Friday, September 26, 2008

~* Mencari Lailatul Qadar *~


“SESUNGGUHNYA Kami menurunkannya (al-Quran) ini pada malam Lailatul Qadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul Qadar itu?

Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara. Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!”
[Surah Al-Qadr: Ayat 1-5]

LAILATUL QADAR itu ialah satu malam pada Ramadan yang penuh berkat, iaitu malam yang mengandungi banyak kebaikan, kerana pada malam itu malaikat turun membawa rahmat dan kesejahteraan seperti diterangkan dalam al-Quran.


Agung dan mulianya Lailatul Qadar sehingga Rasulullah s.a.w menganjurkan umatnya melakukan persediaan menyambut dan menghayati malam yang berkat itu. Persediaan yang dimaksudkan itu bukan dengan pesta yang tidak ketentuan, tetapi dengan amal ibadat yang membawa rahmat.


Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi Muhammad s.a.w bersabdanya, bermaksud:


“…sesiapa menghayati malam Lailatul Qadar dengan mengerjakan solat (dan pelbagai ibadat lain), sedang dia beriman dan mengharapkan rahmat Allah (SWT) Taala, nescaya dia diampunkan dosanya yang lalu.”
[Hadis sahih riwayat Bukhari]

Ibadat yang dimaksudkan termasuk membaca al-Quran, berzikir, beristighfar, bertaubat dan berdoa pada malam yang berkat itu manakala beriman disebut dalam hadis berkenaan merujuk kepada kepercayaan dan keyakinan benarnya keistimewaan Lailatul Qadar yang mulia itu.


Sebenarnya Ramadan, al-Quran dan malam Lailatul Qadar adalah gandingan yang mempunyai hubungan sangat rapat. Al-Quran diturunkan pada malam Lailatul Qadar, pada Ramadan.


Walaupun Lailatul Qadar mempunyai keberkatan dan kebaikan berlimpah ruah, sehingga dikatakan tiada tandingan berbanding malam lain, ia tidak dinyatakan dengan jelas pada hari tertentu.


Tetapi Rasulullah s.a.w ada membayangkan malam berkenaan, malah menasihati supaya melakukan persediaan untuk menghadapinya, seperti dinyatakan dalam hadis bermaksud:


Daripada Aisyah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:


“Bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui Lailatul Qadar pada malam ganjil 10 malam akhir Ramadan.”
[Hadis sahih riwayat Bukhari]

Malam yang ganjil sudah pasti malam 21, 23, 25, 27 dan 29 Ramadan. Ada hadis yang menyatakan Lailatul Qadar pernah ditemui pada zaman Rasulullah s.a.w pada malam 21 Ramadan dan malam 23 Ramadan.


Baginda juga pernah meminta seorang sahabat yang bertanya mengenai Lailatul Qadar supaya dia bersedia menghayatinya pada malam 27 Ramadan.


Keterangan di atas menunjukkan Lailatul Qadar tidak tetap, sebaliknya boleh bertukar dalam 10 malam terakhir Ramadan pada setiap tahun.


Hikmah malam penuh berkat itu dirahsiakan supaya setiap orang Islam bersungguh-sungguh menghayati 10 malam terakhir Ramadan dengan amal ibadat dan memberi pengharapan yang tinggi kepada Ilahi supaya dapat bertemu malam berkenaan.


Imam Nawawi, berkata:


“Lailatul Qadar dapat disaksikan orang yang dikehendaki Allah (SWT) pada tiap-tiap tahun ketika Ramadan, sebagaimana yang diterangkan dengan jelas dalam hadis Rasulullah s.a.w dan diberitakan juga oleh orang yang soleh…”

Kemudian beliau menyebutkan penjelasan Imam Al-Mawardi, dalam kitabnya, Al-Hawi:


"Bahawa orang yang dapat menyaksikan Lailatul Qadar, elok dia menyembunyikan perkara yang disaksikan (supaya dia terselamat daripada perasaannya) dan hendaklah dia berdoa (pada saat yang berkat itu) dengan ikhlas serta sepenuh-penuhnya yakin dengan permohonan yang disukainya mengenainya agama dan dunianya, biarlah kebanyakan doanya itu untuk (kebaikan dan keselamatan) agama serta hari akhirat.”

Ada orang berkata, mereka yang menemui Lailatul Qadar akan melihat cahaya terang di segenap tempat manakala sesetengah pihak mendakwa mendengar ucapan salam dan kata-kata lain daripada malaikat, melihat semua benda termasuk pokok rebah (sujud) dan doanya makbul.


Bagaimanapun, Imam at-Tabari memilih pendapat yang menegaskan, semuanya itu tidak lazim (tidak semestinya dia dapat melihatnya), kerana tidak disyaratkan melihat sesuatu atau mendengarnya untuk menemui Lailatulqadar.


