Monday, June 22, 2009

~* Kewajipan mencintai Nabi SAW *~


Berbekalkan keyakinan bahawa manhaj risalah dan dakwah Islamiah yang sebenar adalah berteraskan perasaan cinta dan kasih yang mendalam kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW, ruangan ini pada minggu lepas telah mengimbau mengenai hakikat kasihnya Rasulullah SAW terhadap umatnya dan pengorbanan yang telah Baginda SAW sembahkan sebagai tanda cinta dan kasih kepada umatnya.

Maka wajarlah pada kali ini, jika kita menyambung bicara tentang kewajipan kita pula sebagai Umat Nabi Muhammad SAW membalas kasih Rasulullah SAW terhadap kita serta mencintai Baginda SAW seperti yang selayaknya.

Hakikat bahawa Rasulullah SAW wajib dikasihi dengan sebenar-benarnya sangat jelas di sisi syarak. Ia sebagaimana yang termaktub dalam ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis, yang merupakan sumber agama yang wajib dipatuhi oleh setiap orang yang bergelar Muslim.

Di samping perintah yang terang nyata dalam nas-nas wahyu, akal dan fitrah yang sihat juga sangat kuat mendukung keperluan dan kepentingan kita mencintai dan mengasihi Rasulullah SAW.

Oleh itu, mencintai Nabi SAW adalah suatu yang wajib baik dari sudut naqli (wahyu) mahupun aqli (logik).

Dalil Naqli

Bagi seorang Muslim yang taat, setiap nas wahyu sama ada daripada al-Quran mahupun sunnah yang sahih adalah perintah dan arahan dari Tuhan yang dengan segera dan bersemangat dijunjung dan dipatuhi.

Apatah lagi jika perintah itu datang dalam nada yang tegas dan diiringi amaran. Nada inilah yang jelas dapat kita rasakan pada ayat yang memerintahkan kita mencintai dan mengutamakan Nabi SAW dalam surah al-Taubah, ayat 9 yang bermaksud:

Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasiq (derhaka).

Dalam ayat ini, Allah SWT memberi ancaman dan menjanjikan balasan azab-Nya bagi orang yang mengasihi keluarga dan harta bendanya melebihi kecintaannya terhadap Allah SWT dan Rasul-Nya SAW.

Mereka juga ditakutkan dengan gelaran fasiq yang memang sangat dibenci oleh setiap jiwa yang beriman. Ancaman dan balasan azab dalam ayat sepatutnya sudah mencukupi sebagai motivasi, peringatan, dalil yang jelas dan hujah yang kuat bagi menunjukkan thabitnya kewajipan mengasihi Nabi SAW, membesarkan kedudukan Baginda SAW, dan tuntutan melaksanakan hak mengasihinya dengan sempurna.

Jika kita merujuk kepada nas-nas Sunnah pula, walaupun kita mengenali Rasulullah SAW sebagai insan yang paling tawaduk dan paling tidak mementingkan diri, baginda SAW tiada pilihan melainkan menyampaikan dengan jelas dan tegas kewajipan kita menyintai dirinya dan mengutamakannya kerana ia adalah antara inti, rahsia dan pokok ajaran agama ini.

Di antara pesanan dan perintah yang sangat jelas daripada Rasulullah SAW dalam hal ini ialah:

Tidak dianggap sempurna Iman seseorang daripada kamu sehinggalah aku lebih dicintainya daripada anaknya, bapanya dan sekalian manusia.
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis ini penanda aras kesempurnaan Iman itu sendiri turut diukur berdasarkan tahap kecintaan dan kasih terhadap baginda SAW.

Sudah tentu kita tidak reda keimanan kita cacat dan tidak sempurna apatah lagi jika sebabnya adalah kegagalan kita melakukan sesuatu yang seindah dan semulia menyintai insan teristimewa, Nabi kita Muhammad SAW.

