Monday, April 14, 2008

~* Heart of the matter *~


“Truly in the heart there is a sadness that can not be removed except with the happiness of knowing Allah (SWT) and being true to Him.

And in it there is an emptiness that can not be filled except with love for Him and by turning to Him and always remembering Him.

And if a person were given all of the world and what is in it, it would not fill this emptiness.”

- Ibn Al-Qayyim

Thursday, April 10, 2008

~* Bersangka Buruk: Fitnah & Mengumpat *~


Rasulullah s.a.w menjelaskan, tatkala ditanya oleh seorang sahabat,


"Wahai Rasulullah, apakah itu ghibah?" Lalu jawab Baginda, "Menyebut sesuatu yang tidak disukai oleh saudaramu di belakangnya!" Kemudian Baginda ditanya lagi, "Bagaimana sekiranya apa yang disebutkan ltu benar?" jawab Baginda, "Kalau sekiranya apa yang disebutkan itu benar, maka itulah ghibah, tetapi jika sekiranya perkara itu tidak benar, maka engkau telah melakukan buhtan (pembohongan besar)." (Hadis riwayat Muslim, Abu Daud dan At-Tarmizi).


Ghibah (menyebut keburukan orang lain walaupun benar) amat buruk, apalagi buhtan (memfitnah dan mengada-adakan keburukan seseorang). Orang yang mendengar ucapan ghibah juga turut memikul dosa ghibah, kerana dia masuk dalam ghibah itu sendiri. Kecuali dia mengingkarinya dengan lidah, atau menerima dengan hatinya. Bila ada kesempatan maka lebih utama baginya mengalihkan ghibah tersebut dengan pembicaraan lain yang lebih bermanfaat.


Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:


"Seseorang hamba yang membicarakan sesuatu yang belum jelas baginya (hakikat dan akibatnya), akan dilempar ke neraka sejauh antara timur dan barat." (Riwayat Muslim)


Ghibah bukan hanya pada ucapan lidah, tetapi setiap gerakan, isyarat, ungkapan, sindiran, celaan, tulisan atau segala sesuatu yang dipahami sebagai hinaan. Mendengar orang yang sedang ghibah dengan sikap kagum dan menyetujui apa yang dikatakannya, hukumnya sama dengan ghibah. Pahala amal kebaikan orang yang melakukan ghibah akan berikan kepada orang yang menjadi sasaran ghibahnya. Islam mengharamkan dan melarang ghibah kerana boleh mengakibatkan putus ukhuwah, rosak kasih sayang, timbul permusuhan, tersebar aib, lahir kehinaan dan timbul keinginan untuk melakukannya.


Perkataan "fitnah" berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud kekacauan, bencana, cubaan dan penyesatan. Fitnah sering dimaksudkan sebagai berita bohong atau tuduhan yang diada-adakan untuk membinasakan seseorang yang tidak sesuai dengan kenyataan atau kebenaran.


Al-Quran dalam surah al-Hujuraat ayat 12 dengan jelas menghuraikan persoalan fitnah.


"Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sesetengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat lagi maha Pengasihani".


Rasulullah telah bersabda yang bermaksud:


"Sesiapa yang beriman kepada Allah (SWT) dan hari Kemudian, maka hendaklah dia mengucapkan perkataan yang baik dan kalau tidak, hendaklah diam." (Riwayat Bukhari dan Muslim)


Ini membawa maksud bahawa seseorang yang beriman itu perlu sentiasa mengawasi lidahnya dan apabila berkata hanya kepada perkara-perkara yang memberi kebaikan kepada dirinya dan orang lain. Kalau tidak dapat memberi sesuatu yang membawa kebaikan maka adalah lebih baik berdiam diri sahaja.


Hadis riwayat Ahmad dan Tharani:


"Barang siapa yang mengetahui ada orang mukmin dihina di depannya, ia harus membelanya, mempertahankan nama baik si mukmin itu. Apabila ia tidak mahu melakukan pembelaan itu, maka Allah (SWT) akan menghinanya di depan orang ramai.''


Rasulullah s.a.w. ditanya tentang kelakuan apakah yang paling banyak memasukkan seseorang ke dalam syurga.


Jawab baginda: "Taqwa kepada Allah (SWT) dan keindahan akhlak," dan ketika baginda ditanya: "Apakah yang paling banyak memasukkan orang ke dalam neraka?" Baginda menjawab: "Kejahatan mulut dan kemaluan".


Allah (SWT) memberi amaran kepada golongan yang suka berbohong dan berdusta di dalam firman-Nya bermaksud:


"Maka nyatalah bahawa tidak ada yang lebih zalim daripada orang yang mereka-reka perkara-perkara yang dusta terhadap Allah, dan mendustakan kebenaran sebaik-baik sahaja kebenaran itu disampaikan kepadanya. Bukankah (telah diketahui bahawa) dalam neraka jahanam disediakan tempat tinggal bagi orang-orang kafir?" (Surah az-Zumar: Ayat 32)


Allah (SWT) berfirman bermaksud:


"Mahukah Aku khabarkan kepada kamu, kepada siapakah syaitan-syaitan itu selalu turun? Mereka selalu turun kepada tiap-tiap pendusta yang berdosa, yang mendengar bersungguh-sungguh (apa yang disampaikan oleh syaitan-syaitan itu) sedangkan kebanyakan beritanya adalah dusta." (Surah asy-Syuaraa': Ayat 221-223)


Daripada Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud:


"Tidak beriman seseorang itu dengan sempurna sehingga ditinggalkan pembohongan sama ada semasa senda gurau atau semasa bersengketa atau perbalahan."


Imam JaFar al-Sadiq AS berkata,


"Orang yang mengada-adakan cerita palsu tentang orang Mukmin dengan tujuan untuk menghinanya, Allah (SWT) akan menghinanya pada Hari Pengadilan."