Cuma yang penting ialah taat beribadat kerana Allah (SWT) semata-mata dan ganjaran orang beribadat adalah terjamin, sama ada dapat dirasai di dunia atau di akhirat. Justeru, umat Islam digesa rajin beribadat pada Ramadan, lebih-lebih lagi pada 10 malam terakhir Ramadan.


Rasulullah s.a.w contoh terbaik menghayati Ramadan, terutama 10 malam yang akhir dengan beriktikaf di masjid dan melakukan amal ibadat sebagai persediaan untuk menyambut kedatangan Lailatul Qadar.


Daripada Aisyah r.a katanya:


“Rasulullah s.a.w memperbanyakkan amalan apabila sampai hari yang ke-10 terakhir Ramadan, baginda juga membangunkan isterinya agar beribadat (solat sunat, membaca al-Quran, berzikir dan lainnya). Baginda juga menjauhkan diri daripada bergaul serta bermesra dengan isterinya.”
[Riwayat Bukhari dan Muslim]

Menurut ulama, Lailatul Qadar kemuncak Ramadan kerana kemuliaannya yang diterangkan di dalam al-Quran dan hadis Nabi s.a.w, malah malam berkenaan dirakamkan khusus dalam satu surah di dalam al-Quran, menunjukkan keistimewaannya.


Orang yang tekun beribadat pada 10 malam yang berkenaan akan mendapat rahmat yang dijanjikan kerana sudah sabit dalam hadis yang sahih Lailatul Qadar wujud pada satu daripada 10 malam itu.


Justeru, orang yang tekun beribadat pada 10 malam terbabit akan mendapat rahmat yang dijanjikan itu, sama ada dia menemuinya atau tidak dan tidak melihat apa-apa. Cuma yang dapat menemuinya dianjurkan berdoa kebaikan, kesejahteraan dan keampunan.


Nabi s.a.w ada mengajar berdoa seperti berikut:


...Ya Allah (SWT), ya Tuhanku, sesungguhnya Engkau sentiasa memaafkan (salah silap hamba-Mu), lagi suka memaafkan, oleh itu maafkanlah salah silapku...

Yang penting ialah menghayati malam terbabit dengan amal ibadat, beriman dengan yakin Lailatul Qadar itu adalah benar dan dituntut menghayatinya dengan amal ibadat semata-mata ikhlas dengan mengharapkan rahmat dan reda-Nya.


- Oleh Idris Musa

Wednesday, September 24, 2008

~* Keistimewaan 10 terakhir Ramadan *~


ALANGKAH cepatnya masa berlalu, ketika kita mula merasakan seronok melaksanakan ibadah, Ramadan semakin hampir menutupkan tirainya. Sepuluh hari terakhir Ramadan adalah saat di mana Rasulullah SAW meningkatkan amalan dengan berjaga malam, beriktikaf dan mengejutkan ahli keluarga untuk bersama dengannya.


Berlalunya sebahagian besar dari hari-hari Ramadan sewajarnya menimbulkan kecemasan kepada kita. Apakah selama 19 hari kita berpuasa benar-benar telah menjadikan kita manusia yang bertakwa atau sebaliknya?


Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan maksudnya:


"Aisyah r.a meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW apabila masuknya sepuluh malam terakhir (Ramadan) baginda menghidupkan malam, baginda mengemaskan kainnya dan baginda mengejutkan isterinya (yakni tidak bersama dengan isteri)."

Hadis ini menceritakan kepada kita bagaimana Nabi SAW bersungguh-sungguh melaksanakan ibadah meskipun baginda tidak melakukan dosa. Namun baginda telah memberikan satu contoh tauladan yang baik kepada umatnya di dalam menghayati sepuluh hari terakhir Ramadan.


Panduan yang diberikan oleh baginda ini menggambarkan betapa tinggi nilainya saat yang kita lalui sekarang. Menjadi suatu yang amat malang sekiranya kita semakin lemah dan cuai dalam melakukan ibadah meskipun Ramadan semakin hampir meninggalkan kita.


Imam Muslim juga meriwayatkan maksudnya: Aisyah r.a berkata:


"Bahawa Nabi SAW bersungguh-sungguh (beribadat) pada 10 malam terakhir tidak seperti mana (di bulan) selainnya."

Contoh yang ditinggalkan kepada kita oleh baginda SAW wajar dijadikan pedoman di dalam mengisi hari-hari terakhir Ramadan ini. Sepatutnya waktu ini tidak dihabiskan dengan menonton televisyen atau mengunjungi pusat-pusat membeli belah. Kerana inilah fenomena yang sering kita lihat.


