Monday, September 24, 2007

~* DOA RAMADAN *~

Hari Pertama
"Ya Allah, jadikanlah puasaku, puasa orang benar-benar berpuasa. Dan ibadah malamku, ibadah orang benar-benar mengerjakan ibadah. Dan jagalah aku dari tidurnya orang yang lalai. Hapuskanlah dosaku wahai Tuhan sekalian alam. Dan Ampunilah aku wahai Tuhan maha pengampun daripada segala dosa."

Hari Kedua
"Ya Allah, dekatkan aku kepada keredaan Mu dan jauhkan aku daripada kemurkaan serta balasan Mu. Berilah aku kemampuan membaca ayat-ayat Mu dengan rahmat Mu, wahai Tuhan Maha Pengasih"

Hari Ketiga
“Ya Allah limpahkan aku dengan kecerdikan fikiran dan kewaspadaan serta jauhkan aku daripada kebodohan dan kesesatan. Sediakan bahagian ku daripada kebaikan yang kau turunkan., demi kemurahan Mu, wahai Tuhan Maha Pemurah daripada segala dermawan.”

Hari Keempat
“Ya Allah berilah kekuatan kepada ku untuk melaksanakan perintah Mu dan berilah aku kemanisan berzikir. Berilah aku kekuatan melahirkan kesyukuran dengan kemuliaan Mu. Dan jagalah aku dengan jagaan dan perlindungan Mu, wahai Tuhan Maha Melihat.”

Hari Kelima
“Ya Allah, tempatkan aku di kalangan orang yang sentiasa memohon keampunan. Jadikanlah aku hamba Mu yang saleh serta jadikanlah aku di kalangan auliya’ (orang yang mendapat keutamaan Mu) yang hampir di sisiMu dengan kelembutan Mu, wahai Tuhan yang Maha pengasih daripada segala pengasih.”

Hari Keenam
“Ya Allah, janganlah aku dihina kerana perbuatan maksiat ku kepada Mu dan janganlah menyeksa ku dengan balasan Mu. Jauhkan aku daripada sesuatu yang boleh mendatangkan kemurkaan Mu, dengan anugerah dan bantuanMu, wahai kemuncak keinginan orang yang berkeinginan.”

Hari Ketujuh
“Ya Allah bantulah aku untuk mengerjakan puasa dan ibadah malamnya. Jauhkanlah aku daripada dosa-dosanya. Dan berilah aku zikir untuk mengingati Mu secara berterusan, dengan taufik (petunjuk) Mu wahai pemberi petunjuk kepada orang yang sesat.”

Hari Kelapan
“Ya Allah, berilah aku rezeki berupa kasih sayang kepada anak-anak yatim, pemberi makanan, penyebar salam dan bergaul dengan mulia, dengan kemuliaan Mu tempat berlindung orang yang berharap.”

Hari Kesembilan
“Ya Allah, sediakan bagi ku sebahagian daripada keluasan rahmat Mu. Berilah aku petunjuk dengan ajaran-ajaran Mu. Bimbinglah aku menuju keredaan Mu yang penuh dengan kecintaan Mu, wahai harapan orang yang merindu.”

Hari Kesepuluh
“Ya Allah, jadikan aku di antara orang bertawakal kepada Mu dan jadikan aku di kalangan orang yang menang di sisi Mu. Ya Allah, jadikan aku di kalangan orang yang dekat di sisi Mu. Dengan ihsan Mu wahai tempat tuju orang yang memohon.”

Hari Kesebelas
“Ya Allah, tanamkan dalam diri ku kecintaan melakukan kebaikan dan kebencian melakukan perbuatan maksiat serta fasik. Ya Allah jauhkan ku daripada kemurkaan Mu dan seksaan api neraka, dengan pertolongan Mu wahai Tuhan yang menolong orang memerlukan pertolongan.”

Hari Kedua Belas
“Ya Allah, hiasilah diri ku dengan penutup dan kesucian. Tutuplah diri ku dengan pakaian kesederhanaan dan kerelaan. Tempatkan aku di jalan keadilan dan keikhlasan. Amankan diri ku daripada setiap perkara yang aku takut, dengan penjagaan Mu, wahai penjaga orang yang takut.”

Hari Ketiga Belas
“Ya Allah, bersihkan diri ku daripada kekotoran dan kehinaan. Berilah kesabaran kepada ku untuk menerima segala ketentuan. Berilah kemampuan kepada ku untuk bertakwa dan bergaul dengan orang baik, dengan bantuan Mu wahai pengharap orang yang miskin.”

Hari Keempat Belas
“Ya Allah, jangan aku dihukum disebabkan kekeliruan yang ku lakukan. Ampunkan aku daripada kesalahan dan kebodohan. Janganlah kau jadikan diri ku sasaran bala dan malapetaka, dengan kemuliaan Mu wahai kemuliaan kaum Muslimin.”

Hari Kelima Belas
“Ya Allah limpahkan rezeki kepada ku berupa ketaatan orang yang khusyuk. Lapangkan dada ku dengan taubat orang yang menyesal, dengan keamanan Mu wahai keamanan orang yang takut.”

Hari Keenam Belas
“Ya Allah, berilah kemampuan kepada ku untuk menjalani kehidupan seperti mana kehidupan orang baik. Jauhkan bagi ku kehidupan orang yang melakukan kejahatan. Lindungilah aku dengan rahmat Mu hingga ke alam akhirat, demi ketuhanan Mu wahai Tuhan sekalian alam.”

Hari Ketujuh Belas
“Ya Allah, tunjukkan bagi ku amal kebajikan dan penuhilah hajat serta cita-cita ku, wahai Tuhan yang Maha Mengetahui segala keperluan tanpa ungkapan permohonan. Wahai yang Maha Mengetahui segala yang ada dalam hati sekalian makhluk. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad dan keluarga baginda yang suci.”

Hari Kelapan Belas
“Ya Allah, sedarkan aku untuk mencari keberkatan. Terangkan hati ku secerah cahaya dan bimbinglah aku serta anggota ku untuk mengikuti segala ajaran Mu, dengan cahaya Mu wahai penerang hati orang yang bijak.”

Hari Kesembilan Belas
“Ya Allah, penuhkan bahagian ku dengan keberkatan dan mudahkan bagi ku menuju ke arah kebaikan. Jangan kau jauhkan aku daripada ketenteraman kebaikan, wahai pemberi petunjuk kepada kebenaran.”

Hari Kedua Puluh
“Ya Allah, bukakan bagi ku pintu-pintu syurga dan tutupkan bagiku pintu-pintu neraka. Berilah kemampuan kepada ku untuk membaca ayat-ayat suci al-Quran, wahai pemberi ketenangan dalam hati orang beriman.”

Hari Kedua Puluh Satu
“Ya Allah, berilah aku petunjuk untuk mendapat keredaan Mu. Janganlah engkau biarkan syaitan menguasai diri ku. Jadikan syurga tempat tinggal dan berehat bagi ku, wahai pelaksana keperluan orang meminta.”

Hari Kedua Puluh Dua
“Ya Allah, bukakan bagi ku pintu kelebihan dan turunkan bagi ku keberkatan mu. Berilah kepada ku untuk melakukan sesuatu yang mendatangkan keredaan Mu dan tempatkan aku dalam syurga Mu yang luas, wahai penjawab doa orang dalam kesempitan.”

Hari Kedua Puluh Tiga
“Ya Allah bersihkan aku daripada segala dosa dan jauhkan diri ku daripada keaiban serta tanamkan ketakwaan dalam hati ku, wahai pengampun kesalahan orang yang berdosa.”

Hari Kedua Puluh Empat
“Ya Allah, aku bermohon kepada Mu perkara yang mendatangkan keredaan Mu. Aku berlindung dengan Mu daripada perkara yang mendatangkan kemarahan Mu dan aku bermohon kepada Mu kemampuan untuk mentaati Mu serta menghindari kemaksiatan terhadap Mu, wahai pemberi kepada yang meminta.”

Hari Kedua Puluh Lima
“Ya Allah, jadikan aku orang yang menyintai auliya’ Mu dan memusuhi musuh Mu. Jadikan aku pengikut sunnah nabi Mu, wahai penjaga hati para Nabi.”

Hari Kedua Puluh Enam
“Ya Allah, jadikan usaha ku sebagai usaha yang sentiasa disyukuri, dosa-dosa ku sebagai dosa yang diampuni, kebaikan ku sebagai kebaikan yang diterima dan keaiban ku sebagai keaiban yang ditutupi, wahai Tuhan Maha Mendengar daripada semua pendengar.”

Hari Kedua Puluh Tujuh
“Ya Allah, berilah rezeki berbentuk ganjaran Lailatul Qadar kepada ku, ubahkan perkara sulit menjadi mudah, makbulkan permintaan maaf ku dan hapuskan dosa serta kesalahan ku, wahai Tuhan Maha Penyayang kepada hamba soleh.”

Hari Kedua Puluh Lapan
“Ya Allah, penuhkan hidup ku dengan amalan sunnah dan muliakan aku dengan diterimanya semua permintaan, wahai Tuhan yang tidak disibukkan oleh permintaan orang meminta.”

Hari Kedua Puluh Sembilan
“Ya Allah, hiasilah aku dengan rahmat Mu dan berikanlah aku petunjuk serta penjagaan Mu. Bersihkan hati ku dengan fitnah, wahai pengasih kepada hamba yang beriman.”

Hari Ketiga Puluh
“Ya Allah, jadikan puasa ku disertai dengan rasa syukur dan diterima oleh Mu melalui jalan keredaan Mu serta keredaan rasul Mu, cabangnya yang kukuh dan kekuatan keberkatan, demi kenabian Muhamad saw dan keluarga baginda yang suci dan segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam.”

~* Hikmah Lailatul Qadar *~


Oleh Saidul Amin Usman


LAILATUL Qadar adalah malam yang berlaku pada Ramadan. Malam ini disebutkan dalam dua surah al-Quran, iaitu pada surah al-Dukhan dan al-Qadr.


Firman Allah bermaksud:


“Sesungguhnya kami telah turunkan al-Quran itu pada malam yang penuh keberkatan dan sesungguhnya Kami-lah yang memberi peringatan.” (Surah al-Dukhan, ayat 2)


Firman Allah bermaksud:


“Sesungguhnya kami telah turunkan al-Quran itu pada malam kemuliaan.” [Surah al-Qadr, ayat 1]


Berdasarkan ayat di atas dapat dilihat bahawa malam al-Qadar disebut juga dengan malam yang penuh keberkatan. Sebab pada malam itu Allah mencucuri pelbagai rahmat, keampunan dan keberkatan kepada orang yang beramal dengan khusyuk dan berdoa dengan penuh keikhlasan. Kepada mereka Allah memberikan ganjaran kebaikan yang sama nilainya dengan beramal seribu.


Firman Allah bermaksud:


"Malam al-Qadar itu itu lebih baik daripada seribu bulan.” (Surah al-Qadr, ayat 3)


Ada beberapa riwayat yang menceritakan sebab Allah menurunkan malam al-Qadar untuk umat Muhammad.


Menurut Imam Malik, Rasulullah melihat bahawa umur umatnya tidak sepanjang umat sebelum mereka, baginda bermohon kepada Allah memberikan peluang di mana umatnya supaya dapat beramal dengan yang nilainya sama dengan amalan umat sebelum mereka.


Berdasarkan permohonan inilah maka Allah menurunkan Lailatul Qadar.


Syeikh Muhammad Abduh berpendapat bahawa sebab malam itu diturunkan kepada umat Muhamad kerana Qadar itu bermakna ketentuan atau takdir. Pada malam itu Allah mula mentakdirkan agama-Nya dan memerintahkan nabi-Nya untuk menyeru manusia kepada agama yang melepaskan mereka daripada segala kehancuran dan kerosakan.


Pendapat Syeikh Muhammad Abduh ini berdasarkan kenyataan bahawa al-Quran pertama kali diturunkan pada malam al-Qadar. Turunnya al-Quran pada dasarnya adalah watikah pelantikan Muhammad sebagai nabi dan rasul yang bertanggungjawab menyampaikan risalah Islam. Begitu juga dalam mengubah corak hidup manusia daripada alam jahiliah kepada suasana Islam. Ertinya malam al-Qadar itu adalah malam disyariatkan Islam kepada umat Nabi Muhammad sebagai agama penyelamat untuk seluruh alam.


Ada ulama lain yang menyatakan bahawa penyebab dikatakan dengan malam al-Qadar kerana pada malam itu Allah menetapkan takdir setiap makhluk baik berupa rezeki, umur atau sakit atau sihatnya seseorang untuk jangka masa setahun, iaitu dari malam al-Qadar tahun ini hingga ke malam al-Qadar tahun depan.


Mengenai jatuhnya malam al-Qadar, ulama berbeza pendapat mengenainya. Imam Nawawi berkata bahawa sebahagian ulama menyatakan malam itu bergilir dari tahun ke tahun. Ertinya apabila pada tahun ini berlaku pada malam 29 Ramadan, maka tahun akan datang datang pada malam berbeza.


Hal sama dikatakan oleh Ibn Hazm bahawa Lailatul Qadar itu ada kalanya pada malam 21, 23, 25, 27 atau 29 Ramadan.


Sementara menurut jumhur ulama, Lailatul Qadar berlaku pada malam yang sama pada setiap Ramadan iaitu pada malam 27 Ramadan. Ini berdasarkan hadis Rasulullah daripada Ubai bin Ka'ab yang diriwayatkan oleh Tirmizi dan hadis dari Mu'awiyah yang diriwayatkan Abu Dawud. “Saya mendengar Rasulullah bersabda carilah Lailatul Qadar itu pada malam 27.”


Sebahagian sahabat dan ulama mencuba menentukan Lailatul Qadar dengan cara lain, iaitu menggunakan rumusan tertentu.


Ibnu Abbas berkata bahawa surah al-Qadr itu terdiri daripada 30 kalimah. Kata salamum hiya (selamat sejahteralah malam itu) berada pada kalimah yang ke-27. Oleh itu Ibnu Abbas menyatakan bahawa malam al-Qadar berlaku pada malam ke-27.


Sementara sebahagian ulama menyatakan bahawa kalimat Lailatul Qadr terdiri daripada sembilan huruf. Dalam surah al-Qadr kata-kata Lailatul Qadr itu diulang-ulang sebanyak tiga kali. Maka sembilan darab tiga adalah 27. Maknanya Lailatul Qadar itu berlaku pada malam 27.


Sementara ulama lain seperti Ahmad Marzuk dan Ibnu Arabi berpendapat bahawa Lailatul Qadar itu berlaku pada malam Jumaat ganjil pada 10 malam terakhir Ramadan.


Namun dalil yang paling kuat mengenai Lailatul Qadar adalah hadis daripada Aishah yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari. “Carilah sedaya-upaya kamu Lailatul Qadar itu pada sepuluh malam ganjil pada akhir Ramadan.”


Perbezaan pendapat sahabat dan ulama ini sebenarnya adalah satu kenyataan bahawa tidak ada satu dalil jelas yang menunjukkan bila malam ini berlaku. Tetapi sahabat dan ulama bersepakat dengan hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Aishah tadi bahawa malam itu berlaku pada sepuluh malam ganjil akhir Ramadan.


Menurut Prof Wahbah al-Zuhayli, sebab dirahsiakan Lailatul Qadar supaya umat Islam sentiasa berusaha beribadah pada setiap malam Ramadan tanpa menumpukan pada satu malam saja. Ini kerana setiap malam pada Ramadan memiliki hikmah dan rahsia tersendiri.

~* Bukan sembarangan orang dapat kelebihan al-Qadar *~


Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi


UMAT Islam kini berada pada fasa ketiga Ramadan yang menjanjikan pembebasan daripada api neraka. Ini seperti dibahagikan Rasulullah pada 10 hari pertama sebagai bulan penuh kerahmatan dan 10 hari pertengahan Ramadan pula sebagai hari pengampunan segala dosa umat manusia. Lebih penting daripada itu, kemuncak keistimewaan 10 hari terakhir Ramadan ialah kemunculan malam penuh berkat yang lebih baik daripada seribu bulan. Malam al-Qadar dinanti-nantikan oleh setiap Muslim yang beriman dan bertakwa kepada Allah.


