Sunday, January 27, 2008

~* Doa Against Depression *~


Dalam sebutan rumi:


"Allahumma Salli `ala Sayyidina Muhammadin, Tibbil qulubi wa dawaa’iha, Wa nuril absari wa diya’iha, Wa `afiyatil abdaani wa shifaa’ha, Wa `ala Aalihi wa Sahbihi wa Sallim."

Ertinya:


"O Lord! Send blessings on our master Muhammad, The medicine of hearts and their cure, The light of eyes and their illimunation, The health of bodies and their healing, And upon his family, companions, and send peace."

~* Doa Mohon Kemuliaan & Ketaatan *~


Dalam sebutan rumi:


"Allahumma akrimni bi qodhoo'i haajat wa 'adhimni bi thoo`atik".

Ertinya:


"Ya Allah, muliakanlah aku dengan tercapainya hajatku dan kurniakanlah aku kekuatan dalam mentaatiMu."

~* Doa Untuk IbuBapa dan Kaum Mukminin Di Hari Hisab - Doa Nabi Ibrahim as *~

رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Dalam sebutan rumi :


"Rabbanaghfir Lii Wa Li Waalidayya Wa Lil Mu'miniina Yauma Yaquumul-hisaab".

Ertinya:


"Ya Tuhan kami, beri ampunlah aku dan kedua ibubapaku dan sekalian orang-orang mukmin pada hari terjadinya hisab (hari kiamat)".


"O our Lord! And forgive me, and my parents, and all the Muslims on the day when the account will be established." [Ibrahim 14:41]

~* Doa Untuk Tetap Mensyukuri Nikmat Allah swt - Doa Nabi Sulaiman as *~

رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَى وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ

Dalam sebutan rumi :


"Rabbi Auzi'ni An Asy-kura Ni'matakal-lati An 'Amta `Alayya Wa `Ala Waalidayya Wa An A'mala Solihan Tardoohu Wa Adkhil-Nii Bi Rohmatika Fii `Ibaadikas-Soolihiin".

Ertinya:


"Ya Tuhanku, berilah aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada dua orang ibu bapakku dan untuk mengerjakan amal saleh yang Engkau ridai; dan masukkanlah aku dengan rahmat-Mu ke dalam golongan hamba-hamba-Mu yang saleh".


"My Lord, bestow me guidance so that I thank you for the favour which You bestowed upon me and my parents, and so that I may perform the good deeds which please You, and by Your mercy include me among Your bondmen who are worthy of Your proximity." [An-Naml 27:19]

Tuesday, January 15, 2008

~* Hati bersih kembalikan cahaya iman & Islam *~


SETIAP hamba pasti pernah melalui hari mendung dalam hidupnya. Ketika itu dia akan berada dalam zon iman yang lemah dan keadaan itu membuat dirinya sangat tertekan. Apakah mungkin hidupnya boleh tenang jika hubungan dia dengan Allah Taala terancam?


Banyak sebab yang menyumbang kepada keadaan seperti itu. Antaranya ialah jika kita terlalu obses terhadap dunia hingga melupakan matlamat sebenar hidup ini. Tetapi bersyukurlah kepada Allah (SWT) kerana hati anda masih lagi hidup dan berasa sempit apabila menyedari kealpaan yang lalu.


Anda masih memiliki semangat untuk bangkit mencari iman yang hilang. Tetapi persoalannya, di manakah kita boleh menemukan iman yang hilang itu?


Ada beberapa tempat yang boleh kita kunjungi untuk mencari keimanan sejati. Antaranya;


  • Di hati kita sendiri. Sesiapa yang mahu memperbaiki diri mesti melihat ke dalam lubuk hatinya. Di situlah asal mula kebaikan bercambah menjadi benih yang baik.
  • Hati yang hidup biasanya sibuk menyoal pada tuannya, kenapa kamu lakukan itu dan ini? Untuk siapa dan apa faedahnya? Hanya ada satu zat yang dapat menguatkan hati kita, apabila kita bersandar padaNya maka hilanglah segala beban yang menyesakkan dada. Siapakah yang kita cari jika hati terlalu sedih? Siapakah yang kita tuju jika mara bahaya telah mengepung dari segenap penjuru?

Firman Allah (SWT) yang bermaksud:


“Dan jika Allah (SWT) menimpakan sesuatu kemudaratan kepadamu maka tidak ada yang dapat menghilangkannya kecuali Dia. Dan jika Allah menghendaki kebaikan bagi kamu maka tidak ada yang dapat menolak kurniaan-Nya. Dia memberikan kebaikan itu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” – (Surah Yunus: Ayat 107).


