Wednesday, September 19, 2007

~* Adab puasa dan tarawih *~


SETIAP orang yang mengerjakan puasa perlu mematuhi beberapa peraturan dan adab yang akan menyempurnakan ibadah tersebut. Di antara peraturan yang terpenting ialah:

  • Menjaga lidah daripada berdusta, mengumpat dan mencampuri urusan orang lain yang tiada kena mengena dengannya.


  • Memelihara mata dan telinga daripada melihat dan mendengar perkara yang dilarang oleh Syarak dan perkara yang sia-sia.


  • Mengawal perutnya daripada merasai makanan dan minuman yang haram atau mengandungi unsur syubhat, terutama ketika berbuka dan berusaha sedaya upaya mungkin untuk menghasilkan pemakanan yang halal lagi bersih.

    Ulama pernah berpesan: “Apabila kamu berpuasa, maka perhatikanlah apa yang akan dijadikan makanan berbukamu dan di manakah kamu akan berbuka?” Ia adalah panduan yang terbaik bagi mengawasi diri daripada terjebak dengan unsur-unsur makanan yang tidak halal.


  • Berusaha menjaga kesemua pancaindera dan anggota tubuh badan daripada mendekati atau melakukan maksiat dan perkara sia-sia. Dengan demikian ibadah puasanya akan suci dan sempurna.
  • Terdapat ramai yang memenatkan diri dengan berlapar dan berdahaga, membiarkan diri terdorong kepada perlakuan dosa dan noda, kerana itu puasanya rosak dan binasa dan keletihannya tidaklah berbaloi sebagaimana maksud sabda Nabi s.a.w.:


    "Ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga!" (riwayat An-Nasai)


    Meninggalkan maksiat menjadi kewajipan kepada seluruh orang Islam sama ada mereka sedang puasa atau tidak, apatah lagi bagi yang berpuasa, ia lebih dituntut dan diwajibkan.


    Sabda Rasulullah s.a.w.:


    “Puasa itu adalah ‘perisai’, Sekiranya seseorang dari kalangan kamu sedang berpuasa janganlah dia bercakap kotor, melakukan keburukan dan berbuat bodoh. Jika ada orang lain yang mengejinya atau cuba memeranginya, maka hendaklah dia katakan kepada orang itu: ‘Saya sedang berpuasa.” (riwayat Bukhari dan Muslim)



  • Janganlah membanyakkan tidur pada siang harinya dan makan pada malamnya, bahkan bersederhanalah pada kedua-duanya bagi menyelami keperitan lapar dan dahaga. Dengan demikian sanubarinya akan terkawal, keinginan nafsunya akan berkurangan, hatinya ceria. Itulah rahsia dan intipati puasa yang perlu dicapai.


  • Jauhkan diri daripada mengikut dorongan nafsu ketika berbuka dengan beraneka jenis makanan yang lazat-lazat. Sebaik-baiknya adat makan adalah sama sahaja pada bulan puasa dan bulan-bulan yang lain.
  • Penggembelingan diri di dalam mengurangkan tuntutan jasmani dan keinginan perasaan, memberikan kesan positif terhadap kecerahan hati nurani yang amat dituntut, terutama pada bulan Ramadan.


    Mereka yang menjadikan keinginan nafsu perut sebagai tunggangan akal mereka ketika berbuka yang menyalahi kebiasaan pada bulan-bulan lain, sebenarnya terpedaya dengan pujukan iblis dan rayuannya yang bertujuan menghilangkan barakah (berkat) ibadah puasa mereka, nikmat limpahan ketenangan daripada Allah s.w.t., kekhusyukan diri ketika munajat dan berzikir kepada-Nya.


    Sepatutnya orang yang berpuasa mengurangkan kadar pemakanannya sehingga terserlah kesan puasa itu pada dirinya. Kekenyangan adalah punca kelalaian, kealpaan, keras hati dan malas melakukan ketaatan kepada Allah s.w.t.


    Sabda Rasulullah s.a.w:


    “Takungan jelik yang dipenuhkan oleh manusia adalah perutnya, memadailah baginya beberapa suapan yang dapat meneguhkan tulang belakangnya. Jika dia enggan, maka berikanlah sepertiga (bahagian perutnya) untuk makanan, sepertiga kedua untuk minuman dan sepertiga terakhir bagi pernafasannya” (Riwayat Ahmad dan Tirmizi).


    Terdapat ulama yang mengungkapkan kata-kata berikut: “Sekiranya perutmu kenyang, anggota-anggota lain akan lapar (akan menurut turutan nafsu), tetapi sekiranya perutmu lapar kesemua anggotamu akan kenyang.”


    As-Salaf as-Soleh (mereka yang terdahulu) mengurangkan perkara kebiasaan dan dorongan diri serta memperbanyakkan amal ibadat pada bulan Ramadan secara khusus, bahkan itulah adat mereka sepanjang masa.


  • Tidak menyibukkan diri dengan urusan duniawi pada bulan Ramadan ini, bahkan mengambil kesempatan yang ada untuk beribadat kepada Allah dan mengingati-Nya sebaik mungkin. Justeru itu dia tidak melakukan perkara duniawi melainkan sekadar keperluan hariannya atau kepada mereka yang berada di bawah tanggungannya.
  • Demikian yang selayaknya dilakukan pada bulan Ramadan yang mulia ini, sama seperti pada hari Jumaat yang sepatutnya dikhususkan bagi amalan akhiratnya.


  • Mempraktikkan amalan sunah seperti segera berbuka apabila masuk waktunya, berbuka dengan buah tamar (kurma) dan jika ia tiada memadailah dengan segelas air serta melambatkan makan sahur.
  • Nabi s.a.w. berbuka dahulu sebelum Baginda mengerjakan solat Maghrib.


