Wednesday, July 9, 2008

~* Keistimewaan bulan Rejab *~


Zaman ini persis wanita yang mengandung. Lihatlah apa yang berlaku padanya dalam sekelip mata terutama apabila penguasaan ilmu dan iman semakin tidak dipedulikan manusia.


Sesetengah pihak cuba menakut-nakutkan umat Islam daripada melakukan amalan di bulan Rejab, beralaskan hadis kelebihan bulan Rejab adalah palsu dan yang lain pula mendatangkan dalil berat sebelah bagi mengikis keistimewaan bulan Rejab.


Dalam memahami selok-belok Rejab, kita perlu cermat membuat penilaian terhadap sumber yang berkaitan dengannya. Tegasnya, al-Quran, hadis, pandangan ulama muktabar dan fatwa berkaitan perlu dipersembahkan secara jujur serta telus.


Ia boleh membantu kita dalam memahami kes berkaitan dan memberi justifikasi yang jelas dalam pelaksanaan. Kita tidak mencemuh dan menuduh mereka yang ikhlas melakukan kebaikan.


Apabila kita meneliti kepelbagaian sumber yang ada di tangan ulama, didapati Rejab ada keistimewaannya tersendiri. Tidak hairanlah inti sari (matan) hadis “Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadan bulan umatku..” disokong oleh ulama muktabar.


Antaranya, Imam Hibbatullah bin Mubarak, yang meriwayatkan keistimewaan Rejab berdasarkan sanadnya yang jelas sebagaimana yang direkodkan oleh Syeikh Abd Qader al-Jaylani dalam al-Ghunyah.


Oleh itu, amat baik jika diperhatikan siapa beliau dan bagaimana kualiti sanad yang diriwayatkannya.


Tambahan pula, matan hadis terbabit tidak bertentangan dengan nas al-Quran. Sebaliknya selari dengan perisytiharan Allah pada surah al-Taubah ayat 36 mengenai empat bulan haram yang dimaksudkan: Rejab, Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam.


Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya menyifatkan Nabi s.a.w menegaskan Rejab adalah bulan Allah, iaitu bulan ahlullah. Dikatakan penduduk (mukmin) Tanah Haram itu ahlullah kerana Allah yang memelihara dan memberi kekuatan kepada mereka.


Imam al-Thabrani meriwayatkan daripada Anas bin Malik, apabila tibanya bulan Rejab, Baginda mendoakan:


“ Ya Allah, berkatilah hidup kami di bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikan (hayat) kami kepada bulan Ramadan. ”

Imam al-Thabrani meriwayatkan daripada Abu Hurairah, Nabi SAW tidak menyempurnakan puasa sebulan selepas berlalunya Ramadan kecuali pada Rejab dan Syaaban.


Al-Hafiz al-Haitsami dalam Majma’ al-Zawa’id turut meriwayatkan mengenai kelebihan Rejab. Walaupun dengan sanad daif, ia sudah memadai untuk menepati spesifikasi kelebihan beramal dan meningkatkan hemah diri.


Hal ini jelas sebagaimana diakui fuqaha dan ahli hadis menerusi kenyataan Imam al-Nawawi dalam kitab al-Arba’ien.


Lebih kukuh, Imam Muslim meriwayatkan daripada Uthman bin Hakim al-Ansari, beliau (Uthman) pernah menanyakan Said bin Jubayr mengenai puasa Rejab (pada bulan Rejab).


Said menjawab:


Aku mendengar Ibn Abbas mengatakan: “ Rasulullah s.a.w berpuasa Rejab sehingga kami menyangka Baginda tidak berbuka (terus-menerus berpuasa) dan Baginda berbuka sehingga tidak nampak berpuasa. ”
(Sahih Muslim)

Imam al-Nawawi mengatakan:


“ Apa yang zahir daripada ucapan Sa’id bin Jubayr itu menjadi bukti tiada tegahan untuk berpuasa padanya (Rejab) kerana bulan berkenaan. Bahkan kedudukannya sama mengikut baki bulan Islam yang lain.

