Thursday, May 24, 2007

~* Bertaubat & muhasabah digalak pada bulan puasa *~

PERLU diinsafi bahawa amalan bertaubat tidak boleh ditunda atau ditangguhkan kepada masa lain kerana ajal maut akan datang menjemput manusia pada bila-bila masa.


Namun tidak dinafikan, sebagai manusia yang sering lalai dan alpa, kita memerlukan dorongan untuk memulakan sesuatu amalan baik termasuk dalam hal bertaubat.


Seperti kedatangan Ramadan yang menjanjikan seribu kebaikan dan rahmat daripada Allah, tentunya dilihat sebagai landasan atau permulaan terbaik bagi mereka yang lalai selama ini untuk berubah ke arah kebaikan.
Ramadan juga menjadi bulan untuk setiap Muslim bermuhasabah terhadap segala amalan dan seterusnya bertaubat kepada Allah biarpun sekecil mana kesalahan itu.

Malah, bertaubat dan memohon ampun atas kesalahan yang dilakukan sebelum ini kepada Allah adalah amalan yang digalakkan pada bulan puasa, tatkala umat Islam diuji dengan lapar dan dahaga.


Ramadan juga menjadi bulan untuk setiap Muslim bermuhasabah terhadap segala amalan dan seterusnya bertaubat kepada Allah biarpun sekecil mana kesalahan itu.


Jika dulunya tidak rajin ke masjid, dengan kehadiran bulan Ramadan, kita akan lihat lebih ramai jemaah menunaikan solat sunat tarawih dan ini satu petanda baik menunjukkan peningkatan iman di kalangan masyarakat.


Rasulullah bersabda yang maksudnya:


“Setiap anak Adam tidak akan terlepas daripada melakukan dosa dan sebaik-baik orang daripada kalangan yang berdosa itu ialah yang bertaubat kepada Allah.” (Hadis riwayat at-Tirmizi dan Ibnu Majah)


Sabda Baginda lagi,


“Wahai sekalian manusia, bertaubatlah kepada Allah dan memohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya aku bertaubat dalam sehari sebanyak 100 kali.”
(Hadis riwayat Muslim).


Jika Rasulullah SAW yang sudah dijanjikan syurga Allah pada akhirat nanti bertaubat hingga 100 kali sehari, apatah lagi kita umat yang kerdil yang sentiasa dibayangi dosa.


.... Oleh itu, marilah kita bertaubat bersungguh-sungguh kepada Allah kerana tidak ada antara kita yang tidak terlepas daripada melakukan dosa ....

Sunday, May 13, 2007

~* Taubat perlu disertai keikhlasan *~

Syeikh al-Maraghi berkata: Selepas Allah memperihalkan golongan musyrikin dan hukum bagi orang yang murtad, dia menceritakan berkenaan balasan orang yang beriman, yang berhijrah dan berjihad berdasarkan firmannya.

Allah berfirman:

" Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan ugama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, Lagi Maha Mengasihani." (al-Baqarah: 218)


Al-Mawardi berkata: Sebab turun ayat ini ialah turun sekumpulan orang Islam berkata berkenaan Abdullah bin Jahsy dan yang bersamanya, jika sekiranya mereka tidak mendapat dalam musafir mereka dosa nescaya tiada padanya pahala.

Sayid Qutub berkata: Harapan seseorang Mukmin terhadap rahmat Allah tidak sekali-kali dikecewakan Allah. Kumpulan Mukmin yang ikhlas kepada Allah dan sanggup berhijrah meninggalkan Mekah telah mendengar janji yang benar ini. Lalu mereka berjihad untuk sabilillah sehingga Allah memenuhi janji-Nya terhadap mereka dengan memberi kemenangan atau penghormatan mati syahid dan kedua-dua merupakan kebaikan dan rahmat belaka. Mereka berjaya mendapat keampunan Allah dan rahmat-Nya.