    Sabdanya:


    “Umatku sentiasa berada di dalam keadaan baik (berkat) selama mana mereka mempercepatkan berbuka (apabila masuk waktunya) dan melambatkan makan sahur.” (riwayat Ahmad, Bukhari dan Muslim).


  • Menyediakan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa sekalipun dengan beberapa biji tamar atau segelas air. Sabda Baginda s.a.w.:
  • “Sesiapa yang menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa, baginya ganjaran seumpama pahala bagi orang yang berpuasa, tanpa mengurangi sedikitpun pahalanya (orang yang berpuasa).” (riwayat Baihaqi dan ibnu Khuzaimah).


  • Memenuhi malamnya dengan amalan sunat seperti solat tarawih, witir dan sebagainya. Adalah dinasihatkan kepada para imam supaya tidak mempercepatkan solat tarawihnya seperti mana amalan kebiasaan sebahagian besar mereka di masjid dan surau.
  • Perbuatan tersebut menjejaskan mutu ibadah solat tarawih mereka kerana meninggalkan rukun solat tersebut seperti, meninggalkan tumakninah semasa rukuk dan sujud, mencacatkan bacaan al-Fatihah sebagaimana sepatutnya lantaran ingin cepat dalam mengejar waktu sehingga meninggalkan makmum di belakang tertinggal rukun-rukun penting dalam solatnya.


    Amalan tarawih seperti itu menjadi tidak sempurna dan berkurangan pahalanya kerana itu berwaspadalah terhadap cara demikian dengan kembali mengamalkan ibadah solat seperti pada waktu-waktu lain, menyempurnakan qiam, bacaan al-Fatihah, rukuk, sujud, khusyuk, hadir hati dan semua peradaban solat dan rukunnya.


    Bagi makmum pula disyorkan supaya sentiasa bersama imamnya dalam mengerjakan solat tarawih itu sehinggalah selesai sama ada sebanyak 20 rakaat atau pun 8 rakaat. Sabda Nabi Muhammad s.a.w.: “Apabila seseorang menunaikan solat bersama imamnya sehinggalah imam itu (selesai dan) beredar, dikirakan untuknya (makmum) pahala qiam semalaman. (An-Nasai).


    "Oleh NAZMI AIDARUS ialah pegawai di Jabatan Mufti Negeri Terengganu."

    Monday, September 17, 2007

    ~* 5 rahsia nikmati ibadat puasa *~


    DR Yusuf Qardhawi dalam kitabnya ‘al-Ibadah Fil Islam’ mengungkapkan ada lima rahsia utama puasa yang membolehkan kita merasakan kenikmatan dalam ibadat ini.

  • Menguatkan jiwa.

  • Dalam hidup, kita mendapati ada manusia yang dikuasai hawa nafsu.


    Manusia seperti ini, menuruti apa yang menjadi keinginannya, meskipun ia sesuatu yang batil serta mengganggu dan merugikan orang lain.


    Oleh itu, dalam Islam ada perintah untuk memerangi hawa nafsu dengan maksud berusaha untuk menguasainya. Bukan membunuh nafsu yang membuat kita tidak mempunyai keinginan terhadap sesuatu bersifat duniawi.


    Sekiranya dalam peperangan ini (hawa nafsu) manusia mengalami kekalahan, malapetaka besar akan berlaku. Perkara ini kerana manusia yang kalah itu akan mengalihkan pengabadiannya daripada Allah kepada hawa nafsu yang cenderung mengarahkan manusia kepada kesesatan.


    Allah memerintahkan kita memerhatikan masalah ini dalam firman-Nya bermaksud:


    Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmu-Nya.” (Surah al-Jaathiyah, ayat 23)


    Dengan puasa, manusia akan berjaya menguasai nafsunya yang membuat jiwanya menjadi kuat. Dengannya manusia memperoleh darjat tinggi serta menjadikannya mampu mengetuk dan membuka pintu langit hingga segala doanya dimakbulkan Allah.


    Rasulullah bersabda, ertinya :


    Ada tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka: Orang yang berpuasa hingga berbuka, pemimpin yang adil, dan doa orang yang dizalimi.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)


  • Mendidik keinginan ke arah kebaikan.

  • Puasa mendidik seseorang untuk memiliki keinginan kepada kebaikan, meskipun menghadapi pelbagai rintangan. Puasa yang dikerjakan secara terbaik akan membuatkan seseorang itu terus mempertahankan keinginannya yang baik.


    Rasulullah menyatakan bahawa puasa itu setengah daripada kesabaran.


    Rasulullah bersabda, maksudnya: “Puasa itu sebagai benteng” (daripada serangan keburukan).


    Dalam kaitan ini, puasa akan menjadikan rohani seorang Muslim semakin ampuh. Kekuatan rohani unggul ini akan membuatkan seseorang itu tidak akan lupa diri, meskipun sudah mencapai kejayaan atau kenikmatan duniawi.


    Kekuatan rohani juga akan membuat seorang Muslim tidak akan berputus asa meskipun penderitaan yang dialami sangat sulit.


  • Menyihatkan badan.

  • Di samping kesihatan dan kekuatan rohani, puasa memberikan pengaruh positif berupa kesihatan jasmani (tubuh dan anggota badan). Hal ini tidak hanya dinyatakan oleh Rasulullah, malah dibuktikan oleh doktor atau ahli perubatan.


  • Mengenal nilai kenikmatan dan bersyukur.

  • Dalam hidup ini, sebenarnya terlalu banyak kenikmatan diberikan oleh Allah kepada manusia, tetapi ramai yang tidak mensyukurinya. Dapat satu tidak terasa nikmat kerana menginginkan dua. Dapat dua tidak terasa nikmat kerana menginginkan tiga dan begitulah seterusnya.


    Maka, dengan puasa manusia bukan hanya disuruh memperhatikan dan merenungi kenikmatan yang diperoleh, malah diminta merenung nikmat Allah kepada kita.