Kelebihan 10 malam terakhir seolah-olah tidak langsung diambil kira. Malah lebih mendukacitakan, ada di kalangan muda-mudi Islam yang keluar malam ke taman-taman untuk memadu kasih tanpa rasa berdosa dan malu.


Sepatutnya bapa sebagai ketua keluarga mengambil berat soal membudayakan suasana ibadah khususnya pada 10 malam terakhir ini. Anak-anak perlukan satu panduan dan contoh dari ibu bapa.


Sebaliknya jika ibu bapa turut serta mengabaikan ibadah di penghujung Ramadan maka tidak hairanlah anak-anak tidak berminat untuk mengerjakan solat tarawih sebaliknya datang ke masjid atau surau hanya untuk membuat bising dan bermain mercun.


Apa yang dimaksudkan dengan baginda SAW menghidupkan malam dan mengemaskan kain sarungnya ialah sebagai satu gambaran bagaimana bersungguhnya baginda menumpukan saat ini dengan ibadah sehinggakan baginda tidak bersama dengan isteri untuk 10 malam terakhir ini.


Kesungguhan ini didorong pula dengan kelebihan sepuluh malam terakhir yang dijanjikan dengan kehadiran malam Al-Qadr atau Lailatulqadar.


Firman Allah (SWT) SWT:


Maksudnya: (Sesungguhnya kami Telah menurunkannya (Al Quran) pada malam kemuliaan, Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan).
[Surah al-Qadr: Ayat 1-3]

Malam al-Qadr sengaja dirahsiakan oleh Allah (SWT) Taala sebagai satu ujian kepada umat Islam di dalam mencari rahmat dan kasih-Nya. Bagi mereka yang benar-benar beriman keghairahan mencari reda Allah (SWT) menjadikan mereka begitu teruja meningkatkan pencarian ganjaran berlipatganda yang dijanjikan oleh Allah (SWT) SWT.


Sebaliknya bagi mereka yang alpa, saat-saat ini seringkali dipenuhi dengan aktiviti persiapan hari raya yang menyibukkan mereka hingga terlupa promosi istimewa pelepasan azab neraka yang dijanjikan oleh Allah (SWT) di penghujung Ramadan.


Antara amalan yang boleh dilakukan bagi menghidupkan sepuluh hari terakhir Ramadan ialah menghidupkan malam dengan solat malam seperti tahajud, hajat, taubat dan juga berzikir kepada Allah (SWT). Juga digalakkan supaya mengejutkan ahli keluarga supaya bersama-sama menghidupkan malam dengan amal ibadah.


Ibu bapa wajar mengajak anak-anak yang sudah dewasa khususnya bersama berqiamullail dan jangan biarkan mereka lena. Bagi memudahkan mereka bangun bersama pastikan mereka dapat tidur lebih awal.


Bagi suami isteri 10 malam terakhir tidak digalakkan untuk bersama kerana Nabi SAW diberitakan bahawa baginda mengemaskan ikat kainnya yakni tidak bersama dengan isteri kerana disibukkan dengan amal ibadah.


Amalan beriktikaf juga wajar diteruskan di penghujung Ramadan ini iaitu dengan memperbanyakkan duduk di masjid untuk beribadat kepada Allah (SWT). Kata Imam Az-Zuhri: Maksudnya:


“Suatu yang pelik bagi kaum muslimin mereka meninggalkan amalan iktikaf sedangkan Nabi SAW tidak pernah meninggalkannya semenjak baginda tiba di Madinah (hijrah) hingga ia meninggal dunia”.

- Oleh Zuridan Mohd. Daud (Pengarah Pusat Islam dan Pembangunan Insan, Universiti Malaysia Pahang).

Tuesday, September 23, 2008

~* Sempurnakan solat Tarawih dengan tenang & tenteram *~


Ibadah tergopoh-gapah mahu cepat sudah ditegah Rasulullah


RAMADAN adalah anugerah Allah (SWT) kepada umat Nabi Muhammad yang mengandungi banyak fadilat dan rahmat dikurniakan kepada hamba-Nya yang mengerjakan ibadat dengan penuh keimanan, keikhlasan dan ketakwaan.


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:


“Pada malam pertama Ramadan, akan dibelenggu segala syaitan, ditutup semua pintu neraka dan dibuka semua pintu syurga. Kemudian datanglah seruan: Wahai orang yang menginginkan kebaikan, datanglah. Wahai orang yang mengingini kejahatan, berhentilah. Pada setiap malam (Ramadan), Allah (SWT) membebaskan segolongan hamba-Nya daripada api neraka.”
[Hadis riwayat At-Tirmizi]

Umat Islam yang menyedari dirinya sebagai hamba Allah (SWT), sudah tentu sibuk pada malam hari sepanjang Ramadan mencari pahala seperti menunaikan solat sunat Tarawih. Masjid dan surau akan dipenuhi jemaah.


