Tuesday, October 28, 2008

~* Kelebihan tempat ibadat haji *~


Ibadat haji merupakan kemuncak peribadatan seorang hamba. Namun, hanya segelintir daripada jutaan umat Islam seluruh dunia yang berkesempatan untuk hadir ke Tanah Suci sebagai tetamu Allah bagi melaksanakan ibadat haji yang merupakan pelengkap rukun Islam. Di samping itu, jemaah haji juga dapat menyaksikan pelbagai keagungan dan kelebihan ciptaan Allah khususnya tempat-tempat yang berkaitan dengan ibadat haji itu sendiri.


Maka tidak hairanlah, apabila saban tahun Tanah Suci Mekah dan Madinah dibanjiri oleh jutaan umat Islam yang datang dari pelbagai pelosok bumi semata-mata ikhlas melaksanakan tuntutan syariat ini dan menziarahi makam Rasulullah SAW.


Sesungguhnya, kehadiran mereka sebagai tetamu Allah merupakan satu simbolik atas kebenaran firman-Nya: Dan serulah manusia (wahai Ibrahim a.s.) untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepadamu (yakni Baitullah).
[Surah al-Hajj: Ayat 27]


Sebagai tempat yang diberkati, Tanah Suci Mekah, al-Masya’ir iaitu Arafah, Muzdalifah dan Mina, Miqat serta Tanah Suci Madinah memiliki fadilat tersendiri yang tidak terdapat di tempat lain. Justeru, ruangan pada kali ini bakal memaparkan kemuliaan dan kelebihannya buat renungan bersama.


Kelebihan Mekah al-Mukarramah:


Mekah adalah paksi bumi dan merupakan penempatan tertua di mana tinggalnya bapa dan ibu sekelian manusia iaitu Nabi Adam a.s. dan isterinya Hawa apabila kedua-duanya dipertemukan semula oleh Allah selepas diturunkan ke bumi dari syurga. Mekah adalah Tanah Haram sebagaimana sabda Rasulullah SAW pada hari Fath Mekah: Sesungguhnya negeri ini telah dijadikan oleh Allah sebagai Tanah Haram pada hari Dia menciptakan langit dan Bumi. Mekah adalah Tanah Haram dengan pengharaman daripada Allah sehingga ke hari kiamat.
[Riwayat Muslim]


Antara kemuliaan dan kelebihan Mekah adalah:


  • Tempat yang paling disayangi Allah.

Ia bertepatan dengan sabda baginda Rasulullah SAW:


“Demi Allah! Sesungguhnya engkau (yakni Mekah) adalah sebaik-baik bumi Allah, dan bumi yang paling disayangi-Nya.”
[Riwayat al-Tirmizi]


Betapa beruntungnya jemaah haji kerana dapat menjejakkan kaki di bumi yang penuh berkat ini sebagai tetamu al-Rahman. Sesuai dengan status yang mulia ini, setiap jemaah hendaklah memastikan hati dan diri sentiasa suci agar tidak terjerumus ke dalam kemungkaran dan kezaliman. Renungilah firman Allah: Dan barang siapa yang berniat melakukan di Mekah kejahatan dengan cara yang zalim, nescaya kami akan merasakannya dengan azab yang tidak terperi sakitnya.
[Surah al-Hajj: Ayat 25]

Rasulullah SAW pula bersabda yang mafhumnya:


"Antara golongan yang amat dibenci oleh Allah ialah orang yang melakukan kejahatan di Mekah."
[Riwayat al-Bukhari]

  • Gandaan pahala mengerjakan amal soleh.

Beribadat di Mekah menjanjikan pahala dan ganjaran yang berlipat ganda. Jemaah haji sewajarnya mengambil peluang keemasan ini dengan menumpukan sepenuh perhatian dan usaha mereka ke arah melakukan amalan solat fardu dan sunat khususnya ketika beribadat di Masjidil Haram, begitu juga amal soleh yang lain seperti bersedekah. Ibadat tersebut akan digandakan pahalanya sebanyak 100,000 kali.


Sabda Rasulullah SAW:


“Solat di al-Masjidil Haram lebih afdal daripada 100 kali solat di masjidku ini (iaitu 100,000 kali di masjid lain)”.
[Riwayat Imam Ahmad]

Al-Hasan al-Basri meriwayatkan:


“Sedekah 1 dirham (di Mekah) lebih baik dari 100,000 dirham, dan setiap kebajikan digandakan sebanyak 100,000 kali”.

  • Kaabah & Masjidil Haram.

Kelebihan Mekah begitu sinonim dengan kewujudan Kaabah sebagai rumah ibadat pertama dan kiblat umat Islam. Ia dibina daripada bongkah batu Gunung Lubnan, Tur Zaita, Tur Sina, Judi dan Hira’.


Firman Allah:


"Sesungguhnya rumah ibadat pertama yang didirikan untuk golongan manusia adalah yang terdapat di Mekah yang penuh keberkatan, sebagai petunjuk kepada sekelian alam. "
[Surah ali-‘Imran: Ayat 96]

Agar tidak dipersiakan kesempatan ini, jemaah haji wajarlah bersegera ke Masjidil Haram agar dapat mengerjakan tawaf Tahiyatul Bait dan tawaf sunat. Tunaikan solat dan duduk di barisan hadapan agar mereka sentiasa dapat melihat Kaabah.


Sabda Rasulullah SAW mafhumnya:


“Allah menghapuskan kesalahan orang yang sedang tawaf serta menulis baginya kebajikan”.
[Riwayat al-Tirmizi]

Sabda Baginda lagi:


“Sesungguhnya Allah menurunkan 120 rahmat pada setiap hari; diturunkan kepada Kaabah 60 rahmat bagi orang yang mengerjakan tawaf, 40 rahmat bagi orang yang solat dan 20 rahmat bagi orang yang melihatnya. "
[Riwayat al-Tabrani]

  • Mustajab Doa

Antara tempat yang mustajab doa ialah di Multazam dan di bawah Mizab. Sambil merapatkan pipi, dada dan dua t apak tangan ke dinding Kaabah, berdoalah dengan penuh keikhlasan dan pengharapan agar segala permintaan diperkenankan Allah SWT.


Tunaikan solat di Hijr Ismail kerana ia juga adalah sebahagian daripada Kaabah. Sekiranya tidak mengganggu jemaah yang sedang tawaf, tunaikan solat dan berdoa di belakang Makam Ibrahim kerana ia juga tempat mustajab doa.