    Di sini, pentingnya puasa bagi mendidik untuk menyedari betapa tingginya nilai kenikmatan yang Allah berikan supaya kita menjadi orang yang pandai bersyukur dan tidak mengecilkan erti kenikmatan daripada Allah. Rasa syukur memang akan membuat nikmat itu bertambah banyak, baik dari segi jumlah atau paling tidak dari segi rasanya.


    Allah berfirman bermaksud:


    Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” (Surah Ibrahim, ayat 7).


  • Mengingati dan merasakan penderitaan orang lain.
  • Berlapar dan dahaga memberikan pengalaman bagaimana beratnya penderitaan yang dirasakan orang lain. Pengalaman berlapar dan haus itu akan segera berakhir hanya dengan beberapa jam (lebih kurang 12 atau 13 jam), sementara penderitaan orang lain entah bila berakhir.


    Dari sini puasa akan melahir dan memantapkan rasa simpati kita kepada kaum Muslimin lainnya yang hidup dalam kemiskinan dan menderita.


    Oleh itu, sebagai simbol daripada rasa simpati itu, sebelum Ramadan berakhir, kita diwajibkan untuk menunaikan zakat (fitrah). Hal ini supaya dengan itu setahap demi setahap kita mampu mengatasi persoalan umat yang menderita. Bahkan, zakat tidak hanya bagi kepentingan orang miskin dan menderita, malah menghilangkan kekotoran jiwa berkaitan harta seperti gila harta dan kikir.


    Allah berfirman bermaksud:


    Ambillah zakat daripada sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersih dan menyucikan mereka dan berdoalah untuk mereka. Sesungguhnya doa kamu itu (menjadi) ketenteraman jiwa bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah at Taubah, ayat 103).


    ~* Tajdid Iman: Surah al-Falaq pendinding serangan hasad dengki *~

    JANGAN pernah berasa aman jika anda memiliki sejuta nikmat kerana pasti ada yang akan menjeling tajam sambil berusaha menghilangkan nikmat itu daripada diri anda. Kita seharusnya celik melihat, tajam mendengar dan sensitif merasa apakah bahaya itu dan sentiasa berwaspada terhadap manusia di sekeliling kita.


    Bermacam rupa bentuk mereka, yang licik dan licin memerangkap sesiapa saja yang dianggap musuh. Ada yang manis mulut lagi berbudi bahasa, namun pada hakikatnya menikam daripada belakang.


    Seperti perbuatan si munafik Abdullah bin Ubai, orang yang mengaku Islam tetapi memusuhi Nabi SAW. Baginda juga pernah merasai ketatnya permusuhan orang kafir dan Yahudi sehingga mereka menggunakan sihir untuk membunuh Nabi SAW.


    Dinyatakan dalam sirah bahawa Rasulullah SAW jatuh sakit selama 40 hari (atau enam bulan atau setahun mengikut perselisihan riwayat) hasil perbuatan jahat akibat sifat hasad dengki itu. Lalu Baginda SAW membaca dua surah penyembuh dan pelindung diri iaitu al-Falaq dan al-Nas, kemudian datanglah Jibril mendoakan Rasulullah SAW yang bermaksud :


    Dengan Nama Allah aku menjampi engkau daripada setiap perkara yang boleh menyakitimu, daripada penghasad dan pendengki ’ain, semoga Allah menyembuhkan kamu.”


    Sayyid Qutb dalam Fi Zilalil Quran menafsirkan mengenai surah al-Falaq ini dengan katanya:


    Seolah-olah Allah SWT sudah mempelawa perlindungan dan jagaan-Nya secara kasih sayang dan lemah lembut, seolah-olah Allah SWT berfirman: Datanglah ke sini, datanglah kepada perlindungan, datanglah ke tempat yang aman supaya kamu berasa tenang dan selamat di dalamnya dan datanglah kerana sebenarnya Kami mengetahui bahawa kamu adalah orang yang lemah dan memiliki banyak musuh dan di sekitar kamu banyak perkara yang menakutkan, sedangkan di sini terdapat keamanan, ketenangan dan kesejahteraan.”


    Jika kita membaca surah al-Falaq sambil menghayati isi kandungannya, akan timbul satu keinsafan mengenai bahaya yang menakutkan cuba menggugat ketenangan hidup anda. Kejahatan setiap makhluk sentiasa mengintai dan menunggu saatnya melenyapkan kebahagiaan dimiliki.


    Hanya kepada Allah SWT digantungkan harapan dan permintaan, Yang Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana. Alangkah merbahaya tipu daya musuh dan kejamnya kejahatan yang dirancang. Tetapi anda masih mempunyai Tuhan yang lebih berkuasa lagi Maha Gagah.


    Siapakah berani menikam orang yang meminta perlindungan kepada Allah SWT. Siapakah berani menghiris jiwa orang yang memohon penjagaan Allah SWT. Siapakah berani menuang racun ke dalam minuman seorang hamba yang dekat dan rapat dengan Tuhannya. Siapakah yang berani sedangkan Allah SWT bersama kita. Cubalah jika mahu merasai kekuatan Tuhan yang melindungi aku daripada kejahatan kamu. Begitulah kekuatan surah al-Falaq.


    Sudah letih jiwa diasak persoalan yang tak kunjung jawapan. Mengapa ramai orang yang dengki ke atas nikmat yang Allah SWT beri. Dalam surah Yusuf diceritakan bahawa Nabi Yaakub menasihati Yusuf supaya tidak menceritakan perihal mimpinya itu kepada saudaranya.


    Disebabkan Yusuf bersangka baik lagi mengasihi saudaranya, maka beliau pun mahu berkongsi kegembiraan itu bersama mereka. Akhirnya kedengkian dan hasad merasuk ke dalam hati saudara kandungnya sendiri sehingga melahirkan dendam dan kejahatan.