  • Hati yang sentiasa mengingati Allah (SWT), di situlah akan bermula segala kebaikan tercipta. Hati yang membisikkan pada kita supaya bertaubat, melupakan segala yang berlalu dan memulakan hidup baru.
  • Hati adalah tempat jatuhnya pandangan Allah (SWT), tempat berkumpul rahmat dan hidayah-Nya bagi mengikis segala syahwat yang melekat di dindingnya. Jika hati boleh disentuh umpama mangkuk kristal yang mahal, tuan empunya sudah tentu menjaganya dengan penuh kasih sayang. Jangan ada debu yang melekat, sentiasa dibersih dan diletak pada tempat yang aman. Tiada tangan kotor yang mampu menjamah.

Tapi sayang hati itu begitu murah pada pandangan manusia yang lalai, di biarkan retak menanti pecah berderai oleh dosa yang hitam. Masihkah ada peluang bagi kita membersih hati yang dicipta Allah (SWT) untuk merasai sejuta nikmat. Nikmat iman dan Islam, nikmat kebahagiaan dan ketenangan.


Al-Fudail bin ‘Iyadh berkata:


“Sesiapa yang memperbaiki hatinya kerana Allah (SWT), nescaya Dia akan memperbaiki amal perbuatanmu. Sesiapa yang memperbaiki hubungannya dengan Allah (SWT), maka Allah (SWT) akan memperbaiki hubungannya dengan orang lain.”


Iman yang hilang dan kehidupan sempit itu akan segera berakhir jika kita bersedia memperbaiki hubungan kita dengan Allah (SWT). Melicinkan hati dari debu yang melekat, kerana tiada seorangpun yang sanggup menderita tanpa cahaya iman.


Berbuat adil terhadap diri sendiri.


Adakalanya penyakit jasmani dan mental menyerang manusia silih berganti. Bukankah itu petanda wujudnya kezaliman yang kita lakukan pada diri sendiri? Pemakanan yang tidak seimbang dan rehat yang tidak mencukupi menjadi punca kurangnya daya kekebalan tubuh.


Tekanan dalam menempa karier dan kerjaya, hubungan yang tegang dengan orang lain menjadi sebab tekanan berlarutan. Tetapi adakah kita juga merasai antara sebab tekanan dalam hidup ini ialah tidak tersedianya ilmu yang cukup, iman yang kebal dan ibadat yang ikhlas?


Anda boleh meminta nasihat doktor pakar atau mencari ubat alternatif yang menjadi gaya hidup manusia moden seperti rileks di spa dan melanggan pelbagai terapi yang diuji keberkesanannya. Semua itu ikhtiar yang baik selagi tidak menyalahi syarak.


Namun jangan mudah melupakan keperluan diri kita yang lain. Kalau hanya jasmani yang diambil berat, maka akan muncul ketidakseimbangan dalam hidup anda. Bagaimana dengan rohani sudahkah ia diubati?


Prof Dr Yusuf al-Qaradawi menyatakan dalam kitabnya Malamih Al-Mujtamak Al-Muslim: “Islam adalah agama yang realistik, ia berinteraksi dengan manusia secara keseluruhannya sama ada jasmaninya, rohaninya mahu pun akal dan perasaannya.


Islam meminta agar semua perkara itu diberi santapan yang cukup dalam batasan sederhana. Jikalau riadah itu menjadi santapan jasmani, ibadat menjadi santapan rohani, ilmu menjadi santapan akal maka seni pula menjadi santapan perasaan.”


Keadilan dalam Islam cukup jelas ukurannya. Hanya manusia saja yang tidak mampu memberi kesaksamaan untuk dirinya sendiri. Ada yang terlebih mengutamakan dunia hingga melupakan agama, ramai pula yang terpukau oleh ajaran yang menyalahi asas ketulenan Islam itu sendiri.


Keadilan untuk diri kita adalah memberi hak kepada seluruh isi tubuh ini dengan sebaik-baiknya. Rasulullah SAW pernah menegur seorang sahabat yang sembahyang sepanjang malam dan berpuasa terus menerus pada siang harinya, sabda baginda SAW yang bermaksud:


”Sesungguhnya bagi jasadmu ada haknya, bagi mata mu ada haknya, bagi keluargamu ada haknya dan bagi tetamu mu ada haknya.”– (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Tiada yang lebih menyayangi kita selain Allah (SWT) dan diri kita sendiri. Jalannya telah ditunjukkan oleh Rasul-Nya SAW iaitu bersihkan hati dan berbuat adil pada tubuh badan ini.


