Tuesday, October 28, 2008

~* Seruan suci *~


"MARILAH mendirikan solat, marilah menuju kejayaan!" Itu antara maksud lafaz azan yang bergema setiap kali masuk waktu solat, menyeru umat Islam bersegera melaksanakan perintah Allah (SWT).


Azan adalah satu syiar Islam yang mengingatkan Muslim mengenai waktu solat yang lima, sekali gus memberikan isyarat supaya meninggalkan seketika segala urusan dunia untuk sama-sama menuju kepada rahmat dan kasih sayang Allah (SWT).


Satu hadis Rasulullah s.a.w bermaksud:


"Apabila tiba waktu solat hendaklah seorang daripada kamu melakukan azan dan yang lebih tua daripada kamu hendaklah menjadi imam."

[Hadis riwayat Bukhari dan Muslim]

Panggilan suci itu adalah bersifat universal kerana lafaznya sama walaupun di dalam komuniti berbilang bangsa dan berbeza generasi dari dulu hingga kini, malah dengan pengertian yang sangat sempurna lagi menyeluruh, menjadikannya suatu simbol perpaduan umat Islam sejagat.


Secara harfiah, azan membawa maksud pemberitahuan ('al-i'lam) atau seruan (an-nida'. Al-Quran, sunnah dan ijmak menyatakan, laungan azan mempunyai banyak kelebihan dan pahala yang besar.


Ia dihukumkan sebagai sunat muakkad ketika hendak mendirikan solat dan fardu kifayah bagi satu-satu kumpulan orang Islam.


Bagi muazzin, iaitu orang yang melaungkan azan ketika melafazkan "hayya `alassolah", hendaklah menghadapkan muka dan dadanya ke sebelah kanan dan ketika membaca "hayya `alal falah" menghadapkan muka dan dadanya ke sebelah kiri.


Disunatkan juga melakukan tarji' ketika mengumandangkan azan iaitu menyebut dua kalimah secara senyap sebelum dinyaringkan.


Malah, sunat muazzin memasukkan dua anak jarinya ke dalam kedua-dua telinganya dengan tujuan untuk meninggikan suara.


Ketika mengumandangkan azan, muazzin tidak boleh bercakap. Setiap lafaz azan dilaungkan sebanyak dua kali kecuali lafaz takbir yang awal disebut empat kali dan lafaz kalimah tauhid di akhirnya sekali sahaja.


Azan harus dilafazkan oleh seorang lelaki yang beragama Islam, berakal, dilafazkan dalam bahasa Arab dan dilaungkan ketika masuknya waktu solat.


Ia juga harus diseru oleh muazzin yang suci daripada hadas besar, hadas kecil dan najis, dengan mengadap ke arah kiblat dan suara yang nyaring ketika melaungkannya.


Azan disyariatkan pada tahun pertama hijrah di Madinah al-Munawarrah. Perkara ini diceritakan dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim daripada Ibnu Umar r. a:


"Pada mulanya ketika orang-orang Islam berhijrah ke Madinah, mereka berkumpul dan menunggu untuk mengerjakan solat. Ketika itu tidak ada orang yang menyeru (melaungkan azan) untuk menunaikannya. Pada suatu hari Nabi s.a.w telah mengumpulkan para sahabat untuk bermesyuarat cara memberitahu masuknya waktu solat serta mengajak orang ramai ke masjid melakukan solat jemaah.


Dalam mesyuarat itu terdapat beberapa cadangan. Ada yang mencadangkan supaya dikibarkan bendera sebagai tanda waktu solat, ada yang mencadangkan ditiup serunai ataupun trompet; dan ada yang mencadangkan dibunyikan loceng. Semua usul itu ditolak Rasulullah s.a.w.


Umar bin al-Khattab mencadangkan diteriakkan ucapan: "Telah datang waktu solat". Usul ini diterima Rasulullah s.a.w tetapi baginda menukar lafaz itu dengan lafaz "assolatu jami`ah" yang bererti "marilah solat berjemaah."


Pada suatu malam Abdullah bin Zaid telah bermimpi mengenai cara yang lebih baik memberitahu solat dengan mengumandangkan Allahu Akbar... (dan seterusnya lafaz-lafaz azan)".


Pada pagi harinya, Abdullah bin Zaid menemui Rasulullah s.a.w dan baginda bersabda: "Mimpimu itu mimpi yang benar". Nabi s.a.w memerintahkan Bilal bin Rabah mengumandangkan azan terbabit. Ketika Bilal hendak menyerukan azan, Umar menemui Rasulullah s.a.w dan menceritakan beliau juga bermimpi seperti Abdullah bin Zaid."


Inilah buat kali pertama azan dilaungkan dengan kalimah yang mempunyai gaya tersendiri lagi unggul, tanpa sebarang unsur peniruan, malah laungan kalimah suci ini lebih bermakna berbanding yang lain.