Firman Allah:


"Dan jadikanlah sebahagian dari Makam Ibrahim sebagai tempat solat."
[Surah al-Baqarah: Ayat 125]

  • Hajarul Aswad

Ia adalah kepingan batu yang berasal dari syurga. Jemaah lelaki disunatkan mengucup dan mengusapnya, manakala bagi wanita hukumnya hanyalah harus.


Sabda Rasulullah SAW:


“Demi Allah! Dia akan membangkitkan Hajarul Aswad pada hari kiamat, baginya sepasang mata untuk melihat dan lidah untuk berkata-kata; menjadi saksi kepada yang telah mengusapnya dengan kebenaran”.
[Riwayat al-Tirmizi]

  • Telaga Zam Zam

Menurut riwayat, telaga Zam Zam terhasil dari terjahan kaki Nabi Ismail a.s. atau dari kuisan sayap malaikat Jibrail a.s. Ia merupakan sebaik-baik mata air dan penawar yang terdapat di muka bumi. Minumlah secara beradab dan dengan sepuas-puasnya.


Rasulullah SAW bersabda:


“Air Zam Zam itu (fadilatnya) mengikut tujuan apa ia diminum”.
[Riwayat Ahmad]


"dan Sesungguhnya Air Zamzam merupakan makanan yang berzat dan penawar bagi penyakit."
[Riwayat Muslim]

  • Bukit Safa & Marwah

Di sini berlakunya perjalanan Hajar mencari manusia untuk membantunya mendapatkan sumber bekalan dan tempat berlindung. Tempat saie ini merupakan syiar Islam sebagaimana firman Allah:


"Sesungguhnya Safa dan Marwah itu ialah sebahagian daripada syiar agama Allah."
[Surah al-Baqarah: Ayat 158]


Justeru, ketika berada di kaki bukit ini, berdoalah dengan menghadap ke arah Kaabah seraya mengangkat kedua belah tangan, kemudiannya bertakbir dan bertahmid kerana ia juga merupakan tempat mustajab doa.


- Oleh Putera Shith al-Madani

~* Sembahyang tanda bersyukur *~


SEMBAHYANG lima waktu yang diwajibkan ke atas umat Nabi Muhammad SAW yang merupakan penghulu bagi segala anbia yang juga merupakan nabi dan rasul akhir zaman pada hakikatnya mempunyai nilai yang cukup tinggi kerana proses penerimaan perintah sembahyang oleh Rasulullah itu sendiri bukannya satu kerja mudah.


Berbanding dengan nabi-nabi lain yang mula melakukan sembahyang atas beberapa faktor, tetapi ibadat sembahyang yang diwajibkan ke atas umat Nabi Muhammad SAW diterima perintah oleh baginda secara terus dari Allah dengan baginda dibawa ke Sidratul Muntaha yang letaknya melepasi lapisan langit ketujuh.


Sidratul Muntaha itu sendiri adalah tempat yang tidak boleh didatangi oleh manusia lain, kecuali Nabi Muhammad, malah para malaikat juga tidak boleh ke sana.


Pemergian baginda SAW pada malam 27 Rejab tahun ke-11 kerasulan baginda (yakni dalam tahun 622 Masihi) dinamakan Israk Mikraj yang mana selain daripada menerima perintah kewajipan sembahyang, baginda juga berpeluang berjumpa dengan para nabi dan rasul, malah berkesempatan beramah mesra.


Rasulullah juga dipertontonkan dengan manusia yang menanggung seksa kerana memusuhi Allah (SWT) dan Rasul-Nya serta mereka yang menikmati nikmat kerana bertakwa kepada Allah (SWT). Pada mulanya sembahyang yang diperintahkan adalah sebanyak 50 waktu.


Macam mana pun atas cadangan dan desakan Nabi Musa a.s. yang menyebabkan Rasulullah SAW berulang alik naik turun Sidratul Muntaha, maka jumlah waktu sembahyang hanya tinggal lima waktu sehari semalam sahaja.


Nabi Musa yang merasakan jumlah sembahyang lima waktu sehari semalam itu akan malas dilakukan oleh umat Nabi Muhammad meminta baginda membuat rayuan pengurangan jumlah waktu sembahyang tetap baginda enggan kerana malu kepada Allah (SWT).


Sebenarnya sembahyang lima waktu itu adalah himpunan sembahyang-sembahyang yang telah dilakukan oleh lima orang nabi dan rasul kerana ada sebab dan peristiwanya sebagaimana berikut;


Subuh: Manusia pertama yang mengerjakan sembahyang subuh adalah Nabi Adam a.s. iaitu ketika baginda keluar dari syurga lalu diturunkan ke dunia.


Semasa dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke dunia kerana kesalahan memakan buah khuldi yang dilarang, yang pertama yang dilihat oleh bagi ialah kegelapan.


Baginda berasa sangat takut. Macam mana pun apabila fajar menjelang Subuh dunia mulai terang dan kerana bersyukur apabila dunia mula menampakkan akan terang dan tidak gelap lagi, Nabi Adam a.s. pun bersembahyang dua rakaat.


Rakaat pertama sembahyang baginda adalah sebagai tanda bersyukur kerana baginda terlepas dari kegelapan malam manakala rakaat kedua adalah bersyukur kerana siang telah menjelma.


Zuhur: Manusia pertama yang mengerjakan solat Zuhur ialah Nabi Ibrahim a.s. iaitu tatkala Allah (SWT) memerintahkan baginda agar menyembelih anak baginda Nabi Ismail a.s. sebagai melepas nazar baginda.


Seruan itu datang pada waktu tergelincir matahari (bertepatan dengan waktu Zohor), lalu sujudlah Nabi Ibrahim sebanyak empat rakaat.


Rakaat pertama kerana bersyukur bagi penebusan, rakaat kedua tanda bersyukur kerana dibukakan dukacitanya dan juga anaknya, rakaat ketiga: tanda bersyukur dan memohon keredaan Allah (SWT) manakala rakaat keempat tanda bersyukur kerana korbannya digantikan dengan tebusan kibas.


Asar: Manusia pertama yang mengerjakan solat Asar ialah Nabi Yunus a.s. tatkala baginda dikeluarkan oleh Allah (SWT) dari perut ikan Nun.