Al-Maraghi berkata: Mereka mengharapkan rahmat Allah dan ihsan-Nya justeru layak mereka dikurniakan kerana pengorbanan mereka semata-mata mencari keredaan Allah. Lihatlah sejarah bagaimana Nabi s.a.w berhijrah dari kota Mekah ke kota Madinah semata-mata menyelamatkan dari fitnah oleh kaum musyrikin Quraisy sehinggalah Islam dapat bertapak. Seterusnya pertahankan diri dan akhirnya dapat membuka kota Mekah pada tahun 8 Hijrah.

Ternyata Allah menghina orang musyrikin dan menjadikan kalimah mereka begitu rendah sedangkan kalimah Allah berada di puncak. Di sini suka dinyatakan betapa pentingnya hijrah dalam kehidupan umat Islam sehingga Imam Nawawi menyebut hadis yang pertama di dalam kitabnya Matan Arba’in berkenaan dengan hijrah:

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafs, Umar bin al-Khattab r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:

" Bahawasanya segala amalan itu adalah dengan niat dan setiap orang mendapat (pahala) berdasarkan apa yang diniatkan. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu adalah bagi Allah dan rasul-Nya. Sesiapa yang berhijrah kerana dunia yang akan diperolehinya atau kerana perempuan yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya itu adalah kepada apa yang dia niatkan."


Guru kami Dr. Mustafa al-Bugha di dalam al-Wafi berkata, hijrah daripada negeri kafir ke negeri Islam adalah wajib ke atas orang Islam yang tidak mungkin daripada menzahirkan agamanya. Ini merupakan hukum yang kekal dikaitkannya.

Adapun hadis Nabi yang bermaksud tiada hijrah selepas pembukaan kota Mekah kerana Mekah menjadi sebahagian daripada negeri Islam.

Jika ditanya bagaimana Allah menyebut mereka yang mengharapkan rahmat Allah sedangkan rahmat Allah bagi orang yang beriman adalah perkara yang hak?

Al-Mawardi berkata: Jawapannya dua :

Pertama: Tatkala mereka tidak mengetahui keadaan pada masa hadapan maka haruslah mereka memohon rahmat kerana takut apa yang berlaku tidak membawa kepada mendapat rahmat.

Kedua: Kerana mereka mengharapkan rahmat disebabkan tidak yakin segala penunaian yang Allah wajibkan ke atas mereka. Adakah diterima atau tidak?

Firman Allah:

"Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."


Iaitu Allah Maha Luas Keampunan bagi orang yang bertaubat dan beristighfar di mana keluasan rahmat-Nya kepada orang yang beriman ditahqiqkan bagi mereka yang mengharapkan keampunan-Nya.

Qatadah berkata, mereka merupakan umat yang terbaik di mana Allah menjadikan mereka sebagai ahli yang mengharap dan siapa yang mengharap pasti menuntut dan siapa yang takut pasti lari.

Dr. Yusuf al-Qardawi berkata, unsur keempat yang membentuk hakikat taubat ialah mengikhlaskan taubat kepada Allah. Di sana terdapat satu rukun yang amat dituntut di dalam taubat. Sekalipun ia tidak disebutkan oleh kebanyakan orang. Namun, saya berpendapat ia adalah suatu yang sudah dimaklumi.

Rukun tersebut ialah membebaskan diri, menyesal serta berazam untuk tidak mengulangi dosa yang lalu, semuanya dilakukan semata-mata kerana Allah s.w.t lantaran tamakkan pahala-Nya dan takutkan hukuman-Nya.

Barang siapa yang meninggalkan tabiat minum arak kerana doktor melarangnya dan kerana ia boleh memudaratkan kesihatannya, maka peninggalannya dengan sebab itu tidak dikira sebagai taubat.