Lafaz azan mengandungi makna kesatuan yang merangkumi aspek akidah, syariat dan akhlak. Ketiga-tiga aspek terbabit saling melengkapi dan sangat penting, kerana jika tiada satu daripada tiga aspek itu menjadikan seseorang Muslim tidak sempurna.


Akidah seseorang Muslim ialah tauhid, iaitu mengimani Allah (SWT), satu-satunya yang disembah. Tauhid ini terangkum dalam lafaz azan dan ini jelas memberitahu yang Allah (SWT) Maha Besar, tiada tuhan selain Allah (SWT) dan Nabi Muhammad s.a.w adalah pesuruh-Nya.


Lafaz itu juga menjadi kalimah syahadah bagi mereka yang mahu memeluk Islam dan ia adalah slogan utama yang wajib dipegang dari awal hingga akhir hayat.


Bagi mereka yang memerhatikan dengan teliti pengertian kalimah azan, dengan sendiri akan menjadi orang yang bersemangat, cergas dan rajin kerana kalimahnya menerangkan erti suatu kebesaran Ilahi dan sebuah kehidupan insani, yang bertanggungjawab memelihara amanah terhadap dunia dan akhiratnya.


Justeru, terdapat sesetengah golongan yang bersih hatinya akan bersegera mendirikan solat apabila azan dikumandangkan, kerana mengetahui urusan Allah (SWT) lebih utama, berbanding urusan duniawi sesama manusia.


Mengimani Nabi Muhammad s.a.w sebagai pesuruh Allah (SWT) memberi pengertian baginda adalah utusan yang dihantar Allah (SWT) untuk memimpin dan memberi pertunjuk kepada seisi alam, sekali gus menuntut kepatuhan kepada syariat yang diajarkannya.


Azan mempunyai keunikan kerana gema keagungannya mampu menyentap fitrah manusia yang leka dan lalai daripada mengingati Allah (SWT), malah membuatkan seseorang itu terdiam seketika kerana menghormatinya.


Di sesetengah negara seperti di Malaysia, rakaman azan turut disiarkan melalui radio dan televisyen bagi memberikan makluman kepada Muslimin, sesuai dengan kedaulatan Islam sebagai agama rasmi yang sewajarnya dijulang semua pihak.


Kemuliaan azan dapat dilihat melalui anjuran Nabi s.a.w terhadap umatnya, malah diceritakan dalam satu hadis diriwayatkan al-Bazzar, bermaksud:


"Rasulullah s.a.w pada malam Israk diperlihatkan dengan azan dan diperdengarkan kepadanya di atas langit yang ketujuh. Kemudian Jibril mendatanginya, lalu dia menjadi imam kepada ahli langit. Antara mereka ialah Nabi Adam a.s dan Nabi Nuh a.s, Allah (SWT) menyempurnakan kemuliaan baginya ke atas penduduk langit dan bumi.

Disebabkan kemuliaan azan, orang yang mendengarnya hendaklah menghormatinya, dengan diam seketika bagi memberikan laluan azan dikumandangkan, di samping menyahut seruannya secara perlahan-lahan dengan lafaz yang diucapkan oleh muazzin, kecuali pada lafaz "hayya `alassolah" dan "hayya `alal falah" disahut dengan 'la haula wala quwwata illa billah' yang bermaksud 'tiada daya dan kekuatan kecuali daripada Allah (SWT).'

Pada azan Subuh, iaitu setiap kali dilaungkan 'assolatu khairun minannaum' (solat lebih baik daripada tidur) dijawab orang yang mendengar dengan 'sodaqta wa barirta' , maksudnya engkau benar dan engkau berbuat baik."

Selesai azan, umat Islam dianjurkan berdoa, seperti:


"Wahai Allah (SWT), Tuhan yang menguasai seruan yang sempurna ini dan solat yang didirikan. Berikanlah kepada Nabi Muhammad kurnia dan keutamaan serta kedudukan yang terpuji yang Engkau janjikan untuknya."

Azan tidak hanya dilafazkan bagi tujuan solat fardu, malah ia juga disunatkan saat kelahiran bayi, mencontohi tindakan Nabi Muhammad s.a.w yang mengazankan Hasan ketika beliau dilahirkan oleh Fatimah.


Ia juga dapat dimanfaatkan sebagai isyarat untuk memaklumkan sebarang kejadian besar, seperti kebakaran dan waktu perang dan ketika pengebumian jenazah dan bagi memulakan perjalanan (musafir).