- Oleh Dr Juanda Jaya (Penulis bertugas di Pejabat Mufti Sarawak)

~* Tiada Taubat Tanpa Penyesalan *~


Sebagaimana pentingnya rukun Wuquf di Arafah bagi para hujjaj di kemuncak ibadah haji, maka begitulah pentingnya An Nadam di dalam sebuah taubat. Tanpa wuquf tiadalah haji seperti ungkapan hadis nabi saw: “Haji itu Arafah”. Begitulah juga sifirnya. An Nadam itu ertinya Penyesalan. Ia merupakan rukun terpenting di dalam taubat. Tanpa An Nadam tiadalah At taubah. Sabda Nabi saw:

“Penyesalan itu adalah taubat”. (Riwayat Al Hakim dan Ibnu Majah - sanad sahih)


Kenapa kita perlu sangat mewar-warkan soal penyesalan ini? Jawapannya kerana ia memang sangat perlu.


1- Ia menjadi modal utama bagi setiap hamba untuk melengkapkan kesempurnaan sesebuah taubat yang akan dipersembahkan kepada Allah (SWT) Tabaraka wa Ta’ala.


Imam Al Qusyairi rahimahullahu Ta’ala menukilkan dari sebahagian ulama satu kenyataan yang berbunyi: “penyesalan sudah memadai untuk terlaksananya taubat”. Apa tidaknya. Dari penyesalan yang bersungguh-sungguhlah nanti akan menumbuhkan buah ‘keazaman’ dan ‘peninggalan’, iaitu dua rukun lain yang bakal menyusul sesudahnya.


Amat mustahil sekali sekiranya seseorang yang sudah ‘benar-benar menyesal’, berazam tetap mahu melakukan semula perkara yang sudah disesalinya itu.


2- Penyesalan adalah perasaan atau pun emosi batiniah (rohaniah) seseorang yang menggambarkan kekecewaan lantaran keterlanjurannya melakukan dosa sama ada terhadap Allah (SWT)(Penciptanya), atau makhluk-Nya atau pun terhadap dirinya sendiri.


Baca dan renungilah perjalanan taubat orang-orang yang soleh dan bertaqwa kepada Allah (SWT) swt. Apa yang mereka ungkapkan.


“Kekecewaan itu adalah umpama api yang membakar hati. Hati akan rasa tersalai setiap kali mengenangkan dosa dan keterlanjuran diri serta balasan Allah (SWT) yang bakal menanti”.


Kisah taubat tiga sahabat Nabi saw yang diabadikan dalam Al Quran cukup mengharu dan meruntun hati kita. Pemaparan yang sungguh indah lagi menarik.


Itulah kisah tiga sahabat yang tidak ikut serta bersama Nabi saw dalam perperangan Tabuk (pertemuan pertama Rasulullah saw dengan kuasa besar ketika itu iaitu Rom). Ketiga-tiga sahabat ini tidak datang menemui Rasulullah saw untuk menyatakan keuzuran ‘palsu’ seperti yang dilakukan sebahagian para munafiqin. Lalu rasulullah saw memerintahkan supaya mereka dipulaukan hingga datang keputusan dari Allah (SWT) swt. Penyesalan dan kekecewaan mereka akhirnya mencapai tahap yang amat tinggi.


Al Quran menggambar kesengsaraan jiwa mereka itu seperti berikut:


“Dan, terhadap tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat) mereka, hingga apabila bumi telah menjadi sempit bagi mereka, padahal bumi itu luas dan jiwa mereka pula (terasa) sangat sempit serta mereka telah mengetahui bahawa tidak ada tempat lain dari (seksaan) Allah (SWT), melainkan kepadaNya, kemudian Allah (SWT) menerima taubat mereka agar mereka tetap dalam taubatnya. Sesungguhnya Allah (SWT)-lah yang Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang”. (At Taubah ayat 118).


Ahli sufi terkenal, Zunnun Al Misri berkata: “Hakikat taubat ialah kamu merasakan bumi yang luas ini menjadi sempit sehinggakan kamu terasa tidak dapat berdiri”.


Begitulah gambaran penyesalan yang sepatutnya berlaku di dalam taubat kita. Barulah dosa kita benar-benar akan terampun di sisi Allah (SWT) swt. Sesal dulu berpendapatan, sesal kemudian tidak berguna lagi.