Ikan Nun telah memuntahkan Nabi Yunus di tepi pantai, sedang ketika itu telah masuk waktu Asar. Sebagai tanda syukur kerana dikeluarkan dari perut ikan Nun, maka Nabi Yunus a.s. bersembahyang empat rakaat kerana baginda telah diselamatkan oleh Allah (SWT) daripada 4 kegelapan iaitu:


Rakaat pertama tanda syukur dari bebas dari kelam dengan kesalahan, rakaat kedua bersyukur kerana kelam dengan air laut, rakaat ketika kerana kelam malam dan rakaat keempat kerana kelam perut ikan Nun.


Maghrib: Manusia pertama yang mengerjakan solat Maghrib ialah Nabi Isa a.s. iaitu ketika baginda dikeluarkan oleh Allah (SWT) dari kejahilan dan kebodohan kaumnya, yang di kala itu telah terbenamnya matahari.


Kerana tanda bersyukur bagi sembahyang tiga rakaat dengan rakaat tanda bersyukur kerana baginda berjaya menafikan ketuhanan selain dari Allah yang Esa, rakaat tanda bersyukur kerana berjaya menafikan tohmahan ke atas bonda baginda Siti Mariam yang telah dituduh melakukan perbuatan sumbang manakala rakaat ketiga tanda bersyukur kerana berjaya menyatakan kepada kaum baginda bahawa Tuhan itu hanya satu iaitu Allah (SWT), tiada dua atau tiganya.


Isyak: Manusia pertama yang mengerjakan solat Isyak ialah Nabi Musa a.s.. Pada ketika itu, Nabi Musa telah tersesat untuk mencari jalan kfeluar dari negeri Madyan.


Sedang dalam dadanya penuh dengan perasaan dukacita kerana sesat ekoran doa seorang alim yang diupah oleh Firaun agar mendoakan supaya Nabi Musa a.s.


Orang alim dan doanya sangat mustajab itu pada mulanya enggan akur kepada arahan Firaun dan enggan menerima upahan dalam bentuk jongkong emas kerana diketahuinya bahawa Nabi Musa a.s. adalah nabi dan rasul.


Hasil siasatan oleh pegawai-pegawai perisikan Firaun mendapati orang alim itu sangat sayangkan isteri dan dia adalah seorang suami yang sering mengalah kepada isteri.


Kelemahan itu diambil kesempatan oleh Firaun dengan memberi upah emas kepada isteri orang alim itu supaya meminta suaminya berdoa supaya Nabi Musa a.s. sesat di padang pasir negeri Madyan.


Bila diminta dan dirayu dan direngek oleh isterinya, orang alim itu tidak dapat menolak. Bagaimanapun, dia memberi syarat akan berdoa dalam kandang kuda.


Orang alim itu menyangka bila berdoa pada tempat yang kotor, doanya tidak akan mustajab. Macam mana pun doanya tetap mustajab dan Nabi Musa a.s. tersesat manakala orang alim itu mati dalam keadaan berdosa kerana mengikut kemahuan Firaun.


Bagaimana Allah (SWT) menghilangkan semua perasaan dukacitanya Nabi Musa a.s. apabila beliau akhirnya tidak lagi sesat dan ketika itu adalah waktu Isyak yang akhir. Sebagai tanda syukurnya, Nabi Musa bersembahyang empat rakaat dengan rakaat pertama tanda syukur kerana baginda akan dapat kembali ke pangkuan isteri dan kampung halaman. Rakaat kedua tanda bersyukur kerana dapat bersua kembali dan berganding bahu dengan saudara Nabi Harun a.s. bagi menyampaikan seruan Allah (SWT).


Rakaat ketiga pula kerana selamat daripada tindakan Firaun manakala rakaat keempat tanda bersyukur selamat daripada pengkhianatan anak Firaun terhadap baginda dan umat baginda yang bertakwa.


Ertinya kesemua waktu sembahyang yang diwajibkan ke atas umat Nabi Muhammad adalah merupakan amalan-amalan tanda ketakwaan terhadap Allah (SWT) oleh para nabi dan rasul dan nilainya tidak boleh disamakan dengan apa jua bentuk kebendaan.


Kalau nabi dan rasul pun bersembahyang sebagai tanda syukur dan untuk melayakkan diri masuk ke syurga, siapa kita yang bukan nabi dan rasul untuk tidak sembahyang di samping melakukan pelbagai kemungkaran dengan bila mati kita mahukan syurga!


- Oleh RAMLI ABDUL HALIM adalah murid tua (bekas pelajar) Madrasah Al-Balaghulmubin Rong Chenak, Tok Uban, Pasir Mas, Kelantan.

~* Seruan suci *~


"MARILAH mendirikan solat, marilah menuju kejayaan!" Itu antara maksud lafaz azan yang bergema setiap kali masuk waktu solat, menyeru umat Islam bersegera melaksanakan perintah Allah (SWT).


Azan adalah satu syiar Islam yang mengingatkan Muslim mengenai waktu solat yang lima, sekali gus memberikan isyarat supaya meninggalkan seketika segala urusan dunia untuk sama-sama menuju kepada rahmat dan kasih sayang Allah (SWT).


Satu hadis Rasulullah s.a.w bermaksud:


"Apabila tiba waktu solat hendaklah seorang daripada kamu melakukan azan dan yang lebih tua daripada kamu hendaklah menjadi imam."

[Hadis riwayat Bukhari dan Muslim]

Panggilan suci itu adalah bersifat universal kerana lafaznya sama walaupun di dalam komuniti berbilang bangsa dan berbeza generasi dari dulu hingga kini, malah dengan pengertian yang sangat sempurna lagi menyeluruh, menjadikannya suatu simbol perpaduan umat Islam sejagat.


Secara harfiah, azan membawa maksud pemberitahuan ('al-i'lam) atau seruan (an-nida'. Al-Quran, sunnah dan ijmak menyatakan, laungan azan mempunyai banyak kelebihan dan pahala yang besar.


Ia dihukumkan sebagai sunat muakkad ketika hendak mendirikan solat dan fardu kifayah bagi satu-satu kumpulan orang Islam.


Bagi muazzin, iaitu orang yang melaungkan azan ketika melafazkan "hayya `alassolah", hendaklah menghadapkan muka dan dadanya ke sebelah kanan dan ketika membaca "hayya `alal falah" menghadapkan muka dan dadanya ke sebelah kiri.


Disunatkan juga melakukan tarji' ketika mengumandangkan azan iaitu menyebut dua kalimah secara senyap sebelum dinyaringkan.


Malah, sunat muazzin memasukkan dua anak jarinya ke dalam kedua-dua telinganya dengan tujuan untuk meninggikan suara.


