Friday, November 16, 2007

~* Tahajud bina kekuatan jiwa & peribadi unggul *~

FIRMAN Allah (SWT) bermaksud:


“Wahai orang yang berselimut, bangunlah sembahyang tahajud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat). Iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit daripada separuh itu. Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya: dan bacalah al-Quran dengan ‘Tartil’ (perlahan-lahan). Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu perkataan yang berat (wahyu yang mengandungi perintah yang berat). Sesungguhnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap betul bacaannya”. (Surah Al-Muzzammil, ayat 1-6)


Umat Islam dianjur melaksanakan qiamullail (tahajud) pada bahagian akhir malam sebagai manifestasi kesyukuran kepada Allah (SWT) atas segala nikmat-Nya yang begitu banyak dikurniakan kepada kita. Sesungguhnya solat pada akhir malam akan melahirkan kekuatan jiwa, memperkukuhkan keinginan dan azam untuk patuh serta taat kepada Allah (SWT).


Beribadat dan bermunajat kepada Allah (SWT) pada malam hari, di kala insan lain sudah lama nyenyak dibuai mimpi indah. Ia suatu gambaran keikhlasan kepada Allah (SWT) dan seterusnya membebaskan diri dari sifat riak yang boleh membakar seluruh amalan kebajikan.


Bermunajat dengan melaksanakan tahajud pada malam hari mengecewakan syaitan yang tidak jemu menggoda dengan pelbagai bisikan dan mendodoi manusia supaya terus lena hingga ke pagi hari.


Sabda Rasulullah SAW bermaksud:


“Ketika kamu tidur, maka datanglah syaitan dengan mengikat ubun-ubunmu dengan tiga ikatan. Dan apabila ia terjaga dengan menyebut nama Allah (SWT), maka terlepaslah satu ikatan, jika ia terus berwuduk maka terlepaslah ikatan kedua, kemudian apabila diikuti dengan solat Qiamullail, maka terlepaslah ikatan yang ketiga dan pada waktu pagi berada dalam keadaan segar dan giat, jika tidak berbuat demikian, maka akan kencinglah syaitan dalam kedua-dua telinganya.” (A-Misykuh)


Rasulullah SAW sentiasa mengingatkan kita berhati-hati supaya tidak diperdayakan syaitan laknatullah, jiwa yang tergoda dengan syaitan akan timbul sifat malas untuk melaksanakan ibadat, hati menjadi keras dan liat untuk mendengar serta mendekati ilmu keagamaan.


Daripada Ibnu Mas’ud katanya,


“Sudah disebut perihal lelaki di hadapan Nabi SAW. Katanya, lelaki itu berterusan tidur hingga subuh dan tidak bangun sembahyang lalu Nabi bersabda: “Sesungguhnya lelaki itu dikencing oleh syaitan di dalam telinganya.” (Hadis riwayat Syaikhan dan an-Nasa’i)


Oleh demikian, menghidupkan malam hari dengan bertahajud dan bermunajat kepada Allah (SWT) akan mendapat kasih sayang dari Allah (SWT) dan kasih sayang Allah (SWT) itu terpancar dari-Nya melalui sikap serta tindakannya.


Segala sikap dan tindakannya sentiasa di dalam pemeliharaan Allah (SWT), yang seterusnya orang lain pula apabila melihatnya akan timbul perasan kasih dan hormat akibat pancaran kasih sayang Allah (SWT) kepadanya.


Firman Allah (SWT) bermaksud:


“Dan (dengan yang demikian) bersabarlah (wahai Muhammad) menerima hukum Tuhanmu (memberi tempat kepada mereka), kerana sesungguhnya engkau tetap terselamat dalam pemeliharaan serta pengawasan Kami. Dan bertasbihlah menemui Tuhanmu semasa engkau bangun. Dan juga hendaklah engkau bertasbih kepada-Nya pada waktu malam, dan ketika bintang-bintang tenggelam (pada waktu subuh)”. (Surah al-Thur, ayat 48-49)


Allah (SWT) menyediakan banyak pengurniaan-Nya terhadap orang yang sanggup menukar tempat tidur dan masa istirehatnya, tilam yang empuk, bangun dalam kesejukan untuk bersuci dan terus beribadah kepada Allah (SWT), dijanjikan kedudukan yang terpuji baik di dunia mahupun akhirat.


