Friday, March 7, 2008

~* Kemurahan hati orang bertakwa *~


"IAITU orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa susah dan senang, orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang lain. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara baik."

(Surah Ali-Imran: Ayat 134)

HURAIAN


Allah menjelaskan beberapa ciri orang bertakwa yang disediakan bagi mereka syurga yang bidangnya seluas langit dan bumi.


Mereka ialah orang yang mendermakan hartanya sama ada pada masa senang dan susah, sihat atau sakit, sama ada banyak atau sedikit harta mereka pada waktu malam dan siang dengan cara sulit atau terang-terangan.


Ciri kedua ialah orang yang apabila berasa marah, mereka dapat menahannya dan menyembunyikan kemarahan tersebut. Sedangkan mereka mampu melepaskan kemarahan itu.


Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:


“Bukannya kekuatan itu dilihat daripada pergaduhan (gusti) tetapi kekuatan adalah pada orang yang dapat menahan dirinya ketika marah.”


Cara menahan kemarahan adalah dengan berwuduk seperti yang dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. bahawa marah itu datang daripada syaitan dan syaitan daripada api dan api dipadam dengan air. Maka apabila seseorang daripada kamu berasa marah hendaklah ia mengambil wuduk.


Ketiga ialah orang yang memaafkan orang yang melakukan kesalahan terhadap mereka sedangkan mereka mampu untuk membalas dan bertindak atas kesalahan tersebut. Ini adalah suatu yang sukar untuk dilakukan kerana ia memerlukan kawalan terhadap diri, perasaan dan fikiran. Semua itu adalah kerana Allah mengasihi orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.


KESIMPULAN


Sebagai orang Islam kita seharusnya menghiasi diri kita dengan ciri orang yang bertakwa iaitu membelanjakan (derma) harta semasa senang atau susah, menahan kemarahan diri dan bersedia memaafkan kesalahan orang lain. Semoga dengan itu kita akan memperoleh syurga yang disediakan untuk hamba-hamba-Nya yang bertakwa.


*Disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

~* Amanat kepada generasi baru *~


DARIPADA al-Irbadh Ibni Sariah katanya:


"Rasulullah s.a.w. telah menasihati kami sebagai nasihat yang berkesan, hati menjadi gerun dan mata berlinangan. Kata kami, “Wahai Rasulullah! Barangkali nasihat perpisahan, maka wasiatkanlah kami.” Sabdanya: Aku wasiatkan kamu supaya bertakwa kepada Allah, tunduk dan patuh terhadap pihak yang berkuasa sekalipun mereka terdiri daripada hamba Habsyi. Sesungguhnya siapa yang panjang usianya, dia akan melihat kekacauan hebat, maka hendaklah kamu berpegang dengan sunahku dan khulafa al-Rashidin al-Mahdiyin, gigitlah kuat ke atasnya dan awasilah dari perkara-perkara rekaan, setiap perkara bidaah itu adalah sesat."

PENGERTIAN


Dalam hadis ini, Rasulullah memberi ingatan kepada umatnya supaya bertakwa dan patuh kepada ajaran Allah dan menumpukan taat setia kepada pemerintah yang berkuasa. Baginda juga berpesan supaya berpegang teguh dengan sunah yang ditinggalkannya dan sahabat-sahabatnya dan mengawasi dari pergolakan yang akan timbul supaya tidak terlibat dalam krisis tersebut.


KESIMPULAN


Bertakwalah kepada Allah dan berpegang teguh dengan ajaran petunjuk Rasulullah dan sahabat-sahabatnya. Curahkanlah taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada raja dan pemerintah kamu.

~* Kematian adalah ketentuan Allah s.w.t. *~


"DAN Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau ia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berpaling tadah menjadi kafir?) dan ingatlah, sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka ia akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun; dan sebaliknya Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu.)"

(Surah Ali-Imran: Ayat 144)

HURAIAN


Setiap yang bernyawa pasti akan mati. Begitulah juga yang juga yang berlaku kepada Nabi Muhammad s.a.w., di mana baginda juga adalah seorang rasul yang sama seperti rasul yang sebelumnya telah mati atau terbunuh seperti Nabi Musa yang telah wafat dan Nabi Zakaria dan Isa yang telah dibunuh. Namun kita pasti berpegang teguh dengan agama walaupun rasul yang telah membawa risalah telah mati atau di bunuh kerana rasul juga manusia seperti nabi-nabi yang lain. Mereka ada tugas yang akan selesai sebelum meninggal dunia.