Ketika mengumandangkan azan, muazzin tidak boleh bercakap. Setiap lafaz azan dilaungkan sebanyak dua kali kecuali lafaz takbir yang awal disebut empat kali dan lafaz kalimah tauhid di akhirnya sekali sahaja.


Azan harus dilafazkan oleh seorang lelaki yang beragama Islam, berakal, dilafazkan dalam bahasa Arab dan dilaungkan ketika masuknya waktu solat.


Ia juga harus diseru oleh muazzin yang suci daripada hadas besar, hadas kecil dan najis, dengan mengadap ke arah kiblat dan suara yang nyaring ketika melaungkannya.


Azan disyariatkan pada tahun pertama hijrah di Madinah al-Munawarrah. Perkara ini diceritakan dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim daripada Ibnu Umar r. a:


"Pada mulanya ketika orang-orang Islam berhijrah ke Madinah, mereka berkumpul dan menunggu untuk mengerjakan solat. Ketika itu tidak ada orang yang menyeru (melaungkan azan) untuk menunaikannya. Pada suatu hari Nabi s.a.w telah mengumpulkan para sahabat untuk bermesyuarat cara memberitahu masuknya waktu solat serta mengajak orang ramai ke masjid melakukan solat jemaah.


Dalam mesyuarat itu terdapat beberapa cadangan. Ada yang mencadangkan supaya dikibarkan bendera sebagai tanda waktu solat, ada yang mencadangkan ditiup serunai ataupun trompet; dan ada yang mencadangkan dibunyikan loceng. Semua usul itu ditolak Rasulullah s.a.w.


Umar bin al-Khattab mencadangkan diteriakkan ucapan: "Telah datang waktu solat". Usul ini diterima Rasulullah s.a.w tetapi baginda menukar lafaz itu dengan lafaz "assolatu jami`ah" yang bererti "marilah solat berjemaah."


Pada suatu malam Abdullah bin Zaid telah bermimpi mengenai cara yang lebih baik memberitahu solat dengan mengumandangkan Allahu Akbar... (dan seterusnya lafaz-lafaz azan)".


Pada pagi harinya, Abdullah bin Zaid menemui Rasulullah s.a.w dan baginda bersabda: "Mimpimu itu mimpi yang benar". Nabi s.a.w memerintahkan Bilal bin Rabah mengumandangkan azan terbabit. Ketika Bilal hendak menyerukan azan, Umar menemui Rasulullah s.a.w dan menceritakan beliau juga bermimpi seperti Abdullah bin Zaid."


Inilah buat kali pertama azan dilaungkan dengan kalimah yang mempunyai gaya tersendiri lagi unggul, tanpa sebarang unsur peniruan, malah laungan kalimah suci ini lebih bermakna berbanding yang lain.


Lafaz azan mengandungi makna kesatuan yang merangkumi aspek akidah, syariat dan akhlak. Ketiga-tiga aspek terbabit saling melengkapi dan sangat penting, kerana jika tiada satu daripada tiga aspek itu menjadikan seseorang Muslim tidak sempurna.


Akidah seseorang Muslim ialah tauhid, iaitu mengimani Allah (SWT), satu-satunya yang disembah. Tauhid ini terangkum dalam lafaz azan dan ini jelas memberitahu yang Allah (SWT) Maha Besar, tiada tuhan selain Allah (SWT) dan Nabi Muhammad s.a.w adalah pesuruh-Nya.


Lafaz itu juga menjadi kalimah syahadah bagi mereka yang mahu memeluk Islam dan ia adalah slogan utama yang wajib dipegang dari awal hingga akhir hayat.


Bagi mereka yang memerhatikan dengan teliti pengertian kalimah azan, dengan sendiri akan menjadi orang yang bersemangat, cergas dan rajin kerana kalimahnya menerangkan erti suatu kebesaran Ilahi dan sebuah kehidupan insani, yang bertanggungjawab memelihara amanah terhadap dunia dan akhiratnya.


Justeru, terdapat sesetengah golongan yang bersih hatinya akan bersegera mendirikan solat apabila azan dikumandangkan, kerana mengetahui urusan Allah (SWT) lebih utama, berbanding urusan duniawi sesama manusia.


Mengimani Nabi Muhammad s.a.w sebagai pesuruh Allah (SWT) memberi pengertian baginda adalah utusan yang dihantar Allah (SWT) untuk memimpin dan memberi pertunjuk kepada seisi alam, sekali gus menuntut kepatuhan kepada syariat yang diajarkannya.


Azan mempunyai keunikan kerana gema keagungannya mampu menyentap fitrah manusia yang leka dan lalai daripada mengingati Allah (SWT), malah membuatkan seseorang itu terdiam seketika kerana menghormatinya.


Di sesetengah negara seperti di Malaysia, rakaman azan turut disiarkan melalui radio dan televisyen bagi memberikan makluman kepada Muslimin, sesuai dengan kedaulatan Islam sebagai agama rasmi yang sewajarnya dijulang semua pihak.


Kemuliaan azan dapat dilihat melalui anjuran Nabi s.a.w terhadap umatnya, malah diceritakan dalam satu hadis diriwayatkan al-Bazzar, bermaksud:


"Rasulullah s.a.w pada malam Israk diperlihatkan dengan azan dan diperdengarkan kepadanya di atas langit yang ketujuh. Kemudian Jibril mendatanginya, lalu dia menjadi imam kepada ahli langit. Antara mereka ialah Nabi Adam a.s dan Nabi Nuh a.s, Allah (SWT) menyempurnakan kemuliaan baginya ke atas penduduk langit dan bumi.

Disebabkan kemuliaan azan, orang yang mendengarnya hendaklah menghormatinya, dengan diam seketika bagi memberikan laluan azan dikumandangkan, di samping menyahut seruannya secara perlahan-lahan dengan lafaz yang diucapkan oleh muazzin, kecuali pada lafaz "hayya `alassolah" dan "hayya `alal falah" disahut dengan 'la haula wala quwwata illa billah' yang bermaksud 'tiada daya dan kekuatan kecuali daripada Allah (SWT).'

Pada azan Subuh, iaitu setiap kali dilaungkan 'assolatu khairun minannaum' (solat lebih baik daripada tidur) dijawab orang yang mendengar dengan 'sodaqta wa barirta' , maksudnya engkau benar dan engkau berbuat baik."