"Daripada Abu Hurairah r.a, sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda (maksudnya): Apabila dilaungkan azan untuk solat, syaitan akan menjauhkan dirinya sambil terkentut-kentut (kerana lari sekuat-kuatnya) sehinggalah tidak terdengar lagi azan. Jika selesai azan itu, syaitan akan kembali lagi sehinggalah iqamat untuk solat diserukan dia akan menjauhkan diri. Sehinggalah selesai iqamat itu barulah dia kembali lagi sehingga dia melintasi antara seseorang itu dengan dirinya (mewas-waskan). Dia akan berkata : Ingatlah begini-begini, ingatlah begini-begini terhadap sesuatu yang tidak sewajarnya diingati sehinggalah lelaki itu tidak mengetahui berapa rakaat dia bersolat."

[Riwayat Imam Bukhari]

Azan juga boleh diamalkan untuk mengubati orang yang dalam kerasukan serta menghindari mereka daripada kejahatan jin dan syaitan, bahkan sunat mengazankan orang yang buruk sifatnya sama ada daripada manusia atau haiwan dan orang yang resah gelisah kerana azan itu boleh menghilangkan keresahan.

~* Contoh peribadi terpuji dalam al-Quran *~


BAGI seorang manusia, tiada yang lebih bernilai kecuali keperibadian terpuji. Al-Quran menerangkan banyak peribadi dan ciri mulia yang boleh dicontohi, antaranya:


  • Takut hanya kepada Allah.

    “Demi sesungguhnya! Jika engkau hulurkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku tidak sekali-kali akan menghulurkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu, kerana sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan pentadbir sekalian alam.” (Surah al-Maidah: Ayat 28)


  • Melaksanakan kewajipan dan tanggungjawab sebagai hamba Allah.

    “Maka Musa pun memberi minum kepada binatang-binatang ternak mereka, kemudian ia pergi ke tempat teduh lalu berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan.” (Surah al-Qasas: Ayat 24)


  • Menyembunyikan perasaan marah dan sentiasa bersikap pemaaf.

    “Dan orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.” (Surah Ali-Imran: Ayat 134)


  • Memberi makan anak yatim yang dalam kelaparan dan kaum kerabat yang miskin.

    “Atau memberi makan pada hari kelaparan. Kepada anak yatim dari kaum kerabat. Atau kepada orang miskin yang terlantar di atas tanah.” (Surah al-Balad: Ayat 14-16)


  • Suka bersedekah dengan harta yang disukainya kepada orang yang amat memerlukan bantuan.

    “Dan seseorang itu suka mendermakan harta bendanya yang dia amat sukai kepada kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang yang miskin.” (Surah al-Baqarah: Ayat 177)


  • Cenderung dan suka kepada perdamaian dan keharmonian.

    “Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya.” (Surah al-Anfal: Ayat 61)


  • Tidak meminta-minta.

    “Mereka disangka sebagai orang kaya oleh orang yang tidak mengetahui halnya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta."


  • Bersabar dalam menempuh dugaan, baik ketika senang mahupun susah.

    “Dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan dan dalam masa kesakitan dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang sabil.” (Surah al-Baqarah: Ayat 177)


  • Menunaikan amanah kepada yang berhak menerimanya.

    “Maka hendaklah orang (yang berhutang) yang dipercayai itu menyempurnakan bayaran hutang yang diamanahkan kepadanya dan hendaklah dia bertakwa kepada Allah Tuhannya.” (Surah al-Baqarah: Ayat 283)


  • Tidak bersifat bakhil dan sanggup membelanjakan harta kepada golongan yang memerlukan.

    “Sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.” (Surah at-Taghabuun: Ayat 16)


  • Bersederhana dalam semua perkara. Tidak terlalu boros ketika berbelanja dan tidak kedekut.

    “Dan juga mereka (yang diredai Allah itu) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.” (Surah al-Furqaan: Ayat 67)
  • Friday, October 24, 2008

    ~* Menilai diri sebelum berangkat ke Tanah Suci *~

    Ibadah haji beri kesan positif terhadap sikap, tindakan dan tingkah laku individu


    UMAT Islam dari seluruh dunia tidak lama lagi akan menunaikan ibadah haji di tanah suci Makkah dan Madinah sebagai menyempurnakan rukun Islam kelima.


    Firma Allah (SWT) yang bermaksud :


    “Allah (SWT) mewajibkan atas manusia untuk mengerjakan ibadah haji bagi yang mampu mengadakan perjalanan ke sana.”
    [Surah al-Imran, Ayat 97]

    Takrif haji secara bahasa bererti menuju atau menziarahi suatu tempat. Menurut istilah fikah ialah ziarah ke Baitullah di Makkah untuk melaksanakan ibadah dengan cara tertentu, dalam waktu dan tempat-tempat tertentu. Ibadah haji diwajibkan pada tahun kesembilan selepas Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah.