Rasulullah bersabda bermaksud:


“Sesungguhnya bulan ini (Ramadan) telah datang kepada kamu, dalamnya ada malam yang amalan ibadat yang dilakukan pada malam itu lebih baik dan besar ganjarannya daripada amalan selama seribu bulan. Sesiapa yang kehilangan malam itu, sesungguhnya dia telah kehilangan semua kebaikan. Dan tidak akan kehilangan semua perkara itu, kecuali orang yang telah diharamkan (tidak mendapat petunjuk) daripada Allah.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)


Dalam hadis lain, Rasulullah bersabda maksudnya:


“Sesiapa yang beribadah pada malam al-Qadar dengan penuh keimanan dan pengharapan kepada keredaan Ilahi, nescaya dia akan diampuni segala dosanya yang lampau.” (Hadis riwayat Muslim)


Ulama bersepakat bahawa malam al-Qadar berlaku pada Ramadan. Begitu juga mereka bersepakat malam itu berlaku pada 10 malam terakhir Ramadan. Mereka berselisih pendapat malam yang ke berapa. Pendapat masyhur menyatakan bahawa malam al-Qadar berlaku pada malam ke-27 Ramadan. Rasulullah pernah bersabda maksudnya:


“Barang siapa yang ingin mendapatkan al-Qadar, dia hendaklah mencari pada malam ke-27.” (Hadis riwayat Ahmad).


Ada juga riwayat lain yang mengatakan malam mulia itu berlaku pada malam ganjil 10 hari terakhir.


Apa pun harinya, yang penting pada malam itu, Allah menurunkan rahmat, limpahan kurnia dan keampunan kepada hamba-Nya yang melaksanakan ibadat puasa dengan penuh keimanan. Mereka yang selalu mengharapkan keredaan Ilahi dan menghiasi setiap detik kehidupannya dengan amalan soleh.


Kelebihan malam al-Qadar tidak akan dianugerahkan kepada sebarangan orang dan juga tidak pula diberikan kepada orang yang ibadahnya hanya pada malam tertentu pada Ramadan. Fadilat malam itu akan menyinari orang yang benar-benar ikhlas, khusyuk dan istiqamah dalam mempertahankan nilai keislaman dalam setiap tutur kata, peri laku, akhlak, ibadat dan kegiatan kehidupan sehariannya. Hadirnya malam penuh berkat itu akan dinantikan dan disambut dengan penuh keyakinan dan keimanannya, sekali gus melayakkan dirinya termasuk dalam kelompok orang yang dilimpahi kenikmatan syurga.


Kata Imam al-Qurtubi, Rasulullah diperlihatkan kepadanya usia umat terdahulu, maka Baginda berasa usia umatnya terlalu pendek hingga tidak mungkin dapat mencapai amal seperti yang diraih oleh umat terdahulu yang usianya panjang. Purata usia umat Muhammad antara 60 hingga 70 tahun menurut maksud satu hadis Rasulullah. Sebab itu Allah menawarkan malam al-Qadar yang mempunyai nilai pahala seribu bulan kepada Rasulullah dan umatnya.


Justeru, malam al-Qadar adalah satu kurniaan Ilahi yang dianugerahkan oleh Allah kepada Rasulullah dan umatnya sebagai tanda kasih sayang dan rahmat-Nya yang menyeluruh. Amal kebajikan seseorang hamba Allah pada malam itu adalah lebih baik daripada amal kebajikan selama seribu bulan atau 80 tahun lebih.


Kerana keutamaan ini, Rasulullah menganjurkan umatnya agar mencari dan seterusnya mendapatkan malam al-Qadar yang penuh keberkatan itu. Dalam hal ini, Rasulullah perlu dijadikan ikutan yang menampilkan teladan terpuji dalam menghidupkan malam terakhir Ramadan. Ini dilakukan dengan melaksanakan iktikaf, membangunkan keluarga agar lebih meningkatkan amalan ibadat pada malam hari dan tidak mendekati isterinya dengan tujuan memperbanyakkan amal ibadat di masjid seperti solat tahajud, Witir, solat Tarawih, membaca dan tadarus al-Quran serta berzikir kepada Allah dan amalan soleh lain yang dianjurkan Islam.


Rasulullah sentiasa memanjatkan doa ke hadrat Ilahi. Antara yang sering Baginda baca ialah doa maksudnya:


Wahai Tuhan kami! Anugerahkanlah kepada kami kebajikan di dunia dan juga kebajikan di akhirat serta peliharakanlah kami daripada seksaan api neraka yang pedih.


Doa yang dilafazkan itu bukan sekadar satu permohonan untuk memperoleh kebajikan dunia dan akhirat, malah untuk memantapkan langkah dan kesungguhan agar dapat meraih kebajikan yang dijanjikan Allah. Ini kerana doa itu sendiri membawa maksud satu permohonan yang penuh tulus dan pengharapan, di samping disusuli dengan usaha melipatgandakan amal ibadat yang mendekatkan diri kepada Allah.


Selain itu, setiap Muslim dianjurkan bertaubat dan memohon ampun kepada Allah daripada sebarang kesalahan dan dosa selama ini. Setiap manusia tidak terlepas daripada kealpaan dan seterusnya melakukan kesalahan yang dilarang Allah. Dalam hal ini, Rasulullah bersabda maksudnya:


“Setiap anak Adam tidak akan terlepas daripada melakukan dosa dan sebaik-baik orang daripada kalangan yang berdosa itu ialah yang bertaubat kepada Allah.” (Hadis riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah)


Justeru, wajar bagi setiap Muslim bermuhasabah terhadap segala amalan dan seterusnya bertaubat kepada Allah biarpun sekecil mana kesalahan itu.


Perlu diinsafi bahawa amalan bertaubat tidak boleh ditunda atau ditangguhkan kepada waktu yang lain kerana ajal maut akan datang menjemput manusia pada bila-bila masa. Lebih-lebih lagi Ramadan yang awalnya adalah rahmat, pertengahannya adalah pengampunan dan penghujungnya pula adalah bebas daripada api neraka. Maka peluang keemasan yang disediakan Allah sepanjang Ramadan wajar direbut agar tidak menyesal pada kemudian hari.

~* Kelebihan malam 10 akhir Ramadan *~

Antara kelebihan malam 10 terakhir Ramadan adalah;


  • Nabi Muhammad saw memperbanyakkan ibadat pada malam 10 terakhir Ramadan melebihi malam sebelumnya. Saidatina Aisyah berkata maksudnya;

  • “Rasulullah apabila masuk malam 10 terakhir Ramadan, Baginda menghidupkan malam (dengan ibadat), mengejutkan keluarganya (bangun beribadat), bersungguh-sungguh (dalam beribadat) dan uzlah (mengasingkan diri) daripada isteri-isterinya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)


  • Pada malam 10 terakhir ada satu malam yang dinamakan Lailatul Qadar (malam yang mempunyai berkat dan keistimewaan yang banyak). Pada malam inilah diturunkan al-Quran seperti firman Allah bermaksud:

  • “Sesungguhnya Kami menurunkannya (al-Quran) pada Lailatul Qadar” (Surah al-Qadar, ayat 1)


    Ibn Abbas berkata :


    “Allah menurunkan al-Quran sekali gus dari Al-Luh Al-Mahfur ke Bait al-E'zzah yang terletak di langit dunia. Kemudian ia diturunkan secara berperingkat-peringkat kepada Rasulullah selama 25 tahun."


  • Lailatul Qadar disifatkan lebih baik daripada 1,000 bulan. Perkara ini seperti firman Allah bermaksud : “Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan.” (Surah al-Qadar, ayat 3)

  • Malam ini juga disifatkan sebagai malam berkat, firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Kami turunkannya (al-Quran) pada malam yang diberkati.” (Surah al-Dukhan, ayat 3)

  • Pada malam ini juga turunnya malaikat. Malaikat turun bersama-sama berkat dan rahmat Allah yang dikhaskan untuk malam ini.
  • Ditetapkan umur, rezeki dan ajal manusia. Firman Allah bermaksud :

  • “Pada malam itu (Lailatul Qadar) dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah.” (Surah al-Dukhan, ayat 4)


    Maksud ‘urusan yang penuh hikmah’ adalah pada malam itu Allah menentukan umur, rezeki dan ajal manusia.


  • Allah mengampunkan hamba-Nya yang menghidupkan malam itu dengan penuh rasa keimanan dan pengharapan.

  • Bilakah Lailatul Qadar? Nabi Muhammad bersabda bermaksud:


    “Carilah Lailatul Qadar pada malam 10 terakhir Ramadan.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)


    Rasulullah bersabda lagi bermaksud:


    “Carilah Lailatul Qadar pada malam ganjil pada 10 malam terakhir.” (Hadis riwayat Bukhari)


    Imam Nawawi berpendapat bahawa memandangkan hadis yang menceritakan mengenai Lailatul Qadar berselisih pada waktunya, maka ini menunjukkan bahawa malam itu berpindah-pindah pada setiap tahun.


    Dalam sebuah hadis riwayat at-Tirmizi, Ahmad dan Ibn Majah bahawa Aisyah bertanya kepada Rasulullah: “Wahai Rasulullah, sekiranya aku berada pada Lailatul Qadar, apa yang aku perlu buat? Baginda menjawab: katakanlah (maksudnya) :


    “Ya Allah, sesungguhnya engkau Tuhan Yang Maha Mulia dan Maha Pengampun, maka ampunkan dosa-dosaku.”


  • Iktikaf pada malam 10 terakhir Ramadan yang mana fadilatnya lebih banyak daripada hari biasa. Maksud iktikaf di sini adalah mendampingi masjid untuk mentaati Allah.

  • Rasulullah tidak pernah sekali pun meninggalkan iktikaf pada 10 malam terakhir Ramadan hingga Baginda wafat. Isteri baginda.


    • Syarat sah iktikaf: Islam, berakal, tidak berjunub dan bersih daripada haid dan nifas bagi perempuan.
    • Niat: Iktikaf adalah ibadat yang tidak sah melainkan dengan niat.
    • Masjid: Iktikaf hendaklah dilakukan di masjid.
    • Waktu bermula iktikaf: Seseorang yang ingin beriktikaf hendaklah masuk ke dalam masjid sebelum terbenam matahari ke-20 Ramadan.
    • Waktu berakhir iktikaf: Berakhirnya iktikaf adalah selepas terbenamnya matahari pada hari terakhir Ramadan.

  • Perkara yang membatalkan iktikaf:

    • Keluar dari masjid tanpa hajat dengan sengaja.
    • Murtad.
    • Hilang akal kerana gila atau mabuk.
    • Datang haid atau nifas.
    • Jimak.
      Firman Allah bermaksud:

    “Dan jangan dekati (jimak) mereka (isteri kamu) dalam keadaan kamu beriktikaf dalam masjid.” (Surah al-Baqarah, ayat 187)


  • Perkara yang sunat dilakukan.

    • Memperbanyakkan ibadat sunat seperti solat, membaca al-Quran, tasbih, tahmid, takbir, istighfar, selawat dan doa.
    • Menghadiri majlis ilmu, mengulang kaji kitab hadis, tafsir, sirah nabi dan sebagainya.
    • Perkara yang harus dilakukan.
    • Keluar daripada masjid kerana hajat seperti keluar untuk mengucapkan selamat tinggal kepada saudara mara, menziaahi kematian atau orang sakit.
    • Begitu juga harus hukumnya mandi, memotong rambut, kuku, memakai pakaian yang bersih dan wangi-wangian.

    "Petikan Panduan Puasa Ramadan terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia."

    ~* Tiga amalan Nabi 10 malam terakhir *~

    DALAM satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah dikatakan bahawa:

    “Barang siapa yang mendirikan Lailatul Qadar dengan iman dan ketakwaan, maka Allah akan menghapuskan semua dosanya yang berlalu.”


    Mendirikan malam al-Qadar bermakna mengisi malam itu dengan pelbagai ibadat dan menjauhkannya daripada semua perbuatan maksiat hingga ia benar-benar menjadi malam yang penuh kebaikan dan keberkatan.


    Ada beberapa amalan yang dilakukan oleh Rasulullah saw dan sahabat pada malam-malam akhir Ramadan untuk mengisi Lailatul Qadar. Antaranya:


  • Mandi, berpakaian indah dan berharum-haruman
  • Diriwayatkan oleh Ibnu Abi `Asim bahawa Huzaifah pernah mengerjakan qiyam Ramadan bersama Rasulullah dan melihat bahawa Baginda mandi pada malam itu. Ibnu Jarir pula berkata bahawa sahabat menyukai mandi pada malam-malam akhir Ramadan.


    Demikian pula beberapa riwayat daripada sahabat seperti Anas bin Malik dan ulama pada masa Tabi'in menyatakan bahawa mereka akan mandi, memakai baju indah dan berharum-haruman apabila berada pada akhir Ramadan.


    Apa yang dilakukan oleh Rasulullah, sahabat dan Tabi'in ini adalah satu upaya untuk menyambut dan meraikan kedatangan Lailatul Qadar, sambil berdoa mendapatkan keampunan dan keberkatan malam itu.


  • Melaksanakan solat sunat, iktikaf dan membaca al-Quran.
  • Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan satu hadis daripada Aishah, bermaksud:


    “Adalah Rasulullah apabila telah masuk 10 akhir daripada Ramadan, maka Baginda akan menghidupkan malam-malamnya, membangunkan keluarganya dan mengikat pinggangnya.”


    Sahabat dan ulama berbeza pendapat dalam memberi penafsiran terhadap hadis di atas. Tetapi, mereka bersepakat bahawa Rasulullah melebihkan ibadatnya pada 10 malam yang terakhir Ramadan.


    Ibadat yang biasa dilakukan pada malam Ramadan adalah solat Tarawih dan Witir serta membaca al-Quran. Dalam salah satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dari Amru bin `Ash bermaksud:


    “Barang siapa yang solat pada malam Ramadan dan membaca 10 ayat daripada al-Quran maka dia tidaklah dicatat sebagai orang yang lalai.”


    Mengerjakan solat dan membaca al-Quran pada pada malam yang akhir ini sangat penting hingga dalam salah satu riwayat dikatakan bahawa Rasulullah melakukan solat pada malam Ramadan dan membaca al-Quran dengan tertib.


    Baginda tidak akan melalui ayat rahmat terkecuali berharap agar Allah memberikan rahmat itu dan tidak melalui ayat azab terkecuali bermohon perlindungan daripada Allah daripada azab itu.


    Solat berjemaah juga sangat diutamakan pada malam akhir Ramadan hingga Imam Malik dan Imam Syafie berkata:


    “Siapa yang solat Isyak dan Subuh berjemaah pada malam al-Qadar, dia telah mengambil bahagiannya daripada malam itu.”


    Ertinya orang yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh saja dianggap telah mendapat sebahagian daripada Lailatul Qadar, apa lagi mereka mengisinya dengan amalan lain sepanjang malam itu.


    Selain solat dan membaca al-Quran, 10 akhir Ramadan ini biasanya diisi oleh Rasul dengan beriktikaf di masjid dan tidak tidur bersama isteri-isterinya. Ini berdasarkan hadis Aishah yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, bermaksud:


    ”Bahawa Rasulullah beriktikaf pada 10 hari akhir sampai Baginda wafat.”


  • Memperbanyak doa.
  • Rasulullah bersabda doa adalah otak segala ibadat. Doa juga kunci daripada semua ibadat. Aishah diperintahkan oleh Rasulullah untuk memperbanyak doa pada 10 malam terakhir Ramadan.


    Dalam satu hadis daripada Aishah diriwayatkan at-Tirmizi, Aishah diajar oleh Rasulullah membaca doa pada malam al-Qadar.


    Ulama bersepakat bahawa doa yang paling utama pada malam al-Qadar adalah doa yang meminta keampunan dan kemaafan daripada Allah. Perkara ini seperti doa yang diajarkan Rasulullah kepada Aishah. Doanya berbunyi:


    Allahumma innaka afuwun tuhibbul afwa fa' fu anni (maksudnya, Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Maha Pengampun, yang suka Maha Mengampun, maka ampunilah aku ini).”


    Pada malam itu Allah akan mengabulkan semua permohonan dan doa, terkecuali terhadap empat golongan manusia. Ibnu Abbas berkata:


    “Semua doa pada malam itu diterima terkecuali doa orang meminum arak, anak yang derhaka kepada ibu bapa, orang yang selalu bertengkar dan mereka yang memutuskan silaturahim.”