Riwayat Muslim,


"Seseorang yang sudah cukup disebut pendusta (pembohong) jika ia berbicara hanya atas dasar setiap apa yang ia dengar."


Yahya bin Mu'aadz Arrazi berkata:


"Jadikanlah bahagian orang mukmin daripadamu tiga macam supaya tergolong orang yang baik."

...Jika engkau tidak dapat menguntungkan kepadanya, maka jangan merugikan (merosaknya).

...Jika engkau tidak dapat menyenangkannya, maka jangan menyusahkannya.

...Jika engkau tidak memujinya, maka jangan mencelanya.

Sabda Rasulullah bermaksud:


"Sesiapa mengawal lidahnya (daripada memperkatakan kehormatan orang) maka Allah (SWT) akan menutup kecelaannya (hal-hal yang memalukan). Sesiapa yang menahan kemarahannya, Allah (SWT) akan melindunginya daripada seksa-Nya. Dan sesiapa yang meminta kelonggarannya kepada Allah (SWT), maka Allah (SWT) akan menerima permintaan kelonggarannya." (Hadis riwayat Ibnu Abib-Duanya).


Hadis diriwayatkan oleh Ibnu Abid-Dunya bermaksud:


"Tidak akan lurus iman seseorang hamba, sehingga lurus pula hatinya, dan tidak akan lurus hatinya sehingga lurus pula lidahnya. Dan seorang hamba tidak akan masuk syurga selagi tetangganya belum aman daripada kejahatannya."


Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah telah bersabda:


"Jauhilah tujuh perkara yang boleh membinasakan kamu iaitu menyebabkan kamu masuk Neraka atau dilaknati oleh Allah (SWT)." Para Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Apakah tujuh perkara itu? Rasulullah bersabda: "Mensyirikkan Allah (SWT) iaitu menyekutukanNya, melakukan perbuatan sihir, membunuh manusia yang diharamkan oleh Allah melainkan dengan hak, memakan harta anak yatim, memakan harta riba, lari dari medan pertempuran dan memfitnah perempuan-perempuan yang baik iaitu yang boleh dikahwini serta menjaga maruah dirinya, juga perempuan yang tidak memikirkan untuk melakukan perbuatan jahat serta perempuan yang beriman dengan Allah (SWT) dan RasulNya dengan fitnah melakukan perbuatan zina."


Hadis Rasulullah s.a.w. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda:


"Janganlah kamu saling benci-membenci, dengki-mendengki dan sindir-menyindir. Jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah (SWT) yang bersaudara. Haram seseorang muslim berkelahi dengan saudaranya lebih dari tiga hari lamanya."


Memperkatakan sesuatu bermaksud buruk amat ditegah. Ini dinyatakan dalam Firman Allah (SWT) yang bermaksud:


"Allah (SWT) tidak suka kepada perkataan buruk yang dikatakan terang-terang. Kecuali (hanya di muka pengadilan saja) oleh yang dianiaya." (Surah an-Nisa: Ayat 12)


Hadis Rasulullah s.a.w. Diriwayatkan daripada Huzaifah r.a katanya: Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:


"Tidak masuk Syurga orang yang suka menabur fitnah."


Allah (SWT) meletakkan dosa membuat fitnah lebih buruk kesannya daripada membunuh. Firman Allah (SWT) bermaksud:


"...fitnah itu besar (dahsyat) dari melakukan pembunuhan..." (Surah al-Baqarah: Ayat 217)

Saturday, April 5, 2008

~* Ciri-ciri wanita solehah *~

TIDAK banyak syarat yang dikenakan oleh Islam untuk seseorang wanita menerima gelaran solehah, dan seterusnya menerima pahala syurga yang penuh kenikmatan dari Allah (SWT).

Mereka hanya perlu memenuhi 2 syarat iaitu :


  1. Taat kepada Allah dan RasulNya
  2. Taat kepada suami

Perincian dari dua syarat di atas adalah sebagai berikut :


1. Taat kepada Allah (SWT) dan RasulNya


Bagaimana yang dikatakan taat kepada Allah (SWT)?


  • Mencintai Allah (SWT) dan Rasulullah s.a.w. melebihi dari segala-galanya.
  • Wajib menutup aurat.
  • Tidak berhias dan berperangai seperti wanita jahiliah.
  • Tidak bermusafir atau bersama dengan lelaki dewasa kecuali ada mahram bersamanya.
  • Sering membantu lelaki dalam perkara kebenaran, kebajikan dan taqwa.
  • Berbuat baik kepada ibu & bapa.
  • Sentiasa bersedekah baik dalam keadaan susah ataupun senang.
  • Tidak berkhalwat dengan lelaki dewasa.
  • Bersikap baik terhadap tetangga.

2. Taat kepada suami


  • Memelihara kewajipan terhadap suami.
  • Sentiasa menyenangkan suami.
  • Menjaga kehormatan diri dan harta suaminya selama suami tiada di rumah.
  • Tidak bermasam muka di hadapan suami.
  • Tidak menolak ajakan suami untuk tidur.
  • Tidak keluar tanpa izin suami.
  • Tidak meninggikan suara melebihi suara suami.
  • Tidak membantah suaminya dalam kebenaran.
  • Tidak menerima tamu yang dibenci suaminya.
  • Sentiasa memelihara diri, kebersihan & kecantikannya serta rumah tangga.

FAKTOR YANG MERENDAHKAN MARTABAT WANITA


Sebenarnya puncak rendahnya martabat wanita adalah dari faktor dalaman. Bukanlah faktor luaran atau yang berbentuk material sebagaimana yang digembar-gemburkan oleh para pejuang hak-hak palsu wanita.


Faktor-faktor tersebut ialah:


  • Lupa mengingat Allah (SWT).