Di ketika yang lain, sunnah merakamkan dialog penuh makna antara Rasulullah SAW dan Saidina Umar al-Khattab r.a. Saidina Umar diriwayatkan berkata,

“Wahai Rasulullah! Engkau lebih aku cintai daripada mana-mana manusia yang ada di dunia ini melainkan jiwaku yang berada di dalam jasadku”.

Kata-kata Umar RA ini disambut oleh Rasulullah SAW dengan tegas: “Tiada sesiapapun yang benar-benar menjadi Mukmin sejati sehinggalah aku lebih dicintainya walaupun daripada dirinya sendiri”.

Mendengarkan sabda yang mulia ini, Umar r.a lantas berkata: “Demi Tuhan yang menurunkan Kitab kepadamu, sekarang ini engkau lebih aku cintai daripada diriku yang berada di dalam jasadku”. Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Sekarang (barulah kamu mempunyai iman yang sempurna) wahai Umar!”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Selain hadis-hadis yang mengikat iman dengan kecintaan terhadap Nabi SAW, kita juga menemukan hadis-hadis yang menjadikan cintakan Nabi SAW sebagai pra-syarat bagi mendapatkan matlamat-matlamat sehebat kemanisan iman dan seagung dapat bersama dengan Nabi SAW dalam syurga Allah SWT.

Rasulullah SAW diriwayatkan bersabda,

Sesiapa yang terdapat di dalam dirinya tiga perkara ini, akan merasai kemanisan iman; Allah dan RasulNya lebih dikasihi daripada selain keduanya, dia mengasihi seseorang yang tidak dikasihinya melainkan kerana Allah dan dia berasa benci untuk kembali kepada kekufuran sebagaimana dia berasa benci sekiranya dicampakkan ke dalam neraka.
(Riwayat Ahmad, al-Bukhari, Muslim, Tirmizi dan Nasa’i di dalam Bab Iman)

Diketika yang lain seorang sahabat telah menanyakan baginda SAW,

“Bilakah akan berlaku hari kiamat, wahai Rasulullah?” (Dia bertanya sedemikian seolah-olah berasa rindu kepadanya). Jawab baginda SAW, “Apakah yang telah kamu sediakan untuk menghadapi hari kiamat?” Jawabnya, “Aku tidak bersedia menghadapinya dengan banyak melakukan solat, puasa (sunat) atau pun bersedekah tetapi aku amat kasih kepada Allah dan Rasul-Nya”. Sabda Baginda SAW, “Kamu akan bersama dengan orang yang kamu kasihi”.
(Riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Tirmizi)

Melihat nas-nas yang jelas di atas, apakah patut kita masih ragu-ragu atau lemah dalam berusaha membalas cinta kekasih yang unggul ini? Bijakkah kita jika masih menjulang cinta dunia melebihi cinta kita terhadap Nabi SAW?

Dalil Akal dan Fitrah

Selain kalam wahyu Qurani dan Nabawi, kewajipan dan keutamaan mencintai Nabi Muhammad SAW juga sangat selari dengan setiap akal yang salim dan segala fitrah yang sejahtera.

Lazimnya perasaan kasih adalah kecenderungan hati terhadap apa yang disamai atau disepakati sesama manusia sama ada persamaan atau kesesuaian pada fitrah semulajadi manusia ataupun hukum syarak.

Di antara persamaan yang menyebabkan terhasilnya kecenderungan dan kasih ini ialah:

  1. Kelazatan atau tarikan yang dirasai dan ditanggapi oleh pancaindera yang zahir terhadap sifat-sifat luaran orang yang dikasihinya seperti tarikan kepada rupa paras atau gambaran yang cantik, suara yang lunak, makanan dan minuman yang lazat. Semuanya ini, adalah kecenderungan semulajadi pada fitrah yang sejahtera.
  2. Kecenderungan atau tarikan yang dipandu dan dilahirkan oleh akal dan hati yang sejahtera terhadap sifat-sifat dalaman yang mulia dan baik yang dimiliki oleh seseorang yang dikasihi seperti suka atau kasih kepada orang-orang soleh, para ulama, ahli kebajikan yang dikhabarkan tentang perjalanan hidup mereka yang indah dan akhlak mereka yang baik.
  3. Fitrah manusia yang cenderung untuk mengasihi golongan ini mampu menghasilkan rasa keterikatan dan komitmen yang tinggi yang jika disalurkan dengan betul boleh menghasilkan kerja-kerja besar dan hebat.
  4. Perasaan suka dan kecenderungan yang lahir disebabkan oleh rasa terima kasih terhadap kebaikan seseorang dan nikmat-nikmat yang telah diterima daripadanya.
Sesungguhnya menjadi tabiat jiwa manusia, suka dan kasih kepada orang yang berbuat baik terhadapnya.

