Wednesday, October 10, 2007

~* Al-Quran Kesembuhan Bagi Hati *~


Oleh Prof Syeikh Mutawally Sya’rawi

KETAHUILAH wahai saudara bahawasanya pembacaan al-Quran menjernihkan karatan hati, menenangkan jiwa, menghilangkan dukacita, melapangkan masalah, menurunkan ’sakinah’ (ketenteraman), menyebabkan engkau diliputi rahmat, serta dinaungi oleh malaikat. Allah pun menyebutmu di hadapan malaikatNya. Allah berfirman: “Hanya dengan mengingati Allah lah hati menjadi tenang.”

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Jika sesuatu kaum berkumpul dalam rumah-rumah Allah membaca kitab Allah, mempelajarinya di antara mereka, maka akan turunlah kepada mereka sakinah, mereka pun diliputi rahmat, serta dinaungi oleh malaikat. Allah pun menyebut mereka di hadapan malaikat-malaikatNya, barangsiapa yang memperlambat untuk melakukannya, dia akan merugi.”


Ketahuilah bahawasanya ketika engkau membaca al-Quran engkau berada pada hadhirat Allah dan penduduk langit mengingatimu.

Disebutkan dalam hadith qudsi yang diriwayatkan dari Tuhan yang Maha Mulia:

“Aku menjadi teman duduk bagi orang yang mengingatiKu.” (Hasan - diriwayatkan oleh at-Tirmizi (3524) dan at-Tabrani di dalam as-Shagir (1/159) serta al-Misykah (2454)


Abu Zar bertanya kepada Rasulullah s.a.w. untuk berwasiat kepadanya. Diapun berkata: “Berwasiatlah kepadaku wahai Rasulullah.” Rasulullah bersabda kepadanya: “Hendaklah kamu membaca al-Quran sesungguhnya ia merupakan cahaya bagimu di dunia dan sebutan bagimu di langit.”

Penghormatan mushaf adalah hendaknya tiap harinya engkau tidak lupa untuk membacanya dan melihatnya. Berusahalah selalu untuk membaguskan bacaan al-Quran dengan memberikan tiap huruf haknya dan mustahaknya baik itu ghunnah, idgham, iqlab dan mad serta lain sebahagiannya yang berkenaan hukum-hukum tajwid. Berusahalah engkau mempelajari hukum-hukum ini dari guru qiraat yang boleh melafazkan bacaannya hingga sanad bacaanmu bersambung kepada Rasulullah s.a.w. hingga bacaanmu menjadi betul.

~* Ummah digalak pertingkat amalan rebut keistimewaan Lailatul Qadar *~


SAMA ada sedar atau tidak, kita sudah berada pada hari terakhir Ramadan al-Mubarak. Kebiasaannya bermula pada malam 15 Ramadan, jemaah masjid atau surau akan mengakhiri solat tarawih dengan solat witir dan membaca doa qunut.


Setiap rakaat solat tarawih, akan dibacakan surah al-Qadr pada rakaat pertama. Tradisi itu sudah sekian lama diguna pakai sebilangan besar masyarakat Islam di Malaysia sama ada di bandar mahupun kampung.


Pada Ramadan ada satu malam disebut Lailatul Qadar, malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Sesiapa berdoa dan beribadat pada malam itu doa mereka akan dimakbulkan. Justeru, kita digalakkan membaca surah al-Qadr pada malam penghujung Ramadan ini.


Lailatul Qadar adalah satu malam penuh keistimewaan dikurniakan Allah kepada umat Muhammad SAW. Firman Allah bermaksud:


"Dan amal ibadat yang dikerjakan pada malam tersebut dinilai lebih baik daripada seribu bulan."

Dalam surah al Qadar Allah SWT menyatakan:


Sesungguhnya Kami turunkan (al-Quran) itu pada malam al Qadar. Dan apakah kamu mengetahui mengenai malam al-Qadr. Malam al-Qadr itu lebih baik daripada seribu bulan. Diturunkan malaikat dan roh padanya dengan izin Tuhan mereka untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan hingga terbit fajar.”


Jika dihitung seribu bulan bersamaan dengan 83 tahun tiga bulan. Betapa besarnya keistimewaan beribadat pada malam itu, namun tidak ramai umat Islam berkesempatan mendapatnya melainkan mereka yang kuat iman, sanggup meluangkan masa dengan solat sunat, membaca al-Quran, berdoa, bertaubat dan bermunajat di hadapan Allah.


Tanpa membataskan tarikh tertentu pada Ramadan untuk merebut Lailatul Qadar, umat Islam yang konsisten dengan amal ibadat 30 hari tentu akan menemui Lailatul Qadar walaupun tidak bertemu dengan tanda kemunculannya.


Masyarakat banyak berpegang kepada alamat seperti pada malam itu air menjadi beku, pokok sujud ke bumi, tidak ada kedengaran salakan anjing dan sebagainya. Bagaimanapun Rasulullah SAW ada menyuruh kita mencari Lailatul Qadar pada malam ganjil pada sepuluh hari terakhir Ramadan dengan meningkatkan ibadat.


Tujuan disembunyikan malam Lailatul Qadar itu mempunyai hikmahnya tersendiri supaya kita berusaha mencarinya, meningkatkan ibadat pada semua malam dan untuk menguji keimanan Islam terhadap janji Allah SWT.


Kita tidak sepatutnya berpegang dengan anggapan karut-marut seperti mengatakan Lailatul Qadar itu sebagai seorang tua berjubah dan berserban serba putih, sesiapa bertemu dengannya hendaklah memeluknya dan meminta apa saja kita inginkan. Dia akan memberi apa saja kita minta.


Kepercayaan dicipta semata-mata untuk orang yang malas dan mengambil jalan mudah tanpa berusaha bersungguh-sungguh.


Hakikatnya, Lailatul Qadar adalah satu malam Allah untuk diberikan kelebihan berlipat ganda kepada orang yang yakin dengan janji Allah. Mereka berebut-rebut beribadat memenuhi ruang masjid dan surau membaca al-Quran, berzikir dan berqiamulail.


Mereka tamakkan Ramadan yang berada pada penghujungnya. Peluang ini tidak diperoleh pada bulan lain.


Nabi SAW bersabda bermaksud:


Apabila malam akhir Ramadan maka menangislah langit dan bumi serta malaikat kerana musibah yang menimpa umat Muhamad. Sahabat bertanya: Apakah musibah itu? Rasulullah menjawab: (Musibah) kerana perginya Ramadan kerana dalam bulan ini doa dimakbulkan semua sedekah di terima dan semua kebaikan dilipat gandakan pahalanya serta seksaan ditolak.” [Hadis diriwayatkan oleh Jabir]


Pada malam Lailatul Qadar seluruh malaikat dan roh nabi, rasul serta roh orang yang salih turun bersama berdoa dan mendoakan orang yang beribadat pada malam itu hingga terbit fajar.