- Oleh Rozana Hamim

Monday, January 14, 2008

~* Doa Dari Hadis Sohih : Khusus Elak Di Rogol & Cabul *~


Terdapat beberapa pertanyaan tentang doa yang khusus bagi kaum wanita samada dewasa dan kanak-kanak untuk mengelakkan mereka dari terperangkap dalam situasi yang boleh membawa kepada rogol, pencabulan dan lebih dahsyat lagi deraan seks yang diakhiri dengan pembunuhan.

Doa Pilihan Pelindung Keluarga


Ajarilah anak-anak kita, diri dan keluarga kita dengan doa yang sohih dari nabi ini iaitu :-


من نَزَلَ مَنْزِلًا ثُمَّ قال أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّاتِ من شَرِّ ما خَلَقَ لم يَضُرَّهُ شَيْءٌ حتى يَرْتَحِلَ من مَنْزِلِهِ ذلك


Ertinya :


Sesiapa yang keluar dari rumah dan membaca doa " Aku berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna dari segala kejahatan makhluk" maka ia tidak dimudaratkan oleh sesuatu apa pun sehinggalah ia kembali ke rumahnya semula." ( Riwayat Muslim, 4/2080 - teks doaya adalah yang berwarna merah)


Disebut dalam satu riwayat lain, nabi bersabda :-


فقال رسول الله من أي شيء قال لدغتني عقرب قال رسول الله أما إنك لو قلت حين أمسيت أعوذ بكلمات الله التامات من شر ما خلق لم يضرك إن شاء الله


Ertinya :


Nabi bertanya : kena apakah kamu ? Lelaki berkata : aku disengat kala jengking. Nabi berkata : sekiranya engkau membaca pada setiap petang " Aku berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna dari segala kejahatan makhluk", nescaya dengan izin Allah kamu tidak akan ditimpa mudarat" ( Riwayat Ibn Hibban, 3/298 )


Juga sebuah lagi doa yang mudah dari hadis sohih:-


رَسُولَ اللَّهِ يقول من قال بِسْمِ اللَّهِ الذي لَا يَضُرُّ مع اسْمِهِ شَيْءٌ في الأرض ولا في السَّمَاءِ وهو السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ لم تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ حتى يُصْبِحَ وَمَنْ قَالَهَا حين يُصْبِحُ ثَلَاثُ مَرَّاتٍ لم تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ حتى يُمْسِيَ


DALAM sebutan rumi : BISMILLAH ALLAZI LA YADURRU MA'ASMIHI SYAIUN FIL ARDI WA LA FIS SAMAIE , WAHUWAS SAMI'UL 'ALIM


Ertinya :


Rasulullah s.a.w didengari berkata sesiapa yang berdoa : "Dengan nama Allah yang tiada dimudaratkan sesuatu apapun dengan namaNya samada di bumi dan di langit, dan Dialah maha mendengar dan maha mengetahui" sebanyak 3 kali, maka ia tidak ditimpa kesusahan bala dan musibah sehinggalah subuh esoknya, dan barangsiapa membacanya ketika subuh 3 kali, ia tidak ditimpa kesusahan bala dan musibah sehingga petangnya" ( Riwayat Abu Daud, 4/323 ; At-Tirmidizi, 5/465 dan Ahmad ; Tirmizi : Hasan - Teks doa berwarna Merah Syeikh Syuaib ; Hasan)


Ingin saya utarakan satu lagi doa sohih yang dibaca oleh isteri Nabi Ibrahim a.s (iaitu Siti Sarah) yang menyebabkan para lelaki zalim termasuk rajanya melarikan diri, saya sertakan sekali sumber rujukannya dari hadis Nabi s.a.w.


اللّهُمَّ اِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ اني آمَنْتُ بِكَ وَبِرَسُولِكَ وَأَحْصَنْتُ فرجي إِلاَّ على زوجي فَلاَ تُسَلِّطْ عَلَىَّ الْكَافِرَ


DALAM sebutan rumi : ALLAHUMMA IN KUNTA TA'LAMU INNI AAMANTU BIKA, WA BIRASULIKA WA AHSONTU FARJI ILLA 'ALA ZAWJI FALA TUSALLIT 'ALAYYA AL-KAFIR WA AZ-ZALIM


Ertinya :


"Ya Allah, jika engkau mengetahui bahawa aku beriman kepada Mu dan Rasul Mu, dan aku menjaga kehormatanku hanya untuk suamiku, maka lindungilah aku daripada dikuasai oleh orang-orang kafir dan zalim" ( Riwayat Al-Bukhari, no 2104, 2/722 ; Sunan Al-Baihaqi, 5/97; Musnad ahmad, 2/403 ; Fath Al-Bari, 6/393; Umdat Al-Qari, 12/30 ; Sohih )


Semoga ia dapat dihafaz dan di amalkan oleh semua wanita Muslimah, Cuma jangan lupa bahawa doa ini bersoifat tawassul dengan amal soleh anda, iaitu apabila diikat dengan imannya dengan Allah (SWT) dan RasulNya dan telah dijaga kehormatannya dan sudah tentu auratnya.