    Sesungguhnya kisah Nabi Yusuf memberi pengajaran kepada kita supaya berwaspada apabila mendapat suatu anugerah atau nikmat yang hebat. Janganlah disebut dengan kebanggaan berlebihan hingga menimbulkan rasa cemburu orang yang mendengarnya.


    Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:


    Jika seseorang mengalami mimpi baik dalam tidurnya, hendaknya dia tidak menceritakan mimpi itu kecuali kepada orang yang dicintainya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


    Penyakit hasad menyerang sesiapa saja yang lemah imannya, tidak kira si kaya atau miskin, orang alim atau tidak berilmu, pemimpin atau rakyat jelata, mereka semua terdedah dengan hasutan syaitan.


    Ramai yang lupa bahawa sebenarnya sifat dengki yang bersarang di dada itu menunjukkan mereka berani melawan ketentuan Allah SWT ke atas diri hambanya yang lain? Bukankah bermakna dia musuh kepada nikmat Allah SWT kerana tidak mahu akur dengan qada’ dan qadar Allah SWT terhadap saudaranya.


    Sememangnya si pendengki sudah membuka pintu permusuhan bukan hanya kepada orang yang didengki namun kepada Tuhan yang memberi kebaikan kepada saudaranya itu. Seolah dia berkata: “Tuhan tidak betul membahagi nikmat!” Pada hakikatnya dia juga berkata: “Tuhan tidak adil!” Dan yang paling teruk lagi dia berkata: “Tuhan zalim kepadaku!”


    Firman Allah SWT yang bermaksud:


    Jika kamu beroleh kebaikan (kemakmuran dan kemenangan) maka yang demikian itu menyakitkan hati mereka. Dan jika kamu ditimpa bencana mereka bergembira dengannya. Dan jika kamu bersabar dan bertakwa maka tipu daya mereka tidak akan membahayakan kamu sedikitpun. Sesungguhnya Allah meliputi pengetahuan-Nya atas apa juga yang mereka lakukan.” (Surah Ali Imran, ayat 120)


    Begitulah lumrah kehidupan, kita memerlukan hati yang sabar dan takwa untuk tetap tegar di atas pengkhianatan dan kejahatan orang yang mendengki. Sabar bukan bermakna duduk dan menangis sambil menadah tangan ke langit tetapi enggan berusaha membina kekuatan.


    Tetapi di atas kedengkian orang lain anda mesti lebih menyerlah dan tidak mengaku kalah. Kerana sesungguhnya Allah SWT memberi kejayaan bagi orang yang mahu berusaha bukan untuk mereka yang lemah dan takut menghadapi hidup.


    Firman Allah SWT yang bermaksud:


    Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh, benar-benar Kami pimpin mereka ke jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.” (Surah al-Ankabut, ayat 69)


    Manusia boleh mendengki tetapi Allah SWT tetap membahagi menurut qada’ dan qadarnya, bukankah sia-sia saja melawan ketentuan Allah terhadap saudara kita?


    Friday, September 14, 2007

    ~* Tidur & makan berlebihan jejas kualiti ibadah puasa *~


    Allah berfirman yang bermaksud:

    “Wahai orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu mengerjakan puasa sebagaimana yang diwajibkan kepada orang sebelum kamu. Mudah-mudahan kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183).

    Bagaikan menunggu tetamu istimewa, Ramadan dinantikan seluruh umat mukmin. Dalam sejarah Islam sendiri, Rasulullah SAW dalam sebuah riwayat dinyatakan bahawa enam bulan sebelum tibanya Ramadan, Rasulullah SAW mempersiapkan diri untuk menyambutnya

    Bahkan ketika Syaaban, Rasulullah SAW mengajar sahabat Baginda doa mendapat keberkatan Syaaban sehingga munculnya Ramadan dalam keadaan yang lebih bersedia. Doa itu berbunyi:

    “Ya Allah berkatilah kami pada Syaaban dan sampaikan kami Ramadan.”

    Dalam hal ini, cuba kita renungi catatan Imam al-Ghazali yang membahagikan tahap puasa orang mukmin melalui tiga tahap tertentu :

  • Terbaik (khusus al-khusus) – Seseorang Islam berjaya mengawal puasanya daripada melakukan segala perkara membatalkan puasanya, bukan setakat makan dan minum, tetapi mencakupi keseluruhan perbuatan atau tindakan lain yang boleh membatal atau mengurangkan pahala puasanya.

  • Khusus – Seseorang yang berjaya dan berusaha untuk menahan diri daripada melakukan segala perbuatan yang boleh membatalkan puasanya, tetapi dia masih lagi tidak dapat mencegah diri daripada maksiat batin.

  • Umum – Seseorang yang berpuasa dan berusaha untuk menahan diri daripada melakukan apa juga perbuatan membatalkan puasanya tetapi masih lagi tidak dapat menghindarkan diri melakukan maksiat zahir dan batin.


  • Antara punca menyebabkan ramai di kalangan umat Islam hari ini masih berada di tahap kedua dan ketiga seperti dinyatakan Imam al-Ghazali adalah disebabkan nilai dan mutu kehidupan seseorang itu masih berada di takuk lama walaupun menyedari sedang meniti hari dalam bulan begitu berkat dalam Islam.

    "Perbuatan seperti terlalu banyak bercampur dengan rakan yang melebihkan hal keduniaan, hanyut dalam kealpaan dan angan-angan, bergantung harap tidak kepada Allah dengan sepenuhnya dan makan serta tidur berlebihan."

    Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

    “Sesiapa berpuasa dengan penuh keimanan dan perhitungan Allah akan mengampuni dosanya yang lalu.” (Hadis riwayat Muslim)

    Dalam sebuah hadis lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

    “Apabila kamu berpuasa, maka hendaklah pendengaran, penglihatan dan lidahmu turut berpuasa daripada segala yang haram. Jauhilah daripada suka menyakiti jiran, hendaklah kamu bertenang dan beramal dan jangan biarkan hari tidak berpuasa dan berpuasa adalah sama.” (Hadis riwayat Bukhari)

    Bagi memastikan segala pesanan Rasulullah SAW dapat dilaksanakan dengan syumul, persiapkan diri untuk memulakan penghidupan lebih bermutu dan bernilai sepanjang berada dalam bulan penuh kemuliaan dan keberkatan ini.

    Antaranya ialah :

  • Menjaga ibadat puasa daripada terbatal dan kurang pahalanya kerana kelalaian dalam menjaga anggota badan.


  • Memperbanyakkan membaca al-Quran dan merenungi pengajaran di sebalik pengertian ayat yang dibaca.


  • Mengurangkan tidur siang hari bulan Ramadan.


  • Beriktikaf dalam masjid terutama sepuluh malam terakhir Ramadan.


  • Memperbanyakkan bersedekah terutama kepada fakir miskin kerana bersedekah akan menyucikan jiwa manusia daripada sifat takbur dan kembali menyemai sensitiviti sesama umat Islam.


  • Jangan terlalu boros dengan melakukan pembaziran dalam penyediaan makanan.


  • Rasulullah SAW memberi penekanan dengan menjelaskan kemuliaan Ramadan melalui satu khutbah Baginda iaitu :

    “Wahai manusia, sesungguhnya kamu akan didatangi satu bulan yang besar lagi penuh keberkatan iaitu bulan yang didalamnya ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Bulan di mana Allah jadikan puasa adalah kefarduan dan qiyam pada malamnya adalah satu tambahan. Sesiapa yang mendekatkan diri kepada Allah dan beramal soleh pada bulan itu, maka samalah dia dengan orang yang menunaikan 70 amalan fardu di bulan yang lain. Ramadan adalah bulan memberi pertolongan dan Allah akan menambahkan rezeki orang mukmin di dalamnya. Sesiapa memberi makanan berbuka bagi orang berpuasa pada bulan itu, maka itu menjadi pengampunan dosanya dan kebebasan daripada api neraka.”

    Rasulullah bersabda yang bermaksud:

    “Apabila datangnya malam pertama Ramadan, diikat segala jin dan syaitan yang jahat serta ditutup pula pintu neraka, dan tiada dibuka walaupun satu pintu neraka. Akan dibuka pintu syurga. Pada setiap malam akan ada malaikat yang menyeru, “Wahai manusia yang inginkan kebaikan, bersegeralah kamu. Wahai manusia yang inginkan kejahatan, berhentilah kamu dan bagi Allah orang yang dibebaskan dari api neraka.”

    ~* Ramadan perlu dihidupkan siang & malam *~


    PELUANG mendapatkan pahala terbuka luas kepada setiap Muslim. Segala syariat yang dipertanggungjawabkan Allah untuk dilaksanakan mahupun ditinggalkan, mempunyai falsafah tersendiri yang semuanya menjurus kepada penambahan pahala dan pengampunan dosa.

    Kelebihan syariat Islam berbanding suruhan dalam agama lain ialah ganjaran yang bakal diperoleh walaupun sesuatu amalan itu belum lagi dilaksanakan. Maksudnya, Allah menjanjikan ganjaran terhadap perkara yang belum terjadi. Ia adalah galakan supaya muslimin lebih bersungguh melakukannya dan ganjaran itu akan berlipat ganda selepas ia dilaksanakan.

    Berhubung kegembiraan hati dan jiwa muslimin menyambut kedatangan Ramadan, ia juga adalah satu pahala walaupun ibadat puasa belum lagi bermula. Ini dijelaskan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

    “Sesiapa yang bergembira dengan kedatangan bulan Ramadan akan diharamkan dirinya daripada simbahan api neraka.”

    Hanya bergembira dan seronok dengan kedatangan Ramadan sudah dijanjikan manfaat oleh Allah. Betapa tingginya kasih sayang Allah terhadap golongan mukmin yang sentiasa merebut peluang menambah amal pada bulan mulia di sisi-Nya.

    Ramadan adalah bulan mulia daripada sekalian bulan yang Allah anugerahkan khas kepada umat Islam kerana ada banyak kelebihan dan kemuliaan di dalam bulan itu yang tidak terdapat pada bulan lain.

    Rasulullah SAW menyebut dalam sabdanya bermaksud :

    “Sekiranya umatku mengetahui kebesaran dan kelebihan Ramadan, nescaya mereka akan meminta Ramadan itu setahun penuh.”

    Hadis ini menjelaskan bahawa kelebihan Ramadan bukan sekadar terletak kepada ibadat puasa. Sesungguhnya pemahaman segelintir masyarakat yang menyebut Ramadan ialah bulan puasa perlu diperbetulkan. Sandaran itu seolah-olah menggambarkan puasa itu hanya di bulan Ramadan. Apabila pemikiran manusia sudah tertumpu ke situ, maka kelebihan lain dalam bulan mulia itu seolah-olah dilupakan.

    Sedangkan bulan ini ialah bulan kerahmatan, keampunan dan pembebasan daripada api neraka. Ini berdasarkan kepada hadis Nabi yang bermaksud :
    “Awalnya adalah kerahmatan, pertengahannya ialah keampunan dan penghujungnya ialah pembebasan daripada api neraka.”

    Untuk memperoleh rahmat, keampunan dan pembebasan api neraka, setiap mukmin perlu melipatgandakan amalan pada bulan Ramadan dan hadis itu juga tidak mengkhususkan manfaat diperoleh hanya jika sekadar berpuasa semata-mata. Apa ertinya puasa jika tiada penghayatan di sebalik falsafah ibadat itu.