Bagi mereka yang berpeluang bertemu malam itu juga akan berasa puas dan gembira hasil kesungguhan mereka beribadat sejak awal Ramadan hingga mendapat pengiktirafan Allah dengan disaksikan malaikat dan nabi.

~* Allah tidak jauh, doa sentiasa mustajab *~


ANTARA tanda kasih sayang dan rahmat Allah kepada hamba-hamba-Nya adalah Dia tidak mewujudkan sebarang halangan untuk seorang hamba memohon kepada-Nya. Insan diperintahkan berhubung langsung dengan Allah tanpa sebarang ‘broker’ dalam hubungan yang suci itu. Tiada sebarang perantaraan antara Allah dan hamba-hamba-Nya.


Islam menolak segala unsur keberhalaan yang menjadikan makhluk sebagai tuhan jelmaan menggantikan tuhan yang hakiki. Islam menganggap perbuatan memohon kemakbulan doa dari makhluk adalah syirik. Tidak kira siapa pun makhluk itu. Sama ada dia nabi ataupun wali.


Seorang muslim tidak diizinkan pergi ke kubur mereka dan menyeru: wahai fulan tolonglah saya! Atau: Wahai nabi tolonglah tenteramkan jiwa saya! Atau: Wahai wali sembuhkanlah penyakit saya!


Perbuatan itu adalah syirik. Mukmin hanya meminta doa daripada Allah. Firman Allah: (maksudnya)


“Dan tiada yang lebih sesat dari orang yang menyeru selain Allah, yang tidak dapat menyahut seruannya sehinggalah ke hari kiamat, sedang mereka (makhluk-makhluk yang mereka sembah itu) tidak dapat menyedari permohonan tersebut. Dan apabila manusia dihimpunkan (untuk dihitung amalan pada hari akhirat), segala yang disembah itu menjadi musuh (kepada orang-orang yang menyembahnya) dan membantah mereka.” (surah al- Ahqaf: 5-6).


Firman Allah: (maksudnya)


Allah jua yang memasukkan malam kepada siang dan memasukkan siang kepada malam (silih berganti), dan Dia yang memudahkan peredaran matahari dan bulan; tiap-tiap satu dari keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Yang melakukan semuanya itu ialah Allah Tuhan kamu, bagi-Nyalah kuasa pemerintahan; sedangkan mereka yang kamu sembah selain Allah itu tidak mendengar permohonan kamu, dan kalaulah mereka mendengar pun, mereka tidak dapat memperkenankan pemohonan kamu; dan pada hari kiamat pula mereka mengingkari perbuatan syirik kamu. Dan (ingatlah) tiada yang dapat memberi tahu kepadamu (Wahai Muhammad, akan hakikat yang sebenarnya) seperti yang diberikan Allah Yang Maha mendalam pengetahuan-Nya.” (surah Fatir: 13-14).


Maka perbuatan memohon selain Allah, sama ada menyeru berhala secara terang atau memanggil nama para wali seperti Abdul Qadir al-Jailani atau wali ‘songo’ atau apa sahaja termasuk dalam kerja-kerja syirik yang diharamkan oleh nas- nas al-Quran dan al-sunah.


Nabi s.a.w. begitu menjaga persoalan akidah ini. Daripada Ibn ‘Abbas:


Bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi s.a.w: “Apa yang Allah dan engkau kehendaki.” Maka baginda bersabda kepadanya: Apakah engkau menjadikanku sekutu Allah, bahkan (katakan): apa yang hanya Allah kehendaki.” (Riwayat al-Imam Ahmad dinilai sahih oleh Al-Albani, Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, 1/266).


Bandingkanlah ketegasan Nabi ini dengan ajaran sesetengah guru tarekat atau sufi yang mencetuskan segala unsur keajaiban pada diri mereka agar dikagumi oleh pengikutnya. Akhirnya, mereka seakan Tuhan yang disembah, atau wakil Tuhan yang menentukan penerimaan atau penolakan amalan pengikutnya. Bahkan untung rugi nasib masa depan pengikut pun seakan berada di tangan mereka. Demikian juga, pengikut yang melampau, berlebih-lebihan memuja tokoh agama, akhirnya boleh terjerumus kepada kesyirikan. Terlampau memuja tokoh seperti itulah yang menyebabkan banyak individu dianggap keramat dan suci sehingga dipanggil ‘tok keramat’ lalu mereka seakan dimaksumkan.


Kemudian, datang pula orang-orang jahil ke kubur mereka membayar nazar atau meminta hajat mereka ditunaikan. Sehingga apabila saya ke Urumuqi di China, ada satu gua yang kononnya dianggap tempat Ashabul Kahfi yang disebut dalam al-Quran itu. Ramai yang pergi melakukan kesyirikan dengan meminta hajat di situ. Saya beritahu bahawa dalam dunia ini entah berapa banyak gua yang didakwa kononnya tempat Ashabul Kahfi. Ada di Turki, Jordan dan lain-lain. Semuanya dakwaan tanpa bukti. Sama juga kononnya tempat-tempat sejarah nabi yang didakwa oleh sesetengah pihak. Tiada petunjuk yang dapat memastikan ketulenannya. Jika pun benar, mereka bukan tuhan untuk seseorang meminta hajat. Inilah yang terjadi kepada Nabi Isa. Dari seorang nabi yang diutuskan, akhirnya manusia menabalkannya menjadi anak Tuhan. Meminta hajat daripada orang-orang agama atau soleh setelah mereka mati adalah syirik. Islam tidak kenal perkara seperti itu. Islam tulen bebas dari segala unsur kebodohan tidak bertebing itu.


Ada yang cuba membela dengan menyatakan: bukan apa, mereka ini ialah orang yang dekat dengan Allah, kita ini jauh. Maka kita gunakan perantaraan mereka. Macam kita hendak dekat dengan menteri atau raja. Saya kata kepada mereka: Adakah awak menganggap Allah itu sama dengan tabiat raja atau menteri awak? Dakwaan inilah yang disanggah oleh al-Quran sekeras-kerasnya.


Firman Allah: (maksudnya)


Ingatlah! Hanya untuk Allah agama yang bersih (dari segala rupa syirik). Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung itu berkata: “Kami tidak menyembah mereka (tuhan-tuhan palsu) melainkan untuk mendekatkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya”. Sesungguhnya Allah akan menghukum antara mereka tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan yang bukan- bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik).” (al-Zumar:3).


Setelah Allah menceritakan tentang bulan Ramadan dan kewajiban puasa, Allah terus menyebut kemustajaban doa. Ia menunjukkan adanya kaitan yang kuat antara puasa Ramadan dan janji Allah untuk memustajabkan doa hamba-hamba-Nya. Allah berfirman (maksudnya):


Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka mendapat petunjuk.” (surah al-Baqarah: 186).