Sejarah lampau membuktikan bahawa Salahuddin Al-Ayubi seorang pemimpin tentera Islam dalam peperangan Salib hanya memilih orang yang mengerjakan qiamullail untuk bertempur di medan peperangan kerana mereka ini memiliki kekuatan jiwa dan keteguhan peribadi yang tinggi. Hasilnya, pihak Islam menang dalam peperangan itu.


Dalam satu hadis Rasulullah SAW menjelaskan bahawa barang siapa bersolat pada malam hari dengan sanggup bersengkang mata melaksanakan solat tahajud, Allah (SWT) akan memberi sembilan kurniaan kepadanya. Lima kurniaan di dunia dan empat lagi di akhirat.


Sabda Rasulullah SAW, daripada Umar bin al-Khattab yang bermaksud:


“Barang siapa yang mengerjakan solat malam, dan dia membangunkan solat, maka Allah (SWT) memuliakan dia dengan sembilan perkara: Lima perkara di dunia dan yang empat lagi di akhirat."


Oleh itu, marilah sama-sama kita menyahut tawaran Allah (SWT) untuk bangun menunaikan qiamullail iaitu ganjarannya terlalu besar nilainya, lebih besar dan bernilai dari dunia ini dan segala isinya. Janganlah sampai ayam yang tidak berakal itu lebih pintar dan lebih baik daripada kita. Seperti nasihat Luqmanul Hakim kepada anaknya, “Wahai anakku, janganlah engkau tidur di kala ayam jantan berkokok pada waktu fajar.”



INFO 9 kemuliaan solat Tahajud

  1. Dia dijaga oleh Allah (SWT) daripada beberapa bencana.
  2. Berkat ketaatannya, akan nampak pada wajahnya.
  3. Dia disukai oleh hamba Allah (SWT) yang soleh dan oleh semua manusia.
  4. Ucapannya mampu mengeluarkan kata-kata yang penuh hikmah.
  5. Diberi cepat mengerti dan mendapat ilmu pengetahuan.
  6. Dia dibangunkan dari kubur dengan wajah yang putih berseri.
  7. Diringankan hisabnya.
  8. Melalui titian siratul mustaqim bagaikan kilat yang menyambar.
  9. Diberi buku catatan amalannya melalui tangan kanannya di hari kiamat. (Raudhatul Ulama).
Oleh Masmawi Abdullah

~* Tajdid Iman: Zikrullah amat mudah, berat untuk dibuat *~

Air mata termahal daripada dunia disebabkan cemas, takut atas keagungan-Nya




AIR mata yang menitis pada pagi hari raya mudah-mudahan menjadi tanda kesyukuran kepada Allah (SWT).

Namun pada kebiasaannya, kita menangis kerana sedih teringat diri merantau jauh daripada keluarga atau ingat kepada orang dikasihi yang sudah kembali ke rahmatullah.


Tidak mengapa, itu adalah fitrah manusia. Bagaimanapun juga, air mata yang termahal nilainya daripada dunia dan segala isinya adalah air mata yang jatuh demi mengingati Allah (SWT) sama ada kerana tunduk dan syukur kepada-Nya atau disebabkan cemas dan takut atas keagungan-Nya.


Selepas berjuang pada Ramadan dengan amal ibadat puasa, tarawih, tahajud, tilawatul Quran dan sedekah jariah, kiranya sudah sampailah kita kepada kedudukan iman yang tinggi berkat amalan itu.


Persoalannya, bolehkah iman itu tetap tinggi seiring berjalannya waktu? Bukankah Rasulullah SAW pernah berpesan kepada Saidina Umar yang bermaksud:


“Amalan yang dicintai Allah (SWT) ialah yang berterusan walaupun sedikit.”


Agaknya tiada alasan untuk kita meninggalkan ibadat yang biasa dilakukan ketika Ramadan kerana kesibukan pada hari mendatang. Bukankah sedikit itu lebih baik daripada tiada sama sekali?


Jika mahu mencari alasan, tentu ramai yang petah lidahnya mencari-cari alasan tidak dapat melakukan ibadat. Tetapi dalam Islam, ibadat itu sungguh mudah dan tak mungkin seseorang itu boleh mencari alasan mengapa dia tak mahu melakukannya?


Suatu hari Abdullah bin Bushr yang sudah tua datang kepada Baginda SAW mengadukan kesusahannya melakukan ibadat kerana lemah tubuh badannya. Dia berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya syariat Islam amat banyak dan aku berasa sukar untuk melakukan semuanya. Maka tunjukkanlah kepadaku satu amalan yang dapat aku amalkan secara berterusan.”