Tidak ada larangan untuk melakukan ibadat puasa di bulan Rejab, tidak pula disunatkan kerana bulannya. Tetapi apa yang disunatkan ialah kerana kesunahan puasa terbabit. ”

Imam Abu Thayyib al-Azhim juga mengatakan:


“ Dalam Sunan Abi Daud direkodkan Nabi s.a.w menggalakkan kita berpuasa di bulan yang haram. Rejab adalah satu darinya. ”

Al-Hakim meriwayatkan daripada Nubaisyah:


“ Seorang lelaki menanyakan Nabi SAW, wahai Rasulullah! Kami memberi persembahan (kepada berhala) di zaman Jahiliyah. Maka apa pula yang harus dilakukan di bulan Rejab ini. ”

Baginda menjawab : “ Sembelihlah binatang ternakan kerana Allah di mana-mana bulan sekalipun. Lakukanlah kebaikan kerana Allah dan berilah makanan. ”

Imam al-Baihaqi meriwayatkan daripada Imam Syafie berbunyi :


“ Telah sampai kepada kami Syafie mengatakan: Sesungguhnya doa itu mustajab pada lima malam; malam Jumaat, malam Aidiladha, malam Aidilfitri, malam pertama bulan Rejab dan malam nisfu Syaaban. ”

Berdasarkan kepada penyelidikan, Rejab mempunyai pengertian dalam kelasnya yang tersendiri. Sumber hukum melalui al-Quran, hadis dan keterangan ulamak salaf memberitahu kita bahawa di sana ada hadis sahih, hasan, mursal, marfuk, daif, daif jiddan, wahin (amat lemah) dan palsu berkaitan Rejab.


Oleh itu, setiap isu dan dalil harus difahami secara menyeluruh lagi mendalam agar kita tidak tersasar daripada landasan yang benar.


Dalil yang jelas, terang lagi bersuluh sepatutnya diamalkan. Dalil yang lemah boleh dijadikan bahan sokongan dan penambahbaikan dalam sesuatu amalan, sementara dalil palsu ditinggalkan.


Sempena sepertiga Rejab yang mulia, renunglah, setakat mana ilmu kita? Berapa banyak yang diamalkan dan di mana pula keikhlasan kita?


Alangkah manisnya apabila kita dapat menyatukan ibadat solat, puasa, zikir, tasbih, tahlil, tahmid, qiyam, bersedekah dan kebaikan lain di bulan Rejab. Semoga amalan Rejab ini menjadi pemangkin untuk mereka yang benar-benar dahagakan kebesaran dan keagungan Allah.


Pencarian hakikat Rejab sebenarnya bermula dan berakhir dengan kesucian hati kita. Sucikan suapan, pakaian dan perbuatan kita. InsyaAllah sinar keagungan Rejab mampu menjadi milik kita secara hakikatnya.


- Oleh Zamihan al-Ghari

Tuesday, July 8, 2008

~* Ucap salam adalah doa *~


ASSALAMUALAIKUM! Apa khabar semua? Begitulah permulaan percakapan seorang Muslim, sunat diawali dengan salam.


Makna “Assalaamualaikum” ialah "Semoga Allah menyelamatkan dan memberikan kesejahteraan atas kamu". Salam dalam bentuk ucapan adalah ungkapan yang bersifat amalan digunakan untuk memperkenalkan diri atau menyapa orang lain.


Hukum memberi salam sunat tetapi menjawabnya wajib. Salam dalam bentuk gerakan, antaranya adalah berjabat tangan atau disebut juga bersalaman, mengangguk, cium tangan, cium pipi dan melambaikan tangan.


Allah berfirman dalam Surah Al-Hasyr, ayat 23, maksudnya:


" Dialah Allah, tiada Tuhan melainkan Dia, Yang Menguasai, Yang Maha Suci, Yang Maha Sejahtera, Yang Melimpahkan Keamanan, Maha Pengawal, Maha Kuasa, Maha Kuat, Memiliki segala Kebesaran. Maha Suci Allah dari segala yang mereka sekutukan. "

Di dalam ayat ini, as-Salaam (Maha Sejahtera) adalah satu daripada nama agung Allah. Sebelum terbitnya fajar Islam, orang Arab biasa menggunakan ungkapan lain, seperti 'Hayakallah' yang ertinya 'Semoga Allah menjagamu tetap hidup'.


Kemudian Islam memperkenalkan ungkapan “Assalaamualaikum” ertinya "Semoga kamu terselamat daripada segala duka, kesulitan dan nestapa".


Ibnu Al-Arabi di dalam kitabnya 'Al-Ahkamul Quran' mengatakan, salam adalah satu ciri Allah dan bererti “Semoga Allah menjadi pelindungmu”.


Jangan pandang remeh pada ucapan salam. Disebabkan tidak memahami kedudukan ucapan “Assalaamualaikum”, ucapan selamat pagi dan good morning lebih selesa di ungkapkan.


Betapa besarnya makna salam dan ungkapan “Assalaamualaikum”. Elok kita dalami makna salam, antaranya:


" Salam bukan sekadar ungkapan kasih sayang, tetapi juga doa pengharapan agar anda selamat daripada segala macam duka derita. "

Tidak seperti kebiasaan orang Arab yang mendoakan untuk tetap hidup atau selamat pagi yang sudah selamat. Kita yang belum mendapat jaminan selamat sepatutnya didoakan.