Sesungguhnya solat Tarawih adalah keistimewaan Ramadan. Ia adalah solat sunat khusus yang dilakukan pada malam Ramadan dan tidak pada bulan lain. Beruntunglah orang yang dapat mengerjakannya dan rugilah orang yang lalai.


Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:


“Sesiapa yang melakukan solat malam pada Ramadan kerana keimanan (kepada Allah (SWT)) dan mengharapkan keredaan dan keampunan Allah (SWT) semata-mata, maka diampunkan segala dosanya yang lalu.”
[Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Itulah ganjaran Allah (SWT) kepada setiap hamba-Nya yang berusaha menghidupkan malam Ramadan dengan solat Tarawih dan ibadat sunat lain.


Solat Tarawih bererti solat yang merehatkan. Bersesuaian dengan namanya itu, umat Islam tidak seharus mengerjakannya dalam keadaan kelam-kabut atau tergopoh-gapah semata-mata ingin cepat selesai.


Umat Islam seharusnya mengerjakan solat itu seperti yang dilakukan Rasulullah SAW dan sahabat Baginda, iaitu dalam keadaan tenang, tenteram dan tidak tergopoh-gapah untuk menyelesaikannya.


Mengerjakan solat sunat Tarawih bukan sesuatu yang mesti dikerjakan dalam waktu yang singkat. Ia seperti mana juga solat lain yang harus dihayati serta dikerjakan dalam keadaan khusyuk dan tenang.


Allah (SWT) berfirman yang bermaksud:


“Sudah berjaya orang beriman. Mereka yang khusyuk dalam solat (sama ada solat sunat atau wajib).”
[Surah Mukminun, ayat 1-2]

Sebaliknya, orang yang menunaikan solat sunat Tarawih dalam keadaan kelam-kabut akan hilang penghayatan dan khusyuk, mereka disifatkan oleh Rasulullah SAW sebagai pencuri.


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,


“Seburuk-buruk pencuri ialah mereka yang mencuri daripada solat mereka. Maka sahabat pun bertanya: Wahai Rasulullah. Bagaimana mereka mencuri dalam solat? Maka Rasulullah SAW menjawab: Mereka yang tidak sempurna rukuk dan sujud (iaitu mengerjakan solat dengan tergopoh-gapah).”
[Hadis riwayat Ahmad dan al-Tabrani]

Rasulullah SAW melarang umatnya mengerjakan solat seperti burung yang mematuk makanan, iaitu pantas berdiri dan sujud dalam waktu yang singkat.


Baginda bersabda yang bermaksud:


“Allah (SWT) tidak melihat solat seseorang yang dikerjakan tanpa sempat meluruskan tulang belakangnya antara rukuk dan sujud.”
[Hadis riwayat al-Tabrani]

Oleh itu, marilah sama-sama kita mengerjakan solat sunat tarawih dalam keadaan penuh khusyuk, tenang dan tidak kelam-kabut seperti mana dilakukan Rasulullah SAW supaya solat diterima Allah (SWT) dan tidak menjadi sia-sia.


Cara solat Rasulullah SAW seperti diriwayatkan daripada al-Bara’ bin Azib katanya,


“Aku mengamati solatku bersama Nabi Muhammad SAW maka aku dapati Baginda berdiri, rukuk, bangkit selepas rukuk, sujud, duduk antara dua sujud, sujud lagi serta Baginda duduk antara salam dan selesai solat, semuanya hampir sama.”
[Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:


“Apabila kamu ingin mengerjakan solat, mulakanlah dengan bertakbir kemudian bacalah ayat atau surah yang paling senang bagi kamu. Seterusnya rukuklah sehingga kamu betul-betul berada dalam keadaan itu dan bangkitlah berdiri. Selepas itu sujudlah sehingga kamu betul-betul berada dalam keadaan itu dan bangkitlah untuk berada dalam keadaan duduk di antara dua sujud. Itulah cara yang perlu kamu lakukan sehingga selesai solat.”
[Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Justeru, rebutlah peluang untuk mengerjakan ibadat khusus pada Ramadan ini dengan hati ikhlas, tenang dan sempurna semoga meraih segala fadilat dan anugerah yang Allah (SWT) janjikan. Kita tidak tahu sama ada akan bertemu atau tidak dengan Ramadan yang akan datang.