Demikian, Allah itu sentiasa hampir dengan kita, mendengar dan memperkenankan doa kita. Sesiapapun boleh sampai kepada-Nya. Tiada pengawal atau orang tengah yang menghalang seorang hamba untuk merintih dan merayu kepada Tuhannya. Siapapun hamba itu. Apa pun bangsanya dan apa pun bahasa doanya. Apa pun sejarah buruk dan baiknya. Tuhan sentiasa sudi mendengar lalu memustajabkan pemohonan mereka dengan cara yang dikehendaki-Nya. Bertambah banyak hajat dan permohonan seorang hamba, bertambah kasih dan dekat Allah kepadanya. Amat berbeza dengan tabiat makhluk yang lemah ini. Walau bagaimana baik pun seseorang dengan kita, namun jika kita terlalu meminta, perasaan jemu dan bosan akan timbul dalam jiwanya. Allah Maha Suci dari demikian. Dia menyuruh kita berdoa dan membanyakkan doa. Ini kerana doa adalah lambang kehambaan diri kepada zat yang Maha Agung.


Firman Allah (maksudnya):


Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat (berdoa kepada-Ku) akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina.” (surah Ghafir: 60).


Seseorang kadangkala tidak perasan bahawa apabila dia berdoa kepada Allah sebenarnya dia sedang melakukan ibadah yang besar. Walaupun pada zahirnya kelihatan dia sedang memohon untuk kepentingan diri sendiri, namun hakikatnya dia sedang membuktikan keikhlasan tauhidnya kepada Allah dan ketundukan kepada Tuhan Yang Sebenar. Maka dengan itu Nabi menyatakan: Doa itu adalah ibadah. (Riwayat Abu Daud dan al- Tirmizi, sahih). Jika sepanjang malam seorang hamba berdoa kepada Allah, bererti sepanjang malam dia melakukan ibadah yang besar.


Doa sentiasa diterima oleh Allah. Jika ada yang kelihatan tidak diterima, mungkin ada beberapa faktor yang mengganggu. Mungkin pemohonan itu tidak membawa kebaikan jika dimustajabkan. Allah Maha Mengetahui. Seperti hasrat kita ingin mengahwini seseorang yang kita suka, lalu kita berdoa agar Allah menjadikan dia pasangan kita. Allah lebih mengetahui jika itu tidak baik untuk kita lalu Allah memilih untuk kita pasangan yang lain. Atau Allah memustajabkan doa orang lain yang lebih dikehendaki-Nya. Atau Allah memustajabkan doa calon berkenaan yang inginkan orang lain. Segalanya mungkin. Namun doa tidak sia-sia. Pahala tetap diberikan, kebaikan yang lain pula akan diganti di dunia dan di akhirat.


Sabda Nabi s.a.w.:


Tiada seorang muslim yang berdoa dengan suatu doa yang tiada dalamnya dosa, atau memutuskan silaturahim melainkan Allah akan memberikan kepadanya salah satu dari tiga perkara: sama ada disegerakan kemakbulan atau disimpan untuk diberikan pada hari akhirat, ataupun dijauhkan keburukan yang sepandan dengannya.” (Riwayat Ahmad, al-Bazzar dan Abu Ya‘la dengan sanad yang sahih).


Maka, ada doa kita kepada Allah diterima olehnya di dunia. Ada yang tidak diberi disebabkan hikmat yang Allah lebih mengetahuinya, lalu disimpan doa itu di sisi-Nya untuk diberikan pada hari akhirat dengan yang lebih baik dan lebih utama untuk kita. Atau doa itu ditukar dengan kebaikan-kebaikan yang lain seperti diselamatkan kita dari pelbagai bahaya yang sebahagian besarnya tidak pernah diduga. Betapa banyak keberbahayaan yang menimpa orang lain, tetapi kita diselamatkan oleh Allah. Tidak juga kerana permohonan kita dalam perkara tersebut atau kebijaksanaan kita, namun barangkali doa kita dalam perkara yang lain, lalu diberikan gantian keselamatan untuk kita dalam perkara yang tidak diduga. Kadangkala Dia tidak memberikan kepada kita sesuatu permohonan disebabkan rahmat-Nya kepada kita. Barangkali ingin menyelamatkan kita. Dia Maha Mengetahui, jika diberikan, mungkin kita hanyut atau menempuh sesuatu yang merugikan kehidupan di dunia atau akhirat. Kita pun demikian. Bukan bererti apabila seorang bapa tidak tunaikan kehendak anaknya tanda kebencian terhadapnya. Bahkan sebahagian besarnya kerana kasih sayang dek bimbang jika diberikan akan mendatangkan kemudaratan. Maha Suci Allah untuk dibandingkan dengan kita semua, namun yang pasti rahmat-Nya sentiasa melimpah. Jika Dia menangguhkan doa kita, tentu ada hikmah-Nya.


Di samping itu hendaklah kita faham, doa itu bermaksud permohonan. Seorang yang berdoa mestilah bersungguh-sungguh dalam doanya. Maka tidaklah dinamakan berdoa jika tidak faham apa yang kita doa. Sebab itu saya amat hairan dengan sesetengah orang yang berdoa tanpa memahami maksud. Sesetengah mereka menghafal teks Arab kerana hendak menjadi ‘tekong’ doa dalam pelbagai majlis. Malangnya, ada yang tidak faham apa yang dibaca dan yang mengaminkan pun sama. Ada orang merungut, kata mereka, umat Arab di Masjidilharam dan Masjid Nabawi tidak baca doa selepas solat beramai-ramai. Itu menunjukkan mereka tidak kuat pegangan Islam mereka. Saya katakan: Islam tidak diturun di kampung halaman kita, ia diturunkan di Mekah dan Madinah. Mereka melakukan apa yang menjadi amalan Rasulullah. Lagipun seseorang yang bersolat disuruh berdoa ketika dalam solat dan berwirid selepasnya. Dalam hadis, kita diajar agar berdoa ketika sujud dan selepas membaca tasyahud sebelum salam. Di situlah antara waktu mustajabnya doa.


Sabda Nabi s.a.w.:


Paling dekat hamba dengan tuhannya adalah ketika sujud, maka banyakkan doa ketika sujud.” (Riwayat Muslim).


Nabi memberitahu tentang doa selepas tasyahud sebelum memberi salam dalam solat:


Berdoalah pasti mustajab, mintalah pasti akan diberikan.” (Riwayat al-Nasai, sanadnya sahih).


Bukan bererti orang yang kita tengok tidak mengangkat tangan berdoa kuat beramai-ramai selepas solat itu tidak berdoa. Kita yang barangkali kurang faham sedangkan mungkin mereka berdoa dalam solat melebihi kita. Jika seseorang berdoa selepas memberi salam, tentulah dalam banyak hal, hajat makmum dan imam tidak sama. Maka jangan marah jika kita lihat orang berdoa bersendirian.