  • Kerana terlalu sibuk dengan tugas dan kegiatan luar atau memelihara anak-anak, maka tidak hairanlah jika banyak wanita yang tidak menyedari bahawa dirinya telah lalai dari mengingat Allah (SWT). Dan saat kelalaian ini pada hakikatnya merupakan saat yang paling berbahaya bagi diri mereka, di mana syaitan akan mengarahkan hawa nafsu agar memainkan peranannya.


    Firman Allah (SWT) di dalam surah al-Jathiah, Ayat 23: ertinya:


    "Maka sudahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya dan Allah (SWT) membiarkannya sesat berdasarkan ilmunya. Dan Allah (SWT) telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya.”


    Sabda Rasulullah s.a.w.: ertinya:


    “Tidak sempurna iman seseorang dari kamu, sehingga dia merasa cenderung kepada apa yang telah aku sampaikan.” (Riwayat Tarmizi)


    Mengingati Allah (SWT) bukan saja dengan berzikir, tetapi termasuklah menghadiri majlis-majlis ilmu.


  • Mudah tertipu dengan keindahan dunia.


  • Keindahan dunia dan kemewahannya memang banyak menjebak wanita ke perangkapnya. Bukan itu saja, malahan syaitan dengan mudah memperalatkannya untuk menarik kaum lelaki agar sama-sama bergelumang dengan dosa dan noda. Tidak sedikit yang sanggup durhaka kepada Allah s.w.t. hanya kerana kenikmatan dunia yang terlalu sedikit.


    Firman Allah (SWT) di dalam surah al-An’am: ertinya:


    "Dan tidaklah penghidupan dunia ini melainkan permainan dan kelalaian dan sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa, oleh kerana itu tidakkah kamu berfikir.”


  • Mudah terpedaya dengan syahwat.

  • Lemah iman.

  • Bersikap suka menunjuk-nunjuk.


  • Allah (SWT) berfirman:


    “Ketika Aku menciptakan seorang wanita, ia diharuskan untuk menjadi seorang yang istimewa. Aku membuat bahunya cukup kuat untuk menopang dunia, namun, harus cukup lembut untuk memberikan kenyamanan.”


    “Aku memberikannya kekuatan dari dalam untuk mampu melahirkan anak dan menerima penolakan yang seringkali datang dari anak-anaknya.”


    “Aku memberinya kekerasan untuk membuatnya tetap tegar ketika orang-orang lain menyerah, dan mengasuh keluarganya dengan penderitaan dan kelelahan tanpa mengeluh.”


    “Aku memberinya kepekaan untuk mencintai anak-anaknya dalam setiap keadaan,bahkan ketika anaknya bersikap sangat menyakiti hatinya.”


    “Aku memberinya kekuatan untuk mendukung suaminya dalam kegagalannya dan melengkapi dengan tulang rusuk suaminya untuk melindungi hatinya.”


    “Aku memberinya kebijaksanaan untuk mengetahui bahawa seorang suami yang baik takkan pernah sakiti isterinya, tetapi kadang menguji kekuatannya dan ketetapan hatinya untuk berada disisi suaminya tanpa ragu.”


    “Dan akhirnya, Aku memberinya air mata untuk dititiskan. Ini adalah khusus miliknya untuk digunakan bilapun ia perlukan.”


    “Kecantikan seorang wanita bukanlah dari pakaian yang dikenakannya, susuk yang ia tampilkan, atau bagaimana ia menyisir rambutnya. Kecantikan seorang wanita harus dilihat dari matanya,kerana itulah hatinya,tempat dimana cinta itu ada.”

    ... Dunia adalah perhiasan, perhiasan dunia yang terbaik adalah Wanita yang solehah ...

    Antara 9 Siti yang patut dicontohi


    1. Siti Khadijah
      Beliau merupakan isteri Rasulullah s.a.w yg melahirkan anak-anak Rasulullah, setia dan menyokong Rasulullah walaupun ditentang hebat oleh orang-orang kafir dan musyrik, menghantarkan makanan kepada Baginda ketika Baginda beribadat di Gua Hira’.
    2. Siti Fatimah
      Anak Rasulullah yg tinggi budi pekertinya. Sangat kasih dan setia kepada suaminya Ali karamallahu wajhah walaupun Ali miskin. Tidur berkongsikan 1 bantal dan kadang-kadang berbantalkan lengan Ali. Rasulullah pernah berkata aku takkan maafkan kamu wahai Fatimah sehinggalah Ali maafkan kamu.

    3. Siti A’ishah
      Beliau isteri Rasulullah yg paling romantik. Sanggup berkongsi bekas makanan dan minuman dengan Rasulullah. Di mana Nabi s.a.w minum di situ beliau akan minum menggunakan bekas yang sama.

    4. Siti Hajar
      Isteri Nabi Ibrahim yg patuh kpd suami dan suruhan Allah. Sanggup ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim atas suruhan Allah demi kebaikan. Berjuang mencari air utk anaknya Nabi Ismail (Pengorbanan seorang ibu mithali).

    5. Siti Mariam
      Wanita suci yang memang pandai menjaga kehormatan diri dan mempunyai maruah yg tinggi sehingga rahimnya dipilih oleh Allah s.w.t untuk mengandungkan Nabi Isa.

    6. Siti Asiah
      Isteri Firaun yang tinggi imannya dan tidak gentar dengan ujian yang dihadapinya daripada Firaun Laknatullah.
    7. Siti Aminah
      Wanita mulia yang menjadi ibu kandung Rasullullah. Mendidik baginda menjadi insan mulia.

    8. Siti Muti’ah
      Isteri yang patut dicontohi dan dijanjikan Allah syurga untuknya kerana setianya kepada suami, menjaga makan minum, menyediakan tongkat untuk dipukul oleh suaminya sekiranya layanannya tidak memuaskan hati, berhias dengan cantik untuk tatapan suaminya sahaja.