- Oleh Mohd Shukri Hanapi

Saturday, September 20, 2008

~* Tenang hadapi musibah & sentiasa bersyukur tanda beriman *~


DARIPADA Abi Yahya Shuhaib bin Sinan berkata: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,


“Sungguh baik nasib orang yang beriman kerana dalam semua keadaan mereka mendapat kebaikan. Dan tidak ada habuan baik seperti ini kecuali bagi mereka yang beriman. Apabila mendapat kesenangan maka ia akan bersyukur, maka syukur itu baik baginya. Dan apabila ditimpa musibah maka ia bersabar, maka sabar itu baik baginya.”
[Hadis riwayat Muslim]

Jelaslah orang mukmin adalah orang yang bertuah dalam kehidupannya, walaupun terpaksa berhadapan pelbagai ujian. Namun, umat Islam bersabar dengan keadaan yang menimpa berbekalkan kekuatan iman untuk menangani masalah dengan tenang.


Kepuasan hidup dan ketenangan jiwa hanya dinikmati orang yang benar-benar beriman. Dalam apa juga keadaan pun hatinya tenang menghadapi masalah dan musibah.


Sebagai umat Islam yang beriman kepada Allah (SWT), apabila ia berada dalam kenikmatan dan kesenangan, ia akan bersyukur dan menggunakan nikmat itu untuk mencari keredaan Allah (SWT) baik bagi dirinya atau orang lain.


Ali bin Abu Thalib berkata,


“Iman itu dibina di atas empat sendi iaitu keyakinan, kesabaran, perjuangan dan keadilan.”

Justeru, iman penting dalam hati dan diri umat Islam. Sebagai ujian apabila mereka dalam kemiskinan atau kesusahan, akan sabar menerima takdir Allah (SWT) dengan hati yang lapang. Ia memahami dunia adalah tempat ujian dan kesusahan, akhirat tempat kebahagiaan sebenar.


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:


“Iman terbahagi kepada dua, separuh dalam sabar dan separuh dalam syukur.”
[Hadis riwayat Al-Baihaqi]

Dalam hadis lain Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:


“Iman yang paling afdal ialah apabila kamu mengetahui bahawa Allah (SWT) selalu menyertaimu di mana pun kamu berada.”
[Hadis riwayat Ath Tabrani]

Bagaimanapun, orang yang tidak beriman yang berada dalam keadaan kenikmatan dan kesenangan akan lupa daratan serta tidak bersyukur kepada Allah (SWT). Apabila berada dalam keadaan fakir dan miskin serta kesusahan ia bertindak liar serta tidak dapat mengawal dirinya.


Kesimpulannya, iman dan takwa akan membina peribadi mulia dalam diri seseorang. Iman memberi kita semangat bagi menghadapi masa hadapan dengan penuh cabaran.


...Iman adalah sesuatu yang tak nampak di pandangan mata secara yang tersurat, tetapi ianya ada dipandangan yang tersirat. Apakah keimanan di zaman yang semakin maju dan canggih ini semakin menipis? Harapannya selagi umat manusia berpegang teguh kepada tali Islam kita semua tidak seharusnya takut kepada semakin hari manusia semakin kejam, pembunuhan dah menjadi perkara biasa, dan kekejaman ini akan menimpa diri kita dan keluarga kita, maka kitapun berkata dah takdir ilahi. Ajal maut ditangan Tuhan...

Friday, September 19, 2008

~* Tuntunan Nabi SAW dalam Menghidupkan Malam Lailatul Qadar *~


Barangsiapa yang terhalang dari beribadah pada malam lailatul qadar, sungguh ia telah terhalang dari kebaikan seluruhnya, dan tidaklah terhalang dari kebaikan malam itu kecuali orang yang terhalang dari kebaikan. Oleh kerananya, setiap muslim sangat dianjurkan untuk menghidupkan malam lailatul qadar dengan penuh iman dan mengharapkan pahalayang dijanjikan. Sehingga, apabila ia ikhlas melaksanakannya, dosa dan kesalahan yang pernah ia goreskan dimasa lalu terampuni.


Dibawah ini beberapa tuntunan Nabi shallahu’alaihi wa sallam dalam menghidupkan malam lailatul qadar.


  • Bersungguh-sungguh, optimis, dan antusias di dalam mencari lailatul qadar.

Aisyah radliyallahu’anha pernah berkata:


"Rasulullah shallahu’alaihi wa sallam dahulu begitu semangat (beribadah) pada sepuluh hari terakhir yang tidak pernah beliau melakukannya pada hari selainnya."

"Namun itu tidak bererti, bahawa Nabi shallahu’alahi wa sallam mengerjakan qiyamullail semalam suntuk hingga pagi. Kerana Nabi shallahu’alahi wa sallam juga pernah mengatakan bahawa shalat malam yang paling dicintai dan disukai adalah shalat malam Nabi Dawud, ia tidur pada pertengahan malam, lalu bangun mengerjakan qiyanullail pada sepertiga malam, dan melanjutkan tidurnya kembali pada seperenam malam."
[Hadis Riwayat Muslim]

  • Menghidupkan malam dengan qiyamullail.