    Ibadah itu sudah dikenal sejak dari zaman Nabi Ibrahim AS bersama anaknya Ismail yang diperintahkan Allah (SWT) mengajak dan menyeru manusia menziarahi rumah Allah (SWT) (Baitullah al-Haram). Waktu itu bangsa Arab di sekitarnya setiap tahun berduyun-duyun menuju Kaabah untuk melakukan ibadah haji dengan cara syariat Nabi Ibrahim. Pelaksanaan ibadah haji berjalan terus sampai zaman Nabi Muhammad SAW hinggalah hari ini.


    Menunaikan haji hukumnya wajib bagi yang mampu dari segi mental, fizikal, harta dan keimanan mengenai cara melaksanakan ibadah berkenaan.


    Setiap umat Islam mengharapkan dirinya untuk menunaikan ibadah haji. Apa lagi pahala ganjaran yang dijanjikan sangat besar bagi haji mabrur iaitu balasan syurga.


    “Tidak ada balasan bagi haji mabrur, melainkan syurga.”
    [Hadis riwayat Muttafaqa ‘Alaih]

    Begitu besarnya kerinduan akan kebesaran dari keagungan Allah (SWT) di Baitullah. Bagi mereka yang sudah menunaikan haji, ingin semula mengerjakan ibadah itu berulang-ulang kali.


    Walaupun Rasulullah SAW menegaskan bahawa ibadah haji itu cukup sekali (wajib), sedangkan yang kedua dan seterusnya adalah sunnah. (Hadis riwayat Imam Ahmad).


    Hal itu tidak tidak menghalangi niat kaum Muslimin untuk terus menunaikan ibadah haji ke tanah suci. Semulia ibadah haji adalah mereka yang dapat mencapai dan meraih darjat haji mabrur. Hanya haji mabrur diterima Allah (SWT), iaitu ibadah haji yang dilaksanakan tanpa melakukan perbuatan kesalahan seperti diterangkan dalam al-Quran bermaksud:


    “Barang siapa yang berniat melakukan ibadah haji, maka tidak boleh mencampuri isteri, tidak boleh berbuat fasik, dan tidak boleh bertengkar dalam masa mengerjakan haji.”
    [Surah al-Baqarah, Ayat 197]

    Upaya untuk mendapatkan haji mabrur dilalui berbagai cara. Di antaranya, sebelum berangkat haji seseorang mesti melakukan hal yang boleh membantu hajinya. Iaitu:


    • Bekalannya yang digunakan adalah halal (harta).
    • Berniat ikhlas kerana Allah (SWT) semata-mata.
    • Ketakwaan.
    • Mengerti mengenai ilmu mengerjakan haji dengan mengikuti kursus haji, mengetahui rukun haji, wajib haji dan larangan haji.
    • Mengerti mengenai ilmu ibadah selama dalam perjalanan seperti solat musafir, solat jamak dan solat qasar dan seterusnya.

    Sepanjang masa di Tanah Suci, hendaklah memperbanyakkan zikir, talbiah dan menggunakan waktu sebaik-baiknya, beribadah dengan tenang, jangan mengganggu orang lain. Jika ada kesempatan hendaklah menyembelih korban.


    Memang balasan syurga adanya di akhirat. Namun sesungguhnya balasan di dunia pun tetap ada iaitu dalam perilaku dan tindakan yang berubah kepada lebih baik. Seseorang yang ibadah hajinya meraih darjat haji mabrur, akan terlihat sekembalinya ke tanah air, sikapnya, tindakannya, akhlaknya dan ibadahnya.


    Seseorang jemaah haji yang ternyata tidak ada perubahan sama sekali setelah dan sebelum berangkat ke Tanah Suci, boleh dikatakan ibadah hajinya adalah mardud (haji ditolak).


    Darjat haji mabrur hanya boleh diraih dengan niat dan hati ikhlas semata-mata untuk beribadah kepada Allah (SWT) di Tanah Suci. Hati mesti ikhlas dan lurus, tidak ada sedikitpun untuk kepentingan lainnya dalam melaksanakan ibadah haji itu.


    Kerana itu, semua kepentingan duniawi mesti diketepikan dan ditinggalkan di tanah air, seperti pangkat, kedudukan, jabatan, dan harta, tidak perlu bermegah-megah di tanah suci, semuanya sama di hadapan Allah (SWT).


    Di samping itu, jemaah haji mesti benar-benar ikhlas melakukan taubat seperti yang dilakukan Nabi Adam AS, selepas melakukan kezaliman kerana termakan buah terlarang iaitu khuldi.


    Taubat yang semata-mata untuk meraih ampunan dari Yang Maha Kuasa, dilakukan Nabi Adam selama 40 tahun di Padang Arafah. Bayangkan untuk satu kesalahan dan kezaliman, Nabi Adam melakukan taubat di Arafah selama 40 tahun dengan sedikitpun tidak berani mengangkat kepalanya di hadapan Allah (SWT).