Justeru, seolah-olah kemaqbulan doa ini juga diikat tentang kewajiban untuk beriman dengan Allah (SWT) dan rasulNya dan menutup aurat anda. Tanpanya, doa ini masih amat digalakkan untuk dilakukan, cuma jaminan seolah-olah lebih pasti bagi yang apa yang dikatanya (dalam doa ini) menepati apa yang sebenarnya penampilan fizikal anda.


Justeru, jika berbaju kebaya terbelah, baju sendat menampakkan susuk tubuh, berpakaian nipis seolah telanjang, bersolek canggih seperti artis bukan Islam..sudah tentu doa ini sahaja belum cukup mampu menjaga anda. Bukan kerana Allah (SWT) tidak mampu, tetapi Allah (SWT) tidak anggap wanita itu layak dek kerana kedegilannya sendiri.


- Oleh Ustaz Zaharuddin Abd Rahman

~* Jenis-jenis Dosa dan Jalan Menuju Taubat *~


Jenis-jenis Dosa
1. Dosa Besar. Iaitu dosa yang disertai ancaman hukuman di dunia, atau ancaman hukuman di akhirat. Abu Tholib Al-Makki berkata: Dosa besar itu ada 17 jenis.
  • 4 jenis di hati, yaitu: 1. Syirik. 2. Terus menerus berbuat maksiat. 3. Putus asa. 4. Merasa aman dari seksa Allah.
  • 4 jenis pada lisan, yaitu: 1. Kesaksian palsu. 2. Menuduh berbuat zina pada wanita baik-baik. 3. Sumpah palsu. 4. mengamalkan sihir.
  • 3 jenis di perut. 1. Minum arak. 2. memakan harta anak yatim. 3. memakan riba.
  • 2 jenis di kemaluan. 1. zina. 2. Homoseksual.
  • 2 macam di tangan. 1. membunuh. 2. mencuri.
  • 1 di kaki, iaitu lari dalam peperangan.
  • 1 di seluruh badan, iaitu derhaka terhadap orang tua.

2. Dosa kecil. Iaitu dosa-dosa yang tidak tersebut diatas.


3. Dosa kecil yang menjadi besar.


  • Dilakukan terus menerus.

Rasulullah bersabda:


“Tidak ada dosa kecil apabila dilakukan dengan terus menerus dan tidak ada dosa besar apabila disertai dengan istighfar.”


Allah juga berfirman:


“Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui.” (QS. Ali Imran [3]: 135)


  • Menganggap remeh akan dosa.

Rasulullah bersabda:


“Sesungguhnya seorang mu’min dalam melihat dosanya, bagaikan seorang yang berada di puncak gunung, yang selalu khuatir tergelincir jatuh. Adapun orang fasik dalam melihat dosanya, bagaikan seseorang yang dihinggapi lalat dihidungnya, maka dia usir begitu saja.” (HR. Bukhori Muslim)


  • Bergembira dengan dosanya.

Allah berfirman:


“Dan apabila dikatakan kepadanya: “Bertakwalah kepada Allah”, bangkitlah kesombongannya yang menyebabkannya berbuat dosa. Maka cukuplah (balasannya) neraka Jahannam. Dan sungguh neraka Jahannam itu tempat tinggal yang seburuk-buruknya.” (QS. Al Baqarah [2]: 206)


  • Merasa aman dari azab Allah.

Allah berfirman:


“Apakah tiada kamu perhatikan orang-orang yang telah dilarang mengadakan pembicaraan rahasia, kemudian mereka kembali (mengerjakan) larangan itu dan mereka mengadakan pembicaraan rahasia untuk berbuat dosa, permusuhan dan derhaka kepada Rasul. Dan apabila mereka datang kepadamu, mereka mengucapkan salam kepadamu dengan memberi salam yang bukan sebagai yang ditentukan Allah untukmu. Dan mereka mengatakan pada diri mereka sendiri: “Mengapa Allah tiada menyeksa kita disebabkan apa yang kita katakan itu?” Cukuplah bagi mereka neraka Jahannam yang akan mereka masuki. Dan neraka itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.” (QS. Al Mujadilah [58]: 7)


  • Terang-terangan dalam berbuat maksiat.