    9. Siti Zubaidah
      Wanita kaya dermawan yang menjadi isteri Khalifah Harun Al-Rashid. Sanggup membelanjakan semua hartanya untuk membina terusan untuk kegunaan org ramai hanya niat kerana Allah s.w.t.

    Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam dalam sebuah hadits:


    إِذَا صَلَّتِ الْمَرْأَةُ خَمْسَهَا وَأَطَاعَتْ زَوْجَهَا وَأَحْصَنَتْ فَرْجَهَا دَخَلَتْ جَنَّةَ رَبِّهَا مِنْ أَبْوَابِهَا شَاءَتْ


    “Apabila seorang wanita mengerjakan shalat lima waktunya, ia menaati suaminya dan menjaga kemaluannya, nescaya ia akan masuk ke dalam surga Rabbnya dari pintu mana saja yang ia inginkan.”


    - HR. Ibnu Hibban dalam Shahih-nya

    ~* Musibah bukan makna kita dizalimi *~


    ADA manusia yang menyangka apabila Allah Taala menurunkan suatu musibah kepada dirinya, dia menganggap itu suatu petanda Allah mahu menghinanya. Ramai pula orang lain yang memusuhinya akan menuduh dengan pelbagai spekulasi.


    Mereka akan berkata: “Oh, begitulah akibat yang menimpa orang yang zalim, Allah menghinanya.” Seperti tertulis dalam firman Allah Taala bermaksud:


    “Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya, lalu memuliakannya dan diberinya kesenangan, maka dia berkata: ‘Tuhanku memuliakanku’. Adapun bila Tuhannya mengujinya lalu membatasi rezekinya, maka dia berkata: ‘Tuhanku menghinaku’.” (Surah al-Fajr: Ayat 15 dan 16)


    Lebih teruk lagi ada pula yang percaya bahawa penyebab musibah itu daripada kuasa hebat seorang manusia. Pernah diceritakan kepada saya ada seorang hamba Allah yang menziarahi masjid wali-wali di Indonesia, tiba-tiba sakit kononnya kerana dia tidak percaya kuasa ghaib di kubur wali itu. Lahawla wala quwwata illa billah, apakah yang mendatangkan sakit itu adalah wali? Sungguh kepercayaan karut sebegini mampu memusnahkan akidah.


    Musibah yang menimpa anda bukanlah kerana buatan manusia yang memiliki kuasa atau ilmu tertentu. Ia hanyalah datang daripada Allah bagi membawa khabar gembira bahawa Dia sentiasa merahmati anda.


    Boleh jadi jika anda tidak disentuh musibah, anda akan cepat lupa dan tak perasan langsung dengan kewujudan Allah dalam kehidupan anda. Jika anda merintih disebabkan hati yang hancur mengenangkan nasib, kemudian mengadu kepada Allah dan percaya bahawa Dia akan menghapus luka itu dan menggantikan musibah itu dengan anugerah yang lebih baik, maka sesungguhnya saat seperti ini iman dan keyakinan anda kepada Allah berada di atas kemuncak yang paling tinggi.


    Tiada yang lebih menggembirakan Allah melainkan suatu saat ketika Dia mendengar tangisan penyesalan dan keluhan orang yang mahu meminta pertolonganNya. Allah suka melihat hamba-Nya mengaku lemah dan tidak berdaya.


    Allah juga menyukai hamba-Nya yang mengaku bahawa kekuatan dan kekuasaan itu hanya milik Allah. Rancanglah sebaik mungkin, tetap tertulis, kuasa Allah saja yang menentukan nasib kita.


    Antara adab ketika ditimpa musibah ialah:


  • Percaya bahawa Allah tidak sesekali akan menzalimi diri anda.
  • Jika manusia mahu menerima musibah itu umpama suatu teguran, dia tidak akan cepat melatah seraya berputus asa. Bahkan dia sanggup menerimanya umpama satu cambukan yang membangkitkan semangat bagi memperbaiki diri.


    Allah tidak sesekali menzalimi hamba-Nya. Ujian itu tujuannya adalah untuk membelai hati supaya lebih sensitif, peka dan waspada atas segala kesilapan yang dilakukan. Allah sayang kepada anda dan mahu anda berada dekat di sisi-Nya ketika lemah dan perlukan pertolongan.


  • Meyakini musibah itu menyimpan rahmat besar di sebaliknya.
  • Allah akan menggantikan musibah itu dengan sesuatu yang lebih baik dan pasti akan menghapuskan kesakitan dengan kegembiraan. Mungkin ketika anak kecil kita meninggal dunia, kita akan lebih menyayangi anak kita yang lain.


    Allah menggantikan kehilangan satu jiwa dengan menghidupkan jiwa anak kita yang lain dengan iman kerana kita menjaga dan mendidik mereka dengan lebih teliti. Saat sakit yang menghampirkan nyawa ke hujungnya kita tidak mengeluh menyalahkan Tuhan akan nasib malang menderita kesakitan yang teramat sangat, bahkan menelannya dengan reda atas ketentuan-Nya sambil mengingat kembali terlalu banyak nikmat Allah yang selama ini dikecapi.


    Apabila kembali sihat, bertambahlah kesyukuran itu. Lantas kita melipatgandakan ibadat kerana tidak mahu kehilangan satu saat pun di sepanjang usia kita. Bukankah semua musibah itu boleh diterima sebagai rahmat? Bukannya seksaan dan kekejaman Tuhan?