Namun orang-orang yang berpaling dengan kembali kepada kekufuran kerana kelemahan iman mereka, ia sedikit pun tidak memberi kesan atau mudarat kepada Allah dari tindakan itu. Bahkan ia akan memudaratkan dirinya sendiri kerana mereka akan dibalas dengan seksaan api neraka akibat perbuatan mereka itu.


Seterusnya Allah akan memberi balasan pahala kepada mereka yang syukur di atas nikmatnya. Iaitu mereka yang taat perintahnya, berjuang untuk agamanya dan pengikutnya samaada ketika baginda masih hidup atau telah wafat. Mereka ini di beri rahmat dan fadhilat-Nya di dunia dan di akhirat di atas kesyukuran dan amalan mereka.


KESIMPULAN


Nabi Muhammad merupakan seorang manusia yang juga wafat seperti mana semua makhluk yang bernyawa yang lain. Namun orang Islam ditentukan agar berpegang teguh dengan risalah Nabi Muhammad s.a.w. walaupun Baginda sudah tiada lagi. Dengan itu Allah akan memberi balasan sebaiknya kepada mereka yang sentiasa syukur di atas semua nikmat-Nya.


*Disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

~* Hormatilah diri sendiri *~


DARIPADA Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:


"Sekalian umatku akan diampuni melainkan mereka yang mujahirin (menampakkan) kejahatan sendiri, antara penonjolan itu ialah seorang yang melakukan suatu kesalahan di malam hari. Kemudian Allah s.w.t menutup kesalahan itu, lalu dia bercerita, Wahai si anu! Saya telah melakukan demikian, semalam, sedangkan Allah menutup kesalahan tersebut tetapi dia sendiri yang membuka penutupan Allah terhadapnya''

(Hadis riwayat Bukhari).

PENGERTIAN


Dalam hadis ini, Rasulullah memberi berita gembira kepada mereka yang telah terlanjur dalam hidup. Besar harapan mereka diampuni Allah sekiranya kesalahan tersebut dirahsiakan kerana mereka masih mempunyai sifat malu dan mengakui kejahatannya, tetapi bagi orang yang tidak bermaruah dan tidak menghargai dirinya sanggup membuka kejahatan sendiri malah berbangga dengan tindakan tersebut. Maka Allah tidak akan mengampuninya melainkan setelah mereka benar-benar menyesal dan bertaubat daripada segala kesalahan.


KESIMPULAN


Janganlah mengheboh-hebohkan kejahatan diri sendiri sebab kesalahan yang berlaku secara tersembunyi merupakan rahsia antara manusia dan Allah di samping lebih senang mendapat keampunan Allah. Hormatilah diri sendiri.

~* Gembira dengan kesusahan orang bukan sifat orang beriman *~


"KALAU kamu beroleh kebaikan (kemakmuran dan kemenangan), maka yang demikian menyakitkan hati mereka; dan jika kamu ditimpa bencana, mereka bergembira dengannya. Dan kalau kamu sabar dan bertakwa, (maka) tipu daya mereka tidak akan membahayakan kamu sedikit pun. Sesungguhnya Allah meliputi pengetahuan-Nya akan apa yang mereka lakukan."

(Surah Ali-Imran: Ayat 120)

HURAIAN


Allah menjelaskan tentang keadaan dan sikap orang yang tidak beriman yang terdiri daripada Yahudi, Nasrani dan munafik yang memusuhi orang-orang yang beriman. Apabila orang-orang mukmin mendapat nikmat atau kebaikan seperti kemenangan dan kekayaan maka ia akan membuatkan orang kafir sakit hati dan gelisah. Namun apabila orang-orang mukmin ditimpa bencana seperti kekalahan dan kesusahan mereka akan seronok dan gembira. Ini kerana mereka sentiasa iri hati dan dengki terhadap kesenangan orang mukmin dan sentiasa merancang untuk kesusahan orang mukmin.


Namun Allah telah memberikan penawar yang berkesan kepada orang yang beriman dengan menyelamatkan mereka daripada kejahatan musuh melalui kesabaran, ketakwaan dan bertawakal kepada Allah yang maha berkuasa mengawasi musuh kerana semua perkara berada di bawah kehendak dan kekuasaan Allah.