    ~* Amalan Dalam Bulan Ramadan *~

    PAGI:
    1. Solat sunat Subuh dan fardu Subuh, kemudian wirid biasa serta doa sesudahnyaZikir
      • La Ilahaillahllah (sebanyak-banyaknya) Allahu Akbar - Seratus kali sebelum naik matahari (tiada Tuhan melainkan Allah)
      • Tiada Tuhan melainkan Allah, Muhammad itu Rasullullah, pada setiap saat dan nafas sebanyak bilangan luasnya ilmu Allah)
      • Tiada Tuhan melainkan Allah yang berkuasa memerintah yang sebenarnya lagi nyata)
    2. TASBIH: (100 kali dikurniakan sepuluh ribu kebajika, dihapuskan sepuluh ribu kejahatan, diangkat sepuluh ribu darjat) (Maha suci Allah dan segala pujian bagi Allah, tiada Tuhan melainkan Allah , Allah Maha Besar, tiada suatu daya dan kekuatan melainkan dengan Allah yang maha tinggi lagi maha agung)
    3. SELAWAT : Sekurang-kurangnya 10 atau 100 kali
    4. SOLAT SUNAT
      • Solat sunat Isyraq
      • Solat sunat Dhuha
      • Solat sunat Tasbih
      • Membaca al-Quran
      • Membaca doa taubat `Akasyah (memohon keampunan taubat dosa-dosa besar)

    TENGAH HARI:
    Solat sunat Zuhur - Fardhu Zuhur - Sunat Zuhur serta doa

    ISTIGHFAR


    1. (70 kali/100 kali) (Aku memohon keampunan Allah dan aku bertaubat kepadNya)
    2. (70/100 kali: Pohon keampunan ibu bapa) (yang bermaksud: Tuhanku,ampunilah bagiku bagi dua ibubapaku dan rahmatilah keduanya sebagaimana mereka telah mendidik aku ketika kecil.
    3. (25 kali:wasiat Nabi kepada Saiyidina Ali supaya dikasihi Allah (Aku memohon keampunan kepada Allah yang maha agung bagiku dan bagi dua ibu bapaku dan bagi sekalian muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat (lelaki dan perempuan) hidup dan mati)

    PETANG:
    1. Solat Sunat Asar - Fardhu Asar - wirid/doa
    2. Zikir (sebanyak yang boleh) Tiada Tuhan melainkan Allah
    3. Tasbih yang bermasksud:
      • Maha Suci Allah yang maha Tinggi
      • (100 kali) dikasihi Tuhan dan berat timbangannya di akhirat. (Maha suci Allah yang maha agung)
    4. Bertakbir (100 kali) amanah Nabi kepada Sayidina Ali sesudah senbahyang asar sebelum tenggelam matahari - setiap hari
    5. Selawat: (10/100 kali)


    MAGHRIB:
    • berbuka puasa - solat Maghrib dan sunat Maghrib
    • solat sunat Awwabin
    • membaca (50 atau 100 kali) menjadi pengadang dunia dan akhirat. (tiada suatu kekuatan melainkan dengan Allah yang maha agung)

    ISYAK:


    • Solat sunat Isyak, fardu Isyak, sunat Isyak
    • Solat sunat Terawih, sunat witir
    • Membaca al-Quran


    TENGAH MALAM:
    Jam 12 malam atau 3.00 pagi hingga fajar Subuh
    • Solat sunat wuduk
    • Solat sunat Tahajud (dua atau empat atau enam atau lapan atau 12 rakaat) dan berdoa
    • Solat sunat Hajat (memohon sesuatu hajat dan berdoa)
    • Berzikir (di dalam hati nurani/ingatan sebanyak-banyaknya).
    • Tasbih Istighfar (100 kali/70 kali). (Maha Suci Allah dan dengan segela kepujianNya maka suci Allah yang Maha Agung, akU mohon keampunan kepada Allah Yang Maha Agung dan aku bertaubat kepadaNya).
    • Membaca tasbih dan zikir majmuk (sebanyak 100 kali). (Maha suci Allah dan segala kepujian bagi Allah, tiada Tuhan melainkan Allah, Allah Maha Agung, tiada suatu daya dan kekuatan melainkan dengan Allah). Setelah masuk waktu Subuh dan setelah azan Subuh, solat sunat Subuh/fajar dua rakaat, sebelum solat Subuh (antara azan dan solat fardu Subuh). Bacalah istighfar tabih 100 kali dan kemudian berdoa, kerana ini termasuk waktu mustajab doa - antara azan Subuh dengan solat Subuh, iaitu bermaksud: bertasbih dan mohon keampunan (jika sempat waktunya). (Maha suci Allah dengan segala kepujiannya, maha suci Allah yang maha agung aku memohon keampunan kepada Allah yang maha Agung dan aku bertaubah kepada-Nya)

    BERSEDEKAH:
    Bersedekah setiap hari pada bulan Ramadan tinggi pahalanya kerana kelebihan dan kemuliaan bulan Ramadan.


    Bersedekah pada bulan Ramadan menutup kesalahan puasa, diampunkan dosa , berlipat ganda pahalanya.


    Dicurahkan rahmat Allah, dijauhkan dari azab neraka, didekatkan ke syurga, terjauh dari bala

    ~* Panduan Mengqadha puasa Ramadan dan pelaksanaan puasa sunnah enam hari bulan Syawal *~


    1. Diriwayatkan dari Aisyah (R.A.), ia berkata: Adalah seorang di antara kami tidak puasa pada bulan Ramadan pada zaman Rasulullah (S.A.W.). maka ia tidak sanggup mengqadhanya (membayar puasa yang ditinggalkan) sehingga datang bulan Syaban (yakni pada bulan Syaban baru bisa membayar puasanya). (H.R.: Muslim)

    2. Diriwayatkan dari Aisyah (R.A.) ia berkata: Saya mempunyai hutang puasa bulan Ramadan, saya tidak mampu membayarnya sampai datang bulan Syaban. (H.R. Bukhary)

    3. Diriwayatkan dari Abu Ayyub al-Anshariy (R.A.): Sesungguhnya Rasulullah (S.A.W.). bersabda: Barang siapa yang puasa pada bulan Ramadan, kemudian diikuti puasa enam hari pada bulan Syawal adalah seperti puasa setahun penuh. ( H.R.: Muslim)

    KESIMPULAN

    Hadits-hadits di atas memberi pelajaran kepada kita bahawa :


  • Barangsiapa yang mempunyai hutang puasa bulan Ramadan, hendaklah segera diqadha (di bayar) secepat mungkin jangan di tunda-tunda kecuali karena ada uzur dan terpaksa di tunda meskipun sampai bulan sya'ban. (Dalil : 2)


  • Disunnahkan puasa enam hari pada bulan Syawal dengan syarat puasa Ramadannya sudah lengkap, tidak ada hutang.


  • Pengamalan puasa enam hari pada bulan Syawal ini dapat dikerjakan secara berurutan ( enam hari berturut-turut) atau berselang-seling (tidak berurutan). Yang penting pelaksanaanya adalah selama bulan Syawal.
  • ~* Panduan Solat Aidilfitri dan Aidiladha *~

    1. Diriwayatkan dari Abu Said, ia berkata : Adalah Nabi (S.A.W.). pada hari raya Aidilfitri dan Aidiladha keluar ke mushalla ( padang untuk solat ), maka pertama yang beliau kerjakan adalah solat, kemudian setelah selesai beliau berdiri menghadap kepada manusia sedang manusia masih duduk tertib pada Saf mereka, lalu beliau memberi nasihat dan wasiat (khutbah ) apabila beliau hendak mengutus tentera atau ingin memerintahkan sesuatu yang telah beliau putuskan, beliau perintahkan setelah selesai beliau pergi. (H.R. : Al-Bukhary dan Muslim )


    2. Telah berkata Jaabir (R.A.): Saya menyaksikan solat 'ied bersama Nabi (S.A.W.). Beliau memulai solat sebelum khutbah tanpa azan dan tanpa iqamah, setelah selesai beliau berdiri bertekan atas Bilal, lalu memerintahkan manusia supaya bertaqwa kepada Allah, mendorong mereka untuk taat, menasihati manusia dan memperingatkan mereka, setelah selesai beliau turun mendatangi saf wanita dan selanjutnya beliau memperingatkan mereka. (H.R : Muslim )


    3. Diriwayatkan dari Ibnu Umar (R.A.). ia berkata : Umar mendapati pakaian tebal dari sutera yang dijual, lalu beliau mengambilnya dan membawa kepada Rasulullah (S.A.W.). lalu berkata : Ya Rasulullah belilah pakaian ini dan berhiaslah dengannya untuk hari raya dan untuk menerima utusan. Maka beliaupun menjawab : Sesungguhnya pakaian ini adalah bagian orang-orang yang tidak punya bagian di akhirat (yakni orang kafir). ( H.R Bukhary dan Muslim )


    4. Diriwayatkan dari Ummu 'Atiyah (R.A.). ia berkata : Rasulullah (S.A.W.). memerintahkan kami keluar pada Aidilfitri dan Aidiladha semua gadis-gadis, wanita-wanita yang haid, wanita-wanita yang tinggal dalam kamarnya. Adapun wanita yang sedang haid mengasingkan diri dari mushalla (tempat solat 'ied ), mereka meyaksikan kebaikan dan mendengarkan dakwah kaum muslimin (mendengarkan khutbah ). Saya berkata : Yaa Rasulullah bagaimana dengan kami yang tidak mempunyai jilbab? Beliau bersabda: Supaya saudaaranya meminjamkan kepadanya dari jilbabnya. (H.R : Jama'ah)


    5. Diriwayatkan dari Anas bin Malik (R.A.). ia berkata : Adalah Nabi (S.A.W.). Tidak berangkat menuju mushalla kecuali beliau memakan beberapa biji kurma, dan beliau memakannya dalam jumlah bilangan ganjil. (H.R. : Al-Bukhary dan Muslim )


    6. Diriwayatkan dari Burayaidah (R.A.). ia berkata : Adalah Nabi (S.A.W.) keluar untuk solat Aidilfitri sehingga makan terlebih dahulu dan tidak makan pada solat Aidiladha sehingga beliau kembali dari solat 'ied. ( H.R : Ibnu Majah, At-Tirmidzi dan Ahmad)


    7. Diriwayatkan dari Ibnu Abbas (R.A.). ia berkata : Bahwasanya Nabi (S.A.W.). keluar untuk solat Aidilfitri dua raka'at, tidak solat sunah sebelumnya dan tidak pula sesudahnya. (H.R : Bukhary dan Muslim )


    8. Diriwayatkan dari Jaabir (R.A.). ia berkata : Adalah Nabi (S.A.W.) apabila keluar untuk solat 'ied ke mushalla, beliau menyelisihkan jalan (yakni waktu berangkat melalui satu jalan dan waktu kembali melalui jalan yang lain ). (H.R : Bukhary )


    9. Diriwayatkan dari Yazid bin Khumair Arrahbiyyi (R.A.). ia berkata : Sesungguhnya Abdullah bin Busri seorang sahabat nabi (S.A.W.). keluar bersama manusia untuk solat Aidilfitri atau Aidiladha, maka beliau mengingkari keterlambatan imam, lalu berkata : Sesungguhnya kami dahulu (pada zaman Nabi S.A.W.) pada jam-jam seperti ini sudah selesai mengerjakan solat 'ied. Pada waktu ia berkata demikian adalah pada solat Dhuha. (H.R. : Abu Daud dan Ibnu Majah)


    10. Diriwayatkan dari Abi Umair bin Anas, diriwayatkan dari seora)ng pamannya dari golongan Anshar, ia berkata: Mereka berkata: Karena tertutup awan maka tidak terlihat oleh kami hilal Syawal, maka pada pagi harinya kami masih tetap puasa, kemudian datanglah satu kafilah berkendaraan di akhir siang, mereka bersaksi di hadapan asulullah (S.A.W.).bahawa mereka kelmarin melihat hilal. Maka Rasulullah (S.A.W.). memerintahkan semua manusia ( ummat Islam ) agar berbuka pada hari itu dan keluar menunaikan solat 'ied pada hari esoknya. (H.R. : Lima kecuali At-Tirmidzi)


    11. Diriwayatkan dari Azzuhri, ia berkata : Adalah manusia (para) sahabat) bertakbir pada hari raya ketika mereka keluar dari rumah-rumah mereka menuju tempat solat 'ied sampai mereka tiba di mushalla ( tempat solat 'ied ) dan terus bertakbir sampai imam datang, apabila imam telah datang, mereka diam dan apabila imam bertakbir maka merekapun ikut bertakbir. (H.R.: Ibnu Abi Syaibah)


    12. Diriwayatkan bahawa Ibnu Mas'ud (R.A.): Bertakbir pada hari-hari tasyriq dengan lafadz sbb: (artinya): Allah maha besar, Allah maha besar, tidak ada Illah melainkan Allah dan Allah maha besar, Allah maha besar dan bagiNya segala puji. (H.R. Ibnu Abi Syaibah dengan sanad shahih )


    13. Diriwayatkan dari Amru bin Syu'aib, dari ayahnya, dari neneknya, ia berkata : Sesungguhnya Nabi (S.A.W.). bertakbir pada solat 'ied dua belas kali takbir. dalam raka'at pertama tujuh kali takbir dan pada raka'at yang kedua lima kali takbir dan tidak solat sunnah sebelumnya dan juga sesudahnya. (H.R. : Amad dan Ibnu Majah )


    14. Diriwayatkan dari Samuroh, ia berkata: Adalah Nabi (S.A.W.). dalam solat kedua hari raya beliau membaca: Sabihisma rabbikal A'la dan hal ataka haditsul ghosiah. (H.R. : Ahmad )


    15. Diriwayatkan dari Abu Waqid Allaitsi, ia berkata : Umar bin Khaththab telah menanyakan kepadaku tentang apa yang dibaca oleh Nabi (S.A.W.). Waktu solat 'ied . Aku menjawab : beliau membaca surah (qtarabatissa'ah ) dan ( Qaaf walqur'anul majid). (H.R. : Muslim )


    16. Diriwayatkan dari Zaid bin Arqom (R.A.). ia berkata : Nabi (S.A.W.). Mendirikan solat 'ied, kemudian beliau memberikan ruhkshah / kemudahan dalam menunaikan solat Jumaat, kemudian beliau bersabda : Barang siapa yang mahu solat Jumaat, maka kerjakanlah. (H.R. : Imam yang lima kecuali At-Tirmidzi)


    17. Diriwayatkan dari Abu Hurairah (R.A.). bahwasanya Nabi (S.A.W.). bersabda: Pada hari kamu ini, telah berkumpul dua hari raya (hari Jumaat dan hari raya), maka barang siapa yang suka solat Jum'at, maka solatnya diberi pahala sedang kami akan melaksanakan solat Jum'at. (H.R: Abu Daud )

    KESIMPULAN

    Hadits-hadits tersebut memberi pelajaran kepada kita tentang adab-adab solat hari raya sbb : Pakaian pada saat mendirikan solat kedua hari raya disunnahkan memakai pakaian yang paling bagus. (Dalil: 3 )


  • Makan

  • a. Sebelum berangkat solat Aidilfitri disunnahkan makan terlebih dahulu, jika terdapat beberapa butir kurma, jika tidak ada maka makanan apa saja.


    b. Sebaliknya pada Aidiladha, disunahkan tidak makan terlebih dahulu sampai selesai solat Aidiladha. (Dalil: 5 dan 6 )


  • Mendengungkan takbir

  • a. Pada hari raya Aidilfitri, takbir didengungkan sejak keluar dari rumah menuju ke tempat solat dan sesampainya di tempat solat terus dilanjutkan takbir didengungkan sampai solat dimulai. (Dalil : 11 )


    b. Pada hari raya Aidiladha, takbir boleh didengungkan sejak Shubuh hari Arafah (9 Dzul Hijjah ) hingga akhir hari tasyriq ( 13 Dzulhijjah ). (Dalil: 12)


    Jalan yang dilalui Disunnahkan membedakan jalan yang dilalui waktu berangkat solat hari raya dengan jalan yang dilalui di waktu pulang dari solat 'ied ( yakni waktu berangkat melalui satu jalan, sedang waktu pulang melalui jalan yang lain ). (Dalil: 8 )


    Bila terlambat mengetahui tibanya hari raya Apabila datangnya berita tibanya hari raya sudah tengah hari atau petang hari, maka hari itu diwajibkan berbuka sedang pelaksanaan solat hari raya dilakukan pada hari esoknya. (Dalil : 10 )


  • Yang menghadiri solat 'ied

  • Solat 'ied disunnahkan untuk dihadiri oleh orang dewasa, baik lelaki maupun wanita, baik wanita yang suci dari haid maupun wanita yang sedang haid dan juga kanak-kanak baik laki-laki maupun wanita. Wanita yang sedang haid tidak ikut solat, tetapi hadir untuk mendengarkan khutbah 'ied. (Dalil: 4 )