Nasihatilah mereka yang membaca doa tanpa faham maksudnya, atau mengaminkan tanpa mengetahui isinya. Lebih menyedihkan, kadangkala doa dibaca dengan nada dan irama yang tidak menggambarkan seorang hamba yang sedang merintih memohon kepada Allah. Sebahagian nada itu, jika seseorang bercakap kepada kita dengan menggunakannya pun kita akan pertikaikan. Layakkah nada seperti itu sebagai doa kepada Allah yang Maha Agung?


Benarlah sabda Rasulullah s.a.w.:


Berdoalah kamu kepada Allah Taala dalam keadaan kamu yakin akan dimustajabkan. Ketahuilah sesungguhnya Allah tidak menerima doa dari hati yang lalai dan alpa.” (Riwayat al-Tirmizi, disahihkan oleh al-Albani).


Pelajari kitab nas-nas agama tentang doa kerana ianya amat penting bagi kehidupan dunia dan akhirat kita.


- Oleh: DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN ialah Mufti Kerajaan Negeri Perlis.

~* Malam lailatul qadar anugerah teristimewa *~


Oleh Nasron Sira Rahim


Ummah diminta pertingkat ibadat 10 malam terakhir Ramadan untuk ganjaran berganda


ADA satu malam rahsia yang amat istimewa pada Ramadan tetapi waktu sebenar berlakunya malam itu dirahsiakan Allah SWT daripada pengetahuan manusia.


Pada malam itu, ribuan malaikat bersiap sedia menunggu untuk mengangkat ibadat hamba Allah yang beribadat dengan penuh keimanan dan ketakwaan, dari alam dunia ke langit.


Malaikat Jibril bersama malaikat lain turun ke bumi untuk mendoakan setiap manusia yang beribadat, berzikir dan berdoa kepada Allah SWT pada malam itu dan Allah menyatakan kepada malaikat bahawa doa yang dipohon kepada-Nya ketika itu akan dimakbulkan.


Lebih istimewa adalah ibadat seorang hamba Allah pada malam itu digandakan sehingga menyamai nilai ibadat yang dilakukan selama 1,000 bulan atau selama 83 tahun empat bulan seperti firman-Nya:


Malam lailatul qadar lebih baik daripada seribu bulan,” (al-Qadr, ayat ketiga).


Pada malam lailatul qadar itu juga, Allah memberikan nilai keampunan yang terlalu tinggi untuk hamba-Nya yang beribadat seperti sabda Rasulullah SAW:


Barang siapa menunaikan ibadat pada malam al-Qadr dengan penuh keimanan dan pengharapan, Allah akan mengampunkan segala dosa yang sudah dilakukannya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).


Demikianlah antara gambaran betapa istimewanya malam lailatul qadar, suatu malam paling mulia dan berkat yang berlaku hanya sekali dalam 365 hari, setiap tahun.


Pensyarah Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Roslan Mohamed, berkata malam lailatul qadar adalah anugerah utama Allah SWT khusus kepada umat Nabi Muhammad SAW saja malah berlaku pula hanya pada Ramadan dan tidak pada bulan lain.


Mengikut Imam Malik, sejarah malam lailatul qadar bermula apabila Nabi Muhammad SAW sedar yang usia umat Baginda tidak sepanjang usia umat terdahulu, hanya antara 60 tahun hingga 70 tahun, malah Rasulullah SAW sendiri wafat ketika usianya 63 tahun."


Menyedari hakikat itu, Rasulullah berdoa kepada Allah SWT memohon supaya umatnya dapat beribadat sama dengan nilai ibadat umat terdahulu lalu disebabkan kasihnya Allah SWT terhadap baginda, Allah SWT mengurniakan malam lailatul qadar,” katanya.


Imam Qurtubi pula menjelaskan bahawa dikurniakan malam lailatul qadar itu sebagai tanda cintanya Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW dan umat baginda melebihi umat lain dan dikurniakan malam istimewa itu juga bagi menghiburkan hati Rasulullah SAW.


Bagaimanapun, suatu perkara yang sering diperdebatkan ketika membicarakan soal malam lailatul qadar adalah pada malam bilakah ia akan berlaku?


Hakikatnya tiada siapa mengetahui bila malam lailatul qadar akan berlaku termasuk Nabi Muhammad sendiri. Dalam satu kisah yang diriwayatkan Imam Muslim, diceritakan yang Rasulullah hampir memberitahu sahabat mengenai waktu berlaku lailatul qadar tetapi akhirnya tidak kesampaian,” katanya.


Selepas kerap ditanya sahabat, Allah SWT akhirnya memberi wahyu kepada Rasulullah dengan menerangkan bilakah berlakunya malam lailatul qadar.


Selepas menerima wahyu daripada Allah SWT, Baginda berjalan untuk menemui sahabat bagi memberitahu tanda berlakunya malam itu. Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan, Baginda menemui dua sahabat yang sedang bertengkar.


Baginda kemudian sibuk meleraikan pertengkaran dua sahabat itu dan akhirnya Rasulullah SAW terlupa tarikh atau masa malam al-Qadr seperti diwahyukan Allah,” katanya.


Roslan berkata, kalangan ulama berpendapat bahawa antara hikmah terlupanya Rasulullah SAW akan tanda-tanda malam lailatul qadar adalah supaya manusia berusaha sendiri mencari malam berkenaan.


Ulama silam, Syeikh Ahmad Abduh yang turut berpandangan sedemikian menyebut bahawa Allah hanya memberikan hidayah kepada mereka yang berusaha mencarinya sekali gus menggambarkan yang malam lailatul qadar hanya akan diberi kepada mereka yang ikhlas beribadat pada 10 malam terakhir Ramadan.


Ulama lain pula berpendapat yang dirahsiakan malam 1,000 bulan itu kerana membabitkan persoalan ketentuan qada dan qadar Allah SWT.


Jika Nabi Muhammad SAW sudah memberitahu waktu berlakunya malam lailatul qadar, maka tidak ramai lagi umat Islam akan berusaha sebaliknya hanya menunggu dan beribadat pada malam itu saja dan tidak pada malam lain,” katanya.


Penelitian terhadap hadis Rasulullah SAW mendapati Baginda sekadar menyatakan malam lailatul qadar itu berlaku pada 10 malam terakhir Ramadan selain malam ganjil pada 10 malam terakhir Ramadan serta terdapat hadis menyatakan pada malam 27 Ramadan.


Malam lailatul qadar penuh dengan rahmat kepada umat Islam yang patuh mengerjakan ibadat sepanjang Ramadan.


Beberapa ulama muktabar antaranya Imam Nawawi dan Ibnu Hazm berpendapat bahawa malam lailatul qadar bergilir dari setahun ke setahun, misalnya jika tahun ini berlaku pada malam 21 Ramadan, tahun hadapan akan berlaku pada malam 23 Ramadan.