Barang siapa yang meninggalkan perbuatan zina kerana dia mengidapi Aids atau takut dijangkitinya atau lain-lain penyakit kelamin, yang dibimbanginya lalu dia meninggalkan tabiat berzina, ia tidak dikira sebagai taubat.

Barang siapa yang meninggalkan aktiviti pengedaran dadah kerana takut diberkas oleh polis serta takutkan hukuman mati maka itu tidak dikira sebagai bertaubat dan dia tidak tergolong di dalam golongan yang bertaubat.

Barang siapa yang kalah dalam perjudian, lalu dia meninggalkannya kerana muflis dan hilang kekayaannya, maka itu tidak dikira bertaubat.

Barang siapa yang menderhakai bapanya, lalu bapanya menghalangnya dari harta dan warisan, lantas dia menyesali penderhakaannya, maka penyesalan itu tidak dikira sebagai taubat. Ini kerana dia menyesal atas dasar keduniaan bukan kerana ia adalah penderhakaan kepada Allah s.w.t.

Kita telah pun melihat al-Quran al-Karim mengisahkan kepada kita tentang dua anak Adam, yang mana salah seorangnya jahat antara keduanya telah membunuh saudaranya yang baik. Dia telah membawa mayatnya sekian lama, kerana tidak tahu bagaimana hendak menanamnya lantaran ia adalah mayat yang pertama di dalam sejarah kemanusiaan.

Allah berfirman yang bermaksud:

"Kemudian Allah menyuruh seekor burung gagak menggali di bumi untuk memperlihatkan kepadanya (Qabil) bagaimana sewajarnya dia menanamkan mayat saudaranya. Qabil berkata: Alangkah celakanya aku. Mengapakah aku tidak mampu melakukan demikian seperti burung gagak ini. Atau aku dapat menanam mayat saudaraku ini? Kerana itu jadilah dia seorang di antara orang-orang yang menyesal." (al-Maidah: 31)


Penyesalan Qabil saudara yang jahat ini bukanlah kerana maksiatnya kepada Allah serta tindakannya membunuh saudaranya. Sebaliknya penyesalan tersebut adalah kerana dia membawa mayat saudaranya dalam jangkamasa yang sebegitu serta kelemahannya mengetahui cara menanamnya. Oleh kerana itu dia tidak mendapat perlepasan kerana penyesalan ini.

Tetapi jika pelbagai musibah dan kerugian di dunia ini boleh menjadi pendorong keimanan di dalam hati manusia serta menjadikannya memeriksa dirinya dan mengingati hari akhirat, lantas ketika itu dia bertaubat, maka dia termasuk di kalangan orang-orang yang diterima taubat mereka, insya-Allah.

Iktibar Ayat
  • Kelebihan orang beriman yang berhijrah dan berjihad fi sabilillah.


  • Sifat orang beriman sentiasa mengharapkan rahmat Allah.

  • Mengithbatkan sifat Allah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.


  • "DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI ialah pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)."

    ~* Dosa Tanpa Taubat *~

    DOSA tanpa taubat menyebabkan satu titik hitam pada hati. Hati adalah organ yang paling utama dalam tubuh manusia dan nikmat paling agung diberikan oleh Allah. Hati menjadi tempat Allah membuat penilaian terhadap hambaNya. Pada hatilah letaknya niat seseorang. Niat yang ikhlas itu akan diberi pahala oleh Allah.

    Hati perlu dijaga dan dipelihara dengan baik agar tidak rosak, sakit, buta, keras dan lebih-lebih lagi tidak mati. Sekiranya berlaku pada hati keadaan seperti ini, kesannya adalah membabitkan seluruh anggota tubuh badan manusia. Maka, akan lahirlah penyakit masyarakat berpunca dari hati yang sudah rosak itu.

    Justeru, hati adalah amanah yang wajib dijaga sebagaimana kita diamanahkan untuk menjaga mata, telinga, mulut, kaki, tangan dan sebagainya daripada berbuat dosa dan maksiat.

