa pada hari Khamis pertama dalam bulan Rejab kemudian melakukan solat antara waktu Maghrib dan `Atamah (waktu sepertiga awal malam), iaitu dilakukan pada malam Jumaat sebanyak dua belas rakaat, dibaca pada setiap rakaat surah al-Fatihah sekali dan surah al-Qadr tiga kali, surah al-Ikhlas sebanyak dua belas kali, diselangi setiap dua rakaat dengan salam, dan apabila telah selesai, ia berselawat ke atasku sebanyak 70 kali, kemudian membaca: `Allahumma shalli `ala Muhammadin Nabiyyil Ummiy wa `ala alihi', kemudian sujud dan membaca: `Subbuhun quddusun rabbu al-Malaikatu wa ar-ruh' sebanyak 70 kali, kemudian ia angkat kepalanya dan membaca: `Rabbighfir warham watajawaj `amma ta'lamu innaka antal `azizu al-a'zham' sebanyak 70 kali, kemudian ia sujud kali kedua dan membaca seperti bacaan pada sujud pertama, kemudian ia mohon kepada Allah segala hajatnya, nescaya akan ditunaikan.

Bersabda Rasulullah SAW lagi: " Dan demi diriku yang di tangan-Nya, tidak ada seorang hamba pun, lelaki mahupun perempuan yang mengerjakan solat ini melainkan akan diampunkan Allah semua dosanya, walau pun seperti buih di lautan dan sebanyak dedaun di pohon, dan ia akan dapat memberi syafaat pada Hari Kiamat untuk 700 orang di kalangan kaum keluarganya. "

[Diriwayatkan oleh Ibn al-Jauzi, di dalam kitabnya al-Maudhu`at, jilid 2, m/s 124-125]


Seterusnya Ibn al-Jauzi menyebut:


" Hadis ini adalah maudhuk (palsu) dan dusta ke atas Rasulullah SAW, di dalamnya terdapat seorang rawi yang bernama Ibn Jahdham yang terkenal dengan dusta, dan aku mendengar guruku, Abd al-Wahab berkata: Para rawinya majhul (tidak dikenali) dan telah disemak tentang peribadi mereka ini di dalam semua kitab tetapi tidak kutemui tentang mereka. ''


Al-Imam as-Syaukani r.a. juga menyebut di dalam kitabnya, al-Fawaid al-Majmu`ah fi al-Ahadith al-Maudhu'ah:


" Hadis ini adalah maudhuk dan perawinya adalah majhul (tidak dikenali), dan solat Raghaib yang masyhur ini telah sepakat para ulamak bahawa ia adalah maudhuk. ''


Terdapat ramai lagi di kalangan ulama yang membincangkan hukum solat Raghaib ini. Kesimpulan yang dapat dibuat daripada pendapat-pendapat mereka semuanya menafikan kewujudan solat ini dan menganggap ia sebagai salah satu bidaah (ibadat yang direka-reka) yang amat ditegah dan tidak boleh mengamalkannya kerana ia tidak thabit daripada Rasulullah SAW mahupun para sahabat serta tabiin.


3) Berpuasa penuh pada bulan Rejab atau sebahagiannya dengan menganggap ia mempunyai fadilat yang khas.


Sesetengah umat Islam akan berpuasa pada bulan ini sepenuhnya atau sebahagiannya, dan mereka menganggap puasa ini mempunyai kelebihan dan fadilat yang khusus. Tetapi malangnya, ganjaran atau kelebihan yang khusus bagi mereka yang melakukan amalan ini tidak bersumberkan al-Quran atau hadis-hadis yang sahih. Bahkan ia diambil daripada hadis-hadis yang maudhuk (palsu), dan yang lebih malang lagi hadis-hadis ini disebarkan oleh golongan-golongan agama atau ustaz-ustaz kepada masyarakat Islam, sama ada di dalam kuliah-kuliah mereka atau melalui penulisan. Di antara hadis-hadis maudhuk yang tersebar luas mengenai fadilat puasa pada bulan Rejab ini ialah:


i. Ibnu al-Jauzi menyebutkan riwayat Muhamad bin Abdul-Baqi daripada Abu Bakr Muhamad bin al-Hassan al-Naqqasy, daripada Abu Said r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:


" Rejab adalah bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadan bulan umatku, maka sesiapa yang berpuasa pada bulan Rejab dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala daripada Allah, maka ia wajib mendapat keredhaan Allah Yang Maha Agung dan ditempatkannya di Syurga Firdaus yang tertinggi.

