
"...dan mohonlah ampun kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." [Surah An Nisaa‘: Ayat 106]
"Maka bersabarlah kamu, kerana sesungguhnya janji Allah itu benar, dan mohonlah ampunan untuk dosamu dan bertasbihlah seraya memuji Tuhanmu pada waktu petang dan pagi." [Surah Al Mu'min: Ayat 55]
Segala puja dan puji hanyalah bagi ALLAH, Rabb semesta alam yang Maha Pengampun lagi Maha Penerima Taubat. Salawat dan salam senantiasa dilimpahkan kepada Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam beserta isteri dan keluarga beliau.
Kita, aku, kamu dan dia hanyalah manusia biasa, kita bukanlah Nabi, bukan pula Rasul, kita bukanlah Malaikat, melainkan hanyalah manusia biasa yang senantiasa berada dalam kekhilafan kepada ALLAH. Namun ALLAH adalah Tuhan Yang Maha Pengampun, DIA akan sentiasa memberikan ampunan kepada kita.
Permohonan ampun kepada ALLAH kemudian kita kenal dengan nama “ISTIGHFAR”.
Dalam artikel singkat ini, ia menyampaikan beberapa kalimat yang diajarkan oleh Rasulullah dan semoga kita menyukai untuk sentiasa beristighfar kepada ALLAH.
HADIS TENTANG ISTIGHFAR
- Rasulullah memohon ampun setiap hari.
Dari Al-Aghar Al-Muzani, bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
“Sesungguhnya aku meminta ampun kepada ALLAH setiap hari sebanyak 100 (seratus) kali”. [Hadis Riwayat Muslim]
Dari Abu Hurairah, ia mendengar Rasulllah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
“Demi ALLAH, sesungguhnya aku meminta ampun kepada ALLAH dan bertaubat kepada-NYA setiap hari lebih dari 70 (tujuh puluh) kali”. [Hadis Riwayat Bukhari]
Inilah hadis yang mengajarkan agar kita sentiasa beristighfar kepada ALLAH. Adapun jumlah yang disebut diatas menurut para ulama hanyalah kerana Rasulullah tidak ingin memberatkan umatnya. Seandainya kita sanggup dan ingin lebih banyak daripada 70 atau 100 itu, nescaya itu lebih baik. Dan waktu yang tepat untuk membaca zikir istighfar menurut kebanyakan ulama adalah pada setiap selesai solat, baik fardhu maupun sunat. Sedangkan waktu-waktu selain itu, kita dianjurkan untuk membaca zikir pujian (tasbih).
Dari Ibnu Abbas, bahwa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
“Barangsiapa sentiasa mengucapkan istighfar, ALLAH menjadikan baginya jalan keluar dari setiap kesulitan dan kebebasan dari setiap kesusahan. ALLAH pun juga memberikan kepadanya rezeki dari jalan yang tidak diduganya”. [Hadis Riwayat Abu Dawud dan Ibnu Majah, isnad hasan]
BEBERAPA KALIMAT ISTIGHFAR
Dari Tsauban berkata: Jika Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam selesai solat, beliau membaca istighfar 3 (tiga) kali dan membaca:
“Ya ALLAH, ENGKAU adalah Dzat Yang Maha Sejahtera, dan dari ENGKAU-lah segala kesejahteraan, ENGKAU-lah yang sentiasa memberi berkah, wahai Dzat Yang Maha Agung dan Maha Mulia.”
Ditanyakan kepada Auza’iy dimana dia adalah salah seorang perawi hadis: Bagaimana istighfar itu? Dia (Tsauban) menjawab: Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam membaca:
“Astaghfirullah, astaghfirullah (saya mohon ampun kepada ALLAH, 2 kali)”. [Hadis Riwayat Muslim]
Dari Ibnu Umar, ia pernah menghitung dalam suatu majlis di mana Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam mengucapkan sebanyak 100 (seratus) kali, iaitu:
“Wahai Tuhanku, ampunilah aku dan berikanlah taubat kepadaku, sesungguhnya ENGKAU Maha Penerima Taubat dan Maha Penyayang.” [Hadis Riwayat Abu Dawud, Tirmizi dan Ibnu Majah, dengan isnad hasan shahih]
Dari Ibnu Mas’ud, bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Barangsiapa mengucapkan:
“Aku memohon ampun kepada ALLAH yang tidak ada Tuhan selain DIA, yang hidup dan berdiri sendiri dan aku bertaubat kepada-NYA.”