Rasulullah bersabda:


“Semua ummatku akan diampunkan dosanya kecuali orang yang mujaharah (terang-terangan dalam berbuat dosa) dan yang termasuk mujaharah adalah: Seorang yang melakukan perbuatan dosa di malam hari, kemudian hingga pagi hari Allah telah menutupi dosa tersebut, kemudian dia berkata: wahai fulan semalam saya berbuat ini dan berbuat itu. Padahal Allah telah menutupi dosa tersebut semalaman, tapi di pagi hari dia buka tutup Allah tersebut.” (HR. Bukhori Muslim)


  • Yang melakukan perbuatan dosa itu adalah seorang yang menjadi teladan.

Rasulullah bersabda:


“Barangsiapa yang memberi contoh di dalam Islam dengan contoh yang jelek, dia akan mendapat dosanya dan dosa orang yang mengikutinya setelah dia tanpa dikurangi dosa tersebut sedikitpun.” (HR. Muslim)


Jalan Menuju Taubat
  1. Mengetahui hakikat taubat. Hakikat taubat adalah: Menyesal, meninggalkan kemaksiatan tersebut dan berazam untuk tidak mengulanginya lagi. Sahal bin Abdillah berkata: “Tanda-tanda orang yang bertaubat adalah: Dosanya telah menyibukkan dia dari makan dan minumnya. Seperti kisah tiga sahabat yang tertinggal perang”.
  2. Merasakan akibat dosa yang dilakukan. Ulama salaf berkata: “Sungguh ketika saya maksiat pada Allah, saya boleh melihat akibat dari maksiat saya itu pada kuda dan istri saya.”
  3. Menghindar dari persekitaran yang jelek. Seperti dalam kisah seorang yang membunuh 100 orang. Gurunya berkata: “Pergilah ke negeri sana … sesungguhnya disana ada orang-orang yang menyembah Allah dengan baik, maka sembahlah Allah disana bersama mereka dan janganlah kamu kembali ke negerimu, kerana negerimu adalah negeri yang jelek.”
  4. Membaca Al-Qur’an dan menghayatinya.
  5. Berdo’a. Allah berfirman mengkisahkan Nabi Ibrahim: “Ya Tuhan kami, jadikanlah kami berdua orang yang tunduk patuh kepada Engkau dan (jadikanlah) di antara anak cucu kami umat yang tunduk patuh kepada Engkau dan tunjukkanlah kepada kami cara-cara dan tempat-tempat ibadat haji kami, dan terimalah taubat kami. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.” Al Maraghi berkata: “Yang dimaksud ”terimalah taubat kami” adalah: Bantulah kami untuk bertaubat agar kami bisa bertaubat dan kembali kepada-Mu.”
  6. Mengetahui keagungan Allah yang Maha Pencipta. Para ulama salaf berkata: “Janganlah engkau melihat akan kecilnya maksiat, tapi lihatlah keagungan yang engkau derhakai.”
  7. Mengingati mati dan kejadiannya yang tiba-tiba.
  8. Mempelajari ayat-ayat dan hadis-hadis yang memberi amaran kepada orang-orang yang berdosa.
  9. Membaca sejarah orang-orang yang bertaubat.

~* 4 punca utama hati tidak tenteram *~


JIKA ada alat yang sesuai untuk mengukur kekuatan iman, tentulah alat itu bernama 'hati'. Allah (SWT) menjadikan hati itu hidup dan berfungsi sebagai pusat kawalan bagi anggota badan manusia.


Seseorang yang suka menyentuh hatinya dan merawat dengan baik akan semakin mengenali dirinya sendiri. Jika gelisah, sedih dan putus asa menguasai diri, dia akan bertanya kepada hati apakah sebabnya?


Kemudian ilmu diperlukan untuk menjawab soalan, akal diguna sambil hati memandu cuba merungkaikan penyebab kesedihan itu. Akhirnya, ditemukan jawapan empat punca iaitu kesedihan, kemurungan, gelisah dan tekanan pada diri manusia iaitu:


  • Suka membuang masa.

Hiburan dan permainan boleh merehatkan hati dan menjadikannya lebih bertenaga, tetapi apabila terlalu berlebihan ia bahkan boleh membunuh.