Selesai azan, umat Islam dianjurkan berdoa, seperti:


"Wahai Allah (SWT), Tuhan yang menguasai seruan yang sempurna ini dan solat yang didirikan. Berikanlah kepada Nabi Muhammad kurnia dan keutamaan serta kedudukan yang terpuji yang Engkau janjikan untuknya."

Azan tidak hanya dilafazkan bagi tujuan solat fardu, malah ia juga disunatkan saat kelahiran bayi, mencontohi tindakan Nabi Muhammad s.a.w yang mengazankan Hasan ketika beliau dilahirkan oleh Fatimah.


Ia juga dapat dimanfaatkan sebagai isyarat untuk memaklumkan sebarang kejadian besar, seperti kebakaran dan waktu perang dan ketika pengebumian jenazah dan bagi memulakan perjalanan (musafir).


"Daripada Abu Hurairah r.a, sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda (maksudnya): Apabila dilaungkan azan untuk solat, syaitan akan menjauhkan dirinya sambil terkentut-kentut (kerana lari sekuat-kuatnya) sehinggalah tidak terdengar lagi azan. Jika selesai azan itu, syaitan akan kembali lagi sehinggalah iqamat untuk solat diserukan dia akan menjauhkan diri. Sehinggalah selesai iqamat itu barulah dia kembali lagi sehingga dia melintasi antara seseorang itu dengan dirinya (mewas-waskan). Dia akan berkata : Ingatlah begini-begini, ingatlah begini-begini terhadap sesuatu yang tidak sewajarnya diingati sehinggalah lelaki itu tidak mengetahui berapa rakaat dia bersolat."

[Riwayat Imam Bukhari]

Azan juga boleh diamalkan untuk mengubati orang yang dalam kerasukan serta menghindari mereka daripada kejahatan jin dan syaitan, bahkan sunat mengazankan orang yang buruk sifatnya sama ada daripada manusia atau haiwan dan orang yang resah gelisah kerana azan itu boleh menghilangkan keresahan.

~* Contoh peribadi terpuji dalam al-Quran *~


BAGI seorang manusia, tiada yang lebih bernilai kecuali keperibadian terpuji. Al-Quran menerangkan banyak peribadi dan ciri mulia yang boleh dicontohi, antaranya:


  • Takut hanya kepada Allah.

    “Demi sesungguhnya! Jika engkau hulurkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku tidak sekali-kali akan menghulurkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu, kerana sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan pentadbir sekalian alam.” (Surah al-Maidah: Ayat 28)


  • Melaksanakan kewajipan dan tanggungjawab sebagai hamba Allah.

    “Maka Musa pun memberi minum kepada binatang-binatang ternak mereka, kemudian ia pergi ke tempat teduh lalu berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan.” (Surah al-Qasas: Ayat 24)


  • Menyembunyikan perasaan marah dan sentiasa bersikap pemaaf.

    “Dan orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.” (Surah Ali-Imran: Ayat 134)


  • Memberi makan anak yatim yang dalam kelaparan dan kaum kerabat yang miskin.

    “Atau memberi makan pada hari kelaparan. Kepada anak yatim dari kaum kerabat. Atau kepada orang miskin yang terlantar di atas tanah.” (Surah al-Balad: Ayat 14-16)


  • Suka bersedekah dengan harta yang disukainya kepada orang yang amat memerlukan bantuan.

    “Dan seseorang itu suka mendermakan harta bendanya yang dia amat sukai kepada kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang yang miskin.” (Surah al-Baqarah: Ayat 177)


  • Cenderung dan suka kepada perdamaian dan keharmonian.

    “Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya.” (Surah al-Anfal: Ayat 61)


  • Tidak meminta-minta.

    “Mereka disangka sebagai orang kaya oleh orang yang tidak mengetahui halnya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta."


  • Bersabar dalam menempuh dugaan, baik ketika senang mahupun susah.

    “Dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan dan dalam masa kesakitan dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang sabil.” (Surah al-Baqarah: Ayat 177)


  • Menunaikan amanah kepada yang berhak menerimanya.

    “Maka hendaklah orang (yang berhutang) yang dipercayai itu menyempurnakan bayaran hutang yang diamanahkan kepadanya dan hendaklah dia bertakwa kepada Allah Tuhannya.” (Surah al-Baqarah: Ayat 283)


  • Tidak bersifat bakhil dan sanggup membelanjakan harta kepada golongan yang memerlukan.

    “Sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.” (Surah at-Taghabuun: Ayat 16)


  • Bersederhana dalam semua perkara. Tidak terlalu boros ketika berbelanja dan tidak kedekut.

    “Dan juga mereka (yang diredai Allah itu) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.” (Surah al-Furqaan: Ayat 67)
  • Friday, October 24, 2008

    ~* Menilai diri sebelum berangkat ke Tanah Suci *~

    Ibadah haji beri kesan positif terhadap sikap, tindakan dan tingkah laku individu


    UMAT Islam dari seluruh dunia tidak lama lagi akan menunaikan ibadah haji di tanah suci Makkah dan Madinah sebagai menyempurnakan rukun Islam kelima.


    Firma Allah (SWT) yang bermaksud :


    “Allah (SWT) mewajibkan atas manusia untuk mengerjakan ibadah haji bagi yang mampu mengadakan perjalanan ke sana.”
    [Surah al-Imran, Ayat 97]

    Takrif haji secara bahasa bererti menuju atau menziarahi suatu tempat. Menurut istilah fikah ialah ziarah ke Baitullah di Makkah untuk melaksanakan ibadah dengan cara tertentu, dalam waktu dan tempat-tempat tertentu. Ibadah haji diwajibkan pada tahun kesembilan selepas Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah.


    Ibadah itu sudah dikenal sejak dari zaman Nabi Ibrahim AS bersama anaknya Ismail yang diperintahkan Allah (SWT) mengajak dan menyeru manusia menziarahi rumah Allah (SWT) (Baitullah al-Haram). Waktu itu bangsa Arab di sekitarnya setiap tahun berduyun-duyun menuju Kaabah untuk melakukan ibadah haji dengan cara syariat Nabi Ibrahim. Pelaksanaan ibadah haji berjalan terus sampai zaman Nabi Muhammad SAW hinggalah hari ini.


    Menunaikan haji hukumnya wajib bagi yang mampu dari segi mental, fizikal, harta dan keimanan mengenai cara melaksanakan ibadah berkenaan.


    Setiap umat Islam mengharapkan dirinya untuk menunaikan ibadah haji. Apa lagi pahala ganjaran yang dijanjikan sangat besar bagi haji mabrur iaitu balasan syurga.


