Friday, March 7, 2008

~* Beriman kepada kitab-kitab Allah *~


KATAKANLAH ( Wahai Muhammad ): “Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang telah diturunkan kepada kami, dan kepada apa yang telah diturunkan kepada Nabi-nabi: Ibrahim dan Ismail, dan Ishak dan Yaqub, dan keturunannya, dan kepada apa yang telah diberikan kepada Nabi-nabi: Musa dan Isa, dan sekalian Nabi-nabi daripada Tuhan mereka. Kami tidak membeza-bezakan seseorang pun di antara mereka dan kepada Allah jualah kami berserah diri (Islam).”

(Surah Ali Imran: Ayat 84)

HURAIAN


Dalam ayat ini Allah telah memerintahkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. berserta orang-orang yang mengikutinya untuk beriman kepada Allah dan kepada para nabi sebelumnya termasuk juga mempercayai dan mengakui kitab-kitab suci mereka yang merupakan kalamullah (wahyu) daripada Allah untuk memberi petunjuk kepada mereka.


Umat Nabi Muhammad bukanlah golongan yang hanya mengakui segolongan yang layak menjadi rasul (nabi) dengan tidak mempercayai sebahagian yang lain, bahkan semuanya mereka terima dan percaya kerana kesemua mereka ini (nabi-nabi) membawa ajaran yang satu iaitu penyerahan diri kepada Allah semata-mata bukan kepada yang lain sehinggakan semua nabi itu adalah nabi. Bahkan ajaran mereka menjadi pegangan hidup. Semua nabi adalah mulia dan dipilih oleh Allah maka hendaklah kita sentiasa taat dan patuh kepada Allah.


KESIMPULAN


Perintah Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w. berserta para sahabat iaitu orang-orang Islam agar mempercayai dan beriman kepada nabi-nabi sebelumnya termasuk beriman dengan kitab suci serta mengakui kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. adalah kerana semua nabi sama mulia dan dipilih oleh Allah.


*Disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

~* Kebenaran kerasulan Nabi Muhammad *~


“Dan (mereka berkata lagi) ‘Janganlah kamu percaya melainkan kepada orang-orang yang mengikut agama kamu’.
Katakanlah (Wahai Muhammad): ‘Sesungguhnya petunjuk yang sebenar-benarnya ialah petunjuk Allah’.
(Mereka berkata pula jangan kamu percaya) bahawa akan diberi kepada sesiapa seperti apa yang telah diberikan kepada kamu, atau mereka akan dapat mengalahkan hujah kamu di sisi Tuhan kamu'.
Katakanlah (Wahai Muhammad): ‘Sesungguhnya limpah kurnia itu adalah di tangan Allah, diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya: dan Allah Maha Luas limpah kurnia-Nya, lagi meliputi pengetahuan-Nya.”

(Surah Ali Imran: Ayat 73)

HURAIAN


Rasulullah s.a.w. menghadapi kesukaran dan penentangan daripada golongan yang menentangnya (bani Israel). Golongan ini beranggapan bahawa agama merekalah yang benar di samping beranggapan bahawa nabi-nabi itu hanya daripada kalangan mereka sahaja, bahkan mereka ini melampaui batas dengan menghina orang lain. Mereka juga berkeyakinan apa yang diperkatakan oleh mereka semuanya benar dan betul (baik).


Dalam hal ini, Allah telah menyatakan bahawa nabi-nabi itu tidak hanya terbatas untuk sesuatu bangsa (Bani Israel) sebaliknya Allah memberikan kepada sesiapa sahaja dalam kalangan manusia yang dikehendakinya. Sesiapa yang telah mendapat petunjuk Allah maka tidak ada yang dapat mengalahkannya (disesatkan) bahkan usaha-usaha mereka akan menjadi sia-sia.


Sikap golongan ini yang sememangnya terkenal dengan sifat sombong dan ingkar mereka tetap tidak percaya dengan utusan nabi yang bukan daripada kalangan mereka, apatah lagi mengakui bahawa umat Islam juga diberikan kitab (al-Quran) sebagaimana mereka juga. Dengan ini jelaslah bahawa Allah Maha Berkuasa dan Mengetahui orang yang berhak dijadikan Rasul (nabi) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.