" Salam juga mendoakan agar hidup kita bukan saja selamat tetapi supaya mendapat penuh kebaikan. "

" Salam mengingatkan kita semua bergantung kepada Allah. Tidak satu pun makhluk yang boleh mencelakai atau memberikan manfaat kepada sesiapapun, juga tanpa per kenan Allah. "

Perhatikanlah, ketika seseorang mengatakan kepada anda: “Aku berdoa semoga kamu sejahtera”. Maka ia menyatakan dan berjanji, yang anda aman daripada tangan (perla kuannya), lidahnya (lisan) dan ia akan menghormati hak hidup, kehormatan serta harga diri anda.


Maknanya, orang yang mengucapkan salam itu memberikan pernyataan yang ‘kamu tidak terancam dan aman sepenuhnya daripada diriku’. Kesimpulannya salam bererti mengingatkan (zikir) Allah dan mengingatkan diri.


Ungkapan kasih sayang antara sesama Muslim adalah doa yang istimewa dan pernyataan atau pemberitahuan yang ‘anda aman daripada bahaya tangan dan lidahku’.


Mulai sekarang, jangan berpisah dengan ucapan “Assalammualaikum” sebab kelebihannya sangat hebat.


Abdullah bin Mas’ud r.a meriwayatkan, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:


“ Salam adalah salah satu asma (nama) Allah yang telah Allah turunkan ke bumi, maka tebarkanlah salam. Ketika seseorang memberi salam kepada yang lain, darjatnya ditinggikan di hadapan Allah. Jika jemaah suatu majlis tidak menjawab ucapan salamnya maka makhluk yang lebih baik dari merekalah (yakni para malaikat) yang menjawab ucapan salam. ”

[Musnad Al Bazar, Al Mu’jam Al Kabir oleh At Tabrani]

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w ber sabda, maksudnya:


“Orang kikir yang sebenar-benarnya kikir ialah orang yang kikir dalam menyebarkan salam.”

~* Antara 9 mimpi Nabi Muhammad SAW *~

Daripada ABDUL RAHMAN SAMURAH R.A. berkata, NABI MUHAMMAD S.A.W. bersabda :


Sesungguhnya aku telah mengalami mimpi-mimpi yang menakjubkan pada malam aku sebelum di Israqkan....

" Aku telah melihat seorang dari umatku telah di datang oleh malaikatul-maut dengan keadaan yang amat mengerunkan untuk mengambil nyawanya, maka malaikat itu terhalang perbuatannya itu disebabkan oleh KETAATAN DAN KEPATUHANNYA KEPADA KEDUA IBUBAPANYA. "

" Aku melihat seorang dari umatku telah disediakan azab kubur yang amat menyiksakan, diselamatkan oleh berkat WUDUKNYA YANG SEMPURNA. "

" Aku melihat seorang dari umatku sedang dikerumuni oleh syaitan-syaitan dan iblis-iblis lakhnatullah, maka ia diselamatkan dengan berkat ZIKIRNYA YANG TULUS IKHLAS KEPADA ALLAH S.W.T. "

" Aku melihat bagaimana umatku diseret dengan rantai yang diperbuat daripada api neraka jahanam yang dimasukkan dari mulut dan dikeluarkan rantai tersebut ke duburnya oleh malaikut-ahzab, tetapi SOLATNYA YANG KHUSUK DAN TIDAK MENUNJUK-NUNJUK telah melepaskannya dari seksaan itu. "

" Aku melihat umatku ditimpa dahaga yang amat berat, setiap kali dia mendatangi satu telaga dihalang dari meminumnya, ketika itu datanglah pahala PUASANYA YANG IKHLAS KEPADA ALLAH S.W.T. memberi minum hingga ia merasa puas. "

" Aku melihat umatku cuba untuk mendekati kumpulan para nabi yang sedang duduk berkumpulan- kumpulan, setiap kali dia datang dia akan diusir, maka menjelmalah MANDI JUNUB DENGAN RUKUN YANG SEMPURNANYA sambil ke kumpulanku seraya duduk disebelahku. "

" Aku melihat seorang dari umatku berada di dalam keadan gelap! gelita di sekelilingnya, sedangkan dia sendiri di dalam keadaan binggung, maka datanglah pahala HAJI DAN UMRAHNYA YANG IKHLAS KEPADA ALLAH S.W.T. lalu mengeluarkannya dari kegelapan kepada tempat yang terang-benderang. "