    Hati yang hitam ialah hati yang menjadi gelap kerana dosa. Setiap satu dosa yang dilakukan tanpa bertaubat itu akan menyebabkan terjadinya satu titik hitam pada hati. Itu baru satu dosa. Maka bayangkanlah bagaimana pula kalau sepuluh dosa? Seratus dosa? Seribu dosa? Alangkah hitam dan kotornya hati ketika itu.

    Perkara ini jelas digambarkan dalam hadith Rasulullah bermaksud :

    ” Siapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat, maka titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam. ” Hadith Riwayat Ibn Majah


    Hadith ini selari dengan firman Allah yang bermaksud :

    ” Sebenarnya! ( Ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya ) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran ( dosa ), dengan sebab ( perbuatan kufur dan maksiat ) yang mereka kerjakan.” Q.S Al-Muthaffifiin : 14


    Hati yang kotor dan hitam akan menjadi keras. Apabila hati keras, kemanisan dan kelazatan beribadat tidak dapat dirasakan. Ia akan menjadi penghalang kepada masuknya nur iman dan ilmu. Belajar sebanyak mana pun ilmu yang bermanfaat atau ilmu yang boleh memandu kita, namun ilmu itu tidak akan masuk ke dalam hati, kalau pun kita faham, tidak ada daya dan kekuatan kita untuk mengamalkannya.

    Allah berfirman yang bermaksud :

    ” Kemudian sesudah itu, hati kamu juga menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir air sungai daripadanya dan ada pula di antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah; sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan. ” Q.S Al-Baqarah : 74


    Begitulah Allah mendatangkan contoh dan menerangkan bahawa batu yang keras itu pun ada kalanya boleh mengalirkan air dan boleh terpecah kerana amat takutkan Allah.

    Oleh itu, apakah hati manusia lebih keras daripada batu hingga tidak boleh menerima petunjuk dan hidayah daripada Allah.

    Perkara yang paling membimbangkan ialah apabila hati mati akan berlakulah kemusnahan yang amat besar terhadap manusia.

    Matinya hati adalah bencana dan malapetaka besar yang bakal menghitamkan seluruh kehidupan. Inilah natijahnya apabila kita lalai dan cuai mengubati dan membersihkan hati kita. Kegagalan kita menghidupkan hati akan dipertanggungjawabkan oleh Allah pada akhirat kelak.


    Persoalannya sekarang, kenapa hati mati?

    Hati itu mati disebabkan perkara berikut :

  • Pertama :

  • Hati mati kerana tidak berfungsi mengikut perintah Allah iaitu tidak mengambil iktibar dan pengajaran daripada didikan dan ujian Allah.

    Allah berfirman yang bermaksud :
    ” Jika demikian, adakah orang yang telah dilapangkan Allah dadanya untuk menerima Islam, lalu dia tetap berada dalam cahaya ( hidayat petunjuk ) dari Tuhannya, ( sama seperti orang yang tertutup mata hatinya dengan selaput kederhakaan )? Maka kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya, adalah dalam kesesatan yang nyata. “Q.S Az-Zumar : 22

  • Kedua :

  • Hati juga mati jika tidak diberikan makanan dan santapan rohani sewajarnya. Kalau tubuh badan boleh mati kerana tuannya tidak makan dan tidak minum, begitulah juga hati.

    Apabila ia tidak diberikan santapan dan tidak diubati, ia bukan saja akan sakit dan buta, malah akan mati akhirnya.

    Santapan rohani yang dimaksudkan itu ialah Zikrullah dan muhasabah diri.

    Oleh itu, jaga dan peliharalah hati dengan sebaik-baiknya supaya tidak menjadi kotor, hitam, keras, sakit, buta dan mati. Gilap dan bersihkannya dengan cara banyak mengingati Allah ( berzikir ).