Jika kita meninjau faktor-faktor timbulnya cinta di atas pada diri Rasulullah SAW yang mulia, ternyata pada diri Baginda SAW terhimpun ketiga-tiga faktor tersebut sehingga mewajibkan secara aqli dan fitri Baginda SAW dikasihi dan dicintai oleh kita semua.

Adapun kecantikan rupa paras dan lahiriah Nabi SAW, kesempurnaan akhlak dan batin baginda SAW, telah dicatatkan dengan tinta emas dalam sejarah dan khazanah ilmu dan tidak dipertikaikan sama sekali.

Sekiranya kita cenderung mengasihi seseorang yang melakukan kebaikan kepada kita di dunia walau cuma sekali-dua pun serta sangat terhutang budi kepada orang yang telah menyelamatkan kita daripada kebinasaan dan kemudaratan semasa kita mengalami kesusahan duniawi barang seketika.

Maka sudah tentu insan istimewa yang telah membuka kepada kita segala pintu nikmat dan kebaikan yang berkekalan serta menyelamatkan kita daripada azab api neraka yang dahsyat adalah lebih patut, lebih utama dan lebih layak mendapat kasih dan cinta kita.

Semoga Allah SWT dengan limpahan rahmat-Nya, berkenan menganugerahkan kita dengan cinta-Nya, cinta Rasul-Nya, dan menyubur-mekar dalam sanubari kita cinta tulus terhadap Rasulullah SAW sebagaimana yang selayak dan sewajarnya cinta suatu umat yang mulia kepada Nabinya yang agung, SAW.

Wallahu a’lam.

- Oleh Panel Penyelidikan Yayasan Sofa, Negeri Sembilan

Friday, June 19, 2009

~* Kendalikan Perasaan Anda *~


Emosi dan perasaan seseorang akan bergolak disebabkan dua perkara; kegembiraan yang memuncak dan musibah yang berat. Dalam sebuah hadith Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:


“Sesungguhnya aku (Nabi) melarang dua suara yang dungu dan buruk, iaitu suara ketika sedang mendapatkan nikmat (bersuka ria) dan suara ketika tertimpa musibah (meratap).”

Dan Allah Ta’ala berfirman:


"(Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikanNya kepadamu…”
[Surah Al-Hadid: Ayat 23]

Maka dari itulah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam besabda:


“Sesungguhnya kesabaran (yang sempurna pahala) adalah kesabaran ketika mendapat benturan (musibah) pertama."

Oleh kerana itu, siapa yang mampu menguasai perasaannya dalam setiap peristiwa, baik yang memilukan dan juga yang menggembirakan, maka dia berhak mendapat penghargaan berupa hati yang teguh dan stabil serta memperoleh kebahagiaan yang tenang dan kenikmatan kerana berjaya mengalahkan nafsu. Allah menyebutkan bahawa manusia adalah makhluk yang senang bergembira dan berbangga diri. Namun, menurut Allah,ketika ditimpa kesusahan manusia mudah berkeluh kesah,dan ketika mendapatkan kebaikan manusia menjadi kikir kecuali orang-orang yang menunaikan solat. Maka mereka itulah orang-orang yang mampu berdiri seimbang di antara gelombang kesedihan yang keras dengan dan luapan kegembiraan yang tinggi. Dan mereka itulah yang akan sentiasa bersyukur tatkala mendapat kesenangan dan bersabar tatkala ditimpa kesusahan.