Oleh itu, apabila seseorang bersabar menunaikan setiap suruhan syariat seperti solat, puasa dan sebagainya dan bertakwa (takut) daripada segala larangan Allah, maka segala rancangan musuh (orang kafir) tidak akan berjaya dan tidak akan memberi sebarang kesan kerana sabar dan takwa merupakan syarat kejayaan mengalahkan musuh.


KESIMPULAN


Musuh Islam sentiasa merancang untuk memperdayakan orang beriman agar terpesong daripada landasan agama. Mereka akan gelisah apabila orang Islam mendapat kesenangan dan bergembira apabila orang Islam ditimpa kesusahan dan bencana. Dengan itu kita perlu sentiasa bersabar dan bertakwa untuk menghadapi musuh kerana dengan sifat tersebut, semua rancangan musuh tidak akan berjaya.


*Disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

~* Jalan ke syurga *~


DARIPADA Abu Darda' r.a, beliau mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Siapa yang melalui suatu jalan kerana mencari ilmu pengetahuan, Allah akan memudahkan kepadanya jalan ke syurga."

(Hadis riwayat Tarmizi).

PENGERTIAN


Dalam hadis ini Rasulullah memberi panduan satu jalan yang lurus menuju ke syurga, iaitu jalan mempelajari ilmu pengetahuan. Orang yang mengikuti cahaya ilmu pengetahuan tidak akan teraba-raba dalam kesesatan selama-lamanya. Melalui ilmu pengetahuan, seseorang itu akan memperoleh segala kebaikan di dunia dan di akhirat.


KESIMPULAN


Tuntutlah ilmu pengetahuan. Hapuskanlah segala penyakit buta huruf agama yang sedang bermaharajalela di kalangan umat Islam kini.

~* Umat yang terpilih kerana beramal dengan ajaran Islam *~


“KAMU adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar dan beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani ) itu beriman (sebagaimana yang semestinya) tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang-orang yang fasik.”

(Surah Ali-Imran: Ayat 110)

HURAIAN


Umat Islam merupakan sebaik-baik umat yang dijadikan oleh Allah. Mereka diberikan kemuliaan dan keistimewaan selagi mereka tetap taat menjalankan tiga dasar yang utama iaitu menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada kejahatan serta beriman kepada Allah s.w.t. dengan sebenar-benar iman.


Adalah menjadi tanggungjawab bagi orang Islam untuk menyuruh orang lain khususnya yang berada di bawah tanggungannya untuk berbuat kebaikan dan menjauhi larangan Allah. Tanggungjawab ini akan dipersoalkan oleh Allah di akhirat. Dengan itu umat Islam akan sentiasa berada di bawah kemuliaan dan kebaikan selagi mereka beriman kepada Allah s.w.t. dengan keimanan yang sempurna.


Adapun umat dan bangsa yang lain mereka telah terpesong daripada kebenaran iman. Mereka telah dipengaruhi oleh kejahatan dan kerosakan. Mereka tidak beriman dengan sebenar-benar iman kerana mereka beriman dengan sebahagian kitab tetapi kufur dengan sebahagian yang lain. Mereka beriman dengan sebahagian rasul seperti Musa dan Isa tetapi kufur kepada Nabi Muhammad s.a.w. sedangkan mereka mengetahui kebenarannya.


Mereka tidak juga menyuruh berbuat kebaikan atau melarang berbuat kejahatan kerana mereka sudah tenggelam di dalamnya. Sebenarnya kalau mereka beriman dengan sepenuh keimanan, mereka akan beroleh ganjaran yang banyak di dunia dan akhirat, berbanding apa yang mereka peroleh sekarang hanya keseronokan dunia semata-mata.


Mereka hanya mahukan kemewahan dan kesenangan dunia dengan melakukan pelbagai kerosakan. Maka mereka itu sebenarnya golongan yang rugi dan akan dibalas dengan seksaan neraka di akhirat.


KESIMPULAN


Umat Islam akan kekal sebagai umat yang paling mulia dan istimewa selagi mereka beriman dengan sebenar-benarnya iman, dengan mengamalkan Islam secara menyeluruh dalam kehidupan dan menunaikan tanggungjawab amar maaruf dan nahi mungkar dalam kehidupan mereka.


*Disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

~* Why Do Muslims Fast In Ramadan? *~

What is Fasting (Sawm)? Sawm (Arabic: صوم) is an Arabic word for fasting regulated by Islamic jurisprudence. In the terminology of Islamic l...