Orang mukmin membahagikan masanya kepada tiga bahagian; Satu untuk Allah (SWT), kedua bagi dirinya sendiri yang meliputi fikiran, perasaan dan tubuh badannya. Ketiga untuk keluarga dan umatnya.


Sikap membuang masa biasanya dipengaruhi oleh persekitaran. Manusia akan mudah terpengaruh dengan apa yang dilihat dan didengar daripada pergaulan. Berkawan rapat dengan orang yang suka membaca boleh mempengaruhi minat kita kepada buku. Begitu juga apabila suka iktikaf di masjid mendengar syarahan agama akan menjadikan kita dekat dengan ilmu.


Kita sentiasa berhadapan dengan dua pilihan dalam hidup ini, jalan yang baik atau buruk. Kawan yang jahil atau soleh, keadaan yang mengingatkan kita pada Allah (SWT) atau melupakannya.


Membuang masa menyebabkan kemalasan yang berakhir dengan kegagalan, sedih dan tertekan. Seorang mukmin yang benar imannya sentiasa berada dalam keadaan jihad iaitu bersungguh-sungguh mengisi masanya dengan perjuangan dan pengorbanan untuk memenangi pertarungan melawan iblis dan syaitan.


  • Kesedihan juga berpunca daripada sifat dengki dan mengikut nafsu.

Ada orang yang apabila melihat ke atas dia berasa sedih menyaksikan orang lain yang mengatasi kehebatannya. Lebih berjaya, kaya, berpangkat, cantik dan bergaya. Risau dan tertekan bersarang di hati, ditambah dengan sifat dengki dan dendam yang pasti akan memalapkan cahaya iman.


Ubat bagi kesedihan sebegini adalah dengan melihat siapa yang berada di bawah anda. Bukankah ramai manusia yang tiada apa-apa untuk dimakan pada hari ini? Rumah mereka musnah oleh banjir, anak dan isteri mereka mati di hadapan mata kerana tembusan peluru, kehancuran bangsa dan negara oleh kekejaman perang.


Mengapa perlu bersedih jika kita masih memiliki orang yang tersayang, mengapa risau jika harta kita dilindungi Allah (SWT), jika ia berkurangan bukankah selama ini Allah (SWT) telah memberi jumlah yang banyak tidak terhitung?


Sejak dari rahim ibu lagi rezeki telah dikurniakan kepada kita. Sudikah kita jika seseorang mahu menukar kedua-dua mata, kaki dan tangan dengan wang berjuta? Tentu ia lebih berharga daripada wang. Kenikmatan yang Allah (SWT) kurniakan itu terlalu banyak, tetapi hanya sedikit manusia yang mahu bersyukur.


  • Kesedihan kerana melupakan Allah (SWT).

Bagaimanakah keadaan orang yang melupakan Allah? Dalam surah al-Hasyr, ayat 19 Allah (SWT) berfirman yang maksudnya:


"Dan janganlah kamu menjadi seperti orang yang telah melupakan Allah (SWT). Lalu Allah (SWT) menjadikan mereka melupakan diri mereka. Mereka itulah orang-orang yang fasik."


Makna melupakan diri mereka sendiri adalah mereka meninggalkan amal soleh yang boleh menyelamatkan diri di dunia dan akhirat.


Orang yang melupakan Allah (SWT) mempunyai ciri seperti berikut:


  • Harinya dilalui tanpa ibadat.
  • Lupa berzikir.
  • Mengabaikan sembahyang
  • Tidak membaca ayat al-Quran.
  • Menjauhi ilmu.
  • Meninggalkan amal soleh.

Kehidupan dunia menjadikan mereka buta, tidak dapat menjejaki jalan ke akhirat. Keadaan mereka seperti binatang kerana mereka hidup semata-mata hidup makan, minum, tidur, berkahwin dan memuaskan nafsu saja. Ini sesuai dengan firman-Nya yang bermaksud:


"Dan sesungguhnya kami jadikan untuk isi neraka jahanam kebanyakan jin dan manusia, mereka memiliki hati tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami ayat-ayat Allah (SWT), dan mereka memiliki mata tetapi tidak dipergunakannya untuk melihat tanda-tanda kebesaran Allah (SWT) dan mereka memiliki telinga tetapi tidak dipergunakannya untuk mendengar ayat-ayat Allah (SWT). Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang yang lalai." (Surah Al-A'raf, ayat 179)


Benarkah orang yang kaya tidak berasa sedih, putus asa dan tertekan? Sebenarnya, semua Itu bergantung kepada sumber hartanya dan untuk apa ia dibelanjakan.