Sesungguhnya emosi yang tidak terkendali hanya akan meletihkan, menyakitkan dan meresahkan diri sendiri. Sebab, ketika seorang sedang marah misalnya, maka kemarahannya akan meluap dan sukar dikendalikan. Dan itu akan membuat seluruh tubuhnya gementar, mudah memaki sesiapa sahaja, seluruh isi hatinya tertumpah ruah, dan ia akan cenderung bertindak mengikut nafsunya. Sekiranya dia mengalami kegembiraan, dia akan menikmatinya secara berlebihan, mudah lupa diri dan tidak ingat lagi siapa dirinya.


Begitulah manusia; ketika sedang bermusuh dengan seseorang, dia cenderung mengherdik dan mencelanya, dan melupakan seluruh kebaikan orang yang tidak dia sukai begitu sahaja. Demikian pula ketika dia menyukai orang lain, dia akan segera melupakan kekurangannya, bahkan orang itu akan terus dia puja dan sanjung setinggi-tingginya seolah-olah tidak ada cacat-celanya. Dalam sebuah atsar disebutkan:


“Cintailah sesuatu yang kamu cintai sekadar saja, kerana biasa jadi suatu saat nanti ia akan menjadi sesuatu yang kamu benci; dan bencilah sesuatu yang kamu benci sekadarnya sahaja, kerana biasa jadi pada suatu saat nanti ia akan menjadi sesuatu yang kamu cintai.”

Dalam sebuah hadith, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:


“Aku memohon kepadaMu (Ya Allah) agar aku selalu boleh bersikap sederhana, baik ketika marah mahupun senang.”

Barangsiapa mampu mengawal emosinya, mengendalikan akal dan menimbang segalanya dengan benar, maka ia akan mudah melihat kebenaran, mengetahui petunjuk dan memutuskan sesuatu dengan benar.


Sesungguhnya Kami telah mengutus rasul-rasul dengan membawa bukti-bukti yang nyata dan tekah Kami turunkan bersama Al-Kitab dan neraca (keadilan) supaya manusia dapat melaksanakan keadilan…
(Al-Hadid)

esungguhnya Islam datang dengan membawa misi keadilan, keseimbangan, akhlak dan menuntun ke jalan yang lurus, sebagaimana Islam juga datang dengan membawa manhaj yang lurus, syariat yang diredhai dan agama yang suci.


“Dan demikianlah (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam) umat yang adil dan pilihan…”
[Surah Al-Baqarah: Ayat 143]

Oleh kerana itu, keadilan merupakan tuntutan yang diutamakan sebagaimana ia diperlukan dalam penerapan hukum. Sesungguhnya agama ini dibina atas dasar kebenaran dan keadilan. Yakni; benar dalam memberikan berita-berita Ilahi dan adil dalam menetapkan sesuatu hukum, perkataan, perbuatan dan akhlak.


“Telah sempurnalah kalimah Rabbmu (Al-Qur’an) sebagai kalimah yang benar dan adil…”
[Surah Al-An’am: Ayat 15]

~* Bersederhanalah *~


" Mereka yang bersifat kesederhanaan dalam semua hal tidak akan menjadi miskin "


Jika perlu marah, marahlah tetapi usah terlupa dengan perkataan sabar.

Jika perlu menangis, menangislah tetai usah terlupa dengan perkataan tenang.

Jika perlu patuh, patuhlah tetapi jangan sampai hilang kemerdekaan.

Jika mahu miskin, miskinlah tetapi jangan terlalu miskin , nanti mudah menjadi kufur.

Jika mahu kaya, kayalah tetapi jangan terlalu kaya sampai terlupa perkataan sedekah.

Jika mahu menjadi warak, lakukanlah ibadah sebanyak-banyaknya tetapi jangan sampai terlupa keperluan dunia.

Jika mahu sebuah kereta mewah, belilah selagi mampu dan menepati keperluan semasa.

Jika mahu dua buah rumah, belilah asal jangan sampai tak tahu makna perkataan puas.

Jika mahu menimbun harta, bekerja keraslah asal jangan sampai terlupa ibadah.