  • Tempat solat 'ied

  • Solat 'ied lebih afdhal (utama) diadakan di mushalla iaitu suatu padang yang di sediakan untuk solat 'ied, kecuali ada uzur hujan maka solat diadakan di masjid. Mengadakan solat 'ied di masjid pada hal tidak ada hujan sementara lapangan (padang ) tersedia, maka ini kurang afdhal karena menyelisihi amalan Rasulullah (S.A.W.). yang selalu mengadakan solat 'ied di mushalla (padang tempat solat ), kecuali sekali dua kali beliau mengadakan di masjid karena hujan. (Dalil: 1 dan 8 )


  • Cara solat 'ied

  • a. solat 'ied dua rakaat, tanpa azan dan iqamah dan tanpa solat sunnah sebelumnya dan sesudahnya. (Dalil: 1,2 dan 7 )


    b. Pada rakaat pertama setelah takbiratul ihraam sebelum membaca Al-Fatihah, ditambah 7 kali takbir. Sedang pada raka'at yang kedua sebelum membaca Al-Fatihah dengan takbir lima kali. (Dalil: 13 )


    c. Setelah membaca Fatihah pada rakaat pertama di sunnahkan membaca surah (sabihisma rabbikal a'la/surat ke 87 ) atau surat iqtarabatissa'ah / surat ke 54 ). Dan setelah membaca Al-Fatihah pada raka'at yang kedua disunnahkan membaca surat (Hal Ataka Haditsul Ghaasyiyah/surat ke 88 ) atau membaca surat (Qaaf walqur'anul majid/surat ke 50 ).(Dalil : 15)


    d. Setelah selesai solat, imam berdiri menghadap makmum dan berkhutbah memberi nasihat-nasihat dan wasiat-wasiat, atau perintah-perintah penting.


    e. Khutbah hari raya ini boleh diadakan khusus untuk laki-laki kemudian khusus untuk wanita.


    f. Khutbah hari raya ini tidak diselingi duduk. (Dalil: 1 dan 2 )


  • Waktu solat

  • Solat 'ied diadakan setelah matahari naik, tetapi sebelum masuk waktu solat Dhuha. (Dalil: 9 )


    Hari raya jatuh pada hari Jum'at. Bila hari raya jatuh pada hari Jum'at, maka solat Jum'at menjadi sunnah, boleh diadakan dan boleh tidak, tetapi untuk pemuka umat atau imam masjid jami' sebaiknya tetap mengadakan solat Jum'at. (dalil: 16 dan 17 )

    ~* Lailatul Qadar tanda manusia dikasihi Allah *~


    SALAH satu keagungan, keistimewaan dan kemuliaan Ramadan ialah satu malam penuh berkat yang lebih baik daripada seribu bulan.

    Malam yang hanya muncul pada 10 hari terakhir Ramadan itu lebih dikenali sebagai Lailatul Qadar.

    Rasulullah (SAW) sendiri memohon kepada Allah agar malam bersejarah yang penuh hikmah itu menemuinya.

    Dalam hal ini, Rasulullah (SAW) pernah bersabda bermaksud:

    "Sesungguhnya bulan ini (Ramadan) datang kepada kamu, dalamnya ada malam di mana amalan ibadat yang dilakukan pada malam itu lebih baik dan lebih besar ganjarannya daripada amalan selama seribu bulan. Sesiapa yang kehilangan malam itu, sesungguhnya dia kehilangan semua kebaikan. Dan tidak akan kehilangan semua perkara itu, kecuali orang yang diharamkan (tidak mendapat petunjuk) daripada Allah." (Hadis riwayat Ibnu Majah)


    Dalam satu hadis lain, Rasulullah (SAW) bersabda maksudnya:

    "Sesiapa yang beribadah pada Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan pengharapan kepada keredaan Ilahi, nescaya dia akan diampuni segala dosanya yang lampau." (Hadis riwayat Muslim)


    Keistimewaan Lailatul Qadar diserikan lagi penurunan wahyu al-Quran untuk pertama kalinya kepada Rasulullah sewaktu baginda berada di Gua Hira. Selepas itu al-Quran mula diturunkan secara berperingkat-peringkat dan beransur-ansur selama lebih kurang 23 tahun iaitu 13 tahun di Makkah dan 10 tahun lagi di Madinah al-Munawwarah. Peristiwa bersejarah penurunan al-Quran diabadikan Allah dalam helaian al-Quran.

    Antaranya firman Allah bermaksud:

    "Sesungguhnya Kami menurunkan (al-Quran) ini pada Lailatul Qadar. Dan apa jalannya kamu dapat mengetahui apa dia kebesaran Lailatul Qadar? Lailatul Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun berikut). Sejahteralah malam (yang berkat itu) hingga terbit fajar." (Surah al-Qadr, ayat 1-5).


    Jelas daripada mafhum ayat suci di atas bahawa Lailatul Qadar akan muncul pada setiap Ramadan sebagai anugerah Ilahi dan rahmat Allah yang hanya dikhususkan kepada umat Nabi Muhammad.

    Malam yang penuh bersejarah itu dinilai sebagai malam yang lebih baik dan lebih banyak ganjarannya daripada seribu bulan .

    Ulama bersepakat bahawa Lailatul Qadar berlaku pada Ramadan.

    Begitu juga mereka bersepakat malam itu berlaku pada 10 malam terakhir Ramadan.

    Namun mereka berselisih pendapat mengenai malam ke berapa daripada 10 malam terakhir itu. Pendapat yang masyhur menyatakan bahawa Lailatul Qadar berlaku pada malam ke-27 Ramadan. Sehubungan itu, Rasulullah pernah bersabda yang maksudnya:

    "Barang siapa yang ingin mendapatkan Lailatul Qadar, dia hendaklah mencari pada malam ke-27." (Hadis riwayat Ahmad)


    Ada juga riwayat lain yang mengatakan malam mulia itu berlaku pada malam-malam ganjil 10 hari terakhir.

    Walau apapun harinya, yang pentingnya pada malam itu Allah menurunkan rahmat, limpahan kurnia dan keampunan-Nya kepada hamba-Nya yang melaksanakan ibadat puasa dengan penuh keimanan.

    Kelebihan Lailatul Qadar tentu tidak akan dianugerahkan kepada sebarangan orang dan tidak pula diberikan kepada orang yang ibadahnya hanya pada malam tertentu saja dalam Ramadan.

    Akan tetapi fadilat malam mulia itu akan menyinari orang yang benar-benar ikhlas, khusyuk dan istiqamah dalam mempertahankan nilai keIslaman dalam setiap tutur kata, peri laku, akhlak, ibadat dan kegiatan sehariannya.

    Hadirnya malam penuh berkat itu akan dinantikan dan disambut dengan penuh keyakinan dan keimanannya, sekali gus melayakkan dirinya termasuk dalam kelompok orang yang dilimpahi kenikmatan syurga dan kebahagiaan abadi.

    Menurut sejarah Islam, Lailatul Qadar pertama kali menemui Rasulullah (SAW) ketika baginda sedang khusyuk menyendiri di Gua Hira, bermuhasabah dan merenung diri sendiri dan masyarakat sekeliling. Tidak berapa lama kemudiannya, datang al-Ruh al-Amin iaitu malaikat Jibril membawa bersama wahyu Ilahi untuk membimbing baginda sehingga berlakulah perubahan secara menyeluruh dalam setiap detik dan perjalanan hidupnya.

    Ia juga membawa perubahan kepada detik dan perjalanan hidup umat manusia sejagat.

    Selanjutnya, Lailatul Qadar adalah satu kurniaan Ilahi yang dianugerahkan oleh Allah kepada Rasulullah (SAW) dan umatnya sebagai tanda kasih sayang-Nya dan rahmat-Nya yang menyeluruh.

    Justeru, amal kebajikan seseorang hamba Allah pada malam itu adalah lebih baik daripada amal kebajikan yang dilakukan selama seribu bulan. Lebih-lebih lagi, apabila dibanding dengan umur nabi dan umat terdahulu.

    Usia baginda dan umatnya adalah pendek.

    Contohnya, Nabi Nuh dikurniakan Allah umur selama 950 tahun. Maka, Lailatul Qadar adalah kurniaan sangat besar nilainya bagi umat Nabi Muhammad saw. Ini kerana lamanya waktu seribu bulan apabila dihitung dalam kiraan tahun ialah selama 80 tahun lebih. Tambahan pula, angka itu jauh lebih banyak berbanding dengan umur umat Nabi Muhammad saw yang rata-ratanya dalam sekitar 60 tahun saja.

    Kerana keutamaan inilah, Rasulullah (SAW) amat menganjurkan umatnya agar mencari dan seterusnya mendapatkan Lailatul Qadar yang penuh keberkatan.

    Dalam hal ini, memadailah Rasulullah (SAW) sebagai model yang menampilkan teladan terpuji untuk diikuti oleh umat Islam seluruhnya dalam menghidupkan malam-malam terakhir Ramadan. Ini dilakukan dengan melaksanakan iktikaf dan membangunkan keluarganya agar lebih meningkatkan amalan ibadat pada malam hari.

    Rasulullah (SAW) juga tidak mendekati isteri-isterinya dengan tujuan memperbanyakkan amal ibadat dalam masjid seperti solat Tahajud, solat Witir, solat Tarawih, berzikir kepada Allah serta membaca dan tadarus al-Quran.

    Baginda juga sentiasa memanjatkan doa ke hadrat Ilahi. Antara doa yang sering baginda baca ialah doa bermaksud:

    "Wahai Tuhan kami! Anugerahkanlah kepada kami kebajikan di dunia dan juga kebajikan di akhirat serta peliharakanlah kami daripada seksaan api neraka yang pedih."


    Doa yang dilafazkan itu bukan sekadar satu permohonan untuk memperoleh kebajikan dunia dan kebajikan akhirat saja, malah untuk memantapkan lagi langkah dan kesungguhan agar dapat meraih kebajikan yang dijanjikan Allah. Ini kerana doa itu sendiri membawa maksud satu permohonan yang penuh tulus dan pengharapan, di samping disusuli dengan usaha melipatgandakan amal ibadat yang mendekatkan diri kepada Allah.

    Selain itu, setiap Muslim dianjurkan agar bertaubat dan memohon ampun kepada Allah daripada sebarang kesalahan dan dosa.

    Tambahan pula, setiap manusia pada dasarnya tidak akan terlepas daripada kealpaan dan seterusnya melakukan kesalahan yang dilarang Allah.

    - Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

    ~* Amalan Pada Malam Lailatul Qadar *~

    Amalan-amalan yang diamalkan pada malamnya:
    ~ Mulai jam 12.00 tengah malam ~

  • 1. Sembahyang sunat wudhuk.


  • 2. Sembahyang sunat hajat berdoa minta dipertemukan Allah dengan malam Lailatul Qadar.


  • 3. Membaca al-Quran.


  • 4. Istighfar:



  • 5. Zikrullah:





  • 6. Bertasbih:







  • 7. Selawat:



  • 8. Sembahyang sunat tahajjud.


  • 9. Sembahyang sunat tasbih.


  • Orang yang bertemu dengan Lailatul Qadar akan terus dingin badannya kerana dihampiri oleh para malaikat (sebentar sahaja). Hendaklah segera kita membaca:


    Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud: "Barangsiapa beribadat sesaat pada malam Qadar, kira-kira selama seorang penggembala memerah susu kambingnya, maka adalah lebih disukai Allah daripada berpuasa setahun penuh. Demi Allah yang telah mengutus daku dengan hak menjadi nabi, sesungguhnya membaca satu ayat dari al-Quran pada malam Qadar adalah lebih disukai Allah daripada mengkhatamkannya pada malam-malam yang lain."


    Dari Aisyah r.a bahawa dia mengatakan, aku bertanya: "Ya Rasulullah, kalau aku bertepatan dengan malam Qadar, maka apakah yang patut aku baca? Jawab Rasulullah s.a.w.: Ucapkanlah:


    Ertinya:
    "Ya Allah, sesungguhnya Engkau adalah Tuhan Yang Maha Pemaaf lagi Pemurah, yang suka memberi kemaafan, maka maafkanlah aku."

    ~* Ganjaran rezeki untuk insan sentiasa bersyukur *~

    Oleh Lokman Ismail


    SESIAPA yang sentiasa bersyukur bermakna dirinya mengingati Allah. Rasa bersyukur terhadap Maha Pencipta yang memberikan segala kehidupan ini dan rasakan diri sentiasa hampir kepada Allah. Justeru, Allah membalasnya dengan Dia mengingati dan melimpahkan nikmat yang lebih baik.


    Allah berfirman bermaksud:


    “Maka ingatlah Aku nescaya Aku akan mengingatimu dan syukurilah atas nikmat-Ku dan janganlah sekali-kali kamu kufuri nikmat-Ku.” (Surah al-Baqarah, ayat 152).


    Sesungguhnya Allah memberi rezeki kepada seluruh manusia, tanpa mengira orang beriman atau tidak beriman.


    Orang yang ingkar akan menanggung kerugian di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat. Kehidupan orang yang tidak bersyukur sentiasa tertekan dan gagal memanfaatkan apa yang dimilikinya.


    Walaupun mendapat banyak kemewahan dan kesenangan, jiwa orang tidak bersyukur sentiasa berasa masih tidak mencukupi. Semakin banyak yang dikejar, semakin dirasakan bebanan perasaan dan bertambah kekufurannya.


    Allah berjanji menambah nikmatnya kepada sesiapa yang sentiasa bersyukur. Betapa beruntungnya orang yang bersyukur, mendapat nikmat di dunia dan pembalasan syurga di akhirat.


    Firman-Nya bermaksud:


    “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” (Surah Ibrahim, ayat 7).


    Kita disuruh bersyukur bukan saja apabila mendapat kemewahan atau apa yang dihajati tercapai. Sebaliknya, rasa bersyukur juga di atas ciptaan Allah yang menjadikan dunia ini untuk kemudahan manusia serta seluruh kehidupan lain di dunia ini.


    Diriwayatkan oleh Muslim bahawa Rasulullah SAW pernah mengerjakan sembahyang yang sepanjangnya Baginda menangis sehingga bercucuran air mata. Hal itu berlaku apabila Baginda menerima wahyu yang menjelaskan mengenai kejadian alam ini yang dibentang luas untuk kemudahan dan kenikmatan hidup manusia.


    Melihat keadaan Rasulullah SAW menangis itu, Aisyah bertanya: “Wahai Rasulullah! Apakah yang menyebabkan engkau menangis? Padahal Allah telah mengampunkan apa-apa yang terdahulu daripada dosa engkau dan juga yang terkemudian.”


    Lalu Rasulullah SAW menjawab:


    “Adakah aku ini bukan seorang hamba yang bersyukur? Mengapakah aku tidak berbuat demikian, sedangkan Allah telah menurunkan (ayat) kepadaku.”


    Ayat yang dimaksudkan Rasulullah SAW itu ialah ayat 164, surah al-Baqarah bermaksud:


    “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang dan (pada) kapal-kapal berlayar di lautan dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia.”


    Bahawasanya Rasulullah SAW merasakan betapa besarnya anugerah Allah kepada seluruh makhluk di muka bumi ini. Orang beriman melihat seluruh kejadian alam dari kaca mata keimanan dan ketakwaan, yang diiringi dengan rasa kesyukuran, keinsafan dan keteguhan iman.

    ~* Sifat syukur tanda orang beriman *~


    ALLAH melimpahkan rahmat-Nya kepada manusia sepanjang masa, tanpa sedetik pun terlepas dinikmati manusia. Jika tanpa rahmat Allah sedetik, pasti musnah seluruh alam ini, termasuk manusia dan segala kemegahan yang dikagumi selama ini.

    Justeru, hendaklah kita sentiasa sedar dan menyatakan rasa bersyukur kepada-Nya di atas segala nikmat hidup yang dianugerahkan. Sifat menunjukkan rasa bersyukur bukan saja satu amalan seperti mengucapkan rasa berterima kasih sesama manusia.

    Sebaliknya, perbuatan yang berkaitan tanda bersyukur juga menjadi bukti tanda keimanan seseorang. Orang beriman sentiasa sedar siapakah dirinya dan tujuan asal diciptakan Allah. Apa yang dinikmati dan dimiliki di dunia ini adalah milik Allah yang dipinjamkan sementara sahaja.