" Aku melihat umatku cuba berbicara dengan golongan orang mukmin tetapi mereka tidakpun membalas bicaranya, maka menjelmalah SIFAT SILATURRAHIMNYA DAN TIDAK SUKA BERMUSUH-MUSUHAN SESAMA UMATKU lalu menyeru kepada mereka agar menyambut bicaranya, lalu berbicara mereka dengannya. "

" Aku melihat umatku sedang menepis-nepis percikan api ke mukanya, maka segeralah menjelma pahala SEDEKAHNYA YANG IKHLAS KERANA ALLAH S.W.T. lalu menabir muka dan kepalanya dari bahaya api tersebut. "

Bersabda RASULULLAH SAW,

" Sampaikanlah pesananku kepada umatku yang lain walaupun dengan sepotong ayat "

Info Rejab

Pengertian


Rejab bermakna kebesaran atau kemuliaan dan ia membawa maksud bulan yang dibesarkan atau dimuliakan. Masyarakat Jahiliyah menamakan bulan ini dengan bulan Rejab kerana mereka memulia dan menghormati bulan ini dengan mengharamkan berperang di dalamnya. Dan Rasulullah SAW mengekalkan nama ini dan mengharamkan pertumpahan darah di bulan Rejab. Dan bagi umat Islam, kita memperingati dan memuliakan Rejab sempena dengan peristiwa besar yang berlaku kepada Rasulullah SAW iaitu peristiwa Isra' dan Mi'raj.


Peristiwa-Peristiwa Penting Bulan Rejab


  • Hijrah Pertama


  • Hijrah ke Habsyah (Ethiopia) Pihak musyrikin Mekah meningkatkan tekanan dan ancaman kepada Rasulullah SAW dan mereka yang beriman kepada Rasulullah SAW pada ketika itu. Ada di kalangan sahabat yang mengadu kepada Rasulullah SAW tentang derita yang mereka tanggung lalu Rasulullah SAW memerintahkan agar mereka berhijrah ke negeri Habsyah.


    Tujuan hijrah ini adalah untuk menyelamatkan iman dan keselamatan diri di samping untuk mencari tapak baru untuk Islam bertapak dan menyusun langkah untuk agenda seterusnya. Diantara mereka yang berhijrah ke Habsyah ialah Saidina Othman RA dan istrinya Roqiah anak Rasulullah SAW. Jumlah mereka adalah 14 orang termasuk 4 orang wanita. Habsyah dipilih adalah kerana rajanya dikenali dengan toleransi dan sikap terbukanya.


  • Isra' dan Mi'raj


  • Isra'dan Mi'raj ertinya Rasulullah SAW dijalankan dari Mekah ke Baitulmuqaddis di waktu malam dan diangkat ke langit bertemu Allah dan untuk mengambil kewajipan solat 5 waktu dari Allah.


    Dalam menentukan tarikh bila berlakunya peristiwa ini, sebahagian ulama mengatakan pada 27 RabiulAkhir; sebahagian ulama mengatakan pada 17 RabiulAwal; sebahagian ulama mengatakan 29 Ramadhan; sebahagian ulama mengatakan pada 27 Rejab dan sebahagian ulama yang lain mengatakan pada tanggal-tanggal selain dari yang tersebut.


    Menurut Chalil, 1999 sebagaimana yang dijelaskan oleh Dr.(H) Hj. Kassim Bahali, ada setengah ulama mengatakan pada malam tanggal 7 RabiulAwal. Adapun yang terbanyak ialah golongan yang mengatakan pada tanggal 27 Rejab, sekalipun tidak dengan alasan yang kuat.


    Tahun berlakunya juga terdapat perselisihan pendapat ulama, ada sebahagian yang mengatakan pada tahun ke 5 dari Bi'tsah (tahun mula diutusnya peribadi Nabi), sebahagiannya berpendapat pada tahun ke 12 dari Bi'tsah; sebahagiannya berpendapat pada tahun sebelum Nabi hijrah ke Thaif, sebahagian berpendapat pada tahun ketiga sebelum hijrah Nabi SAW ke Madinah dan ada yang sebahagiannya pula berpendapat lain dari semuanya itu.


    Bagaimanapun seorang ahli sejarah Islam bernama Ibnu Saad telah mencatatkan dalam kitabnya "At-Tobaqatil Qubra", bahawa berlaku israk mikraj terhadap Nabi SAW ialah pada lapan belas bulan sebelum Nabi SAW hijrah ke Madinah dalam satu peristiwa yang amat bersejarah itu.