Rasulullah SAW yang berhati lembut memandang dengan rasa kasihan kepada orang tua itu, Baginda tidak memarahinya atau mencelanya sebagai pemalas atau lemah iman. Bahkan Rasulullah SAW menghibur lelaki tua itu dengan sabdanya yang bermaksud:


“Basahilah lidahmu selalu dengan menyebut nama Allah (SWT).” (Riwayat al-Nasa’ie)


Jika hati dan lisan sentiasa ingatkan Allah (SWT), tentu rasa cinta akan lahir seterusnya menjadi perangsang untuk melakukan ibadat lain. Dengan menyebut kebesaran Allah (SWT), kita tidak akan mampu melakukan kejahatan selama nama-Nya bersemayam di hati kita.


Sesungguhnya zikrullah menjadi kekuatan seorang hamba supaya tetap istiqamah di atas jalan ibadat. Walaupun di negara kita pada kebiasaannya sebulan kita berhari raya, ia tidak sepatutnya menjadi penghalang untuk sentiasa mendekatkan diri kepada Allah (SWT).


Kita sedar kelemahan diri yang sentiasa terbelenggu oleh tipu helah kesenangan duniawi tetapi bukan bermakna kita menyerah kalah. Jika terlalai, maka cepat-cepatlah beringat, jika tersesat mulakan langkah baru.


Bukankah pintu syurga itu ada lapan pintu kesemuanya? Takkan sebuah pintu pun tidak dapat dibuka pada hari ini? Kita tidak akan mampu melakukan semua kebaikan sekali gus setiap hari. Hanya orang yang sedarjat dengan Abu Bakar al-Siddiq saja yang boleh melakukannya.


Sebagaimana sabda Baginda SAW yang maksudnya:


“Syurga mempunyai lapan pintu. Orang yang mendirikan sembahyang akan dipanggil daripada pintu sembahyang. Yang berpuasa akan dipanggil dari pintu puasa, yang berjihad akan dipanggil dari pintu jihad dan yang bersedekah akan dipanggil dari pintu sedekah.” Abu Bakar bertanya: “Adakah wujud orang yang dipanggil daripada semua pintu itu? Baginda SAW bersabda: “Ya, aku harap engkau termasuk golongan berkenaan.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Insan mana yang tidak pernah tenggelam dan karam oleh hawa nafsunya. Keinginan beribadah dan memuaskan hawa nafsu sentiasa berperang dalam diri manusia, hanya Allah (SWT) yang mampu menyelamatkan kita daripada kesesatan.


Doa setiap hujung sembahyang yang diajarkan Rasulullah SAW kepada Muaz bin Jabal eloklah diamalkan:


“Ya Allah (SWT) tolonglah aku untuk mengingati-Mu, bersyukur kepada-Mu dan memperbaiki ibadatku.”


Siapakah yang menggerakkan hati ini untuk bersegera ke masjid ketika azan dilaungkan? Siapakah yang membangunkan kita pada tengah malam dan menggembirakan hati kita bermunajat kepada-Nya? Siapakah yang menitiskan rasa kasih kepada al-Quran dan rindu memperhatikan ayat-Nya yang agung? Siapakah yang menghiris perasaan kita melihat kesusahan orang lain sehingga tangan ini menghulurkan pertolongan?


Siapakah yang menitiskan air mata kita pada hari raya kerana bersyukur dan berjaya membuktikan selama sebulan di medan perjuangan bahawa kita mencintai-Nya? Dialah Allah (SWT) Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Dia Yang Maha Melihat lagi Maha Mendengar, memerhatikan setiap gerak geri dan lintasan di hati kita.


Sesungguhnya pintu syurga sentiasa terbuka untuk kita, bukan hanya pada Ramadan. Ia akan sentiasa terbuka untuk orang yang beribadah. Tidak mahukah kita mengikuti jejak Muaz bin Jabal yang sangat obses kepada syurga Allah (SWT)?


Suatu hari beliau berkata kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, tunjukkan kepadaku satu amalan yang dapat mendekatkan aku kepada syurga dan menjauhkan aku daripada neraka. Baginda SAW bersabda yang bermaksud: “Wahai Muaz, engkau sudah meminta sesuatu yang terlalu istimewa tetapi ia mudah dilakukan oleh orang yang diberi kemudahan oleh Allah (SWT). Hendaklah engkau menyembah Allah (SWT) dan tidak menyekutukannya, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, berpuasa pada bulan Ramadan dan menunaikan haji ke Baitullah. Kemudian Rasulullah SAW menyambung sabdanya: “Mahukah engkau, aku tunjukkan pokok, batang dan ranting ibadat? Aku menjawab: “Tentu wahai Rasulullah.” Baginda bersabda: Pokok ibadat adalah Islam, tiangnya sembahyang sedang rantingnya adalah jihad di jalan Allah (SWT).”