Sesiapa yang berpuasa dua hari dalam bulan Rejab, maka baginya pahala dua kali ganda, timbangan tiap-tiap ganda bagaikan bukit-bukit di dunia. Sesiapa yang berpuasa tiga hari pada bulan Rejab, maka Allah menjadikan antaranya dan neraka sebuah parit yang panjangnya setahun perjalanan. Sesiapayang berpuasa empat hari dalam bulan Rejab maka ia akan diselamatkan daripada bala, gila, kusta, sopak, fitnah al-Masih ad-Dajjal dan daripada azab kubur.'' Ibnu al-Jauzi menghukum hadis ini sebagai maudhuk.


ii. Ibnu Shahin meriwayatkan daripada Ali daripada Harun bin `Antarah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:


" Sesungguhnya bulan Rejab adalah bulan yang agung, maka sesiapa yang berpuasa sehari dalam bulan Rejab, nescaya Allah menuliskan baginya puasa seribu tahun. Sesiapa yang berpuasa dua hari dalam bulan Rejab, maka Allah menuliskan baginya puasa dua ribu tahun. Sesiapa yang berpuasa tiga hari dalam bulan Rejab, maka Allah menulis baginya puasa tiga ribu tahun. "

Menurut Ibnu `Iraq: " Hadis ini adalah maudhuk tanpa syak lagi. Harun bin `Antarah pula di sisi Ibnu Hibban adalah seorang pereka hadis. "


iii. Diriwayatkan daripada Ali bin Abu Talib r.a bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:


" Aku dibangkitkan sebagai Nabi pada 27 Rejab, maka sesiapa yang berpuasa pada hari itu dan ia berdoa sewaktu berbuka puasa, maka puasa itu menjadi kifarat baginya selama sepuluh tahun." Hadis ini disebut oleh al-Hafidz Ibnu Hajar daripada Kitab Fawaid susunan Abu al-Hassan bin Shakhr dengan sanad yang batil.


Demikianlah di antara contoh sebahagian kecil hadis-hadis palsu yang tersebar di kalangan masyarakat Islam mengenai fadilat puasa pada bulan Rejab ini. Masih terdapat banyak lagi hadis palsu lain mengenai fadilat puasa pada bulan ini yang sesetengah daripada fadilat tersebut tidak dapat diterima oleh akal yang sejahtera, apatah lagi ia bercanggah dengan kaedah dan prinsip asas agama.


Al-Hafiz Ibn Hajar dalam menyentuh perkara ini berkata:


" Tidak terdapat hadis-hadis yang boleh dijadikan hujah yang menyebut tentang fadilat khusus bulan Rejab, atau fadilat berpuasa (sepenuhnya) pada bulan ini, atau berpuasa sebahagiannya, atau menghidupkan malamnya yang khusus. ''

Al-Imam As-Syaukani pula menyebut di dalam kitabnya, al-Fawaid:


``Dalam satu risalahnya Ali bin Ibrahim al-`Athar berkata:


" Apa yang diriwayatkan mengenai keutamaan puasa Rejab semuanya maudhuk dan daif (lemah), tidak mempunyai sumber.''

Selain amalan yang disebutkan ini, terdapat lagi amalan khusus lain yang disebarkan seperti amalan membaca apa yang disebut sebagai `Istighfar Rejab'. Disebutkan di antara fadilatnya ialah sesiapa yang menulis atau menggantung atau membawa atau membaca istighfar Rejab ini, maka ia akan mendapat pahala sebanyak 80,000 pahala para Nabi.


Terdapat juga sesetengah umat Islam yang menunaikan umrah pada bulan ini dengan menganggap ia mempunyai fadilat khusus jika dilakukan pada bulan Rejab.


Demikianlah sebahagian amalan yang biasa dilakukan oleh umat Islam di dalam bulan Rejab ini, yang tidak bersumberkan Rasulullah SAW. Persoalan yang mesti diulang fikirkan lagi adakah amalan-amalan tersebut akan diterima oleh Allah dan mendapat ganjarannya? Atau ia tidak mendapat apa-apa kecuali penat dan letih sahaja? Semoga Allah mengampunkan kesalahan yang dilakukan di atas kejahilan kita. Marilah kita bersama-sama membenteras kegiatan penyebaran hadis-hadis palsu di kalangan umat Islam. Pastikan ibadah yang kita lakukan benar-benar menepati sunah Rasulullah SAW dan diiringi dengan keikhlasan kepada Allah.


- Oleh ABD AL-RAZZAQ ABD MUTHALIB

~* Why Do Muslims Fast In Ramadan? *~

What is Fasting (Sawm)? Sawm (Arabic: صوم) is an Arabic word for fasting regulated by Islamic jurisprudence. In the terminology of Islamic l...