  • Banyak mengingat nikmat Allah yang sudah dirasai.
  • Ketika sedih eloklah kita membaca surah al-Duha yang akan menghapus rasa sedih dan putus asa. Nabi SAW pernah bersedih kerana terputusnya wahyu agak lama. Suatu hari Ummu Jamil, isteri Abu Lahab mencela Rasulullah SAW dengan katanya: “Nampaknya kawan kamu itu meninggalkan kamu dan memboikot kamu.” Lalu Allah menurunkan surah Al-Dhuha dengan firman-Nya bermaksud:


    “Tuhanmu tidak sesekali meninggalkanmu dan tidak pula membencimu.”


    Mengapa kita berasa Allah meninggalkan dan membenci kita ketika musibah datang? Perasaan ini sebenarnya berasal daripada hasutan syaitan supaya kita berputus asa dari rahmat-Nya. Firman-Nya lagi dalam surah al-Duha yang bermaksud:


    “Dan sesungguhnya akhirat itu lebih baik bagimu dari kehidupan dunia. Dan kelak Tuhanmu pasti memberikan kurnia-Nya kepadamu lalu kamu reda.”


    Ayat ini seolah-olah memujuk kita supaya tabah dan menganggap kecil segala urusan dunia jika dibandingkan dengan akhirat. Ia juga menyuruh kita untuk yakin dengan janji Allah yang akan menggantikan kesusahan dunia dengan kesenangan akhirat yang abadi.


    Kemudian Allah berfirman lagi dalam surah al-Duha bermaksud:


    “Bukankah Dia mendapatimu sebagai anak yatim, lalu Dia melindungimu. Dia mendapatimu sebagai orang yang kehilangan arah lalu memberi petunjuk bagimu. Dan Dia mendapatimu sebagai orang yang serba kekurangan lalu mencukupimu.”


    Hati kita pasti kembali disentuh dengan kalimah yang begitu menghiris perasaan. Betapa Allah amat mengasihani diri yang tidak memiliki apa-apa ini. Jika boleh ditimbang yang manakah lebih banyak, musibah atau nikmat yang kita rasai di dunia ini?


    Sungguh biadapnya lidah yang pernah berkeluh-kesah dan hati yang tidak mahu bersyukur di atas segala ketentuan-Nya.


  • Segala sesuatu akibat daripada perbuatan tangan yang zalim.
  • Apakah dosa kita sehingga harus menerima musibah ini? Soalan sebegini bukan bermaksud tidak reda dengan ketentuan Allah, tetapi lebih kepada sikap mencari keaiban diri dan mahu bermuhasabah untuk lebih mempertingkatkan iman dan amal salih.


    Sudah pasti setiap sesuatu menyimpan hikmah di sebaliknya. Terpulang kepada diri sendiri bertanya, apakah menerima musibah sebagai suatu peringatan daripada Allah atau langsung membutakan mata dan hati atas kesilapan yang pernah dilakukan?


    Lidah boleh menafikan sekeras-kerasnya, tetapi hati dapat berasa di manakah salah silapnya. Hanya orang yang kuat imannya yang mampu menjawab setiap hikmah di sebalik setiap musibah. Tiada manusia yang lepas dari ujian hatta Nabi dan Rasul.


    Bahkan Nabi dan Rasul menerima ujian yang jauh lebih berat dan tidak mampu dipikul oleh manusia biasa. Bukan bermakna ujian itu merendahkan iman seseorang, bahkan ia akan melonjakkannya ke tempat yang paling tinggi.


    Berbahagialah orang yang diuji jika mereka reda dan sedikitpun tidak berubah hati kepada Allah. Kita perlu membuktikan kepada Allah bahawa diri ini tidak pernah berubah di dalam mencintai-Nya, biar senang ataupun susah.


    - Bersama Dr Juanda Jaya (Penulis ialah pendakwah dari negeri Sarawak).

    ~* Tudung antara aurat dan fesyen *~


    SEBAGAI orang Islam kita bangga melihat semakin ramai kaum wanita memakai jilbab atau tudung menutupi kepala mereka. Pelbagai ‘fesyen’ dapat dilihat.

    Kewajipan memakai jilbab ini ditegaskan melalui firman Allah:


    "Hai Nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu, dan isteri-isteri orang Mukmin, hendaklah mereka menutupi jilbab ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah Al-Ahzab: Ayat 59)


    Sesungguhnya memakai jilbab bukan sahaja menunjukkan dengan jelas identiti seseorang wanita muslim tetapi juga mampu memelihara mereka daripada tatapan mata liar sehingga mereka tidak diganggu sekali gus memastikan kesucian mereka terpelihara.


    Namun dalam keghairahan kaum wanita Islam memakai jilbab mereka juga harus memahami bahawa jilbab bukan sekadar pakaian menutup tubuh sahaja. Mereka juga harus memastikan ia benar-benar mematuhi syarat yang ditetapkan oleh Islam.


    Syeikh Muhammad Nashiruddin Al-Albani dalam kitabnya, Jilbab Al-Mar'ah Al-Muslimah menyebutkan lapan syarat jilbab syarie iaitu:


    • Menutup seluruh tubuh, kecuali muka dan telapak tangan.
    • Bukan untuk tabarruj (bersolek) yang boleh menyebabkan pandangan mata tertuju kepadanya.
    • Bahannya diperbuat daripada kain yang tebal dan tidak nipis.
    • Kainnya longgar, tidak ketat dan tidak membentuk lekuk tubuh.
    • Tidak diberi memakai minyak wangi seperti mana peringatan Rasulullah s.a.w.: Mana-mana wanita yang memakai wangi-wangian dan kemudian berjalan di hadapan orang ramai dan mereka menghidu baunya, maka dia adalah penzina.
    • Tidak menyerupai pakaian lelaki.
    • Tidak menyerupai pakaian orang-orang kafir.
    • Bukan memakainya kerana untuk mencari populariti. Ia sesuai dengan peringatan Rasululullah melalui sabdanya:

    "Barang siapa mengenakan pakaian untuk mencari populariti di dunia, nescaya Allah akan memakainya dengan pakaian kehinaan pada hari kiamat, kemudian membakarnya dengan api neraka."