    Ramadan juga bulan diturunkan al-Quran. Allah berfirman bermaksud:
    “Ramadan itu adalah bulan diturunkan al-Quran sebagai petunjuk kepada manusia dan keterangan-keterangan mengenai petunjuk itu dan pemisah di antara yang hak dan yang batil.” (Surah al-Baqarah, ayat 185).

    Malaikat Jibril membawa wahyu dari Allah sebagai isyarat pelantikan Rasulullah SAW sebagai nabi dan rasul berlaku pada 17 Ramadan. Sesungguhnya kitab lain yang diturunkan Allah kepada rasul turut berlaku pada bulan Ramadan. Suhuf Nabi Ibrahim diturunkan pada malam 1 Ramadan, kitab Taurat (6 Ramadan), kitab Injil (13 Ramadan) dan kitab Zabur (12 Ramadan).

    Sehubungan itu, kita digalakkan mengisi Ramadan dengan mendampingkan diri kepada al-Quran. Ini termasuklah bertadarus dan memahami makna serta isi kandungan al-Quran. Ada kalangan kita berlumba untuk khatam al-Quran pada bulan Ramadan. Memang tidak dinafikan semangat ini baik dan perlu dijadikan budaya kebiasaan, tetapi alangkah baik jika diambil langkah usaha memahami maksud ayat di dalamnya.

    Zaman sekarang, kemudahan untuk memahami isi kandungan al-Quran amat mudah. Terdapat banyak kitab al-Quran yang diterjemah sebagai panduan untuk mengetahui terjemahan ayat al-Quran. Alangkah baik jika diluangkan sedikit masa selepas bertadarus dengan meneliti maksud ayat yang dibaca supaya lebih dekat diri kita dengan kitab Allah yang bermukjizat ini.

    Bulan Ramadan ialah bulan penghapus dosa. Sabda Nabi SAW yang maksudnya:

    “Solat lima waktu, Jumaat ke Jumaat, Ramadan ke Ramadan adalah penghapus dosa yang dilakukan antara kedua-dua tempoh itu, asal saja bukan dosa besar.”

    Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

    “Sesiapa yang menghidupkan bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredaan Allah, nescaya akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu.”

    Maknanya, Ramadan itu perlu dihidupkan siang dan malam. Jika orang memahami Ramadan itu sekadar bulan puasa, maka apa pula aktiviti mereka pada malam bulan Ramadan untuk mendapatkan keredaan Allah.

    Orang mukmin tidak perlu membuat jadual aktiviti malam Ramadan kerana ia sudah disediakan oleh Allah dan kita hanya melaksanakan saja. Penyusunan program yang begitu cantik ini adalah suatu bonus yang mesti diambil peluang kerana sudah terbentang di depan mata.

    Dalam bulan Ramadan ada satu malam digambarkan Allah sebagai malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Malam yang dimaksudkan ialah Lailatul Qadar, malam penuh kemuliaan dan ketinggian yang akan diberikan kepada orang beriman yang bermujahadah mencari keredaan Allah.
    Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

    “Pada bulan Ramadan ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Sesiapa yang diharamkan baginya kebajikan pada malam itu, dia akan diharamkan daripada segala kebajikan.”

    Rasulullah SAW menyatakan bahawa malam al-Qadar itu hanya dikhaskan dan diberikan kepada umatnya saja dan tidak diberikan sebelumnya kepada kaum dan umat terdahulu. Lantaran itulah Baginda menyarankan kepada umatnya supaya menghidupkan 10 malam terakhir Ramadan kerana Lailatul Qadar dianugerahkan Allah pada salah satu daripada malam itu.

    Kesungguhan Rasulullah SAW terhadap malam itu menyebabkan Baginda beriktikaf di masjidnya di samping memerintahkan sekalian ahli keluarganya supaya berjaga untuk memperoleh Lailatul Qadar.

    Renunglah dan hayatilah kelebihan lain yang dirangkumkan Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud:

    “Umatku diberi Allah lima perkara di bulan Ramadan yang tidak diberi kepada umat terdahulu, bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada haruman kasturi, malaikat akan memohon keampunan kepada Allah untuk orang berpuasa sehingga sampai waktu berbuka, syaitan dibelenggu sehingga mereka tidak boleh berleluasa seperti biasa, Allah akan menghiasi syurga setiap hari (sebagai kurniaan untuk orang yang berpuasa), Allah akan mengampunkan dosa mereka yang berpuasa sehingga akhir Ramadan.”

    "Oleh Mohd Kamel Mat Salleh - Penulis ialah Penolong Pengarah, Pusat Pemantapan Akidah Jakim Jelebu, Negeri Sembilan."

    ~* Kelebihan puasa dan orang berpuasa *~


    RAMADAN al-Mubarak menggamit lagi. Bulan yang penuh dengan keberkatan, kelebihan, keampunan dan juga keistimewaannya amatlah patut dan munasabah untuk kita memahami dan mengetahui berkenaan kelebihan puasa dan orang yang berpuasa di bulan Ramadan.

    Puasa pada bahasa iaitu menahan dan pada istilahnya pula menahan daripada makan, minum dan jimak daripada subuh hingga ke maghrib beserta dengan niat. (Qamus Al-Fiqhi oleh Sa’di Abu Jaib Hal 218).

    Dalam Feqh Manhajji menyebut puasa dari segi syarak pula ialah menahan diri daripada sebarang perkara yang membatalkannya, bermula dari terbit fajar sehingga matahari terbenam dengan niat puasa.

    Walaupun begitu terdapat banyak lagi definasi berkenaan dengan puasa berdasarkan kepada pendapat fuqaha dalam semua mazhab. Tetapi pengertian yang mereka kemukakan adalah hampir sama.