KESIMPULAN


Anggapan bahawa nabi-nabi itu hanya daripada kalangan mereka (Bani Israel) merupakan suatu pemahaman yang benar-benar salah, kerana Allah berkuasa dan berhak memberikan kepada sesiapa sahaja apa yang dikehendaki-Nya.


*Disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

~* Jangan lupa ingatan dan amaran Allah *~


"DAN taatlah kamu kepada Allah serta taatlah kepada Rasul dan hendaklah kamu berwaspada. Justeru jika kamu berpaling maka ketahuilah bahawa kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah-perintah) dengan jelas."

(Surah al-Maidah: Ayat 92)

HURAIAN


Ketaatan kepada Allah s.w.t. dan Rasul hendaklah dibuktikan dengan amalan dan perlakuan. Rasulullah s.a.w. yang diutuskan kepada umat manusia telah menyempurnakan kewajipan menyampaikan dakwah iaitu seruan kebenaran sebagaimana suruhan Allah kepadanya.


Amaran Allah adalah jelas, keingkaran untuk menerima dan melaksanakan suruhan seperti mana apa yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. tidak memberi mudarat kepada orang lain melainkan kepada diri sendiri.


Oleh yang demikian, Allah menyeru manusia supaya sentiasa berwaspada dan beringat kerana sesungguhnya azab dan seksaan tetap akan dikenakan kepada mereka yang bersikap degil dan ingkar.


Tanggungjawab seorang Rasul sebagaimana yang diperintahkan kepada baginda Nabi Muhammad s.a.w. adalah untuk menyampaikan apa yang diperintahkan oleh Allah.


Terbukti kepada kita bahawa Nabi telah menyampaikan dakwah kepada umat manusia. Tanggungjawab kita pula adalah untuk mengikut dan beramal dengan apa yang disampaikan.


KESIMPULAN


Ketaatan mutlak yang wajar dilaksanakan oleh kita adalah menyatakan dengan bersunguh- sungguh sikap dan pendirian serta amalan untuk menerima segala apa yang disuruh dan meninggalkan segala kemungkaran.


Allah mengingatkan supaya kita beringat dan sentiasa muhasabah. Apa sahaja yang kita lakukan di dunia, yang untung dan rugi adalah kita sendiri. Rasulullah s.a.w. telah menyampaikan kebenaran. Kitalah yang membuat keputusan ke atasnya.


*Dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

~* Allah s.w.t. Tuhan Semesta Alam *~


KATAKANLAH (Wahai Muhammad): "Patutkah kamu (hai kaum Yahudi dan Nasrani) membuat bantahan terhadap kami mengenai pilihan Allah dan pengurniaan-Nya? Padahal Dialah Tuhan kami dan Tuhan kamu. Bagi kami (faedah) amal kami dan bagi kamu pula (faedah) amal kamu (kalau diikhlaskan), dan kami adalah (mengerjakan amal dengan) ikhlas kepada-Nya."

(Surah al-Baqarah: Ayat 139)

HURAIAN


Orang-orang Yahudi berhujah kepada kaum muslimin dengan pelbagai alasan. Mereka mengatakan semua nabi yang diutus adalah daripada kalangan mereka. Agama mereka adalah yang paling awal, kitab mereka adalah yang paling utama antara kitab-kitab samawi. Mereka juga mendakwa bahawa bangsa mereka adalah lebih tinggi daripada yang lain. Kadang-kadang mereka mengaku sebagai anak-anak Allah dan bahawa syurga hanyalah untuk mereka, bukan untuk bangsa lain.


Al-Quran membantah keseluruhan ucapan mereka (orang-orang Yahudi). Allah bukan Tuhan suatu bangsa atau kabilah tertentu. Dia adalah Tuhan semesta alam.


Ketahuilah pula bahawa tiada perbezaan antara seseorang dengan orang lain kecuali kerana amalan mereka. Setiap orang berbeza dengan amalannya. Orang yang berada di negeri yang dekat dengan kebangkitan Rasulullah s.a.w. tidak memberi sebarang erti sekiranya mereka tidak mengamalkan apa-apa yang diajar oleh Rasulullah.