    Dengan penuh rasa malu dan tidak berhenti-henti Nabi Adam memohon kepada Allah (SWT) untuk diampuni atas kezaliman yang dilakukannya.


    Selain itu, untuk meraih haji mabrur yang ditentukan oleh peribadi jemaah, peranan dan wibawa pembimbing jemaah haji (swasta) termasuk pihak bertanggungjawab (Tabung Haji) juga sangat penting. Justeru, pembimbing tidak hanya mengajarkan mengenai tatacara mengerjakan ibadah haji, tetapi juga didasarkan pada bagaimana meningkatkan kefahaman jemaah mengenai melaksanakan ibadat haji dengan baik dan betul. Sesuai dengan tuntutan Rasulullah SAW.


    Mengenai jemaah haji yang berkali-kali mengerjakan ibadah haji ke tanah suci, Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali dalam kitabnya ‘Ihya Ulumuddin‘ memberikan tegurannya, seharusnya mereka yang pergi haji untuk kedua kali dan selebihnya itu hendaklah memperhatikan tetangganya dan saudara Muslim lainnya yang memerlukan pertolongan. Mereka yang berhaji dengan hal seperti itu sama dengan orang yang tertipu (ghurur).


    Terhadap mereka yang berangkat mengerjakan ibadah haji kali pertama, al-Ghazali melontarkan tegurannya, di antara mereka banyak yang tidak membersihkan jiwa dan hatinya. Mereka banyak yang mengabaikan aspek ibadah haji berkaitan dengan fizikal dan mental, sehingga apabila sampai di Tanah Suci tidak mampu mengawal kesucian diri seperti berbantah, bertengkar, berkata keji serta berbuat fasik dan maksiat.


    Tanda mendapat haji mabrur menurut ulama:


    1. Ternampak perubahan pada sikap, wajah, akhlak dan cara hidup.
    2. Amal ibadah bertambah baik dan tidak cuai melakukannya berbanding sebelumnya.
    3. Sifat jahat dan keji seperti tamak, hasad, dengki, riak, takbur, bakhil, angkuh, membazir, boros dan sebagainya terus ditinggalkan.
    4. Menjadi seorang yang berakhlak baik seperti bertawaduk, merendah diri, tolong menolong, dermawan, bercakap benar, amanah, jujur, bersedekah dan akhlak terpuji.
    5. Ibadah haji memberi kesan positif terhadap sikap dan tingkah laku dari segi perjuangan, kegigihan, keadilan dan sebagainya.
    6. Selalu mengerjakan ibadah puasa dan puasa sunnah dan ibadah lain.
    7. Seseorang pernah berzina, minum arak dan sebagainya terus meninggalkannya sama ada dosa kecil dan dosa besar.
    8. Kalau dulu dia sering mendedahkan aurat tetapi kini dia terus menutup auratnya sebagaimana dituntut oleh ajaran agama.
    9. Seseorang yang baik akan bertambah baik lagi dalam urusan hidup seharian.

    - Oleh Ibrahim Abdullah

    Friday, October 10, 2008

    ~* Panduan kekal amalan baik selepas Ramadan *~

    Cuba mencari pertolongan Allah (SWT) untuk membimbing anda berada di jalan lurus dan tetap teguh di landasan kebenaran.

    Mengenai perkara ini elok diperhatikan ayat 8 Surah Ali-Imran, maksudnya:


    (Mereka berdoa dengan berkata): Ya Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisi-Mu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan yang melimpah-limpah pemberian-Nya.


    • Gigih mengikuti kuliah dan syarahan agama.
    • Menambah pengetahuan mengenai biografi nabi, sahabat dan golongan beriman sama ada melalui buku atau sumber lain. Ia akan memandu anda untuk tetap berada pada landasan kebenaran serta mencontohi jejak langkah mereka yang terpuji dan diredai Allah (SWT).
    • Mendengar rakaman ceramah agama.
    • Tekun mengerjakan ibadat (wajib) dengan penuh tanggungjawab.
    • Rajin mengerjakan ibadat sunat dan menjadikannya kebiasaan, walaupun sedikit. Nabi s.a.w bersabda, maksudnya: “…amalan terbaik kepada Allah (SWT) ialah yang berterusan, walaupun ia sedikit.”
    • Mula memerhati ayat al-Quran. Baca ayat al-Quran yang anda pelajari ketika mengerjakan solat dan amalkan membacanya sekerap yang boleh.
    • Banyak berzikir (mengingati Allah (SWT)) dan memohon keampunan daripada Allah (SWT). Amalan ini mungkin nampak kecil, tetapi jika selalu diamalkan ia akan meningkatkan keimanan dan memberikan kekuatan kepada jiwa.
    • Waspada terhadap setiap perkara yang boleh memesongkan hati daripada jalan kebenaran seperti pergaulan dengan orang jahat, program televisyen yang tidak sopan, lagu dan gambar tidak elok.
    • Terakhir tetapi penting ialah taubat, iaitu menyesal atas kesalahan lalu kepada Allah (SWT) dan bertekad tidak akan menyimpang daripada landasan kebenaran lagi. Allah (SWT) suka apabila hamba-Nya kembali kepada-Nya dengan taubat yang sebenar-benarnya.