Sebagaimana sabda Rasulullah shallahu’alaihi wa sallam:


”Barangsiapa yang mengerjakan qiyamullail pada malam lailatul qadar kerana iman dan mengharap pahala, nescaya akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.”
[Muttafaq’alaihi]

  • Memperbanyak Do’a.

Berdo’a dan memperbanyak doa pada malam lailatul qadar sangat dianjurkan. Terutama dengan doa yang diajarkan Nabi shallahu’alaihi wa sallam kepada Aisyah radliyallahu’anha.


Aisyah pernah bertanya kepada Rasulullah shallahu’alaihi wa sallam:


Wahai Rasulullah, bagaimana menurutmu, apabila ada suatu malam yang aku yakini sebagai malam lailatul qadar, apa yang aku ucapkan? Beliau shallahu’alaihi wa sallam menjawab:



قُولِي :اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوّ ٌُ تُحِبُّ الْعفْوَ،فاَعْفُ عَنِّي

Ucapkanlah doa:


"Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, suka memberi ampunan, maka itu ampunilah aku."
[Hadis shahih, HR.Ahmad, at-Tirmidzi dan Ibnu Majah]

Sudah sepatutnya, pada malam lailatul qadar doa dan istighfar diperbanyak, sebab doa pada malam itu mustajab. Doa tersebut adalah doa paling afdal yang dipanjatkan untuk memohon (sesuatu) kepada Allah ta’ala. Tidak diragukan lagi, doa tersebut adalah seutama-utama doa yang dipanjatkan seorang hamba kepada Rabb-nya pada malam itu. Yang mana doa itu mengandung permohonan maaf kepada Allah azza wa jalla.


  • Menghidupkan lailatul qadar dengan ibadah dan mengajak keluarga untuk ikut beribadah.

Aisyah radliyallahu’anha pernah berkata:


"Adalah Nabi shallahu’alaihi wa sallam apabila memasuki sepuluh malam terakhir beliau mengencangkan tali sarungnya, menghidupkan malamnya dan membangunkan keluarganya."
[Hadis Riwayat Bukhori dan Muslim]

Hadis tersebut mengandung dalil diisyaratkannya konsisten mengerjakan qiyamullail pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan, menghidupkannya dengan ibadah, menjauhi isteri, dan keluarga untuk memperbanyak ketaatan.


Semoga Allah subhanahu wa ta’ala mempertemukan kita dengan malam lailatul qadar dalam naungan iman dan taqwa serta ittiba’ sunnah Rasulullah shallahu’alaihi wa sallam.


Sumber dari - Majalah Adz-Dzakiroh edisi khusus Ramadhan-Syawal 1429 Hal. 29-30

~* Sepuluh malam akhir kemuncak Ramadan *~


Umat Islam dituntut tingkat ibadat, qiamullail bagi mencapai darjat 1,000 bulan


PUNCAK kegemilangan Ramadan berada pada sepuluh malam terakhir yang menjadi detik menentukan bagi tercapainya darjat beribadah 1,000 bulan kepada Allah (SWT). Antara sunnah Rasul SAW ialah menghidupkan malam ini dengan beribadah.


Bagi sesiapa yang mencintai Nabi SAW dan berpegang kepada sunnahnya, eloklah mengutamakan malam al-Qadar daripada urusan keduniaan yang melekakan. Malam ini tiada serinya melainkan dengan solat tahajud, tilawah al-Quran, berdoa sambil mengharapkan rahmat dan bertaubat.


Sa’id bin Musayyab berkata:


Barang siapa yang berada pada waktu Isyak pada malam al-Qadar maka orang itu sudah mendapat habuan daripada kelebihan malam al-Qadar.”

Habuannya mengikut sabda Baginda SAW yang bermaksud:


Barang siapa yang bangun mendirikan sembahyang pada malam al-Qadar dengan penuh keimanan dan harapan maka akan diampunkan dosanya yang lalu.”
[Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Rahmat Allah (SWT) turun kepada umat Nabi Muhammad SAW yang mengurniakan kelebihan suatu malam untuk mendapatkan ampunan dan pahala ibadat umpama 1,000 bulan. Pada malam itu Allah (SWT) mencari suara hamba-Nya yang merintih, meminta dan mengharap.


Sabda baginda SAW yang bermaksud:


Allah (SWT) turun ke langit dunia saat sepertiga malam terakhir, Allah (SWT) menyeru: Adakah antara hamba-Ku yang meminta kepada-Ku supaya Aku memberinya? Adakah antara hamba-Ku yang meminta ampunan-Ku supaya Aku mengampuninya? Adakah antara hamba-Ku yang berdoa supaya Aku memakbulkannya?”
[Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim]

Mengapa telinga, mata dan hati berat untuk menyahut seruan Allah (SWT)? Hasan Al-Basri pernah ditanya mengapa seseorang berat melakukan qiamullail? Beliau berkata:


Demi Allah (SWT) sungguh dosa-dosamu sudah membelenggumu.”