Jika mahu berhibur, berhiburlah asal tidak terlalu sakan dan menyalahi syariat.

Jika mahu memperkatakan hal orang, berkatalah asal jangan sampai mengumpat.

Jika mahu cemburu dengan kejayaan orang, cemburulah asalkan anda punberusaha kuat sepertinya.


Hidup sederhana akan memastikan anda tidak akan miskin selama-lamanya. Bersederhana dalam segala hal adalah titik kejayaan dalam semua perkara. Orang yang terlalu kaya kadang-kadang apabila miskin terus muflis; orang yang terlalu pandai kadang-kadang apabila bodoh terus sasau; orang yang terlalu kuat kadang-kadang apabila lemah terus tidak tidak berdaya.


Binalah harta sebanyak-banyaknya tetapi jangan sampai anda menjadi hamba kepada harta; binalah ibadah banyak-banyak tetapi jangan sampai terlupa soal-soal dunia; binalah kedudukan di tengah manusia tetapi jangan sampai hilang kepercayaan orang dan tercalar maruah diri.


Bukanlah seorang yang baik kalau beribadah sepanjang masa sedangkan untukmakan minumnya terpaksa meminta-minta. Seeloknya bersederhana dalam beribadah lantaran bekerja itu pun ibadah, membuang halangan di jalanan juga ibadah, menasihati orang juga ibadah.


Orang yang bersederhana sentiasa terpandang di mata dunia. Dia tidak akan hina oleh kemelaratan dan tidak terlalu tersohor oleh kepopularitian. Dia terpandang sepanjang masa baik oleh orang yang hina mahupun orang yang mulia. Berkuasanya bersederhana bagai kan pakaian yang menjadi penebat pada rasa dingin dan panas yang membakar


Sayidina Ali r.a . berkata,


" Berakhiratlah mengikut kemampuan dan janganlah menjadikan keluargamu hina dalam kemiskinan ."


Hendak bersedekah jangan sampai jatuh miskin; menyimpan harta jangan sampaidigelar si bakhil, beribadah jangan sampai semakin jahil.


Kata sayidina Ali r.a. lagi ,


" Insan tidak akan melihat kesalahan seseorang yang bersifat tawaduk dan lemah lembut ."


Tawaduk dan lemah lembut adalah kesederhanaan yang nyata, membangkitkan kasih sayang dan menumbuhkan cinta tulus. Jika anda impikan penghormatan manusia maka bersederhanalah dalam berbicara, berbatas-batas tatkala bergurau senda dan menyimpan sebahagian kesukaan ketika terlalu gembira.


..Bersederhana adalah jawapan kepada segala-galanya..

~* Tersenyumlah *~


Jiwa yang sentiasa tersenyum akan melihat kesulitan dengan tenang sambil berusaha mengatasinya. Jika mereka melihat sebuah persoalan, mereka tersenyum. Mereka turut tersenyum ketika sedang berusaha mengatasi persoalan dan tetap tersenyum ketika mampu mengatasinya. Sebaliknya, jiwa yang muram akan melihat kesulitan dan kesedihan. Setiap kali menemui kesulitan, ia akan meninggalkannya atau membesar-besarkanny a, semangatnya mulai lemah dan membuat dalih dengan kata-kata: “kalau…” “bila…” dan “jika…”.

Akhirnya, ia akan menyalahkan waktu, padahal waktu yang diumpatnya merupakan ciptaannya sendiri, yang berasal dari emosi dan kebiasaan buruknya. Dia menginginkan kejayaan di dunia ini, tetapi anehnya dia tidak mahu membayar harganya. Orang seperti ini ibarat seseorang yang hendak berjalan tetapi selalu dibayangi oleh seekor singa yang siap menerkam dirinya dari belakang.