    Wednesday, October 8, 2008

    ~* Rebut fadilat puasa 6 hari dalam Syawal *~


    KELEBIHAN orang yang melakukan ibadat puasa enam di bulan Syawal diterangkan dalam sebuah hadis daripada Abu Ayub al-Ansari bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:


    “Barang siapa berpuasa Ramadan kemudian mengiringinya dengan puasa enam hari pada Syawal, adalah puasa itu seperti puasa sepanjang masa.”
    [Hadis riwayat Muslim]

    Hadis ini menjelaskan bahawa jika kita berpuasa pada Ramadan dan diikuti dengan puasa sunat enam hari pada Syawal, seolah-olah kita berpuasa sepanjang masa iaitu selama setahun.


    Justeru, umat Islam perlu merebut peluang ini kerana kelaziman amalan sunat dilakukan bertujuan menampal sebarang amalan yang berkurangan atau cacat dalam amalan fardhu.


    Mungkin, amalan puasa kita pada Ramadan berkurangan atau cacat sedikit, maka puasa enam hari di bulan Syawal sebagai menampung kekurangan atau kecacatan itu.


    Bagi wanita yang tidak dapat berpuasa penuh pada Ramadan, maka puasa enam memberi peluang yang baik kepada mereka untuk menggantikannya disamping mendapat pahala puasa sunat.


    Ia juga bagi mengelak budaya atau sikap sambil lewa yang melambatkan qada puasa sehingga Ramadan menjelang tahun depan.


    Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:


    “Siapa berpuasa Ramadan lantas disambung dengan enam hari pada Syawal makan dia bagaikan berpuasa selama setahun.”
    [Hadis riwayat al-Bazzar[

    Membiasakan puasa selepas Ramadan memiliki banyak manfaat dan hikmat, antaranya:


    • Puasa enam hari pada Syawal pelengkap dan penyempurnaan pahala daripada puasa setahun penuh.
    • Puasa Syawal dan Syaaban bagaikan solat sunat rawatib dan berfungsi sebagai penyempurnaan daripada sebarang kekurangan. Ini kerana pada hari kiamat, perbuatan fardhu akan disempurnakan dengan amalan sunat.
    • Seperti keterangan Rasulullah s.a.w dalam beberapa riwayat, majoriti puasa fardhu yang dilakukan umat Islam memiliki kekurangan dan ketidaksempurnaan dan ini memerlukan sesuatu bagi menutup atau menyempurnakannya.
    • Membiasakan puasa selepas Ramadan menandakan diterimanya puasa Ramadan.
    • Segala amalan yang dikerjakan seseorang hamba untuk mendekatkan diri kepada Allah pada Ramadan tidak akan terputus dengan berlalunya Ramadan yang mulia selama mana kita hidup.

    Sunday, October 5, 2008

    ~* Ganjaran puasa enam *~


    PUASA enam hari pada bulan Syawal adalah kesinambungan kepada ibadat puasa sebulan yang diwajibkan pada Ramadan


    Walaupun tidak berdosa sekiranya tidak dilakukan, tetapi hakikatnya puasa sunat enam hari pada bulan Syawal adalah ibadat yang penuh bermakna, malah ia amalan generasi soleh yang terdahulu.


    Nabi s.a.w ada menjelaskan ganjaran kepada mereka yang berpuasa enam hari pada Syawal melalui beberapa hadisnya, antaranya hadis diriwayatkan Muslim yang bermaksud:


    “Sesiapa berpuasa pada Ramadan, kemudian diiringi dengan (puasa) enam hari Syawal, maka dia seperti berpuasa satu tahun penuh.”

    Menerusi hadis lain yang dikeluarkan At-Tabrani dengan sanadnya daripada Ibnu Umar r.a, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:


    “Sesiapa yang berpuasa pada Ramadan dan diiringi dengan puasa enam hari pada Syawal, nescaya hilang segala dosanya seperti bayi yang baru dilahirkan oleh ibunya.”

    Penegasan baginda itu menunjukkan puasa enam hari bulan Syawal amat digalakkan walaupun ia tidak sampai tahap wajib, kerana ganjarannya sangat besar.