KESIMPULAN


Manusia hidup berdasarkan pada amalan mereka yang baik, ikhlas, bersikap terbuka terhadap kebenaran dan bukan bersandar kepada kenangan-kenangan sejarah silam. Manusia harus meningkatkan kualiti diri, berubah ke arah kebaikan dan bersedia mempertimbangkan nasihat dan pandangan daripada orang lain demi kebaikan.


*Disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

Wednesday, March 5, 2008

~* Balasan dosa ditangguh uji ketebalan iman *~


RAMAI manusia tertipu oleh kata hatinya sendiri selepas diputar belit pengaruh syaitan. Syaitan berbisik ke dalam hati manusia:

“Allah Maha Penyayang, rahmat-Nya meliputi segala sesuatu. Selepas kamu melakukan dosa kecil, mengapa Allah tidak juga menurunkan apa-apa bala ataupun azab disebabkan maksiat kamu itu? Bukankah dosa yang kamu lakukan itu ringan saja? Lepas buat bertaubatlah! Habis cerita. Jangan takut, amal baik kamu banyak lagi.”


Tidaklah semudah itu menanggalkan daki maksiat dalam jiwa raga kita. Jika dikiaskan maksiat seperti kotoran yang melekat pada kain, boleh dihilangkan dengan sekali cucian saja, alangkah mudahnya. Asalkan dicuci dengan taubat maka hilang serta-merta.


Sedangkan kain yang selalu diberus untuk menghilang noda tidak akan bertahan lama. Pasti koyak rabak akhirnya. Inikan pula hati manusia. Jangan diremehkan dosa kecil. Semakin kerap ia dilakukan walaupun dengan diiringi taubat, ia akan merosakkan hati dan seterusnya memberi kesan kepada amal perbuatan keseluruhannya.


Apakah kesan daripada melakukan dosa kecil?


  • 1- Merangsang untuk melakukan dosa besar.
  • Jarang sekali ditemui seseorang yang tiba-tiba membunuh tanpa ada mukadimah pergaduhan atau pertelingkahan. Begitu juga orang yang berzina, pasti ada mukadimah rangsangan yang dilihat oleh matanya, ciuman atau sentuhan dalam pergaulannya.


    Ibarat titisan air yang terus menerus boleh melubangi bongkah batu yang keras, maksiat dilakukan terus menerus akan memberi kesan kepada maksiat yang lebih besar lagi. Mata yang memandang gambar keji menjijikkan akan menyuruh kepada anggota badan yang lain untuk berzina. Sehingga Ibnu Abbas berpendapat:


    “Tidak ada dosa kecil jika terus menerus dilakukan. Kerana ia akan merangsang seseorang melakukan dosa besar.”


    Kadang-kadang perbuatan baik yang dilakukan hamba walaupun kecil dan ringan, bagi Allah ia sungguh bermakna. Demikian juga sebaliknya, dosa yang bagi manusia sedikit tetapi cukup membuat Allah murka hingga hari kiamat.


    Seperti Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:


    “Adakalanya seseorang melepaskan sepatah kata daripada kata-kata yang diredai Allah yang dia tidak menyangka hal itu sedemikian rupa, tiba-tiba dicatat oleh Allah dalam keredaan-Nya sehingga dia berhadapan dengan Allah dalam keadaan diredai. Demikian pula ada kalanya seseorang bercakap sepatah kata daripada kata-kata yang membuat kemurkaan Allah yang dia tidak menyangka akan sedemikian rupa tiba-tiba dicatat oleh Allah dalam kemurkaan-Nya hingga hari kiamat.” (Hadis riwayat Imam Malik dan al-Tirmizi)


  • 2- Berasa aman daripada azab Allah
  • Orang yang sentiasa melakukan dosa kecil beranggapan dia boleh berpegang kepada tali rahmat dan kasih sayang Allah sehingga tidak akan mungkin terjatuh ke dalam jurang kebinasaan. Tetapi sayang, dia sesungguhnya lupa terhadap sifat Allah yang Maha Adil saat membalas setiap kejahatan.


    Bukankah sudah datang khabar daripada wahyu yang menyatakan perbuatan yang besar atau kecil semuanya tertulis dalam kitab catatan amal manusia? Setiap pandangan yang menyimpan syahwat, kebencian atau kedengkian segalanya dirakam dengan begitu rapi. Perkataan yang mewakili fitnah, ghibah dan kekotoran zina juga tidak luput daripada pemerhatian dua malaikat pencatat amal.