    Nikmat yang Allah sediakan untuk manusia amat besar. Manusia tidak mampu menggerakkan anggota badan sendiri tanpa izin Allah. Malah, tidak ada satu sel badan, daripada berbilion-bilion sel dalam badan, dapat berfungsi sendiri melainkan ia ketentuan Allah.

    Maka, besarnya kekuasaan Allah dan nikmat diberikan kepada manusia. Sesungguhnya, kehidupan ini serba lengkap dan sempurna. Manusia tidak mampu menghitung apa yang dinikmati kerana tidak ada satu pun melainkan ia adalah ihsan kurniaan Allah.

    Sedangkan Allah Maha Pengasih dan Maha Pemurah tidak meminta sebarang balasan terhadap apa dianugerahkan kepada manusia, melainkan beribadat dan bertakwa kepada-Nya.

    Setiap yang dilakukan manusia untuk dirinya sendiri baik di dunia mahupun akhirat, Allah tidak mengharapkan pertolongan daripada manusia.

    Memandangkan sifat manusia mudah lupa, maka Allah banyak kali memberi peringatan dalam al-Quran yang menyebut kalimah syukur digandingkan dengan kalimah zikr (ingat).

    Kedua-dua kalimah itu memberi peringatan supaya manusia mengkaji setiap kejadian alam yang dijadikan Allah, tidak mudah lupa diri dan tidak bersikap angkuh.

    Biasanya orang yang tidak bersyukur mudah lupa apabila mendapat kemewahan dan kejayaan hidup. Mereka menganggap itu adalah hasil daripada usahanya sendiri, serta menjadi kufur dan ingkar kepada Allah.

    Sedangkan apabila dirinya ditimpa kecelakaan dan kesukaran hidup, maka mudah pula dia hilang pertimbangan dan keyakinan diri, lalu menyalahkan Allah atas nasib yang menimpanya.

    Ironinya, mereka tidak pula menganggap kecelakaan dan kegagalan itu berpunca daripada sikapnya sendiri.

    ~* Tiga bentuk ganjaran kesempurnaan puasa *~


    HADIS Rasulullah SAW. menyebut bahawa ada tiga bentuk ganjaran diberikan Allah kepada hamba-Nya sepanjang Ramadan, iaitu rahmah (rahmat), maghfirah (keampunan) dan `itq min al-nar (bebas daripada api neraka).


    Rahmah ada dalam 10 hari pertama Ramadan, maghfirah di dalam 10 hari keduanya dan `itq min al-nar di dalam 10 hari terakhirnya.


    Begitu mudah kita membilangnya, tetapi tidak semudah itu untuk kita mendapatkannya. Ia terikat dengan beberapa prasyarat yang ketat, tanpanya kita hanya akan mengalami lapar dan dahaga ketika berpuasa.


    1. Memahami erti puasa rukun dan syaratnya


    Kesempurnaan puasa seseorang adalah terikat dengan sejauh mana dia memahami erti puasa itu sendiri, rukun dan syaratnya serta apa-apa perkara yang membatalkannya, mengetahui masanya serta kaifiatnya.


    2. Melaksanakan adab atau etika berpuasa seperti:


  • Banyakkan bersedekah kepada fakir miskin, beramal kebajikan kepada sesama anggota masyarakat sepanjang Ramadan kerana pahalanya besar.
  • Banyakkan membaca al-Quran secara berseorangan dan berkelompok atau bertadarus.
  • Menunaikan solat Tarawih, Witir dan amalan qiamullail yang lain.
  • Membasahkan lidah dengan zikir dan wirid sepanjang waktu sama ada siang atau malam Ramadan.
  • Memohon keampunan atas semua kesalahan sama ada berkaitan dengan hak manusia dan hak Allah sebanyak mungkin.
  • Berusaha meningkatkan kefahaman ilmu agama dan mutu penghayatan ibadat.
  • Memelihara diri termasuk hati dan nafsu daripada melakukan apa-apa perkara larangan Allah dan Rasulnya, di antaranya seperti:


  • * Memelihara hati dari perasaan hasad dengki, riak, takbur serta tamak dan haluba.


    * Memelihara nafsu/syahwat daripada melakukan perkara sumbang yang mungkin membawa kepada perzinaan, akibatnya akan merosakkan puasa.


    * Memelihara telinga dari tabiat suka mendengar rahsia orang dan perkara buruk.


    * Memelihara lidah daripada bercakap bohong, menutur cacian dan kata nista, perkara keji, umpat-mengumpat, fitnah-memfitnah serta mengadu domba dan sebagainya.


    * Memelihara tangan daripada mengambil harta benda secara batil, umpama mencuri, merompak, membunuh atau menyentuh atau melakukan sesuatu yang dilarang.


    * Memelihara kaki daripada melangkah ke tempat maksiat, umpama ke sarang pelacuran, perjudian dan lain-lain yang mungkin membawa kepada melakukannya.


    * Memelihara kedudukan diri daripada memakan rasuah, menyalah guna kuasa, menindas, memilih kasih, menyeleweng dari kebenaran dan juga apa-apa bentuk kezaliman terhadap orang lain.


    * Mengawal mata daripada mengintip atau melihat perkara haram dan pelbagai larangan lain.


    * Berusaha memperolehi rezeki yang halal dengan berkerja di dalam pelbagai sektor pekerjaan yang sah dan dibenarkan syarak.


    * Dengan kesempurnaan perkara itu, kita mengharapkan akan mendapat tawaran Allah, iaitu rahmah, maghfirah dan itq min al-nar.

    ~* Persiapan sambut Lailatul Qadar *~

    AMALAN Rasulullah SAW dan sahabat pada malam akhir Ramadan untuk mengisi Lailatul Qadar. Antaranya:


  • Mandi, berpakaian indah dan berharum-haruman

  • Diriwayatkan oleh Ibnu Abi `Asim bahawa Huzaifah pernah mengerjakan qiyam Ramadan bersama Rasulullah SAW dan melihat bahawa Baginda mandi pada malam itu.


    Ibnu Jarir pula berkata bahawa sahabat menyukai mandi pada malam-malam akhir Ramadan.


    Demikian pula beberapa riwayat daripada sahabat seperti Anas bin Malik dan ulama pada masa Tabi'in menyatakan bahawa mereka akan mandi, memakai baju indah dan berharum-haruman apabila berada pada akhir Ramadan.


    Apa yang dilakukan oleh Rasulullah, sahabat dan Tabi'in ini adalah satu upaya untuk menyambut dan meraikan kedatangan Lailatul Qadar, sambil berdoa mendapatkan keampunan dan keberkatan malam itu.


  • Melaksanakan solat sunat, iktikaf dan membaca al-Quran.
  • Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan satu hadis daripada Aishah, bermaksud:


    “Adalah Rasulullah apabila telah masuk 10 akhir daripada Ramadan, maka Baginda akan menghidupkan malam-malamnya, membangunkan keluarganya dan mengikat pinggangnya.”


    Dalam salah satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dari Amru bin `Ash bermaksud:


    “Barang siapa yang solat pada malam Ramadan dan membaca 10 ayat daripada al-Quran maka dia tidaklah dicatat sebagai orang yang lalai.”


    Mengerjakan solat dan membaca al-Quran pada pada malam yang akhir ini sangat penting hingga dalam salah satu riwayat dikatakan bahawa Rasulullah SAW melakukan solat pada malam Ramadan dan membaca al-Quran dengan tertib.


  • Memperbanyak doa.
  • Rasulullah SAW bersabda doa adalah otak segala ibadat. Doa juga kunci daripada semua ibadat. Aishah diperintahkan oleh Baginda untuk memperbanyak doa pada 10 malam terakhir Ramadan.


    Dalam satu hadis daripada Aishah diriwayatkan at-Tirmizi, Aishah diajar oleh Rasulullah SAW membaca doa pada malam al-Qadar.


    Ulama bersepakat bahawa doa yang paling utama pada malam al-Qadar adalah doa yang meminta keampunan dan kemaafan daripada Allah. Perkara ini seperti doa yang diajarkan Rasulullah kepada Aishah.


    Doanya berbunyi:


    Allahumma innaka afuwun tuhibbul afwa fa' fu anni (maksudnya, Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Maha Pengampun, yang suka Maha Mengampun, maka ampunilah aku ini).”


    Pada malam itu Allah akan mengabulkan semua permohonan dan doa, terkecuali terhadap empat golongan manusia. Ibnu Abbas berkata:


    “Semua doa pada malam itu diterima terkecuali doa orang meminum arak, anak yang derhaka kepada ibu bapa, orang yang selalu bertengkar dan mereka yang memutuskan silaturahim.”

    ~* Keikhlasan niat padam dosa, jauhkan api neraka *~

    MUSLIM sejati ialah mereka yang menunggu kedatangan Ramadan dengan penuh persediaan, rindu untuk mengerjakan ibadat puasa dan bercita-cita memenuhi setiap detik Ramadan dengan pengisian yang wajib serta sunat.

    Justeru, puasa sepatutnya menjadi pemadam dosa apabila segala ibadat yang dilakukan diterima Allah di mana orang yang menjalani ibadat puasa dengan sempurna diharamkan jasadnya daripada api neraka.

    Selain menumpukan kepada ibadat puasa, ibadat lain seperti membaca al-Quran, berzikir, mengerjakan solat Tarawih, Tahajud dan Taubat turut digalakkan sebagai pelengkap kepada usaha meraih keampunan serta meningkatkan takwa kepada Allah.

    Begitu juga dengan menjamu orang berbuka puasa walaupun hanya dengan memberi atau menghantar kuih kepada jiran sebagai niat bersedekah.

    Semua amalan itu hendaklah dilaksanakan dengan hati yang ikhlas kerana Allah bukan untuk menunjuk-nunjuk kerana di situlah letaknya keberkatan sesuatu amalan yang dilakukan.

    Puasa sebenarnya menggariskan undang-undangnya tersendiri dan jika dipraktikkan dengan penuh ketaatan terbukti ia akan mampu mendidik serta mengasuh jiwa yang rakus menjadi lembut untuk sentiasa melakukan ibadat bagi mencari keredaan Allah.

    Rasulullah bersabda yang maksudnya:

    “Puasa itu perisai dan benteng yang membentengi daripada sentuhan api neraka.” (Riwayat Ahmad dan Baihaqi)


    Sesungguhnya sepanjang Ramadan inilah masa bagi umat Islam membina jurang yang boleh memisahkan mereka daripada azab api neraka kerana Ramadan hanya datang sekali setahun dan datangnya dengan seribu nikmat untuk direbut.

    ~* Al-Quran penawar mujarab penyakit rohani & jasmani *~

    CAHAYA al-Quran menyinari seluruh dunia sebagai petunjuk dan pedoman hidup bagi peribadi yang menghendaki ketenteraman, kedamaian serta kebahagiaan.


    Al-Imam Ghazali berkata dalam kitabnya Ihya Ulumuddin:


    “Segala macam ilmu pengetahuan, baik yang terdahulu, sekarang, akan datang, semuanya berpunca daripada al-Quran.”


    Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:


    “Telah aku tinggalkan kepadamu perkara yang apabila kamu tetap berpegang teguh kepadanya, kamu tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu kitab (al-Quran) dan sunnah Rasulnya.”


    Sejarah membuktikan, sejak al-Quran diturunkan pada malam 17 Ramadan di Gua Hira', ia berjaya mengubah umat jahiliah yang hidup tanpa sebarang peraturan dan sistem akhlak kepada umat terbaik serta dicontohi dalam segala bidang.


    Hal ini dibuktikan oleh Rasulullah SAW di mana selama 23 tahun memimpin umat Islam berpandukan al-Quran, Islam menjadi agama kuat dan dinamik. Ajarannya bersesuaian dengan fitrah kejadian manusia.


    Al-Quran menjadikan umat Islam pada zaman kepemimpinan Rasulullah SAW dan khalifah Al-Rashidin berjaya mencipta satu tamadun baru kepada dunia hingga berjaya meruntuhkan dua tamadun besar dunia pada ketika itu iaitu Rom dan Parsi.


    Firman Allah bermaksud:


    “Dan kami turunkan dengan beransur-ansur daripada al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi penawar dan Rahmat bagi orang yang beriman, dan (sebaliknya) al-Quran tidak menambahkan (apa-apa) kepada orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian semata-mata.” (Surah al-Isra', ayat 82)


    Dalam memahami ayat itu, Imam Muhamad Al-Razi dalam tafsirnya Al-Fakhul al-Razi menjelaskan bahawa al-Quran adalah penawar yang boleh menyembuhkan penyakit rohani dan jasmani.


    Penyakit dibahagikan kepada dua bahagian. Penyakit iktikad yang batil dan sesat serta penyakit akhlak yang buruk.


    Beliau menjelaskan seterusnya bahawa yang dimaksudkan dengan iktikad yang batil dan sesat itu ialah pegangan salah terhadap masalah ketuhanan dan kenabian.


    Al-Quran lengkap dengan peraturan bagi jalan hidup yang benar, selaras kehendak Allah, malah boleh menjadi ubat untuk menyembuhkan penyakit.


    Sabda Nabi Muhammad yang bermaksud:


    “Barang siapa yang tidak dapat mengubati penyakit dengan al-Quran, maka Allah tidak akan menyembuhkan penyakitnya.”


    Penyakit dan keburukan akhlak seperti tidak amanah, najis dadah dan arak adalah penyakit yang tidak mungkin dapat diubati dengan cara lain selain al-Quran, yang perlu dibaca dan diamalkan.


    Selagi al-Quran tidak diamalkan dalam erti kata sebenar, maka semua penyakit itu tidak akan dapat diubati.


    Pada Ramadan ini, kita perlu bertekad mengembalikan diri dan seluruh hidup kepada al-Quran kerana sesungguhnya al-Quran mempunyai tiga hak yang wajib ke atas umat Islam untuk menunaikannya.


    1. Hak untuk membaca dan bertilawah kepadanya.
    2. Hak untuk bertakbir atau memahami makna dan menjiwai kehidupan.
    3. Hak untuk beramal dengan seluruh isi kandungannya.

    ~* Solat Tarawih boleh ditunai selagi belum masuk Subuh *~


    RITUAL bermaksud tata cara dalam upacara keagamaan, adat dan sebagainya. Amalan ritual lahir daripada kebiasaan yang diterima dan dilakukan dalam masyarakat. Ia walaupun berkaitan dengan ibadat, sedangkan niat sebenarnya dilakukan kerana satu kebiasaan. Maka, ibadat itu tidak diterima Allah sebagai satu ibadat.

    Termasuk dalam yang banyak dianggap ritual masyarakat kita ialah ibadat puasa. Dalam masyarakat mengamalkan konsep ritual, sesiapa tidak ikut serta program diadakan sepanjang Ramadan dipandang serong.


    Maka atas semangat ritual, ramailah yang memenuhi masjid dan surau menunaikan solat Tarawih. Disebabkan solah Tarawih diterima sebagai ritual, ada orang bersembahyang Tarawih, tetapi tidak menunaikan solat fardu. Mereka hanya menunaikan solat fardu Isyak yang dilakukan sebelum solat Tarawih.


    Masjid dan surau biasanya penuh hanya pada awal Ramadan. Sebaliknya semakin berkurangan apabila penghujung Ramadan yang ketika itu, masing-masing sibuk pula kepada sambutan Aidilfitri, yang lebih jelas ritualnya.


    Masih ramai tidak faham mengenai Tarawih. Buktinya, ada yang mengatakan Tarawih itu mesti dilakukan di masjid secara jemaah. Sebabnya, sejak dari kecil sehinggalah dewasa, kita hanya melihat orang bertarawih di masjid. Maka, jika ada orang bertarawih di rumah bersama ahli keluarga, dituduh pula melanggar kebiasaan.


    Sebenarnya solat Tarawih boleh dilakukan berseorangan dan berjemaah di mana-mana saja. Masa Tarawih bukan juga mesti ditunaikan sebaik selesai solat Isyak. Masa untuk solat boleh dilakukan sehingga sebelum masuk waktu Subuh.


    Masyarakat masih tidak dapat membezakan di antara hukum dan kebiasaan. Mana yang wajib dan mana yang sunat. Justeru, amat penting guru agama dan imam memberi penjelasan mengenai perkara ini. Kaedah hanya menyuruh dan tidak mendidik adalah di antara punca berlaku amalan ribual dalam ibadat.


    Sebenarnya konsep puasa ritual ini disebabkan kejahilan ilmu agama dan tahap keimanan. Ramai beranggapan memadai jika berpuasa sekadar menahan diri daripada melakukan perbuatan membatalkan puasa.