  • Perang Tabuk


  • Tabuk adalah mengambil nama sempena nama satu tempat di Utara Semenanjung Arab di mana Rasulullah SAW dan 30 ribu tentera Islam berkumpul. Tidak berlaku pertempuran kerana tentera Rom telah melarikan diri kerana takut dan gerun kepada kekuatan dan kecekalan tentera Islam yang sanggup menghadapi berbagai kesukaran


  • Pembebasan Baitul-Muqaddis


  • Baitul Muqaddis telah dibuka pada zaman Saidina Umar Al-Khattab RA di zaman pemerintahannya. Akibat kelalaian dan perpecahan uamat Islam di zaman pemerintahan Abasiyah, umat Kristian (tentera Salib) telah melakukan serangan demi serangan ke atas Baitul Muqaddis dan akhirnya dapat menawan kota suci Baitul Muqaddis setelah 500 tahun dikuasai oleh pemerintahan Islam. Tentera Salib telah menduduki Baitul Muqaddis hampir 60 tahun sebelum dibebaskan kembali oleh panglima Islam terkenal Salehuddin Al-Ayubi. Beliau telah berjaya menawan kembali Baitul Muqaddis dari tangan tentera Salib pada hari Jumaat, 27 Rejab 583H. Dan pada tahun 1967 bersamaan 1387H umat Yahudi pula menawan Baitul Muqaddis (Palestin) dan menamakan negara baru mereka dengan nama Israel.


  • Lahirnya Imam Syafie RH


  • Nama sebenar Imam Syafie RH ialah Muhammad bin Idris. Beliau lahir di Ghuzah, Palestin pada tahun 150H bersamaan 767 Masehi dalam bulan Rejab. Beliau adalah salah seorang dari empat imam mazhab yang besar dalam dunia Feqah. Malaysia mengamalkan mazhab Syafie. Diantara peninggalan imam Syafie RH yang tiada ternilai harganya dan menjadi rujukan sehingga sekarang ialah kitab al-Umm.


    Amalan-amalan Di Bulan Rejab


    Tiada amalan khusus untuk bulan Rejab yang diriwayatkan dari Rasulullah SAW yang dijumpai di dalam mana-mana hadis shahih. Penulis berpendapat ada hikmahnya kenapa Allah SWT, Rasulullah SAW dan para sahabat RA tidak memberitahu tarikh dan tahun berlakunya peristiwa Isra' dan Mi'raj. Rasulullah SAW tidak mahu umatnya menetapkan ibadat-ibadat tertentu di bulan Rejab khasnya pada hari dan malam berlakunya peristiwa Isra' dan Mi'raj itu.


    Ini untuk mengelakkan berlakunya perkara-perkara yang diada-adakan (bid'ah) dan perbuatan membeza-bezakan kemuliaan satu-satu bulan. Namun begitu ada pendapat yang meriwayatkan tentang amalan-amalan sunat tertentu seperti solat sunat Rejab, puasa Rejab dan umrah Rejab. Pendapat ini adalah bersandar kepada hadis-hadis lemah.


    Terlalu banyak amalan-amalan sunat yang umum yang masih kita belum berkesempatan untuk mengamalkannya boleh kita praktikkan di bulan Rejab ini sebagai persediaan kita menjelang Ramadhan al-Mubarak. Diantaranya solat malam, qiamul-lail, puasa Isnin dan Khamis, tadarrus al-Qur'an dan lain-lain lagi.


    Di sini penulis ingin menyarankan agar pada akhir bulan Jamadilakhir khasnya pada 29 Jamadilakhir, kita bolehlah melatih mata kita untuk menjejaki hilal. Proses melatih mata untuk merukyah hilal boleh dimulakan 20 minit sebelum Maghrib sehinggalah 20 minit selepas maghrib dengan memerhatikan ufuk Barat sekitar tempat matahari terbenam.


    Ini boleh dilakukan dengan mata kasar tanpa menggunakan sebarang alat kecuali untuk melihat matahari perlukan penapis (solar filter). Bagi mereka yang mempunyai teleskop atau teodolite ataupun binocular, inilah masanya untuk menguji peralatan dan kemahiran masing-masing agar pada hari cerapan hilal Sya'ban, Ramadhan dan Syawal kita tidak menghadapi masaalah dalam melakukan cerapan hilal.


    Dan sebenarnya Rasulullah SAW sendiri amat mengambil berat tentang kedudukan bulan pada setiap akhir bulan khasnya apabila menjelangnya bulan Rejab dan bulan-bulan seterusnya.


    - Sumber dari Jabatan Mufti Negeri Melaka

    ~* Pilih pasangan ikut syariat *~

    ISLAM agama yang menjamin kesejahteraan kepada ma nusia dunia dan akhirat.