    “Tidak ada balasan bagi haji mabrur, melainkan syurga.”
    [Hadis riwayat Muttafaqa ‘Alaih]

    Begitu besarnya kerinduan akan kebesaran dari keagungan Allah (SWT) di Baitullah. Bagi mereka yang sudah menunaikan haji, ingin semula mengerjakan ibadah itu berulang-ulang kali.


    Walaupun Rasulullah SAW menegaskan bahawa ibadah haji itu cukup sekali (wajib), sedangkan yang kedua dan seterusnya adalah sunnah. (Hadis riwayat Imam Ahmad).


    Hal itu tidak tidak menghalangi niat kaum Muslimin untuk terus menunaikan ibadah haji ke tanah suci. Semulia ibadah haji adalah mereka yang dapat mencapai dan meraih darjat haji mabrur. Hanya haji mabrur diterima Allah (SWT), iaitu ibadah haji yang dilaksanakan tanpa melakukan perbuatan kesalahan seperti diterangkan dalam al-Quran bermaksud:


    “Barang siapa yang berniat melakukan ibadah haji, maka tidak boleh mencampuri isteri, tidak boleh berbuat fasik, dan tidak boleh bertengkar dalam masa mengerjakan haji.”
    [Surah al-Baqarah, Ayat 197]

    Upaya untuk mendapatkan haji mabrur dilalui berbagai cara. Di antaranya, sebelum berangkat haji seseorang mesti melakukan hal yang boleh membantu hajinya. Iaitu:


    • Bekalannya yang digunakan adalah halal (harta).
    • Berniat ikhlas kerana Allah (SWT) semata-mata.
    • Ketakwaan.
    • Mengerti mengenai ilmu mengerjakan haji dengan mengikuti kursus haji, mengetahui rukun haji, wajib haji dan larangan haji.
    • Mengerti mengenai ilmu ibadah selama dalam perjalanan seperti solat musafir, solat jamak dan solat qasar dan seterusnya.

    Sepanjang masa di Tanah Suci, hendaklah memperbanyakkan zikir, talbiah dan menggunakan waktu sebaik-baiknya, beribadah dengan tenang, jangan mengganggu orang lain. Jika ada kesempatan hendaklah menyembelih korban.


    Memang balasan syurga adanya di akhirat. Namun sesungguhnya balasan di dunia pun tetap ada iaitu dalam perilaku dan tindakan yang berubah kepada lebih baik. Seseorang yang ibadah hajinya meraih darjat haji mabrur, akan terlihat sekembalinya ke tanah air, sikapnya, tindakannya, akhlaknya dan ibadahnya.


    Seseorang jemaah haji yang ternyata tidak ada perubahan sama sekali setelah dan sebelum berangkat ke Tanah Suci, boleh dikatakan ibadah hajinya adalah mardud (haji ditolak).


    Darjat haji mabrur hanya boleh diraih dengan niat dan hati ikhlas semata-mata untuk beribadah kepada Allah (SWT) di Tanah Suci. Hati mesti ikhlas dan lurus, tidak ada sedikitpun untuk kepentingan lainnya dalam melaksanakan ibadah haji itu.


    Kerana itu, semua kepentingan duniawi mesti diketepikan dan ditinggalkan di tanah air, seperti pangkat, kedudukan, jabatan, dan harta, tidak perlu bermegah-megah di tanah suci, semuanya sama di hadapan Allah (SWT).


    Di samping itu, jemaah haji mesti benar-benar ikhlas melakukan taubat seperti yang dilakukan Nabi Adam AS, selepas melakukan kezaliman kerana termakan buah terlarang iaitu khuldi.


    Taubat yang semata-mata untuk meraih ampunan dari Yang Maha Kuasa, dilakukan Nabi Adam selama 40 tahun di Padang Arafah. Bayangkan untuk satu kesalahan dan kezaliman, Nabi Adam melakukan taubat di Arafah selama 40 tahun dengan sedikitpun tidak berani mengangkat kepalanya di hadapan Allah (SWT).


    Dengan penuh rasa malu dan tidak berhenti-henti Nabi Adam memohon kepada Allah (SWT) untuk diampuni atas kezaliman yang dilakukannya.


    Selain itu, untuk meraih haji mabrur yang ditentukan oleh peribadi jemaah, peranan dan wibawa pembimbing jemaah haji (swasta) termasuk pihak bertanggungjawab (Tabung Haji) juga sangat penting. Justeru, pembimbing tidak hanya mengajarkan mengenai tatacara mengerjakan ibadah haji, tetapi juga didasarkan pada bagaimana meningkatkan kefahaman jemaah mengenai melaksanakan ibadat haji dengan baik dan betul. Sesuai dengan tuntutan Rasulullah SAW.


    Mengenai jemaah haji yang berkali-kali mengerjakan ibadah haji ke tanah suci, Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali dalam kitabnya ‘Ihya Ulumuddin‘ memberikan tegurannya, seharusnya mereka yang pergi haji untuk kedua kali dan selebihnya itu hendaklah memperhatikan tetangganya dan saudara Muslim lainnya yang memerlukan pertolongan. Mereka yang berhaji dengan hal seperti itu sama dengan orang yang tertipu (ghurur).


    Terhadap mereka yang berangkat mengerjakan ibadah haji kali pertama, al-Ghazali melontarkan tegurannya, di antara mereka banyak yang tidak membersihkan jiwa dan hatinya. Mereka banyak yang mengabaikan aspek ibadah haji berkaitan dengan fizikal dan mental, sehingga apabila sampai di Tanah Suci tidak mampu mengawal kesucian diri seperti berbantah, bertengkar, berkata keji serta berbuat fasik dan maksiat.


    Tanda mendapat haji mabrur menurut ulama:


    1. Ternampak perubahan pada sikap, wajah, akhlak dan cara hidup.
    2. Amal ibadah bertambah baik dan tidak cuai melakukannya berbanding sebelumnya.
    3. Sifat jahat dan keji seperti tamak, hasad, dengki, riak, takbur, bakhil, angkuh, membazir, boros dan sebagainya terus ditinggalkan.
    4. Menjadi seorang yang berakhlak baik seperti bertawaduk, merendah diri, tolong menolong, dermawan, bercakap benar, amanah, jujur, bersedekah dan akhlak terpuji.
    5. Ibadah haji memberi kesan positif terhadap sikap dan tingkah laku dari segi perjuangan, kegigihan, keadilan dan sebagainya.
    6. Selalu mengerjakan ibadah puasa dan puasa sunnah dan ibadah lain.
    7. Seseorang pernah berzina, minum arak dan sebagainya terus meninggalkannya sama ada dosa kecil dan dosa besar.
    8. Kalau dulu dia sering mendedahkan aurat tetapi kini dia terus menutup auratnya sebagaimana dituntut oleh ajaran agama.
    9. Seseorang yang baik akan bertambah baik lagi dalam urusan hidup seharian.