    Orang jahil melakukan puasa sekadar mengikut apa yang orang kebanyakan lakukan. Orang lain berpuasa, dia juga berpuasa. Memang tidak sukar melakukan puasa sebab ia telah dilakukan sejak ketika sekolah rendah lagi. Apabila telah dewasa, ibadat puasa menjadi kebiasaan. Hal yang sama diturunkan kepada anak dan begitulah dari satu generasi ke satu generasi.


    Kesempurnaan melakukan sesuatu ibadat tidak hanya apabila cukup syarat sah dan batal. Sebaliknya, nilai ibadat bergantung kepada kefahaman, keimanan dan ketakwaan orang yang melakukannya.


    Orang berpuasa bukan diasaskan keikhlasan dan ketakwaan tidak merasai nikmat sebenar puasa. Ketika orang beriman merasai kemanisan berpuasa, orang yang tidak ikhlas melakukannya dalam keadaan menderita menahan lapar dan dahaga.

    ~* Zakat fitrah penambah kekurangan puasa *~

    ZAKAT fitrah wajib ditunaikan bagi setiap orang yang dikira masih mempunyai makanan mencukupi untuk diri dan tanggungannya pada Aidilfitri.


    Kefarduan zakat fitrah terhadap setiap Muslim dinyatakan oleh Umar berdasarkan sabda Rasulullah SAW bermaksud:


    "Sesungguhnya Rasulullah mewajibkan zakat fitrah daripada Muslim, baik hamba atau merdeka, lelaki atau perempuan, iaitu sebanyak segantang kurma atau gandum." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).


    Dalam hadis lain diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Abu Said al Khudriy bermaksud:


    "Ketika Rasulullah masih berada bersama kami, kami mengeluarkan zakat fitrah untuk setiap anak kecil, orang dewasa, merdeka atau hamba sebanyak segantang makanan sama ada berupa keju, gandum, kurma atau anggur kering."


    Dalam ibadat lain, pelaksanaan ibadat dilakukan sendiri oleh orang berkenaan. Sebaliknya, bagi zakat fitrah, ia dijelaskan oleh ketua keluarga bagi pihak ahli keluarganya.


    Ketetapan itu memperlihatkan tanggungjawab ketua keluarga dalam membawa kesejahteraan hidup kepada seluruh ahli keluarga melalui ibadat zakat dilakukan.


    Ahli keluarga mempunyai kemampuan menjelaskan sendiri zakat fitrah, elok baginya melakukan sendiri. Ia sebagai permulaan melaksanakan tugas yang mungkin ditanggung apabila berkeluarga nanti.


    Kewajipan ketua keluarga membayar zakat fitrah bagi orang ditanggung adalah seperti dia wajib membayar bagi dirinya. Jika tidak membayar zakat fitrah bagi orang ditanggungnya adalah seperti dia tidak membayar zakat fitrah bagi dirinya.


    Zakat fitrah atau disebut juga zakat diri, diwajibkan kepada semua Muslim, tidak kira kecil, miskin mahupun hamba. Ia bukan hanya diwajibkan kepada golongan kaya seperti difahami kebanyakan orang.


    Perkara ini amat berbeza berbanding kefarduan ibadat lain yang hanya diwajibkan kepada individu sudah baligh. Begitu juga diwajibkan dilakukan oleh seseorang mengikut keupayaannya.


    Ia berbeza dengan zakat harta, ternakan, perniagaan, galian, simpanan dan pertanian kerana hanya diwajibkan kepada yang memiliki sejumlah hasil agak banyak.


    Ia jelas membuktikan kepentingan zakat fitrah kepada setiap Muslim dan seluruh masyarakat yang mendapat manfaatnya.


    Sesungguhnya kefarduan zakat fitrah menguji ketakwaan dan keikhlasan yang tiada tandingannya. Zakat fitrah membersihkan orang berpuasa daripada sebarang kekotoran atau dosa tidak dibersihkan sepanjang ibadat puasa. Ia juga menambah kekurangan dalam ibadat puasa.


    Sabda Rasulullah SAW diriwayatkan oleh Ibnu Abas bermaksud:


    "Diwajibkan oleh Rasulullah bahawa zakat fitrah membersihkan bagi orang yang berpuasa dan pemberi makan bagi orang miskin."


    "Barang siapa menunaikan sebelum solat hari raya, maka zakat itu diterima dan barang siapa yang membayar selepas solat, zakat itu sebagai sedekah biasa." (Hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah).

    ~* Nikmat zikir, berdoa malam Lailatul Qadar *~

    BANYAK amalan salih dilakukan pada Ramadan dengan harapan mendapat keberkatan dan kerahmatan Allah. Bagi setiap amalan dilakukan kita hendaklah berdoa supaya diterima Allah.


    Sesungguhnya berdoa adalah satu tugas agama yang penting kedudukan dan mahal nilainya. Ia adalah pintu ibadah dalam memperhambakan diri kepada Allah dan memperlihatkan kerendahan jiwa kepada-Nya.


    Ini jelas melalui sabda Rasulullah SAW bermaksud:


    "Doa itu adalah otaknya ibadat." (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari).


    Pengabdian atau ibadat yang dikerjakan tanpa berdoa adalah tidak berjiwa, hidup dan bergerak. Ini laksana tubuh yang tidak bernyawa – ada badan tetapi tidak dapat bergerak ke mana-mana.


    Amalan berdoa digalakkan sepanjang masa, lebih-lebih lagi pada Ramadan, terutama pada Lailatul Qadar. Ia adalah malam paling mustajab berdoa, khususnya pada masa berlalu separuh malam dan ketika berada pada bahagian malam yang akhirnya.


    Sepanjang Lailatul Qadar adalah saat doa yang dimakbulkan. Maka perbanyakkan doa pada malam itu.


    Dalam satu hadis, Aisyah berkata: "Wahai Rasulullah, apa pendapat kamu jika aku tahu Lailatul Qadar itu, apakah akan aku bacakan dalamnya?


    Jawab Baginda:


    "Bacalah "Allahumma innaka afuwun tuhibbul afwa fa' fuanni" (maksudnya, Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Maha Pengampun, yang suka Maha Mengampun, maka ampunilah aku ini)." (Hadis riwayat al-Khamsah).


    Ulama tasauf yang juga ulama fikah terkenal, Sufian as-Sauri berkata:


    "Berdoa pada Lailatul Qadar itu lebih disukai daripada mengerjakan solat. Malah apabila seseorang membaca al-Quran, berdoa dan meningkatkan doa kepada Allah, mudah-mudahan dia memperoleh waktu yang mustajab."


    Secara jelas dapat diperhatikan bahawa Rasulullah SAW amat menyukai dan menyuruh umatnya berdoa pada Lailatul Qadar dengan meminta keampunan kepada Allah.


    Lailatul Qadar adalah satu saat yang makbul dan sesiapa yang berdoa dan bertepatan doanya dengan Lailatul Qadar, maka pastilah doa dikabulkan Allah.


    Tuhan selalu membuka pintu untuk hamba-Nya mengadu, memohon dan berdoa kepada-Nya. Ini jelas daripada firman-Nya bermaksud:


    "Dan apabila hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia memohon kepadaku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah)Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran." (Surah al-Baqarah, ayat 186).


    Firman Allah lagi bermaksud:


    "Dan Tuhanmu berfirman: Berdoalah kepada-Nya, nescaya akan Ku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka jahanam dengan hina." (Surah al-Mukmin, ayat 60).

    ~* Ketenangan tingkat khusyuk solat Tarawih *~


    SOLAT Tarawih bererti solat yang merehatkan. Bersesuaian dengan namanya, umat Islam tidak seharusnya mengerjakannya dalam keadaan kelam-kabut atau tergopoh-gapah semata-mata ingin cepat selesai.


    Umat Islam seharusnya mengerjakan solat itu seperti yang dilakukan Rasulullah dan sahabat iaitu dalam keadaan tenang, tenteram dan tidak tergopoh-gapah untuk menyelesaikannya.


    Mengerjakan solat sunat Tarawih bukan sesuatu yang mesti dikerjakan dalam waktu singkat. Ia seperti juga solat lain yang harus dihayati dan dikerjakan dalam keadaan khusyuk dan tenang.


    Allah berfirman bermaksud:


    “Sudah berjaya orang beriman. Mereka yang khusyuk dalam solat (sama ada solat sunat atau wajib).” (Surah Mukminun, ayat 1-2).


    Sebaliknya, orang yang menunaikan solat sunat Tarawih dalam keadaan kelam-kabut akan hilang penghayatan dan khusyuk. Mereka ini disifatkan oleh Rasulullah sebagai pencuri.


    Rasulullah bersabda yang bermaksud:


    “Seburuk-buruk pencuri ialah mereka yang mencuri daripada solat.”


    Maka sahabat pun bertanya: “Wahai Rasulullah! Bagaimana mereka mencuri daripada solat mereka?”


    Rasulullah menjawab:


    “Mereka yang tidak sempurna rukuk dan sujud (iaitu mengerjakan solat dengan tergopoh-gapah).” (Hadis riwayat Ahmad, al-Tabrani dan Ibn Khuzaimah).


    Dalam satu hadis lain, Rasulullah melarang umatnya mengerjakan solat seperti burung yang mematuk makanan iaitu pantas berdiri dan sujud dalam waktu yang singkat. (Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud dan al-Nasa'i).


    Rasulullah juga bersabda bermaksud:


    “Allah tidak melihat solat seseorang yang dikerjakan tanpa sempat meluruskan tulang belakangnya antara rukuk dan sujud.” (Hadis riwayat al-Tabrani).


    Oleh itu, marilah sama-sama kita mengerjakan solat sunat Tarawih dalam keadaan penuh khusyuk, tenang dan tidak kelam-kabut seperti yang dilakukan Rasulullah supaya solat kita tidak menjadi sia-sia.


    Cara solat Rasulullah seperti diriwayatkan daripada al-Bara' bin Azib katanya:


    “Aku mengamati solatku bersama Nabi Muhammad. Maka, aku dapati Baginda berdiri, rukuk, bangkit selepas rukuk, sujud, duduk di antara dua sujud, sujud lagi serta Baginda duduk antara salam dan selesai sembahyang, semuanya hampir sama.”(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)


    Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah bersabda bermaksud:


    “Apabila kamu ingin mengerjakan solat, mulakanlah dengan bertakbir kemudian bacalah ayat atau surah yang paling senang bagi kamu. Seterusnya rukuk hingga kamu benar-benar berada dalam keadaan itu dan bangkit berdiri. Selepas itu sujud hingga kamu betul-betul berada dalam keadaan itu dan bangkit untuk berada dalam keadaan duduk di antara dua sujud. Itulah cara yang perlu kamu lakukan hingga selesai solat.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).


    Justeru, rebutlah peluang untuk mengerjakan ibadah khusus pada Ramadan ini dengan hati ikhlas, tenang dan sempurna. Dengan itu, semoga kita dapat meraih segala fadilat dan anugerah yang Allah janjikan.

    ~* Zakat fitrah perbaiki cacat cela amalan sebulan *~

    ZAKAT fitrah diwajibkan pada Ramadan kerana Allah memberi keistimewaan kepada Ramadan sebagai bulan toleransi dan perpaduan di antara kaya dan miskin. Orang kaya difardukan berpuasa bagi membolehkan mereka merasakan keperitan hidup orang miskin apabila menahan lapar dan dahaga kerana ketidakmampuan memenuhi hajat hidup.


    Dengan itu, akan timbul kesedaran dan rasa simpati terhadap keperitan hidup orang miskin. Rasa simpati ini dibuktikan dengan kesediaan mereka membayar zakat fitrah. Kefarduan mengeluarkan zakat fitrah pada Ramadan adalah bukti bahawa umat Islam perlu hidup bertolak ansur dan bersatu padu tanpa membezakan status ekonomi, keturunan, pendidikan dan kadar ketakwaan. Ini seiring dengan fungsinya untuk meningkatkan daya saing ekonomi kaum dua'fa (orang lemah).


    Mereka ialah fakir, orang miskin, amil yang menguruskan zakat, mualaf yang dijinakkan hatinya, hamba yang hendak memerdekakan dirinya, orang berhutang, untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah dan orang dalam perjalanan.


    Jelasnya, dengan zakat itu dapat merapatkan jurang pendapatan di antara orang kaya dan miskin. Zakat fitrah adalah tuntutan yang wajib ditunaikan apabila seseorang memenuhi syaratnya.


    Ia berdasarkan hadis yang bermaksud:


    "Rasulullah memfardukan zakat fitrah pada Ramadan segantang tamar atau segantang gandum atas orang Islam sama ada hamba sahaya atau merdeka, lelaki atau perempuan, kecil atau besar."


    Umat Islam hendaklah bersegera dalam mengeluarkan zakat dengan menyedari bahawa ia adalah antara tuntutan Rukun Islam yang lima.


    Sesungguhnya, Islam seseorang belum lagi sempurna jika tidak mengeluarkan zakat. Setiap Muslim hendaklah mengeluarkannya dengan hati terbuka, ikhlas dan bukannya berasakan ia adalah satu paksaan.


    Zakat fitrah juga berfungsi membersihkan jiwa pembayar. Hakikatnya, zakat berfungsi sebagai amalan ibadat untuk mendekatkan diri kepada Allah hingga menjauhkan manusia daripada sifat mencintai dunia secara berlebihan dan melupakan hari akhirat.


    Hikmatnya zakat juga dapat menyucikan diri orang yang berpuasa kerana ada kemungkinan dirinya itu mengalami kesan kelalaian, kerosakan puasanya. Begitu juga dia akan mengelakkan orang fakir dan miskin daripada meminta-minta pada hari raya.


    Ibnu Abbas berkata yang bermaksud:


    "Rasulullah telah memfardukan zakat fitrah sebagai menyucikan orang yang berpuasa daripada sia-sia dan kerosakan untuk menjadi makanan pada orang miskin."


    Islam menetapkan lapan asnaf yang berhak menerima zakat. Dalam al-Quran, Allah berfirman maksudnya:


    "Sesungguhnya sedekah (zakat) itu hanya tertentu untuk orang fakir, miskin, amil yang menguruskan zakat, muallaf yang dijinakkan hatinya dan hamba yang ingin membebaskan diri (diberi peluang menebus diri tetapi tidak mampu), orang berhutang. Orang yang berjuang di jalan Allah dan orang musafir (yang kehabisan bekalan) dalam perjalanan, sebagai kewajipan fardu yang ditetapkan Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana." (Surah at-Taubah, ayat 60).


    Bagaimanapun, masih ada umat Islam yang mengambil mudah kewajipan berzakat fitrah. Mereka terlupa mengeluarkannya hingga tiba Aidilfitri. Mengikut syarak, zakat fitrah perlu dilakukan sepanjang Ramadan manakala hukumnya menjadi haram selepas solat Aidilfitri.


    Perkara ini ada disebut Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud;


    "Zakat fitrah itu dibuat bagi membersihkan orang yang berpuasa daripada percakapan yang sia-sia dan kotor dan makanan bagi orang miskin. "Sesiapa yang menunaikannya sebelum solat Aidilfitri, maka itulah zakat yang diterima. Dan sesiapa yang membayar zakatnya sesudah solat, maka itu adalah sedekah biasa saja." (Hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah).


    Berdasarkan hadis ini, janganlah kita berlengah untuk berzakat fitrah. Ingatkan ahli keluarga dan rakan supaya ibadat yang difardukan setahun sekali ini dapat dilakukan tepat pada masanya. Dengan segera mengeluarkan zakat, wang itu dapat diagihkan segera kepada mereka yang memerlukan dan berhak menerimanya.

    Wednesday, September 19, 2007

    ~* Penurunan Al-Quran (Nuzul Al-Quran) *~

    Oleh: Abuyusoef Hashim Othman al-Maranji


    PENGENALAN


    Allah SWT telah menurunkan al-Quran sebagai satu mukjizat yang membuktikan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. Dan kewujudan Allah SWT dengan segala sifat-sifat kesempurnaannya. Membaca al-Quran serta menghayati Dan mengamalkannya adalah satu ibadat. Ia merupakan satu kitab panduan hidup manusia Dan rujukan utama di samping sunnah Rasulullah. Al-Quran dinukilkan kepada Kita secara mutawatir, pasti Dan qat’i Dan ditulis mashaf yang Hari ini lebih dikenali sebagai mashaf ‘Uthmani. Adalah wajar bagi Kita umat Islam mengkaji sejarah al-Quran Dan perkara yang berkaitan dengannya. Penulisan ini akan mengemukakan satu perbincangan mengenai penurunan al-Quran (Nuzul al-Quran) salah satu aspek daripada pengajian ‘Ulum al-Quran’. Ilmu berkaitan Nuzul akan membicarakan mengenai cara-cara wahyu diturunkan, peringkatnya, tempat-tempat turunnya ayat-ayat al-Quran, masanya, awalnya Dan akhirnya. Berdasarkan ilmu tersebut, Kita dapat mengetahui ayat-ayat Makkiyah Dan Madaniyyah Dan juga mengetahui asbab al-nuzul.