Akibatnya, ia hanya menunggu langit menurunkan emasnya atau bumi mengeluarkan kandungan harta karunnya. Kesulitan-kesulitan ini merupakan perkara yang relatif. Yakni, segala sesuatu akan terasa sulit bagi jiwa yang kerdil, tapi bagi jiwa yang besar tiada istilah kesulitan baginya. Jiwa yang besar akan semakin besar kerana mampu mengatasi kesulitan-kesulitan itu. Sementara jiwa yang kecil akan semakin sakit kerana sering melarikan diri dari kesulitan itu.

Sesungguhnya kesulitan itu ibarat anjing yang liar. Apabila ia melihat anda, kemudian anda ketakutan dan lari, tentu ia akan menyalak dan mengejar anda. Sebaliknya, bila ia memandang anda, tapi anda berpura-pura tidak memerhatikannya dan menyorokkan pandangan mata anda kepadanya, tentu dia akan menyingkir dan merasa takut.

~* Hidayah Milik Allah *~


Hidayah, betapa mahalnya ia jika dibicarakan dalam rentang hidup anak manusia. Terlebih jika hidayah itu datang secara tiba-tiba, tanpa ada rencana dan tidak ada proses untuk mendapatkan yang direka. la begitu saja datang lalu tergetarlah episod hidup yang penuh dengan taburan cahaya.


Hidayah Allah SWT itu tidak diberikan kepada manusia berdasarkan kedudukan, keluarga, pangkat, dan harta mereka. Melainkan hidayah dan cahaya Allah itu diberikan kepada orang yang dikehendaki oleh-Nya dan berhak untuk menerimanya. Hidayah Allah dikerahkan bagi orang yang memang ingin mencarinya dan bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya.


Siapa saja yang ditunjukkan oleh Allah sebuah hidayah di dalam hatinya, kemudian dia berjuang dengan sungguh-sungguh di jalan Allah, dia rela Allah sebagai Tuhannya, dan menjadikan Allah sebagai tujuannya, maka keredhaan-Nya telah dipancarkan ke dalam matanya dan Allah memberikannya suatu petunjuk.


Untuk mencapai hidayah itu bukan hanya dengan banyak beribadah, tetapi harus disertai dengan keimanan dalam hati. Bukanlah iman kalau hanya dengan menyendiri dan berangan-angan, tetapi iman adalah yang bersemayam di dalam hati dan direalisasikan dengan amal perbuatan. Kebanyakan orang yang ahli ibadah zaman sekarang ini salah persepsi ketika mereka mengira bahawa jalan untuk mencapai hidayah adalah dengan banyak beribadah. Sehingga, mereka mengada-adakan suatu ibadah yang tidak diajarkan oleh Allah dalam syari'atnya.


Sesungguhnya Allah mengetahui bahawa di dalam hatimu ada keinginan untuk mendapatkan hidayah dan juga mengetahui apa yang tersembunyi di balik jiwamu bahawa kamu menginginkan- Nya. Kalau kamu bersungguh-sungguh mencari hidayah, pastilah Allah akan membukakan dan memberikan untukmu sesuatu yang tidak terlintas dalam hatimu. Janganlah di dalam kehidupan ini kamu kikir memberikan kemudahan, ilham, bimbingan, pemberian, cahaya dan keberkahan. Sesungguhnya Allah akan mendatangkan hidayah dari salah satunya.