Nescaya akan diampuni dosa-dosanya, walaupun ia telah lari dari peperangan”. [Hadis Riwayat Al-Hakim, hadis dengan isnad shahih sebagaimana syarat perawi Bukhari dan Muslim]
INDUK ISTIGHFAR
- Hadis tentang Sayyidul Istighfar
Dari Syaddad bin Aus, bahwa Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Induk (sayyidul) istighfar adalah ucapan seseorang:
“Ya ALLAH, ENGKAU adalah Tuhanku, tidak ada Tuhan selain ENGKAU. ENGKAU telah menjadikan aku sebagai hamba-MU, dan aku dalam ikatan perjanjian dengan-MU menurut kemampuanku. Aku berlindung kepada-MU dari kejahatan perbuatanku. Aku mengakui kenikmatan-MU atas diriku dan aku mengakui dosaku, maka ampunilah aku. Sesungguhnya tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa selain ENGKAU.”Barangsiapa mengucapkannya pada siang hari sedang ia yakin dengannya, kemudian ia mati pada hari itu sebelum masuk waktu maghrib, nescaya ia akan masuk syurga. Dan barangsiapa mengucapkannya pada waktu malam, sedang ia yakin dengannya, kemudian ia mati sebelum tiba waktu pagi, nescaya ia akan masuk syurga. [Hadis Riwayat Bukhari]
- Sayyidul Istighfar
Maksudnya:
"Ya ALLAH, ENGKAU adalah Tuhanku, tidak ada Tuhan selain ENGKAU. ENGKAU telah menjadikan aku sebagai hamba-MU, dan aku dalam ikatan perjanjian dengan-MU menurut kemampuanku. Aku berlindung kepada-MU dari kejahatan perbuatanku. Aku mengakui kenikmatan-MU atas diriku dan aku mengakui dosaku, maka ampunilah aku. Sesungguhnya tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa selain ENGKAU."
Dari sinilah kemudian para ulama berpendapat bahawa kalimat diatas adalah induk dari seluruh istighfar kerana keutamaan atau fadhilatnya yang besar. Demi kesempurnaan zikir istighfar, kita dianjurkan untuk mengerjakan solat sunat Taubat.
Solat sunat Taubat adalah solat sunat biasa sama seperti solat-solat sunat lainnya, perbezaannya adalah diniatkan untuk meminta ampunan kepada ALLAH. Dimana doa yang dibaca selepas solat sunat Taubat adalah sayyidul istighfar.
Sebahagian para ulama berpendapat bahawa solat sunat Taubat dilakukan di antara waktu Maghrib dan Isyak, atau sesudah Isyak. Solat Sunat Taubat ini sebaiknya dikerjakan di rumah. Kerana pahala sunat yang terbanyak adalah pahala solat sunat yang dikerjakan di rumah.
Di maklumkan bahawa, solat sunat Taubat tidak dianjurkan untuk dilakukan pada tengah malam, kerana ada waktu untuk solat sunat Tahajjud. Dan tidak pula dianjurkan pada pagi hari, kerana ada waktu untuk solat sunat Dhuha. Sedangkan solat sunat Tahajjud dan Dhuha mempunyai keutamaan yang lebih besar.