    Dalam memilih pasangan, Islam turut memberikan garis panduan supaya rumah tangga yang dibina memberikan kerahmatan, ketenangan dan keharmonian.

    Justeru, Islam menasihati umatnya memilih pasangan yang sesuai supaya kebahagiaan dan ketenangan diidamkan men jadi kenyataan di alam rumah tangga.

    Antaranya, memilih calon pasangan berdasarkan agama, taat dan berakhlak dengan keperibadian Islam.

    Bagi orang yang kefahaman agamanya kurang, perbezaan pendapat menjadi melarat, bertambah kusut, dihambur ka ta-kata kesat dan diungkit segalanya, sehingga kemanisan menjadi pudar, berganti dengan kebencian.

    Nabi Muhammad s.a.w ada memberikan penekanan kepada sesiapa yang ingin berkahwin agar memilih pasangan yang beragama.

    Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: “Perempuan dikahwini atas empat perkara; kerana hartanya, keturunannya, ke cantikannya dan agamanya. Pilihlah perempuan yang ber agama, nescaya kamu akan diberkati Allah.” (Riwayat Bu khari, Muslim dan lain-lain)

    Rasulullah s.a.w menasihati keluarga anak gadis supaya menyegerakan perkahwinan apabila dilamar calon suami daripada kalangan yang beragama dan berakhlak, malah berkemampuan memenuhi hak isteri dan anak.

    Sabda baginda bermaksud: “Apabila kamu didatangi sesiapa yang kamu boleh menerima agamanya dan akhlaknya, kamu mesti membenarkannya mengahwini anak perempuan kamu. Jika kamu tidak berbuat demikian, nescaya satu fitnah besar akan berlaku di bumi serta menjadi keburukan dan kerosakan yang berleluasa.”

    Fitnah akan menimpa maruah agama dan umat Islam, jika seorang pemudi beriman terperangkap dengan suami yang tidak beriman, tiada pegangan akidah, tidak bertakwa dan tiada kesedaran.

    Pasangan suami isteri yang ideal juga bermula dengan keturunan yang baik-baik dan kerana itu Islam menasihati umatnya memberikan keutamaan kepada keturunan yang baik.

    Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Jangan dekati tum buhan hijau di tempat kotor. Lalu bertanyalah kalangan pendengar kepada Rasulullah. Apa dia tumbuhan hijau di tempat kotor wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Pe rempuan cantik yang membesar di rumah yang penuh kejahatan serta keburukan.” (Riwayat ad-Dar al-Qutni, al-As kari dan Ibnu 'Adi)

    Bagi lelaki, jangan kerana senyuman seorang gadis yang menawan, rupa yang cantik dan bentuk badan yang menarik membuatkan seseorang tidak berfikir panjang, malah terus melupakan kriteria ditegaskan Rasulullah secara berkias itu.

    Calon pasangan suami isteri juga seeloknya bukan daripada kaum kerabat keluarga bagi memelihara kecerdikan zuriat dan menghindari penyakit atau kecacatan disebabkan ke turunan.

    Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Janganlah menikah dengan kaum kerabat, kerana anak daripada pernikahan itu akan membesar kurus, lemah tubuh badannya dan tidak cerdik.”

    Sabda Baginda lagi: “Berkahwinlah dengan orang asing (tidak mempunyai tali persaudaraan) dan janganlah me ngahwini kaum kerabat sendiri supaya boleh mengelak kelahiran anak yang lemah dan tidak sihat.”

    Bagi lelaki, Islam juga menasihati supaya mengutamakan wanita yang masih dara.

    Bagi wanita yang pernah berkahwin kemungkinan ada penilaian lain pada suaminya, seperti membuat perbandingan antara suami dan bekas suaminya yang dulu.

    Dalam hadis diriwayatkan Ibnu Majah dan al-Baihaqi, maksudnya: “Kahwinlah anak dara sesungguhnya mereka ini selalu berkata dengan baik, lemah lembut, kemungkinan kesuburan mereka amat besar (mendapat anak), kurang tipu helah mereka (jujur) dan mudah reda dengan yang sedikit.”

    Aspek kesuburan juga elok diberikan keutamaan dalam memilih pasangan.

    Tanda kesuburan ini boleh juga diperhatikan keadaan ibu dan adik-beradiknya yang sudah berkahwin. Jika keluarganya besar, ramai ahli keluarga, besar kemungkinan dia begitu juga.

    Dalam hubungan ini ada seorang lelaki bertanya Rasulullah s.a.w bermaksud: “Wahai Rasulullah saya jatuh cinta dengan seorang perempuan yang berketurunan baik, berkedudukan dan kaya, cuma dia tidak boleh beranak. Adakah boleh saya berkahwin dengannya? Terus Rasulullah s.a.w melarangnya.