    Hakikatnya, mungkin ramai di antara kaum wanita muslim menganggap ia syarat yang agak berat apatah lagi kepada mereka yang ternyata sudah memakai jilbab tetapi melanggar syarat-syarat di atas.


    Sesungguhnya, jika seseorang wanita itu berhasrat menjadi seorang muslimah syarat berkenaan tidaklah begitu sukar kerana dalam pelaksanaan syariat Islam tidak ada perkara yang sukar sebagai mana firman Allah:


    "Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu." (Surah Al-Baqarah: Ayat 185)


    Atas sebab itu dalam soal menutup aurat ini, Rasulullah dengan tegas mengingatkan bahawa, Dua golongan ahli neraka yang belum pernah aku lihat ialah, satu golongan memegang cemeti seperti ekor lembu yang digunakan bagi memukul manusia dan satu golongan lagi wanita yang memakai pakaian tetapi telanjang dan melentuk badan juga kepalanya seperti bonggol unta yang tunduk. Mereka tidak masuk syurga dan tidak dapat mencium baunya walaupun bau syurga itu dapat dicium daripada jarak yang jauh.


    Oleh itu, sekadar bertudung semata-mata kerana kehendak semasa bukan kerana kesedaran atas tanggungjawab sebagai seorang muslimah, masih belum mencukupi.


    Kita tidak berhasrat mempertikaikan niat seseorang wanita yang memakai tudung tetapi sekadar ingin mengingatkan mereka bahawa tanggungjawab untuk menjadi muslimah sejati adalah satu perkara yang wajib dan amanah yang perlu dilaksanakan.


    Bertudung tetapi melakukan banyak perkara yang dilarang Allah sudah pasti tidak bermakna.


    Cubalah lihat sekeliling kita bagaimana sesetengah mereka yang berpakaian sedemikian tetapi tidak mencerminkan keperibadian muslimah sebenar.


    Lintang pukang


    Oleh itu apabila seseorang wanita Islam membuat keputusan memakai tudung atau berjilbab ia harus memastikan ia bukanlah sekadar satu hiasan lahiriah semata-mata.


    Ia hakikatnya satu langkah ke arah untuk mewujudkan jati diri sebenarnya mereka sebagai muslimah. Janganlah sekadar memakai jilbab kalau solat dan ibadat lain masih ‘lintang pukang’.


    Malahan mereka juga perlu membuang sifat-sifat tidak elok seperti meninggikan suara, mengumpat, mencampuri urusan peribadi orang lain dan suka melakukan perkara-perkara maksiat.


    Inilah keadaan yang berlaku di sekeliling kita sekarang. Kita melihat ramai wanita Islam yang berjilbab tetapi sejauh manakah mereka memikirkan bahawa bertudung itu tidak semestinya menutup aurat.


    Maksudnya, kepala sahaja bertudung tetapi mereka masih melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan Islam sama ada dari segi perbuatan dan tata cara berpakaian.


    Allah menetapkan peraturan dalam soal menutup aurat dan mereka yang terlibat tidak harus mengatakan bahawa adalah hak mereka untuk menentukan haluan kehidupan mereka.


    Kenyataan seumpama ini bertentangan dengan firman Allah yang bermaksud:


    "Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata." (Surah Al-Ahzab: Ayat 36)


    Justeru selagi masa masih ada dan di saat Allah masih memberi kesempatan kepada kita untuk membentuk diri menjadi muslimah sejati maka rebutlah kesempatan yang suntuk ini.


    Janganlah menganggap bahawa masa sentiasa ada untuk kita bertaubat dan kembali ke jalan Allah. Ingatlah kematian yang menjemput manusia tidak mengira umur, masa dan ketika.


    - Oleh ZULKIFLEE BAKAR

    ~* Nabi Idris di tempat yang tertinggi *~


    NABI IDRIS as adalah seorang yang tekun dan kuat beribadat. Ketekunannya menyebabkan baginda amat dikasihi oleh Allah dan dikagumi para malaikat. Sebagai balasan, Nabi Idris dianugerahkan Allah dengan kebolehan melihat alam ghaib bahkan dapat hidup di dalamnya. Semasa peristiwa Israk dan Mikraj, Rasulullah s.a.w. pernah bertemu dengan Nabi Idris di langit keempat iaitu ketika dalam perjalanan Baginda hendak bertemu dengan Allah.


    Nabi Idris juga merupakan orang pertama yang menulis dengan pena, penunggang kuda yang handal, pakar astronomi dan matematik serta pandai menjahit ketika manusia di zamannya hanya tahu memakai pakaian daripada kulit binatang.


    Segala amalannya mendapat perhatian para malaikat. Antara malaikat yang gemar memerhati amalan Nabi Idris ialah Kiraman Katibin iaitu malaikat pencatat amalan manusia dan Izrail, malaikat yang bertugas mencabut nyawa atau dikenali juga malaikat maut.


    Izrail amat tertarik melihat ibadat Nabi Idris kerana lebih bercahaya berbanding dengan yang lain. Kerana itu, Izrail berdoa kepada Allah. untuk bertemu dan bersahabat dengan Nabi Idris seperti manusia biasa. Allah telah memperkenankan doa Izrail itu.


    Maka pergilah Izrail bertemu dengan Nabi Idris dan menyamar sebagai manusia. Mereka berkenalan dan menjadi sahabat karib. Mereka selalu berjalan dan beribadat bersama-sama tanpa Nabi Idris menyedari bahawa sahabat-sahabat itu adalah malaikat.