    - Oleh Ibrahim Abdullah

    Friday, October 10, 2008

    ~* Panduan kekal amalan baik selepas Ramadan *~

    Cuba mencari pertolongan Allah (SWT) untuk membimbing anda berada di jalan lurus dan tetap teguh di landasan kebenaran.

    Mengenai perkara ini elok diperhatikan ayat 8 Surah Ali-Imran, maksudnya:


    (Mereka berdoa dengan berkata): Ya Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisi-Mu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan yang melimpah-limpah pemberian-Nya.


    • Gigih mengikuti kuliah dan syarahan agama.
    • Menambah pengetahuan mengenai biografi nabi, sahabat dan golongan beriman sama ada melalui buku atau sumber lain. Ia akan memandu anda untuk tetap berada pada landasan kebenaran serta mencontohi jejak langkah mereka yang terpuji dan diredai Allah (SWT).
    • Mendengar rakaman ceramah agama.
    • Tekun mengerjakan ibadat (wajib) dengan penuh tanggungjawab.
    • Rajin mengerjakan ibadat sunat dan menjadikannya kebiasaan, walaupun sedikit. Nabi s.a.w bersabda, maksudnya: “…amalan terbaik kepada Allah (SWT) ialah yang berterusan, walaupun ia sedikit.”
    • Mula memerhati ayat al-Quran. Baca ayat al-Quran yang anda pelajari ketika mengerjakan solat dan amalkan membacanya sekerap yang boleh.
    • Banyak berzikir (mengingati Allah (SWT)) dan memohon keampunan daripada Allah (SWT). Amalan ini mungkin nampak kecil, tetapi jika selalu diamalkan ia akan meningkatkan keimanan dan memberikan kekuatan kepada jiwa.
    • Waspada terhadap setiap perkara yang boleh memesongkan hati daripada jalan kebenaran seperti pergaulan dengan orang jahat, program televisyen yang tidak sopan, lagu dan gambar tidak elok.
    • Terakhir tetapi penting ialah taubat, iaitu menyesal atas kesalahan lalu kepada Allah (SWT) dan bertekad tidak akan menyimpang daripada landasan kebenaran lagi. Allah (SWT) suka apabila hamba-Nya kembali kepada-Nya dengan taubat yang sebenar-benarnya.

    Wednesday, October 8, 2008

    ~* Rebut fadilat puasa 6 hari dalam Syawal *~


    KELEBIHAN orang yang melakukan ibadat puasa enam di bulan Syawal diterangkan dalam sebuah hadis daripada Abu Ayub al-Ansari bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:


    “Barang siapa berpuasa Ramadan kemudian mengiringinya dengan puasa enam hari pada Syawal, adalah puasa itu seperti puasa sepanjang masa.”
    [Hadis riwayat Muslim]

    Hadis ini menjelaskan bahawa jika kita berpuasa pada Ramadan dan diikuti dengan puasa sunat enam hari pada Syawal, seolah-olah kita berpuasa sepanjang masa iaitu selama setahun.


    Justeru, umat Islam perlu merebut peluang ini kerana kelaziman amalan sunat dilakukan bertujuan menampal sebarang amalan yang berkurangan atau cacat dalam amalan fardhu.


    Mungkin, amalan puasa kita pada Ramadan berkurangan atau cacat sedikit, maka puasa enam hari di bulan Syawal sebagai menampung kekurangan atau kecacatan itu.


    Bagi wanita yang tidak dapat berpuasa penuh pada Ramadan, maka puasa enam memberi peluang yang baik kepada mereka untuk menggantikannya disamping mendapat pahala puasa sunat.


    Ia juga bagi mengelak budaya atau sikap sambil lewa yang melambatkan qada puasa sehingga Ramadan menjelang tahun depan.


    Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:


    “Siapa berpuasa Ramadan lantas disambung dengan enam hari pada Syawal makan dia bagaikan berpuasa selama setahun.”
    [Hadis riwayat al-Bazzar[

    Membiasakan puasa selepas Ramadan memiliki banyak manfaat dan hikmat, antaranya:


    • Puasa enam hari pada Syawal pelengkap dan penyempurnaan pahala daripada puasa setahun penuh.
    • Puasa Syawal dan Syaaban bagaikan solat sunat rawatib dan berfungsi sebagai penyempurnaan daripada sebarang kekurangan. Ini kerana pada hari kiamat, perbuatan fardhu akan disempurnakan dengan amalan sunat.
    • Seperti keterangan Rasulullah s.a.w dalam beberapa riwayat, majoriti puasa fardhu yang dilakukan umat Islam memiliki kekurangan dan ketidaksempurnaan dan ini memerlukan sesuatu bagi menutup atau menyempurnakannya.
    • Membiasakan puasa selepas Ramadan menandakan diterimanya puasa Ramadan.
    • Segala amalan yang dikerjakan seseorang hamba untuk mendekatkan diri kepada Allah pada Ramadan tidak akan terputus dengan berlalunya Ramadan yang mulia selama mana kita hidup.

    Sunday, October 5, 2008

    ~* Ganjaran puasa enam *~


    PUASA enam hari pada bulan Syawal adalah kesinambungan kepada ibadat puasa sebulan yang diwajibkan pada Ramadan


    Walaupun tidak berdosa sekiranya tidak dilakukan, tetapi hakikatnya puasa sunat enam hari pada bulan Syawal adalah ibadat yang penuh bermakna, malah ia amalan generasi soleh yang terdahulu.


    Nabi s.a.w ada menjelaskan ganjaran kepada mereka yang berpuasa enam hari pada Syawal melalui beberapa hadisnya, antaranya hadis diriwayatkan Muslim yang bermaksud:


    “Sesiapa berpuasa pada Ramadan, kemudian diiringi dengan (puasa) enam hari Syawal, maka dia seperti berpuasa satu tahun penuh.”

    Menerusi hadis lain yang dikeluarkan At-Tabrani dengan sanadnya daripada Ibnu Umar r.a, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:


    “Sesiapa yang berpuasa pada Ramadan dan diiringi dengan puasa enam hari pada Syawal, nescaya hilang segala dosanya seperti bayi yang baru dilahirkan oleh ibunya.”