Jumhur ulama menyatakan lailatul qadar berlaku pada malam 27 Ramadan berdasarkan hadis daripada Ubai ibn Kaab:


Bahawa Rasulullah SAW memerintahkan kami menunaikan ibadat pada malam itu dan awal pagi 27 Ramadan, tandanya ialah matahari pada awal pagi dalam keadaan tenang, putih dan tidak pucat cuacanya,” (riwayat Tirmizi).


Sahabat Rasulullah SAW, Ibnu Abas pula berijtihad bahawa malam lailatul qadar adalah malam ke-27 Ramadan berdasarkan penelitiannya terhadap rahsia surah al-Qadr.


Beliau mendapati ada 30 perkataan dalam surah berkenaan dan perkataan ‘Salamun Hiya’ (Sejahteralah malam itu) terletak pada perkataan ke-27.


Bagaimanapun, apa yang Nabi Muhammad SAW tuntut bukanlah untuk mencari bilakah malam itu akan berlaku tetapi Baginda menyuruh supaya kita beribadat sebanyak mungkin pada 10 hari terakhir Ramadan.


Itu yang patut diperbetulkan dalam persepsi masyarakat dan diamalkan, malah sunnah Rasulullah, baginda sendiri menghidupkan 10 malam terakhir Ramadan.


Jika kita kita beribadat terus-terusan pada 10 malam terakhir Ramadan, maka kita pasti akan beribadat pada malam lailatul qadar malah kita tidak akan rugi apa-apapun jika beribadat pada malam selain malam itu,” katanya.


Justeru, seperti juga saranan Ibnu Qayyim, umat Islam seharusnya memperbanyakkan ibadat pada malam itu dengan membaca al-Quran, berzikir, beristighfar dan bertaubat, bertahajud, memohon doa, bersedekah jariah, bermuhasabah, bertafakur dan menangisi segala dosa silam.


Amalan mulia pada 10 malam terakhir Ramadan wajar diteruskan pada bulan lain, kerana ia boleh membentuk peribadi dan akhlak Muslim sejati. Ibadat tidak sepatutnya pada Ramadan saja kerana hubungan Allah dan umat Islam perlu sentiasa diperkukuhkan.


Sikap syukur kepada rahmat Allah akan mendekatkan manusia dengan pencipta-Nya. Perbanyakkan amalan pada 10 malam terakhir Ramadan, akan membentuk peribadi Muslim yang takwa dan sujud kepada Allah.

~* Malaikat bawa hidayah pada Lailatul Qadar *~


PENCARIAN Lailatul Qadar pada malam sepuluh terakhir Ramadan masih belum berakhir dan umat Islam digalakkan supaya terus mengimarahkan adalah malam akhir bulan Ramadan dengan memperbanyakkan ibadat kepada Allah SWT.


Gandaan pahala melakukan amal ibadat pada malam berkenaan dikatakan mempunyai nilaiannya lebih 29,500 kali ganda kerana ganjaran pahala beribadat pada malam itu adalah lebih banyak dan baik melebihi seribu bulan.


Kebesaran Lailatul Qadar adalah berdasarkan dua perkara. Pertamanya, kerana pada malam itu diturunkan al-Quran dan keduanya, malam itu akan turun malaikat dalam suatu angkatan yang besar, penuh gilang gemilang untuk membawa taufik dan hidayah dari Allah kepada orang berpuasa dengan ikhlas.


Disebut sebagai Lailatul Qadar kerana pada pada malam itu akan turun malaikat untuk mengucapkan salam sejahtera kepada seisi penduduk bumi. Ia juga dikenali dengan nama Lailatul Syaraf bermaksud malam kemuliaan dan Lailatul Tajalli yang bermakna malam Allah SWT melimpahkan cahaya dan hidayah-Nya kepada orang yang berpuasa dan beribadat pada sebelah malamnya.


Penentuan tarikh dan malam sebenar berlakunya Lailatul Qadar sering kali berlaku perselisihan pendapat di kalangan para ulama. Tetapi pendapat yang kuat menyatakan adalah pada malam ganjil sesudah hari kedua puluh Ramadan iaitu malam 21, 23, 25, 27 dan 29 Ramadan.


Kini tinggal hanya beberapa hari lagi sebelum umat Islam meninggalkan Ramadan dan meraikan sambutan Aidilfitri. Saat-saat akhir ini sering menguji kesungguhan kita untuk terus menikmati keindahan malam Ramadan.


Justeru, di samping kita membuat persediaan menyambut hari raya, jangan pula melupakan kepentingan merebut peluang akhir yang disediakan Allah, iaitu menggandakan pahala amalan pada malam Lailatul Qadar.


Allah SWT sendiri selalunya menyembunyikan beberapa urusan agama yang lain atas hikmah tertentu seperti;


  • Allah SWT menyembunyikan Lailatul Qadar untuk menguji umatnya sejauh mana tahap amal ibadat mereka sepanjang Ramadan.
  • Allah SWT menyembunyikan saat penerimaan doa (ijabah segala doa) pada hari Jumaat supaya kita berdoa sepanjang hari itu.
  • Allah SWT menyembunyikan sembahyang Wusta dalam solat lima waktu supaya kita memelihara semua waktu solat fardu.
  • Allah SWT menyembunyikan isim adzam di antara nama-Nya supaya kita menyebut semua nama-Nya (Asmaul Husna)
  • Allah SWT menyembunyikan makna maksiat yang sangat terkutuk supaya kita menghentikan melakukan apa juga bentuk maksiat.
  • Allah SWT menyembunyikan siapa yang menjadi wali di antara mukmin supaya kita berbaik sangka terhadap semua orang mukmin.
  • Allah SWT menyembunyikan kedatangan hari kiamat supaya kita selalu bersiap sedia.
  • Allah SWT menyembunyikan ajal manusia supaya kita selalu dalam persiapan menemui-Nya.

Walau bagaimana pun berkaitan dengan Lailatul Qadar, ulama bersepakat mengatakan bahawa terdapat beberapa tanda apabila berlakunya malam itu antaranya ialah:


  • Orang berkesempatan melihat malam al Qadar dapat merasakan bahawa segala yang ada di bumi dan di langit bagaikan bersujud ke hadrat Allah.
  • Sesiapa yang berkesempatan menemui malam al Qadar akan melihat suasana alam yang terang benderang walau pun berada dalam kegelapan.
  • Sesiapa yang berkesempatan menemui malam al Qadar akan dapat mendengar salam malaikat dan tutur kata mereka.
  • Orang yang berkesempatan menemui malam al Qadar akan diperkenankan segala doanya.
  • Bagaimanapun pahala ibadat pada malam al Qadar akan tetap mendapat ganjaran dari Allah Taala biarpun tandanya tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

~* Sepuluh malam akhir kemuncak Ramadan *~


Umat Islam dituntut tingkat ibadat, qiamullail bagi mencapai darjat 1,000 bulan


PUNCAK kegemilangan Ramadan berada pada sepuluh malam terakhir yang menjadi detik menentukan bagi tercapainya darjat beribadah 1,000 bulan kepada Allah SWT. Antara sunnah Rasul SAW ialah menghidupkan malam ini dengan beribadah.