    Sepanjang perjalanan, Izrail cuba menguji keimanan Nabi Idris supaya memakan makanan yang haram. Nabi Idris enggan dan berkata: “Selama ini aku tidak pernah menjamah benda yang haram dan aku tidak akan makan makanan yang haram untuk selama-lamanya.”


    Rahsia Izrail terbongkar apabila Nabi Idris menyedari bahawa sahabatnya itu tidak pernah makan meskipun telah masuk waktu berbuka puasa dan tidak pernah tidur walaupun letih. Setelah ditanya, barulah Nabi Idris mengetahui bahawa sahabatnya itu adalah malaikat.


    Menggeletarlah Nabi Idris memikirkan ajalnya apabila mengetahui di hadapannya itu adalah malaikat maut. Namun Izrail memberitahu tujuannya yang sebenar hanya untuk bersahabat dengan Nabi Idris.


    Nabi Idris tidak melepaskan peluang untuk bertanya tentang keadaan ghaib seperti mati, neraka, syurga bahkan beliau berhasrat untuk merasainya. Dengan izin Allah, Nabi Idris diberikan rasa nazak menjelang ajalnya sehingga wafat. Kemudian baginda dihidupkan kembali oleh Allah.


    Nabi Idris juga dibawa melihat keadaan sebenar di dalam neraka. Baru beberapa ketika melihat keadaan di neraka yang amat dahsyat itu, Nabi Idris jatuh pengsan.


    Setelah sedar daripada pengsan, Nabi Idris dibawa pula melawat ke syurga untuk melihat dan merasai nikmat di dalamnya. Oleh kerana terlalu asyik dengan nikmat syurga, baginda tertidur dengan nyenyak. Kemudian Izrail datang mengejutkan baginda kembali. “Tiba masanya kita kembali ke dunia” ujar Izrail.


    Namun, Nabi Idris enggan kerana terpukau dengan nikmat syurga. “Bukankah sebentar tadi aku telah mati? Biarkan aku tinggal di syurga.”


    Maka berlaku perbalahan antara Izrail dengan Nabi Idris. Lalu Allah berfirman, Syurga adalah tempat beristirehat apabila tibanya hari kiamat. Oleh itu, tunggulah kamu di langit keempat.


    Lalu Nabi Idris ditempatkan di langit keempat menanti syurganya sehingga baginda wafat di sana.

    ~* Allah perintah menghadap Kaabah *~


    SYEIKH Sya'rawi di dalam tafsirnya berkata: Ayat ini untuk menyucikan dan membersihkan masalah penghadapan Muhammad s.a.w. dan umat Islam ke Kaabah, ganti dari Bait al-Maqdis.


    Ini perkara yang dinasakhkan di dalam al-Quran. Allah menghendaki di sini untuk memberi inayah yang selayaknya kerana ia sudah pasti menjadi punca keraguan dan perdebatan yang hangat dari setiap yang menentang dan ingkar kepada Islam.


    Orang-orang bodoh (yang kurang akal pertimbangan) akan berkata: “Apa sebabnya yang menjadikan orang Islam berpaling dari kiblat yang mereka mengadapnya selama ini?” Katakanlah wahai Muhammad: Timur dan barat adalah kepunyaan Allah (maka kemana sahaja kita diperintahkan Allah mengadapnya wajiblah kita mematuhi-Nya); Allah yang memberikan petunjuk hidayah-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus. (Surah al-Baqarah: Ayat 142)


    Firman Allah,


    "Orang-orang bodoh (yang kurang akal pertimbangan) akan berkata iaitu golongan yang lemah akalnya. Asal perkataan bodoh atau safah pada bahasa Arab memberi maksud ringan dan nipis. Dikatakan baju yang yang safih apabila jahitan atau tenunannya nipis atau cepat rosak. Angin yang safah bermaksud bertiup dan condong. Yang dimaksudkan lemah disini ialah lemah daripada mendapati kebenaran sekalipun cerdik dari segi keduniaan."


    Bagi menjelaskan lagi maksud bodoh dinyatakan di sini beberapa pendapat ulama. Seperti yang disebut dalam Kamus Dewan Edisi Ketiga, bodoh membawa maksud sukar mengerti atau mempelajari sesuatu, bebal, dungu, atau tolol. Seterusnya dinaqalkan pendapat Nabi Muhammad, sahabat, ulama dan cerdik pandai:


  • Pertama: Sabda Rasulullah yang bermaksud:

  • "Dan orang yang lemah (bodoh) siapa yang mengikut hawa nafsunya, dan bercita-cita ke atas Allah dengan berangan-angan." Hadis ini diriwayatkan oleh Ahmad, al-Tirmizi, Ibn Majah, al-Hakim, al-Quda’ie dan al-‘Askari.


  • Kedua: Abu Hazim, Salamah bin Dinar pernah ditanya oleh Khalifah Sulaiman bin ‘Abd. al-Malik beberapa persoalan, antaranya: Siapakah yang paling bodoh di kalangan manusia? Jawabnya: Lelaki yang mengikut hawa nafsu sahabatnya sedangkan sahabatnya zalim, maka beliau menjual akhiratnya dengan dunia yang lainnya.


  • Ketiga: Pujangga berkata, orang yang bodoh adalah orang yang memerlukan orang untuk mencelanya, orang yang fakir adalah orang yang menganggap sedikit terhadap sesuatu yang banyak, dan orang yang buta adalah orang yang tidak boleh melihat cela dirinya.


  • Keempat: Masruq berkata: Cukup seseorang menjadi bodoh, sombong dengan amalnya.


  • Kelima: Pujangga berkata: Tanda kebodohan itu adalah membuang waktu, menangguh-nangguhkan taubat, bergantung kepada orang lain, derhaka kepada ibu bapa, dan menyebarkan rahsia orang lain.


  • Keenam: Pujangga berkata: Terlalu banyak bergaul adalah kebodohan, percaya kepada siapa sahaja adalah kebodohan dan meminta tolong kepada mereka adalah kesialan.