    Firman Allah yang bermaksud :
    ” ( Iaitu ) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan ‘zikrullah’. Ketahuilah dengan ‘zikrullah’ itu, tenang tenteramlah hati manusia. ” Q.S Ar-Ra’d : 28

    FirmanNya lagi yang bermaksud :
    ” Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun. Kecuali ( harta benda dan anak-pinak ) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera ( dari syirik dan penyakit munafik ); ” Q.S As-Syu’araa’ : 88 - 89

    Sucikanlah 4 hal dengan 4 perkara :

    “Wajahmu dengan linangan air mata keinsafan,
    Lidahmu basah dengan berzikir kepada Penciptamu,
    Hatimu takut dan gementar kepada kehebatan Rabbmu,
    dan dosa-dosa yang silam di sulami dengan taubat kepada Zat yang Memiliki mu.”

    ~* Doa perisai hadapi sebarang bencana *~

    DOA adalah satu permintaan atau permohonan seseorang Muslim kepada Allah SWT bertujuan memperoleh sesuatu yang dihajati. Doa sebagai satu senjata umat Islam sering kita lupakan terutama ketika menghadapi pelbagai masalah sepanjang kehidupan di dunia ini.

    Doa seperti ditegaskan oleh Rasulullah sebagai ’senjata’ kepada orang mukmin perlu disedari dan dihayati sepenuhnya oleh umat Islam. Doa menjadi tanda kepada perhambaan seorang manusia kepada Allah iaitu dengan cara merintih dan merayu kepada-Nya serta mengadu segala hal dan permasalahan dengan air mata berlinangan tanpa mengharapkan pertolongan selain daripada Allah sebagai Tuhan yang Maha Mendengar dan Mengasihani hamba-Nya.

    Sesungguhnya, persoalan doa bukan sekadar fungsinya sebagai cara pengaduan kepada Allah tetapi juga turut diiktiraf sebagai ibadah yang amat agung. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud:

    “Dan katakanlah (wahai Muhammad), berdoalah kepada-Ku. Nescaya Kumakbulkan permintaanmu. Sesungguhnya mereka yang takbur dan enggan beribadat kepada-Ku akan dicampakkan ke dalam neraka Jahanam yang perit azabnya.” (Surah al-Ghafir: ayat 60)


    Dalam ayat itu, Allah menerangkan doa adalah satu wasilah pengaduan seseorang hamba kepada Tuhannya yang dijamin akan diperkenankan permintaan itu sama ada di dunia ini disegerakan permintaan itu) atau di akhirat (ditangguhkan atau diberikan pahala kepadanya atas ibadah doa dikerjakan).

    Doa memainkan peranan penting melembutkan hati dan dibukakan jalan untuk mendapat hidayah Allah. Bukan semua orang yang Allah berikan keinginan untuk berdoa dan menadah tangannya di hadapan Allah, bahkan ramai malas dan berdoa hanya sekadar untuk mencukupkan syarat tanpa rasa gerun dan takut kepada Allah; tunduk dan merasai kehebatan dan keagungan-Nya serta penuh pengharapan di hadapan Allah.

    Apabila malas berdoa mula melebar dalam diri kita, perlu melakukan muhasabah ke dalam hati kita, mungkin ada yang tidak kena atau ada perkara menghalang sehingga kita tidak dapat merasai kemanisan berdoa.

    Doa dilafazkan oleh seseorang Muslim itu amat mustajab dan mampu mendatangkan kesan dengan izin Allah. Selain itu, seseorang Muslim harus sedar keengganannya untuk berdoa kepada Allah akan menyebabkan kemurkaan Allah kepadanya. Apabila seseorang itu memohon kepada selain daripada Allah ketika dalam kesulitan, dia dianggap mensyirikkan Allah.

    Di samping itu, keengganannya juga menggambarkan takbur dan merasakan diri sudah cukup tanpa memerlukan pertolongan daripada Allah. Ia jelas bertentangan dengan prinsip kehambaan seorang hamba terhadap tuannya apatah lagi terhadap Allah yang Pencipta sekalian alam.