    Puasa Ramadan mula difardukan pada bulan Syaaban pada tahun kedua Hijrah. Sebelum itu, amalan puasa telah biasa dilakukan biasa di kalangan umat terdahulu dan ahli kitab yang sezaman dengan Nabi Muhammad s.a.w.

    Akan tetapi kewajipan puasa pada bulan Ramadan belum disyariatkan lagi ketika itu. Persamaan antara mereka dengan umat terdahulu adalah dari segi pensyariataan puasa itu sahaja. Kemudian umat Nabi Muhammad secara khusus difardukan puasa pada bulan Ramadan.

    Ia merupakan satu rukun daripada Islam yang lima dan diketahui oleh umum. Oleh itu sesiapa yang mengingkari kewajipannya ia boleh menjadi kafir dan hendaklah disuruh bertaubat sebagaimana orang murtad. Jika terus ingkar dan enggan bertaubat dia hendaklah dijatuhi hukuman sebagai orang yang murtad.

    Hal yang demikian sekiranya dia bukan baru memeluk agama Islam dan tidak tinggal berjauhan daripada ulama. Mereka yang tidak berpuasa tanpa mengingkari wajibnya ibadat tersebut dia hanya jadi fasik. Pemerintah wajib memenjarakannya dan menghalangnya daripada makan dan minum pada waktu siang supaya ia berpuasa sekali pun zahirnya sahaja mengikut apa yang dinyatakan di dalam kitab al-Feqh al-Manhaji.

    Berkenaan dengan rukun puasa pula iaitu menahan daripada dua syahwat, perut dan faraj. Atau menahan daripada segala perkara yang membatalkan puasa. Malikiyah dan Syafiiyah menambah dengan satu rukun yang lain iaitu niat pada waktu malam. (Al-Fiqhu Al-Islami Wa Adillatuhu 3/1616).


    Seterusnya dibincangkan fadilat dan kelebihan puasa dan orang yang berpuasa :

  • Imam Ahmad dan Muhammad bin Nasar al- Baihaqi meriwayatkan daripada Abi Hurairah sabda Nabi s.a.w, “Dikurniakan kepada umatku pada bulan Ramadan lima kelebihan yang tidak dikurniakan mana-mana umat sebelum mereka : bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah dari bau kasturi, malaikat mengampunkan mereka sehingga berbuka, Allah hiasi setiap hari syurganya, kemudian berfirman hampir-hampirlah hambaku yang soleh yang merasai kesukaran tetapi terus menuju kepadamu, diikat padanya syaitan dan diampun bagi mereka pada akhir malam”.


  • Imam Bukhari, Muslim dan Ahmad meriwayatkan hadis daripada Sahal bin Sa’d. Sabda Rasulullah s.a.w: “Sesunggunya dalam syurga terdapat satu pintu yang dikenali dengan ar-Raiyyan di mana yang berhak memasukinya hanya orang yang berpuasa. Apabila selesai masuk nescaya ditutupnya”.


  • Mengikut riwayat an-Nasai sama seperti di atas kecuali ditambah sabda Nabi: "Sesiapa yang masuk di dalamnya nescaya dapat meminum siapa yang minum nescaya tidak dahaga selama-lamanya."


  • Mengikut riwayat Imam Ahmad dan an-Nasai daripada Abi Hurairah r.a sabda Rasulullah s.a.w: “Puasa merupakan perisai”. Dan daripada Usman bin Abi al-As, “Puasa merupakan perisai daripada neraka seperti perisai seseorang daripada kamu pada masa peperangan selama mana ia tidak mengoyaknya dengan berdusta atau mengumpat”.


  • Al-Baihaqi meriwayatkan daripada Usman bin Abi al-As, puasa merupakan perisai daripada azab Allah.


  • Imam Ahmad, Muslim dan an-Nasai meriwayatkan daripada Abi Hurairah dan Abi Sa’id Sesungguhnya Allah berfirman: "Sesungguhnya puasa bagiku dan Aku yang membalasnya dan sesungguhnya bagi orang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan apabila ia berbuka nescaya bergembira dan apabila bertemu Allah nescaya ia gembira. Demi jiwa Muhammad ditangan-Nya bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi."


  • Ibn Majah dan al-Hakim meriwayatkan daripada Ibn Umar bahawa Nabi s.a.w bersabda: “Sesungguhnya orang yang berpuasa ketika berbuka mempunyai doa yang tidak ditolak”.


  • Al-Dailami meriwayatkan daripada Ibn Umar katanya: “Diam orang puasa merupakan tasbih, tidurnya adalah ibadat, doanya mustajab dan amalannya digandakan”.


  • Ibn Majah meriwayatkan daripada Ibn Jabir, Ahmad, at-Tabarani dan al- Baihaqi daripada Abi Umamah bahawa Nabi bersabda: “Sesungguhnya bagi Allah ketika berbuka puasa mempunyai mereka yang dibebaskan daripada neraka yang demikian itu pada setiap malam”.


  • Al-Baihaqi meriwayatkan daripada Abi Hurairah bahawa Nabi s.a.w bersabda: “Puasa merupakan separuh kesabaran dan atas tiap sesuatu mempunyai zakat dan zakat bagi tubuh badan adalah puasa”.


  • Imam Ahmad, al-Tirmidzi dan al-Baihaqi meriwayatkan daripada Ummi Imarah: “Sesungguhnya orang yang berpuasa apabila makan sentiasalah malaikat berselawat keatasnya sehingga selesai makanannya”.


  • Sebenarnya banyak lagi kelebihan puasa dan Ramadan seperti mendapat syafaat dan dijauhkan daripada neraka. Justeru marilah sama-sama kita mengambil kesempatan dengan kunjungan Ramadan al-Mubarak dengan berpuasa dan beramal.

    Selamat berpuasa dan semoga diterima Allah.