Al-Ghazali juga menyatakannya di dalam Ihya Ulumuddin mengenai persiapan untuk bangun sembahyang malam ialah jangan berbuat banyak maksiat pada siang hari kerana hati yang kotor dengan maksiat menyebabkan kelemahan pada tubuh badan.


Sesungguhnya mereka yang mahu mendapat kelebihan malam al-Qadar sepatutnya melakukan persiapan yang hebat untuk memenangi malam itu. Umpama seorang mujahid Bani Israel yang bersedia ke medan pertempuran, dia bersabar selama seribu bulan dalam kesusahan.


Mengapa kita menyerah kalah padahal peperangan yang kita hadapi kini hanya perang melawan diri sendiri yang malas dan lalai, tidak mahu bersyukur dan menyungkurkan wajah bersujud kepada Allah (SWT), diri dibelenggu hawa nafsunya sendiri.


Ada apa dengan kita hari ini? Adakah kita tidak termasuk senarai hamba-Nya yang teruji? Alangkah ruginya tubuh badan yang sihat namun tidak dapat menjadi saksi kebaikan pada hari kiamat. Saksi yang membela tuannya, dengan apa mereka membela kita jika sedikit saja ibadat mampu dibuat.


Allah (SWT) menyuruh kita sentiasa menjadi mujahid-Nya, tidak kira 1,000 bulan atau hatta sepanjang kehidupan ini. Keperibadian hamba sebegini dibanggakan Allah (SWT) dalam al-Quran yang maksudnya:


Lambung mereka jauh daripada tempat tidurnya dan mereka selalu berdoa kepada Tuhannya dengan penuh rasa takut dan harap.”
[Surah al-Sajadah, ayat 16]

Kemudian disebutkan lagi sifat mereka yang membuat Allah (SWT) mengasihani hamba ini, yang maksudnya:


Mereka membaca ayat-ayat Allah (SWT) pada malam hari dan mereka bersujud.”
[Surah Ali Imran, ayat 113]

Alangkah beruntungnya apabila kita mampu istiqamah seperti Abdullah bin Umar. Beliau berkata:


Sewaktu aku masih bujang, aku tertidur di masjid, lalu bermimpi seperti halnya seorang yang tidur bermimpi. Aku melihat dua orang lelaki memegang kedua tanganku lalu mereka berdua membawaku menuju perigi yang sedang menggelegak, aku memerhatikannya dengan khusyuk lalu aku berasa amat takut. Mereka berdua berkata: Kamu jangan takut. Lalu aku mengambil sehelai kain sutera, setiap kali aku menunjuk ke suatu tempat yang berdekatan ‘Raudhatul Khadra’ kain itu terbang bersamaku. Aku menceritakan mimpiku kepada Hafsah binti Umar, isteri Rasulullah SAW, kemudian dia menceritakannya kepada Rasulullah SAW. Maka Baginda bersabda yang maksudnya: “Sebaik-baik lelaki adalah Abdullah bin Umar, jika dia melakukan qiamullail.”
[Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Bagaimana perasaan anda jika Rasulullah SAW memuji dengan perkataannya; “Sesungguhnya anda lelaki terbaik, jika anda melakukan qiamullail.” Malam ini jika anda bangun untuk qiamullail ingatlah pujian Rasulullah SAW tadi.


Baginda juga berpesan kepada Abdullah bin Amru bin al-’Ash:


Wahai Abdullah! Janganlah kamu jadi seperti si fulan itu, dulu dia sering melakukan sembahyang malam kemudian dia meninggalkannya.”
[Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Sudah berapa malam kita berlalu tanpa qiamullail?


Tiadakah rasa menyesal pada diri kerana melepaskan peluang mendapat rahmat dan ampunan-Nya? Mungkin 1,000 malam sudah dilalui hanya sekadar bermimpi bahkan terlepas hingga habis waktu subuh.


Alangkah baiknya jika sepuluh malam terakhir ini boleh membayar kesilapan seumur hidup kita yang lalu. Betapa Allah (SWT) begitu Penyayang kepada hamba-Nya sehingga kita tidak seharusnya berputus asa.


- Oleh Dr Juanda Jaya (Penulis ialah pendakwah dari Sarawak. (juga Penolong Ketua Mufti, Sarawak)

Wednesday, September 17, 2008

~* Puasa dorong perbanyak ibadat sunat & kebajikan *~


MEREKA yang berpuasa sebenarnya sedang melaksanakan ibadat penting dari terbit fajar sehingga terbenam matahari. Oleh demikian, seseorang yang sedang berpuasa sebaiknya menjaga diri dan tingkah laku daripada sebarang perbuatan yang boleh mencacatkan ibadat puasanya.


Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:


“Tiga golongan yang tidak ditolak doa permintaannya, antara golongan itu ialah seseorang yang berpuasa apabila dia berbuka puasanya.”
[Hadis riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah]

Bagi seseorang yang berpuasa Ramadan, sejak bermula ibadat puasanya hingga berbuka, akan dikabulkan segala doa permintaannya oleh Allah (SWT) dengan syarat puasanya benar-benar tulen seperti diperintahkan Allah (SWT) dan Rasul-Nya.


Ibadat puasa membantu menjaga ibadat lain kerana orang yang berpuasa memelihara solatnya dan khusyuk dengan menjaga rukun serta syarat utama solat.


Mereka yang berpuasa dan mendirikan solat, pasti bertanya pada diri sendiri,


“bagaimana aku melakukan ibadat diperintah Allah (SWT) dan pada waktu sama melalaikan ibadat lain? Sedangkan perbuatan itu tidak sepatutnya aku lakukan.”

Mereka yang berpuasa tidak harus melalaikan ibadat lain. Inilah yang dikatakan puasa seharusnya mendorong pelakunya supaya lebih banyak mengamalkan ibadat lain sebagai tanda ketaatan kepada Allah (SWT).


Apabila melakukan ibadat wajib, maka dia akan turut sama melaksanakan amalan sunat yang lain. Bukan satu yang menghairankan apabila kita melihat sebahagian besar umat Islam mulai memenuhi ruang masjid untuk solat berjemaah, mengerjakan solat Rawatib, berzikir dan bertadarus al-Quran di sepanjang bulan Ramadan yang mulia ini.


Pelbagai program dan kegiatan dilaksanakan sepanjang Ramadan seperti berbuka puasa, tazkirah selepas solat Zuhur, Tarawih di semua masjid dan surau serta program ceramah hujung minggu. Ini semua membuktikan puasa mengajak memperbanyakkan ibadat dan amalan kebajikan. Objektif utamanya adalah mencari reda Allah (SWT) supaya dijauhi daripada azab dan seksa di akhirat kelak.


Puasa mendorong individu Muslim melaksanakan amalan kebajikan untuk dirinya sendiri. Mereka melaksanakan ibadat sunat di samping kewajipan puasa Ramadan. Contohnya, solat sunat Tarawih dan Tahajud dibuat pada setiap malam secara berjemaah dan bersendirian. Sememangnya ibadat sunat ini dianjurkan sepanjang bulan mulia ini, sebagaimana Allah (SWT) mewajibkan ibadah puasa pada siangnya, manakala qiamullail di sepanjang malamnya.


Ibadat puasa yang hakiki memberi manfaat antaranya faedah yang bakal diperoleh daripada sedekah atau zakat fitrah. Berkata sebahagian ulama salaf,


“Apabila tibanya Ramadan, perluaskan amalan sedekah dan membantu gologan yang susah kerana amalan itu ganjarannya hampir sama dengan bersedekah di jalan Allah (SWT).”

Oleh itu, manusia diperintah memperbanyakkan sedekah pada bulan ini. Nabi Muhammad SAW lebih pemurah pada Ramadan berbanding bulan lain. Baginda bertadarus al-Quran dengan Jibrail dan melaksanakan kebajikan lebih pantas dari angin yang bertiup.


Pada bulan ini, Muslim berpeluang melakukan ibadah dan ketaatan sepenuh hati serta berupaya meninggalkan perbuatan buruk dan maksiat. Perokok tegar mampu meninggalkan tabiat merokok yang sebati pada dirinya selepas berniat untuk berpuasa kerana Allah (SWT). Inilah keajaiban Ramadan yang sering dilupakan sebahagian manusia.


Apabila seseorang membuat kebaikan untuk keuntungan dirinya, dia juga perlu menyebarkan segala kebaikan itu kepada orang lain. Apabila kita melakukan kebajikan kerana Allah (SWT), kita juga berhak mengajak dan menasihati orang lain melakukan kebajikan sama.


Ajak mereka beroleh faedah yang sama seperti mana sabda Nabi SAW yang bermaksud,


“Siapa yang mengajak ke arah kebaikan, dia beroleh pahala yang sama daripada pahala orang yang mengikuti nasihatnya itu, malah tidak dikurangi sedikitpun pahala sesama mereka.”
[Hadis riwayat Muslim]

- Oleh Mohd Fikri Che Hussain

~* Why Do Muslims Fast In Ramadan? *~

What is Fasting (Sawm)? Sawm (Arabic: صوم) is an Arabic word for fasting regulated by Islamic jurisprudence. In the terminology of Islamic l...