Bagi sesiapa yang mencintai Nabi SAW dan berpegang kepada sunnahnya, eloklah mengutamakan malam al-Qadar daripada urusan keduniaan yang melekakan. Malam ini tiada serinya melainkan dengan solat tahajud, tilawah al-Quran, berdoa sambil mengharapkan rahmat dan bertaubat.


Sa’id bin Musayyab berkata:


Barang siapa yang berada pada waktu Isyak pada malam al-Qadar maka orang itu sudah mendapat habuan daripada kelebihan malam al-Qadar.”


Habuannya mengikut sabda Baginda SAW yang bermaksud:


Barang siapa yang bangun mendirikan sembahyang pada malam al-Qadar dengan penuh keimanan dan harapan maka akan diampunkan dosanya yang lalu.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Rahmat Allah SWT turun kepada umat Nabi Muhammad SAW yang mengurniakan kelebihan suatu malam untuk mendapatkan ampunan dan pahala ibadat umpama 1,000 bulan. Pada malam itu Allah SWT mencari suara hamba-Nya yang merintih, meminta dan mengharap.


Sabda baginda SAW yang bermaksud:


Allah turun ke langit dunia saat sepertiga malam terakhir, Allah menyeru: Adakah antara hamba-Ku yang meminta kepada-Ku supaya Aku memberinya? Adakah antara hamba-Ku yang meminta ampunan-Ku supaya Aku mengampuninya? Adakah antara hamba-Ku yang berdoa supaya Aku memakbulkannya?” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)


Mengapa telinga, mata dan hati berat untuk menyahut seruan Allah SWT ? Hasan Al-Basri pernah ditanya mengapa seseorang berat melakukan qiamullail? Beliau berkata: “Demi Allah sungguh dosa-dosamu sudah membelenggumu.”


Al-Ghazali juga menyatakannya di dalam Ihya Ulumuddin mengenai persiapan untuk bangun sembahyang malam ialah jangan berbuat banyak maksiat pada siang hari kerana hati yang kotor dengan maksiat menyebabkan kelemahan pada tubuh badan.


Sesungguhnya mereka yang mahu mendapat kelebihan malam al-Qadar sepatutnya melakukan persiapan yang hebat untuk memenangi malam itu. Umpama seorang mujahid Bani Israel yang bersedia ke medan pertempuran, dia bersabar selama seribu bulan dalam kesusahan.


Mengapa kita menyerah kalah padahal peperangan yang kita hadapi kini hanya perang melawan diri sendiri yang malas dan lalai, tidak mahu bersyukur dan menyungkurkan wajah bersujud kepada Allah, diri dibelenggu hawa nafsunya sendiri.


Ada apa dengan kita hari ini? Adakah kita tidak termasuk senarai hamba-Nya yang teruji? Alangkah ruginya tubuh badan yang sihat namun tidak dapat menjadi saksi kebaikan pada hari kiamat. Saksi yang membela tuannya, dengan apa mereka membela kita jika sedikit saja ibadat mampu dibuat.


Allah menyuruh kita sentiasa menjadi mujahid-Nya, tidak kira 1,000 bulan atau hatta sepanjang kehidupan ini. Keperibadian hamba sebegini dibanggakan Allah dalam al-Quran yang maksudnya:


Lambung mereka jauh daripada tempat tidurnya dan mereka selalu berdoa kepada Tuhannya dengan penuh rasa takut dan harap.” (Surah al-Sajadah, ayat 16)


Kemudian disebutkan lagi sifat mereka yang membuat Allah mengasihani hamba ini, yang maksudnya:


Mereka membaca ayat-ayat Allah pada malam hari dan mereka bersujud.” (Surah Ali Imran, ayat 113)


Alangkah beruntungnya apabila kita mampu istiqamah seperti Abdullah bin Umar. Beliau berkata:


Sewaktu aku masih bujang, aku tertidur di masjid, lalu bermimpi seperti halnya seorang yang tidur bermimpi. Aku melihat dua orang lelaki memegang kedua tanganku lalu mereka berdua membawaku menuju perigi yang sedang menggelegak, aku memerhatikannya dengan khusyuk lalu aku berasa amat takut. Mereka berdua berkata: Kamu jangan takut. Lalu aku mengambil sehelai kain sutera, setiap kali aku menunjuk ke suatu tempat yang berdekatan ‘Raudhatul Khadra’ kain itu terbang bersamaku. Aku menceritakan mimpiku kepada Hafsah binti Umar, isteri Rasulullah SAW, kemudian dia menceritakannya kepada Rasulullah SAW. Maka Baginda bersabda yang maksudnya: “Sebaik-baik lelaki adalah Abdullah bin Umar, jika dia melakukan qiamullail.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Bagaimana perasaan anda jika Rasulullah SAW memuji dengan perkataannya; “Sesungguhnya anda lelaki terbaik, jika anda melakukan qiamullail.” Malam ini jika anda bangun untuk qiamullail ingatlah pujian Rasulullah SAW tadi.


Baginda juga berpesan kepada Abdullah bin Amru bin al-’Ash:


Wahai Abdullah! Janganlah kamu jadi seperti si fulan itu, dulu dia sering melakukan sembahyang malam kemudian dia meninggalkannya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Sudah berapa malam kita berlalu tanpa qiamullail?


Tiadakah rasa menyesal pada diri kerana melepaskan peluang mendapat rahmat dan ampunan-Nya? Mungkin 1,000 malam sudah dilalui hanya sekadar bermimpi bahkan terlepas hingga habis waktu subuh.


Alangkah baiknya jika sepuluh malam terakhir ini boleh membayar kesilapan seumur hidup kita yang lalu. Betapa Allah begitu Penyayang kepada hamba-Nya sehingga kita tidak seharusnya berputus asa.


- Oleh Dr Juanda Jaya - Penulis ialah pendakwah dari Sarawak. (juga Penolong Ketua Mufti, Sarawak)

Tuesday, October 9, 2007

~* Apabila kasih terhenti *~

Oleh Nik Rusfa Syafiq


TENSION, frust, pilu, sedih, menangis dan pelbagai lagi kesan yang tidak dijangka akan berlaku apabila tiba-tiba terhentinya kasih dari seseorang. Apatah lagi kasih itu adalah kasih yang paling kita harapkan berkekalan, sehingga jika dilayan perasaan bagai naik gila dibuatnya apabila hilang kasih itu seketika. Sebenarnya itu adalah ujian untuk diri kita, dan cabarannya ialah bagaimana kita dapat menanganinya:


TENANGKAN DIRI


  • Kawal emosi
  • Emosi yang tidak stabil akan mendorong tindakan yang negatif. Tambahan lagi bila fikiran yang berceramuk memudahkan syaitan membisikkan kata-kata pujangganya menyebabkan kita akan bertambah runsing dan akhirnya mengambil tindakan yang tidak sepatutnya. Banyakkan beristighfar kepada Allah Ta’ala. Mungkin terlalu banyak dosa kita kepada-Nya menyebabkan begitu hebat ujian yang diberikan kepada kita.