  • Ketujuh: Ahli Hikmah berkata: Enam perkara menunjukkan kebodohan:


    • Marah tidak pada tempatnya. Seperti marah pada seseorang, binatang atau lain-lainnya.
    • Bicara yang tidak berguna, kerana itu seharusnya seorang yang berakal tidak berkata kecuali jika penting dan berguna.
    • Pemberian yang tidak pada tempatnya seperti boros harta atau memberi kepada orang yang tidak akan berguna baginya.
    • Membuka rahsia kepada orang lain.
    • Percaya kepada semua orang.
    • Tidak membezakan antara kawan dengan lawan, kerana itu harus mengetahui siapa musuh dan siapa kawan. Kawan untuk ditaati dan musuh untuk diawasi, dan musuh yang utama ialah syaitan, yang benar-benar harus dijauhinya.

    Ibn al-Jauzi berkata terdapat tiga pendapat berkenaan dengan golongan yang dianggap bodoh:


    • Mereka adalah golongan Yahudi. Inilah pendapat al-Bara bin `Azib, Mujahid dan Sa'id bin Jubair.
    • Mereka adalah ahli Mekah seperti riwayat Abu Soleh daripada Ibn `Abbas.
    • Mereka adalah golongan munafikin, telah menyebutnya oleh al-Suddi dari Ibn Mas’ud dan Ibn ‘Abbas.

    Imam al-Nasafi berkata: Golongan Yahudi dianggap bodoh kerana mereka benci mengadap Kaabah dan tidak melihat masalah nasakh, golongan munafikin dianggap bodoh kerana loba mereka untuk menghina dan mencerca Islam atau golongan Musyrikin dianggap bodoh kerana ucapan mereka yang benci kiblat nenek moyang mereka.


    Al-Sobuni menaqalkan pendapat al-Zamakhsyari berkenaan dengan faedah mengkhabarkan sebelum berlakunya: Faedah mengkhabarkan hal ucapan mereka yang belum berlaku sebagai meletakkan jiwa kerana kedatangan secara mengejut perkara yang dibenci adalah lebih teruk dan menyediakan jawapan adalah perlu untuk memutuskan hujah lawan seperti kata pepatah, sebelum memanah disediakan anak panah.


    Apa sebabnya yang menjadikan orang Islam berpaling dari kiblat yang mereka mengadapnya selama ini? Sayid Qutb berkata, adalah keterangan ini merupakan permulaan bagi perisytiharan perubahan kiblat yang akan disebut di dalam ayat selepas ini, di samping ia merupakan sebagai keterangan untuk menghapuskan desas-desus dan pertanyaan-pertanyaan yang diketahui Allah akan digembar-gemburkan oleh orang-orang yang bodoh, atau sebagai jawapan terhadap desas-desus yang telah dihamburkan mereka sebagaimana yang dijelaskan di dalam hadis yang telah lepas.


    Al-Quran menggunakan pengungkapan ‘akan berkata’ untuk menyarankan bahawa apa yang telah diketahui rancangannya dan memang telah disediakan jawapannya. Ia merupakan salah satu cara yang memberi kesan yang amat mendalam.


    Imam al-Baghawi berkata, diturunkan kepada golongan Yahudi dan Musyrikin Mekah yang melemparkan tuduhan berhubung dengan pertukaran kiblat daripada Bait al-Maqdis ke Mekah mereka berkata kepada golongan musyrikin Mekah sesungguhnya Muhammad telah terkeliru berkenaan dengan agamanya, justeru ia amat suka kepada tempat kelahirannya dan kembali mengadap negeri mu dan dia akan kembali kepada agamamu, lantas Allah menurunkan ayat ini.


    Katakanlah wahai Muhammad: Timur dan barat adalah kepunyaan Allah (maka kemana sahaja kita diperintahkan Allah mengadapnya wajiblah kita mematuhi-Nya) Allah menerima penghadapan kita kepadanya sama ada timur atau barat. Lima pendapat berkenaan masa solat Nabi ke Bait al-Maqdis selepas hijrah.


    1. Enam belas bulan. Inilah pendapat al-Bara Bin ‘Azib.
    2. Tujuh belas bulan. Inilah pendapat Ibn ‘Abbas.
    3. Tiga belas bulan. Inilah pendapat Mu’az bin Jabal.
    4. Sembilan bulan. Inilah pendapat Anas Bin Malik.
    5. Lapan belas bulan. Inilah pendapat Qatadah. Beliau juga berpendapat dengan enam belas bulan.

    Allah yang memberikan petunjuk hidayah-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus. Iaitu kepada hamba-Nya yang beriman ke jalan yang benar yang membawa kebaikan kepada dua negeri. Al-Samarqandi menaqalkan riwayat daripada Abu al-Rayyahi yang berkata: Aku lihat masjid Nabi Allah Soleh sedangkan kiblatnya mengadap Kaabah, begitu juga katanya adalah Musa a.s. solat daripada batu Sakhrah mengadap ke Kaabah, sebenarnya Ka’ah merupakan kiblat para Nabi semuanya.


    .. Iktibar dan pengajaran ayat ..


    1. Sifat orang yang bodoh adalah sama, iaitu mengulang kebodohannya walaupun sudah diberitahu.
    2. Golongan kafir terutamanya Yahudi sentiasa mencari jalan memusuhi Islam.
    3. Hidayah yang sebenarnya datangnya daripada Allah, justeru hendaklah kita memohon kepada-Nya untuk mendapat hidayah.

    - Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

    ~* Why Do Muslims Fast In Ramadan? *~

    What is Fasting (Sawm)? Sawm (Arabic: صوم) is an Arabic word for fasting regulated by Islamic jurisprudence. In the terminology of Islamic l...