    Allah menjadikan doa sebagai perisai kepada golongan mukmin dan mereka yang sentiasa mengharapkan keredaan-Nya.

    Dalam beberapa riwayat ada dinyatakan golongan yang doa mereka amat mustajab dan dikabulkan oleh Allah. Antara yang tergolong dalam golongan ini ialah :

  • Pertama, mereka yang dizalimi. Ia termasuklah golongan yang dihina, dihalau daripada tempat kediaman mereka tanpa hak atau bentuk kezaliman yang lain;
  • Kedua, golongan yang bermusafir untuk tujuan yang baik;
  • Ketiga, doa kedua-dua ibu bapa kepada anaknya,
  • Keempat, doa mereka yang menunaikan ibadah haji atau umrah.

  • Di sini jelas betapa mereka yang berada dalam situasi sedemikian sememangnya Allah muliakan dan doa mereka juga dijanjikan oleh Allah akan dimakbulkan selagi tidak membawa kepada maksiat atau kejahatan.

    Selain itu, doa yang mustajab juga ialah doa daripada seorang sahabat kepada sahabatnya yang lain kerana Allah; dan sahabatnya itu tidak mengetahui bahawa dia sedang didoakan oleh seseorang. Di samping itu, individu yang mendoakan sahabatnya itu juga akan diberikan ganjaran dan diberikan kebaikan seperti dia mendoakan sahabatnya itu.

    Setiap Muslim perlu memahami doa dimakbulkan oleh Allah atas permintaan hamba-Nya itu adakalanya dikurniakan berdasarkan apa yang dimintanya atau dipaling iaitu menjauhkan daripadanya sesuatu kejahatan setaraf dengan doanya itu atau Allah menangguhkan dahulu permohonan hamba itu untuk dijadikan sebagai pahala pada akhirat kelak.

    Rasulullah saw bersabda bermaksud:

    “Tiada seorang Muslim berdoa tidak mengandungi dosa atau mengarah kepada pemutusan hubungan kekeluargaan, melainkan Allah akan mengurniakan baginya salah satu daripada tiga keadaan, iaitu

    (1) segera dikabulkan doanya;

    (2) disimpan untuk diberikan di akhirat;

    (3) atau kerana doanya itu maka Allah menjauhkan dia daripada kesulitan.”


    "Oleh Ahmad Tarmizi Zakaria"

    Saturday, May 12, 2007

    ~* Sahabat sejati *~


    Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat mati..

    “Sebaik baik sahabat di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik baik jiran disisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap jirannya” (H.R al-Hakim)


    ALLAH mencipta makhluk di atas muka bumi ini berpasang-pasangan. Begitu juga manusia, tidak akan hidup bersendirian. Kita tidak boleh lari dari berkawan dan menjadi kawan kepada seseorang. Jika ada manusia yang tidak suka berkawan atau melarang orang lain daripada berkawan, dia dianggap ganjil dan tidak memenuhi ciri-ciri sebagai seorang manusia yang normal. Inilah antara hikmah, kenapa Allah mencipta manusia daripada berbagai bangsa, warna kulit dan bahasa. Firman Allah dalam surah al-Hujurat ayat 13, yang bermaksud:

    “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan berpuak-puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang lebih bertakwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya.”


    Dalam Islam faktor memilih kawan amat dititikberatkan. Hubungan persahabatan adalah hubungan yang sangat mulia, kerana kawan atau sahabat berperanan dalam membentuk personaliti individu. Ada kawan yang sanggup bersusah-payah dan berkongsi duka bersama kita, dan tidak kurang juga kawan yang nampak muka semasa senang dan hanya sanggup berkongsi kegembiraan sahaja. Pendek kata sahabat boleh menentukan corak hidup kita. Justeru, jika salah pilih sahabat kita akan merana dan menerima padahnya. Selari dengan hadith Rasululah saw yang bermaksud:

    “Seseorang itu adalah mengikut agama temannya, oleh itu hendaklah seseorang itu meneliti siapa yang menjadi temannya” (H.R Abu Daud).