    PENGERTIAN NUZUL AL-QURAN


    Daripada segi bahasa, perkataan ‘Nuzul’ bererti menetap di satu tempat atau turun dari tempat yang tinggi. Kata perbuatannya ‘nazala’ (نزل) membawa maksud ‘dia telah turun’ atau ‘dia menjadi tetamu’. Sebenarnya penggunaan istilah Nuzul al-Quran ini secara majaz atau simbolik sahaja yang bermaksud pemberitahuan al-Quran. Tujuannya untuk menunjukkan ketinggian al-Quran.

    Secara teknikalnya Nuzul al-Quran bererti penurunan al-Quran dari langit kepada Nabi Allah yang terakhir. Perkataan Nuzul dalam pelbagai wajah sama Ada kata nama, kata perbuatan atau lainnya digunakan dalam al-Quran sebanyak lebih kurang 290 kali. Sebagai contoh, “Dia yang telah…..menurunkan hujan.” (al-Baqarah:22), “Dialah….yang menurunkan Taurat Dan Injil.” (Ali Imran:3) Dan banyak lagi ayat-ayat lain.


    CARA AL-QURAN (WAHYU) DITURUNKAN


    ‘Aishah isteri Rasulullah s.a.w. Meriwayatkan sebelum Nabi Muhammad diangkat menjadi Rasul, beliau bermimpi perkara yang benar lalu beliau menyendiri di gua Hira’ beribadah kepada Allah SWT untuk selama beberapa tahun. Di gua berkenaanlah baginda menerima wahyu yang pertama.


    Harith bin Hisham, seorang sahabat Rasulullah s.a.w. pernah bertanya kepada Baginda bagaimana wahyu diturunkan kepadanya. Rasulullah menjawab :


    ”Kadang-kadang wahyu datang kepada-ku dengan gema (desingan) loceng Dan ini amat berat bagi-ku, Dan sementara bunyi itu hilang aku mengingati apa yang disampaikan kepada-ku. Kadang ia datang dalam bentuk jelmaan malaikat kepada-ku merupai lelaki, bercakap dengan-ku dan aku menerima apa saja yang disampaikannya kepada-ku.”

    PERINGKAT PENURUNAN AL-QURAN


    Para ulama menyatakan penurunan al-Quran berlaku dalam dua bentuk iaitu secara sekaligus, dan berperingkat. Walau bagaimanapun mereka berselisih pendapat tentang berapa kali berlakunya penurunan al-Quran secara sekaligus. Terdapat tiga pandangan mengenai hal ini, iaitu penurunan al-Quran dari Allah SWT ke al-Lauh al-Mahfuz; kali kedua, dari al-Lauh al-Mahfuz ke Bait al-‘Izzah di langit dunia; dan kali ketiga, Penurunan kepada Jibril a.s. dalam tempoh 20 malam.


    Al-Suyuti dalam kitabnya ‘al-Itqan if Ulum al-Quran’ berdasarkan tiga riwayat oleh Ibn ‘Abbas, Hakim Dan al-Nasa’i, hanya membahagikan kepada dua peringkat sahaja iaitu dari al-Lauh Mahfuz ke Bait al-‘Izzah Dan dari Bait al-‘Izzah kepada Rasulullah s.a.w. Melalui Jibril a.s.


    1. Dari Allah SWT ke al-Lauh al-Mahfuz.


    Penurunan ini berlaku sekali Gus dengan tujuan untuk membuktikan ketinggian Dan kekuasaan Allah SWT. Para Malaikat menyaksikan bahawa segala perkara yang ditentukan oleh Allah SWT di Luh Mahfuz ini benar-benar berlaku. Pendapat ini disandarkan kepada ayat 21 Dan 22 surah al-Buruj yang berbunyi,


    بَلْ هُوَ قُرْآنٌ مجيد فِي لَوْحٍ مَحْفُوظ .


    “(Sebenarnya apa yang engkau sampaikan kepada mereka bukanlah syair atau sihir), bahkan ialah Al-Quran yang tertinggi kemuliaannya; (Lagi yang terpelihara dengan sebaik-baiknya) pada Luh Mahfuz.” (al-Buruj:21-22)


    2. Dari al-Lauh al-Mahfuz ke Bait al-’Izzah di langit dunia.


    Penurunan kali kedua secara sekaligus dari al-Lauh al-Mahfuz ke Bait al-’Izzah di langit dunia dipercayai berlaku berpandukan kepada tiga (3) ayat al-Quran sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas;


    Allah SWT berfirman,


    شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ


    “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia Dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk Dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu Dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak Hari yang ditinggalkan itu pada hari-Hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya dan supaya kamu bersyukur.” (al-Baqarah:185)



    Firman Allah SWT,


    إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةٍ مُبَارَكَةٍ إِنَّا كُنَّا مُنْذِرِينَ


    Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab).” (ad-Dukhan:3)


    Firman Allah SWT,


    إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ


    Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar.” (al-Qadr:1)


    Ibn ‘Abbas juga menyatakan mengikut apa yang diriwayatkan oleh Said b. Jubayr: “Al-Quran diturunkan sekaligus pada malam yang penuh berkat.” Ikrimah pula meriwayatkan ‘Abdullah bin ‘Abbas berkata: “Al-Quran diasingkan daripada al-Dhikr ‘الذكر’ dan ditempatkan di Bait al-‘Izzah di langit dunia.


    Ibn Marduwayh dan al-Baihaqi mencatatkan perbualan antara ‘Atiyyah bin al-Aswad dan ‘Abdullah bin ‘Abbas yang mana ‘Atiyyah agak keliru mengenai penurunan ayat-ayat ini, “Pada bulan Ramadhan al-Quran diturunkan”, dan “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar”, ia juga diturunkan pada bulan Syawwal, Dhu al-Qaedah, Dhu al-Hijjah, al-Muharram, Safar dan Rabi’ al-Awwal.” Kemudian Ibn ‘Abbas menjelaskan: “Al-Quran diturunkan pada malam Lailatul-Qadar sekali gus kemudiannya untuk diwahyukan kepada Rasulullah s.a.w. secara beransur-ansur selama beberapa bulan dan hari.”


    3. Dari Bait al-’Izzah kepada Rasulullah s.a.w. (dalam masa 20 malam).


    Penurunan di peringkat ini telah berlaku secara beransur-ansur. Al-Quran mula diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. sejak baginda dilantik menjadi Rasulullah s.a.w. dan selesai apabila baginda hampir wafat, iaitu dalam tempoh dua puluh tiga tahun. Tiga belas tahun di Makkah dan sepuluh tahun di Madinah al-Munawwarah.


    Mengikut pendapat ini, Jibril a.s. diberi Malam Lailatul-Qadar setiap tahun, dari mula turun wahyu hingga ke akhirnya sepanjang tempoh kenabian, sebahagian daripada al-Quran disimpan di Bait al-‘Izzah yang mencukupi baginya untuk disampaikan kepada Rasulullah s.a.w. dalam masa 20 malam. Pandangan ini dipegang kuat oleh al-Mawardi.


    Kritikan terhadap Pandangan atau Pendapat di atas.


    Mengenai pendapat pertama mengenai al-Quran diturunkan sekali gus dari Allah SWT ke al-Lauh Mahfuz tidak disokong oleh bukti yang jelas dan kukuh. Ayat dalam surah al-Buruj yang digunakan sebagai hujah tidak menunjukkan secara tersurat atau tersirat mengenai penurunan sekali gus. Para ulama hanya membuat tafsiran pada ayat ini. Maksud ayat ini menceritakan tentang al-Quran dipelihara daripada sebarang pencemaran. Ayat ini ditujukan kepada musuh-musuh Islam yang cuba menambah, mengurang atau mengubah ayat al-Quran tidak akan dapat berbuat demikian kerana ia akan tetap tulen dan selamat. Tafsiran ini disokong oleh para mufassir seperti Tabari, Baghawi, Razi dan Ibn Kathir.


    Pendapat kedua tentang penurunan sekali gus ke Bait al-‘Izzah berpandukan kepada ayat 2, surah al-Baqarah dan ayat 1, surah al-Qadr tidak menyatakan secara jelas mengenai al-Quran diturunkan sekali gus pada malam yang penuh berkat tersebut. Kenyataan al-Quran ini merujuk kepada masa ia diturunkan dan tidak mengenai bagaimana atau cara ia diturunkan. Ulama tabiin yang terkenal ‘Amir al-Sha’abi mengatakan: “Sudah pasti penurunan al-Quran berlaku pada Malam Lailatul-Qadr pada bulan Ramadhan, dan terus turun dalam masa 23 tahun. Tidak ada Nuzul lain melainkan yang diturunkan kepada Rasulullah s.a.w.”


    Jumhur bersetuju yang ayat 1-5 daripada surah al-‘Alaq diturunkan di akhir Ramadhan 13 tahun sebelum Hijrah. Ketiga-tiga ayat yang dijadikan hujah di atas, tidak dinafikan, merujuk kepada ayat 1-15 surah al-‘Alaq. Cuma para ulama mentafsirkan ayat 185 surah al-Baqarah sebagai ‘keseluruhan al-Quran’. Para ulama, fuqaha, ahli hadith dan ahli tafsir semuanya bersetuju perkataan al-Quran merujuk kepada sebuah al-Quran atau sebahagian daripadanya. Malah ia dinyatakan dalam surah al-A’raf, ayat 204, Allah SWT berfirman,


    وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنْصِتُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ


    “Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.”


    Mengenai riwayat Ibn ‘Abbas, ia merupakan pandangan beliau dan tidak ada dikaitkan dengan sebarang ucapan Rasulullah s.a.w. sebagai satu sumber menyokong pendapatnya. Suatu persoalan timbul mengapa perkara sepenting ini hanya disebut oleh Ibn ‘Abbas sedangkan di kalangan sahabat yang diiktiraf sebagai pakar al-Quran seperti ‘Abdullah Mas’ud, Ubayy bin Ka’ab, Zaid bin Thabit dan Mu’az bin Jabal tidak membicarakan perkara Nuzul al-Quran yang diturun sekali gus ke Bait al-‘Izzah.


    Al-Zarqani berpendapat tidak wajar untuk mempersoalkan atau tidak mempercayai Ibn ‘Abbas kerana beliau dikenali sebagai orang yang tidak ada kaitan dengan cerita-cerita israiliyat serta pendiriannya sebagai ‘sahabat’, oleh itu beliau tergolong di bawah ‘Hukm al-Marfu’ iaitu perkara yang ada hubungan dengan Rasulullah s.a.w.


    Sebahagian ulama berpendapat penurunan al-Quran hanya sekali sahaja iaitu daripada Allah SWT terus kepada Rasulullah melalui Jibril secara berperingkat dan bukannya tiga kali dari Allah SWT ke al-Lauh al-Mahfuz, ke Bait al-‘Izzah dan kepada Rasulullah. Penulisan ini tidak akan terbabit dalam perbahasan ulama mengenai jumlah penurunan dan juga mengenai riwayat Ibn ‘Abbas bersandarkan kepada Rasulullah atau tidak. Penulis hanya menyampaikan adanya perbezaan pendapat di kalangan ulama mengenai jumlah Nuzul.


    HIKMAT AL-QURAN DITURUNKAN BERANSUR-ANSUR


    Al-Quran diturunkan sedikit demi sedikit supaya mudah dihafal, difahami dan dilaksanakan. Ia sebagai satu rahmat dan kurniaan yang sangat berkesan kepada hamba-hambaNya.


    Sekiranya al-Quran diturunkan sekali gus, sudah tentu ia akan menyusahi dan memberatkan, baik daripada segi hafalan, pemahaman dan pelaksanaannya dalam kehidupan. Al-Khudhari mengatakan tempoh al-Quran diturunkan ialah 22 tahun 22 bulan dan 22 hari, bermula daripada 17hb. Ramadhan tahun 41 kelahiran Rasulullah s.a.w. hinggalah 9hb. Zulhijjah, tahun ke 10 Hijrah. Dalam tempoh tersebut al-Quran dihafal oleh Rasulullah dan para sahabat serta dicatat oleh panitia penulis al-Quran kemudian dikumpulkan pada zaman Sayidina Abu Bakr r.a. dan disempurnakan pada masa Sayidina ‘Uthman r.a.


    Antara hikmat utama Allah SWT merencanakan penurunan al-Quran kepada baginda Rasulullah SAW ini secara beransur-ansur adalah seperti berikut :


    1. Untuk menetapkan jiwa Rasulullah s.a.w. dan menguatkan hatinya. Ini kerana dengan turunnya Jibril a.s. membawa wahyu secara berulang-ulang daripada Allah SWT kepada Rasul-Nya dapat menguatkan jiwa Rasulullah s.a.w. Baginda dapat merasakan pertolongan serta inayat Ilahi tersebut. Tanggungjawab sebagai Nabi adalah berat dan Rasulullah sebagai seorang manusia yang sudah tentu akan menghadapi pelbagai cabaran getir dalam menyampaikan risalah bukan sahaja menghadapi tekanan, sekatan, cercaan, maki hamun malah ancaman nyawa daripada kaumnya sendiri Quraisy dan juga dari kalangan Yahudi dan orang munafik. Tentulah beliau memerlukan belaian wahyu sebagai penenang kepada semua itu.
    2. Untuk mendidik masyarakat waktu itu secara beransur-ansur. Ini akan memudahkan mereka untuk memahami al-Quran dan menghafaznya serta dapat beramal dengannya berdasarkan peristiwa-peristiwa yang berlaku di kalangan mereka. Oleh itu mereka dapat mengikis akidah amalan dan adat yang bertentangan dengan Islam secara beransur-ansur. Oleh itu sedikit demi sedikit ianya dapat dihapuskan.
    3. Untuk menyesuaikan dengan peristiwa yang baharu berlaku iaitu apabila timbul sesuatu masalah di kalangan mereka, turunlah al-Quran menentukan hukum yang sesuai untuk menyelesaikan masalah tersebut. Contohnya, ayat mengenai persoalan roh dan seumpamanya.
    4. Untuk menunjukkan bahawa sumber al-Quran itu Kalam Allah SWT semata-mata. Ia bukan ciptaan Nabi Muhammad s.a.w. atau makhluk lain.

    AYAT PERTAMA DAN AKHIR DITURUNKAN


    Ketinggian kedudukan al-Quran dan keagungan ajaran-ajarannya akan dapat merobah kehidupan manusia, menghubungkan langit dengan bumi, dan dunia dengan akhirat. Pengetahuan mengenai sejarah perundangan Islam daripada sumber utama iaitu al-Quran akan menggambarkan kepada kita mengenai pemeringkatan hukum dan penyesuaiannya dengan keadaan tempat hukum itu diturunkan yang memerlukan per­bahasan mengenai apa yang pertama dan terakhir diturunkan.


    1. Yang Pertama Diturunkan


    Terdapat empat pendapat mengenai apakah yang mula-mula diturunkan mengenai al-Quran :-

    i) Jumhur (Pendapat yang paling rajih atau sahih) bersetuju iaitu yang pertama diturunkan ialah lima ayat pertama daripada surah al-‘Alaq berdasarkan riwayat ‘Aisyah yang dicatatkan oleh Imam Bukhari, Muslim dan al-Hakim dalam kitab-kitab hadith mereka. Aisyah r.a. menyatakan: “Sesungguhnya permulaan wahyu datang kepada Rasulullah s.a.w. melalui mimpi yang benar di waktu tidur. Mimpi itu jelas dan terang bagaikan terangnya pagi hari. Kemudian dia gemar menyendiri dan pergi ke gua Hira’ untuk beribadah beberapa malam dengan membawa bekal. Sesudah kehabisan bekal, beliau kembali kepada isterinya Khadijah r.a., maka Khadijah pun membekalinya seperti bekal terdahulu sehinggalah beliau didatangi dengan suatu kebenaran (wahyu) di gua Hira’ tersebut, apabila seorang malaikat (Jibril a.s.) datang kepadanya dan mengatakan: “Bacalah!” Rasulullah menceritakan, maka aku pun menjawab: “Aku tidak tahu membaca.” Malaikat tersebut kemudian memeluk-ku sehingga aku merasa sesak nafas, kemudian aku dilepaskannya sambil berkata lagi: “Bacalah!” Maka aku pun menjawab: “Aku tidak tahu membaca.” Lalu dia memeluk-ku sampai aku rasa sesak nafas dan dilepaskannya sambil berkata: “Bacalah!” Aku menjawab: “Aku tidak tahu membaca.” Maka dia memeluk-ku buat ketiga kalinya seraya berkata: “Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan. Menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah! Dan Tuhanmu yang Maha Pemurah! Yang mengajar dengan perantaraan kalam dan mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya”. Setelah berlaku peristiwa itu kembalilah Rasulullah s.a.w. kepada isterinya Khadijah (membawa ayat-ayat ini) dengan tubuh menggigil………sehinggalah akhir hadith.” (al-Hadith).