Lalu Baginda SAW bersabda lagi: “Mahukah engkau, aku tunjukkan pintu kebaikan? Jawab Muaz: Tentu wahai Rasulullah. Baginda bersabda: Puasa, sedekah dan sembahyang malam. Puasa adalah perisai, sedekah adalah penghapus dosa sebagaimana air memadamkan api, (dan bagi sembahyang malam) Baginda membaca ayat yang bermaksud: Mereka merenggangkan lambung mereka daripada tempat tidur seraya berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut dan harap dan mereka mendermakan sebahagian yang Kami anugerahkan.”


Akhir sekali Baginda SAW bersabda kepada Muaz: “Mahukah engkau aku tunjukkan satu amalan kepadamu yang dapat meliputi semua itu? Jawab Muaz; Tentu wahai Rasulullah. Baginda bersabda: Jagalah lidahmu kerana sesungguhnya tiadalah manusia dicampakkan ke dalam neraka melainkan kerana kejahatan lidah mereka.” (Hadis sahih riwayat al-Tirmizi)


Hanya Allah (SWT) saja yang mampu menolong dan menyelamatkan kita daripada kealpaan diri sendiri. Hanya Allah (SWT) yang menunjukkan jalan-Nya kepada siapa yang Dia kehendaki. Adakah kita termasuk di dalamnya?


Oleh Dr Juanda Jaya - Penulis ialah pendakwah dari negeri Sarawak

~* Tawakal & keimanan teguh elak penyakit jiwa *~

It’s the law of emo-physics. People you trusted most could hurt you the worst. In just a day, people can change tremendously, let alone a year or two. It’s either the random bad dreams of betrayal or the goodbyes you’re not allowed to bid, that will cement the pain you’ve to carry for the rest of your life. Only those who’ve culminated absolute love for Allah (SWT), shall find true healing & heal others in return. It’s a long road, but we have to try. Insya Allah (SWT). May Allah (SWT) ease your worries & provides His Light, Guidance.


PENYAKIT psikologi seperti tekanan perasaan, bimbang, sedih, hasad dengki serta putus asa sebenarnya berpunca daripada fikiran tidak rasional yang ada dalam minda seseorang. Ia berlegar di sekitar salah faham terhadap empat perkara pokok iaitu :


  1. Allah (SWT)
  2. Hakikat diri insan
  3. Hakikat dunia
  4. Hari akhirat

Beberapa contoh salah faham terhadap Allah (SWT) ialah seseorang yang berusaha keras dan berasakan dengan pasti bahawa dia akan mendapat apa yang diusahakannya. Namun apabila gagal, dia akan berasa sedih dan tertekan.


Begitu juga keadaan seseorang yang putus kasih, akhirnya menyebabkan dia berada dalam kesedihan yang melampau serta putus harap. Sama juga yang sedih dan terkilan kerana segala pengorbanannya tidak diiktiraf oleh majikan hingga melemahkan semangat untuk terus cemerlang.


Banyak lagi contoh yang dapat diketengahkan, namun apa yang pasti semua permasalahan psikologi tadi disebabkan jahilnya kita dengan hakikat Allah (SWT) atau jauhnya Allah (SWT) daripada kehidupan kita.


Harus diingat bahawa Allah (SWT) yang menentukan segala keputusan. Kita hanya sekadar merancang dan melakukan yang terbaik. Selebihnya serahkan kepada Allah (SWT). Dengan berpendapat bahawa kita mesti dapat apa saja diusahakan adalah sesuatu yang tidak rasional dan akhirnya menyebabkan kita tertekan serta merana.


Di sinilah konsep tawakal dan kepercayaan kepada qada dan qadar perlu diingatkan. Bagi individu yang putus kasih, seharusnya beliau memahami jodoh pertemuan di tangan Tuhan dan di sebalik apa yang berlaku pasti ada hikmahnya.


Allah (SWT) berfirman yang bermaksud:


“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah (SWT) mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 216)


Dalam hal seseorang yang terkilan kerana tidak mendapat perhatian sewajarnya, beliau harus ingat bahawa Allah (SWT) Maha Mengetahui dan segala sesuatu pastinya tidak terlepas daripada pandangan-NYA.