    Kemudian lelaki itu datang dan bertanya kepada Rasulullah kali kedua. Rasulullah menjawabnya sama dengan pertama.

    Lelaki itu datang dan bertanya kali ketiga. Lalu Rasulullah menjawab dengan sabdanya yang diriwayatkan Abu Daud, an-Nasai dan al-Hakim: “Berkahwinlah dengan perempuan yang boleh beranak ramai dan bersifat lemah lembut serta bermesra, sesungguhnya aku akan bermegah dengan kamu terhadap umat yang ramai.”

    Friday, July 4, 2008

    Ketika...


    1. KETIKA MENCARI CALON
    Janganlah mencari isteri, tapi carilah ibu bagi anak-anak kita. Janganlah mencari suami, tapi carilah ayah bagi anak-anak kita.


    2. KETIKA MELAMAR
    Anda bukan sedang meminta kepada orang tua/wali si gadis, tetapi meminta kepada Allah melalui orang tua/wali si gadis.


    3. KETIKA AKAD NIKAH
    Anda berdua bukan menikah di hadapan penghulu,tetapi menikah di hadapan Allah.


    4. KETIKA RESEPSI PERNIKAHAN
    Catat dan hitung semua tamu yang datang untuk mendoa'kan anda, kerana anda harus berfikir untuk mengundang mereka semua dan meminta maaf apabila anda berfikir untuk BERCERAI kerana menyia-nyiakan do'a mereka.


    5. KETIKA MALAM PERTAMA
    Bersyukur dan bersabarlah. Anda adalah sepasang anak manusia dan bukan sepasang malaikat.


    6. SELAMA MENEMPUH HIDUP BERKELUARGA
    Sedarilah bahawa jalan yang akan dilalui tidak melalui jalan bertabur bunga, tapi juga semak belukar yang penuh onak dan duri.


    7. KETIKA BIDUK RUMAH TANGGA GOYANG
    Jangan saling berlepas tangan, tapi sebaliknya justeru semakin erat berpegang tangan.


    8. KETIKA BELUM MEMILIKI ANAK
    Cintailah isteri atau suami anda 100%.


    9. KETIKA TELAH MEMILIKI ANAK
    Jangan bagi cinta anda kepada (suami) isteri dan anak anda,tetapi cintailah isteri atau suami anda 100% dan cintai anak-anak anda masing-masing 100%.


    10.KETIKA EKONOMI KELUARGA MERUDUM
    Yakinlah bahawa pintu rezeki akan terbuka lebar berbanding lurus dengan tingkat ketaatan suami dan isteri.


    11.KETIKA EKONOMI BERKEMBANG
    Jangan lupa akan jasa pasangan hidup yang setia mendampingi kita semasa menderita.


    12.KETIKA ANDA ADALAH SUAMI
    Boleh bermanja-manja kepada isteri tetapi jangan lupa untuk bangkit secara bertanggung jawab apabila isteri memerlukan pertolongan Anda.


    13.KETIKA ANDA ADALAH ISTERI
    Tetaplah berjalan dengan gemalai dan lemah lembut, tetapi selalu berhasil menyelesaikan semua pekerjaan.


    14.KETIKA MENDIDIK ANAK
    Jangan pernah berpikir bahawa orang tua yang baik adalah orang tua yang tidak pernah marah kepada anak,kerana orang tua yang baik adalah orang tua yang jujur kepada anak ....


    15.KETIKA ANAK BERMASALAH
    Yakinilah bahawa tidak ada seorang anakpun yang tidak mahu bekerjasama dengan orang tua, yang ada adalah anak yang merasa tidak didengar oleh orang tuanya.


    16.KETIKA ADA PIL
    Jangan diminum, cukuplah suami, isteri sebagai ubat.


    17.KETIKA INGIN AMAN DAN HARMONIS
    Gunakanlah formula 7K


    1. Ketaqwaan
    2. Kasih sayang
    3. Kesetiaan
    4. Komunikasi dialogis
    5. Keterbukaan
    6. Kejujuran
    7. Kesabaran

    ~* Iman rapuh dedah manusia kepada kelalaian *~


    MASYARAKAT Islam yang cemerlang ialah yang mengamalkan cara dan amalan hidup mereka selari pengertian akidah sebenar di mana segala urusannya berlandaskan pengabdian diri kepada Allah bukan unsur yang lain.