  • Sentiasa berwuduk
  • Air wuduk akan memadamkan bisikan syaitan dalam hati kita. Secara tidak langsung boleh menenangkan hati dan jiwa kita.


    LUAHKAN


  • Cari teman
  • Cuba cari seseorang yang boleh dipercayai untuk mendengar luahan hati kita. Orang yang menjadi pendengar yang setia, amanah dan jujur. Jangan salah pilih teman kerana ia akan lebih memburukkan keadaan. Bagi yang lelaki, jangan terlalu ego sehingga hanya memendamkan apa yang dirasa kerana ia akan memakan diri sendiri.


  • Berterus-terang
  • Belajar untuk berkata hak atau benar. Cuba singkap kembali mengapa dan bagaimana kasih itu boleh terhenti. Jangan takut sekiranya kita di pihak yang benar. Sebaliknya jika ada salah silap kita, jangan takut untuk mengaku kesilapan itu kerana itulah yang sebaik-baiknya. Biar teman yang mendengar, faham situasi yang sebenar dan dapat membuat penilaian. Bukan untuk menentukan siapa yang salah dan siapa yang benar, tapi untuk memudahkan mereka memberi pandangan dan tidak lari dari masalah yang sebenar.


    CARI PETUA


  • Pandang ke depan
  • Atur strategi untuk membetulkan keadaan. Yang lepas, tidak perlu dikenangkan kembali, tapi perlu ambil peduli untuk tidak diulangi.


  • Cari yang berpengalaman
  • Dapatkan pandangan dari mereka yang lebih dulu makan garam. Mungkin masalah yang sedang dihadapi, telah mereka hadapi terlebih dahulu. Kekadang cara mereka lebih romantik berbanding dengan gaya orang muda.


    KUATKAN ROHANI


    Kalau dulu jauh, dekatkan diri dengan Allah. Mungkin ini petanda yang Dia murka, dan masih sayangkan diri anda supaya kembali kepada jalan yang lurus. Bertaubatlah dari segala dosa, pertingkat diri dengan ilmu dan perbaiki segala kekurangan dengan sedaya mampu. Mari kita fikirkan, apa guna kebahagiaan yang sementara, tetapi bergelumang dengan maksiat atau melanggar perintah Allah. Kalau Allah sudah tutup hati, bagaimana? Petuanya mudah, kita lihat diri kita, cermin diri kita - kalau nikmat banyak atau semakin banyak, semuanya berjalan dengan lancar, tapi hakikatnya kita semakin jauh dari Allah, maka yakinilah nikmat itu adalah petanda kehinaan.


  • Amalkan baca Al-Fatihah
  • Ummul Kitab al-Fatihah menyimpan pelbagai rahsia yang mujarab. Begitulah juga untuk menjadi pengikat kasih. Bukan sahaja mampu untuk mengubati hati kita yang sakit, bahkan mampu juga untuk mengembalikan kasih sayang antara makhluk. Cuba amalkan membaca al-Fatihah, 14 kali setiap kali selepas solat. Bayangkan wajah insan yang telah terhenti seketika kasihnya kepada kita setiap kali mengalunkan Fatihah. Minta pada Allah untuk dilembutkan hatinya dengan menghadiahkan pahala bacaan al-Fatihah itu kepadanya. Perkara yang baik akan Tuhan kabulkan.


  • Amalkan ayat Seribu Dinar
  • Ramai antara kita yang menjadikan Ayat Seribu Dinar itu (surah at-Talaq, ayat 2-3) sebagai hiasan dinding tanpa membacanya. Cuba hafal dan amalkan. Terutama sebagai ayat pendiding dari anasir jahat. Begitu juga apabila keluar untuk mencari rezeki. Tidak kurang juga untuk menjadi ayat tautan ikatan kasih antara dua hati. Pernah dikhabarkan oleh mereka yang mengamalkannya di dalam sebuah keluarga, di mana mereka mengamalkan ayat seribu dinar dengan membaca tiga kali setiap kali selepas solat. Hati mereka seperti diikat antara satu sama lain. Jika berlaku sesuatu yang tidak diingini kepada salah seorang ahli keluarga yang lain akan dapat merasakannya. Begitulah juga apabila mereka berjauhan, hati mereka seolah berinteraksi antara satu sama lain. Itulah rahsia mukjizat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Cuma kita yang masih tidak menyedari, rahsia di sebalik mukjizat itu.


    Harus diinsafi, seseorang yang hendak mengamalkan ayat-ayat al-Quran wajiblah juga mentaati ajaran dan petunjuk yang terkandung di dalamnya.


    MEMBERI PELUANG


  • Diri sendiri
  • Buka semua tingkap yang ada pada diri sendiri. Jangan tutup mahupun separa terbuka. Jika tidak, kita tidak dapat menerima hakikat, pandangan mahupun nasihat daripada orang lain. Ibarat sebuah rumah yang ditutup semua tingkap ataupun tiada tingkap. Bukan sekadar angin tidak dapat masuk, cahaya, pemandangan alam sekitar dan pelbagai lagi tidak akan kelihatan. Tinggal mereka dalam sebuah rumah yang kelam dan lemas dalam dunia sendiri. Buka, dan cuba terima apa yang diberikan oleh orang lain. Tukarkan apa yang mereka katakan kepada suatu tindakan yang positif dan memberikan impak yang berkesan pada diri sendiri.


  • Orang lain
  • Dengar dulu pandangan orang lain untuk membetulkan kesilapan kita. Jangan cepat menghukum dengan ilmu kita yang sedikit. Apa yang sering berlaku adalah, kita tidak memberi peluang mahupun ruang kepada orang lain untuk membantu diri kita sedangkan kita memerlukan bantuan. Pendek kata, ego.


  • Maaf dan memaafkan
  • Inilah perkara yang sukar untuk dilakukan. Masing-masing akur dengan kesilapan yang berlaku. Tidak salah untuk merendah diri meminta maaf dan memaafkan orang lain. Bahkan bertambah mulia di sisi Tuhan. Janganlah menunggu Aidilfitri, baru kemaafan di pohon. Kemudian berilah ruang dan peluang untuk diri sendiri dan mereka yang terlibat membetulkan diri bagi mengukuhkan semula talian kasih yang terhenti itu.