    Firman Allah yang bermaksud:


    “Dan diletakkan kitab catatan, lalu kamu akan melihat orang bersalah ketakutan terhadap apa yang tertulis di dalamnya, dan mereka berkata: “Aduhai celaka kami, kitab apakah ini yang tidak meninggalkan yang kecil dan tidak pula yang besar, melainkan ia mencatat semuanya; dan mereka dapati apa yang telah mereka kerjakan ada tertulis. Dan Tuhanmu tidak menganiaya seorang juga pun.” (Surah al-Kahfi, ayat 49)


    Tetapi mengapa manusia masih merasa aman daripada azab dan hukuman Allah ? Mungkin kerana azab Allah itu tidak terus diturunkan serta-merta selepas mereka melakukan maksiat.


    Cuba anda bayangkan selepas melayari laman web lucah seseorang terus dijangkiti penyakit mata merah yang rasanya gatal dan pedih bukan kepalang. Pasti tidak ada seorang manusia pun berani melihat benda keji seperti itu.


    Ataupun selepas mengumpat, mengeji dan memfitnah orang lain tiba-tiba orang itu terkena kanser di mulutnya. Selepas puas makan harta anak yatim perutnya membuncit. Perkara ini tak pernah berlaku disebabkan kelembutan Allah kepada makhluknya.


    Namun demikian, masih saja mereka yang bermaksiat itu berdalih:


    “Mengapa Allah tidak membalas kejahatanku ini? Aku masih hidup dengan limpahan nikmat-Nya, tidak ada musibah dan seksa yang menimpa diriku.”


    Lantas dia menyangka baik apa-apa perbuatan jahat yang dilakukannya. Padahal Allah hanya menangguhkan balasan atas kejahatannya itu untuk menguji sekebal mana imannya melawan libasan pedang maksiat.


    Al-Quran menggambarkan manusia yang merasa aman daripada perbuatan maksiat dalam firman Allah yang bermaksud:


    “Mengapa Allah tidak menyeksa kita disebabkan apa yang kita katakan itu? Cukuplah bagi mereka Jahanam yang akan mereka masuki dan neraka itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.” (Surah al-Mujadilah, ayat 8)


  • 3- Mencemarkan jiwa dan menghilangkan rasa nikmat dalam beribadah.
  • Dosa kecil yang dilakukan terus menerus walaupun boleh dihapuskan dengan melakukan solat dan berpuasa seperti mana disebut dalam sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:


    “Sembahyang lima waktu, Jumaat hingga Jumaat dan Ramadan hingga Ramadan menjadi penghapus dosa di antaranya. Jika kamu menjauhkan dosa besar.”


    Akan tetapi kekerapan melakukan dosa bagaimanapun akan membawa pengaruh buruk dalam keseluruhan peribadi seorang Muslim. Setiap perbuatannya yang mewakili kejahatan akan membekas di dalam jiwa.


    Apabila perbuatan dosa itu semakin sedap dilakukan, maka akan dicabut nikmat dari dalam hati hamba ketika bermunajat kepada Allah. Dan digantikan dengan azab yang tidak nampak. Apakah bentuk azab itu?


    Tahukah anda azab yang paling menyakitkan berbanding kanser, muflis, dipulaukan kawan, dijarah harta benda, dilucutkan daripada pangkat dan jawatan bahkan diaibkan di dada akhbar? Azab ini begitu berbahaya, mematikan kesucian jiwa hingga meranapkan binaan iman. Azab yang melanda hati. Iaitu apabila hati tidak merasai kemanisan berdekatan dengan Allah, apabila kenikmatan ibadat itu telah dicabut daripada rongga hati.


    Selagi mana seseorang itu melakukan dosa dia tidak akan merasai nikmatnya beribadah. Apakah ada kekhusyukan ibadat bagi orang yang menyimpan amarah, dengki dan cemburu kepada orang lain? Adakah terasa nikmatnya berpuasa bagi orang yang tak pernah puas melayani hawa nafsunya?