Sebab itulah kita sewajarnya bersikap ikhlas dalam pekerjaan kerana mungkin kita tidak mendapat perhatian dan pengiktirafan duniawi, namun kita akan mendapat ganjaran lebih besar dan bermakna di akhirat nanti. Contoh di atas, jelas menunjukkan kejahilan terhadap Tuhan punca penyakit psikologi yang kita alami.


Salah faham terhadap hakikat diri, contohnya seseorang yang berfikiran bahawa harta dapat menjamin kabahagiaan, tetapi apabila harta sudah banyak, bukannya hati bertambah senang, malah semakin tertekan.


Anak beranak berpecah belah kerana harta dan ada yang sanggup berbunuhan kerana tamakkan harta. Tidur malam tidak sempurna sama ada asyik memikirkan bagaimana mahu menambah harta atau takut harta dilarikan orang.


Jika kita mengenali siapa kita sebenarnya, iaitu hakikat ruh dan jasad, kita akan mengetahui hakikat diri yang sebenar adalah ruh bukannya jasad. Jasad hanya kenderaan bagi ruh dan harta pula hanya sekadar memenuhi kehendak jasad.


Apabila mati, jasad kita tinggalkan akan hancur musnah, tetapi roh (yang kita rujuk sebagai ‘aku’) akan meneruskan perjalanan ke alam berikutnya.


Faktor utama yang membahagiakan roh adalah kenal dan dekatnya ia dengan Tuhannya. Sebab itu, lagi dekat kita dengan Allah (SWT), lagi bahagia kita rasakan, tetapi lagi jauh kita dengan Tuhan, bertambah sengsara kita rasakan.


Orang kaya-raya dan berkedudukan, tetapi tidak mengamalkan ajaran Allah (SWT) dan Rasul, rohnya sakit dan tidak akan bahagia. Hatinya penuh dengan tamak haloba, hasad dengki dan segala macam penyakit psikologi lain. Namun jika rohnya sihat, tetapi berkurangan sedikit daripada aspek keperluan jasadiah, dia masih tersenyum bahagia.


Salah faham terhadap dunia berlaku apabila kita mengharapkan sesuatu bersifat duniawi akan kekal. Kasih suami pada isteri, ibu pada anak, biar seutuh mana sekalipun, pastinya akan berkesudahan dengan perpisahan.


Tiada yang kekal kecuali Allah (SWT). Oleh itu, mengharapkan sesuatu yang tidak kekal supaya kekal adalah tidak rasional. Kita yang akan merana jika fahaman sebegini berada dalam kotak fikiran.


Disebabkan itu, dalam hadis Rasulullah SAW berkaitan pemilihan pasangan, Rasulullah SAW menyuruh kita memilih pasangan yang beragama, kerana agama adalah sesuatu yang kekal. Rumah tangga yang dibina atas asas agama pasti lebih utuh daripada yang dibina atas asas kecantikan dan harta yang sifatnya sementara.


Salah faham terhadap hari kemudian berlaku apabila kita menganggapnya tidak penting kerana ia jauh dan tidak nampak. Namun sebaliknya, hari akhirat adalah penting kerana ia adalah destinasi terakhir dan abadi.


Memahami hakikat ini, kita sewajarnya tidak mudah menangis dan berasa sedih apabila berhadapan dengan permasalahan duniawi. Kita sepatutnya tahu menyusun keutamaan dengan mendahulukan apa yang dapat menjamin kebahagiaan kita di sana.


Ada tiga perkara yang perlu kita usahakan sebagai bekalan di akhirat nanti seperti yang disaran Rasulullah SAW iaitu anak salih yang mendoakan kedua ibu bapanya, ilmu yang bermanfaat dan sedekah jariah.


Banyak penyakit psikologi dialami masyarakat hari ini berpunca daripada kejahilan atau kurangnya ilmu khususnya berkaitan empat perkara. Sumber ilmu yang benar seharusnya daripada agama. Agama memberikan mekanisme pertahanan yang kuat untuk kita berdepan segala cabaran di dunia.


Oleh Penulis Khas YaPEIM

~* Why Do Muslims Fast In Ramadan? *~

What is Fasting (Sawm)? Sawm (Arabic: صوم) is an Arabic word for fasting regulated by Islamic jurisprudence. In the terminology of Islamic l...