    "Oleh: DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI"

    ~* 6 persiapan sambut kedatangan Ramadan *~


    RAMADAN yang kita tangisi pemergiannya hampir setahun lalu kini bertandang lagi. Kita yang beriman dan yakin pada janji Allah menanti kehadiran bulan penuh berkat ini dengan pelbagai perasaan.


    Seronok dan bimbang. Seronok kerana diberi peluang berjumpa dan beramal dengan bulan yang penuh berkat. Bimbang kerana kurang yakin ibadat maksimum akan dapat dilaksanakan. Risau, takut amal tidak membuahkan takwa yang diharapkan.


    Sesungguhnya kelebihan dan keistimewaan Ramadan bukan lagi satu rahsia. Allah sudah memilih daripada bulan ini satu detik paling bersejarah dalam kehidupan umat sejagat, iaitu detik turunnya kitab suci paling agung. Kitab yang diturunkan khusus untuk memimpin tangan manusia ke jalan yang benar.


    Ramadan juga mencatat sejarah gemilang kemenangan golongan yang membawa panji kebenaran ke atas golongan mustakbirin yang mempunyai kekuatan material tiga kali ganda dalam Ghazwah Badar al-Kubra.


    Ketibaan bulan mulia penuh sejarah ini sewajarnya disambut dan diraikan dengan acara gilang-gemilang. Oleh itu, ketibaannya perlu disambut dengan beberapa persediaan yang cukup selain mengikhlaskan pengabdian kepada Pencipta Yang Maha Esa.


    Ketibaan sekali lagi Ramadan, untuk kita memperbetulkan diri, meningkatkan iman dan mempersiapkan kekuatan serta bekalan. Seperti doa diajarkan Rasulullah SAW kepada kita. Apabila Rasulullah SAW melihat anak bulan Rejab, Baginda membaca bermaksud:


    Ya Allah, rahmatilah kami dengan Rejab dan Syaaban, dan sampaikan kepada kami Ramadan.” (Hadis riwayat at-Tabrani dan Ahmad)


    Betapa besar kurniaan Allah kepada kita pada Ramadan, di mana Rasulullah SAW sudah mengajarkan kita berdoa supaya kita dihidupkan hingga sampai Ramadan, supaya bulan itu dimanfaatkan untuk kita menjadi seorang hamba yang patuh kepada-Nya.


    Bagi pejuang spiritual, peluang mengecapi Ramadan sememangnya ditunggu-tunggu. Apabila tamat Ramadan tahun lepas, kita iringi pemergiannya dengan tangisan penuh ketakwaan dan air mata keinsafan.


    Bulan itu bukan sekadar nikmat, tetapi penuh ujian serta peluang melipat gandakan amal dakwah mendekatkan kita pada jalan Allah. Persediaan dan perancangan perlu dilakukan untuk memaksimumkan segala peluang pada Ramadan ini.


    Kita maklum, sebarang amal kebajikan yang dilakukan akan diberi balasan berganda. Martabat pahalanya lebih tinggi jika ia dilakukan pada Ramadan. Sunat diberikan pahala wajib, yang wajib digandakan dengan gandaan berdasar keredaan kurniaan Allah.


    Ketika Ramadan menjelang, Rasulullah SAW bersabda bermaksud:


    Wahai manusia, menjelang tiba bulan agung lagi berkat. Bulan yang di dalamnya ada satu malam lebih baik daripada 1,000 bulan. Sesiapa mendekatkan dirinya dengan mengerjakan amalan fardu, seolah-olah dia sudah mendapat 70 pahala fardu pada bulan lain. Sesiapa mendekatkan dirinya dengan amalan sunat, seolah-olah dia mendapat pahala amalan fardu pada bulan yang lain. Ia adalah bulan sabar iaitu bulan yang awalnya rahmat, tengahnya keampunan dan akhirnya selamat dari neraka.” (Hadis riwayat Ibn Khuzaimah)



    Antara persiapan yang perlu dilakukan menjelang Ramadan ialah :


  • Persediaan diri untuk berpuasa. Seminggu sebelum berpuasa kita dikehendaki mengurangkan kadar makanan kita dan lebihkan makan buah-buahan serta sayur-sayuran. Pastikan pembuangan air besar lawas.

  • Memahirkan diri dengan segala rukun, sunat, harus, makruh yang berkaitan dengan puasa pada Ramadan, sunat tarawih dan lain-lain lagi.

  • Membiasakan diri bangun pada sepertiga malam untuk bertahajud, mendekatkan diri pada Allah. Sebagai persediaan membiasakan tarawih dan tahajud pada Ramadan. Ramadan adalah bulan rukuk dan sujud.

  • Memperuntukkan beberapa jumlah wang untuk dijadikan sedekah jariah dan zakat fitrah. Bagi mereka yang sudah akil baligh, maka belajarlah membayar zakat fitrah sendiri.

  • Rancang strategi tersusun untuk memperbanyakkan hafalan, bacaan, tadabbur, tadarrus al-Quran.

  • Melatih dan membentuk diri bersifat mahmudah, sifat terpuji seperti sabar, membanyakkan senyuman kepada sahabat dan kerabat. Merendam sifat mazmumah, sifat keji seperti memfitnah, mengumpat dan mengata orang. Kurang bercakap lagha (merapu), tidak berbahasa lucah, kotor dan keji.


  • Oleh itu, dengan persediaan ini kita sematkan azam masing-masing untuk mencantikkan dan sempurnakan amalan fardu yang wajib dan membanyakkan amalan sunat pada Ramadan.


    "Oleh Prof Madya Maznah Daud, Penulis ialah penasihat syariah Wanita JIM"

    ~* Why Do Muslims Fast In Ramadan? *~

    What is Fasting (Sawm)? Sawm (Arabic: صوم) is an Arabic word for fasting regulated by Islamic jurisprudence. In the terminology of Islamic l...