    Adakah berkesan ibadat zakat dan sedekah bagi mereka yang tamak kepada harta orang lain? Adakah nikmat merasai kelazatan al-Quran bagi orang yang suka membaca aib orang lain dengan begitu teliti.


    Semua itu adalah akhir daripada rentetan panjang sejarah dosa kecil yang dilakukan, bermula secara senyap, sedikit dan tidak nampak. Akhirnya menjadi kebiasaan, terang-terangan tanpa rasa malu dan takut . Bermula melakukan dosa kecil berakhir dengan kejahatan besar yang menjadi penyesalan buat selama-lamanya.


    - Oleh Dr Juanda Jaya (Penulis ialah pendakwah dari Sarawak)

    ~* Bersihkan Hati Dari Akhlak-akhlak Yang Tercela *~


    MARILAH kita tingkatkan ketakwaan kita kepada Allah dengan melaksanakan perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya semoga kita tergolong di kalangan hamba-hamba- Nya yang salih dan dikasihi.


    Kebersihan amatlah dituntut dalam Islam. Kebersihan itu juga bukan sahaja berbentuk zahir bahkan meliputi kebersihan batin. Kebersihan batin itu ialah membersihkan jiwa dari kesan-kesan dosa dan perbuatan-perbuatan yang tercela iaitu dengan cara bertaubat dan membersihkan hati dari akhlak-akhlak yang tercela seperti hasad dengki, tipu daya, berperasaan dendam, takbur, riya', ujub, syirik dan seumpamanya.


    Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Imam Muslim yang maksudanya:


    "Kesucian hati daripada sifat keji itu adalah setengah daripada iman."


    Untuk membersihkan hati, kita perlu menjauhi segala penyakit-penyakit hati. Berdasarkan hadis itu tadi Al-Imam Al-Ghazali berkata :


    "Bahawa iman yang sempurna itu adalah menyucikan hati daripada sifat-sifat keji dan menanamkan dalam hati segala sifat-sifat yang terpuji."


    Di antara penyakit-penyakit hati yang keji itu ialah perasaan hasad dengki, sifat riya', ujub, takbur, terlalu banyak bercakap, terlalu banyak makan, pemarah, bakhil dan kasihkan dunia.


    Perlu kita ingat, musuh dalam diri manusia bukan hanya terdiri daripada kuman-kuman yang menyebabkan diri kita dijangkiti penyakit. Tetapi adalah musuh-musuh yang tidak nampak, tidak boleh dilihat oleh mata kita dan tidak dapat dilakukan dengan kajian saintifik untuk mengesannya. Allah telah menegaskan hal ini dalam Al-Quran Al-Karim untuk memperingatkan manusia tentang musuh dalam diri manusia yang sentiasa mengajak ke arah kejahatan.


    Sebagaimana firman Allah dalam Surah Yusuf ayat 53 yang tafsirannya:


    "Kerana sesungguhnya nafsu itu terlalu menyuruh kepada kejahatan."


    Nafsu dan syaitan bekerjasama untuk merebut tempat di hati setiap manusia. Jika hati sudah dikuasai, sudah ditawan maka manusia tidak lagi ikut perintah Allah dan Rasul-Nya tetapi akan mengikut apa sahaja kehendak nafsu syaitan. Nafsu syaitan mahu mencorakkan hati-hati manusia dengan sifat-sifat jahat, sifat-sifat mazmumah. Bila segala sifat mazmumah sudah bertapak pada hati manusia maka syaitan akan memperalatkan nafsu melakukan apa sahaja yang disukainya. Maka akan timbullah segala penyakit-penyakit hati.


    Untuk itu kita mestilah 'mujahadah' diri kita, kita kuatkan iman kita, kita lawan serangan nafsu dan kehendak syaitan yang sentiasa mengajak kita untuk menderhakai Allah.


    Kecekapan nafsu, persediaannya, kesungguhannya, kejahatannya dan tipu dayanya itu berpuluh-puluh kali ganda lengkapnya dari peperangan senjata. Nafsu tidak tidur atau lena untuk membuatkan kita sentiasa lalai dan leka. Kelebihan orang yang takut kepada Allah Ensya-Allah Allah akan mengurniakan petunjuk hidayah kepadanya iaitu akan mendapat pimpinan dan bimbingan daripada Allah Subhanahu Wataala sehingga ia mendapat kemudahan dalam melakukan amal ibadat. Bersifat takut kepada Allah ini juga menjadikan seseorang itu akan sentiasa mentaati Allah dan akan memperolehi rahmat daripada-Nya.