Wednesday, June 17, 2009

~* 99 Langkah Menuju Kesempurnaan Iman *~

  1. Bersyukur apabila mendapat nikmat
  2. Sabar apabila mendapat kesulitan
  3. Tawakal apabila mempunyai rencana / rancangan
  4. Ikhlas dalam segala amal perbuatan
  5. Jangan membiarkan hati larut dalam kesedihan
  6. Jangan menyesal atas sesuatu kegagalan
  7. Jangan putus asa dalam menghadapi kesulitan
  8. Jangan usil dengan kekayaan orang
  9. Jangan hasad dan iri atas kejayaan orang
  10. Jangan sombong kalau memperoleh kejayaan
  11. Jangan tamak kepada harta
  12. Jangan terlalu menghendaki akan sesuatu kedudukan
  13. Jangan hancur kerana kezaliman
  14. Jangan goyah kerana fitnah
  15. Jangan berkeinginan terlalu tinggi yang melebihi kemampuan diri
  16. Jangan campuri harta dengan harta yang haram
  17. Jangan sakiti ayah dan ibu
  18. Jangan usir orang yang meminta-minta
  19. Jangan sakiti anak yatim
  20. Jauhkan diri dari dosa-dosa yang besar
  21. Jangan membiasakan diri melakukan dosa-dosa kecil
  22. Banyak berkunjung ke rumah Allah (masjid)
  23. Lakukan solat dengan ikhlas dan khusyu
  24. Lakukan solat fardhu di awal waktu, berjamaah di masjid
  25. Biasakan shalat malam
  26. Perbanyak dzikir dan do'a kepada Allah
  27. Lakukan puasa wajib dan puasa sunat
  28. Sayangi dan santuni fakir miskin
  29. Jangan ada rasa takut kecuali hanya kepada Allah
  30. Jangan marah berlebih-lebihan
  31. Cintailah seseorang dengan tidak berlebih-lebihan
  32. Bersatulah karena Allah dan berpisahlah kerana Allah
  33. Berlatihlah untuk banyak berfikir
  34. Penuhi janji apabila telah diikrarkan dan mintalah maaf apabila kerana sesuatu sebab tidak dapat dipenuhi
  35. Jangan mempunyai musuh, kecuali dengan iblis/syaitan
  36. Jangan percaya ramalan manusia
  37. Jangan terlampau takut miskin
  38. Hormatilah setiap orang
  39. Jangan terlampau takut kepada manusia
  40. Jangan sombong, takabur dan besar kepala
  41. Berlakulah adil dalam segala urusan
  42. Biasakan istighfar dan taubat kepada Allah
  43. Bersihkan rumah dari patung-patung berhala
  44. Hiasi rumah dengan bacaan Al-Quran
  45. Perbanyakkan silaturrahim
  46. Tutup aurat sesuai dengan petunjuk Islam
  47. Bicaralah secukupnya
  48. Beristeri/bersuami kalau sudah siap segala-galanya
  49. Hargai waktu, disiplin waktu dan manfaatkan waktu
  50. Biasakan hidup bersih, tertib dan teratur
  51. Jauhkan diri dari penyakit-penyakit bathin
  52. Sediakan waktu untuk santai dengan keluarga
  53. Makanlah secukupnya, tidak kekurangan dan tidak berlebihan
  54. Hormatilah kepada guru dan ulama
  55. Sering-sering bershalawat kepada nabi
  56. Cintai keluarga Nabi saw
  57. Jangan terlalu banyak hutang
  58. Jangan terlampau mudah berjanji
  59. Selalu ingat akan saat kematian dan sedar bahawa kehidupan dunia adalah kehidupan sementara
  60. Jauhkan diri dari perbuatan-perbuatan yang tidak bermanfaat seperti bercakap-cakap yang tidak berguna
  61. Bergaul lah dengan orang-orang soleh
  62. Sering bangun di penghujung malam, berdoa dan beristighfar
  63. Lakukan ibadah haji dan umrah apabila sudah mampu
  64. Maafkan orang lain yang berbuat salah kepada kita
  65. Jangan dendam dan jangan ada keinginan membalas kejahatan dengan kejahatan lagi
  66. Jangan membenci seseorang karena pahaman dan pendiriannya
  67. Jangan benci kepada orang yang membenci kita
  68. Berlatih untuk berterus terang dalam menentukan sesuatu pilihan
  69. Ringankan beban orang lain dan tolonglah mereka yang mendapatkan kesulitan
  70. Jangan melukai hati orang lain
  71. Jangan membiasakan berkata dusta
  72. Berlakulah adil, walaupun kita sendiri akan mendapatkan kerugian
  73. Jagalah amanah dengan penuh tanggung jawab
  74. Laksanakan segala tugas dengan penuh keikhlasan dan kesungguhan
  75. Hormati orang lain yang lebih tua dari kita
  76. Jangan membuka aib orang lain
  77. Lihatlah orang yang lebih miskin daripada kita, lihat pula orang yang lebih berjaya dari kita
  78. Ambilah pelajaran dari pengalaman orang-orang arif dan bijaksana
  79. Sediakan waktu untuk merenung apa-apa yang sudah dilakukan
  80. Jangan sedih kerana miskin dan jangan sombong kerana kaya
  81. Jadilah manusia yang selalu bermanfaat untuk agama,bangsa dan negara
  82. Kenali kekurangan diri dan kenali pula kelebihan orang lain
  83. Jangan membuat orang lain menderita dan sengsara
  84. Berkatalah yang baik-baik atau tidak berkata apa-apa
  85. Hargai kejayaan dan pemberian orang
  86. Jangan habiskan waktu untuk sekedar hiburan dan kesenangan
  87. Akrablah dengan setiap orang, walaupun yang bersangkutan tidak menyenangkan
  88. Sediakan waktu untuk berolahraga yang sesuai dengan norma-norma agama dan kemamapuan diri kita
  89. Jangan berbuat sesuatu yang menyebabkan jasmani atau fikiran kita menjadi terganggu
  90. Ikutilah nasihat orang-orang yang arif dan bijaksana
  91. Pandai-pandailah untuk melupakan kesalahan orang dan pandai-pandailah untuk melupakan jasa kita
  92. Jangan berbuat sesuatu yang menyebabkan orang lain terganggu dan jangan berkata sesuatu yang dapat menyebabkan orang lain terhina
  93. Jangan cepat percaya kepada berita jelek yang menyangkut teman kita sebelum dipastikan kebenarannya
  94. Jangan menunda-nunda pelaksanaan tugas dan kewajiban
  95. Sambutlah huluran tangan setiap orang (pastikan aurat) dengan penuh keakraban dan keramahan dan tidak berlebihan
  96. Jangan memaksa diri untuk melakukan sesuatu yang diluar kemampuan diri
  97. Waspadalah akan setiap ujian, cobaan, godaan dan tentangan. Jangan lari dari kenyataan kehidupan
  98. Yakinlah bahwa setiap kebajikan akan melahirkan kebaikan dan setiap kejahatan akan melahirkan kerosakan
  99. Jangan berjaya di atas penderitaan orang dan jangan kaya dengan memiskinkan orang