    Bak kata pepatah Arab,

    “Bersahabat dengan penjual minyak wangi, kita akan menerima percikan wangiannya, manakala bersahabat dengan tukang besi, percikan apinya akan mencarikkan baju kita.”


    Apakah ciri-ciri seorang sahabat yang baik? Seorang bijak pandai berpesan kepada anak lelakinya: “Wahai anakku, sekiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut:
    • Jika engkau berbakti kepadanya, dia akan melindungi kamu;
    • Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas balik persahabatan kamu;
    • Jika engkau memerlu pertolongan daripadanya, dia akan membantu kamu;
    • Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, dia akan menerimanya dengan baik;
    • Jika dia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripada kamu, dia akan menghargai atau menyebut kebaikan kamu;
    • Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripada kamu, dia akan menutupnya;
    • Jika engkau meminta bantuan daripadanya, dia akan mengusahakannya;
    • Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), dia akan menanyakan kesusahan kamu;
    • Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, dia akan meringankan kesusahan kamu;
    • Jika engkau berkata kepadanya, nescaya dia akan membenarkan kamu;
    • Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya dia akan membantu kamu;
    • Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan;
    • Dia membantumu menunaikan tanggungjawab serta melarang melakukan perkara buruk dan maksiat;
    • Dia mendorongmu mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.

    Sebagai remaja yang terlepas daripada pandangan ayah ibu berhati-hatilah jika memilih kawan. Kerana kawan, kita bahagia tetapi kawan juga boleh menjahanamkan kita.

    Hati-hatilah atau tinggalkan sahaja sahabat seperti dibawah:,

    • Sahabat yang tamak: ia sangat tamak, ia hanya memberi sedikit dan meminta yang banyak, dan ia hanya mementingkan diri sendiri.
    • Sahabat hipokrit: ia menyatakan bersahabat berkenaan dengan hal-hal lampau, atau hal-hal mendatang; ia berusaha mendapatkan simpati dengan kata-kata kosong; dan jika ada kesempatan membantu, ia menyatakan tidak sanggup.
    • Sahabat pengampu: Dia setuju dengan semua yang kamu lakukan tidak kira betul atau salah, yang parahnya dia setuju dengan hal yang dia tidak berani untuk menjelaskan kebenaran, di hadapanmu ia memuji dirimu, dan di belakangmu ia merendahkan dirimu atau mengkhianati amanahmu. Bila telah di percayai, dia khianati. Bila telah di cintai, dia dustakan.
    • Sahabat pemboros dan suka hiburan: ia menjadi kawanmu jika engkau suka berpesta, suka berkeliaran dan ‘melepak’ pada waktu yang tidak sepatutnya, suka ke tempat-tempat hiburan dan pertunjukan yang melalaikan.
    • Sahabat yang membawamu semakin jauh dari Allah. Seorang yang tidak menambah kebajikanmu di dunia, lebih2 lagi di akhirat. Seorang yang tidak menambah manfaat kehidupanmu di akhirat, bukanlah temanmu yang sebenar.
    Indahnya dunia dapat dilihat dengan mata... Indahnya hati tak semua orang dapat merasa... Indahnya cinta tak semanis namanya... Tapi indahnya persahabatan tak ternilai harganya...

    Hati-hatilah memilih kawan, kerana kawan boleh menjadi cermin peribadi seseorang. Berkawanlah kerana Allah untuk mencari redha-Nya...

    ~* Why Do Muslims Fast In Ramadan? *~

    What is Fasting (Sawm)? Sawm (Arabic: صوم) is an Arabic word for fasting regulated by Islamic jurisprudence. In the terminology of Islamic l...