    Apabila kita nilai, kita hitung segala nikmat yang dikurniakan Allah kepada para hamba-Nya pasti kita sebagai hamba-Nya tidak akan ternilai dan tidak terhitung akan kebesaran dan keagungan-Nya. Betapa banyak nikmat-nikmat yang Allah limpahkan kepada hamba-hamba- Nya. Untuk kita bersihkan batin kita dengan mensyukuri segala nikmat Allah berikan itu, kita hindari segala kemungkaran dan dosa.


    Inilah kebersihan hakiki yang bakal membawa para pelakunya keuntungan di dunia dan di akhirat. Perlu kita jaga kebersihan zahir dan batin ini, jika zahir sahaja yang bersih namun penyakit hati masih bersarang dalam diri, maka belum sempurna kebersihan itu, mudah-mudahan segala usaha untuk membersihkan zahir dan batin itu akan mendapat rahmat daripada Allah dan mudah-mudahan Allah akan menjauhi dan menghindari segala hasutan nafsu dan syaitan daripada hamba-hamba- Nya yang benar-benar beriman.


    Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 222 yang tafsirannya:


    "Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan menyukai orang-orang yang menyucikan diri."

    Saturday, March 1, 2008

    ~* Cantiknya Wanita.. Idaman Lelaki.. *~


    Jika inginkan bentuk bibir yang menawan.. Bukan dengan mencalit lipstik dengan warna idaman.. Tapi bentuklah ia dengan ucapan kata-kata kebaikan.

    Inginkan mata yang cantik menawan dan indah bukan hanya mencalit pewarna mata.. Tapi sebenarnyer adalah dengan mencari dan memandang kebaikan pada setiap orang yang anda jumpai.

    Nak dapatkan bentuk badan yang langsing dan mengkagumkan.. Bukan dengan berdiet semata-mata.. Tapi berbagilah makanan dengan mereka yang kelaparan.

    Rambut yang indah tentulah menjadi idaman wanita.. Bukan syampoo, bukan pewarna yang diperlukannya.. Tapi lurutan penuh kasih ke atasinya.. bagi si ibu.. Mintalah seorang anak kecil untuk menyisirnya dengan jemarinya setiap hari.. Kerana anak kecil itu sememangnya penuh kasih dihati..

    Bagi mendapatkan sikap tubuh yang indah.. Berjalanlah dengan segala ilmu pengetahuan, nescaya anda tidak akan pernah berjalan sendirian.

    Manusia, jauh melebihi segala ciptaan lain, perlu sentiasa berubah, diperbaharui, dibentuk kembali,dan diampuni.

    Jadi, jangan pernah kecilkan seseorang dari hati anda. Apabila kita sudah melakukan semuanya itu, beringatlah sentiasa. Jika suatu ketika kita memerlukan pertolongan, EnsyaAllah akan sentiasa ada tangan terhulur buat mu..

    ..Dan dengan bertambahnya usia kita, kita akan semakin mensyukuri nikmat yang telah diberi pada dua tangan mu, satu untuk menolong diri kita sendiri dan satu lagi untuk menolong orang lain.


    Tapi sebenarnya..


    .. Kecantikan wanita bukan terletak pada pakaian yang dikenakannya, bukan pada bentuk tubuhnya, atau cara dia menyisir rambutnya.

    ...Kecantikan wanita terdapat pada matanya, cara dia memandang dunia.. Kerana di matanyalah terletak gerbang menuju ke setiap hati manusia, di mana cinta dapat berkembang.

    ..Kecantikan wanita bukan pada kehalusan wajahnya. Tetapi kecantikan yang murni, terpancar pada jiwanya, dengan penuh kasih memberi perhatian dan cinta yang dia berikan.

    ..Dan kecantikan itu akan tumbuh disepanjang waktu buatnya..

    ~* Why Do Muslims Fast In Ramadan? *~

    What is Fasting (Sawm)? Sawm (Arabic: صوم) is an Arabic word for fasting regulated by Islamic jurisprudence. In the terminology of Islamic l...