~* Doa Ku Pada MU *~


Oh Tuhan!
Setiap kali kami menulis huruf kecil tentang kemegahanMU
dan segala makna akan cair di depan kemulianMU


Jesteru Ya ALLAH!
Gantikanlah di tempat keresahan ini dengan kedamaian
Di tempat kedukaan dengan kegembiraan
Di tempat ketakutan dengan keamanan"


Ya ALLAH!
Sejukkanlah gejolak hati ini dengan salji keyakinan
dan padamkanlah bara dijiwa ini dengan air keimanan


Oh Tuhan!
Halakanlah kebingungan pandangan hatiku kepada Nur cahayaMU
Dan tindakan-tindakan yang keliru kepada jalanMU yang lurus
Dan palingkanlah orang-orang yang menyimpang dari jalanMU kepada hidayahMU


Ya ALLAH!
Lenyapkanlah was-was dengan fajar cahaya keyakinan
Dan hapuskanlah jiwa yang rosak dengan falak kebenaran
Dan tolaklah tipu daya syaitan dengan tentera bantuanMU dalam keadaan terhina


Ya ALLAH!
Lenyapkanlah dukacita kami, hilangkanlah kesedihan kami
Dan halaukanlah keresahan dari hati kami


Kami berlindung kepadaMU dari rasa takut
Kami hanya bersandar dan berserah kepadaMU
Kami tidak meminta kecuali kepadaMU
Kami tidak meminta tolong kecuali kepadaMU
Engkaulah Pemelihara kami
Sebaik-baik pelindung dan penolong......

~* Why Do Muslims Fast In Ramadan? *~

What is Fasting (Sawm)? Sawm (Arabic: صوم) is an Arabic word for fasting regulated by Islamic jurisprudence. In the terminology of Islamic l...