    Kasih sayang yang suci lahir dari hati yang ikhlas dan murni. Bila tertitik noktah hitam maka tercemarlah kesucian itu dan terlerailah ikatan kukuh sebuah kasih sayang. Justeru, perbetulkan kembali keadaan dan cantikkan percaturan. Jangan nafsu dijadikan sandaran kerana ia hanyalah khayalan yang lebih membawa ke arah kesesatan.


    ~~~~~~~~~~~~~~~******~~~~~~~~~~~~~~~


    Cinta yang sejati adalah cinta yang setia, menjangkau masa, keadaan dan tempat.


    Walaupun tidak pernah berjumpa, atau terpisah beribu batu, Hati akan berpegang teguh pd amanah & janji. Amalan akan jujur dan telus. Airmata pasti mengalir apabila mengingati kasih sayang & pengorbanan teman itu. Yg paling ideal adalah kasih sayang yg tumbuh kerana cinta kepada yg Maha Hak - Allah.


    Adakah kita pernah melihat Allah? Adakah kita pernah melihat Rasulullah saw? Jadi mengapa airmata mengalir setiap kali mendengar ayat-ayat Allah. Mengapa korbankan masa, tenaga, harta untuk menegakkan agama Allah? Mengapa airmata mengalir apabila membaca kisah-kisah Nabi dan pengorbanan Muhammad saw kepada kita? Kerana itulah puncak tertinggi dari cinta. Keimanan kpd yg ghaib - keyakinan & kesetiaan yg teguh. Itulah juga landasan kpd cinta yg hakiki.


    Kalaulah HANYA kerana jarak, begitu mudah memutuskan hubungan, apakah harga hubungan itu? Bagaimana bila, berjumpa seorang yg lebih baik? Bagaimana bila, diuji salah seorang jatuh sakit?


    Jawapan bagi kekasih2 diluar sana:


    1. Segera bernikah untuk mematuhi syariat Allah (setelah cukup syarat2, yakin dgn ciri-ciri pasangan dan solat istikharah) atau
    2. Berpisahlah kerana Allah jika hubungan berterusan tanpa ikatan. Berpisah jika si dia jelas tidak taat pd Allah. (bukan berpisah kerana jarak!)

    Bertafakurlah kembali, apakah landasan hubungan itu. Dewasa ini, yg sering terjadi ialah hubungan cinta teruna dan dara di luar lingkungan perkahwinan. Dlm menuju kedewasaan, minat-meminati dikalangan berlawanan jenis adalah sesuatu yg fitrah. Namun perasaan ini harus dikawal dengan syariat Allah. Malangnya ramai yg terbawa-bawa dengan perasaan cinta ini hingga sanggup berkorban segala-galanya untuk org yg dicintai pada hal si dia belum lagi menjadi suami yg sah. Bak kata org tua-tua: “Nasi lemak buah bidara, sayang selasih kulurutkan, buang emak buang saudara, kerana kekasih kuturutkan…”


    Imam Ghazali berkata:


    Apabila seseorang itu mencintai seseorang kerana Allah, maka hendaklah apabila membencinya kerana Allah juga. Sebab punca yg menyebabkan anda mencintai seseorang manusia itu mestilah kerana ia amat taat kepada Allah, ataupun kerana ia dicintai di sisi Allah disebabkan amalan-amalannya yg baik. Tetapi bila orang itu bermaksiat kpd Allah, tentulah anda membencinya kerana ia menderhaka kepada Allah dan terkutuk di sisi Allah.


    Memang benar, hati manusia bila diamuk rasa cinta dan sayang pd makhluk yg tidak kekal, mata kita akan dikelabui tentang hakikat cinta yg sebenar.


    Sedarkah kita, siapa yg memberi perasaan-perasaan halus di hati kita? Siapa yg meletakkan rasa cinta yg kononnya maha agung itu di hati-hati kita? Siapa yg memberi rahmat untuk kita menjadi orang yg disayangi? Bukankah DIA yg mengurniakannya itu boleh menarik balik nikmat itu bila-bila sahaja yg DIA kehendaki?


    Kenapa lupakan DIA bila tenggelam dlm cinta sesama manusia? Bila keluar ber’dating’ di shopping mall atau menonton ‘movie’ di TGV, GSC, tinggalkan solat segala? Al-Quran makin jarang dibaca atau langsung ditinggal terus kerana sibuk berjiwang? Berdua-duaan tanpa mahram? Berpegang-pegangan?


    Adakah ini caranya kita menunjukkan rasa berterima kasih pd Allah yg memberi nikmat kasih sayang kpd kita? Bukankah kita patut bersyukur dgn mematuhi syariat-Nya? Jadi bila nikmat ditarik, kenapa tidak kita fikirkan, apakah kederhakaan yg telah kita lakukan pada Allah, Tuhan Pemilik Segala-galanya?


    Fenomena ini bukan shj untuk pasangan yg belum berkahwin, tapi juga bagi yg sudah. Ingatlah, jgn lalai dibuai nikmat, dikurniakan rezeki, anak dan harta, sehingga kita lupa pada Yang Memberi. Solat tinggal, akhlak tidak dijaga, syariat dibuat main. Jgn suatu hari nanti, bila nikmat ditarik, bala dan kemurkaan Allah ditimpakan, hanya sesalan menjadi teman kerana buta dan tertipu oleh dunia. Ingatlah diri saya sendiri & pembaca sekelian.


    CINTA KPD ALLAH SBG SUMBER KEKUATAN


    Makanan roh itu ialah mengenal dan cinta kepada Allah. Jika cinta itu ditumpukan sepenuhnya kpd ‘ghair Allah’ (selain Allah), maka binasalah roh itu. Badan itu hanya ibarat binatang tunggangan bagi roh. Badan itu akan hancur tetapi roh tetap hidup.


    Muhasabahlah diri, adakah hubungan itu di selang seli dgn perbuatan yg syubhat, mendekati maksiat atau yg haram. Maksiat adalah perkara yg paling dekat mendatangkan bencana dan kemurkaan Allah.


    Few words of wisdom


    1. Janganlan menggantungkan hatimu kepada dunia, kerana sesungguhnya Allah tidak menjadikan dunia ini untukmu.
    2. Jadikanlah cintamu kepada Allah sebab tempat kembalimu adalah kepada-Nya.
    3. Bersungguh-sungguhlah engkau mencari Syurga.
    4. Putuskan harapan dari makhluk kerana sesungguhnya mereka itu sedikit pun tidak ada kuasa di tangan mereka.
    5. Rajinlah mengerjakan sembahyang tahajjud kerana sesungguhnya pertolongan itu berserta qiyamullail.

    Waallahu’alam.

    ~* Why Do Muslims Fast In Ramadan? *~

    What is Fasting (Sawm)? Sawm (Arabic: صوم) is an Arabic word for fasting regulated by Islamic jurisprudence. In the terminology of Islamic l...