Kekayaan yang sebenar adalah kaya hati. Iaitu hati yang sentiasa bergembira kerana iman kepada Allah (SWT) dan bersyukur serta reda dengan qada dan qadar-Nya.


- Oleh Dr Juanda Jaya

Saturday, January 12, 2008

~* Zikir bersih hati & sucikan jiwa Mukmin *~


ALLAH (SWT) menjelaskan sifat orang yang beriman dalam Al-Quran melalui firman-Nya yang bermaksud:


"Dan apabila mereka mendengar perkataan yang tidak bermanfaat , mereka berpaling daripadanya". Surah Al-Qasas, Ayat 55.


Percakapan yang tidak berfaedah itu tidak mempunyai sebarang makna malah, tidak memberikan sedikitpun nilai tambah kepada hati, fikiran dan ilmu yang berfaedah. Hati seorang Mukmin sama sekali tidak lalai dengan hal yang tidak berguna itu. Bahkan hati mereka sentiasa sibuk dengan tuntutan iman tinggi dan mulia.


Dalam konteks yang lain, Allah (SWT) mensifatkan keadaan mereka sebagai berikut dalam firman-Nya yang bermaksud:


"Dan apabila mereka bertemu dengan (orang-orang) yang mengerjakan perbuatan-perbuatan yang tidak berfaedah, mereka lalui (saja) dengan menjaga kehormatan dirinya". Surah Sl-Furqan, Ayat 72.


Berdasarkan ayat di atas jelas menunjukkan bahawa mereka sama sekali tidak memberi perhatian sedikitpun kepada hal seperti itu, kerana bagi setiap orang yang beriman mereka tidak ada lebih masa untuk dihabiskan kepada perkara tidak berfaedah itu. Justeru, antara faktor kejayaan Mukmin itu baik di dunia mahupun di akhirat ialah berpaling daripada perkara yang tidak berfaedah.


Hati orang yang beriman sentiasa sibuk dengan zikrullah atau mengingati Allah (SWT), menghayati keagungan dan kebesaran-Nya, melihat tanda kekuasaan Allah (SWT) pada setiap ciptaan-Nya. Itu akan mendorong mereka untuk memenuhi segala tuntutan akidahnya dengan cara membersihkan hati, mensucikan jiwa, memurnikan sanubari, akhirnya terbentuklah peribadi mukmin, salih dan tidak pernah lupakan Allah (SWT).


Sekiranya kita tahu bahawa kemampuan kita sebagai manusia ini terbatas, sama ada ia digunakan untuk kebaikan, kejayaan dan ketinggian hidup atau sebaliknya dihabiskan untuk perkara tidak berfaedah, maka sebagai seorang yang beriman kepada Allah (SWT), tentu sekali akan didorong oleh akidahnya supaya berkorban untuk kepentingan dan kebaikan dirinya baik di dunia mahupun akhirat.


Dalam hal ini, Imam al-Ghazali, seorang sufi terkenal membahagikan perkataan atau percakapan itu kepada empat bahagian. Di mana bahagian yang terakhirnya ialah percakapan yang tidak ada kebaikan dan keburukan padanya atau perkataan yang tidak ada faedah dan tidak ada juga mudaratnya. Inilah dikatakan perbualan kosong.


Manusia yang paling banyak dosa pada Hari Kiamat nanti adalah orang yang paling banyak membicarakan hal tidak benar. Rasulullah pernah menjawab pertanyaan apabila ditanya apakah yang menyebabkan manusia banyak masuk neraka. Jawab Baginda: "Mulut dan kemaluan".


Dan apabila ditanya pula sebaliknya, apakah yang boleh menyelamatkan mereka daripada neraka, lantas jawabnya:


"Tahanlah lidahmu dan tangisilah kesalahanmu". (Hadis Riwayat al-Tirmizi)


Renungan:


Berkata seseorang kepada Umar bin Abdul Aziz: Bilakah saya hendak bercakap?


Katanya: Apabila kamu hendak diam.


Dan ditanya pula: Bilakah saya hendak diam?


Katanya: Apabila kamu hendak bercakap"


- Oleh Prof Madya Dr Abdul Rashid Ahmad

~* Why Do Muslims Fast In Ramadan? *~

What is Fasting (Sawm)? Sawm (Arabic: صوم) is an Arabic word for fasting regulated by Islamic jurisprudence. In the terminology of Islamic l...