    Imam-imam yang lain seperti al-Hakim dalam al-Mustadrak, al-Baihaqi dalam al-Dala’il dan al-Tabrani dalam al-Kabir mengesahkan ayat tersebut adalah yang pertama diturunkan.


    ii) Pendapat lain mengatakan Surah al-Muddathir yang pertama kali diturunkan berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Jabir bin ‘Abdullah seorang sahabat. Daripada Abu Salamah bin Abdul Rahman, dia berkata: “Aku telah bertanya kepada Jabir bin ‘Abdullah: Yang manakah di antara al-Quran mula-mula diturunkan? Jabir menjawab,” يَا أَيُّهَا الْمُدَّثِّرُ “. Aku berkata, “Atau اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ “. Dia Jabir berkata,”Aku katakan kepada-mu apa yang dikatakan Rasulullah s.a.w. kepada kami: “Sesungguhnya aku berdiam diri di gua Hira’. Maka ketika habis masa diam-ku, aku turun lalu aku susuri lembah. Aku lihat ke depan, ke belakang, ke kanan dan ke kiri. Lalu aku lihat ke langit, tiba-tiba aku melihat Jibril yang amat menakutkan. Maka aku pulang ke Khadijah. Khadijah memerintahkan mereka untuk menyelimuti aku. Mereka pun menyelimuti aku.


    Lalu Allah menurunkan: ْ يَا أَيُّهَا الْمُدَّثِّرُ قُمْ فَأَنْذِر“Wahai orang yang berselimut; bangkitlah, lalu berilah peringatan”.


    Mengenai hadith Jabir ini, dapatlah disimpulkan iaitu pertanyaan tersebut adalah mengenai surah yang diturunkan secara penuh. Jabir menjelaskan yang surah Muddathir diturunkan secara penuh sebelum surah Iqra’ selesai diturunkan, karena yang turun pertama sekali daripada surah Iqra’ itu hanyalah permulaannya saja. Ini diperkuatkan oleh hadith Abu Salamah daripada Jabir yang terdapat dalam Sahih Bukhari dan Muslim. Jabir berkata: “Aku mendengar Rasulullah s.a.w. ketika bercakap mengenai putusnya wahyu, beliau menyebut dalam percakapannya itu, “Sewaktu aku berjalan, aku terdengar suara dari langit. Kemudian aku angkat kepala-ku, tiba-tiba aku ternampak malaikat yang mendatangi aku di gua Hira’ duduk di atas kursi antara langit dan bumi, lalu aku pulang dan aku katakan: Selimutkanlah aku! Mereka pun menyelimuti aku. Lalu Allah menurunkan ayat, يَا أَيُّهَا الْمُدَّثِّرُ .


    Hadith ini menggambarkan peristiwa ini terkemudian daripada peristiwa di gua Hira’, atau al-Muddathir adalah surah yang pertama diturunkan setelah terputusnya wahyu. Dapat disimpulkan ayat pertama untuk kenabian ialah Iqra’ dan surah pertama untuk risalah ialah surah al-Muddathir.


    iii) Andaian ketiga ialah berdasarkan satu kenyataan yang diperakukan kepada Ali bin Abi Talib, disebut oleh Abi Ishaq daripada Abi Maisarah. Riwayat yang direkodkan oleh al-Wahidi menyebut: Apabila Rasulullah muncul (dari gua Hira’) dan mendengar suatu suara menjerit, “Wahai Muhammad”, Rasulullah terus pulang ke rumah. Waraqah bin Naufal menasihatkan Rasulullah mendengar kepada suara tersebut. Oleh itu apabila Rasulullah kemudiannya mendengar suara tersebut, beliau menyahut; Suara itu berkata, “Katakanlah, Aku bersaksi sesungguhnya tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan Muhammad pesuruh Allah dan bacalah:


    الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ‘……..” (al-Fatihah: 1-7)


    iv) Sebahagian ulama tabiin seperti al-Dhahhak bin Muzahim berpendapat ayat pertama ialah Bismillah. Dia menyebut ‘Abdullah bin ‘Abbas pernah berkata: Perkara pertama yang diturunkan oleh malaikat Jibril a.s. kepada Rasulullah s.a.w. dengan beliau mengatakan, “Wahai Muhammad, aku berlindung dengan Allah Yang Maha Mendengar, Maha Mengetahui daripada Syaitan yang dilaknat, dan katakanlah: Bismillahir Rahmanir Rahim (Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang.)"


    Al-Qadhi Abu Bakar al-Baqillani menyebutkan hadith ini sebagai munqati’ dalam kitabnya, al-Intisar. Menurut al-Zarkasyi di dalam kitabnya al-Burhan, sebahagian besar ulama menyatukan hadith riwayat ‘Aisyah dan Jabir dengan menyimpulkan Jabir mendengar Nabi membicarakan peristiwa permulaan wahyu dan dia mendengar bahagian akhirnya sedang bahagian pertamanya dia tidak mendengar. Jadi Jabir menyangka surah yang didengarnya adalah yang pertama diturunkan, pada hal bukan. Ibn Hibban dalam sahihnya menyatakan tidak ada pertentangan antara kedua hadith tersebut kerana ketika turun kepada Rasulullah Iqra’, beliau pulang ke rumah lalu berselimut; kemudian turunlah al-Muddathir.


    Surah-surah lain yang awal diturunkan termasuklah al-Masad (111), al-Takwir (81), al-Ala (87), al-Lail (92) dan al-Fajr. Para ulama juga membicarakan ayat-ayat yang mula-mula diturunkan berdasarkan permasalahan atau persoalan tertentu. Di antaranya ia melibatkan i) Pertama kali mengenai makanan-ayat 145 Surah al-An’am, ayat 145 Surah al-Nahl, ayat 173 Surah al-Baqarah dan ayat 3 Surah al-Ma’idah; ii) Pertama kali mengenai minuman- ayat 219 mengenai khamar dalam Surah al-Baqarah, ayat 43 Surah al-Nisa’ dan ayat 90-91 Surah al-Ma’idah; dan iii) Pertama kali mengenai perang iaitu ayat 39 Surah al-Hajj.


    2. Yang Terakhir Diturunkan


    Pelbagai pendapat mengenai yang terakhir diturunkan tetapi semua pendapat ini tidak mengandungi sesuatu yang dapat disandarkan kepada Rasulullah s.a.w., malah masing-masing merupakan ijtihad atau dugaan. Al-Qadhi Abu Bakar mengatakan mungkin mereka memberitahu apa yang terakhir kali didengar oleh mereka daripada Rasulullah s.a.w. ketika beliau hampir wafat. Antara pendapattersebut ialah:-


    i. Pendapat Ibn ‘Abbas-banyak riwayat yang dikaitkan dengan Ibn ‘Abbas:


    a. ‘Amir al-Sha’bi meriwayatkan bahawa ‘Abdullah bin ‘Abbas pernah berkata: “Ayat terakhir diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. adalah ayat mengenai riba.” Firman Allah,


    يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَذَرُوا مَا بَقِيَ مِنَ الرِّبَا إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ


    “Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan tinggalkanlah sisa riba - yang belum dipungut -.” (al-Baqarah:278).


    b. Ikrimah meriwayatkan bahawa Ibn ‘Abbas menyebut: Ayat al-Quran terakhir diturunkan adalah,


    وَاتَّقُوا يَوْمًا تُرْجَعُونَ فِيهِ إِلَى اللَّهِ ثُمَّ تُوَفَّى كُلُّ نَفْسٍ مَا كَسَبَتْ وَهُمْ لا يُظْلَمُونَ


    “Dan peliharalah diri-mu daripada azab yang terjadi pada suatu hari kamu semua dikembalikan kepada Allah.” (al-Baqarah: 281)


    c. ‘Abdullah b. ‘Utbah r.a. katanya, ‘Abdullah bin ‘Abbas berkata kepada saya: “Adakah anda tahu ayat yang terakhir sekali turun? Jawab-ku “tahu” iaitu ِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ وَالْفَتْحُ (Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan) (al-Nasr: 1). Berkata Ibnu ‘Abbas: “Kamu benar.”


    d. Said bin Jubayr mengatakan orang-orang Kufah berselisih tentang ayat,


    وَمَنْ يَقْتُلْ مُؤْمِنًا مُتَعَمِّدًا فَجَزَاؤُهُ جَهَنَّمُ خَالِدًا فِيهَا وَغَضِبَ اللَّهُ عَلَيْهِ وَلَعَنَهُ وَأَعَدَّ لَهُ عَذَابًا عَظِيمًا


    “Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah Neraka Jahanam, kekal dia di dalamnya dan Allah murka kepadanya dan melaknatnya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar.” (Al-Nisa’:93).


    Saya menemui Ibn ‘Abbas dan bertanyakan ayat ini dan beliau berkata: “Ayat ini adalah ayat terakhir diturunkan dan selepas itu tidak ada ayat yang menasakhkan ayat ini.”


    ii. Pendapat al-Bara bin ‘Azib


    Berikut ialah dua kenyataan yang diriwayatkan oleh beliau:-


    a. Abu Ishaq al-Sabi’ee meriwayatkan bahawa al-Bara mengatakan: “Surah lengkap terakhir diturunkan ialah surah Baraah.Bukhari vol 3 Kitab al-Maghazi hadith 4364.


    b. Abu Ishaq al-Sabi’ee meriwayatkan bahawa al-Bara mengatakan: ”Ayat terakhir diturunkan ialah,


    يَسْتَفْتُونَكَ قُلِ اللَّهُ يُفْتِيكُمْ فِي الْكَلالَة


    “Mereka (orang-orang Islam umat-mu) meminta fatwa kepada-mu (Wahai Muhammad mengenai masalah Kalalah). Katakanlah: Allah memberi fatwa kepada kamu di dalam perkara Kalalah itu………(al-Nisa’:176)


    iii. Pendapat Ubay bin Ka’ab


    Yusuf b. Mihran meriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Abbas yang Ubay bin Ka’ab mengatakan potongan ayat al-Quran terakhir diturunkan ialah,


    لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِنْ أَنْفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُمْ بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ


    “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w) yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu dan dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.” (al-Taubah:128)


    iv. Pendapat ‘Abdullah bin Amru bin al-‘As


    Abu Abdul Rahman al-Halabi mendengar ‘Abdullah b. Amru sebagai berkata: Surah terakhir diturunkan ialah Surah al-Ma’idah.


    v. Pendapat ‘Aishah


    Jubayr bin Nufayl berkata, “Aku pergi menemui ‘Aishah, yang bertanya kepadaku: Adakah kamu membaca Surah al-Ma’idah? Aku kata: Ya. Dia berkata: Inilah Surah terakhir yang diturunkan……”


    vi. Pendapat Umm Salamah


    Mujahid b. Jabr mengatakan yang Umm Salamah berkata: “Ayat terakhir diturunkan adalah ayat,


    فَاسْتَجَابَ لَهُمْ رَبُّهُمْ أَنِّي لا أُضِيعُ عَمَلَ عَامِلٍ مِنْكُمْ مِنْ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى بَعْضُكُمْ مِنْ بَعْضٍ فَالَّذِينَ هَاجَرُوا وَأُخْرِجُوا مِنْ دِيَارِهِمْ وَأُوذُوا فِي سَبِيلِي وَقَاتَلُوا وَقُتِلُوا لأكَفِّرَنَّ عَنْهُمْ سَيِّئَاتِهِمْ وَلأدْخِلَنَّهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الأنْهَارُ ثَوَابًا مِنْ عِنْدِ اللَّهِ وَاللَّهُ عِنْدَهُ حُسْنُ الثَّوَابِ


    “Maka Tuhan mereka perkenan doa mereka (dengan firmanNya): Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan……..” (al-Nisa:195)


    vii. Pendapat ‘Umar al-Khattab


    Abu Sa’id al-Khudry meriwayatkan daripada ‘Umar al-Khatab yang memberitahu ayat terakhir diturunkan ialah pengharaman riba’ (al-Baqarah:275) dan Rasulullah s.a.w. wafat beberapa hari selepas itu dan perkara riba’ tersebut tidak tertinggal tanpa penjelasan.


    viii. Pendapat Mu’awiyah bin Abi Sufiyan


    ‘Amr Qais al-Kufi meriwayatkan Mu’awiyah mengatakan ayat berikut sebagai ayat terakhir diturunkan,


    قُلْ إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ مِثْلُكُمْ يُوحَى إِلَيَّ أَنَّمَا إِلَهُكُمْ إِلَهٌ وَاحِدٌ فَمَنْ كَانَ يَرْجُو لِقَاءَ رَبِّهِ فَلْيَعْمَلْ عَمَلا صَالِحًا وَلا يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ أَحَدًا


    “Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepada-ku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya.” (al-Kahfi:110)


    Sekiranya kita menganalisis pendapat-pendapat di atas, kita akan menghadapi kesukaran untuk menentukan ayat terakhir diturunkan kepada Rasulullah disebabkan perbezaan pendapat tersebut. Walau bagaimanapun kita boleh membuat rumusan berdasarkan logik;


    i. Ayat 275 hingga 281 surah al-Baqarah nampaknya diturunkan bersama kerana ayat ini membicarakan persoalan riba’ dan hukum berkaitannya. ‘Umar dan ‘Abdullah Ibn ‘Abbas mengatakan ayat riba merupakan ayat terakhir diturunkan boleh dikatakan tepat memandangkan Rasulullah wafat 9 hari selepas ayat ini diturunkan sebagaimana yang diriwayatkan oleh Sa’id bin Jubayr dan Ibn Jurayj mengenai ayat 281, surah al-Baqarah.


    ii. Pandangan Ibn ‘Abbas mengenai ayat 93 surah al-Nisa’ ialah tentang ayat terakhir berhubung pembunuhan seorang Muslim, bukannya ayat terakhir al-Quran. Manakala pendapatnya mengenai surah al-Nasr tidak menjadi masalah. Surah al-Nasr kemungkinan merupakan surah pendek yang terakhir diturunkan, sementara surah al-Baraah merupakan surah panjang yang terakhir diturunkan. Ini tidak bercanggah dengan pandangan ‘Aishah dan Ibn ‘Amr yang mengatakan surah al-Ma’idah merupakan surah penuh terakhir diturunkan. Mereka bermaksud surah terakhir mengenai perkara halal dan haram.


    iii. Pandangan al-Bara tentang ayat 176 surah al-Nisa’ sebagai ayat akhir turun ialah ayat akhir tentang faraid. Apa yang diriwayatkan oleh Ubay bin Ka’ab mengenai ayat 128 hingga 129 surah al-Taubah adalah sebahagian daripada surah tersebut yang diturunkan secara keseluruhan sebagai surah panjang yang terakhir diturunkan. Riwayat Umm Salamah pula bukannya mengenai ayat terakhir tetapi lebih kepada jawapan kepada soalan beliau kepada Rasulullah mengenai kedudukan wanita dalam Islam. Pandangan Mu’awiyah pula jelas merujuk kepada yang terakhir diturunkan di Mekah melibatkan surah al-Kahfi termasuk ayat terakhirnya.


    Kesimpulannya, Surah al-Taubah sebagai surah panjang terakhir turun; Surah al-Nasr surah pendek terakhir turun; dan ayat 275 hingga 281 Surah al-Baqarah merupakan ayat terakhir diturunkan.

    ~* Why Do Muslims Fast In Ramadan? *~

    What is Fasting (Sawm)? Sawm (Arabic: صوم) is an Arabic word for fasting regulated by Islamic jurisprudence. In the terminology of Islamic l...