    Penegasan baginda itu menunjukkan puasa enam hari bulan Syawal amat digalakkan walaupun ia tidak sampai tahap wajib, kerana ganjarannya sangat besar.


    Nabi s.a.w sendiri menggalakkan umatnya rajin beribadat, dengan ibadat fardu disusuli dengan amalan sunat. Baginda ada menerangkan Allah (SWT) S.W.T amat suka kepada hamba-Nya yang rajin beribadat, seperti pada hadis berikut:


    Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:


    “Sesungguhnya Allah (SWT) berfirman yang maksudnya: “Sesiapa yang memusuhi wali-Ku, maka sesungguhnya aku mengisytiharkan perang terhadapnya. Dan tiada seorang hamba-Ku yang bertaqarrub (beramal) kepada-Ku dengan sesuatu yang lebih Aku cintai hanya dari ia menunaikan semua yang Aku fardukan ke atas dirinya. Dan hendaklah hamba-Ku sentiasa bertaqarrub dirinya kepada-Ku dengan nawafil (ibadat sunat) sehingga Aku mencintainya. Maka apabila Aku telah mencintainya, nescaya adalah Aku sebagai pendengarannya yang ia mendengar dengannya, dan sebagai penglihatannya yang ia melihat dengannya, dan sebagai tangannya yang ia bertindak dengannya, dan sebagai kakinya yang ia berjalan dengannya. Dan jika ia meminta kepada-Ku nescaya Aku berikan kepadanya, dan jika ia memohon perlindungan kepada-Ku nescaya Aku lindungi.”
    (Hadis riwayat Al-Bukhari)

    Jika berpuasa pada Ramadan terpaksa menahan lapar dan dahaga, berpuasa enam hari pada Syawal tidak kurang juga menuntut ketabahan, malah apabila diperhatikan bahangnya lebih terasa kerana ketika berpuasa orang lain ‘berbuka.’


    Tetapi sedar atau tidak, ibadat sunat enam hari itu juga adalah penanda aras keimanan dan ketakwaan seseorang terhadap Allah (SWT); sanggup berlapar dan dahaga ketika musim orang menikmati aneka juadah, semata-mata kerana menyahut anjuran agama.


    Menurut ulama, puasa sunat enam hari pada Syawal sebaik-baiknya (lebih afdal) dilakukan berturut-turut, dimulai pada hari kedua Syawal dan diikuti lima hari lagi berturut-turut.


    Tetapi jika tidak dapat, boleh dilakukan pada mana-mana hari asalkan masih di dalam Syawal dan boleh dengan tidak berturut-turut asalkan cukup enam hari.


    Sesetengah ulama pula berpendapat puasa enam itu boleh dilakukan secara berselang-seli atau tidak terus menerus sepanjang Syawal.


    Ulama juga berbeza pendapat antara puasa sunat enam hari pada bulan Syawal dengan puasa ganti (qada) Ramadan.


    Pendapat pertama mengatakan tidak dibolehkan niat puasa ganti bersama puasa sunat Syawal. Ini kerana berdasarkan hadis setiap amalan berdasarkan niat.


    Sebagai contoh, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dalam menggariskan adakah puasa enam boleh diniat sekali dengan puasa ganti: ‘Niat puasa enam tidak boleh disekalikan dengan puasa qada.


    Imam As-Syafi’i (di dalam Kitab Al-Umm) berpendapat dalam mensyarahkan bab ‘setiap amalan dengan niatnya’ bahawa: Hendaklah dibezakan ibadat puasa Ramadan, puasa nazar, puasa kafarah, puasa qada dan puasa sunat.


    Imam Jalaluddin As-Suyuti (di dalam Kitab Al-Isybah) juga berpendapat hendaklah diasingkan puasa Ramadan atau nazar atau puasa sunat. Namun, seseorang yang berniat puasa qada ketika Syawal boleh juga dikurniakan pahala puasa enam (tanpa menjatuhkan niat itu) mengikut pendapat sebahagian ulama.’


    Pendapat kedua mengatakan dibolehkan niat bersama, malah memadai seseorang yang ingin melakukan puasa qada dan puasa sunat enam hari dengan berniat hanya puasa qada pada bulan Syawal.


    Mereka akan mendapat dua ganjaran sekali gus dengan syarat dia perlu berniat puasa qada terlebih dulu. Ini kerana puasa qada adalah wajib dan puasa enam adalah sunat.


    Hal yang sama berlaku ke atas solat tahiyatul masjid. Jika seseorang memasuki masjid dan terus melakukan solat fardu, maka dia akan diberi ganjaran dua pahala sekali gus.


    Bekas ketua jawatankuasa fatwa al-Azhar, Sheikh ‘Atiyyah Saqr, berkata seseorang yang tertinggal puasa pada Ramadan boleh berpuasa sunat enam hari Syawal dengan niat bersama puasa ganti.


    Menurutnya, orang yang berpuasa itu akan mendapat ganjaran berganda secara serentak; menggantikan puasa yang ditinggal dan mendapat ganjaran puasa enam hari Syawal.


    “Bagaimanapun, dianjurkan seseorang itu menggantikan puasa tertinggal secara berasingan dengan puasa enam hari Syawal (supaya mendapat ganjaran yang lebih),” katanya.


    Ada juga ulama berpendapat puasa enam seharusnya didahulukan kerana ia hanya boleh diamalkan pada bulan Syawal saja. Bagi puasa qada, ia boleh dilakukan dalam tempoh 10 bulan berikutnya sebelum tibanya Ramadan akan datang.


    Sesetengah ulama berpendapat, orang yang mempunyai hutang puasa Ramadan hendaklah ‘membayar’ terlebih dulu, kemudian baru dikerjakan sunat puasa enam. Tidak mendapat sunat puasa enam jika ia juga diniatkan sebagai puasa qada.


    Perbezaan pendapat itu sudah tentu memberikan pilihan dan ruang kepada umat Islam dalam melaksanakan amal ibadat, sesuai dengan konsep taysir (kelapangan) yang menjadi satu aspek penting dalam syariah, selagi mana tiada larangan terhadapnya.

    ~* Why Do Muslims Fast In Ramadan? *~

    What is Fasting (Sawm)? Sawm (Arabic: صوم) is an Arabic word for fasting regulated by Islamic jurisprudence. In the terminology of Islamic l...