    Nabi s.a.w sendiri menggalakkan umatnya rajin beribadat, dengan ibadat fardu disusuli dengan amalan sunat. Baginda ada menerangkan Allah (SWT) S.W.T amat suka kepada hamba-Nya yang rajin beribadat, seperti pada hadis berikut:


    Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:


    “Sesungguhnya Allah (SWT) berfirman yang maksudnya: “Sesiapa yang memusuhi wali-Ku, maka sesungguhnya aku mengisytiharkan perang terhadapnya. Dan tiada seorang hamba-Ku yang bertaqarrub (beramal) kepada-Ku dengan sesuatu yang lebih Aku cintai hanya dari ia menunaikan semua yang Aku fardukan ke atas dirinya. Dan hendaklah hamba-Ku sentiasa bertaqarrub dirinya kepada-Ku dengan nawafil (ibadat sunat) sehingga Aku mencintainya. Maka apabila Aku telah mencintainya, nescaya adalah Aku sebagai pendengarannya yang ia mendengar dengannya, dan sebagai penglihatannya yang ia melihat dengannya, dan sebagai tangannya yang ia bertindak dengannya, dan sebagai kakinya yang ia berjalan dengannya. Dan jika ia meminta kepada-Ku nescaya Aku berikan kepadanya, dan jika ia memohon perlindungan kepada-Ku nescaya Aku lindungi.”
    (Hadis riwayat Al-Bukhari)

    Jika berpuasa pada Ramadan terpaksa menahan lapar dan dahaga, berpuasa enam hari pada Syawal tidak kurang juga menuntut ketabahan, malah apabila diperhatikan bahangnya lebih terasa kerana ketika berpuasa orang lain ‘berbuka.’


    Tetapi sedar atau tidak, ibadat sunat enam hari itu juga adalah penanda aras keimanan dan ketakwaan seseorang terhadap Allah (SWT); sanggup berlapar dan dahaga ketika musim orang menikmati aneka juadah, semata-mata kerana menyahut anjuran agama.


    Menurut ulama, puasa sunat enam hari pada Syawal sebaik-baiknya (lebih afdal) dilakukan berturut-turut, dimulai pada hari kedua Syawal dan diikuti lima hari lagi berturut-turut.


    Tetapi jika tidak dapat, boleh dilakukan pada mana-mana hari asalkan masih di dalam Syawal dan boleh dengan tidak berturut-turut asalkan cukup enam hari.


    Sesetengah ulama pula berpendapat puasa enam itu boleh dilakukan secara berselang-seli atau tidak terus menerus sepanjang Syawal.


    Ulama juga berbeza pendapat antara puasa sunat enam hari pada bulan Syawal dengan puasa ganti (qada) Ramadan.


    Pendapat pertama mengatakan tidak dibolehkan niat puasa ganti bersama puasa sunat Syawal. Ini kerana berdasarkan hadis setiap amalan berdasarkan niat.


    Sebagai contoh, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dalam menggariskan adakah puasa enam boleh diniat sekali dengan puasa ganti: ‘Niat puasa enam tidak boleh disekalikan dengan puasa qada.


    Imam As-Syafi’i (di dalam Kitab Al-Umm) berpendapat dalam mensyarahkan bab ‘setiap amalan dengan niatnya’ bahawa: Hendaklah dibezakan ibadat puasa Ramadan, puasa nazar, puasa kafarah, puasa qada dan puasa sunat.


    Imam Jalaluddin As-Suyuti (di dalam Kitab Al-Isybah) juga berpendapat hendaklah diasingkan puasa Ramadan atau nazar atau puasa sunat. Namun, seseorang yang berniat puasa qada ketika Syawal boleh juga dikurniakan pahala puasa enam (tanpa menjatuhkan niat itu) mengikut pendapat sebahagian ulama.’


    Pendapat kedua mengatakan dibolehkan niat bersama, malah memadai seseorang yang ingin melakukan puasa qada dan puasa sunat enam hari dengan berniat hanya puasa qada pada bulan Syawal.


    Mereka akan mendapat dua ganjaran sekali gus dengan syarat dia perlu berniat puasa qada terlebih dulu. Ini kerana puasa qada adalah wajib dan puasa enam adalah sunat.


    Hal yang sama berlaku ke atas solat tahiyatul masjid. Jika seseorang memasuki masjid dan terus melakukan solat fardu, maka dia akan diberi ganjaran dua pahala sekali gus.


    Bekas ketua jawatankuasa fatwa al-Azhar, Sheikh ‘Atiyyah Saqr, berkata seseorang yang tertinggal puasa pada Ramadan boleh berpuasa sunat enam hari Syawal dengan niat bersama puasa ganti.


    Menurutnya, orang yang berpuasa itu akan mendapat ganjaran berganda secara serentak; menggantikan puasa yang ditinggal dan mendapat ganjaran puasa enam hari Syawal.