KHABAR GEMBIRA DARI ALLAH YANG MAHA PENGAMPUN
Dari Abu Hurairah, bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
“Demi Tuhan yang nyawaku berada di tangan-NYA, seandainya kamu semua tidak berdosa, nescaya ALLAH akan melenyapkan kamu dan mendatangkan suatu kaum yg berbuat dosa, sehingga mereka meminta ampun kepada ALLAH, ALLAH pun mengampuni dosa mereka”. [Hadis Riwayat Muslim]
Inilah salah satu hadis yang menerangkan bahawa ALLAH sangat menyukai orang-orang yang sentiasa memohon ampunan. Bahkan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersumpah dengan nama ALLAH pada saat menyampaikan khabar gembira itu.
Dari Anas, ia berkata: Aku mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
ALLAH berfirman:
“Hai anak Adam, sesungguhnya selama engkau memanggil AKU dan mengharapkan AKU, nescaya AKU ampuni dosamu yang telah lampau dan AKU tidak peduli (dengan dosa itu). Hai anak Adam, andaikata dosa-dosamu mencapai awan, kemudian engkau meminta ampunan kepada-KU, nescaya AKU ampuni dosamu. Hai anak Adam, andaikata engkau membawa kepada-KU dosa sepenuh bumi, kemudian engkau datang kepada-KU dengan tidak mempersekutukan AKU dengan sesuatu apa pun, nescaya AKU berikan ampunan kepadamu sepenuh bumi”. [Hadis Qudsy Riwayat Tirmizi, dengan isnad hasan]
Dari Abu Dzar dari Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassalam dari Jibril alaihis salam, dari ALLAH yang Maha Suci lagi Maha Tinggi, DIA berfirman:
“Wahai hamba-hamba-KU, sesungguhnya AKU telah mengharamkan kezaliman atas diri-KU dan AKU jadikan kekejaman (zalim) diantara kamu sebagai perbuatan yang diharamkan, maka janganlah kamu saling menganiaya.
Wahai hamba-hamba-KU, sesungguhnya kamulah yang berbuat kesalahan pada waktu siang dan malam, dan AKU lah yang mengampuni segala dosa-dosa, AKU pun tidak peduli (akan dosamu), maka mintalah ampun kepada-KU, nescaya AKU mengampuni kamu.
Wahai hamba-hamba-KU, masing-masing dari kamu lapar, kecuali siapa yang AKU berikan makanan, maka mintalah makan kepada-KU, nescaya kamu AKU beri makan.
Wahai hamba-hamba-KU, masing-masing dari kamu telanjang, kecuali siapa yang AKU berikan pakaian, maka mintalah pakaian kepada-KU, nescaya kamu AKU beri pakaian.
Wahai hamba-hamba-KU, meskipun yang pertama dan yang terakhir dari kamu, dan manusia serta jin semuanya mempunyai sifat terjahat yang kamu miliki, tidaklah hal itu mengurangi kekuasaan-KU sedikit pun.
Wahai hamba-hamba-KU, meskipun yang pertama dan yang terakhir dari kamu, dan manusia serta jin semuanya memiliki hati dari orang yang paling bertaqwa diantara kamu, tidaklah hal itu menambah kekuasaan-KU sedikit pun.
Wahai hamba-hamba-KU, meskipun yang pertama dan yang terakhir dari kamu, dan manusia serta jin semuanya berkumpul menjadi satu dan meminta kepada-KU, lalu AKU beri masing-masing dari mereka apa yang dimintanya semua, tidaklah hal itu mengurangi kekuasaan-KU sedikit pun, kecuali seperti berkurangnya air laut apabila dicelupkan jarum di dalamnya dengan sekali celup.
Wahai hamba-hamba-KU, sesungguhnya ia adalah amal-amalmu yang AKU jaga atas dirimu. Maka barangsiapa mendapati kebaikan, hendaknya ia memuji ALLAH. Dan barangsiapa mendapati selain itu (keburukan), maka janganlah ia menyalahkan kecuali dirinya.” [Hadis Qudsy Riwayat Muslim dan An-Nawawi]
..."Aku memohon ampunan kepada ALLAH, dan aku bertaubat kepada-NYA."...




.