    Pentingnya umat Islam menekankan nilai ini dalam kehidupan dijelaskan melalui firman Allah yang bermaksud:


    “Katakanlah. Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagi-Nya, dan dengan demikian saja aku diperintahkan, dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintah-Nya).” - (Surah Al-An’am, ayat 162-163)


    Perlunya seseorang Muslim menjadikan nilai pengabdian kepada Allah sebagai unsur utama dalam kehidupan mereka kerana Islam ialah agama berteraskan akidah atau keyakinan luhur kepada Allah yang Maha Esa, malaikat, rasul, kitab, hari kiamat dan kepercayaan kepada qada’ dan qadar ditentukan Allah.


    Hasil daripada keyakinan ini akan membawa kepada lahirnya kesedaran dan kesanggupan insan untuk menunaikan segala kewajipan sudah ditetapkan oleh Allah, sekali gus menjauhkan segala larangan serta tegahan-Nya.


    Keperluan ini dirasakan dalam kehidupan hari ini yang penuh mencabar dan didatangi pelbagai ancaman untuk dijadikan sebagai benteng diri, keluarga serta masyarakat supaya maruah dan nilai diri Muslim tidak tergadai.


    Sebagai hamba Allah kita seharusnya tidak melupakan tanggungjawab mengukuhkan akidah termasuk mendidik anak mengenal Allah serta menitikberatkan ilmu lain untuk menjadi masyarakat mampu berdaya saing dengan masyarakat dunia hari ini.


    Sesungguhnya kita mampu bersaing dengan bangsa lain kerana Islam adalah agama yang tidak menolak kemajuan, malah menggalakkan umatnya mengejar kecemerlangan. Namun, tiada gunanya jika kita cemerlang dalam kehidupan di dunia tetapi tidak mempunyai keimanan terhadap Allah hingga mengabaikan perintah atau melakukan perkara dilarang Allah.


    Jika diimbas kembali sejarah dakwah Rasulullah SAW semasa beliau di Makkah, perkara pertama dilakukan Baginda kepada sahabatnya sebelum diajarkan syariat Allah ialah mendidik perkara bersangkutan akidah dan keimanan.


    Perkara itu berterusan sehinggalah akidah sahabat mantap dan kukuh serta mudah menerima apa saja perkara ditetapkan Allah dan Rasul-Nya. Di sini jelas menunjukkan usaha untuk kualiti ummah dan masyarakat khususnya perlu diberi perhatian kerana apabila sudah mantapnya akidah maka mantap keimanan seseorang.


    Jika masyarakat tidak menitikberatkan usaha itu, ia akan menyebabkan manusia berada dalam keadaan iman yang rapuh dan terdedah kepada kelekaan serta mengabaikan segala larangan Allah.


    Bagi menanamkan akidah yang kukuh dalam diri, seseorang itu perlu berusaha mempelajari perkara ketauhidan dan keimanan bermula daripada mengenal Allah sehinggalah kepada kepercayaan terhadap hari akhirat serta qada’ dan qadar.


    Aspek pengukuhan diterjemahkan melalui amalan dengan melakukan perkara wajib diperintah Allah seperti solat, zakat, puasa dan menunaikan haji jika berkemampuan. Pada masa sama, menghindarkan diri melakukan perkara dilarang seperti berzina, minum arak, berjudi dan derhaka kepada ibu bapa.


    Justeru, walau sibuk bagaimanapun, amalan yang memantapkan keimanan kepada Allah jangan sekali dilupakan kerana matlamat akhir kehidupan di dunia ialah mendapatkan keredaan Allah untuk hidup yang kekal abadi.


    Tambahan, dengan pelbagai anasir yang boleh menggugat keimanan umat Islam terhadap Allah, usaha mengukuhkan jati diri Islam perlu dilipat ganda kerana tanpa benteng yang kukuh, sukar untuk menangkis serangan berniat memesongkan umat Islam dari jalan kebenaran.


    Keseimbangan antara kehidupan dunia dan akhirat banyak bergantung kepada kesediaan umat Islam meningkatkan keimanan di samping sentiasa berusaha mencari keselesaan yang akan membantu mereka menjalani kehidupan dengan lebih baik.


    Masyarakat hidup dalam suasana harmoni mampu melahirkan generasi cemerlang yang mantap iman di dada serta sentiasa bersedia menghadapi ujian kerana keyakinan kepada Allah dalam semua perkara memudahkan perjalanan hidup manusia di dunia ini.


    - Oleh Dr Ahmad Redzuwan Mohd Yunus (Penulis ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Universiti Kebangsaan Malaysia.)

    ~* Why Do Muslims Fast In Ramadan? *~

    What is Fasting (Sawm)? Sawm (Arabic: صوم) is an Arabic word for fasting regulated by Islamic jurisprudence. In the terminology of Islamic l...