    “Bagaimanapun, dianjurkan seseorang itu menggantikan puasa tertinggal secara berasingan dengan puasa enam hari Syawal (supaya mendapat ganjaran yang lebih),” katanya.


    Ada juga ulama berpendapat puasa enam seharusnya didahulukan kerana ia hanya boleh diamalkan pada bulan Syawal saja. Bagi puasa qada, ia boleh dilakukan dalam tempoh 10 bulan berikutnya sebelum tibanya Ramadan akan datang.


    Sesetengah ulama berpendapat, orang yang mempunyai hutang puasa Ramadan hendaklah ‘membayar’ terlebih dulu, kemudian baru dikerjakan sunat puasa enam. Tidak mendapat sunat puasa enam jika ia juga diniatkan sebagai puasa qada.


    Perbezaan pendapat itu sudah tentu memberikan pilihan dan ruang kepada umat Islam dalam melaksanakan amal ibadat, sesuai dengan konsep taysir (kelapangan) yang menjadi satu aspek penting dalam syariah, selagi mana tiada larangan terhadapnya.

    Wednesday, October 1, 2008

    ~* SALAM LEBARAN AIDILFITRI *~


    ..~*SALAM LEBARAN AIDILFITRI*~..

    Alhamdulillah, segala puji bagi Allah subhanahu wa taAla kerana dengan rahmat & hidayahnya, dapat kita mengharungi ujian sebulan puasa dengan sempurna….kini kita akan menyambut hari kemenangan yang begitu dinanti-nantikan...HARI RAYA AIDILFITRI…. Sepanjang setahun ini banyak peristiwa suka & duka yang telah kita lalui, dan semua itu semakin mematangkan kita dalam mengharungi cabaran yang mendatang…. JazakAllah khair!!

    Di kesempatan ini Siti ingin memohon ampun & maaf sekiranya Siti ada salah & silap tanpa di sedari andainya terkasar tutur kata bahasa sama ada yang tersurat/tersirat hingga terguris hati perasaan.....termakan/terminum harap diHALALkan….semoga aidilfitri ini memberi kebahagiaan & keceriaan.....Dan mengeratkan silatulrahim sesama kita......EnshaAllah........

    Ya Allah!! Awal syawal yang barkah ini, muliakanlah dan sayangilah saudaraku yang sedang baca do'a ini...

    Ya Allah!! Bahagiakanlah keluarganya, sihatkan tubuh badannya, berkatilah rezekinya, kuatkan imannya, moga diberi kenikmatan ibadah, di jauhkan dari fitnah dunia & fitnah akhirat…suburkanlah benih KEISLAMAN dengan penuh rasa kasih sayang...

    Ya Allah !! I praise to Allah alone and I thank you for what you has given me…and I ask Allah subhanahu wa taAla to bless all that you has given us and to help us use your provisions on us to do what pleases you and not to use your provisions in anything that displeases you...

    Ya Allah!! Tuhan yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan, Ya Allah!! Ya Tuhanku, tolonglah aku dan jangan Engkau menolong orang lain terhadap diriku dan bantulah aku dan janganlah Engkau membantu orang lain terhadap diriku, dan janganlah Engkau tidak mententeramkan terhadap diriku, tunjukilah aku dan mudahkanlah petunjuk itu terhadapku, dan bantulah aku dari aniaya orang lain...

    Ya Allah!! Ya Tuhanku jadikanlah aku orang yang mensyukuri nikmatMu, orang yang mengingatiMu, orang yang mentaatiMu, orang yang mengembalikan diri kepadaMu...

    Terimalah taubatku Ya Allah, basuhkanlah dosaku Ya Allah, perkenankanlah do'aku Ya Allah, tetapkanlah hujjahku Ya Allah, tunjukilah jiwaku Ya Allah, jagakanlah lidahku Ya Allah, dan hilangkanlah kekeruhan didadaku Ya Allah...

    Ya Allah!! Sesungguhnya aku bermohon kepadaMu, kerana sesungguhnya Engkau mempunyai segala puji-pujian, tiada Tuhan melainkan Allah Yang Penyayang, yang banyak memberi nikmat dan menjadikan langit dan bumi…Ya Allah!! Ya Tuhanku Yang mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan. Wahai Tuhai Yang Hidup yang mengerusikan segala urusan dengan sendiriNya supaya Engkau perkenankan do'aku...

    Amin Ya Allah Amin...

    ..~*Mohon Maaf Zahir & Batin*~..

    ~* Why Do Muslims Fast In Ramadan? *~

    What is Fasting (Sawm)? Sawm (Arabic: صوم) is an Arabic word for fasting regulated by Islamic jurisprudence. In the terminology of Islamic l...